PIALA MALAYSIA : Pahang kena belasah

Selangor, Felda dipaksa main dalam jerebu
MOHD. FIRDAUS ISMAIL | 27 September 2015 1:00 AM
PEMAIN Selangor dan Felda United minum pada pertengahan babak kedua atas kebenaran pengadil untuk mengurangkan kesan jerebu setelah penganjur pertandingan Piala Malaysia mengarahkan perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor itu tetap diteruskan malam tadi. MINGGUAN/Izham Jaafar
PULAU PINANG – Impian juara bertahan Pahang untuk menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal terencat apabila mereka dibelasah 4-1 oleh Pulau Pinang sementara Selangor dan Felda United seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang tetap diteruskan oleh penganjur walaupun keadaan berjerebu teruk.
Apa yang dibimbangi oleh Zainal Abidin Hassan mengenai pasukannya berkemungkinan keletihan kerana terpaksa bermain tiga perlawanan digelanggang lawan berturut-turut menjadi kenyataan di Stadium Bandaraya apabila pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh Jacksen Tiago melancarkan serangan bertali arus sejak awal permainan dan berada di depan pada minit ke-39 menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Mohd. Failee Ghazali.
Walaupun Pahang hanya memerlukan seminit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerang sensasinya Dickson Nwakaeme, namun mereka longlai selepas rehat.
Mohd. Failee sekali lagi menemui sasaran apabila menanduk bola sepakan bebas Lee Gil Hoon hanya seminit selepas babak kedua bermula dan Harimau Kumbang menambah derita pelawat apabila sepakan deras Mohd. Azinee Taib pada minit ke-81 gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin untuk tuan rumah mendahului 3-1 dan tiga minit kemudian tandukan pemain gantian Alberto Goncalves menerjah gawang pelawat.
Sementara itu, Selangor dan Felda United telah meminta perlawanan ditangguhkan akibat jerebu tebal menyelubungi Stadium Shah Alam namun, permintaan mereka ditolak oleh penganjur.
Pengadil Muhd. Nazmi Nasaruddin bagaimanapun memberikan rehat kira-kira tiga minit pada pertengahan setiap babak permainan, yang berkesudahan seri 0-0, untuk membolehkan pemain minum dan membasuh muka bagi mengurangkan kesan buruk jerebu.
Red Giants hampir berada di depan pada minit ke-44 menerusi penyerang dari Brazil, Guilherme De Paula namun sepakan kencang­nya dari luar petak penalti ditepis keluar penjaga gol Felda, Farizal Harun.
The Fighter mempunyai peluang keemasan menerusi pemain tengah Zah Rahan Krangar pada minit ke-51 tetapi sepakan bebas dari luar petak penalti sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team kembali bersaing untuk merebut slot dua pasukan terbaik dari Kumpulan C apabila mengejutkan pasukan pilihan Kelantan 3-1.
Bermula agresif, tuan rumah terus mengasak sebaik sahaja wisel ditiupkan dan berjaya mendahului pada minit ke-14 menerusi sentuhan penyerang muda Muhammad Zulhanizam Shafine yang mudah menolak masuk umpanan Mohd. Badrul Hisham Morris.
Zulhanizam sekali lagi mengukuhkan namanya selaku penjaring untuk T-Team tujuh minit kemudian apabila memanfaatkan hantaran lintang Josip Milardovic sebelum Tomislav Busic terus menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-30.
Kelantan yang berusaha bangkit bagaimanapun hanya mampu membalas menerusi jaringan Gilmar Jose da Silva Filho pada minit ke-87.
Di Stadium Perak, tuan rumah mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-0 kepada ATM.
Pasukan pelawat mendominasi permainan sebaik sahaja perlawanan dimulakan tetapi gagal mencipta sebarang peluang jaringan sehinggalah minit ke-38 apabila Jerry Palacios Suazo berjaya membolosi gawang Perak menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti.
Usaha Perak untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan mengutip satu mata punah apabila pemain sayap ATM, Venice Elphi menjaringkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-90 perlawanan.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, tuan rumah beraksi cemerlang untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Terengganu dalam saingan Kumpulan A.
Tiga gol pasukan Lions XII dijaringkan oleh Sahil Suhim pada minit ke-35 dan dua jaringan Safuwan Baharudin sewaktu minit ke-54 dan ke-89 manakala dua jaringan Terengganu diperolehi melalui Paulo Rangel minit keempat dan ke-43.

PIALA MALAYSIA 2015 : ATM berhajat curi mata daripada JDT

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 18 September 2015 12:48 AM
Hairuddin Omar meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu mata daripada perlawanan menentang JDT di Stadium Tunku Abdul Rahman,Seremban esok.
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh kembali menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada kempen Piala Malaysia selepas muncul pasukan pertama negara melangkah ke separuh akhir Piala AFC, dan kemenangan ke atas South China pastinya menyemarakkan lagi semangat mereka untuk menghadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.
Skuad Harimau Selatan me­langkah ke kelompok empat pa­sukan terakhir Piala AFC dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan selesa 3-1 di Hong Kong untuk meneruskan kemaraan berbekalkan agregat 4-2.
Kini mereka sekali lagi akan beraksi di gelanggang lawan apabila melawat Stadium Tuanku Abdul Rahman di Seremban untuk menentang ATM.
JDT akan hadir dengan matlamat memburu kemenangan kedua dalam Kumpulan B, tetapi mereka boleh menjangkakan cabaran sukar daripada The Gladiators, yang berhajat memburu kemenangan sulung selepas tumpas 1-0 kepada Sarawak ming­gu lepas.
Skuad Mario Gomez memulakan langkah pertama mereka dalam Piala Malaysia dengan menewaskan Perak 2-0 manakala ATM kalah tipis 0-1 kepada Sarawak.
Ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar mengakui JDT memiliki pemain-pemain bintang dan semangat tinggi hasil kejayaan mereka dalam Piala AFC untuk menjadikan perlawanan itu nanti bukan misi yang mudah untuk dia dan rakan-rakannya, tetapi berharap sekurang-kurangnya dapat mencuri satu mata daripada juara Liga Super itu.
“Kita tahu keupayaan JDT dan mereka turun malam esok dengan motivasi yang tinggi selepas berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC. Kalau berdasarkan rekod semestinya memihak kepada JDT namun persaingan Liga Super dengan merebut piala merupakan pentas berlainan.
“Menentang JDT merupakan cabaran yang besar tetapi saya harap rakan-rakan saya dapat menampilkan permainan terbaik untuk sekurang-kurangnya me­raih satu mata meskipun pemain masih mempunyai masalah gaji dengan pengurusan sebelum ini.
“Bercakap mengenai masalah gaji sebenarnya isu itu masih tidak selesai dan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan mengenai tunggakkan gaji itu tidak tepat. Saya harap beliau dapat maklumat yang tepat daripada pengurusan ATM,” katanya ketika dihubungi semalam.
Perak pula akan menentang Sarawak dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B dengan misi mencari kemenangan sulung manakala Kumpulan C menyaksikan Kelantan berdepan Felda United dan T-Team melayan kunjungan Selangor di Kuala Terengganu.
Juara Liga Perdana, Kedah pula mahu menggunakan nota positif setelah seri 1-1 dengan juara Piala FA, Lions XII di Singapura ming­gu lalu sebagai bekalan sema­ngat apabila melayan Terengganu dalam perlawanan Kumpulan A di Alor Setar hari ini.
Jurulatih Lang Merah, Tan Chang Hoe bagaimanapun me­ngakui skuad Penyu mempunyai barisan pemain yang seimbang di setiap posisi tetapi yakin pa­sukannya akan memiliki kelebihan sokongan peminat apabila beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Darul Aman, yang telah terbuka merupakan laman sukar untuk lawan mereka musim ini.
Katanya, kejayaan mencuri satu mata di Stadium Jalan Besar adalah permulaan yang baik untuk pasukannya dan semua pemain menampilkan aksi bagus dalam perlawanan tersebut.
“Menentang Terengganu bukan satu perlawanan yang mudah, tambahan pula mereka menunjukkan kebangkitan luar biasa dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super, namun saya telah merencanakan strategi untuk mengecewakan pasukan lawan.

PIALA MALAYSIA : Gol Safee, Chanturu julang JDT

12 September 2015 12:46 AM
JOHOR BAHRU – Dua gol dalam masa tiga minit menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan langkah pertama dalam kempen Piala Malaysia tahun ini dengan mencatat keputusan selesa apabila menundukkan Perak 2-0 dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.
JDT tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan menerusi penyerang berpengalaman Safee Sali pada minit ke-17 sebelum S. Chanturu menggandakan jaringan gol tuan rumah.
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mempersembahkan corak permainan pantas dalam usaha memburu jaringan awal permainan.
Peluang terbaik pasukan Bos Gaurus muncul pada minit ke-10 permainan apabila penyerang Charles Souza Chad menerima bola namun tendangannya di hadapan pintu gol tepat menuju Izham Tarmizi.
JDT dilihat menggandakan serangan dengan mengatur gerakan bertali arus ke kubu pelawat sebelum Safee menanduk masuk bola hantaran Chanturu melepasi jangkauan penjaga gol Azizon Abdul Kadir.
Harimau Selatan yang tidak pernah tewas dalam perlawanan Liga Malaysia di Stadium Larkin sejak beberapa musim lalu menggandakan jaringan pada minit ke-21 permainan apabila Chanturu menanduk masuk bola hantaran pemain pertahanan Mahalli Jasuli.
Separuh masa kedua permainan menyaksikan pasukan pelawat menggandakan asakan ke kubu tuan rumah dengan beberapa percubaan berbahaya dari Souza Chad dan Ridzuan Azly Hussham.
Tendangan Souza Chad pada minit ke-56 berjaya menewaskan Izham namun bola sekadar menggegar tiang gol, begitu juga dengan tandukannya pada minit ke-62.
Kemasukan Harris Harun, Nazrin Nawi dan ayam tambatan JDT, Luciano Figueroa pada separuh masa kedua dilihat berjaya mengubah rentak permainan mereka namun kedudukan 2-0 kekal terikat tanpa tambahan jaringan.
Penyerang Perak terus mengatur serangan demi serangan sehingga ke minit-minit terakhir permainan namun gagal mencari jaringan yang dikehendaki.

PIALA MALAYSIA : JDT jumpa Perak, laluan Pahang nampak mudah

FADHILUL IZMEL ISHAK | 28 Ogos 2015 12:42 AM
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunjukkan tanda nama pasukan JDT yang dicabut sewaktu majlis undian untuk peringkat awal pertandingan Piala Malaysia di Petaling Jaya semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR – Tiga pasukan yang mempunyai ‘sejarah hitam’ antara mereka dipertemukan dalam peringkat awal pertandingan Piala Malaysia apabila juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim diundi bersama Perak dan Sarawak dalam Kumpulan B semalam.
Penyandang juara Pahang pula kelihatan mendapat laluan mudah setelah diundi dengan dua pasukan dari Liga Perdana, Pulau Pinang dan PKNS FC, selain pencabar mereka dalam Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.
Kumpulan B, yang turut diisi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dilihat sebagai ‘periuk panas’ jika melihat kepada rekod pertemuan di antara JDT, Perak dan Sarawak yang menyaksikan penyokong ketiga-tiga pasukan tersebut pernah bergaduh antara satu sama lain.
Dalam edisi Piala Malaysia tahun lalu perlawanan antara Sarawak menentang Perak di Stadium Negeri Kuching dicemari dengan insiden kekecohan yang turut menyebabkan sebuah kereta peronda polis dibakar oleh penyokong di luar stadium ber­kenaan.
Terbaru, perlawanan Liga Super antara Perak menentang JDT yang berlangsung pada 19 Ogos di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dicemari de­ngan kekecohan sehingga memaksa polis bertindak dan menahan 14 penyokong pasukan tuan rumah.
Sebanyak 16 pasukan bertanding, dibahagikan kepada empat kumpulan dalam majlis undian yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.
Kumpulan A dihuni oleh Terengganu, juara Piala FA Lions XII, juara Liga Perdana Kedah dan JDT II.
Kumpulan C dianggap sebagai kumpulan paling sukar apabila Selangor bertembung dengan dua pencabarnya dalam Liga Super iaitu Felda United, Kelantan dan pasukan Liga Perdana T-Team.
Menyentuh mengenai kemungkinan berlaku kekecohan antara penyokong semasa perlawanan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap perkara itu tidak berlaku.
“Saya berharap peminat tidak bergaduh sesama sendiri ketika me­nyaksikan perlawanan melibatkan pasukan masing-masing, sebaliknya mereka perlu menikmati sukan bola sepak itu sendiri.
“Saya sudah menyatakan perkara ini berulang kali (isu pergaduhan) dan saya berharap peminat boleh menerima setiap keputusan perlawanan dengan hati terbuka, malah selepas 90 minit perlawanan kita (penonton) boleh pulang dengan selamat, itu harapan saya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis undian.

ATM, JDT II lengkapkan slot 16 pasukan Piala Malaysia

26 Ogos 2015 12:57 AM
PENYERANG ATM, Abdulfees Abd Salam (tengah) berjaya menewaskan penjaga gol NS Matrix, Mohd. Helmi Eliza untuk menjaringkan gol pertama pasukannya dalam playoff Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mengisi dua slot terakhir untuk melengkapkan 16 pasukan yang bakal be­rentap dalam kempen Piala Malaysia, bulan depan.
ATM menebus kekecewaan tersingkir ke Liga Perdana musim depan dengan menewaskan Ne­geri Sembilan (NS) Matrix 3-0 pada perlawanan playoff di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Selepas menghuni kedudukan dua tercorot Liga Super, peluang beraksi dalam Piala Malaysia mampu menjadi platform untuk mengembalikan keyakinan The Gladiators.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Azhar Abdullah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang import Nigeria, Abdulfees Abd Salam pada minit ke-12.
Abdulfees menyudahkan sepakan penalti selepas Venice Elphi dijatuhkan Kim Jim Ryong pada minit ke-12.
Ketika NS Matrix cuba bangkit memburu gol penyamaan dengan asakan bertali arus, anak didik Azhar menghukum mereka dengan menambah gol kedua menerusi Abdul Shukor Jusoh yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Abdulfees terus menambah derita NS Matrix dengan gol ketiga ATM apabila mudah menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Ramli pada minit ke-52.
Tiga jaringan tersebut sudah cukup untuk menamatkan impian skuad bimbingan K. Devan mahu beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, NS Matrix tetap berusaha memecah kebuntuan jaringan menerusi beberapa percubaan berbahaya, terutama menerusi percubaan N. Thanabalan pada minit ke-71, tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Adney Syed Hussain.
Abdulfees hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-81 apabila menerima lorongan menarik daripada Mario Karlovic di dalam kotak penalti, namun remba­tannya berjaya ditampan Helmi Eliza.
Sementara itu, gol tunggal Shafiq Shahrudin pada minit ke-45 sudah cukup membawa JDT II melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas menumpaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

PIALA MALAYSIA : Mat Yo dipersalahkan?

03 November 2014 1:05 AM
PENYERANG JDT, Norshahrul Idlan Talaha terlalu sedih sehingga terpaksa ditenangkan rakan sepasukan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Lumrah menjadi pemain terkenal, tatkala hebat disanjung menggunung, kalau kalah akan dikeji tanpa belas kasihan dan itulah yang berlaku ke atas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo.
Mat Yo dikatakan menjadi punca kekalahan JDT setelah pemain itu gagal menyempurnakan sepakan penalti keempat dalam aksi final Piala Malaysia, Sabtu lalu apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada 120 minit perlawanan.
Tindakan meletakkan 100 peratus kesalahan ke atas bahu pemain kelahiran Terengganu itu dilihat kurang wajar kerana bola sepak dimainkan dalam satu pasukan.
Rata-rata penyokong pasukan Harimau Selatan itu sukar untuk menerima kekalahan lebih-lebih lagi Pahang hanya beraksi dengan 10 pemain. Malah, penyokong yang gagal membendung perasaan kecewa mereka telah menjadikan laman sosial, Facebook sebagai platform mereka untuk melepaskan kemarahan terhadap Mat Yo.
Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan Mat Yo, semalam bagaimanapun pemain itu gagal dihubungi.
Sementara itu, Kapten JDT, Safiq Rahim ketika ditemui pemberita, kelmarin enggan menyalahkan mana-mana pemain ekoran kekalahan yang menimpa pasukannya.
“Bola ini jahat sebenarnya, semua pemain kena terima kenyataan mungkin bukan rezeki kami malam ini. Insya-Allah kami akan perbaiki untuk musim depan. Kami akan pastikan Piala Malaysia akan berada di negeri Johor musim depan,” katanya.
Ekoran daripada kekalahan tersebut, aksi perlawanan dicemari insiden sekumpulan penyokong Harimau Selatan menyalakan suar sebagai tanda protes sehingga menyebabkan asap memenuhi ruang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum majlis penyampaian hadiah bermula.
Malah, beberapa letupan bunyi mercun dari tempat duduk penyokong Tok Gajah turut kedengaran sewaktu pemain pertahanan mereka, Mohd. Saiful Nizam Miswan dibuang padang dan situasi sama sekali lagi berulang sewaktu Pahang meraikan kemenangan mereka setelah berjaya mengatasi JDT menerusi penentuan sepakan penalti.
Walaupun suar dan mercun diharamkan, namun para penyokong tanpa rasa takut menyalakan bahan api tersebut sewaktu perlawanan berlangsung, sehingga mengakibatkan suasana di dalam stadium dipenuhi dengan asap.
Insiden tersebut turut mencetuskan tanda tanya bagaimana mercun dan suar berjaya diseludup masuk penyokong ke dalam stadium sedangkan kawalan keselamatan telah ditingkatkan.
Ia sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan apakah tiada mekanisma lain bagi membendung masalah itu daripada terus berlarutan.


– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mat-yo-dipersalahkan-1.19967#sthash.RP7jqV2m.dpuf


PIALA MALAYSIA : Kekalahan paling perit – Bojan

OLEH SUFIAN HADI MOHD. SOJAK (SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 03 November 2014 1:05 AM
JURULATIH JDT, Bojan Hodak (kiri) menepuk dahi selepas pasukannya tewas kepada Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Bojan Hodak menganggap kekalahan ke atas Pahang di pentas final Piala Malaysia, kelmarin adalah yang paling perit sepanjang kariernya.
Pengendali kelahiran Crotia itu melahirkan rasa kecewa terhadap anak-anak buahnya yang gagal memanfaatkan peluang keemasan setelah berkelebihan dengan seorang pemain apabila skuad Tok Gajah tempang dengan ketiadaan Mohd. Saiful Nizam yang dilayangkan kad merah.
JDT tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 ditangan Pahang selepas masing-masing terikat 2-2 sehingga mengheret perlawanan kepada masa tambahan.
“Saya sangat kecewa dengan kekalahan tadi (kelmarin) kerana mereka tidak menggunakan peluang sepenuhnya yang dimiliki.
“Kita menguasai permainan dan bermain lebih baik dari mereka. Kita berhak menang kerana mempunyai dua peluang di mana percubaan tepat terkena tiang sepanjang perlawanan.
“Selain itu, Pahang juga boleh dikatakan bernasib baik kerana mereka hanya menang menerusi penentuan sepakan penalti,” kata Hodak.
Sementara itu, Hodak turut mengkritik kualiti permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang pada pandangannya hanya cantik di pandangan mata.
“Saya kecewa dengan keadaan padang hari ini (kelmarin) yang bagi saya hanya kelihatan cantik pada pandangan mata,” tegasnya.
Stadium Nasional yang ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaran dilakukan, nampaknya masih tidak berada pada tahap terbaik setelah keadaan rumput begitu mudah tercabut setiap kali pemain melakukan sepakan.


– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kekalahan-paling-perit-8211-bojan-1.19957#sthash.SSI6jnrN.dpuf