DUN Kajang ‘batu loncatan’ Anwar untuk jadi PM – Dr. M

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dilihat sebagai batu loncatan bagi Ketua Pembangkang itu mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri, kata Tun. Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tujuan utama Anwar bertanding di DUN Kajang bukanlah kerana ingin menjadi Menteri Besar Selangor tetapi untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi.
“Itu satu langkah untuk naik ke atas. Saya fikir itu (Menteri Besar) bukan matlamat beliau tetapi adalah satu tangga untuk mencapai matlamat.
“Dahulu beliau masuk UMNO pun bukan kerana sayang kepada UMNO tetapi kalau tidak masuk UMNO, tidak boleh jadi Perdana Menteri. Jadi, beliau masuk kerana ada alasan. Yang ini pun (bertanding di DUN Kajang) ada alasan untuk mencapai matlamat,” katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Dalam Radar Khas di Radio24 di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi DUN Kajang tanpa sebarang alasan bagi membolehkan Anwar bertanding di situ.
Menurut Dr. Mahathir, pengundi di DUN Kajang tidak harus memilih seseorang yang hanya berjuang bagi mencapai agenda peribadi untuk menyandang jawatan tertentu tetapi perlu memilih calon yang mahu berkhidmat untuk rakyat sebagai wakil rakyat mereka.
“Perlu ambil kira dan nilai betul-betul prestasi dan karakter seseorang serta sumbangannya. Kalau seseorang itu cuma berjuang untuk menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar, kita tidak harus pilih orang itu,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan Anwar bertanding itu ada kaitan dengan rayuan kes liwat yang dihadapinya, Dr. Mahathir berkata, banyak yang boleh dilakukan oleh Anwar untuk melindungi dirinya jika berjaya menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga secara berseloroh mengatakan, apa yang terbaik untuk Anwar ialah sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dan mengangkat Ketua Pembangkang itu sebagai pengganti beliau.
Mengulas isu berlainan, Dr. Mahathir menyatakan, pertelingkahan antara umat Islam dan penganut Kristian di negara ini dalam isu kalimah Allah berlaku kerana rakyat mempunyai persepsi kerajaan yang ada hari ini adalah lemah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140130/po_04/DUN-Kajang-batu-loncatan-Anwar-untuk-jadi-PM—Dr-M#ixzz2rqF3rfY5  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : MACAM-MACAM MUSLIHAT ANWAR NI YA… AGAK-AGAKNYA ADA KATAK YANG NAK MELOMPAT KOT… LOMPAT SI KATAK LOMPAT, LOMPAT NAK TENGOK CERMIN,  ANWAR DAH MULAKAN MUSLIHAT, TAK LAMA LAGI NAK JADI PM…MEROYANLAH KAU  ANWAR…

Advertisements

Amaran pencetus ketegangan kaum


Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 29 Jan. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran akan mengenakan tindakan serta-merta terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum sebagai tindak balas berhubung isu kalimah Allah.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi isu itu dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini yang boleh mengancam ketenteraman dan kestabilan awam, tindakan tegas akan diambil.
Menurutnya, setakat ini polis membuka lima kertas siasatan berhubung isu kalimah Allah termasuk yang melibatkan isu Pengarang The Herald, Lawrence Andrew serta bom petrol dicampak ke sebuah gereja di Pulau Pinang.
“Polis memandang serius isu itu dan apa yang berlaku dalam tempoh 48 jam ini tidak sepatutnya terjadi. Kita berharap perkara-perkara yang boleh menggugat keselamatan seperti itu tidak akan berulang lagi.
“Saya beri amaran tegas kepada mereka yang berkaitan supaya tidak membangkitkan isu-isu sebegini kerana kita tidak mahu sebarang provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam,” katanya dalam majlis penyerahan tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di sini hari ini.
Menurut beliau, pihak polis juga sedang aktif meneliti kes itu bersama Jabatan Peguam Negara untuk melihat tindakan yang akan diambil.
Khalid meminta semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mempersendakan penghakiman negara memandangkan penggunaan perkataan Allah dalam teks bahasa Melayu The Herald sedang dihakimi Mahkamah Rayuan Malaysia.
Tambahnya, polis juga telah menerima sejumlah 462 laporan polis di seluruh negara berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Sementara itu, Khalid berkata, PDRM tidak akan menubuhkan satu unit khas yang digelar ‘Polis Syariah’ dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan berkaitan isu syariah dan agama.
Katanya, cadangan membentuk satu unit yang bertindak sebagai penguasa agama sebenarnya telah disalah tafsir oleh beberapa pihak kerana PDRM hanya bertindak sebagai sokongan kepada jabatan agama.
“PDRM hanya akan membantu jabatan agama dalam beberapa aspek terutama sekali dari segi penguatkuasaan dan siasatan.
“Apa yang dimaksudkan ialah kita menawarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meminjam pegawai polis bagi membantu mereka meningkatkan tahap penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang syariah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140130/dn_03/Amaran-pencetus-ketegangan-kaum#ixzz2rqBw4yJl  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Muslihat Anwar elak dihukum?

Muhammad Rahimi
KUALA LUMPUR 29 Jan. – Keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkan Ketua Pembangkang tersebut daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.
Ini memandangkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.
Kejadian hampir sama seperti berulang apabila pada 26 Ogos 2008, Anwar bertanding sebagai calon PKR di Permatang Pauh selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan tersebut pada 7 Ogos tahun sama.
Pada 15 April 1999, Anwar Ibrahim dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Kemungkinan strategi itu sekali lagi digunakan oleh Anwar didedahkan oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman yang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR.
Menurut beliau, perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuma perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.
“Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.
“Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau,” dakwanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan kelmarin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.
Semalam, Abdul Khalid mengumumkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang dikosongkan oleh Chin Cheh.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berpandangan, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.
Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) malah menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 
‘mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum’.
“Saya tidak hairan dengan ‘drama’ Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008,” dakwanya.
Yang berbeza cuma wakil rakyat yang menjadi ‘korban’ iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri untuk memberi laluan kepada suaminya di Permatang Pauh manakala Chin Cheh meletakkan jawatan agar Anwar boleh bertanding sebagai calon PKR di Kajang.
“Memang benar pilihan raya kecil DUN Kajang bukan berkisar tentang soal Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor, sebaliknya tentang kes liwat beliau,” dakwanya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari percaya Anwar tahu laluannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor adalah proses yang rumit.
“Terdapat banyak faktor yang boleh menghalang Anwar daripada dilantik ke jawatan itu terutama kemungkinan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar berkemungkinan akan memainkan persepsi jika gagal menjadi Menteri Besar Selangor bahawa semua itu adalah berpunca daripada rayuan kes liwat yang kononnya didalangi oleh UMNO dan BN.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140130/po_01/Muslihat-Anwar-elak-dihukum#ixzz2rq92TbBQ  © Utusan Melayu (M) Bhd



KOMEN : KES DIA MELIWAT PUN DIKIRA MUSLIHAT POLITIK JUGA… SEMUANYA SALAH UMNO…


Badrul Hisham, dua lagi didakwa anjur himpunan

Badrul Hisham
KUALA LUMPUR 29 Jan. – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bersama dua lagi aktivis propembangkang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam ambang tahun baharu 2014.
Selain Badrul Hisham, 36, dua aktivis lain adalah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian, 24; dan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Nor Reduan, 33.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mereka didakwa sebagai penganjur perhimpunan membantah kenaikan harga barang dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengenai program itu dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan tersebut diadakan.
Badrul Hisham yang juga Pengerusi SAMM, Mohamed Bukhairy dan Edy didakwa melakukan perbuatan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini antara pukul 9 malam, 31 Disember 2013 dan 1 pagi keesokan harinya.
Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000.
Badrul Hisham, Mohamed Bukhairy dan Edy didakwa sebagai orang kena saman (OKS) dan ketika pertuduhan dibacakan, ketiga-tiga mereka berdiri di luar kandang tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar Badrul Hisham, Mohamed Bukhairy dan Edy masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Eric Paulsen yang mewakili ketiga-tiga mereka pula memohon anak guamnya dijamin dengan bon peribadi kerana kes itu hanyalah kes saman selain jumlah yang dimohon pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi.
Hakim Azman Mustapha membenarkan ketiga-tiganya masing-masing dibebaskan dengan bon peribadi RM5,000 tanpa cagaran dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140130/ma_05/Badrul-Hisham-dua-lagi-didakwa-anjur-himpunan#ixzz2rq62t8Q2  © Utusan Melayu (M) Bhd



 

Bebas bersuara bukan hak mutlak


Oleh SUWARNI MOKHTAR 
pengarang@utusan.com.my




Tian Chua
KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kebebasan bersuara atau bercakap bukanlah hak mutlak seseorang individu. Sebaliknya perkara tersebut tertakluk kepada sekatan-sekatan yang diperincikan dalam Akta Hasutan 1948.
Justeru, tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang mengeluarkan pernyataan yang melanggar undang-undang atas dasar statusnya sebagai ahli Dewan Rakyat yang kemudiannya memohon imuniti berlandaskan polisi awam adalah satu perkara yang tidak sewajarnya.
Selain itu, dakwaan bahawa ayat-ayat yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan tidak mempunyai unsur hasutan adalah tidak berasas kerana mahkamah perlu melihat kenyataan yang dibuat secara keseluruhan dan cara kenyataan itu disampaikan.
Oleh itu, keterangan saksi-saksi adalah diperlukan bagi membuktikannya dan bukannya dengan cara mengemukakan afidavit.
Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi menyatakan demikian dalam hujahannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi membantah permohonan Tian Chua dan dua aktivis pembangkang untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dihadapi oleh mereka.
Selain Tian Chua atau nama penuhnya, Chua Tian Chang, 51, dua lagi tertuduh terbabit ialah Adam Adli Abd. Halim, 25, dan Hishamuddin Md. Rais, 63.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya diubah kerajaan yang tertubuh menurut undang-undang, dengan sebarang cara yang tidak sah.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, No. 1, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap mereka di Mahkamah Sesyen di sini dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Yang turut didakwa bersama-sama mereka ialah tiga lagi individu iaitu ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 64; peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55; dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 25.
Kesemua mereka bagaimanapun akan dibicarakan berasingan supaya tidak menimbulkan prejudis kepada setiap tertuduh memandangkan masa kejadian dan teks ucapan mereka adalah berbeza-beza.
Selain Azlina, pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam, N. Surendran dan Latheefa Koya.
Terdahulu, Surendran ketika berhujah menyatakan, tuduhan yang dihadapi oleh anak-anak guamnya adalah salah, menyalahgunakan proses mahkamah dan menindas hak mereka.
Beliau mendakwa, ucapan yang dibuat oleh anak guamnya pada hari kejadian tidak mengajak orang awam untuk melakukan kesalahan atau jenayah sebaliknya mengajak masyarakat untuk menentang rasuah dan kezaliman.
Hakim Datuk Azman Husin selepas mendengar hujah kedua-dua pihak kemudian menetapkan 18 Februari ini untuk keputusan permohonan tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140130/ma_01/Bebas-bersuara-bukan-hak-mutlak#ixzz2rq3DQKCB  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Harimau Selatan sia-sia peluang

Oleh NURUL HUDA HASSAN dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my



Penyerang JDT, Luciano Figueroa dikawal oleh tiga pemain Lions XII dalam perlawanan Liga Super di Johor Bahru semalam, yang berkesudahan seri 2-2. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam.
Bertambah mengecewakan, skuad Harimau Selatan itu juga gagal mempertahankan kelebihan dua gol yang diperolehi pada separuh masa pertama apabila barisan pemain muda Lions XII melakukan kebangkitan bergaya dengan dua jaringan penyamaan pada babak kedua.
Perlawanan separuh masa pertama di antara skuad kendalian Cesar Ferrando Jiminez dan Fandi Ahmad itu bermula perlahan dengan tidak banyak percubaan menarik dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Namun, giliran JDT terlebih dahulu memecahkan kebuntuan apabila berjaya mendapatkan gol pertama menerusi pemain importnya, Luciano Figueroa hasil lorongan cantik Pablo Aimar pada minit ke 27.
Tersentak dengan gol pendahuluan tuan rumah, kelab dari Singapura itu mula memperkemaskan rentak mereka namun percubaan Khairul Amri Mohd. Kamal pada minit 32 hanya sekadar melepasi palang.
Skuad Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama untuk menggandakan jaringan menerusi bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke 41 yang gagal dijangkau oleh penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.
Separuh masa kedua menyaksikan anak-anak buah Fandi melakukan kebangkitan dramatik dan usaha keras mereka itu membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan jurang melalui Khairul Amri pada minit ke-67 yang menanduk kencang ke dalam gawang JDT.
Gol penyamaan Lions XII hadir seminit kemudian hasil jaringan Muhd. Hafiz Abu Sujad yang mengambil kesempatan daripada kelalaian pertahanan JDT sebelum merembat masuk tanpa dikawal oleh mana-mana pemain
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali menemui rentak kemenangan selepas mengatasi Perak 1-0 hasil jaringan Juan Manuel Arostegui pada minit ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam perlawanan yang dicemari insiden dua kad merah.
Mohd. Affize Faisal dari ATM dan pemain import Perak, Kyaw Zayar Win, dilayangkan kad merah pada minit ke-88 apabila kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mengalahkan pasukan adik, T-Team dengan keputusan 2-0 bagi melonjakkan diri ke tangga teratas liga, berkongsi kedudukan dengan pasukan Selangor.
Marcio Souza Da Silva meledak jaringan sulung Terengganu pada minit ke-45 sebelum Ashaari Shamsuddin memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga dengan gol pada minit ke-59.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140129/su_02/Harimau-Selatan-sia-sia-peluang#ixzz2rldtyYwz  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Rasionalisme politik Melayu yang kian hilang

LU FIKIRLAH SENDIRI…



DAPATKAH kita buat kesimpulan bahawa rasionalisme dan intelektualisme politik Melayu kian hilang sesudah Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008? Fenomena ini terbawa-bawa sehingga PRU-13.
Aspek kewarasan dan kecendekiawanan politik Melayu terasa sangat merosot. Kepemimpinan dan para pengikut parti politik tertentu dukungan Melayu mengambil sikap anti sesama Melayu. Mereka mengambil pendekatan benci, dendam, fitnah dan ada unsur-unsur khianat. Mereka seperti lebih selesa bersekongkol dengan golongan yang anti-Melayu dan anti-Islam. Teknologi informasi dan komunikasi (ICT) menjadi saluran pemikiran negatif.
Rakyat naif mudah terikut sama dengan rentak gendang dan tari puak-puak tersebut, membalas dengan menolak kecemerlangan khidmat dan jasa kerajaan membangunkan negara sejak kemerdekaan 1957. Undi protes atau undi geram menjadi gambaran hati yang memilih pembangkang.
Sungguhpun pada PRU-13, Barisan Nasional (BN) masih boleh membentuk kerajaan, tetapi BN kehilangan kerusi dan tokoh-tokoh pemimpin yang berwibawa. Jika rasionalisme dan intelektualisme Melayu tidak hilang, masakan pengundi Melayu dan umat Islam merelakan diri memilih kepimpinan yang memusuhi kepimpinan Melayu, mengharubirukan status Islam dan mengamalkan akhlak buruk.
Rakyat khususnya umat Islam perlu membelek satu persatu peristiwa demi peristiwa mutakhir ini. Antaranya perbalahan tentang penggunaan kalimah Allah. Kalimah suci hak eksklusif agama Islam sewenang-wenangnya dipermainkan. Sebagai marhaen di bidang agama, saya fikir penganut agama lain, bukannya tidak tahu. Parti politik pembangkang kononnya bersandarkan kepada Islam banyak berdiam diri. Puak penyokong penggunaan kalimah Allah itu pula seperti sengaja mengusik kesabaran umat Islam di Malaysia.
Saya berpegang bahawa ‘Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam’ (Innaddinna ‘indallahil Islam). Maknanya bagi sesiapa yang mahu bertuhankan Allah SWT, maka dia mestilah seorang Islam atau masuk Islam. Itu mudah sahaja. Allah itu Yang Maha Esa, tiada beranak dan diperanakkan (Al-Quran: Al Ikhlas 112). 
Justeru dari segi kepercayaan Yahudi dan Nasrani amat berbeza. Islam adalah agama Tauhid tidak berakidahkan konsep triniti, kecuali mereka itu ada agenda tersembunyi, memurtadkan .
Kita hendaklah memahami bahawa “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” (Al-Quran Alkafirun: 109:6). Agaknya Malaysia memerlukan seorang Ahmed Deedat untuk dialog Islam-Kristian atau ilmuwan hebat untuk dialog Islam-Barat.
Kini di sana-sini kerasulan Nabi Muhammad SAW dipersendakan, Perlembagaan Negara diperlekeh dan institusi kenegaraan seperti kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi bahan sindirian.
Bagi saya, kerajaan perlu tegas dan bertindak sebelum terlambat. Gunakan undang-undang yang sudah ada seperti Akta Hasutan. Malahan mungkin perlu dikaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lakukan pembaikan di mana perlu.
Kita tidak boleh menggadaikan negara disebabkan segelintir pengkhianat dan penderhaka. Politik Melayu tanpa mengira parti mesti bersatu, bersama mempertahankan kesucian Islam sebagai agama negara dan meneguhkan instiusi-institusi kenegaraan.
Rasionalisme dan intelektualisme Melayu kian merosot. Kesatuan fikrah dan akal budi mereka dipengaruhi sehingga gagal membezakan yang hak dan keadilan antara tuntutan negara dengan kepentingan kaum dan perkauman. Jika ini berterusan untuk satu dua dekad lagi, maka dibimbangi Malaysia akan hanya ada pada bentuknya tetapi kehilangan isi.
Melayu dan bumiputera yang menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara perlu kekal berkuasa dengan konsep perkongsian kuasa yang akur kepada kontrak sosial.
Kenapakah parti-parti politik pembangkang pimpinan Melayu lebih megah mengukuhkan tali ikatan setiakawan dengan parti cauvinistik dan perkauman?
Perpecahan dan kelemahan Melayu mengakibatkan mereka tidak lagi disegani, digeruni dan dihormati sebagaimana 30 tahun pertama sesudah kemerdekaan. Rancangan persekongkolan politik baharu pembangkang tiada lain melainkan memenuhi hasrat mahu merampas kuasa politik yang diterajui orang Melayu dan bumiputera, khususnya UMNO. Fenomena ini sudah diulas puluhan kali oleh pakar dan pemerhati politik, agak basi atau klise bunyinya. Soalnya kenapakah sesetengah pimpinan Melayu masih memejamkan mata dan memekakkan telinga? Melayu lebih gemar berpolitik secara taksub, tidak terasa diperkudakan. Kewarasan berfikir atau kekuatan minda politik dibiarkan hanyut dalam arus hasutan dendam kesumat pembangkang atau puak-puak yang antikerajaan.
Di manakah pula jiwa dan semangat generasi muda? Orang muda perlu berfikir. Siapakah atau golongan manakah yang ribuan jumlahnya sanggup keluar di jalan raya? Atas nama apa pun, itukah cara terbaik atau itukah cara rakyat Malaysia bertindak meniru seperti yang terjadi di beberapa negara lain ? Orang Melayukah atau orang lain yang sanggup merosakkan harta benda awam dan bertindak di luar batas undang-undang? Apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan ‘ditongsampahkan’. Musuh-musuh luar dan dari dalam sedang memerhatikan di lorong mana mereka boleh masuk, cucuk jarum ketidaktenteraman agar memudahkan mereka campur tangan.
Ya, generasi muda cubalah renungi dan berfikir sebentar secara rasional selaras dengan kedudukan kalian sebagai orang terpelajar. Cuba bayangkan kalau kuasa politik bertukar tangan atau ada campur tangan kuasa luar atas apa sahaja sebab yang mereka ciptakan, apa akan jadi pada rakyat dan negara tercinta ini?



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140129/re_02/Rasionalisme-politik-Melayu-yang-kian-hilang#ixzz2rlZnIc1q  © Utusan Melayu (M) Bhd