KEDAH – Enakmen jenayah syariah diwarta

Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my


KHAIRIL Akmal Hanafi (kiri) menerangkan hotel berkonsep taman kepada Mohd. Rawi Abdul Hamid (kanan) dan Dennis Cheng sempena praperasmian Tune Hotel Alor Setar di Jalan Putra Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 2 Jun – Para pengikut ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam termasuk Syiah di negeri ini perlu bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 yang kini telah dikuatkuasakan.
Exco Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, rang undang-undang itu telah diwarta dan dikuatkuasakan sepenuhnya di negeri ini bagi menjaga kesucian agama Islam.
“Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014, ada Seksyen 9 dan 11 iaitu sekiranya mana-mana orang berdakwah dan menyebarkan ajaran yang menyalahi fatwa bukan sahaja Syiah bahkan mana-mana ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jammah boleh dikenakan tindakan.
“Bila-bila masa sahaja apabila dapat aduan bukan sahaja di Pendang tetapi di mana-mana kawasan di Kedah kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan agama Islam,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kumpulan HBR dengan Bank Rakyat untuk Tune Hotel Alor Setar dan Praperasmian Tune Hotel Alor Setar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan HBR Khairil Akmal Hanafi dan Pengurus Tune Hotel Wilayah Utara, Dennis Cheng.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai satu perhimpunan pengikut Syiah yang dikatakan berlaku di sebuah rumah di Kampung Alor Berala, Pendang pada Sabtu dan Ahad lalu, Mohd. Rawi berkata, perhimpunan itu tidak seperti yang digembar-gemburkan.
“Melalui risikan yang kita jalankan, rombongan pengikut Syiah dari negeri-negeri lain membatalkan hasrat mereka untuk menyambut perayaan yang ada di dalam kalendar Syiah itu apabila ada laporan polis dibuat mengenainya.
“Yang ada di situ pada hari tersebut cuma orang tempatan yang berjumpa secara biasa dan tiada pembesar suara ataupun majlis keramaian di buat pada hari tersebut,” ujarnya.
Khamis lalu, Pemuda UMNO Pendang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bagi menghalang satu perhimpunan didakwa melibatkan pengikut Syiah yang akan diadakan di Kampung Alor Berala.
Ketuanya, Mohamad Fadzil Zulkipli berkata, perhimpunan tertutup itu akan diadakan di sebuah rumah, yang dipercayai menjadi pusat penyebaran fahaman Syiah sejak lima tahun lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140603/ma_02/Enakmen-jenayah-syariah-diwarta#ixzz33Y3S4PMp  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Merenung hikmah Israk Mikraj

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON


Orang ramai dari pelbagai pertubuhan NGO Islam yang hadir mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya bagi mendengar permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu, pada 5 Mac lalu. – UTUSAN/RASHID MAHFOF

BULAN Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bulan-bulan hijrah lain. Ini kerana berlakunya peristiwa agung yang mencabar minda dan akal fikiran manusia untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Sirah perjalanan agung Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula daripada rumahnya di Mekah kemudian singgah di Madinah dan Baitulmaqdis di Palestin sebelum dibawa menaiki Burak membelah tujuh petala langit dan menghadap Allah pada satu malam adalah suatu mukjizat yang kekal dikenang hingga ke hari ini.
Malah ia merupakan kejadian yang bertentangan dengan hukum akal manusia hinggakan terdapat dalam kalangan orang Islam yang lemah iman tidak mempercayainya lalu kembali kepada agama asal mereka.
Allah berfirman yang maksudnya; Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra’:1)
Peristiwa agung ini jelas menunjukkan betapa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Malah manusia yang sifatnya lemah, pelupa dan sering kali berbuat kesalahan dan kesilapan harus sentiasa merendah diri dan bertaubat kepada Allah.
Usah mendabik dada dengan kebolehan manusia yang terhad dan kecanggihan teknologi yang memukau pandangan, kerana semua itu hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang maha luas lagi tidak bertepi.
Usah terlalu berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi kerana ia adalah sekelumit daripada anugerah Allah yang perlu disyukuri.
Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasul-Nya apabila menemui jalan buntu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Keengganan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan individu Muslim tersilap langkah dan menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar.
Mukjizat agung Israk Mikraj juga menunjukkan betapa Allah maha berkuasa secara mutlak untuk memberi balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini dapat diperhatikan kepada gambaran balasan baik dan buruk yang dipertontonkan kepada kekasih-Nya pada malam kemuliaan tersebut.
Antaranya Baginda Nabi SAW diperlihatkan dengan keadaan segolongan manusia yang menanam tanaman kemudian tumbuh subur dan dituai hasilnya pada hari yang sama.
Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril yang sentiasa mengiringi Nabi SAW dalam perjalanan tersebut, dijawab ia adalah balasan yang disediakan buat para pejuang fisabilillah yang ikhlas berjuang bermati-matian lalu dilipatgandakan pahala amal mereka oleh Allah.
Mengambil sempena peristiwa yang menakjubkan ini, umat Islam diseru untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan akidah daripada terlibat berbuat perkara yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada landasan agama yang sebenar.
Ini termasuklah golongan yang mempersendakan hukum hakam Allah SWT lagi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Terdapat pula yang masih mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul serta mempercayai kuasa tertentu yang boleh memberi kebaikan dan keburukan selain daripada Allah yang maha berkuasa.
Di sudut lain, umat Islam diseru mempertahankan kesucian agama Allah daripada diceroboh oleh pihak-pihak yang berniat serong dan mempertahankan institusi kenabian daripada diperbodoh-bodohkan dengan lawak dan karikatur yang menjengkelkan.
Malah sebilangan umat Islam di luar negara terus ditindas dan dan dinafikan hak untuk bernegara apatah lagi melaksanakan ajaran agama di tanah air mereka sendiri.
Selain itu, penipuan atas nama agama juga semakin berleluasa. Malah yang lebih memalukan apabila ada pihak yang menjaja agama ke sana dan ke mari tak ubah seperti ubat pelaris kepada perniagaan mereka.
Ingatlah, pelbagai bentuk hukuman berat bakal menanti umat Islam yang malas menunaikan solat, enggan membayar zakat, seronok memakan riba dan meng­khianati amanah.
Yang mana jika diperhalusi balasan yang ditunjukkan oleh Allah ini bersifat menyeluruh lagi merangkumi pelanggaran terhadap tanggungjawab manusia kepada Tuhan-Nya, kepada masyarakat dan segala hubungan personal yang bersifat peribadi.
Apa yang lebih penting untuk difahami betapa setiap gerak-geri dan perlakuan manusia tidak pernah sepi daripada pemantauan Allah dan Allah secara mutlak maha berkuasa untuk memberikan balasan yang setimpal terhadap pelakunya.
Apa pun peristiwa Israk Mikraj yang meriah diraikan dengan pelbagai program dan aktiviti seharusnya menjadi wadah terbaik buat para Muslimin untuk kembali berpegang dengan ajaran Allah SWT dan sunah Rasul-Nya.
Dengan sifat akal manusia yang terhad dan hanya bergantung kepada kekuatan pancaindera yang juga terhad mana mungkin manusia mampu untuk memikirkan sesuatu yang di luar daripada batasan yang ditetapkan.
Lebih daripada itu, segala kejadian dan peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat di depan mata.
Hanya sahaja manusia sebagai hamba Allah harus sentiasa muhasabah diri seraya mempertingkatkan amal bakti demi mendambakan cinta Ilahi.
Malahan masa yang pergi dan berlalu begitu pantas tidak pernah menunggu sesiapa yang terlewat apatah lagi membuang masa kepada perkara perkara yang tidak berfaedah.
Ambillah iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku semoga menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dari pada semalam.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140527/re_02/Merenung-hikmah-Israk-Mikraj#ixzz32yYLOz5g  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Lima peristiwa penting di bulan Rejab

Oleh HASHNAN ABDULLAH

BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)….
Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka diugut.
Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu.
“Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak,” katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.
Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.
1. Hijrah pertama dalam Islam
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.
Menurut Lukmanul Hakim, walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.
Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.
“Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.
“Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah,” katanya.
2. Israk dan Mikraj
Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab.
Bagi Lukmanul Hakim, walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.
“Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.
“Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga,” katanya.
3. Peperangan Tabuk
Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.
Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.
“Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan.
“Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.
“Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW,” katanya.
4. Pembebasan dan kejatuhan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan Islam.
Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.
Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.
Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.
5. Lahirnya Imam Syafie
Menurut Lukmanul Hakim, kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.
Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.
Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: “Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia.”
“Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_02/Lima-peristiwa-penting–di-bulan-Rejab#ixzz32yRvIXsE  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Umpama memfitnah Rasulullah

Oleh HASHNAN ABDULLAH


Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim

HADIS palsu atau dipanggil sebagai maudhu’ sebenarnya telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam. Penggunaan hadis itu telah bermula secara aktif selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Ini boleh dilihat jelas bukan hanya pada amalan ibadat seharian umat Islam, tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat apabila bercakap tentang hukum agama.
Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW tersebut sering kali dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Majusi dan Nasrani yang begitu mahu menjatuhkan Islam.
Golongan ini memang sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam dan sentiasa menunggu peluang bagi merosak dan menimbulkan keraguan di dalam hati, sama ada sesama Islam atau bukan Islam terhadap agama Islam.
Pada masa sama ada juga dalam kalangan orang Islam yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi serta jahil tentang kehendak dan keperluan agama Islam itu sendiri turut menggunakan hadis palsu ini.
“Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada pengembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para pendakwah tidak kira yang berstatus ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama mereka kepada orang ramai,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.
Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ramai yang menyatakan bahawa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih yang diriwayatkan oleh para perawi yang diakui keilmuan dan ketelitiannya.
Beliau menegaskan, penyebaran hadis palsu itu adalah haram kerana boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW.
Jelas Mohd. Izhar, hadis palsu tersebut juga bukan hanya boleh menimbulkan kekeliruan tetapi juga perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
Penghuni neraka
“Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Sesiapa yang menipu ke atasku dengan sengaja, maka dia akan duduk dalam api neraka (riwayat Bukhari)
“Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang merupakan kenyataan atau perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah sama sekali melakukannya,” katanya.
Begitu pun, Mohd. Izhar berkata, ada ulama yang berpandangan bahawa hadis palsu itu boleh disampaikan kepada masyarakat umum.
“Tetapi jangan disandarkan kepada Nabi tetapi menyatakan bahawa ia adalah kisah yang disampaikan oleh ulama sebelum ini,” katanya.
Antara yang popular dikaitkan dengan hadis palsu adalah peristiwa Israk Mikraj. Kisah perjalanan Rasulullah SAW itu telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan para ulama.
Perdebatan tersebut lebih berkisar tentang cerita-cerita apa yang ditemui oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan baginda sehingga ke Sidratul Muntaha.
Ada para ulama yang menegaskan bahawa kerana isinya diselitkan cerita-cerita Israiliyat daripada kaum Bani Israel yang sengaja ingin mengagungkan bangsa mereka dan Nabi Musa a.s serta mengecilkan peranan Rasulullah SAW berserta pengikutnya.
“Banyak cerita yang disampaikan yang mana Nabi SAW berjumpa dengan itu, dengan ini adalah antara hadis yang tidak ada asas dan sering kali dipertikaikan oleh ramai ulama.
“Namun ia sering digunakan untuk menyedapkan ceramah atau tulisan bagi menarik minat orang ramai,” kata Mohd. Izhar.
Sehubungan itu, Mohd. Izhar menyeru bukan hanya kepada para penceramah agama, tetapi umat Islam agar meneliti terlebih dahulu mana-mana hadis yang mungkin agak mencurigakan.
Malahan tambahnya, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha bagi membanteras dan mengadakan kempen kesedaran tentang kesan daripada penyebaran hadis palsu.
“Saya tidak nafikan bahawa masyarakat umum minat dengan hadis palsu kerana dikuasai sifat malas untuk mengimarahkan masjid. Ini kerana masjid adalah tempat yang boleh memberi penjelasan kepada jemaah masjid berkaitan perbezaan antara hadis palsu dengan hadis sahih,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_01/Umpama-memfitnah-Rasulullah#ixzz32yQzObwx  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Khalid Samad cemburu sambutan hebat majlis selawat?

KUALA LUMPUR 23 Mac – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mungkin kurang senang dengan kehadiran ratusan ribu umat Islam dalam majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Putrajaya kelmarin sehingga terpaksa memperlekehkan penganjuran majlis itu.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim berkata, beliau difahamkan, ramai ahli dan penyokong Pas turut serta dalam majlis selawat itu tetapi hanya sebilangan kecil datang ke perhimpunan Reformasi 2.0 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Kajang yang berlangsung pada waktu yang sama.
Katanya, kumpulan penyokong Pas itu memilih majlis selawat kerana berasakan program berkenaan amat baik berbanding program tidak bermanfaat untuk kepentingan seorang individu yang diadakan di Kajang.
“Saya ingin bertanya kepada Khalid, adakah beliau cemburu kerana ramai penyokong Pas hadir di majlis selawat yang diadakan di Putrajaya tetapi tidak ramai hadir dalam program di Kajang pada tarikh sama?
“Saya ada berbual dengan beberapa pemimpin PKR dan Pas di sebuah kedai sate terkemuka di Kajang pada masa itu. Mereka berikan alasan penyokong tidak ramai datang kerana ada urusan kerja sedangkan cuaca amat baik pada hari itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semasa berceramah dalam perhimpunan Reformasi 2.0 di Kajang kelmarin, Khalid berkata: “Mahu berselawat kepada nabi memang digalakkan dan baik tetapi tidak memadai dengan hanya sekadar menyatakan kasih kepada rasul tetapi pada masa sama mempertahankan pemerintahan yang zalim, rasuah dan korup.”
Sementara itu, Zamil turut membidas Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor itu kerana mempertikaikan penganjuran majlis bercorak keagamaan tersebut yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Kita hendak tanya Khalid adakah beliau dan sebahagian pemimpin pembangkang sahaja orang Islam tulen. Kenapa apabila Perdana Menteri dan isteri buat kebaikan, semuanya tidak betul.
“Kenapa hendak pertikai orang buat kebaikan. Saya anggap ini satu perbuatan biadab dan sangat tidak beretika apabila mempersoalkan orang buat kebaikan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas), Hafizam Harun menyelar Khalid dan mempersoalkan apakah hak Ahli Parlimen Shah Alam itu untuk mempertikaikan penganjuran majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul.
Katanya, Khalid mungkin iri hati apabila melihat UMNO menganjurkan program keagamaan kerana bimbang akan menarik sokongan penyokong Pas kepada parti terbesar orang Melayu dan Islam itu.
“Kita tengok pada malam majlis selawat perdana itu, pembangkang buat perhimpunan untuk memburuk-burukkan kerajaan di Kajang dan sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil kawasan itu.
“Apa salahnya, jika mereka bawa umat Islam yang datang dalam perhimpunan di Kajang untuk bersama-sama meramaikan majlis selawat perdana di Putrajaya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140324/po_04/Khalid-Samad-cemburu-sambutan-hebat-majlis-selawat#ixzz2wrMufG3C  © Utusan Melayu (M) Bhd 


‘Hati mereka berpenyakit’ – Jamil Khir

Ribuan umat Islam yang menghadiri program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra, Putrajaya, Jumaat lepas.

MUAR 23 Mac – Mereka yang memperlekeh program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul mempunyai hati yang berpenyakit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, apabila pembangkang memperlekeh program yang berjaya menghimpunkan 500,000 umat Islam di Putrajaya pada Jumaat lepas, bermakna mereka kecewa dengan sambutan ratusan ribu yang menyertainya.
Pada malam itu kebanyakan yang hadir berpakaian serba putih, membanjiri Dataran Masjid Putra Presint 1 dan sepanjang jalan Kompleks Pusat Pentadbiran Putrajaya sehinggakan diumpamakan sebagai himpunan di Padang Arafah pada musim Haji dengan penuh ketertiban.
“Sebagai umat Islam, sepatutnya mereka bersyukur kerana program itu berjaya menghimpun sebegitu ramai umat tanpa mengira fahaman politik, bersama-sama menunjukkan rasa cinta kepada Rasul dan taqwa kepada Allah,” katanya ketika memberi ceramah sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Iman, Parit Bakar Laut, di sini malam tadi.
Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, pihak pembangkang mahu melihat program yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet beragama Islam itu, hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja.
“Pihak pembangkang melihat dari sudut yang buruk sahaja sedangkan program itu adalah untuk membina persepsi baik terhadap Islam yang kini dicemari dengan pelbagai imej negatif,” katanya.
Dalam ceramahnya, Jamil Khir turut mendedahkan bagaimana seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoal kononnya pemimpin kerajaan tidak mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua minggu, sejak 8 Mac lepas.
“Oleh kerana didesak melalui khidmat pesanan ringkas tiga kali sehari daripada pemimpin NGO berkenaan, saya terpaksa menghubunginya dan menyatakan bahawa perdana menteri dan semua menteri-menteri kabinet serta timbalan menteri adalah kumpulan pertama mengadakan solat hajat selepas zuhur sebaik sahaja menerima berita kehilangan pesawat, 8 Mac lalu,” katanya.
Jamil Khir berkata, beliau tidak gemar menggembar-gemburkan kerja ibadah kepada umum tetapi apabila ditekan bertalu-talu, beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa menghebahkannya
“(Malah) kita bukan fikirkan orang Islam semata-mata tetapi semua penumpang dari pelbagai negara dalam pesawat itu,” katanya.
Beliau turut meminta semua umat Islam terus berdoa dengan mengerjakan solat hajat untuk keselamatan penumpang dan krew MH370. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140324/po_03/Hati-mereka-berpenyakit—Jamil-Khir#ixzz2wrDBVraO  © Utusan Melayu (M) Bhd

Malam Cinta Allah dan Rasul berjaya

NAJIB Tun Razak bersama ratusan ribu pengunjung mengalunkan selawat sempena majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di dataran Masjid Putra, Putrajaya malam tadi. Turut sama, Jamil Khir Baharom (empat dari kanan), Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat (dua dari kanan) dan Ahmad Maslan (kanan).
PUTRAJAYA 21 Mac – Dataran Masjid Putra di sini malam ini bergema dengan alunan merdu bacaan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW oleh ratusan ribu yang menghadiri majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul yang merupakan perhimpunan selawat terbesar pernah dianjurkan di pusat pentadbiran negara.
Majlis bertemakan ‘Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan’ itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

RATUSAN ribu umat Islam membanjiri Majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul yang dipimpin oleh Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di dataran Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.
Orang ramai yang majoritinya berpakaian jubah warna putih mula membanjiri dataran Masjid Putra seawal pukul 6 petang walaupun hujan renyai bagi mengikuti pelbagai pengisian program berbentuk keagamaan disediakan penganjur.
Para peserta antaranya terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, pelajar sekolah, mahasiswa universiti tempatan dan luar negara, golongan profesional serta ahli korporat.
Alunan qasidah dan selawat yang memuji Rasulullah SAW itu dipimpin oleh tokoh agama terkenal nusantara, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Sepanjang program yang berlangsung hampir empat jam itu, para hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain disajikan dengan zikir terapi dan bacaan al-Quran berduet oleh peserta Imam Muda Amiril Md. Banin serta Pencetus Ummah (PU).


ROSMAH Mansor mengalunkan selawat sempena majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di dataran Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.
Hadirin juga disajikan dengan dua tazkirah duet oleh para peserta rancangan PU iaitu Fakhrul Islam Md. Zarin, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, Salman Maslori, Shahul Hamid Seeni MD dan Attan Thowi Yusof.
Selepas solat Isyak, Perdana Menteri menyertai hadirin daripada pelbagai latar belakang dan usia menunaikan solat hajat serta bacaan doa bagi memohon supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dipermudahkan.
Solat hajat dan bacaan doa tersebut dipimpin oleh Jamil Khir di Masjid Putra.
Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul juga ditayangkan secara langsung di tiga saluran televisyen tempatan iaitu TV1, Astro Oasis dan TV AlHijrah.
Program anjuran Sekretariat Selawat Perdana yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya itu berakhir dengan jayanya pada pukul 11 malam menerusi penglibatan dan sokongan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140322/dn_01/Malam-Cinta-Allah-dan-Rasul-berjaya#ixzz2wqFU4dHK  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : ALHAMDULILLAH…AMIN…