Perkasa, demokrasi dan terima kasih!

CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 12 Ogos 2015 1:38 AM
BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, menyatakan sesuatu kepada Ibrahim Ali di rumah terbuka pemimpin Perkasa itu baru-baru ini.
KELMARIN saya menghadiri satu (daripada banyak) majlis rumah terbuka raya, antaranya BRO – Bumiputera Retailers Organisation. Di situ saya ditegur oleh seorang ahlinya.
Tak perlulah saya sebut usahawan tersohor negara itu, jika saya sebut semua orang kenal.
Katanya kepada saya “Cuit-cuit yang garang ini apa khabar, kenapa senyap saja, kenapa tak tulis pasal cerita derma-dermawan…”
Kawan-kawan beliau yang mendengar celotehnya secara spontan tergelak kuat. Saya kata “berdiam diri” lebih baik. Kadang-kadang yang tersirat dalam hati lebih baik daripada yang tersurat.
Masing-masing ketawa lagi. Namun di mana-mana majlis raya, mahupun majlis perkahwinan, ceri­tanya, topiknya adalah sama.
Tetapi dalam kekalutan yang sedang berlaku ini saya suka melihat apa yang berlaku di sekeliling kekalutan itu.
Siapa yang pandai mengambil kesempatan di sebalik kekalutan itulah yang akan berjaya.
DAP ternyata sedang menyusun strateginya secara senyap. Begitu juga Pas dan lain-lain.
****
NAMUN yang mahu saya lihat ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebuah pertubuhan Melayu ultra yang selama ini dituduh rasis kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara kita ini. (Nota kaki: Tuduhan rasis itu sengaja direka secara gerak saraf kerana subjek itu mempunyai kekuatan yang harus dibunuh oleh musuhnya.)
Benarkah Perkasa kini sedang menyusun langkahnya?
Kepalanya, Ibrahim Ali atau Tok Him dikenali sebagai seorang yang penuh dengan strategi. Beliau dapat melihat jauh ke hadapan. Biarpun orang berkata apa sahaja terhadap­nya, Ibrahim boleh mengorak langkah, cepat dan pantas.
Rangkaian Perkasa kini tumbuh satu demi satu di serata pelosok negara, termasuk ke luar negara. Terbaharu semalam: Perasmian Persidangan Tahunan 2015 dan Perasmian Pejabat Perkasa Parlimen Langkawi Kedah.
Struktur disusun rapi. Nampaknya sekarang ia bukan lagi bergerak seperti anai-anai, tetapi sudah menjadi semut api.
Ala-ala ke arah sebuah parti politik? Ramai sungguh yang berkunjung ke rumah terbuka Tok Him di Taman Malawati malam minggu lepas. Sokongan ke atasnya bukan calang-calang.
Apakah akhirnya Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?
Adakah ia mahu menjadi platform terbaharu untuk orang Melayu? Mahupun dengan semua kaum?
Jika ada pendapat, termasuk dalam kalangan Istana sendiri mengatakan Pas akan menjadi parti dominan orang Melayu selepas UMNO, macam mana pula Perkasa?
Ibrahim bijak membuat percaturan politik.
Sabtu 8 Ogos lalu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu majlis dialog dengan sekumpulan NGO Kristian yang dikenali sebagai Christians for Peace and Harmony in Malaysia Movement (CPHM).
Apa motifnya? Beliau bijak. Inilah masa baginya untuk menyusun saf demi masa depan Perkasa. Perkasa mulai sekarang harus kelihatan lebih liberal dan terbuka daripada sebe­lumnya.
Sebelum bertemu secara rasmi dengan kumpulan kristian itu, mereka sudahpun kelihatan tandang bertandang dalam majlis-majlis anjuran Perkasa sebelum ini.
Ia adalah rakan strategik Perkasa apabila tiba masanya kelak.
Sebagai penganalisis politik, saya nampak ia akan menuju ke arah itu.
Pada 2013 Perkasa menubuhkan apa yang dikenali sebagai Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) – gabungan strategik dengan NGO India dan Cina.
Terpampang besar tajuk berita keesokan harinya: “Bukti Perkasa bukan perkauman”.
Ternyata Perkasa sudah satu tapak ke hadapan. Ketika DAP turut menggunakan taktik untuk menarik perhatian kaum belia Melayu ke dalam parti itu melalui Sekolah Demokrasi, Perkasa pun telah dan sedang melaksanakannya.
Sesungguhnya demokrasi Malaysia sungguh subur. Semua orang boleh buat apa sahaja.
Benarlah juga apa yang saya tulis dalam Prakata buku Cuit: Dilema Melayu Moden… apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah satu proses kematangan (maturing process) rakyat terhadap politik dan masa depan mereka.
Kita baharu mengenal demokrasi sekitar 58 tahun, Amerika Syarikat yang sudahpun merdeka 250 tahun baharu sahaja melantik seorang presiden berkulit hitam sebagai ke­tua negaranya.
Dan, ia memerlukan 50 tahun lagi (sekurang-kurangnya) untuk mela­yakkannya melantik seorang pre­siden bukan putih tetapi beragama Islam untuk menjadi presidennya.
Demokrasi memakan masa yang lama, bukan semalaman.
Kita pula masih mentah.
Kerja kahwin saya – Bahagian Akhir
RAMAI yang bertanya dan bercakap mengenai pengakhiran tulisan ini. Saya cakap biar saya habis lelah dahulu selepas melangsungkan kerja kahwin itu.
Ada yang berkata ia adalah maraton atau kejohanan lumba lari jauh yang memerlukan stamina dan mental.
Benar. Gabungan kedua-dua itulah yang cukup memenatkan.
Namun, syukur alhamdulillah semuanya harus bermula dengan pengalaman pertama. Ia cukup mematangkan kita untuk yang kedua kalinya.
Namun, tanpa kerjasama semua yang terbabit, mustahil saya boleh lakukan. Saya bukanlah seperti yang lain-lain yang boleh menggaji perancang perkahwinan untuk melakukannya.
Saya hanya mempunyai sahabat-sahabat handai dan saudara-mara yang 100 peratus membantu saya bagi menjayakan majlis itu.
Terima kasih semua, tanpa perlulah saya senaraikan nama kalian satu persatu di sini. Hanya Allah yang membalasnya.
Terima kasih yang teramat sa­ngat kepada semua tetamu saya yang hadir pada majlis itu. Terima kasih juga kerana memberi jawapan kehadiran RSVP kepada kami.
Yang tak dapat hadir, terima kasih kerana menghantar mesej kemaafan beserta doa yang amat kami harap­kan. Ada yang menghantar mesej terpaksa berpatah balik kerana ke­sesakan lalu lintas akibat demonstrasi anti-kerajaan dan hal-hal lain lagi.
Syukur. Yang penting majlis itu berjalan lancar dan diharapkan mendapat barakah daripada Yang Maha Esa. Kemaafan daripada saya jika ada yang tidak menggembirakan tuan tuan dan puan-puan sekian.
Maaf juga jika ada yang terlepas pandang dalam jemputan. Kami hanyalah insan yang kerdil.
Terima kasih daun keladi.

Kelab bekas calon BN Kelantan buat laporan polis terhadap Raja Petra

11 Ogos 2015 1:20 AM
MOHD. NOOR YAACOB (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAn/Wahidin Salim
KOTA BHARU 10 Ogos – Kelab bekas calon Barisan Nasional (BN) Kelantan membuat laporan polis terhadap pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana didakwa menerbitkan artikel memfitnah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wakil kelab berkenaan, Mohd. Noor Yaacob berkata, artikel yang diterbitkan Raja Petra bertajuk Najib’s last day as PM was supposed to be 29 July menerusi portal Malaysia Today itu jelas merupakan fitnah kerana tidak disokong dengan bukti jelas dan kukuh.
Beliau berkata, pihaknya tampil membuat laporan polis itu supaya individu terbabit disiasat kerana dibimbangi tindakan tersebut akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Timbalan Presiden UMNO serta parti itu.
“Kami melihat artikel ini cukup berbahaya dan dipercayai mengan­dungi elemen hasutan yang boleh menggugat perpaduan rak­yat.
“Kami dalam kalangan bekas calon BN telah bersatu hati dalam satu misi dan rasa tanggungjawab untuk terus berjuang menangkis fitnah yang semakin berleluasa di laman sosial,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam artikel berkenaan, Raja Petra mendakwa, pengguguran Muhyiddin dibuat kerana beliau didakwa turut bersama pemimpin pembangkang merancang meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.
Dalam artikel itu, Raja Petra mendakwa, komplot tersebut tidak berjaya kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu menyertai kons­pirasi berkenaan sekali gus menye­babkan mereka kekurangan undi.
Sementara itu di BACHOK, sekumpulan ahli akar umbi UMNO yang diketuai bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Hilmi Yusoff turut membuat laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Hilmi yang juga seorang ahli perniagaan berkata, dakwaan Raja Petra dilihat mempunyai niat untuk menggugat kedudukan orang Melayu dan UMNO.
“Sebagai rakyat dan ahli UMNO di Bahagian Bachok, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat laporan terhadap dakwaan tersebut.
“Kami juga minta Kementerian Dalam Negeri dan polis segera siasat sama ada ia benar atau sebaliknya,” kata beliau.

Ambil tindakan ke atas blog hasut rakyat – NGO

26 Februari 2015 1:37 AM
Zaparuddin Abdul Rahim (tengah) menujukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam terhadap penulis blog Sakmongkol AK47 yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan seperti diterbitkan di laman portal The Malaysian Insider. – Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 25 Feb. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘The White and Black Minstrel Show will end as a huge embarassment’ yang didakwa berbaur hasutan dan menghina mahkamah oleh sebuah blog, Sakmongkol AK47.
Pengerusinya, Zaparudin Abd. Rahim mendakwa, artikel yang dipercayai ditulis oleh Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz itu amat berbahaya dan berunsur fitnah.
Dakwanya, artikel itu adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disiarkan oleh sebuah portal berita, The Malaysian Insider baru-baru ini.
“Artikel itu bukan sahaja berunsur fitnah dan bohong, malah berbaur hasutan supaya rakyat menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi seperti tercatat pada ayat terakhir ‘Once we have Federal power, we don’t need to go before King to free Anwar”.
“Ternyata kenyataan ini amat berbahaya sekali. Adakah jika pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan maka Anwar sudah tentu dibebaskan? Adakah pembangkang memang berniat membebaskan beliau sahaja walaupun ternyata dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan?” soalnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaparudin berkata, pihaknya juga mahu tindakan diambil terhadap blogger tersebut kerana artikel itu didakwanya jelas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan negara.
Katanya, ini terbukti menerusi kenyataan dalam artikel itu yang berbunyi ‘As we know, the ones who did that are the two policemen – whom as the courts and the law enforcement agencies would have us believe, on a frolic on their own, suddenly thought of killing someone today’.
“Kenyataan di atas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan terutama pihak pendakwa raya dan polis yang kononnya tidak profesional dalam menjalankan tugas dan bertujuan mengaburi pandangan dan kepercayaan rakyat.
“Blog itu juga mempertikai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Ini bagi kami satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semua tahu adalah badan yang bebas,” katanya.
Tambah Zaparudin, artikel itu juga didakwanya bertujuan menanam persepsi buruk dalam minda rakyat agar mempercayai Kerajaan Persekutuan bersubahat dengan pihak berkuasa dan institusi kehakiman untuk menghukum Anwar dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Konon kerajaan naikkan harga barangan asas

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kumpulan tentera siber yang dipercayai ditaja DAP, ‘Red Bean Army’ kini bertungkus lumus menyebarkan berita palsu di internet kononnya kerajaan telah menaikkan harga barangan asas seperti petrol, minyak masak, gas memasak, gula, tepung dan roti bagi menghasut rakyat untuk terus membenci kerajaan.
Menurut beberapa blog, dakyah kumpulan itu di laman sosial seperti Facebook dan Twitter telah berhasil membuatkan pengguna internet berasa marah kepada kerajaan, sekali gus mempercayai kononnya pakatan pembangkang merupakan pentadbir yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).
Pengendali blog tun faisal dot com sebagai contoh, mendedahkan empat penipuan pembangkang tentang kenaikan harga gula yang tidak benar kecuali jika dilakukan oleh pekedai yang menyokong pembangkang serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan yang sebenarnya belum dikuatkuasakan sehingga kini.
Dua lagi penipuan katanya, termasuk oleh Timbalan Setiausaha Agung Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mendakwa kerajaan menaikkan harga gas memasak sebanyak RM2 kepada RM30 setong sedangkan perkara itu tidak benar, selain kenaikan harga roti jenama Gardenia yang tidak berasas sama sekali.
Syed Azman didapati menyebarkan dakyah mengenai kenaikan harga gas itu di akaun Twitternya pada Khamis lalu yang kemudiannya di tweet semula oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rakyat yang naif dan mempercayai mereka, hanya akan dipermainkan disebabkan kepercayaan ini.
“Disebabkan itu jangan undi dan sokong penipu, kerana bila mereka menipu dan ada share, like dan retweet penipuan mereka, anda juga turut bersubahat menipu rakyat Malaysia. Di bawah adalah struktur harga gas di Malaysia,” katanya di http://tunfaisal.blogspot.com Sabtu lalu.
Blog The Flying Kick pula mendakwa kenaikan harga barang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) oleh pekedai yang menyokong pembangkang memang berlaku sebagai sabotaj terhadap kerajaan.
Katanya, peruncit tersebut kebanyakannya kaum Cina dan bukan dalam kalangan Melayu yang masih bersama UMNO dan BN.
“Malaysia sekarang ini sedang dilanda demam fitnah yang berterusan. Kepala fitnah utamanya adalah Anwar Ibrahim. DAP pula membantu dari belakang dengan menyediakan kemudahan media dan penerangan,” katanya.
Disebabkan dakyah dan manipulasi berita palsu oleh Red Bean Army di internet, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. terpaksa membuat penjelasan harga produknya tidak dinaikkan.
Gerakan terancang kumpulan tersebut dilihat bertujuan menguatkan hujah mereka apabila sering menuduh kerajaan akan menaikkan harga barang selepas pilihan raya diadakan.