Taman tema air tarikan baru di i-City

DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012

Monica Ong (kiri) menunjukkan lakaran pelan pembangunan WaterWorld@i-City kepada Pengarah Eksekutif I-Bhd, Tey Siew Thuan pada sidang akhbar mengenai taman tema air terbaru i-City itu di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 25 Sept. – i-Berhad, pemaju bandar pintar i-City dijangka memperoleh pulangan pelaburan bagi taman tema airnya dalam tempoh tiga tahun akan datang, selepas beroperasi mulai November ini.
Pengarahnya, Monica Ong berkata, syarikat telah melabur sebanyak RM25 juta bagi membina taman tema air, WaterWorld@i-City di atas tanah berkeluasan 4 hektar.
“Kami sentiasa menawarkan pembaharuan bagi perniagaan liburan yang merangkumi segmen api iaitu pameran lampu digital dan taman tema luar, segmen ais (taman tema salji Snowalk) dan taman tema air, WaterWorld bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung tarikan terbaru di i-City di sini hari ini.
WaterWorld@i-City merupakan satu-satunya taman tema air di rantau Asia Tenggara yang menawarkan permainan air terkenal, Tornado Ride yang dipelopori di Kanada sejak sembilan tahun lalu.
Tornado setinggi tujuh tingkat itu kini sudah lebih 80 peratus siap.
Menurut Monica, WaterWorld yang boleh menampung kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa itu turut menawarkan jakuzi gergasi dan pantai buatan dan skrin LCD bagi penganjuran konsert ataupun majlis.
WaterWorld dijangka beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 7 malam setiap hari.
Tambahnya, dengan pelancaran taman tema terbaru itu, Ong menjangkakan bilangan pengunjung meningkat 30 peratus terutama pada waktu siang.
Ketika ini i-City berjaya menarik 90,000 pengunjung setiap minggu.

Legoland Malaysia dibuka 15 September ini

UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012

SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Julai – Legoland Malaysia, taman tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka kepada orang ramai pada 15 September ini.
Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.
“Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50 juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan Pelancongan.
Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.
Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.
Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.