Mat Yo didenda RM5,000

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my




Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya, semalam setelah melapor diri kelmarin. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid
PETALING JAYA – Penyerang kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha bakal didenda RM5,000 atas kelewatannya melapor diri untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya selepas seminggu enggan menyahut panggilan skuad kebangsaan atas alasan peribadi.
Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mula menyertai kem skuad kebangsaan menjalani latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam selepas mengambil keputusan untuk menangguhkan urusan umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini.
Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, denda tersebut dikenakan sebagai pengajaran buat pemain lain agar perkara sama tidak berulang selagi tidak melibatkan sesuatu yang mustahak.
Kata Subahan, penyerang skuad Johor Darul Ta’zim itu juga telah memohon maaf dan berjumpa dengan pemain lain serta mengakui semua yang berlaku berpunca daripada kesilapannya sendiri.
“Kami kenakan denda RM5,000 sebagai satu pengajaran kerana tidak mahu menghancurkan masa depan pemain dan itu denda yang telah diputuskan oleh pengurusan.
“Bagi saya pemain perlu peka dengan tarikh permainan yang bakal berlangsung dan jika ada pemain yang dipanggil tidak mahu bersama pasukan kebangsaan mungkin selepas ini tiada lagi nama mereka akan disenaraikan,” katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan semalam.
Sementara itu, Subahan turut berharap pemain yang ada dapat terus kekal fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina, esok.
“Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan padu dan pemain perlu komited selain jangan mencari isu-isu kontroversi.
“Dalam masa sama juga saya berharap isu berkaitan Mat Yo tidak disensasikan kerana kami perlukan khidmat pemain itu bukan hanya untuk perlawanan menentang Yemen tetapi turut melibatkan aksi persahabatan sebegini (menentang Filipina Sabtu ini),” kata Subahan.
Perlawanan dengan Filipina adalah ujian terakhir skuad negara sebelum menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 di Abu Dhabi.
Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan menentang Filipina dianggap penting biarpun sekadar perlawanan persahabatan kerana akan menjadi medan untuk menilai kombinasi pemain yang akan digunakan untuk aksi bertemu Yemen.
“Saya harapkan yang terbaik buat semua pemain yang ada dan pemain perlu mempamerkan kelainan daripada corak permainan sebelum ini dengan segala taktikal yang saya gunakan.
“Latihan ini lebih tertumpu kepada beberapa unit penting dalam pasukan berkaitan serangan dan bertahan,” kata Kim Swee.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140228/su_01/Mat-Yo-didenda-RM5000#ixzz2uaHyS4GC  © Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Anwar fail permohonan kali ketiga mohon Muhammad Shafee digugurkan

PUTRAJAYA 27 Feb. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kali ketiga menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Permohonan tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Mac ini, setelah Anwar gagal dalam dua permohonannya sebelum ini untuk menggugurkan Muhammad Shafee di mahkamah tersebut mahupun di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan terbaharu itu difailkan pada 25 Februari lalu, iaitu tiga hari sebelum pengurusan kes rayuan  pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan esok.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima permohonan terbaharu itu semalam.
Kali ini, alasan yang digunakan Anwar ialah Muhammad Shafee pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam selepas didapati melanggar peruntukan di bawah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 oleh Badan Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 5 Oktober 2012.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menolak untuk mencampuri keputusan Majlis Peguam terhadap Muhammad Shafee yang didenda kerana memberi publisiti tentang dirinya dan firma guaman beliau kira-kira empat tahun lalu.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 16 November 2012 untuk mengetepikan keputusan badan tersebut yang mendenda beliau setelah didakwa terlibat dengan salah laku yang melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pada 12 Februari lalu, rayuan kes terbabit sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan namun sebelum sempat ia berlaku, Anwar melalui peguamnya Karpal Singh telah mengemukakan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira.
Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.
Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.
Perbicaraan kes kes liwat itu sendiri pernah tertangguh lebih 55 kali sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan terbabit pada 9 Januari 2012.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_02/Anwar-fail-permohonan-kali-ketiga-mohon-Muhammad-Shafee-digugurkan#ixzz2uaE22G8F  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Bidas tuduhan ‘Myanmar’ undi di Kajang

ITU CINA YANG TAK TAHU CAKAP BAHASA MELAYU TU WARGANEGARA KE? ADA YANG MENGUNDI DI KAJANG TU.

Kiri Wan Junaidi, Tian Chua

PUTRAJAYA 27 Feb. – Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan portal-portal pembangkang didakwa sengaja menimbulkan kekeliruan dengan memainkan isu kononnya warga asing akan mengundi di Kajang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain Tian Chua yang membangkitkan isu tersebut dalam akaun Facebook miliknya, blog Milo Suam turut melakukan pembohongan sama.
Menurutnya, portal http://www.selangorkini.com.my dalam artikelnya melaporkan ‘40,000 Warga Myanmar Bersiap Sedia Mengundi di DUN Kajang’, The Malaysian Insider ‘Pusat Pelindungan Pelarian di Kajang Cetus Kejutan’ dan Presiden Solidiriti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham memainkan isu ‘Kajang Sudah Jadi Yangoon’.
Tegas beliau, semua laporan tersebut sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan salah faham demi kepentingan pembangkang ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Sebenarnya, apa yang berlaku pada 21 Februari lalu, pukul 8 pagi hingga 3 petang, bertempat di pejabat Pertubuhan Kebajikan Pelindungan Pelarian (POR) di no. 94, 95 dan 96 di Jalan Bukit, Taman Bukit, Kajang, telah berlangsung pendaftaran bagi pelarian Myanmar dan Sri Lanka.
“Pendaftaran tersebut telah dilakukan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Februari lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh penyelaras POR, R. Ravindran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen kepada 928 penerima, di sini hari ini.
Wan Junaidi menjelaskan, POR bertujuan mendaftarkan warga Myanmar dan Sri Lanka atas platform sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor sejak 24 Julai tahun lalu.
POR yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bergiat cergas dalam aktiviti pendaftaran warga Myanmar dan Sri Lanka untuk didaftarkan bagi mendapatkan status pelarian selepas ditemuduga oleh UNHCR.
POR turut mengendalikan rumah pelindungan kepada pelarian yang memerlukan bantuan selain membantu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan UNHCR memperoleh statistik serta butir-butir peribadi para pelarian.
“Pada 21 Februari lalu 2,000 orang warga Myanmar dan Sri Lanka dari seluruh negara datang ke pejabat POR namun siasatan mendapati mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya pendaftaran akan ditutup.
“Pihak POR telah menafikannya dan mengesyaki ada pihak yang sengaja mencetuskan suasana panik sehingga ramai warga asing dari kedua-dua negara itu datang ke Kajang,” ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140228/po_02/Bidas-tuduhan-Myanmar-undi-di-Kajang#ixzz2ua5P3rYS  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : TAK HABIS-HABIS CINA RASIS NI BUAT FITNAH… INILAH CINA YANG UMNO MAAFKAN… 

Mat Yo batal pergi umrah

NORSHAHRUL Idlan Talaha membuat kejutan dengan kembali menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
KUALA LUMPUR – Selepas seminggu mengejutkan peminat bola sepak tempatan dengan enggan menyertai latihan skuad Harimau Malaya atas alasan peribadi, Norshahrul Idlan Talaha membuat satu lagi kejutan apabila kembali melaporkan diri di Wisma FAM, semalam.
Kemunculan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengejutkan pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee,.
Menurut Kim Swee, beliau dan pengurus, Datuk Seri Subahan Kamal hanya menerima panggilan pada waktu tengah hari yang menyatakan penyerang kebangsaan itu mahu kembali menyertai latihan.
Malah, pemain berusia 27 tahun itu sanggup membatalkan urusan pemergian ke umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini, sekali gus membuka ruang kepada Kim Swee menggunakan khidmatnya mengepalai jentera serangan negara pada aksi persahabatan menentang Filipina, 1 Mac.
Norshahrul juga boleh beraksi pada kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac.
“Saya baru mendapat panggilan pada waktu tengah hari ini dan selepas berbincang dengan Subahan, kami menerima alasan yang dikemukakan oleh Norshahrul.
“Apa jua alasannya, saya tidak boleh dedahkan kerana terlalu peribadi, namun pada sesi latihan petang ini, dia nampak begitu fokus kerana segala masalahnya telah diselesaikan, ” kata Kim Swee ketika dihubungi, semalam.
Kehadiran Norshahrul atau Mat Yo pasti memberi kelegaan kepada Kim Swee setelah meratapi kehilangan Azamuddin Mohd. Akil yang diketepikan kerana kecederaan di pergelangan kaki kanan.
“Apa yang pasti dengan adanya Mat Yo, saya berasa cukup gembira kerana semua orang tahu kehebatan yang dia ada dan memberikan saya banyak pilihan di barisan hadapan selain adanya Safee Sali, Amri Yahyah, Fakri Saarani dan Bobby Gonzales.
“Saya telah maafkan apa yang dia lakukan dan ini masanya dia balas peluang kedua yang saya berikan, saya harap dia tidak menghampakan harapan semua pihak termasuk peminat, ” katanya.
Sebelum ini, Mat Yo mengambil keputusan untuk tidak menyertai skuad kebangsaan atas alasan misteri dan tidak mahu didedahkan kepada umum sehingga membuat Kim Swee berasa berang.
Malah, Kim Swee mengakui beliau ada terfikir kemungkinan besar tidak akan memanggil Mat Yo selagi masih bergelar jurulatih Harimau Malaya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140227/su_02/Mat-Yo-batal-pergi-umrah#ixzz2uUSsKzQs  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerajaan Selangor ambil alih 4 syarikat konsesi air

PUTRAJAYA 26 Feb. – Kerajaan Selangor akan mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu yang melibatkan kos berjumlah RM9.65 bilion berikutan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri berkenaan.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan tersebut dilakukan secara pemilikan ekuiti dan akan dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Beliau berkata, tawaran mengenai pengambilalihan itu akan bermula hari ini dan prosesnya pula berlangsung selama dua minggu.
“Secara ringkas dan dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, KDEB akan ditugaskan untuk melaksanakan penyusunan semula ini dengan menawarkan kepada pemilik-pemilik konsesi sejumlah RM9.65 bilion sebagai pampasan kepada penyusunan semula tersebut.
“Kita jangka tawaran pengambilalihan ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili selepas menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Empat syarikat konsesi air di Selangor yang terlibat dengan proses tersebut adalah Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.
Abdul Khalid berkata, kesemua syarikat itu akan diletakkan di bawah sebuah anak syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh KDEB.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, berikutan pengambilalihan itu dilakukan secara pemilikan ekuiti, kedudukan kakitangan dalam syarikat tersebut tidak akan terjejas.
“Saya ingin jelaskan disebabkan pengambilalihan secara pemilikan ekuiti iaitu saham-saham ditukar pemiliknya, semua tenaga kerja dalam syarikat berkenaan tidak akan berubah,” ujarnya.
Abdul Khalid berkata, tujuan sebenar pengambilalihan itu dibuat adalah untuk memastikan pengurusan air di Selangor lebih efisien, sekali gus memastikan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang terbaik.
Selain itu, beliau turut memberi penekanan pentingnya mengurangkan masalah kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang pada masa ini mencatatkan 33 peratus.
“Di bawah penyusunan semula industri air di Selangor, kita berhasrat untuk mengurangkan masalah ini daripada 33 peratus kepada 20 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM900 juta bagi program mitigasi sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) siap sepenuhnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_03/Kerajaan-Selangor-ambil-alih-4-syarikat-konsesi-air#ixzz2uUJgHfL8  © Utusan Melayu (M) Bhd

Satu rahmat, namun sudah terlewat

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 26 Feb. – Persatuan Pengguna Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) menyambut baik perjanjian pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, namun terkilan dengan sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik untuk memberi kelulusan sejak empat tahun lalu.
Presidennya, Aldric Loong Kim Yew berkata, jika pembinaan loji itu disegerakan, sudah tentu masalah bekalan air dapat dielakkan kerana rizab bekalannya mampu menampung permintaan khususnya ketika krisis.
“Walaupun keputusan itu satu rahmat, namun sudah terlambat. Jika loji itu dibina sejak empat atau enam tahun lalu, sudah tentu rakyat tidak menderita seperti hari ini.
“Kita sudah banyak kali beri peringatan kepada kerajaan negeri, malah peringatan kali kedua pada 2010 pun tidak diendahkan dan situasi semasa yang getir menyebabkan mereka akhirnya akur dan mula menyedari kepentingan Langat 2,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mengeluarkan arahan pembangunan untuk membenarkan kerajaan Pusat membina Langat 2 dan sistem agihannya berkuatkuasa hari ini.
Kelulusan tersebut sejajar dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Pusat dan Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu.
Sementara itu, Kim Yew berkata, pembinaan Langat 2 diyakini dapat menampung permintaan pengguna sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun.
Katanya, Langat 2 adalah pilihan terbaik daripada segi kewangan, teknikal dan sosial bagi memastikan pengguna di Lembah Klang mendapat bekalan air yang mencukupi sehingga tempoh tersebut.
“Kapasiti loji yang lebih besar mampu menampung 1,200 juta liter air sehari sekali gus dapat mengatasi peningkatan permintaan air terawat di kawasan terbabit,” katanya.
Mengulas isu yang sama, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, kerajaan PKR Selangor tidak sepatutnya mengambil risiko melengahkan pembinaan loji tersebut berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.
Katanya, kerajaan negeri itu sepatutnya mengambil kira faktor keselamatan dalam perancangan yang membabitkan keperluan rakyat termasuk pembinaan Langat 2.
“Jabatan Meteorologi pun mengatakan sukar untuk meramal cuaca di Malaysia. Maka, ketidaktentuan itu boleh mengugat penggunaan air dan para pemimpin tidak sepatutnya mengambil risiko yang akhirnya menyukarkan rakyat,” tegasnya.
Mengenai catuan air yang dicadangkan Abdul Khalid, beliau berkata, kaedah itu merupakan alternatif terakhir namun bukanlah yang terbaik kerana tidak semua kawasan akan menerima air pada tekanan tinggi.
“Kawasan-kawasan pedalaman akan ada masalah sama ada air yang diterima bertekanan rendah atau langsung tiada air,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_02/Satu-rahmat-namun-sudah-terlewat#ixzz2uUI5UEw6  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Projek Langat 2 diteruskan – AIR LUDAH JATUH KE MUKA KHALID

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak (dua dari kiri) dan Muhyiddin Yassin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya, semalam. Kerajaan Pusat diwakili Dr. Maximus Ongkili (kiri) manakala Selangor diwakili Khalid Ibrahim (kanan). – UTUSAN/ ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 26 Feb. – Selepas menangguhkan pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selama hampir enam tahun, kerajaan Selangor hari ini akhirnya akur untuk membenarkan projek itu diteruskan.
Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 akan diteruskan selepas Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran merancang (Development Order) berkuat kuasa hari ini.
Persetujuan tersebut sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Sehubungan itu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, kerajaan Selangor akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh memorandum itu ditandatangani.
“Melalui MoU ini, Kerajaan Persekutuan turut membenarkan Kerajaan Selangor mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri tersebut iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.
“Kerajaan Persekutuan juga bersedia menyuntik dana tambahan untuk membantu Kerajaan Selangor mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkan mereka menguruskan perkhidmatan bekalan air melalui satu syarikat milik kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU, di sini hari ini.
Dalam majlis yang cukup bersejarah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Ongkili manakala Kerajaan Selangor diwakili oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian tersebut.
Antara lain MoU itu mengambil kira:
l Pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh kerajaan Selangor sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisien bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya.
l Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira MoU antara Pahang dan Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Pahang dan Selangor pada 22 November 2007. Lanjutan daripada itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Ongkili berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Kerajaan Selangor bagi pelaksanaan projek Langat 2.
“Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor berharap semua syarikat konsesi air di Selangor memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Ongkili sebelum itu mengakui kegagalan mencari sebarang penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008, bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.
“Kemelut itu telah menyebabkan pembinaan Langat 2 yang merupakan langkah Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya tertangguh sehingga kini.
“Namun begitu pada Mei 2013, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor bersetuju agar satu rundingan semula diadakan antara kerajaan Selangor dan semua syarikat konsesi bagi mencapai persetujuan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai projek Langat 2, Ongkili berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya 39 bulan dari sekarang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140227/dn_01/Projek-Langat-2-diteruskan#ixzz2uUFTUXC6  © Utusan Melayu (M) Bhd