Nissan X-Trail semakin bergaya

JOHARDY IBRAHIM | 09 Mac 2015 12:11 AM
NISSAN X-Trail kini tampil dengan reka bentuk lebih segar dan bergaya.
SEKIAN lama mengenali Nissan X-Trail dengan reka bentuk bersegi, tibalah sudah masanya generasi ketiga muncul di pasaran Malaysia dengan reka bentuk lebih bergaya dan aerodinamik.
Varian yang terdapat di pasaran Malaysia adalah varian tertinggi 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Sejak pendaftaran pra-tempahan dibuka di Malaysia pada Disember lalu, Nissan X-Trail serba baharu telah menerima lebih 1,300 tempahan sehingga bulan lalu.
X-Trail generasi sebelum ini adalah antara model kenderaan utiliti sports paling berjaya, de­ngan lebih 19,000 unit telah terjual sejak Eda­ran Tan Chong Motors memperkenalkannya pada tahun 2003. Nissan X-Trail serba baharu yang direka semula sepenuhnya menggabungkan warisan 4×4 Nissan dengan idea-idea baharu, gayaan premium dan teknologi perintis – sekali gus menjadikannya antara crossover paling canggih yang dilengkapi kemam­puan off-road.
X-Trail yang dipasang tempatan ini menampilkan teknologi perintis seperti Active Chassis Control. Ia disifatkan sebagai teknologi pertama seumpamanya di dunia yang memastikan pengalaman pemanduan adalah lancar dan bebas tekanan.
Sistem Active Ride Control berfungsi mengurangkan rasa bergegar yang dialami oleh para pemandu ketika melalui jalan tidak rata de­ngan mengawal kuasa tork enjin dan brek demi meningkatkan keselesaan anakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai jumlah tekanan brek enjin bagi membantu pemandu mengurangkan kelajuan ketika hendak mengambil selekoh atau berhenti.
Sebagai tambahan, sistem Active Trace Control – pertama pada ken­deraan Nissan, hanya menggunakan sedikit kuasa brek kepada tayar-tayar tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer, selain membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh.
Varian 2.5L dilengkapi dengan ALL MODE INTELLIGENT 4×4 System (4×4-i) untuk mode memandu yang berbeza berdasarkan kea­daan jalan raya. Ia menawarkan tiga mode iaitu pacuan dua roda, Auto Mode yang menukar pengedaran tork antara roda depan dan belakang secara automotik semasa memandu di jalan yang berturap atau licin, dan Lock Mode untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa.
Ciri yang didatangkan pada kedua-dua varian, Hill Start Assist membolehkan para pemandu menukar brake kepada pemecut secara mudah untuk memulakan perjalanan yang lebih selamat di curam bukit.
Tambahan pula, Hill Descent Control – terdapat pada varian 2.5L 4WD – mengawal kelajuan kenderaan (di antara 4km/j -15km/j) ketika menuruni laluan berbukit yang curam atau licin tanpa perlu menekan brek. Ini sekali gus membolehkan pemandu kekal fokus untuk me­ngawal stereng kenderaan.
Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan sistem Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa sehingga 171 PS pada 6,000rpm dan kuasa kilas 233Nm pada 4,000 rpm. Va­rian 2.0L 2WD pula dibekalkan de­ngan unit enjin MR20DD dengan sistem suntikan bahan api dan Twin CVTC yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 144PS pada 6,000rpm dan kuasa kilas maksimum 200Nm pada 4,400rpm.
Kedua-dua varian enjin ini dipadankan bersama kotak gear Xtronic CVT generasi seterusnya dengan mode manual 7 kelajuan untuk pemanduan lancar dan ­prestasi yang penuh kuasa; serta Mode ECO bagi menawarkan penjimatan bahan api lebih baik.
Reka bentuk luaran X-Trail menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk Boomerang, gril Nissan berbentuk V yang tersendiri dan kombinasi lampu belakang yang standard pada ke­dua-dua varian. Keistimewaan va­rian 2.5L 4WD ialah lampu utama LED yang pertama dalam kelasnya dengan fungsi Auto serta lampu isyarat membelok LED. Roof Rails dan rim aloi bersaiz 17 inci pula memberikan Nissan X-Trail serba baharu penampilan yang menarik dan mengagumkan.
Ruang dalaman juga telah diperhalusi buatannya. Ia diserlahkan menerusi material berkualiti tinggi yang lembut apabila dipegang pada panel instrumen, pintu hadapan dan perehat tangan pada konsol tengah. Sentuhan berwarna perak, kemasan krom, metalik geometrik serta premium hitam piano nyata mencetuskan suasana dalaman yang moden dan elegan.
Konfigurasi tempat duduk 5+2 sememangnya menawarkan keluasan kabin yang luar biasa, ter­utamanya apabila tempat duduk tambahan diperlukan untuk kanak-kanak. Kapasiti kargonya juga mengagumkan iaitu 1,520 liter (apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata) dan 550 li­ter (jika tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya).
X-Trail generasi ketiga ini ditawarkan pada harga RM165,800 untuk varian 2.5L 4WD dan RM142,800 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk ­insurans di Semenanjung Malaysia) dalam lima warna iaitu Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black, Graphite Blue dan Brilliant White.



BMW lancar 520d Sport edisi khas RM354,800

NABIL BASARUDDIN | 05 Mac 2015 12:18 AM
Alan Harris (kiri) bersama dua pemain tenis dunia, Hsieh Su Wei (kanan) dan Misa Eguchi pada majlis pelancaran BMW 520d Sport bersempena Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Kamal Basir Wahab
KUALA LUMPUR 4 Mac – Pengeluar kereta premium terkemuka dunia, BMW Group Malaysia melancarkan model baharunya, BMW 520d Sport yang menampilkan ciri-ciri eksklusif dan istimewa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, model baharu berkenaan merupakan varian edisi terhad yang dikeluarkan yang didatangkan bersama enjin diesel empat silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo yang berkemampuan menambat hati pengguna dengan prestasi luar biasa dan penjimatan bahan api yang terbaik.
“Kami yakin model ini mampu menerajui segmen premiumnya di samping menawarkan pemanduan yang lebih sporty kepada penggunaannya,” katanya kepada pemberita dalam majlis pelancaran BMW 520d Sport di sini hari ini.
Katanya, syarikat berkenaan juga turut melepasi sasarannya apabila berjaya mencatatkan jualan tertinggi yang merangkumi 7,808 unit BMW, 665 unit MINI dan 583 unit BMW Motorrad.
“Peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2013 merupakan daripada permintaan yang hebat terhadap varian-varian yang ditawarkan antaranya BMW 5 Series yang menjadi penyumbang utama,” katanya.
Bagi model baharu ini, iaitu BMW 520d Sport akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad dengan 50 unit sahaja bermula April ini pada harga RM354,800.

Proton Exora baharu dengan penurunan harga hingga RM4,710


Oleh Che Wan Badrul Alias


Proton Exora baharu. – Foto emel
SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd melancarkan varian dipertingkat Proton Exora dengan tambahan varian baharu Proton Exora Super Premium (SP) yang menggantikan varian Prime.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata dengan pengenalan varian baharu, syarikat menyasar menjual 2,000 unit Exora sebulan.

Proton Exora baharu. – Foto emel
Katanya, Proton juga sudah menjalankan kajian semula harga model itu dan kini menawarkan pengurangan tambahan kira-kira 5.8 peratus atau RM4,710 bagi varian terpilih sejajar rancangan kerajaan untuk merendahkan harga kenderaan di negara ini.
“Kini kami memperkenalkan varian SP baharu yang bukan hanya menyediakan kuasa pacuan enjin turbo 1.6L tetapi juga dinaik taraf dengan reka bentuk menarik menepati hasrat membangunkannya sebagai sebuah kenderaan premium untuk keluarga.
“Dengan enjin lebih berkuasa bagi varian SP, Premium dan Executive, Proton turut mempertingkatkan aspek keselamatan MPV berkenaan. Justeru, varian Premium dan Super Premium kini dinaik taraf dengan beg udara sisi menjadikan MPV baharu ini memiliki empat beg udara dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC),” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Varian baharu Proton Exora ditawarkan dalam tujuh warna – Solid White, Elegant Brown, Cocoa Grey, Genetic Silver dan Tranquility Black manakala Luxury Blue dan Indiana Grey adalah dua warna baharu diperkenalkan untuk Exora baharu.
Proton sudah menjual 128,824 unit Exora sejak diperkenalkan pada 2009.
Varian baharu Exora kini dibuka untuk tempahan dan Proton menawarkan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.

Honda Accord idaman ramai

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my
APAKAH kereta yang memaparkan ciri eksekutif tetapi pada masa yang sama, tetap memberi kepuasan daripada segi prestasi? Honda Accord adalah satu daripadanya terdapat di pasaran Malaysia hari ini, yang menepati kriteria tersebut.
Begitu telitinya jurutera Honda dalam melahirkan Accord kesembilan ini, telah melonjakkan model ini sebagai yang terbaik dalam kelasnya. Ini kerana pengekalan DNA Honda, iaitu gaya yang tidak ditelan zaman, keselesaan dan kesenyapan terbaik dalam kelasnya, peningkatan tahap penjimatan bahan api, elemen seronok untuk dipandu, kualiti pandangan yang baik bersama ciri-ciri keselamatan termaju serta bernilai untuk wang.
Dengan penambahan teknologi termaju, sofistikasi, kemewahan dan kualiti; Accord dikonsepkan agar menjadi ‘pakej paling efisien pada sebuah Sedan Premium Pintar’.
Accord ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L. Varian tertinggi kini dikuasakan oleh enjin ‘Teknologi Impian Bumi’ atau Earth Dreams Technology yang revolusionari. Ia merupakan satu set inovasi teknologi generasi akan datang yang dicipta oleh Honda untuk menawarkan kualiti pemanduan berprestasi tinggi dan penjimatan bahan api.
Ketiga-tiga varian ini dilengkapi ECON Mode. Apabila diaktifkan, ECON Mode akan menggabung dan mengoperasikan satu siri fungsi ECO Assist. Kombinasi pintar ini mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan dengan hanya menekan satu butang sahaja.
Accord yang direka penuh gaya ini adalah lebih kecil dan ringan berbanding model terdahulu. Berpaksikan kepada konsep asas “Sedan Dinamik Pintar”, Accord menampilkan rekaan luaran yang telah dipertingkatkan melalui badan berbentuk V yang sangat aerodinamik.
Honda berjaya meningkatkan ruang dalaman untuk menjadikannya lebih luas dan selesa buat para penumpangnya. Ruang kaki penumpang belakang telah ditingkatkan sebanyak 35.5mm, manakala bahagian butnya pula 23 liter lebih besar. Secara keseluruhannya, ruang dalamannya mengutamakan kemewahan dan berkualiti tinggi bersama rekaan yang bersih untuk meningkatkan lagi keselesaan.
Perkakasan penyerapan bunyi bising yang efisien, Kawalan Bunyi Bising Aktif (Active Noise Control, ANC) dan Kawalan Suara Aktif (Active Sound Control) berfungsi untuk menawarkan kesenyapan di dalam kabin yang mengatasi kelasnya. Aspek Kebisingan, Getaran dan Kekasaran (Noise, Vibration, Harshness atau NVH) ditingkatkan secara signifikan melalui pakej pemasangan pad penyerapan yang kukuh. Ini membolehkan pemandu dan penumpang menikmati pemanduan menyeronokkan di dalam kabin Accord yang luas dan selesa.
Satu contoh teknologi barunya ialah LaneWatch Camera yang ada pada varian 2.4VTi-L dan menjadi model pertama Honda Malaysia yang menerima ciri keselamatan tersebut. Visual titik buta akan dipaparkan pada Paparan Multi Maklumat pintar (i-MID) VGA LED sepenuhnya bersaiz lapan inci. Accord serba baharu (2.0VTi-L and 2.4VTi-L) juga menampilkan Kamera Pandang Belakang Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rearview Camera) yang mampu mempamerkan ruang sehingga 180 darjah untuk pandangan lebih jelas ketika mengundur kenderaan.
Ciri isyarat berhenti kecemasan (Emergency Stop Signal) dan One Touch Lane Change meningkatkan lagi aspek keselamatan inovatif kenderaan yang dinamik ini. Dipasang pada varian 2.4VTi-L, sistem Active Cornering Lights (ACL) menawarkan pencahayaan tambahan secara automatik apabila pemandu mengaktifkan indikator atau memusingkan stereng melebihi 90 darjah. Ini adalah ciri baharu buat Honda. Lampu utama LED pada varian 2.4VTi-L juga merupakan yang pertama ditawarkan pada model keluaran Honda Malaysia.
Meletakkan aspek keselamatan ke tahap lebih tinggi, Accord serba baharu hadir bersama ciri Motion Adaptive EPS (MA-EPS) yang digabungkan dengan sistem VSA untuk membantu pemandu mendapatkan kestabilan ketika berada dalam situasi understeer dan oversteer.
Accord 2.4VTi-L berharga RM168,921.60 didatangkan dalam lima warna – satu warna baharu yang menarik iaitu Modern Steel Metallic, Champagne Frost Pearl, Crystal Black Pearl (hitam), Taffeta White (putih) dan Alabaster Silver Metallic (perak).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20140818/mo_01/Honda-Accord-idaman-ramai#ixzz3Er3tqZhp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Honda Odyssey

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my
REKA bentuk Odyssey kini lebih elegan dan praktikal sebagai kereta keluarga.
HONDA Odyssey dibawa secara rasmi ke pasaran negara ini oleh Honda Malaysia pada 2002. Popularitinya berkembang dengan baik seiring dengan kecenderungan orang ramai memilih kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai kereta keluarga dan dalam konteks ini, Odyssey adalah MPV premium.
Begitu tinggi keyakinan Honda Malaysia tergambar kepada kesungguhannya melancarkan generasi kelima Odyssey hanya dua minggu selepas dilancarkan di negara asalnya, Jepun semasa Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2013 pada November lalu.
Odyssey dijana oleh enjin yang baharu dibangunkan iaitu enjin Teknologi Impian Bumi 2.4L DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 129 kW pada 6,200 rpm dan kuasa kilas 225 Nm pada 4,000 rpm dengan Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT).
Sesi pandu uji sejauh 400 km sehala dari ibu negara ke Johor, membuktikan enjin Odyssey ini mampu memberikan pecutan dinamik semasa permulaan, teratas dalam kelas penjimatan bahan api dan pelepasan asap bersih yang tiada tandingan bagi pemanduan di jalan raya kota dan lebuh raya. Enjin ini menawarkan output, kuasa kilas dan kecekapan api lebih baik berbanding enjin model sebelum ini.
Kesesakan jalan yang luas biasa bermula dari Pedas/Linggi di Negeri Sembilan, menyaksikan mod ECON dinyalakan dan memastikan pemanduan cekap bahan api dengan kawalan kerjasama sementara fungsi bimbingan menukar warna daripada putih kepada hijau bagi memberi petunjuk pemanduan ekonomi.
Rupa luaran Odyssey menggabungkan kemantapan dan kejituan. Pembukaan besar pada jeriji depan memberi gambaran prestasi tinggi, manakala bentuk jeriji dengan kemasan krom memberi penampilan kekuasaan. Penampilan padu Odyssey memberikannya silhouette maju dan tarikan emosi.
Odyssey menampilkan ‘Platform Lantai Ultra-Rendah’ yang baharu dibangunkan, dimana ia mewujudkan kabin yang luas seperti yang ada pada MPV kelas besar. Bumbungnya lebih tinggi dan lantai lebih rendah dan oleh itu, ruang dalamannya kini lebih luas hasil daripada platform ini. Dengan pusat graviti rendah dan sistem gantungan dipertingkatkan, platform baharu ini memberikan pengendalian yang stabil dan menyeronokkan serta pemanduan yang lancar. Penumpang akan teruja dengan reka bentuk ruang dalaman yang bergaya apabila melangkah masuk menerusi pintu gelonsor berkuasa.
KERUSI premium Cradle Captain dengan Ottoman merupakan pertama bagi model Honda.
Pintar
Ciri Masuk Pintar dengan Butang Tekan Nyala menjadikan memasuki Odyssey EXV begitu mudah dan menghidupkan enjin hanya dengan sekali tekan pada butang. Memandu dan mengendalikan Odyssey mudah sekali berbanding saiz kereta. Radius pusingan kini ditambah dan pusingannya adalah 5.4m. Tiang-tiangnya diubah suai, memberikan MPV premium ini gambaran lebih langsing, memaksimumkan permukaan cermin dan meningkatkan kebolehlihatan.
Menawarkan Kerusi Cradle Captain Premium dengan Ottoman yang pertama bagi Honda dan kerusi boleh diubah kepada 3-kedudukan juga yang pertama bagi Honda untuk kerusi barisan kedua, penumpang Odyssey boleh menikmati keselesaan moden yang mirip kepada suite hotel mewah. Terdapat juga ruang kaki lebih luas untuk penumpang barisan kedua, hasil daripada lantai rendah. Memberikan keselesaan mewah kepada kedua-dua pemandu dan penumpang, Odyssey EXV serba baharu dilengkapi dengan kerusi kulit.
Suis kawalan iklim ruang belakang terletak di kedudukan di mana operasi dari kerusi barisan kedua dan ketiga menjadi mudah. Kesemua kerusi dalam Odyssey direka bentuk dengan keselesaan penuh untuk semua 7 penumpang bagi menikmati ruang dalaman MPV premium ini yang luas.
Ruang barangan di belakang adalah satu lagi ciri yang menonjol pada Odyssey. Ruang yang dipertingkatkan itu membolehkan ia muat untuk mengisi beg-beg tanpa menjejaskan keselesaan kesemua 7 penumpang. Kedudukan kerusi yang fleksibel mengoptimumkan lagi kapasiti; mekanisme ruang barangan yang magis di barisan ketiga menambahkan ruang barangan hanya dengan menarik tuil.
Keluar masuk dari Odyssey sangat mudah kerana lantainya dan tempat berpijak pada pintu belakang yang rendah. Begitu juga untuk meletak dan mengambil barangan dari belakang.
Odyssey EXV juga menawarkan satu lagi yang pertama bagi Honda dari segi keselamatan semasa memandu – Maklumat Sudut Tidak Nampak (BSI) beserta Pemantau Trafik Bersilang (CTA). Maklumat BSI memberi amaran kepada pemandu dengan bunyi beep apabila terdapat kenderaan dari sudut tidak nampak semasa mengambil lorong. CTA pula memberi amaran bunyi bersiul apabila mengesan kemungkinan pelanggaran dengan kenderaan yang datang dari arah bersilang ketika mengundurkan MPV.
Varian gred tinggi ini juga didatangkan dengan sistem kamera pelbagai sudut yang memaparkan pelbagai sudut luas bagi memberikan bantuan di jalan sempit dan simpang yang terhad pandangan untuk memberi makluman mengenai kawasan sekitar dan pemanduan lebih selamat. Meletak kereta Odyssey EXV ini juga mudah dengan Sistem Bantuan Parkir Pintar (Smart Parking Assist System) yang secara automatik mengesan had garisan kotak parkir dan membimbing Odyssey ke dalamnya.
Honda Odyssey didatangkan dalam dua varian iaitu 2.4L EX berharga RM228,005.90 dan 2.4L EXV RM248,005.90 sebuah.
Odyssey ditawarkan dalam 4 warna White Orchid Pearl, Super Platinum Metallic, Crystal Black Pearl dan Glamorous Mauve Pearl.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20140616/mo_01/Honda-Odyssey#ixzz3EqehQmZo
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Perodua Axia: Sporty, praktikal di bandar

Oleh AZMAN IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my
SAIZNYA kecil, sporty, tetapi amat praktikal untuk pemanduan dalam bandar. Malah, Perodua Axia dikatakan amat memberi penjimatan bahan api kerana ringan dan direka bentuk dengan menggunakan konsep kenderaan cekap tenaga (EEV).
Perodua Axia juga dikatakan kenderaan EEV pertama mampu milik di negara ini setakat ini kerana harga yang paling rendah ditawarkan iaitu RM24,600 untuk warna solid Standard E.
Jika dipandang dari luaran, Perodua Axia boleh mewujudkan rasa ‘wow’ kepada mereka yang baharu pertama kali melihatnya.
Bumpar yang sporty dengan lampu kabus dilengkapi dengan jeriji dan skirting sisi kemasan krom, amat mempersonakan.
Malah, lampu hadapan (headlamps) yang direka dengan projektor mata helang cukup menyerlahkan sisi ranggi dan berani Perodua Axia.
Penulis bersama media permotoran tempatan bulan lalu berpeluang untuk memandu uji Perodua Axia di sekitar kawasan terhad Tapak Pameran, Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) Selangor.
Peluang yang diberikan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) digunakan sebaiknya untuk menguji sejauh mana kenderaan kompak ini mampu memberi kepuasan kepada penulis yang pernah memiliki kereta kompak, termasuk kemampuan kenderaan ini mendaki bukit dan tahap kelancaran apabila mengambil selekoh.
Berbekalkan kapasiti enjin 1.0 liter, Perodua Axia ternyata mampu memberi kepuasan kepada para pemandunya dengan perjalanan yang lancar. Deruman enjin yang agak senyap memberi keselesaan kepada para pemandu dan penumpang.
Dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS) dan pengagihan brek elektronik (EBD), Perodua Axia meyakinkan penulis untuk mencuba brek secara mengejut untuk mengelak bonggol dan lubang-lubang pada permukaan jalan bertar. Ternyata Perodua Axia dapat membuat elakkan dengan kemas.
Dengan menekan sedikit pedal minyak, Perodua Axia mampu mendaki bukit setinggi 45 darjah dengan baik tanpa memberi masalah terhenjut-henjut.
Malah, jalinan jalan raya yang bersimpang siur dan banyak selekoh tajam di MAEPS, menguji kemampuan Perodua Axia dan ternyata, kenderaan ini tidak terbuai-buai walaupun melungsuri selekoh tajam.
Bentuknya yang ‘kecil-kecil cili padi’ ini juga, amat sesuai untuk pemanduan di dalam bandar yang pesat dan sesak dengan kenderaan seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Malah, Perodua Axia mampu ‘cilok’ dengan kemas jika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya.
Bercakap mengenai ruang kabin, sesuai dengan konsep kompak, Perodua Axia ditampilkan dengan suasana dalaman yang lebih luas dan mewah.
Penulis juga boleh melunjurkan kaki dengan selesa sebagai pemandu dan juga penumpang. Sesuai sekiranya melalui perjalanan yang jauh.
Kemasan dalaman juga direka dengan lebih bermutu, sesuai dengan kehendak pembeli eksekutif muda dan golongan yang mementingkan gaya.
Ketika memasuki ruang kabin, penulis bagaikan tidak percaya bahawa Perodua mampu menghasilkan kenderaan yang dinaik taraf kepada satu tahap lebih tinggi berbanding model-modelnya terdahulu.
Perodua Axia direka untuk memuatkan seramai lima penumpang, sesuai untuk berkeluarga kecil.
Malah, kerusi penumpang boleh dilipat untuk memuatkan barangan seperti sebuah basikal lumba, almari kecil dan beberapa gulung tikar.
Ada beberapa ciri unik citarasa Malaysia direka di dalam ruang kabin Perodua Axia. Antaranya, tiga tempat meletak cawan, dua penyangkut beg beli-belah, empat pemegang botol di kerusi penumpang belakang, ruang meletak kotak tisu dan ruang meletak barang serba guna.
Ruang kargo Perodua Axia juga luas dengan kapasiti 260 liter, mampu menempatkan empat beg kembara bersaiz sederhana.
Bagi mereka yang berminat untuk memiliki Perodua Axia, kereta kompak ini didatangkan dalam empat varian standard E, G, edisi khas serta termaju (Advanced).
Kereta itu juga didatangkan dengan lapan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black, Moonlight Blue, Cherry Blossom, Lemon Grass Green, Sunflower Yellow dan Lava Red.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20140922/mo_01/Perodua-Axia-Sporty-praktikal-di-bandar#ixzz3E5v50d8y © Utusan Melayu (M) Bhd 



Proton ‘Iriz’ lawan Perodua Axia?

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Proton Holdings Berhad (Proton) melancarkan model terbaharu mereka selang beberapa hari sahaja iaitu pada semalam atau 15 September untuk Axia dan Kereta Kompak Proton (PCC) pada 25 September ini.
Tetapi mungkin tidak mengejutkan jika ada yang beranggapan bahawa PCC atau Proton ‘Iriz’ (nama untuk PCC mengikut tekaan blog automotif) dilancarkan untuk menyaingi Perodua Axia.
PCC seperti yang ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, adalah kereta kompak dalam segmen B dengan kapasiti enjin di antara 1.3 liter dan 1.6 liter.
Berbanding dengan Perodua Axia, ia juga merupakan kereta kompak tetapi dalam kategori segmen A dengan enjin 1.0 liter.
Oleh itu, agak sukar untuk mengaitkan pelancaran Axia ataupun PCC walaupun dalam bulan yang sama adalah untuk menyaingi antara satu sama lain.
PCC dilahirkan untuk memberi alternatif kepada pasaran segmen B iaitu Perodua Myvi, Honda Jazz, Kia Rio, Ford Fiesta, Volkswagen Polo, Mitsubishi Mirage, Suzuki Swift dan Peugeot 208.
Ketepikan dahulu Honda Jazz, Kia Rio, Ford Fiesta dan lain-lain kerana PCC dilihat akan ‘berentap’ dengan Myvi yang merupakan pendahulu pasaran untuk segmen tersebut.
Jualan keseluruhan kenderaan penumpang didominasi oleh Perodua iaitu pengeluar kereta kompak terkenal dengan 196,071 buah bagi tempoh Januari hingga Disember 2013. Proton pula menduduki tempat kedua dengan 138,753 buah pada tempoh yang sama dan sedikit jatuh berbanding 141,120 buah pada tahun 2012.
Faktor ini mungkin menyebabkan Proton perlu melakukan sesuatu supaya mereka boleh terus bernafas dalam industri automotif yang semakin berdaya saing dan ditambah dengan Dasar Automotif Negara 2014 yang mengalu-alukan kedatangan pelabur untuk kenderaan cekap tenaga (EEV).
Tetapi sebenarnya program PCC telah dimulakan pada 2010 dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Dengan kata lain, Proton telah lama mempunyai hasrat untuk menghasilkan kereta kompak memandangkan kereta kompak semakin menjadi pilihan terutamanya bagi pembeli di bandar.
Dengan jangkaan kos sara hidup yang meningkat, pengguna terpaksa berjimat dalam semua segi dan antaranya pemilihan kenderaan yang sesuai dengan dompet mereka.
Bagi Perodua, mereka mengutamakan kenderaan ‘entry level’ iaitu dengan memperkenalkan produk pada harga yang murah dan berpatutan untuk pembelian kereta pertama mengikut piawaian Daihatsu, iaitu rakan baik mereka yang merupakan pengeluar kereta kompak untuk eksport.
Perodua kini mengutamakan penjimatan kos untuk menjadikan produk mereka mampu milik yang dicetuskan daripada kilang terbaharu mereka yang bertaraf dunia melalui penggunaan robot.
Manakala Proton, mereka mengutamakan keselamatan dengan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang tinggi seperti sistem brek antikekunci (ABS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TC) bantuan brek (BA) hill-hold assist (HHA) dan sistem penyaluran brek (EBD).
Kilang Proton di Tanjung Malim juga menggunakan robot bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti produk.
Keseluruhan PCC adalah dibangunkan oleh pereka dan jurutera rakyat tempatan, rakyat Malaysia yang merupakan satu antara 14 buah negara di dunia yang mampu membuat kereta.
Dengan kata lain, PCC dibangunkan mengikut cita rasa tempatan yang dilahirkan dengan ciri-ciri reka bentuk dan keselamatan yang setaraf dengan kereta buatan Jepun dan Eropah.
Pada akhirnya, pengguna akan membuat keputusan dalam memilih produk Proton atau Perodua dan faktor harga tidak boleh diketepikan sama sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140917/ko_01/Proton-Iriz-lawan-Perodua-Axia#ixzz3DXbFd2sM  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Follow

Get every new post delivered to your Inbox.