Aset keselamatan ditambah

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
utusansabah@utusan.com.my


ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan), Musa Aman (dua dari kiri) , Shahidan Kassim (kanan) dan Hamza Taib (kiri) di Sri Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – BERNAMA

KOTA KINABALU 8 Mei – Helikopter tempur Eurocopter Tiger atau Helikopter Longbow Apache dan bot laju berprestasi tinggi merupakan antara aset pasukan keselamatan yang bakal ditambah bagi memantapkan pemantauan dan penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), terutama mengelak daripada berlakunya ancaman pencerobohan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan juga telah diperoleh antara pasukan keselamatan negara dan Filipina bagi membuat tindakan susulan termasuk memantau sebarang kemasukan atau kewujudan elemen mengancam, terutama bot atau kapal di perairan kedua-dua buah negara.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan saya dan Shahidan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim) untuk membantu Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman), kerajaan negeri dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi memperketatkan kawasan ini daripada diceroboh.
“Kabinet juga telah mengumumkan lima lagi langkah tambahan bagi menguatkan sembilan langkah drastik yang diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Musa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Shahidan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Ke­tua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek.
Antara lima langkah tambahan itu yang berkuat kuasa serta-merta adalah kesemua bot atau kapal negara asing yang memasuki perairan negara terutama di Esszone wajib melalui laluan-laluan yang telah diwartakan sahaja iaitu Semporna, Lahad Datu, Kunak, Sandakan, Tawau, Kudat dan Kota Kinabalu.
Kesemua jenis bot milik penduduk tempatan pula wajib didaftarkan bagi memastikan bot berkenaan benar-benar kepunyaan mereka dan mengelak timbulnya kekeliruan dengan kemasukan bot asing di perairan negara.
Kabinet juga bersetuju memantapkan kuasa penguatkuasaan dengan menurunkan beberapa bidang kuasa tertentu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri kepada polis bagi memudahkan satu tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berhadapan dengan insiden menggugat ketenteraman awam.
Mengenai spekulasi yang tersebar di laman sosial dan blog Filipina berhubung pembabitan beberapa personaliti termasuk pemimpin kumpulan pemisah negara itu, Nur Misuari yang menjadi dalang kepada beberapa siri penculikan di Sabah, Ahmad Zahid menegaskan, pasukan keselamatan mengambil kira kesemua kemungkinan yang wujud.
“Pihak kita memang bertukar-tukar maklumat perisikan dengan Filipina, hubungan kita erat. Negara memang bekerjasama dengan semua pihak termasuk dari negara luar.
“Apa yang ingin saya tegaskan, kerajaan langsung tidak akan berkompromi dengan mana-mana elemen pencerobohan dan menggugat ketenteraman awam termasuk siapa sahaja dalangnya,” katanya.
Pada 2 Mei lalu, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan bahawa pihaknya bakal menambah sembilan lagi bot pemintas yang dinamakan Bot Petir bagi kegunaan di Esszone.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, aset itu akan menjalani latihan pandu uji oleh pegawai dan anggotanya bagi memastikan kesesuaiannya sebelum sedia untuk digunakan.
Ahmad Puzi turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk membina Pangkalan Udara Maritim Malaysia di negeri itu iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140509/dn_02/Aset-keselamatan-ditambah#ixzz31CT6c8WH  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Advertisements