APANAMA: Kerajaan membalas budi TABUNG HAJI menerusi 1MDB?

APANAMA: Kerajaan membalas budi TABUNG HAJI menerusi 1MDB?: Pada awal bulan Mei negara dikejutkan dengan pendedahan satu urusniaga yang melibatkan duit tabungan pencarum Tabung Haji.  Urusniaga su…

Advertisements

SPR wajar letak syarat wajibkan bakal Ahli Parlimen, ADUN fasih berbahasa Melayu

30 April 2015 1:40 AM
RAIS YATIM tidak ketinggalan menggunakan Instagram ketika melawat gerai-gerai pameran pada majlis perasmian Hari Kualiti UIA di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/HALIM KHALID
KUALA LUMPUR 29 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mewajibkan ahli politik yang ingin bertanding dalam pilihan raya mesti fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, fasih dalam bahasa kebangsaan amat penting bagi membolehkan wakil rakyat mendengar dan membawa masalah rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat secara berkesan.
“Wakil rakyat haruslah fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan dan bukannya hanya menguasai bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sahaja.
“Tidak perlu penggubalan undang-undang pada skala besar, memadai SPR meletakkan syarat supaya ahli politik yang mahu bertanding perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada Hari Kualiti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut dihadiri Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin di sini hari ini.
Baru-baru ini, pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan kegagalan sesetengah wakil rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di negara ini.
Tambah Rais, jika kefasihan pertuturan dalam bahasa Melayu dapat disyaratkan oleh SPR, perkara tersebut akan menjadi satu panduan yang boleh dicontohi dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.
Mengulas mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini, Rais berkata, apa yang harus ditanamkan di dalam fikiran semua pihak ialah bahasa Melayu juga mampu memainkan peranan itu sebagaimana bahasa Inggeris.
“Kita harus memperbanyakkan penghasilan dan penerbitan buku teks dalam bahasa kebangsaan.
“Universiti juga harus memperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara bagi mengangkat martabatnya dan supaya kegemilangannya di Nusantara seperti satu ketika dahulu dapat dikembalikan,” katanya

Peguam Anwar boleh ‘tutup buku’

02 April 2015 2:18 AM
KUALA LUMPUR 1 April – Keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sekali gus menutup bukan sahaja prosedur bagi bekas ketua pembangkang itu untuk ‘duduk’ dalam Parlimen, malah mengekang ‘helah’ oleh para peguamnya untuk meneruskan isu berkenaan.
Rais Yatim
Pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, dengan keputusan lembaga pengampunan itu juga Anwar tidak lagi berada dalam keadaan was-was berhubung kedudukannya sebagai ahli parlimen.
“Keputusan Lembaga Pengam­punan ini menghabiskan venue atau prosedur baginya (Anwar) untuk duduk di Parlimen dan diharap notis daripada Mahkamah Tinggi itu disebarluaskan supaya liputan berhubung isu ini tamat 100 peratus.
“Perkara-per­kara yang akan dibangkitkan oleh peguam-peguamnya (Anwar) selepas ini boleh dianggap sekadar ‘helah politik’ yang bukan beralaskan undang-undang.
“Dan kalau ada yang hendak meneruskan isu (membebaskan Anwar) ini ke hadapan, maka ia harus ditutup mulai hari ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais mengulas kedudukan Anwar yang telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan pada 16 Mac lalu.
Hilang kelayakan itu berkuat kuasa serta-merta dengan penolakan petisyen pengampunan tersebut, sejajar dengan peruntukan Artikel 48 (4) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang menghalang Anwar daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

HUDUD : Ahli Parlimen bukan Islam 
perlu beri laluan – Hadi

31 Mac 2015 2:16 AM
ABDUL HADI AWANG (dua kiri) bersama Mohamad Sabu (kiri), Mustafa Ali (dua kanan) dan Takiyuddin Hassan semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 30 Mac –Ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam perlu memberi laluan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu selaras dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain diamalkan secara bebas di negara ini.
“Adalah tidak wajar Perlembagaan kita tidak memihak kepada orang Islam untuk melaksanakan hukum syariat sendiri sedangkan agama lain bebas.
“Islam adalah agama Persekutuan. Ini percanggahan yang perlu diperbetulkan oleh semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Tindakan itu menyebabkan sekutu Pas, DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan turut meminta beliau meninggalkan pakatan pembangkang jika mahu membentangkan rang undang-undang persendirian atas kapasiti Ahli Parlimen pakatan pembangkang.
Beliau menambah, semua ahli Parlimen yang beragama Islam seharusnya menyokong rang undang-undang persendirian tersebut tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka.
“Bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan memerlukan pindaan kepada Jadual Kesembilan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, pindaan turut merangkumi kaedah sebatan yang bakal digunakan agar hukuman itu lebih berunsur mendidik pesalah.
Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara termasuk di Kelantan.
“Pada masa ini, hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan,” ujarnya.
Jelas beliau, sebagai perban­dingan, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, denda RM10,000 dan 12 sebatan.