Jangan terlalu taksub tukar kerajaan

DARI UTUSAN MALAYSIA
14/2/2013

PUTRAJAYA 13 Feb. — Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ada golongan muda terlalu taksub dan percaya bahawa hanya perubahan dalam pemerintahan negara akan dapat mengubah keadaan hidup mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, golongan ini ingin melihat perubahan pentadbiran kerajaan semata-mata kerana percaya janji-janji pembangkang.
“Apa jua yang dikatakan oleh Barisan Nasional (BN) nampak tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi nampak tidak berkesan kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa hanya perubahan pemerintahan akan membawa kepada perubahan dalam kehidupan mereka, sebab itu keadaan sekarang berbeza dengan suatu masa dulu,” kata beliau dalam temu bual di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Katanya, ketika Malaysia tidak banyak pembangunan dan masih dianggap negara membangun, setiap perubahan akan dihargai, berbeza dengan orang muda sekarang yang lahir semasa negara sudah mencapai banyak kemajuan yang ketara.
Menurutnya, generasi sekarang tidak mengalami keadaan negara miskin, terhad dalam peluang pekerjaan, peluang pelajaran, peluang menjadi ahli profesional dan sebagainya, menjadikan mereka tidak begitu menghargai kemajuan semasa.
“Bila kita anggap sesuatu itu sebagai perkara biasa, kita tidak begitu menghargainya. Kita menghargainya bila kita mendapat sesuatu yang tidak kita pernah dapat, tapi mereka dilahirkan di zaman negara sudah capai banyak kemajuan dan bagi mereka, ini memang keadaan biasa, dengan itu mereka tidak menghargainya,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, golongan sekarang juga dilihat terlalu terdedah dengan pengaruh Barat, umpamanya berhubung prinsip kebebasan, mengakibatkan mereka berpendapat keadaan sekarang masih belum cukup bebas, masih lagi tersekat dalam banyak perkara.
Beliau mengakui memang banyak yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenangi hati golongan muda dalam tempoh masa yang semakin suntuk, ketika bahang pilihan raya umum sudah terlalu hampir.
(Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhanjaya Pilihanraya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan daripada jumlah itu 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun).
Dr. Mahthir berkata, sejak pilihan raya umum lepas, kepimpinan Najib dilihat berusaha gigih untuk meraih kembali kepercayaan pengundi, dan sedikit sebanyak beliau kelihatan berjaya.
Katanya, Najib sudah tidak punyai banyak masa, semasa beliau bertungkus lumus bekerja keras untuk mendekati rakyat seramai mungkin, beliau juga berhadapan dengan pelbagai tuntutan daripada banyak pihak.
“Masa saya (masih Perdana Menteri) dulu orang tidak tahu bila ada election (pilihan raya), jadi dengan itu, sebelum mereka buat tuntutan itu ini, kita sudah adakan election. Tapi bila kita tunggu sampai saat terakhir yang mana kita terpaksa bubar Parlimen, tidak ada unsur kejutan lagi, semakin hampir pilihan raya, semakin banyak tuntutan diterima,” katanya.
Mengenai konsep 1Malaysia, Dr. Mahathir berkata, ia sememangnya baik dan ia memerlukan sambutan daripada semua kaum.
Katanya, kesejahteraan dan keharmonian negara selama ini ialah hasil persetujuan antara kaum untuk berkongsi kuasa, sekali gus menjauhkan keadaan huru-hara.
“…dengan itu negara dapat dimajukan, kalau hari ini masing-masing kaum hendakkan semua yang mereka tuntut, ini akan sebabkan ada kaum yang tidak puas hati, maka kestabilan negara tergugat.
“(Dan) kemajuan tidak tercapai, ekonomi tidak akan tumbuh dan kita semua tidak akan dapat nikmat pembangunan. Ini patut semua kaum faham,” katanya. — BERNAMA

Advertisements

PM – Gelombang menggerak belia

Najib Tun Razak menyanyikan lagu I Am For You (iM4U) diiringi belia yang hadir dengan penuh bersemangat pada program 1M4U di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan akan menggerakkan satu gelombang untuk golongan muda secara besar-besaran melalui platform 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi mencetus kejayaan lebih gemilang kepada negara menerusi idea serta sumbangan golongan belia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berbeza dengan pembangkang yang galak mencipta gelombang dalam kalangan orang muda bagi tujuan rusuhan dan demonstrasi jalanan, kerajaan sebaliknya mahu gelombang massa itu menjayakan transformasi Malaysia.
Menurutnya, sebagai komitmen untuk melonjakkan gelombang tersebut dengan bersandar pada semangat sukarelawan para belia di atas platform 1M4U, kerajaan meluluskan penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) berjumlah RM100 juta.
Jelasnya, dana tersebut akan diagih-agihkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta badan beruniform yang giat menjalankan aktiviti sukarelawan dengan beliau sendiri bertindak sebagai Lembaga Pemegang Amanah 1M4U.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, sebuah stesen radio 1M4U juga akan diwujudkan berteraskan minat serta cita rasa anak muda untuk membolehkan mereka mengetengah bakat masing-masing sekali gus menyemarakkan lagi usaha menggerak gelombang tersebut.
“Kita akan mencetuskan satu gelombang besar-besaran yang cukup hebat. 1M4U titik permulaan kepada gelombang massa ini dalam kalangan orang muda. Gelombang ini bukan untuk membuat rusuhan atau demonstrasi jalanan tetapi bagi membina Malaysia berjaya.
“Gelombang ini bukan untuk membawa kerosakan kepada negara tetapi akan mengangkat Malaysia ke martabat yang lebih gemilang. Masa depan negara kita ditentukan oleh belia, kalau belia cinta keamanan, aman negara kita, kalau suka membela, maka masyarakat kita akan terbela.
“Sebab itu kita lancarkan 1M4U, ia bererti saya Perdana Menteri untuk kamu, kami (Barisan Nasional) adalah kerajaan untuk belia pada hari ini dan masa hadapan,” katanya di hadapan lebih 50,000 belia sambil disambut laungan 1Malaysia oleh anak-anak muda tersebut.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program 1M4U yang dijayakan bagi tujuan menggembleng belia pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan di Taman Esplanade 
KLCC di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Timbalannya Datuk Razali Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mengulas lanjut, Najib berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencetus gelombang tersebut secara massa, tahun depan akan diisytiharkan sebagai Tahun Sukarelawan bagi melahirkan lebih ramai ikon belia dalam bidang sukarelawan negara.
Sambil memberi contoh, ikon belia, Mohd. Zhariff Afandi yang kudung kedua-dua belah tangan tetapi aktif membantu masyarakat, beliau berkata, platform 1M4U akan melahirkan ribuan lagi insan berhati mulia seperti tokoh orang kurang upaya (OKU) tersebut pada masa hadapan.
“Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menggerakkan idea ini, anggaplah 1M4U ini gerakan untuk kita dan saya sebagai Perdana Menteri bersama rakan-rakan dalam kerajaan pada hari ini akan terus menyumbang dan membantu para belia tanah air,” katanya.

KOMEN : JADIKAN BELIA HARI INI LEBIH BERJATI DIRI UNTUK MENJADI BAKAL PEMIMPIN MASA HADAPAN…

Masa depan cerah

Oleh Syuhada Choo Abdullah
DARI BERITA HARIAN ONLINE
2012/06/13

NAJIB berinteraksi dalam talian dengan orang ramai pada sesi sembang secara langsung melalui laman web NSTLive di Balai Berita, semalam. - Foto Aizuddin Akmal Saad

NAJIB berinteraksi dalam talian dengan orang ramai pada sesi sembang secara langsung melalui laman web NSTLive di Balai Berita, semalam. – Foto Aizuddin Akmal Saad

BN mampu wujud peluang kemajuan, kualiti hidup lebih baik untuk generasi muda: PM

KUALA LUMPUR: Generasi muda diberi jaminan akan mengecapi masa depan lebih baik jika terus memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata BN sudah membuktikan mampu menunaikan janji kepada rakyat.

Esok tentunya lebih baik daripada hari ini. Kita sudah membuktikan yang kita mampu menunaikan janji.
Orang muda inginkan peluang untuk kemajuan dan kualiti hidup yang lebih baik. BN boleh memenuhi aspirasi mereka, katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Kamal mengenai jaminan beliau kepada generasi muda yang mengundi BN, pada sesi sembang secara langsung melalui laman web New Straits Times (NST), NSTLive, di Balai Berita di sini, semalam.

Najib berkata, BN juga perlu menyuntik kesegaran dengan memilih bakat baru pada PRU-13 dan pada masa sama memastikan kesinambungan dengan mengekalkan beberapa pemimpin sedia ada yang masih popular dalam kalangan rakyat.

Menjawab soalan Mohamad Affian Nordin mengenai keyakinan beliau bahawa BN dan UMNO akan memenangi PRU-13, Najib berkata, ia berdasarkan sambutan rakyat ketika menemui mereka dalam banyak lawatannya ke seluruh negara.

Saya percaya tahap kepercayaan dan keyakinan terhadap kerajaan sudah meningkat kerana kita berjaya membuktikan melalui Dasar Transformasi Nasional, kita dapat memenuhi apa dikehendaki rakyat, katanya.

Mengenai petunjuk tarikh PRU-13 pula, Perdana Menteri berkata, beliau sedang meneliti semua kemungkinan.

Anda ada cadangan, katanya kepada KFTANG yang mengemukakan soalan itu.

Ketika ditanya anak Sarawak mengenai cabaran besar untuk BN meraih sokongan di kawasan bandar, terutama daripada pengundi Cina, beliau berkata, pihak berkenaan perlu memahami bahawa masa depan mereka lebih baik di bawah pentadbiran BN yang dapat memastikan keamanan, kestabilan, keharmonian dan kemakmuran.

Dalam konteks ini, katanya, perbezaan utama ialah tahap keupayaan BN menunaikan janji kepada rakyat adalah jauh lebih besar.

Kita perlu meneruskan engagement dengan pengundi di kawasan bandar, termasuk Cina, katanya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung projek Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) dan hanya akan berbuat demikian selepas berpuas hati dan rakyat tidak gusar sebarang perkara tidak diingini, termasuk dalam jangka panjang.

Kita perlu melalui proses meyakinkan orang ramai bahawa kilang itu selamat, katanya pada sesi selama sejam bermula tepat pada jam 12 tengah hari itu. 

KOMEN : CUBA FIKIRKAN YANG NAK DIBANGUNKAN LEBIH SUKAR DARI YANG NAK MENGHANCURKAN… DALAM MASA TAK SAMPAI SESAAT SESUATU YANG DIBINA BERTAHUN LAMANYA BOLEH MUSNAH DALAM SEKELIP MATA… RENUNGKAN?

JANGAN IKUT PERANGAI ANWAR…

Belia jangan ikut menongkah arus

Najib Tun Razak menyanyikan lagu ‘1Malaysia’ pada perasmian Perhimpunan Belia 4B Malaysia di i-City, Shah Alam, Selangor, semalam. Turut hadir Mohd. Ali Rustam, Noh Omar, Ahmad Shabery Cheek, Mohd, Zin Mohamed dan Muammar Ghadafi Jamaludin. – BERNAMA

SHAH ALAM 9 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan golongan belia di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan golongan yang menongkah arus menuntut perubahan menerusi pendekatan dan tindakan yang tidak betul.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, belia perlu menuntut perubahan dalam bentuk yang lebih terpuji dan berakhlak mulia dalam menjamin kelangsungan masa depan negara.
“Tidak ada makna kalau menuntut sesuatu perubahan seperti pilihan raya umum yang bebas dan adil tetapi mengadakan rusuhan jalanan dan menyerang polis.
“Semua orang mahukan perubahan, namun tindakan itu bukan cara yang baik. Sebab kita tahu masa depan negara bergantung kepada peranan kaum pemuda dan belia, negara akan berjaya sekiranya belia kita mempunyai akhlak terpuji lagi mulia,” tegasnya.
Perdana Menteri menyampaikan peringatan tersebut di hadapan kira-kira 15,000 belia dari seluruh negara ketika berucap melancarkan Perhimpunan Evolusi KNR (Kelab Najib Razak) Gerakan Belia 4B Malaysia di i-City di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.
Turut hadir, Menteri Belia Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Alumni Gerakan Belia 4B, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muammar Ghadafi Jamaludin.
Perdana Menteri yang menyedari orang muda mahukan perubahan yang pantas mengingatkan bahawa langkah ke arah itu perlu dilakukan dalam evolusi sebagaimana disaksikan melalui kejayaan sejarah pembangunan di negara ini sejak merdeka.
Beliau menegaskan, perubahan secara evolusi adalah pendekatan terbaik yang harus dipegang oleh semua pihak dalam memastikan perubahan berjalan dengan teratur dan baik.
“Berdasarkan sejarah manusiawi dan peradaban sejak dahulu hingga ke hari ini, dalam konteks kontemporari, evolusi adalah lebih berkesan daripada revolusi.
“Siapa yang dapat bayangkan evolusi Malaysia yang bermula dari sebuah negara miskin, kecil, tidak mempunyai keyakinan dan tidak optimis bahawa kita mungkin berjaya sebagai sebuah negara bangsa.
“Siapa yang membina bandar Shah Alam kalau tidak lain dan tidak bukan kepimpinan kita. Siapa yang membangunkan Putrajaya kalau tidak lain tidak bukan kepimpinan kita,” katanya.
Berbanding dengan perubahan dalam bentuk revolusi, kata beliau, pendekatan itu dilihat tidak berkesan dalam usaha mewujudkan satu keadaan yang baik.
“Kita lihat Mesir, walaupun perubahan patut berlaku tetapi hari ini belum dapat tenteramkan keadaan, ekonomi mereka tidak menentu dan hampir lumpuh, pelancongan mereka sedikit sangat orang hendak pergi, pengangguran bertambah dan perkembangan ekonomi mendatar.
“Ini kerana mereka tidak dapat menangani perubahan dengan cara tersusun berbanding Malaysia, perubahan secara terancang dan sistematik serta perubahan kepimpinan dengan baik,” tegasnya.

KOMEN : SEBAGAI PEMIMPIN MASA DEPAN NEGARA, BELIA USAH TERIKUT-IKUT PERANGAI PUAK PEMBANGKANG YANG NAK MELINGKUPKAN NEGARA….

BILA HILANGNYA NILAI SIFAT MALU….

Azmin terus didesak, dicabar

SEBAHAGIAN daripada para belia memegang sepanduk sebagai tanda protes pada demonstrasi secara aman di hadapan rumah Azmin Ali di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, semalam. – MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun – Sekumpulan individu yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO serta Pertubuhan Belia daerah Ampang Jaya hari ini berhimpun secara aman di hadapan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, mencabar pemimpin itu tampil memberi penjelasan berhubung semua dakwaan terhadapnya.
Menurut ketua perhimpunan itu, Safarizul Mustafa, gesaan itu dibuat berikutan sikap Azmin yang berdiam diri atau berdolak-dalik setiap kali timbul tuduhan salah laku melibatkannya dan keluarga.
“Sebelum ini, jika ada sebarang isu mengaitkan pemimpin lain khususnya daripada pihak kerajaan, Azmin adalah individu yang paling beria-ia muncul kononnya menuntut keadilan atau penjelasan.
“Bagaimanapun, kenapa beliau bertindak sebaliknya apabila wujud dakwaan mengaitkannya. Azmin terus berdiam diri atau tidak mengaku salah apabila terkena diri sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas berhimpun kira-kira 10 minit bersama kira-kira 30 wakil pertubuhan dan membawa pelbagai sepanduk.
Semalam, sekumpulan penduduk Bukit Antarabangsa menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu tampil membuktikan beliau bukanlah individu yang dikaitkan dalam skandal seks dengan seorang wanita seperti disiarkan beberapa blog pada 30 Mac lalu.
Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor/Wilayah Persekutuan turut menggesa Azmin membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan proses siasatan berhubung pemilikan harta yang tidak munasabah.
Terdahulu, adik kepada Azmin, Ummi Hafilda turut mendedahkan dokumen sebahagian daripada aset yang dimiliki oleh abangnya itu dan Shamsidar dipercayai bernilai lebih RM30 juta.
Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer saham, deposit bank, resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994.
Kekayaan luar biasa itu menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana ketika itu, Azmin bekerja sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menerima gaji hanya sebanyak RM2,442 manakala isterinya pula hanyalah seorang suri rumah yang tidak bekerja.

KOMEN : KASIAN ANAK-ANAK DIA? APA NAK JADI JANGAN KATA NAK DISAHKAN…. NAFI PUN TIDAK…?

Himpunan Jutaan Belia 2012

‘Jadikan hari esok lebih baik’

dari Mingguan Malaysia
27/5/2012

Najib Tun Razak (kiri) berucap di hadapan para belia ketika Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 26 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu suara belia Malaysia yang disifatkan sebagai keramat dan penentu masa depan negara ‘dilaungkan’ secara penuh beradab, berhemah mulia, tertib dan mengikut undang-undang.
Berucap di hadapan puluhan ribu belia dari seluruh pelosok tanah air yang berhimpun di sini, Perdana Menteri berkata, hanya belia yang bergerak seiring dengan tuntutan-tuntutan tersebut boleh menjamin masa depan negara.
“Saya nak tunjuk imej himpunan kita ini, bagaimana kita duduk dalam keadaan aman, tak ada ketakutan, tak ramai pun anggota polis.
“Polis pun agak lega, polis pun tak rasa cemas, orang ramai pun tak rasa cemas, inilah gambaran belia yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini,” katanya berucap melancarkan Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012.
Menurut Perdana Menteri, belia yang melakar imej liar, yang menendang anggota polis, terbaring atas jalan bukan gambaran belia yang boleh menjamin masa depan negara. Begitu juga, katanya, gambaran belia yang sedang melonjak-lonjak atas kereta polis bukan gambaran belia yang bersopan santun yang boleh rakyat bergantung harap untuk masa depan.
“Gambaran belia yang membaling batu dan menyerang anggota keselamatan bukan belia Malaysia yang boleh jadi contoh.
“Yang boleh jadi contoh adalah saudara saudari yang berhimpun di himpunan belia di sini. Majoriti adalah belia macam saudara saudari, jangan biarkan segelintir belia hijack agenda dan imej negara kita,” kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Najib mahu belia-belia yang menyertai perhimpunan hari ini supaya tidak membiarkan golongan yang tidak bertanggungjawab itu merebut kuasa di negara ini dan memastikan Putrajaya kekal milik mereka.
Katanya, wajib bagi golongan belia mempertahankan Putrajaya kerana apa yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen sambil mengingatkan bahawa rusuhan jalanan, membaling batu, menendang anggota polis bukan demokrasi tetapi demo crazy.
“Belia bukan demo crazy tetapi mereka menghormati dan menyanjung amalan prinsip berparlimen, belia ada kuasa untuk menggunakan kuasa itu dengan penuh kematangan, menggunakan kuasa dengan penuh bijaksana,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan para belia supaya tidak termakan hasutan, tidak terpedaya dengan fitnah, ucapan-ucapan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghasut.
“Kita harus tahu memilih antara intan dan permata, siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini,” katanya.
Najib mengulangi keyakinannya bahawa suara belia yang berhimpun di Putrajaya adalah alunan gelombang semangat yang tahu memilih kerajaan yang benar-benar boleh menjamin masa depan rakyat.
“Hari esok lebih baik dari hari ini dan saya dah rakan-rakan anggota Kabinet yang berhimpun atas pentas, kami tak ada pilihan melainkan atas bahu kami.
“Kami melihat muka saudara-saudara muka belia hari ini, saudara pewaris, apa yang kita lakukan agenda tak lain tak bukan nak serah sebuah negara Malaysia yang lebih baik dari hari ini.
“Sebuah negara yang lebih berjaya dari hari ini, sebuah negara yang lebih hebat dari hari ini, kejayaan daripada segala sudut, bila jadi negara maju,” katanya.
Perdana Menteri juga mahu belia Malaysia bersatu padu untuk melonjakkan negara menjadi lebih hebat dan berjaya.

KOMEN : KALAU MENYOKONG PUAK PEMBANGKANG APA YANG KITA DAPAT?

UiTM sentiasa membantu pelajar bumiputera

DARI UTUSAN MALAYSIA 
22/5/2012

TANAH MERAH 21 Mei – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan berusaha mencari jalan bagi membantu lebih ramai pelajar bumiputera, terutama dari keluarga berpendapatan rendah di luar bandar untuk memasuki universiti itu setiap tahun.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilaksanakan UiTM itu akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar bumiputera yang miskin melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Beliau berkata, program itu juga bertujuan mengimbangi kadar kemasukan ke universiti antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar supaya mereka yang berupaya belajar tidak tercicir dalam pengajian di peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.
“Pelajar-pelajar di kawasan bandar memang mempunyai kelebihan dari segi mendapatkan peluang pendidikan yang baik di peringkat sekolah kerana adanya kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap dan sebagainya.
“Bagaimanapun, pelajar miskin tercicir khususnya di luar bandar tidak boleh dibiarkan tercicir dalam mendapatkan peluang pendidikan yang baik. Ini penting bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala tidak sihat seperti merempit dan aktiviti anti sosial,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Ke UiTM Parlimen Tanah Merah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah (1) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz; Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd Shukri Omar dan Pengerusi Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB), Mohd. Faizal Daud.
Menurut Sahol Hamid, kemudahan yang disediakan kepada pelajar yang mengikuti Program Pra Diploma di UiTM seperti yuran pengajian percuma dan elaun sara diri antaranya adalah hasil sumbangan Alumni UiTM dan derma daripada syarikat milik kerajaan.
Sementara itu, UMNO Bahagian Tanah Merah membantu hampir 600 pelajar di Parlimen Tanah Merah dalam rayuan mereka untuk mengikuti Program Pra Diploma, Asasi dan Diploma di UiTM pada tahun ini.
Menurut Ikmal Hisham, pihaknya sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai agenda utama dalam membantu mengubah nasib anak-anak dan keluarga khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Kami telah mengamalkan budaya dan memainkan peranan ini lebih 11 tahun menerusi pelbagai inisiatif untuk membantu dan menggalakkan pelajar di daerah Tanah Merah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Ikmal Hisham berkata, UMNO Bahagian Tanah Merah sentiasa berusaha membantu pelajar-pelajar di kawasan itu bukan sahaja untuk rayuan kemasukan ke universiti malah, ke Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh.
Menurut beliau, hasil usaha bersama pelbagai pihak berjaya menjadikan Tanah Merah sebagai antara daerah di negeri Kelantan yang mempunyai ramai pelajar memasuki institusi pengajian tinggi setakat ini.

KOMEN : SYABAS UiTM , TERUSKAN USAHA MEMBANTU ANAK BANGSA SEHINGGA BERJAYA