Hari ini catu air, esok catu elektrik, lusa dua-dua dicatu

Oleh Hassan Mohd. Noor

WARGA Lembah Klang amat berharap catuan bekalan air berakhir minggu ini. Air empang­an khabarnya sudah menunjukkan peningkatan. Hujan pula semakin kerap. Biarlah hari ini atau esok tiada lagi catuan. Cukuplah ‘ke­­sengsaraan’ yang dialami. Bukannya tidak bersyukur dengan apa yang ada tetapi sekadar menyelak kembali bagaimana jika manusia mampu merancang untuk mengelak ‘kesengsaraan’ ini dan tidak menunjukkan ‘keangkuhan’. Janganlah mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Masing-masing ada kepakaran. Gunakanlah kepakaran itu sebaik mungkin bagi kepentingan ramai. Contohnya penggunaan air lombong. Tidak dinafikan, air najis pun kalau diproses akhirnya boleh diminum, tetapi biarlah semua itu menjadi pilihan terakhir.
Kalau ada pihak menyatakan tanpa Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) air mencukupi untuk tempoh beberapa tahun akan datang, maka tidak timbullah idea mengepam air lombong. Kalau pakar kata air bekas lombong boleh menimbulkan masalah maka janganlah kebimbangan itu ditolak mentah-mentah. Jangan timbulkan keresahan rakyat. Buatlah kajian kesesuaiannya. Sekarang, air bekas lombong terpaksa dipam dan bukannya percuma. Ada kos di situ. Adakah lebih murah jika dibandingkan dengan Langat 2? Menjelang titisan pertama air Langat 2 dalam tempoh tiga tahun lagi, eloklah kerajaan negeri atau pihak yang bertanggungjawab mencari jalan supaya apa yang dialami tidak berulang. Minggu ini, selepas catuan berakhir, tong, baldi, botol untuk simpanan air yang menjadi rebutan akan terbiar, disimpan di dalam stor atau tidak dipedulikan.
Bagi yang mempunyai tangki air mencukupi, mungkin mereka tidak terasa dengan catuan lebih-lebih lagi jumlah penggunaan atau isi rumah teramat kecil sehingga tidak perlu bayar bil. Seorang sahabat memberitahu, semasa catuan, air tangki masih ada. Dia bersyukur tinggal di Selangor. Itu katanya yang hanya berdua. Bayangkan bagi isi rumah yang ramai. Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Oii yang sekali sekala pulang ke Selangor dan terpaksa ‘mandi kerbau’ pun marah kepada Menteri Besar yang didakwa gagal menangani isu air. Disebabkan isu ini, beliau juga meminta Khalid Ibrahim meletak jawatan.
Seperkara lagi, sejauh mana catuan air mampu mendidik masyarakat untuk menghargai air? Apa pula langkah yang diambil oleh mereka yang tidak mengalami catuan? Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) baru-baru ini menjelaskan pemilihan kawasan catuan air bukan berdasarkan status sosioekonomi pengguna. Pemilihan berdasarkan pertimbangan teknikal sistem agihan. Pengecualian hanya pada kawasan secara khusus dikecualikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kerajaan Selangor serta pusat bandar raya Kuala Lumpur. Ia turut meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pelabuhan Klang, Zon Perdagangan Bebas, hospital kerajaan dan swasta, pusat dialisis serta Stesen Janakuasa Salahudin Abdul Aziz di Kapar. Adakah mereka yang tinggal di kawasan pengecualian ini mengambil iktibar masalah yang dihadapi kebanyakan penduduk di Lembah Klang? Adakah selepas ini, bekalan air percuma atau subsidi yang diberi akan ditarik balik untuk mendidik pengguna menjimatkan air? Adakah Kerajaan Selangor akan membuat pusingan U?
Baru-baru ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dilaporkan akan mengemukakan cadangan kepada SPAN untuk menaikkan tarif air pada kadar purata 20 peratus. Cadangan itu diluluskan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Berdasarkan cadangan itu, tarif air bagi 546,749 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang akan disemak untuk mempromosikan langkah penjimatan dan mengelakkan catuan air. Kenaikan itu diharap dapat mengurangkan penggunaan air. Dalam cadangan itu, tiada kenaikan bagi penggunaan kadar pertama seba­nyak 20 meter padu air sebulan (bersamaan 1,000 liter). Adakah kita bersetuju kenaikan tarif elek­trik mampu mendidik pengguna? Adakah pengguna bersedia menjimatkan elektrik? Adakah mereka bersedia menghadapi catuan bekalan elek­trik?
Persoalan ini timbul kerana ketika catuan bekalan air, ada pelbagai pendapat. Ada yang berkata, biar tidak ada elektrik asal ada air dan ada pula yang berkata, lebih rela tidak ada air asal ada elektrik. Kata orang, belum cuba belum tahu. Belum rasa belum tahu. Tentunya kita tidak mahu berada dalam situasi kedua-duanya tidak ada – elektrik dan air. Selak kembali situasi yang berlaku apabila bekalan elektrik terputus untuk satu atau dua jam sahaja. Kecoh dibuatnya. Di jalan raya, pergerakan kenderaan kelam kabut; di rumah, restoran dan gerai makan, banyak kerja masak memasak tidak dapat dilakukan; kilang terpaksa menghentikan operasinya dan pelbagai lagi. Begitulah ‘kesengsaraan’ tanpa elektrik.
Jika air masih boleh disimpan di dalam tangki, tong, baldi, botol dan sebagainya, apa pula yang boleh dilakukan untuk mengatasi catuan elektrik? Adakah generator serta alternatif lain semurah baldi atau tong menyimpan air? Berapa ramai yang ketika ini tanpa krisis elektrik sanggup belajar berjimat? Menyelak kebanyakan sikap orang kita, budaya berjimat hanya seketika. Hangat-hangat tahi ayam. Tengok sahaja bagaimana mereka memilih tempat makan minum. Biar papa asal bergaya. Mereka hanya pandai mengkritik mengenai harga yang melambung. Sebagai pengguna, mereka boleh memilih untuk mencari tempat yang lebih murah. Begitu juga apabila harga rokok dan gula dinaikkan. Adakah penggunaannya semakin berkurangan?
Begitu juga dengan air dan elektrik. Dunia semakin pesat membangun. Manusia semakin bertambah. Keperluan semakin meningkat. Berbalik kepada elektrik, adakah kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan? Dalam hal ini, ke­perluan Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu dipenuhi. Sebagai pihak yang bertanggungjawab menyediakan bekalan elek­trik, sudah sewajarnya keperluan TNB untuk menyediakan infrastruktur berkaitan bekalan elektrik dipenuhi oleh semua pihak. Mungkin kita boleh menyelak kembali projek sebelum ini yang melibatkan kelulusan kerajaan Negeri Selangor. Tidak pasti apakah kedudukan projek kabel elektrik di Kampung Sungai Terentang. Begitu juga dengan projek Pengukuhan Kawasan Tengah (CAR) yang melibatkan pembinaan menara pencawang elektrik untuk pemasangan kabel bervoltan tinggi. Difahamkan, projek ini bagi memperkukuhkan sistem bekalan elektrik untuk menjamin tahap daya harap pembekalan elektrik bagi Sistem Grid Nasional di Semenanjung khususnya Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bekalan elektrik ini juga bagi membantu operasi Langat 2.
Maaflah jika saya tertinggal berhubung perkembangan pembangunan isu ini. Jika semuanya berjalan lancar baguslah tetapi bagaimana jika ia masih terbengkalai atau berlaku ‘tarik tali?’. Tentunya kita tidak mahu disebabkan kegagalan melaksanakan projek seumpama ini, kita akan bergelap pada masa depan dan menghadapi catuan elektrik. Langat 2 tidak bermakna jika tidak ada bekalan elektrik. Begitu juga keupayaan loji lain tanpa elektrik. Bayangkan ketika itu, hari ini tidak ada elektrik, esok tidak ada air atau lebih teruk pada hari yang sama, air tidak ada, elektrik pun tidak ada. Bagaimana agaknya kehidupan kita ketika itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140428/re_05/Hari-ini-catu-air-esok-catu-elektrik-lusa-dua-dua-dicatu#ixzz30EjB7ebr  © Utusan Melayu (M) Bhd

Bentang hudud atau kekal dalam pakatan

KUALA LUMPUR 28 April – Pas perlu membuktikan parti itu ikhlas memperjuangkan hudud dengan meneruskan hasrat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi pelaksanaan hukum Islam itu di Kelantan walaupun mungkin terpaksa meninggalkan pakatan pembangkang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, sekiranya Pas menarik balik hasratnya itu kerana mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang, maka, ia membenarkan tanggapan bahawa parti itu hanya menggunakan hukum hudud sebagai sandiwara politik untuk meraih sokongan umat Islam.
“Pas perlu buktikan yang parti itu lebih mementingkan hukum Islam atau terus bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.
“Jika Pas masih mahu terus kekal dalam pakatan dan tidak teruskan pembentangan hukum hudud di Parlimen, bermakna parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu hanya menggunakan hukum hudud sebagai sandiwara politik selama ini,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.
Menurut Syed Hassan, seluruh umat Islam di Malaysia kini memerhati dan menanti sama ada Pas mempunyai keberanian untuk membentangkan rang undang-undang persendirian itu yang menjadi perjuangan parti itu selama ini atau tunduk dengan tekanan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.
“Kita tunggu dan lihat sama ada Pas berani atau tidak membentangkan rang undang-undang hukum hudud di Parlimen. Semoga Allah SWT kuatkan iman pemimpin-pemimpin Pas,” katanya.
Jumaat lalu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan, sekiranya Pas bertegas meneruskan ranca­ngannya untuk membentangkan rang undang-undang pelaksanaan hukum hudud itu yang merupakan bukan agenda yang dipersetujui dalam kerangka pakatan pembangkang, maka parti itu sewajarnya mengambil langkah terhormat dengan berundur daripada pakatan pembangkang.
Anthony berkata, sebagai sebuah parti politik yang berprinsip dan bertanggungjawab, Pas perlu menghormati dan mengikuti asas-asas pemuafakatan yang telah dipersetujui.
Namun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan DAP dan PKR bahawa bahawa Majlis Pimpinan Pakatan pembangkang telah membuat keputusan menolak pelaksanaan hukum hudud dan menegaskan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam majlis tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140429/po_03/Bentang-hudud-atau-kekal-dalam-pakatan#ixzz30EcrpFIz  © Utusan Melayu (M) Bhd

RBA boleh didakwa pelbagai akta


Jailani Johari

KUALA LUMPUR 28 April – Tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana pihak termasuk tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) kerana menyebarkan elemen fitnah, hasutan dan provokasi tidak terhad kepada Akta Komunikasi dan Multimedia semata-mata.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, setiap kesalahan yang dilakukan dalam media sosial masih tertakluk kepada akta lain melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa.
“Contohnya kandungan melibatkan elemen fitnah, hasutan, provokasi dan sebagainya daripada pelbagai pihak termasuk yang menggelarkan diri mereka RBA, terdapat undang-undang spesifik yang boleh diguna pakai seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah kes fitnah siber dalam laman media baharu yang telah diambil tindakan.
Menurut Jailani, dalam kes seumpama itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu dengan menyiasat medium internet yang digunakan dalam menjalankan kegiatan jenayah dikenal pasti.
Katanya, kertas siasatan yang dilengkapkan secara bersama dengan agensi penguatkuasa lain akan dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau membe-ritahu, sebanyak 2,026 laman web telah disekat kerana didapati me-nyalahi pelbagai undang-undang bertulis di negara ini sepanjang tahun lalu.
Tambah beliau, berdasarkan pemantauan dan aduan diterima dari 2013 hingga Mac lepas, sejumlah 2,850 aduan penyalahgunaan internet direkodkan yang mana seba-nyak 792 daripadanya melibatkan media sosial.
“Walaupun jumlah ini kurang daripada satu peratus berbanding pengguna internet di seluruh negara, kerajaan tetap memandang serius dan mengambil berat kepada ancaman dibawa di media sosial,” katanya.
Beliau memberikan contoh bagi kes-kes fitnah berunsur penghinaan kepada institusi beraja, pemimpin negara dan provokasi agama serta kaum, sebanyak 13 kes didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dari 2008 hingga tahun lalu.
“Selain itu, laporan salah guna turut dikenakan kepada pengendali perkhidmatan seperti Facebook, Youtube, Twitter dalam membendung penyebaran maklumat tersebut,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140429/pa_01/RBA-boleh-didakwa-pelbagai-akta#ixzz30EYNFqqL  © Utusan Melayu (M) Bhd

KOMEN : CAKAP AJE…TINDAKANNYA MANA…NAK TUNGGU SAMPAI NEGARA PUNAH RANAH BARU NAK BERTINDAK… BILA KES PUAK PEMBANGKANG AJE…TINDAKAN LEMBAB MACAM SIPUT BABI…

Hudud: Ahli Parlimen BN ikut kerajaan




Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 April – Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan membuat pengundian berdasarkan pendirian kerajaan terhadap usul rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau selewat-lewatnya Disember ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pendirian kerajaan berhubung usul yang bakal dibawa oleh Kerajaan Pas Kelantan itu selepas ini.
“Pendirian saya adalah mengikut ketetapan kerajaan. Jadi, pendirian kerajaan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti.
“Sebagai salah seorang anggota Parlimen (BN), saya akan ikut dan ahli-ahli Parlimen (BN) yang lain juga akan ikut pendirian kerajaan (mengenai hudud),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Respons Keadilan Jenayah Terhadap Pemerdagangan Manusia ASEAN Kali Keempat: Sokongan Kepada Mangsa Pemerdagangan Dalam Sistem Keadilan Jenayah di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pendirian beliau sama ada akan mengundi untuk menyokong atau sebaliknya apabila usul rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan hukum hudud dibawa oleh Kerajaan Pas di Dewan Rakyat nanti.
Baru-baru ini, Najib menegaskan bahawa kerajaan dan UMNO tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi banyak perkara perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.
Presiden UMNO itu juga berkata, parti itu bersedia mendengar penjelasan Pas berhubung usul mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, walaupun kerajaan tidak menolak hudud, hukum Islam itu tidak mudah untuk dilaksanakan.
Katanya, perkara itu bukan ha­nya melibatkan pelaksanaan undang-undang oleh polis dan badan-badan lain tetapi banyak aspek lain yang perlu diberikan perhatian termasuk Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga perlu dilakukan.
“Walaupun kita tidak menolak hudud tetapi kita nasihatkan supaya aspek perundangan dan pelaksanaan harus diteliti dan diperhalusi supaya undang-undang itu tidak lari daripada undang-undang Islam keseluruhannya dalam aspek hudud agar ia tidak menjadi rancangan flip-flop (berubah-ubah) dan kemudian disanggah oleh orang lain.
“Ia harus dilihat bukan sahaja dari segi rasionaliti perundangan Islam tetapi dari sudut-sudut lain,” katanya dan menambah, hudud adalah salah satu daripada banyak elemen dalam perundangan Islam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140429/po_02/Hudud-Ahli-Parlimen-BN-ikut-kerajaan#ixzz30EV6ilus  © Utusan Melayu (M) Bhd

HUDUD – Pas yakin DAP akan terima hudud

KOTA BHARU 28 April – Dewan Ulama Pas Kelantan yakin DAP ­akhirnya akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
Ketuanya, Datuk Hassan Mohamood (gambar) berkata, pada masa ini mungkin DAP menolak undang-undang Islam itu namun dengan penjelasan dan pemahaman yang cukup, mereka pasti akan faham.
Katanya, pimpinan Pas Pusat me­rancang mengadakan pertemuan dengan DAP bagi memberi penjelasan mengenai hukum hudud supaya mereka dapat memahami dengan jelas.
“Bagi saya insya-Allah DAP akhirnya akan terima (hudud) setelah penjelasan dan pe­nerangan diberikan. DAP juga ingin mencari kebaikan sudah pasti ia akan menerimanya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Program Penerangan Hudud pada 30 April ini.
Program tersebut yang akan menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negeri ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Tambah Hassan selain DAP, Pas juga sudah merangka bagi memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk MCA dan MIC.
Katanya, parti itu juga sedang menyusun rangka kerja untuk memberi penjelasan kepada semua pihak sama ada umat Islam dan bukan Islam mengenai undang-undang Islam ini.
“Insya-Allah akhir bulan ini akan diadakan perjumpaan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang. Hasil pertemuan itu, kita cukup optimis menghasilkan natijah yang baik,” katanya.
Sementara itu, Dewan Ulama Pas negeri turut menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diwujudkan jawatankuasa teknikal khas di peringkat kebangsaan bagi membincangkan me­ngenai hudud membabitkan wakil kerajaan Pusat dan negeri.
Hassan berkata, sekiranya kewujudan jawatankuasa itu bakal melicinkan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini ia merupakan satu perkembangan yang positif.
Dalam pada itu, kata Hassan, Kerajaan Pas Kelantan sudah bersedia daripada prinsip dan teknikal bagi melaksanakan hukum hudud menjelang 2015.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140429/po_01/Pas-yakin-DAP-akan-terima-hudud#ixzz30ESnkDKo  © Utusan Melayu (M) Bhd

KOMEN : KITA TUNGGU AJELAH SAMPAI DAH TAK ADA BANGKAI DAP YANG PERLU DILANGKAH OLEH AHLI PAS…

Malaysia-AS perangi keganasan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 28 April – Malaysia akan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi keganasan antarabangsa yang kini menjadi ancaman global.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu meliputi latihan pasukan keselamatan, program pertukaran maklumat serta penggunaan kelengkapan dan peralatan bagi memantau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan.
Beliau berkata, kedua-dua negara sudah mempunyai persetujuan asal bagi perkongsian maklumat yang bukan hanya melibatkan usaha memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), malah semua aspek yang mempunyai kaitan dengan keganasan dan jenayah.
“Isu percambahan WMD telah disentuh secara spesifik oleh Presiden AS, Barack Obama dalam mesyuarat dua hala yang turut disertai saya di Putrajaya semalam.
“Untuk itu, latihan yang selama ini telah diberikan oleh pihak AS kepada pegawai polis dan tentera Malaysia akan terus dipertingkatkan dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pertukaran maklumat serta latihan-latihan yang akan dilakukan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Respons Keadilan Jenayah kepada Pemerdagangan Manusia ASEAN Kali Keempat: Sokongan kepada Mangsa Pemerdagangan dalam Sistem Keadilan Jenayah, di sini hari ini.
Yang turut serta dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila M. De Lima; pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pemerdagangan manusia terutama­nya wanita dan kanak-kanak, Dr. Joy Ngozi Ezeilo; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff.
Ahmad Zahid berkata, dalam era dunia digital sekarang, kepakaran dan kemahiran pasukan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan kecanggihan peralatan sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang.
“Saya yakin selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia juga bersedia mengadakan program pertukaran maklumat dan menjalani kursus serta latihan lanjut di AS. Ini bagi memperkukuhkan kerjasama dengan AS,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan ini terbukti apabila Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran diluluskan di Parlimen pada 2007 sebelum dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008.
Namun katanya, usaha tersebut memerlukan penyelarasan dalam kalangan negara-negara ASEAN dan luar rantau ini kerana masalah itu kini semakin kompleks dengan melibatkan negara-negara lain yang suatu ketika dahulu tidak berpotensi terlibat dengan aktiviti tersebut.
“Keadaan ini berlaku melalui sindiket dan disebabkan adanya peluang ekonomi di negara kita atau negara kita dijadikan sebagai batu loncatan untuk ke negara ketiga.
“Bagaimanapun, Malaysia telah bekerjasama dengan Indonesia supaya kedua-dua negara tidak dijadikan negara loncatan untuk ke negara ketiga seperti Australia. Kita telah berjaya mengekang beberapa aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_02/Malaysia-AS-perangi-keganasan#ixzz30EJKLFXR  © Utusan Melayu (M) Bhd