Kapal selam negara buktikan keupayaan – Abdul Aziz

04 November 2014 2:36 AM
Abdul Aziz Jaafar (dua dari kanan) bersama Jean Yves Le Drian (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus di atas kapal selam KD Tun Razak dekat Sepanggar, Sabah, semalam. – UTUSAN/ Azrul Edham Mohd. Aminuddin
SEPANGGAR 3 Nov. – Keupayaan kapal selam negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark tepat ke sasaran dengan kelajuan yang ditetapkan pada 31 Oktober lalu memberi gambaran jelas terhadap kemampuan aset negara itu dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kejayaan melakukan pelancaran torpedo berkeupayaan tinggi tersebut diharap dapat menutup segala tohmahan jahat pihak tidak bertanggungjawab terhadap ‘kekuatan’ kapal selam negara.
Menurutnya, sesi latihan tersebut bukan sahaja membuktikan keupayaan memusnah dengan sempurna, malah penggunaan torpedo berkeupayaan tinggi iaitu Black Shark telah terbukti memberi satu kelebihan kepada kapal selam negara.
“Black Shark merupakan satu senjata baharu kapal selam yang merupakan hasil perkongsian kerjasama dua buah negara iaitu Itali dan Perancis. Malah tembakan yang dilakukan pada 31 Oktober lalu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar.
“Dalam latihan yang dilakukan di perairan Laut China Selatan itu, KD Tun Razak berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna apabila memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan rasmi Menteri Pertahanan Perancis, Jean Yves Le Drian ke Markas Angkatan Kapal Selam TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini. Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Abdul Rahman Ayob.
Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Malaysia merupakan negara kedua membeli torpedo Black Shark selepas Chile.
“Selepas itu baharu negara lain beli torpedo berkenaan. Berdasarkan rekod, negara itu banyak menggunakan torpedo Black Shark jenis latihan tetapi belum pernah menggunakan torpedo Black Shark untuk peperangan. Secara tidak rasminya, Malaysia atau TLDM boleh ditakrifkan sebagai negara pertama membuat penembakan torpedo Black Shark konfigurasi perang setakat ini,” jelasnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kapal-selam-negara-buktikan-keupayaan-8211-abdul-aziz-1.20548#sthash.HFRJ9W7g.dpuf


TLDM lancar penembakan torpedo Black Shark kapal selam Scorpene
01 November 2014 2:10 AM
Sebuah feri penumpang yang telah diubah suai kelihatan musnah selepas menerima sasaran tembakan torpedo Black Shark kapal selam KD TRZ di perairan Laut China Selatan pada pukul 11.20 pagi, semalam.
KOTA KINABALU 31 Okt. – Kapal selam KD Tun Razak hari ini melakar sejarah apabila melaksanakan penembakan torpedo Black Shark di Perairan Laut China Selatan.
Penembakan dari aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengenai sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan ditetapkan pada 11.20 pagi.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TLDM hari ini, KD Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark ke sasaran permukaan iaitu sebuah feri penumpang yang mengenai dan memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan.
“Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat pertama kalinya kapal selam negara melaksanakan penembakan torpedo semenjak kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009.
“Selain itu, penembakan itu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali,” kata kenyataan itu.
Operasi penembakan itu melibatkan aset bantuan daripada perkhidmatan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis selain penglibatan KD Jebat, KD Terengganu, KD Kasturi, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, kapal penyelamat kapal selam Mega Bakti dan bot tempur CB 90 serta tim penyelam sementara aset TUDM yang turut terlibat ialah pesawat B 200T dan EC 725.
Menurut kenyataan itu, kejayaan penembakan itu membuktikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus meletakkan TLDM antara pasukan tentera laut yang wajar digeruni di rantau ini. – BERNAMA


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-lancar-penembakan-torpedo-black-shark-kapal-selam-scorpene-1.19329#sthash.7rsQyTg9.dpuf


Rekrut ‘berjihad’ satu ancaman

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan@utusan.com.my
ZULKIFELI MOHD. ZIN
KOTA BHARU 16 Okt. – Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria atas nama jihad mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sehubungan itu, rakyat diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan kegiatan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di negara ini.
“Jika tidak dibanteras segera, bimbang lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kegiatan kumpulan militan itu. Sudah ramai rakyat kita yang pergi ke negara tersebut untuk berjuang atas nama jihad malah ada yang di sini berniat untuk ke sana tidak lama lagi.
“Tidak mustahil kumpulan yang dilatih secara militan itu akan balik senyap-senyap ke negara ini semula pada suatu hari nanti dan menubuhkan gerakan (pengganas) baharu di sini,” kata beliau dalam Majlis Penutupan Program Remaja Berwawasan-Summer Camp Siri 11/2014 di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Rusli Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas, Nasrudin Khalid.
Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu berlangsung selama lima hari membabitkan penyertaan seramai 553 orang pelajar dari 15 buah sekolah di seluruh negeri ini.
Sehubungan itu, Zulkifeli memberitahu, kerajaan kini giat menguar-uarkan ancaman tersebut supaya kumpulan militan berkenaan tidak bertapak di negara ini.
“Rakyat perlu sedar ancaman ini kerana mereka (ISIS) mempunyai kemampuan yang lebih dahsyat daripada al-Qaeda yang mampu menggugat keamanan negara. Jadi sebelum terjadi perkara sedemikian, rakyat perlu melaporkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab kerana mereka (rakyat) di mana-mana.
“Kalau mereka (kumpulan militan) ada buat latihan walaupun dalam kumpulan kecil, lapor kepada pihak berkuasa segera,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata, pihaknya akan menempatkan 50 hingga 60 anggotanya di pelantar minyak, kira-kira 27 kilometer dari darat di perairan Sabah, berhampiran sempadan laut Filipina, bagi mencegah kes-kes culik di negeri itu.
“Ini akan memudahkan ATM membuat pengawasan lebih menyeluruh.
“Andai terdapat penceroboh yang mahu melarikan diri, kita yakin akan mampu menangkap mereka kerana tentera kita sudah bersiap-sedia di lautan,” ujarnya.
Beliau mengulas situasi terkini kawalan keselamatan pihak ATM di perairan Sabah.
Pada pengumuman Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai ‘sea basing’ (pangkalan laut) di perairan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat Petronas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141017/je_03/Rekrut-berjihad-satu-ancaman#ixzz3GMaTjPb0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



BAJET : RM27.604b tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM27.604 bilion pada Bajet 2015 untuk meningkatkan tahap keselamatan, ketenteraman awam serta pertahanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM17.7 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RM9.1 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM804 juta bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Katanya, kerajaan meluluskan sebanyak 11,757 perjawatan anggota polis selain membina 14 ibu pejabat polis dan balai polis termasuk bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
“Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini, yang menjadi salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya ketika membentangkan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 1,000 lagi unit rondaan motosikal PDRM akan ditambah dan kerajaan juga memperuntuk RM121 juta kepada pihak berkuasa itu bagi melaksanakan pelbagai program NKRA.
Menurutnya, sebanyak RM7 bilion diperuntukkan bagi memperoleh dan menyelenggara aset-aset pertahanan bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota ATM.
Jelas beliau, kebajikan anggota tentera juga akan dipertingkat termasuk perkhidmatan kesihatan dan penyediaan kediaman golongan tersebut.
Beliau menambah, peruntukan RM393 disediakan untuk menambah baik kecekapan operasi dan pembelian tujuh kapal peronda baharu bagi meningkatkan keselamatan maritim.
Sementara itu, kata beliau, sebanyak RM117 juta diperuntukkan kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terutamanya bagi tujuan latihan dalam mengukuhkan peranan jabatan berkenaan.
“Rela terus memainkan peranan sebagai sebuah agensi sukarelawan untuk membantu pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan negara,” kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_05/RM27604b-tingkat-keselamatan#ixzz3FzamfBML  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Militan ISIS ancam pantai timur Sabah

Hishammuddin Tun Hussein bersama John Ambrose dan ahli UMNO Penampang bergambar kenangan ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 21 Sept. – Bukan mahu menakutkan rakyat negeri ini namun maklumat daripada sumber risikan negara mendapati terdapat kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang cuba mengubah landskap ancaman serta skop keselamatan di pantai timur negeri ini.
Ia didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyatakan, kumpulan militan dari wilayah selatan Filipina, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan Abu Sayyaf secara terbuka telah membuat kenyataan menyokong perjuangan ISIS.
Selain itu, katanya, usaha berterusan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang tetap bertegas mahu menubuhkan kerajaan Islam di wilayah selatan Filipina serta melakukan tuntutan terhadap Sabah turut dipengaruhi dengan model ISIS.
Jelasnya, semua ancaman berkenaan lebih besar berbanding isu penyeludupan dan penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah, malah risikan mendapati kumpulan Abu Sayyaf disyaki melatih individu tertentu bagi dihantar ke Syria untuk berjuang bersama ISIS.
“Namun masih terdapat individu daripada parti pembangkang yang masih melaungkan usaha untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia hanya kerana sentimen politik sempit dan ghairah merebut kuasa.
“Ada had batasan untuk kita berpolitik, jangan sampai menggadaikan hak dan masa hadapan anak bangsa. Pihak pembangkang jangan tunjuk pandai untuk bercakap hal perjuangan mempertahankan negara kerana di manakah mereka semasa kejadian di Lahad Datu?
“Batang hidung mereka pun tidak nampak malah sanggup menyatakan kejadian serangan pihak pengganas sebagai sandiwara,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang dan mengadakan pertemuan khas dengan suami salah seorang mangsa nahas MH17 yang merupakan jurutera kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Ir. Lee Vee Weng.
Yang hadir sama timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose dan wakil Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Wetroom Bahanda yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, setakat ini, 19 rakyat Malaysia telah ditahan sejak April lalu kerana disyaki terlibat dengan ISIS termasuk dua individu yang ditahan di Sandakan.
Katanya, kesemua yang ditahan itu disyaki direkrut oleh empat sel militan iaitu Khaed Al Waled, Bridged Al Jemaah, Daulah Islamiyah dan Arakan Daulah Islamiyah Arakan sebelum dihantar ke Syria.
Selain itu, kata beliau, pihak berkuasa negara turut memburu lima lagi militan yang kini disyaki bersembunyi di selatan Filipina manakala seramai 56 warganegara Indonesia telah dikesan terlibat dalam ISIS.
Jelasnya, individu yang berjaya pulang ke Malaysia, selatan Filipina dan Indonesia setelah berjuang di Syria serta Iraq akan mengembangkan model ISIS bagi diaplikasi di rantau ini termasuk di Sabah.
“Kumpulan itu dijangka bergabung dan menubuhkan kumpulan jihad baharu bagi menegakkan negara Islam melalui perjuangan bersenjata.
“Kerajaan memandang serius ancaman ISIS ini dan sedang mengambil langkah perlu bagi mengekang kegiatan kumpulan militan ini daripada menular ke negara ini khususnya di Sabah,” tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140922/dn_02/Militan-ISIS-ancam-pantai-timur-Sabah#ixzz3E5q2cyxh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Jangan hasut rakyat Sabah

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
HishamMuddin Tun Hussein bergambar dengan anggota-anggota tentera yang akan menyertai misi pengaman Malbatt 850-2 ke Lebanon di Pengkalan Udara TUDM Subang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
SUBANG JAYA 4 Sept. – Pemimpin politik di Sabah yang dikaitkan dengan cubaan mahu memisahkan negeri itu dari Malaysia diingatkan supaya berpada-pada dalam politik dan tidak menjadikan soal kedaulatan negara sebagai modal murahan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak keselamatan sedang meneliti dengan serius ancaman daripada pihak ketiga tersebut dan akan mengambil segala langkah perlu untuk menanganinya.
Beliau yang mengambil contoh pergolakan di Ukraine untuk dijadikan peringatan pihak terbabit berkata, perang saudara di negara itu juga meletus akibat perbuatan segelintir kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.
“Mereka (penghasut di Sabah) kena ingat, bila terjadinya pencerobohan di Lahad Datu majoriti anggota keselamatan negara yang menjadi korban adalah dari semenanjung. Soal kedaulatan ini bukan modal untuk dijadikan gadaian murahan.
“Sila jadi ahli politik budiman yang bertanggungjawab dan bukannya bangkitkan isu Sabah untuk Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Jalur Gemilang dan Penghantaran Kumpulan Malbatt 850-2 di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud usaha daripada pihak tertentu di Sabah yang cuba menghasut rakyat negeri di bawah bayu tersebut untuk keluar dari Malaysia.
Pendedahan itu kemudian disusuli pengesahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihak keselamatan sudah mengenal pasti golongan bertanggungjawab menghasut dan tindakan keras bakal menyusul.
Mengulas mengenai kejayaan pasukan keselamatan menggagalkan cubaan penceroboh memasuki perairan Sandakan pula, Hishammuddin berkata, usaha itu amaran kepada semua pihak yang berniat tidak baik ke atas negara ini.
Katanya, kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah dipertingkatkan dan cubaan mana-mana pihak untuk menceroboh bakal berdepan tindakan tegas.
“Apa yang penting semua tindakan oleh anggota keselamatan yang terbabit dalam menggagalkan cubaan pencerobohan berkenaan dibuat mengikut Peraturan Operasi Standard (SOP) undang-undang negara kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin berkata beliau akan berlepas ke Keiv, Ukraine, hujung minggu ini bagi mendapatkan jaminan keselamatan untuk membolehkan pasukan penyiasat kembali ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Menurutnya, misi tersebut yang bertujuan mencari baki mayat penumpang pesawat MH17 yang belum ditemui akan turut disertai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
“Keadaan di timur Ukraine yang menjadi lokasi nahas MH17 sangat tegang kerana peperangan masih berlaku tetapi ia tidak sedikit pun mematahkan semangat kerajaan. Selepas Kiev, saya akan ke Rusia dan Belanda bagi menyelaras perbincangan lanjut,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140905/dn_04/Jangan-hasut-rakyat-Sabah#ixzz3CP1QGhAI  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Hari Pahlawan perlu jadi acara nasional

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI
pengarang@utusan.com.my
ISMAIL Ahmad (dua dari kiri) bersama Mohd. Anwar Mohd. Nor (empat dari kanan), Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (tiga dari kanan), Mohd. Noordin Abbas (kiri) dan Abdul Aziz Ishak (kanan) melakukan simbolik perasmian logo baharu Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) semasa majlis ‘Pahlawan Jasamu Dikenang’ di Dewan Besar Ibu Pejabat, Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Utusan, melalui Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
KUALA LUMPUR 28 Ogos -Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun perlu dijadikan acara nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan bagi menghargai pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perajurit negara.
Langkah itu juga sebagai medan terbaik untuk menerapkan nilai patriotik terutama dalam soal mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli mana-mana pihak khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini dilihat semakin terhakis.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut dan sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk berbuat demikian.
Katanya, cadangan mengenai langkah menjadikan Sambutan Hari Pahlawan sebagai acara nasional akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat dan berharap usaha berkenaan disokong pelbagai pihak kerana objektifnya demi patriotisme.
“Sekarang ini kalau tanya golongan muda, terlalu sedikit yang sedar dan mengingati tarikh Hari Pahlawan. Hari Pahlawan ini besar maknanya terutama bagi perajurit dan pengisiannya perlu bersifat nasional, bukan sekadar kutipan derma.
“Kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mengangkat darjat Hari Pahlawan sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan agar kita dapat mendidik rakyat Malaysia pentingnya nilai patriotik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian selepas majlis ‘Pahlawan Jasamu Sentiasa Dikenang’ anjuran bersama PV-ATM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di ibu pejabat akhbar itu di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad dan serentak dengan itu, logo baharu PV-ATM juga dilancarkan.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Anwar memberitahu, sambutan orang ramai khususnya sektor korporat terhadap kempen derma Tabung Hari Pahlawan sangat tidak memberangsangkan tetapi pihaknya masih menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.
“Sasaran kita sama seperti tahun lalu kerana kami realistik, memandangkan sambutan daripada sektor korporat khususnya sangat tidak menggalakkan. Namun begitu kami akan terus meningkatkan usaha untuk menyedarkan mereka,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Anwar berkata, PV-ATM yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kini sedang melaksanakan proses transformasi dan penjenamaan semula untuk mengembalikan kegemilangan persatuan.
Katanya, proses transformasi yang dibuat telah mula menampakkan hasil apabila kewujudan PV-ATM berjaya mendapatkan kembali penerimaan kerajaan, rakyat Malaysia serta veteran tentera sendiri yang berjumlah 160,000 orang kepada pertubuhan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140829/dn_04/Hari-Pahlawan-perlu-jadi-acara-nasional#ixzz3BjjU6LxT  © Utusan Melayu (M) Bhd 



ATM lakar sejarah baharu risikan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Abdul Hadi Hussin (duduk, kiri) dan Suhaimi Mohd. Zuki (duduk kanan) menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sambil disaksikan oleh Nasaruddin Othman (berdiri, tiga dari kiri) pada Majlis Perbarisan Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di Kolej Perisikan ATM Mentakab.
ANGKATAN Tentera Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dengan melakar sejarah dalam aspek risikan apabila Pusat Latihan Perisikan (Pularis) di Mentakab, Temerloh di Pahang secara rasmi dinaik taraf sebagai Kolej Perisikan ATM.
Majlis rasmi penyerapan Pularis sebagai Kolej Perisikan ulung negara itu dilakukan dalam penuh adat istiadat tentera yang dimulakan dengan perbarisan diikuti upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sebelum diakhiri dengan upacara menurunkan bendera Pularis dan menaikkan Bendera Kolej Perisikan ATM.
Upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di sempurnakan oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki sambil disaksikan oleh Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman.
Menurut Nasaruddin, penyerapan Pularis adalah seiring dengan penstrukturan semula Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ke-387 pada 29 Januari 2008.
“JPP yang bersidang pada 30 September 2013 telah meluluskan penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM agar ia dapat terus beroperasi sebagai entiti yang terlaras dan tersusun serta bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan latihan perisikan peringkat ATM.
“Manakala Majlis Angkatan Tentera yang bersidang pada 6 Januari 2014 telah meluluskan penubuhan Kolej Perisikan ATM dan berikutan itu juga moto, logo dan bendera Kolej Perisikan ATM pula telah diluluskan pada 28 Mei lalu,” katanya kepada MegaWira selepas majlis penyerapan itu baru-baru ini.
Mengimbas kembali sejarah penganjuran kursus-kursus perisikan dalam ATM, Nasaruddin berkata, ia bermula seawal 1957 di mana markas unit perisikan Kementah diketuai Kapten E.A Atkinson telah ditugaskan untuk merancang dan menganjurkan kursus-kursus perisikan asas dan keselamatan di kem IMPHAL.
Katanya, Markas Kor Risik kemudian menubuhkan sekolah perisikan Angkatan Tentera (SPAT) pada 3 Mac 1981 dan mula ditempatkan di deretan rumah kedai di Taman Melawati pada April 1982 sehinggalah pada Januari 1983.
“SPAT kemudian telah berpindah ke kem Sungai Buloh pada 2 November 1988 bagi mengatasi masalah penginapan dan bilik kuliah berikutan jumlah kursus yang semakin bertambah.
“SPAT telah didesignasikan semula sebagai Sekolah Perisikan (SP) sehinggalah ia ditukarkan kepada Pusat Latihan Risikan pada 1994, sejajar dengan pertukaran nama pusat-pusat Latihan Tentera Darat,” katanya.
Beliau memberitahu, setelah 27 tahun berada di kem Sungai Buloh, Pularis yang telah melatih bukan sahaja warga ATM, malah warga kementerian lain dan agensi keselamatan di dalam dan juga luar negara kini mempunyai kompleksnya sendiri di Kem Mentakab yang mula beroperasi pada 1 Januari 2010.
Dalam pada itu, Nasarudin berkata, penubuhan Kolej Perisikan ATM itu membuka lembaran baharu dalam kelangsungan usaha-usaha membentuk kepelbagaian kepakaran modal insan dalam semua bidang perisikan yang berorientasikan kebersamaan melibatkan ketiga-tiga cabang ATM.
Justeru katanya, kolej perisikan yang akan ditadbir oleh seorang kolonel akan terus menganjurkan pelbagai kursus risikan yang sesuai dan terkini.
Selain itu katanya, kolej tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan pusat-pusat dan agensi latihan risikan antarabangsa bagi menganjurkan kursus-kursus kepakaran.
“Ini penting dalam usaha membentuk tenaga kerja yang profesional, responsif, dinamik dan mampu mengoptimumkan teknologi terkini dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Jadi adalah diharapkan operator-operator perisikan yang dilatih akan mampu berhadapan dengan senario ancaman yang kompleks dan mencabar selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Jelas beliau, keupayaan pemantauan perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa masa hadapan merangkumi semua persekitaran dan spektrum ancaman.
Dalam pada itu, Jurulatih Kolej Perisikan ATM, Mejar Janie Ratib berkata, penyerapan Pularis kepada Kolej Perisikan amat bertepatan, selaras dengan peranan besar kolej berkenaan dalam aspek keselamatan negara.
Katanya, aspek pengajaran dan pembelajaran di kolej berkenaan sentiasa ditambah baik bersesuaian dengan keperluan terkini bagi memastikan ia terus relevan.
“Aspek pengajaran di sini adalah menyeluruh melibatkan pelbagai kaedah pengajaran termasuklah latihan fizikal dan ketahanan mental yang amat penting,” katanya yang mengajar dalam kursus risik tempur.
Sementara itu, seorang pelatih, Kapten Azim Hazwan Shamsudin berkata, kursus di kolej itu memberi banyak pendedahan baharu yang penting kepadanya untuk kembali menjalankan tugas.
Menurutnya, selain pengetahuan khususnya mengenai risikan ia juga dapat menguatkan ketahanan mental dan fizikal pelatih yang mengikuti kursus di kolej berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20140716/te_01/ATM-lakar-sejarah-baharu-risikan#ixzz37mkmEVC6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



TLDM – Mohamad Roslan Panglima Armada

ABDUL Aziz Jaafar (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada di antara Abd Hadi A. Rashid (kiri) dengan Mohamad Roslan Mohamad Ramli di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.
LUMUT 14 Julai – Panglima Pemerintah Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dilantik sebagai Panglima Armada yang baharu, menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang bersara daripada perkhidmatan.
Pelantikan itu menjadikan Mohamad Roslan sebagai Panglima Armada yang ke-20 sejak Markas Armada ditubuhkan September 1980.
Mohamad Roslan memulakan tugasnya sebagai Panglima Armada secara rasmi hari ini dan pada masa sama memangku jawatan yang disandangnya sebelum ini iaitu Panglima Pemerintah Bantuan sehingga akhir bulan ini.
Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksi dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM di sini hari ini.
Abdul Aziz dalam sidang akhbarnya selepas majlis berkenaan berkata, jawatan Panglima Armada merupakan posisi kedua terpenting di dalam ketumbukan itu dan sangat mencabar.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang lebih dua tahun memegang jawatan itu, Abdul Hadi bukan sahaja berjaya melaksanakan tugas dengan baik, malah telah mengangkat imej serta reputasi TLDM.
“Beliau mengetuai tujuh operasi TLDM yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara. Beliau juga terlibat dalam misi pencarian MH370 dan melaksanakannya dengan baik tetapi malangnya pesawat itu telah diumumkan berakhir di Lautan Hindi.
“Beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang tempoh menjadi Panglima Armada. Cabarannya amat getir tetapi saya percaya beliau berjaya mengharunginya. Terima kasih diucapkan kepada beliau,” katanya.
Mengulas mengenai Mohamad Roslan yang menggantikan Abdul Hadi pula, Abdul Aziz percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Panglima Armada baharu itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_12/Mohamad-Roslan-Panglima-Armada#ixzz37bNx85PC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Kerajaan tidak berkompromi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my


Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan penduduk tempatan selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 15 Jun – Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan kerajaan khususnya dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang menjadi tali barut kepada pihak luar.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjejaki kumpulan yang bersekongkol dengan pihak luar sehingga mengancam keselamatan negara.
Katanya, perkara itu tertakluk juga kepada mereka yang menjual maklumat atau melindungi serta memberi laluan kepada pihak luar untuk memasuki Malaysia.
“Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini, tidak kira sama ada rakyat biasa yang terlibat mahu pun mereka yang berpakaian uniform keselamatan.
“Dalam hal ini, sudah tentu kami berasa tidak sepatutnya seorang penguat kuasa keselamatan terlibat dan menjadi tali barut. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan negara, bukannya memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga warga tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Sandakan, Sabah kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan.
Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap tiga warga tempatan berkenaan, Ahmad Zahid memberitahu, perkara itu akan diserahkan kepada mahkamah setelah siasatan mendalam dilaksanakan.
Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan selepas siasatan menyeluruh dibuat.
“Semua maklumat siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara,” jelas beliau.
Ahmad Zahid memberitahu, kementerian bersama-sama PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung kegiatan yang memudaratkan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_02/Kerajaan-tidak-berkompromi#ixzz34lLhjR5L  © Utusan Melayu (M) Bhd