BICARA PERJUANGAN: SAIFUDDIN ABDULLAH….. INI SOALAN UNTUK KAMU !!!

BICARA PERJUANGAN: SAIFUDDIN ABDULLAH….. INI SOALAN UNTUK KAMU !!!: Berikut disenaraikan 7 soalan untuk kamu…. Saifuddin Abdullah.

Advertisements

SUKAN ASIA 2014 : Yi Wei puas akhir raih pingat

Ooi Tze Liang (kanan) memeluk Chew Yi Wei apabila mengetahui mereka memenangi pingat gangsa selepas menamatkan lompatan terakhir dalam acara terjun 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. – UTUSAN
INCHEON – Selepas pulang tangan kosong pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu, Chew Yi Wei puas kerana akhirnya menebus kegagalan dengan meraih pingat gangsa Sukan Asia dalam acara terjun 10 meter platform seirama lelaki bersama Ooi Tze Liang semalam.
Penerjun berusia 18 tahun itu memastikan dia tidak terlepas pingat sekali lagi dalam penampilan ketiganya di temasya besar apabila aksi baik pada dua terjunan terakhir membolehkan dia dan Tze Liang mengumpul 384.90 mata untuk menaiki podium di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-Hwan.
Biarpun menampilkan dua muka baharu, gergasi terjun dunia China masih mampu mempertahankan emas menerusi gandingan Zhang Yangquan-Chen Aisen yang mengumpul 462.90 mata selepas enam terjunan, jauh meninggalkan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 403.50 mata.
Ini adalah pingat perak kedua buat Tze Liang selepas melakukannya bersama Bryan Nickson Lomas dalam acara yang sama di Guangzhou empat tahun lalu.
Kemenangan ini juga menebus kekecewaan Tze Liang-Yi Wei selepas tidak dihadiahkan gangsa pada Sukan Komanwel bulan lalu walaupun menamatkan cabaran di tangga ketiga kerana saingan ketika itu hanya disertai oleh empat penerjun.
“Kebimbangan gagal meraih pingat buat kali ketiga bermain di fikiran saya ketika saya dan Tze Liang sedang bersedia untuk melakukan terjunan keempat.
“Kami gagal memenangi emas pada Sukan SEA di Myanmar kerana melakukan kesilapan pada terjunan keempat walaupun sudah mendahului saingan sejak awal. Saya melalui dua temasya yang mengecewakan.
“Saya tidak sanggup berdepan kekecewaan sekali lagi selepas lama berlatih dan bekerja keras untuk persiapan ke Sukan Asia. Memang saya akui, agak tertekan ketika tiba di sini.
“Bagaimanapun saya gembira dapat mengeluarkan semua yang saya pelajari ketika latihan dengan begitu baik hari ini,” kata Yi Wei, yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia di Kuantan dua tahun lalu.
Menurutnya lagi, dia hanya diberitahu oleh jurulatih untuk bergandingan dengan Tze Liang pada saat akhir kerana sejak awal lagi nama Ahmad Amsyar disebut-sebut untuk beraksi dalam saingan 10m platform seirama. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_04/Yi-Wei-puas-akhir-raih-pingat#ixzz3ElG6o100  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Chong Wei perlu ‘angin baharu’

Lee Chong Wei masih gagal memenangi gelaran kejohanan besar, termasuk di Sukan Asia walaupun menguasai kejohanan terbuka.
INCHEON – Tukar jurulatih, ubah program atau lakukanlah apa saja, yang pasti Datuk Lee Chong Wei perlu membuat perubahan besar jika mengimpikan untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro atau menjadi juara dunia buat julung kalinya.
Selepas menjaga Chong Wei selama empat tahun sejak peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek pada 2011, Tey Seu Bock telah melakukan segala yang termampu untuk membantu jaguh No. 1 dunia itu merangkul kejuaraan besar, namun usahanya gagal buat ke sekian kali apabila anak buahnya itu tersingkir di separuh akhir Sukan Asia XVII kelmarin.
Kekalahan 20-22, 21-12, 9-21 kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China ‘mencacatkan’ karier Chong Wei yang sepatutnya cemerlang kerana telah mencipta begitu banyak rekod dalam kejohanan berstatus terbuka.
Selepas segala usaha menemui kegagalan, Seu Bock akhirnya akur – mungkin sudah tiba masanya Chong Wei melakukan ‘anjakan besar’ dalam kariernya bagi memenuhi impian bergelar juara kejohanan utama seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
“Saya sudah melakukan segala-galanya yang termampu, mengorbankan banyak perkara untuk membantu Chong Wei menjadi juara Olimpik dan dunia seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia, tetapi malangnya masih tidak berlaku.
“Sepanjang empat tahun menjaga Chong Wei, memang banyak kejayaan yang telah kami capai (dalam kejohanan Terbuka), malah dia melakukan rekod yang mungkin sukar untuk dipecah oleh mana-mana pemain, namun apabila tiba kejohanan utama…dia tetap gagal untuk bergelar juara.
“Seperti seluruh rakyat Malaysia, Chong Wei dan saya juga amat kecewa apabila gagal pulang bersama kemenangan. Kami sudah mencuba semua yang terdaya, bekerja keras semampu yang boleh dan merencanakan program terbaik, tetapi mungkin tidak cukup baik.
“Jadi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Chong Wei membawa pulang emas dari Sukan Asia Incheon. Apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan bincang tentang perubahan besar yang perlu dilakukan jika mereka mahu Chong Wei terus maju,” kata Seu Bock.
Dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Seu Bock, Chong Wei, 32, telah merangkul dua kejuaraan All England.
Pada 2011, dia memenangi enam kejuaraan Terbuka, diikuti lima pada 2012 dan tujuh pada 2013, termasuk gelaran Siri Super Masters Akhir. Tahun ini, Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India serta Terbuka Jepun.
Begitupun apabila tiba kejohanan utama, dia sering kandas di peringkat paling genting. Pada Kejohanan Dunia 2011, dia tumpas kepada Lin Dan di final, pada Sukan Olimpik London 2012 dia kalah kepada musuh yang sama dalam perebutan pingat emas.
Malang Chong Wei berterusan pada Kejohanan Dunia 2013 apabila Lin Dan sekali lagi menyekat impiannya untuk bergelar juara dunia, sebelum kemuncak kegagalan jaguh No. 1 dunia itu hadir pada Kejohanan Dunia 2014 yang dianggap peluang terbaiknya untuk muncul juara kerana Lin Dan tidak beraksi.
Chong Wei tewas kepada rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam perlawanan akhir di Copenhagen bulan lalu.
Pemain kelahiran Perak itu juga sebelum ini dikecewakan oleh Lin Dan dalam pertarungan merebut emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_03/Chong-Wei-perlu-angin-baharu#ixzz3ElEe4H1g  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Terjun menang 2 pingat

Wendy Ng (depan kiri), Cheong Jun Hoong (depan kanan), meraikan kejayaan mereka memenangi pingat perak bersama Chew Yi Wei (belakang kiri) dan Ooi Tze Liang yang memenangi gangsa di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. – UTUSAN
INCHEON – Walaupun sering bertukar pasangan, namun kombinasi Wendy Ng-Cheong Jun Hoong masih mampu mempamer terjunan cemerlang untuk meraih pingat perak acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada hari pertama acara terjun Sukan Asia XVII berlangsung di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.
Gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang pula meraih pingat gangsa dalam 10 meter platform seirama lelaki selepas mengumpul 384.90 mata.
Memandangkan China dianggap kuasa besar yang hampir mustahil untuk disentuh, menduduki tempat kedua ibarat berjaya meraih ’emas’ buat penerjun negara lain, baik pada Sukan Asia mahu pun Olimpik.
Bagi Wendy, 21, kejayaan mempertahankan perak yang dimenangi bersama Leong Mun Yee di Guangzhou empat tahun lalu bukan saja membayar kerja kerasnya selama ini, malah membuktikan dia cukup kompetitif untuk mencabar pingat di Sukan Asia.
Semalam, gandingannya bersama Jun Hoong mengumpul 287.70 mata, 30.90 mata di belakang penerjun China yang diketuai juara Olimpik, Wu Minxia bersama pasangan baharunya Shi Tingmao. Pasangan Korea Utara, Choe Ungyong-Kim Jinok meraih gangsa dengan 274.32 mata.
“Ini adalah pingat perak kedua saya dalam penampilan kedua Sukan Asia, ini pencapaian yang bagus. Saya gembira kerana segala kerja keras selama ini berbayar.
“Memang sebelum pertandingan kami tidak tahu siapa akan digandingkan dengan siapa kerana sering bertukar pasangan. Pada Sukan Komanwel, saya berpasangan dengan (Nur) Dhabitah (Sabri) dan empat tahun lalu saya menang perak bersama Mun Yee,” kata Wendy, yang akan turut beraksi dalam saingan 3m papan anjal individu.
Jun Hoong pula bergandingan dengan Loh Zhiayi pada Sukan Komanwel lalu, di mana mereka menamatkan kempen di tangga kelima, manakala kombinasi Wendy-Nur Dhabitah menutup cabaran pada kedudukan keenam.
Sementara itu, kejayaan meraih pingat perak dianggap satu peningkatan dalam karier Sukan Asia bagi Jun Hoong selepas dia meraih gangsa 1m papan anjal individu di Guangzhou empat tahun lalu.
“Saya gembira berjaya meraih perak kerana ini pencapaian terbaik saya dalam Sukan Asia.
“Kami menjalani latihan yang sangat keras untuk menghadapi temasya ini, semua orang bekerja keras, termasuk jurulatih, jadi kami memang mahu pulang bersama pingat,” ujar Jun Hoong, 24. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_01/Terjun-menang-2-pingat#ixzz3ElDI4Y5r
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Aceh lulus rang undang-undang baharu hukum pelaku homoseksual

GAMBAR fail tidak bertarikh ini memaparkan seorang lelaki dijatuhi hukuman sebatan selepas melanggari undang-undang syariah di Aceh. – AGENSI
BANDA ACHEH 27 Sept. – Aceh hari ini meluluskan rang undang-undang membenarkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali dikenakan ke atas pesalah homoseksual, ketika kumpulan hak asasi manusia menyifatkan keputusan berkenaan sebagai ‘satu langkah ke belakang’.
Anggota Parlimen Aceh yang memulakan perbincangan mengenai rang undang-undang berkenaan sejak malam tadi, secara sebulat suara bersetuju untuk meluluskannya.
Undang-undang terbabit menggariskan perbuatan liwat antara lelaki dan ‘persentuhan badan antara wanita untuk rangsangan seks’ merupakan satu kesalahan dan bakal berhadapan dengan hukuman sebatan.
Hukuman itu bukan sahaja dikenakan ke atas penduduk Islam di Aceh tetapi membabitkan penduduk bukan Islam sama ada orang tempatan atau pun warganegara asing.
Perbuatan homoseksual bukan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Indonesia yang sehingga kini masih berpandukan kepada Akta Jenayah Belanda, negara yang pernah menjajah negara ini.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini dibenarkan untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah.
Wilayah autonomi itu sebelum ini melaksanakan hukuman sebatan ke atas pesalah judi, minum arak dan zina.
Sementara itu, Pengarah Amnesty International Asia-Pasifik, Richard Bennett menggesa supaya undang-undang berkenaan dimansuhkan segera demi menjaga hak asasi manusia.
“Perkara ini mewujudkan iklim homophobia, ketakutan dan gangguan kepada ramai penduduk di Aceh,” jelas Bennett. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_04/Aceh-lulus-rang-undang-undang-baharu-hukum-pelaku-homoseksual#ixzz3ElAhm9Y5  © Utusan Melayu (M) Bhd