Anakonda 5.5m ditangkap

PASUKAN ahli biologi dari United Kingdom mempamerkan ular anakonda sepanjang 5.5 meter seberat 100 kg yang ditangkap di hutan Guyana, kelmarin. – AGENSI

GEORGETOWN, Guyana 16 Sept. – Sepasukan ahli biologi menangkap seekor ular anakonda sepanjang 5.5 meter dengan berat sebanyak 100 kilogram dalam satu ekspedisi hutan hujan tropika di sini, semalam.

Ular gergasi itu mempunyai ukur lilit sepanjang satu meter.

Ahli biologi dari Cardiff, Niall McCann, 29, berkata, kumpulannya berjaya menangkap reptilia gergasi itu ketika ia menyeberangi Sungai Rewa.

“Saya selalu berharap untuk menemui anakonda dan bekerja di Gcondauyana akan memberi peluang kepada kami untuk menemui spesies tersebut.

“Saya hampir digigit reptilia itu ketika menangkapnya dan ia mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga mampu ‘menggetarkan’ pasukan kami,” katanya.

Anakonda merupakan spesies ular terbesar di dunia dan mampu mencapai berat sehingga 250 kilogram.

Reptilia itu akan membelit mangsanya sehingga mati sebelum menelan dan memuntahkan balik mangsanya, manusia dan harimau kumbang antara yang sering menjadi mangsa haiwan ganas itu. – AGENSI

Marsupial comel kegilaan remaja

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


COMEL, lincah dan aktif. Demikian rangkai kata yang terpacul di mulut saat melihat haiwan kecil persis tupai yang menjadi kegilaan pencinta haiwan peliharaan eksotik masa kini.

Haiwan berbulu lembut yang manja berpaut di bahu seorang remaja itu digelar sugar glider. Kalau dibawa ke kawasan umum, ia pasti mencuri tumpuan khalayak, malah tidak hairan jika ada yang datang mengerumuni seolah-olah mahu mendekati ‘selebriti’.

Sugar Glider atau nama saintifiknya Petaurus Breviceps merupakan haiwan marsupial kecil yang boleh ditemui di Australia, Tasmania, Indonesia dan Papua New Guinea.

Ia mendapat namanya kerana sifatnya yang menggemari makanan manis dan mempunyai membran peluncur menyamai tupai terbang.

Kemasukan haiwan nokturnal ini di Malaysia bermula sekitar awal tahun 2000 dan semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan sejak ia dipaparkan dalam rancangan dokumentari popular baru-baru ini.

“Sugar glider ini merupakan haiwan sosial dan memerlukan penjaganya meluangkan masa melayaninya selama tiga hingga empat jam sehari.

“Jika dibiarkannya tanpa belaian, haiwan ini akan sunyi dan akhirnya akan mencederakan dirinya dengan menggigit ekornya, bulu di perut dan kemudian memakan isi perutnya sendiri walaupun telah diberi makanan mencukupi,” kata Mohd. Shaiful Akmal Salman, 32, yang merupakan pembekal aksesori dan pembiak baka sugar glider.

PEMILIK sugar glider perlu bersedia dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan juga dietnya.

Tambah anak kelahiran Muar, Johor itu, jika seseorang pemilik haiwan itu terlalu sibuk, mereka disarankan membela sepasang sugar glider bagi mengelakkan haiwan tersebut kesunyian.

“Jangan anggap memiliki sugar glider ini sebagai satu trend kerana ia memerlukan komitmen daripada penjaganya.

“Mudah dijaga atau tidak, itu terpulang kepada seseorang individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu rajin, tabah, sabar dan pandai mengatur jadualnya, maka penjagaan sugar glider ini mudah sahaja,” ujarnya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan melibatkan marsupial itu.

Buat persediaan

Tambah Shaiful, sebelum seseorang itu mahu menjadikan sugar glider sebagai haiwan peliharaan, perkara wajib yang perlu dilakukan ialah mengumpul maklumat mengenainya terlebih dahulu sebagai persediaan.

Selain mempunyai pengetahuan asas tentangnya, seseorang itu perlu tahu cara memilih sugar glider yang sihat, menyediakan sangkar setinggi tiga kaki, kantung tidur, permainan, botol air dan makanan khas.

“Haiwan yang unik dari aspek penjagaannya ini mempunyai banyak variasi warna. Paling lazim dibela orang adalah daripada jenis Classic Grey kerana ia murah dan mampu milik iaitu antara harga RM250 hingga RM350 seekor,” ujar penuntut jurusan sains perubatan di Management and Science University (MSU) itu.

Antara variasi lain sugar glider ialah White Faced (RM2,500), White Faced Blonde (RM3,000), Ring Tail (RM7,500), Mosaic (RM7,500), White Mosaic (RM10,000), Creameino (RM15,000), Albino (RM15,000) dan Leucistic (RM15,000).

Tempoh bunting sugar glider mengambil masa selama 16 hari dan apabila lahir, anaknya akan tinggal di kantung ibunya (In Pouch) kira-kira dua bulan dan putus susu dua bulan selepas keluar kantung.

Anak sugar glider atau dipanggil `Joey’ boleh dipisahkan daripada ibunya seawal dua bulan selepas keluar dari kantung ibunya (Out Of Pouch) tetapi sebaik-baiknya pada umur tiga bulan selepas keluar dari kantung.

Tempoh kematangan seksual bagi sugar glider adalah berbeza tetapi secara purata, sugar glider betina matang pada umur lapan bulan ke atas dan sugar glider jantan pada umur empat bulan ke atas.

Haiwan yang mempunyai jangka hayat selama 10 hingga 15 tahun itu membiak dua hingga tiga kali setahun mengikut musim. Ia biasanya menghasilkan seekor hingga dua ekor anak paling minimum dan empat ekor paling banyak.

HAIWAN eksotik ini aktif pada waktu malam.

Pemakanan seimbang

“Walaupun haiwan ini menyukai makanan yang manis, ia juga mempunyai diet khas yang tersendiri.

“Pemakanannya harus seimbang dengan mengambil kira nutrisi seperti protein (30-50 peratus), buah-buahan (20-30 peratus), sayur-sayuran (40 peratus) dan karbohidrat (15 peratus),” katanya sambil diet tersebut dibantu pemberian suplemen wombaroo protein tinggi (HPW).

HPW adalah diet yang paling senang untuk disediakan dan ia merupakan diet yang paling hampir menyerupai pemakanan sugar glider di dalam hutan.

Katanya, ramai yang tidak mengambil berat tentang pemakanan sugar glider sehingga menyebabkan haiwan kesayangan mereka itu sakit dan menghidapi masalah kesihatan seperti obesiti, katarak, buta, lumpuh kaki belakang dan jangkitan kuman.

Seorang peminat sugar glider, Shakirin Rahmat, 27, sehingga hari ini sudah berhabis RM3,000 demi haiwan kesayangannya.

Shakirin yang sudah dua tahun bertemankan sugar glider mula berminat terhadap haiwan tersebut apabila melihat foto rakannya dan sejak itu dia mula mencari maklumat mengenai haiwan tersebut selama setahun sebelum haiwan itu disunting menjadi ‘buah hati’nya.

Percubaan pertamanya memelihara sepasang sugar glider berakhir dengan kisah sedih apabila kedua-duanya hilang gara-gara membela tanpa sangkar.

“Sejak itu saya lebih berhati-hati. Nak menjaganya mudah, sediakan sangkar yang sesuai dan luangkan masa bersamanya. Apabila kita sudah rapat, sugar glider ini akan kenal tuannya melalui bau dan tidak mahu dengan orang lain.

Merajuk

“Baru-baru ini, Chillue (nama sugar glider miliknya) berpaut pada badan saya dengan menaiki motosikal dari Damansara untuk pergi ke rumah Shaiful di Shah Alam.

“Setibanya di rumah Shaiful, Chillue merajuk kerana ada sugar glider lain pada masa itu. Ketika mahu pulang ke rumah, Chillue melompat daripada badan saya kerana merajuk,” imbas Shakirin.

Hampir dua jam dia mencari-cari kelibat haiwan kesayangannya itu. Puas dicari di bawah kereta, motosikal dan di kawasan lapang sehingga dia hampir putus asa.

“Langkah terakhir, saya letakkan bonding pouch miliknya di atas jalan raya supaya dia pulang. Selepas hampir satu jam menunggu, saya terlihat ada sesuatu bergerak datang menghampiri kantung tersebut.

“Alangkah terkejutnya saya apabila menemui Chillue dalam keadaan kesejukan dan menggigil. Tanpa berlengah, saya terus berlari mendapatkannya,” ujarnya yang mahu menjadi pembiak baka sugar glider pada masa akan datang.

Shakirin yang pernah membawa Chillue di dalam bonding pouch (kantung khas) ke kampungnya di Ipoh dengan menaiki motosikal memberitahu, haiwan cilik itu mula aktif bermula pukul 11 malam hingga pukul 8 pagi.

“Ia akan membuat bunyi bising seperti salakan anak anjing jika tuannya tidak mengeluarkannya dari sangkar untuk diajak bermain,” ujarnya yang turut memberi haiwannya itu diet buah-buahan seperti betik, tembikai susu dan epal.

Begitupun sugar glider tidak menolak sebarang makanan yang diberikan, terdapat makanan yang tidak boleh diberikan kepada haiwan tersebut seperti coklat kerana ia boleh menjadi toksin kepadanya.

Beruang kutub hilang dataran ais

NASIB keluarga beruang kutub ini masih samar dengan isu pemanasan iklim yang tidak berkesudahan.

AHLI biologi baru-baru ini memberi peringatan terkini mengenai masalah perubahan iklim yang menyebabkan suhu meningkat di bahagian kutub.

Di kutub utara misalnya, peningkatan suhu telah memaksa beruang kutub berenang lebih jauh untuk mencari ais laut yang lebih stabil.

Ternyata, senario terbaharu ini membahayakan kebanyakan anak-anak beruang kutub yang berdepan dengan ancaman maut akibat kepenatan dan juga pemangsaan.

Para penyelidik yang mengikuti kumpulan beruang kutub dewasa mendapati kadar kematian anak-anak haiwan tersebut adalah pada kadar 45 peratus apabila berenang sejauh 48 kilometer (km) berbanding hanya 18 peratus bagi beruang kutub lain yang tidak perlu ‘berpindah’ lokasi dengan kerap.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ais laut menyusut dengan pantas hingga memaksa beruang kutub itu berenang lebih jauh dan lama.

“Penyelidikan ini merupakan analisis pertama dalam mengenal pasti perubahan penting aliran bertahun-tahun mengenai peningkatan pola renang jarak jauh oleh beruang kutub.

“Sebelum ini, kajian hanya merekodkan kejadian tunggal mengenai pola renang beruang kutub,” kata Penyelidik Kajian Geoff York yang merupakan pakar beruang kutub Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

LAPANGAN ais yang ideal semakin berkurangan lantas mengancam survival beruang kutub.

Bagi mengenal pasti jarak renang mamalia tersebut, para penyelidik telah mengumpul data daripada kolar sistem kedudukan global (GPS) yang dipasang pada 68 ekor beruang kutub dewasa di Lautan Artik Selatan Beaufort dan Chukchi antara tahun 2004 hingga 2009.

Kesemua beruang kutub yang direkodkanitu adalah betina. Kolar GPS tidak dipasang pada beruang kutub jantan kerana bentuk kepalanya tidak sebesar otot lehernya hinggakan alat tersebut mudah tergelincir.

Dalam pada itu, penyelidik turut melihat imejan satelit ais laut bagi mengenal pasti insiden beruang-beuang kutub tersebut berenang melebihi 48km pada satu-satu masa.

Sebanyak 20 ekor daripada beruang kutub yang memakai kolar berkenaan telah berenang pada jarak begitu jauh malah saintis mengenal pasti renangan haiwan berkenaan adalah sejauh 50 larian maraton.

Pada masa yang sama, terdapat 11 ekor beruang kutub itu turut berenang bersama anak-anaknya dan lima daripada beruang kutub tersebut kehilangan anak ketika berenang terlalu jauh.

ADAKAH tidak lama lagi, beruang kutub hanya akan menjadi penghuni di banyak zoo di seluruh dunia gara-gara kemusnahan habitatnya?

Renangan paling jauh dicatatkan dalam kajian tersebut adalah sejauh 686km manakala 12.7 hari merupakan catatan hari paling lama direkodkan oleh mereka.

Menurut penyelidik, renangan yang jauh menambah penggunaan tenaga sekali gus melemahkan beruang kutub itu akibat kepenatan merentasi laut bergelora.

Kata penyelidik lagi, kehilangan ais laut secara mendadak telah memaksa beruang-beruang kutub dan anaknya berenang dalam jarak yang jauh untuk mencari daratan. Haiwan itu juga sukar mencari dataran ais yang kuat untuk menampung beban berat badannya.

“Perubahan iklim yang melanda dunia telah membuatkan ais laut tidak dapat menampung beruang-beruang kutub lagi.

“Ia sekali gus telah memaksa beruang-beruang kutub ini mencari makanan dan tempat tinggal di kawasan lain,” kata York.

Menurut Pusat Sains Kutub, Universiti Washington, tahap ais laut Artik telah menurun pada kadar terendah pada Julai 2011 dengan 47 peratus lebih rendah berbanding tahun 1979.

Berat kucing paling berat di dunia berkurangan

KUCING paling berat di dunia, Otto pada Januari lalu.

TRENTON, Amerika Syarikat (AS) – Seekor kucing paling berat di dunia, Otto mengalami penurunan berat badan selepas ia dihantar ke sebuah hospital haiwan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Berat badan asal haiwan itu ialah 16.4 kilogram (kg) tetapi ia berkurangan lebih 2.3kg.

Haiwan itu mempunyai berat badan 13.4kg semasa ia dipamerkan dalam satu program televisyen msnbc.com pada Khamis lalu yang berjudul Today.

Kucing itu dihantar oleh pemiliknya ke sebuah hospital haiwan di New Jersey pada Januari lalu untuk menjalani prgram diet selama enam bulan. – Agensi

Bantu selamatkan yu dari pupus

Ikan yu yang ditangkap di perairan Semporna, Sabah untuk tujuan mendapatkan siripnya.

IKAN yu sebagai pemangsa tangga teratas mengekalkan keseimbangan dalam jaringan makanan di laut dan tanpanya jaringan itu akan terjejas.

Bagaimanapun, ikan yu, dengan siripnya yang mempunyai permintaan tinggi kerana dijadikan hidangan istimewa, semakin berkurangan.

Kekosongan yang berlaku dalam jaringan makanan akibat kepupusannya membantu spesies lain meningkat berkali ganda tanpa kawalan dan mengkucar-kacirkan ekosistem, termasuk menyingkirkan lebih banyak spesies dalam rantaian makanan.

Menangkap ikan yu secara berlebihan dan memotong siripnya yang bernilai tinggi, mengancam populasi yu.

Lagi pun, perbuatan memotong sirip yu adalah sangat kejam kerana selepas sirip yu dipotong, ikan itu dibuang semula ke laut untuk dibiarkan mati.

Malangnya, kebanyakan orang tidak bersimpati dengan nasib ikan yu. Sikap ini tidak mengejutkan kerana yu digambarkan sebagai ikan yang memakan manusia, gara-gara penampilan ikan yu sebagai pembunuh dalam filem-filem.

Sebenarnya yu bukan pembunuh, ia hanya menyerang apabila terancam.

Menangkap yu untuk mendapatkan sirip akan kekal sebagai perniagaan yang menguntungkan selagi sup sirip yu ataupun shark fin soup kekal dalam menu hidangan.

Sirip yu sebagai aktiviti ekonomi

Mendapatkan sirip yu adalah aktiviti sosio-ekonomi bagi masyarakat di Pulau Mabul, di luar pesisir Semporna dekat Tawau.

Semasa musim memburu yu peralatan untuk menangkapnya termasuk umpan khusus digunakan bagi tujuan itu.

Setiap bot boleh meraih antara lapan dan 10 ekor yu menggunakan mata kail.

Yu kecil yang beratnya kira-kira 10 kilogram, sementara yang besar boleh mencapai sehingga 60 kilogram dan panjang 1.5 meter.

Selepas ditangkap sirip yu ini dipotong dan bahagian lain dibuang kerana harga pasaran yang rendah (30 sen sekilogram).

Bagaimanapun, spesies dengan nilai pasaran yang baik akan dibawa pulang untuk dijual.

Sirip daripada setiap yu ini dijual dalam set empat keping – satu sirip dorsal, dua sirip pektoral, satu sirip kaudal, pada harga daripada RM130-RM150.

Yu membesar dan matang dengan perlahan-lahan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Dr. Ridzwan Abdul Rahman.

“Kemusnahan habitat, penangkapan ikan secara keterlaluan dan amalan penangkapan ikan yang tidak mapan termasuk penggunaan bom ikan, racun sianida dan memotong sirip yu kesemuanya menyumbang kepada tekanan terhadap kumpulan ikan ini,” katanya.

Kerajaan Sabah beberapa bulan lalu mengisytiharkan komitmennya untuk melarang pemburuan yu di negeri itu. — BERNAMA

Anak anjing disidai seperti pakaian

SEEKOR anjing disepit pada penyidai pakaian
di sebuah rumah di Calamba, Filipina baru-baru ini.

CALAMBA, Filipina – Seorang pemuda, Jerzon Senador dari sini bakal berdepan dakwaan melakukan kekejaman pada haiwan selepas dia menyidai seekor anak anjing pada penyidai pakaian, lapor sebuah akhbar semalam.

Senador menggunakan beberapa penyepit pakaian untuk menyidai haiwan itu sebelum dia merakamkan beberapa gambar anak anjing tersebut.

Dia kemudian menyiarkan beberapa gambar haiwan itu yang disepit pada penyidai pakaian di laman Facebook baru-baru ini.

Namun, pemuda tersebut meminta maaf selepas pengguna-pengguna Facebook menyuarakan kemarahan mereka.

Senador menyatakan dia melakukan perbuatan itu setelah diselubungi kebosanan.

Lebih 3,000 pengguna laman itu menyertai kempen bagi meminta Senador dihukum ekoran perbuatan tersebut.

Persatuan Kebajikan Haiwan Filipina telah melancarkan siasatan berhubung kejadian itu. – Agensi

Setinggan anjing di Brazil

Anjing-anjing liar yang dipelihara kawasan setinggan anjing di Caxias do Sul, Brazil.

CAXIAS DO SUL – Sebuah kawasan setinggan di sini, selatan Brazil, memiliki sebanyak 1,600 buah rumah anjing dibina untuk komuniti haiwan tersebut, lapor sebuah akhbar semalam

Rumah-rumah anjing tersebut dibina daripada kayu dan zink oleh sebuah pertubuhan amal, So Ama.

Anjing-anjing liar yang ditangkap, diikat pada rumah anjing yang dibina pada jarak yang rapat di kawasan seluas satu hektar.

Sukarelawan So Ama bergilir-gilir menjaga dan memberi haiwan tersebut makan.

“Kami memulakan projek ini kerana mahu melakukan perubahan tetapi ia menjadi semakin besar dan ini sahaja yang mampu kami lakukan,” kata ketua pemasaran organisasi berkenaan, Natasha Oselame.

Menurutnya, pihaknya terpaksa bergantung kepada derma orang ramai kerana geran AS$14,000 (RM42,595) yang diberikan pentadbiran tempatan setiap bulan tidak mencukupi untuk membiayai aktiviti it. – Agensi

p/s  Ingatkan manusia aje yang hidup sebagai setinggan, rupa-rupanya anjing pun ada yang jadi setinggan….