PALESTIN : Israel bahagi Masjid Al-Aqsa

23 Oktober 2014 1:35 AM
Wanita Palestin beragama Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah kehadiran penganut Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Oktober lalu. – REUTERS
Israel dilapor akan membentangkan rang undang-undang bertujuan untuk membahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa antara penduduk Islam dan Yahudi.
Seorang anggota Parlimen (Knesset) Israel berketurunan Arab, Masoud Ghanayim yang dipetik oleh akhbar Palestin, Felesteen, kelmarin berkata, rang undang-undang itu disediakan oleh Jawatankuasa dalaman Parlimen, yang menetapkan penduduk Yahudi turut boleh bersembahyang di dalam Masjid Al-Aqsa.
“Perkara ini merujuk kepada cadangan untuk memberi hak sama rata kepada umat Islam dan Yahudi, serta akses untuk menggunakan tempat suci itu.
“Ia juga menetapkan beberapa lokasi tertentu yang boleh digunakan orang Yahudi untuk bersembahyang,’’ katanya yang dipetik portal Middle East Monitor.
Pada masa ini, undang-undang Israel dan Rabbinical melarang penduduk Yahudi bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.
Kebanyakan Yahudi yang melobi untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa merupakan pendatang haram Yahudi yang terdiri daripada pelampau kumpulan berhaluan kanan yang mempunyai agenda.
Kota Lama di Baitulmaqdis yang menempatkan masjid itu diiktiraf oleh antarabangsa sebagai tanah yang dijajah Israel. Pihak berkuasa Israel sering menghalang penduduk Islam bersembahyang di masjid itu.
Menurut Ghanayim, undang-undang yang digubal itu termasuk melarang penganjuran demonstrasi awam dan demontrasi di perkarangan Al-Aqsa termasuk menetapkan hukuman kepada sebarang pencabulan.
Katanya, tindakan meluluskan undang-undang itu merupakan satu `pencerobohan terang-terangan terhadap hak asasi penduduk Islam di seluruh dunia’ termasuk menyifatkannya sebagai sebahagian daripada rancangan Israel menyebarkan fahaman Yahudi di bandar Baitulmaqdis.
“Undang-undang itu semata-mata untuk mewajarkan pembinaan berdasarkan mitos sejarah dan agama yang disokong Israel,’’ katanya ketika mengulas tentang rang undang-undang itu.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-bahagi-masjid-al-aqsa-1.15772#sthash.YBMknNHx.dpuf


PALESTIN : Kata dua kepada Israel

Seorang wanita Palestin membawa anak-anaknya melalui runtuhan bangunan untuk ke kem pelarian Rafah, Genting Gaza, kelmarin. – AGENSI
BAITULMAQDIS 3 Sept. – Pemimpin Palestin menetapkan tempoh tiga tahun supaya Israel menamatkan penjajahan ke atas Tebing Barat dan Genting Gaza dalam satu resolusi yang akan dikemukakan ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Resolusi itu dicapai ketika perunding Palestin akan mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Washington hari ini, untuk membincangkan perjanjian gencatan senjata jangka masa panjang di Gaza dan beberapa isu lain.
Anggota kepimpinan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi berkata, pihaknya akan mendapatkan sokongan Majlis Keselamatan PBB bagi meluluskan resolusi berkenaan walaupun menyedari AS akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang usul terbabit.
“Penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 47 tahun lalu perlu berakhir dalam tempoh tiga tahun.
“PLO juga mungkin mengambil langkah untuk mengemukakan resolusi itu ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA),” katanya.
PLO dijangka mengemukakan usul resolusi berkenaan secara rasmi ke PBB pada hujung bulan ini.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, Setiausaha Negara AS, John Kerry dijangka menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum mengadakan pertemuan dengan perunding Palestin, Saeb Erakat.
Menurut Paski, kedua-dua pihak akan berbincang tentang beberapa isu termasuk rundingan gencatan senjata di Gaza dan menetapkan tarikh rundingan seterusnya bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang.
Israel dan Palestin sepatutnya mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat untuk mencapai perjanjian damai kekal tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk memulakan rundingan.
Kali terakhir Kerry bertemu dengan pemimpin Palestin adalah pada Julai lalu apabila beliau cuba menjadi pengantara bagi mengakhiri konflik di Gaza, tetapi menemukan kegagalan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_01/Kata-dua-kepada-Israel#ixzz3CJPVRw1v  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Penduduk Gaza rai kejayaan

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum (tengah) diusung oleh beberapa orang penduduk Palestin bagi meraikan persetujuan gencatan senjata dengan Israel di Gaza City, kelmarin. – REUTERS
GAZA CITY 27 0gos – Persetujuan gencatan senjata di antara Palestin dan Israel bagi menamatkan pergolakan berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-50 semalam, disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan gembira oleh penduduk di wilayah ini.
“Hari ini kami mengisytiharkan kejayaan atas rintangan yang kami hadapi. Hari ini kami isytiharkan kejayaan bagi Gaza,” kata jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri.
Penduduk Palestin meraikan persetujuan tersebut dengan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing, selain corong-corong pembesar suara di masjid turut memainkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah.
“Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Kami terluka setelah berlakunya banyak kematian, tetapi kami juga berasa bangga kerana kami walaupun berperang secara bersendirian, tetapi perpaduan kami masih lagi kekal utuh,” kata seorang penduduk Gaza yang dikenali sebagai Ahmed Awf.
Bagaimanapun, Israel yang enggan memberi maklum balas lanjut berkenaan persetujuan itu berkata, jika persetujuan itu dihormati, usaha untuk membawa masuk bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza akan berjalan dengan lancar.
“Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk awam yang menyatakan sokongan mereka ke atas Gaza, tetapi kami tidak mahu melihat Hamas membina semula kekuatan ketenteraan mereka,” kata jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Mark Regev.
Israel berpendapat pergerakan Hamas kini sedang mengalami tamparan hebat selepas beberapa orang pemimpin sayap ketenteraan mereka terbunuh, selain terowong bawah tanah yang menghubungkan mereka dengan kawasan sempadan Israel dimusnahkan.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki berkata, pihaknya menggesa kedua-dua belah pihak untuk mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah ditetapkan bagi memastikan gencatan senjata berkenaan ‘bersifat kekal dan berterusan’.
“Kami melihat perkara ini sebagai satu peluang, bukan satu kepastian. Perjalanan masih panjang dan kita harus sentiasa menyedari akan perkara ini. Kita akan tangani masalah ini secara terbuka,” jelas Psaki.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_03/Penduduk-Gaza-rai-kejayaan#ixzz3BeOfra9O  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Kemenangan untuk Gaza

Sebahagian penduduk Palestin, memantau kerosakan pada sebuah bangunan yang runtuh selepas dibedil oleh tentera rejim Zinonis di Gaza City, semalam. – AFP
RAMALLAH 26 Ogos – Delegasi Palestin hari ini menyatakan, pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata ‘jangka panjang’ dengan Israel di Kaherah, bagi menghentikan pergolakan di Gaza yang masuk hari-50.
Bagaimanapun tiada maklum balas daripada pihak Israel terhadap persetujuan untuk menamatkan konflik yang berlanjutan selama tujuh minggu di wilayah itu.
Pegawai Palestin menyatakan, gencatan senjata itu akan dikuatkuasakan pada pukul 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam ini waktu Malaysia).
Presiden Mahmoud Abbas juga akan memberikan perincian lanjut mengenai perkara itu dalam satu ucapannya di Tebing Barat.
“Menurut persetujuan itu, sekatan ke atas Genting Gaza akan ditamatkan dan tuntutan penduduk Gaza akan dipenuhi,” jelas pegawai itu yang enggan dikenali.
Kejayaan mencapai persetujuan itu turut disahkan oleh timbalan pemimpin Hamas, Mussa Abu Marzuk di Facebooknya.
“Rundingan itu berakhir dengan perjanjian yang memperlihatkan ketegasan dan kemenangan penduduk Palestin,” katanya.
Pegawai Palestin itu menambah, persetujuan tersebut dicapai selepas 48 jam usaha diplomasi menyeluruh oleh ketua delegasi Palestin ke Kaherah, Azzam al-Ahmed.
“Sepanjang 48 jam itu, Azzam berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan pejuang Hamas, Jihad Islam dan pemimpin Mesir selain berulang-alik ke Ramallah, Gaza dan Doha,” jelasnya.
Sementara itu di Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dijangka membuat pengumuman rasmi tentang persetujuan tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_03/Kemenangan-untuk-Gaza#ixzz3BYGVL9gJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Israel teruskan serangan

PENDUDUK Palestin memerhati sebuah kenderaan yang ranap akibat terkena bedilan tentera Israel di Gaza, kelmarin. -REUTERS
GAZA CITY 25 Ogos – Sekurang-kurangnya 16 lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk pegawai kewangan Hamas apabila Israel bertindak melancarkan lebih 30 serangan udara ke atas Gaza sejak tengah malam tadi.
Pasukan perubatan Palestin mengesahkan pegawai kewangan Hamas, Mohammed al-Ghul terbunuh dalam serangan itu ketika beliau sedang memandu di Gaza City.
Selain al-Ghul, enam kanak-kanak antara mangsa yang terkorban apabila tentera rejim Zionis meningkatkan serangan ke atas Gaza sebagai usaha menghapuskan Hamas, dengan serangan udara Israel tertumpu di kawasan utara Gaza.
Dengan angka terbaharu itu, jumlah korban penduduk Palestin dalam serangan Israel di Gaza meningkat kepada 2,112 orang, ketika ekonomi Gaza memerlukan masa lebih tiga tahun untuk pulih semula, ekoran kemusnahan teruk dalam sektor perindustrian, perladangan dan peningkatan kadar pengangguran.
Tiga penduduk Yahudi turut dilaporkan cedera apabila pejuang Palestin melepaskan tembakan di kawasan sempadan Israel-Gaza di Erez.
Menurut laporan portal BBC, lebih 360 kilang dilaporkan musnah atau rosak teruk dan beribu-ribu ekar tanah pertanian terjejas akibat serangan udara, bedilan meriam dan kereta kebal tentera rejim Zionis Israel sejak operasi ketenteraan dilancarkan ke atas Gaza bermula 8 Julai lalu.
Persekutuan Industri Palestin dalam laporannya menyebut, hampir 10 peratus kilang di Gaza tidak boleh beroperasi dan kebanyakan kilang terpaksa menghentikan operasi sepanjang konflik sehingga menyebabkan kerugian lebih AS$70 juta (RM210 juta).
Pertubuhan Pertanian dan Makan (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula melaporkan, kira-kira 42,000 ekar tanaman mengalami kerosakan dan setengah daripada ternakan penduduk Gaza juga musnah.
Tambah FAO dalam kenyataannya, lebih sembilan peratus hasil tangkapan ikan terjejas sepanjang tempoh antara 9 Julai dan 10 Ogos lalu.
Penganalisis ekonomi yang beribu pejabat di Gaza, Omar Shaban berkata, anggaran awal kemusnahan ekonomi akibat perang di Gaza menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berbanding konflik Hamas-Israel pada 2008-9.
“Malah kadar pengangguran dijangka meningkat sehingga 40 peratus akibat kemusnahan banyak kilang dan tempoh untuk ekonomi Gaza pulih semula bergantung kepada perjanjian gencatan senjata sama ada sekatan ditarik semula atau tidak,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140826/lu_05/Israel-teruskan-serangan#ixzz3BStnkXt8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Israel bedil pusat kawalan Hamas

PENDUDUK Palestin memerhati runtuhan bangunan pangsapuri 13 tingkat selepas terkena bedilan meriam tentera Israel di Gaza City, semalam. – AFP
GAZA 24 Ogos – Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, hari ini dengan menjadikan sebuah bangunan kediaman setinggi 13 tingkat sebagai sasaran, mengakibatkan 17 penduduk Palestin cedera.
Israel mendakwa bangunan itu merupakan pusat kawalan pergerakan Hamas.
Dalam serangan itu Menara Al Zafer di Gaza City dilaporkan ranap.
Ia merupakan serangan Israel pertama yang memusnahkan satu struktur besar dan paling tinggi di Gaza sejak Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu pada 8 Julai lalu.
Israel melancarkan 60 serangan udara hari ini, manakala Hamas melancarkan 64 roket dan mortar ke arah wilayah Israel.
Israel memberikan tembakan amaran 10 minit sebelum melancarkan serangan roket ke arah menara tersebut.
Penduduk tempatan berkata, bangunan tersebut merupakan kediaman bagi 44 keluarga.
Semalam, Israel melancarkan 55 serangan ke atas Gaza mengorbankan 10 orang penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ketika Mesir menggesa pergerakan Hamas dan rejim Zionis itu kembali ke meja rundingan damai.
Dalam pada itu, dua buah peluru berpandu dilancarkan dari Lebanon mengenai Galilee di Israel.
Sumber Israel dan Lebanon menyatakan mereka tidak dapat mengenal pasti siapa dalang serangan itu. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.
Dalam pada itu, Mesir menggesa Israel dan Palestin melaksanakan semula gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun, tiada tanda-tanda rundingan itu akan diadakan semula dengan gencatan senjata sebelum ini berakhir awal minggu ini tanpa sebarang penyelesaian.
Pegawai kesihatan Palestin berkata, kira-kira 2,085 orang penduduk Palestin terkorban, kebanyakan mereka orang awam termasuk lebih 400 orang kanak-kanak, sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140825/lu_03/Israel-bedil-pusat-kawalan-Hamas#ixzz3BNlBx6W6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Gaza kembali berdarah

SEBUAH rumah penduduk Palestin musnah terkena bedilan jet tentera udara Israel di Gaza City, semalam. – AFP
GAZA CITY 23 Ogos – Israel meningkatkan tekanan ke atas pergerakan Hamas dengan melancarkan serangan udara ke atas lebih 20 sasaran di Gaza yang mengorbankan tujuh rakyat Palestin termasuk tiga kanak-kanak, ketika Mesir bersedia untuk mengusahakan rundingan gencatan senjata baharu.
Menurut Israel, mereka melancarkan sebanyak 35 serangan udara di Gaza, hari ini, sementara Hamas melancarkan kira-kira 30 roket dan peluru mortar ke wilayah Israel, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan di pihak Israel.
Tentera Israel turut menghantar khidmat pesanan ringkas, pesanan suara dan risalah memberi amaran kepada penduduk Palestin supaya tidak mendekati anggota Hamas dan anggota Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas dan rumah yang dipercayai dijadikan aktiviti ketenteraan pergerakan tersebut.
Menurut saksi dan pegawai Palestin, dua masjid musnah di kawasan Khan Younis di selatan Gaza dengan serangan ketiga mengenai kem pelarian Shati yang telahpun rosak sebelum ini akibat dibedil oleh tentera Israel.
Pegawai perubatan Palestrin berkata, serangan udara Israel itu turut meranapkan sebuah rumah di Al-Zawayda di tengah Gaza yang mengorbankan sepasang suami isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun termasuk ibu saudara mereka yang berusia 45 tahun.
Israel memperhebatkan serangan selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk membalas kematian seorang kanak-kanak Israel berusia empat tahun di rumahnya di kibbutz Nahal Oz, semalam akibat terkena mortar Hamas.
Mesir menerusi Kementerian Luarnya dalam pada itu mengeluarkan kenyataan ringkas, hari ini menggesa kedua-dua pihak menyambung kembali rundingan tidak langsung bagi melaksanakan gencatan senjata yang muktamad.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang berada di Kaherah selepas bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi turut menggesa supaya proses rundingan itu segera diadakan semula.
“Matlamat utama saya adalah supaya rundingan gencatan senjata diteruskan di Mesir secepat mungkin bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah,’’ kata Mahmoud pada sidang media selepas bertemu Abdel Fattah.
Diplomat Mesir sementara itu berkata, Kaherah menjangkakan pihaknya akan menerima maklum balas daripada Israel dan Hamas pada Isnin ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_04/Gaza-kembali-berdarah#ixzz3BNFy9C4I  © Utusan Melayu (M) Bhd