Banteras rasuah kukuhkan kedudukan pemimpin

Raja Dr. Nazrin Shah diiringi Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Datuk Heliliah Mohd Yusof berjalan masuk untuk menyampaikan titah dalam Konvensyen SIAP di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 Mei – Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, langkah tegas pemimpin untuk mengeluarkan sel rasuah daripada anatomi pentadbiran akan mengukuhkan kedudukannya serta meningkatkan penghormatan rakyat terhadap pemimpin tersebut.
Raja Nazrin bertitah, integriti dapat diperkasakan jika pentadbiran negara diteras atas tiang perundangan dan dikuat kuasa tanpa gentar, pilih kasih, halangan dan campur tangan politik.
Titah baginda, imej kerajaan yang berazam untuk memerangi rasuah menjelang Pilihan Raya 2004 yang diperkukuhkan melalui tindakan pendakwaan terhadap beberapa orang kenamaan telah menyumbang kepada kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.
”Bekas Presiden Majlis Perbandaran Kangar, Baharuddin Ahmad didakwa pada 9 Februari, diikuti Tan Sri Eric Chia (10 Februari) dan seterusnya Tan Sri Kasitah Gadam (12 Februari).
”Senario ini dipercayai ada pengaruh di kalangan pengundi semasa berlangsungnya Pilihan Raya Ke-11 pada 21 Mac 2004. BN mencipta kejayaan gemilang dengan memenangi 198 kerusi Parlimen dan 63.9 peratus undi popular,” titah baginda dalam Konvensyen Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Raja Nazrin bertitah, keputusan Pilihan Raya 2004 memanifestasi harapan rakyat yang mahukan pentadbiran negara yang bersih, berintegriti dan sifar rasuah.
”Rakyat dijanjikan, rakyat diberikan harapan, rakyat mempercayainya dan rakyat memberi sokongan (dalam Pilihan Raya 2004),” titah baginda.
Raja Nazrin turut mengibaratkan gejala rasuah sebagai barah yang memerlukan tindakan pengubatan secara pantas dan tegas walaupun pesakit menanggung perit atau terpaksa kehilangan organ yang paling disayangi.
”Antara organ paling berharga kepada wanita adalah payu dara kurniaan Ilahi. Tetapi apabila payu dara diserang barah, ia perlu dipisahkan.
”Menyimpan payu dara yang telah dihinggapi barah akan hanya memusnahkan seluruh tubuh pesakit sehingga membawa maut. Oleh itu tugas doktor jangan diganggu,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, godaan yang mampu menghakis integriti muncul dalam pelbagai rupa termasuk pangkat, gelaran, wang, wanita cantik, intan berlian, percutian, banglo mewah malahan pakej yang bertopengkan ibadah dan agama.
”Dari keraian berbuka puasa di hotel lima bintang sehingga tajaan melakukan umrah dan mengerjakan haji.
”Hari ini, godaan menghakis insan di dunia yang fana ini berbentuk lebih pelbagai dengan daya tarikan yang sukar ditolak. Ia memudahkan dinding pertahanan dirempuh dan iman diruntuh,” titah baginda.
 

IIM, Kumpulan Utusan terus budayakan integriti


DARI UTUSAN MALAYSIA
3/2/2012

JAMAL Ahmed (kiri) dan Mohd. Tap Salleh bersalaman selepas menandatangani memorandum persefahaman mengukuhkan kerjasama antara UMES dan IIM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Feb. – Seperti mana tahun lalu, Institut Integriti Malaysia (IIM) akan terus bekerjasama dengan Kumpulan Utusan bagi menyebar luas kempen membudaya integriti dalam masyarakat.

Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, Agenda Integriti Nasional merupakan agenda penting kerajaan, justeru kerjasama dan sumbangan media amat penting dalam usaha menerapkan pembudayaan integriti di kalangan masyarakat.

“Sejak tahun lalu IIM telah mengadakan kerjasama dengan Kumpulan Utusan untuk menghebahkan mesej integriti melalui akhbar dan penerbitan.

” Pada tahun ini kami akan terus menerbitkan pelbagai rencana dan iklan bertemakan integriti dalam akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bagi menjayakan kempen tersebut yang sedang dilaksanakan IIM,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili IIM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Utusan yang diwakili Pengurus Besar (Cetak dan Web) Utusan Media Sales Sdn. Bhd. (UMES), Jamal Ahmed.

Tambah Mohd. Tap, pihaknya amat berpuas hati dengan kerjasama yang telah dijalin dengan Kumpulan Utusan sebelum ini setelah mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.

“Contohnya buku bertajuk Jangan Mengelat: Integriti dalam Jenaka yang menggunakan koleksi kartun popular Hello Bos dalam Utusan Malaysia, telah menjadikan penyampaian mesej integriti lebih menarik.

“Justeru, kerjasama ini dilihat mampu untuk memperluaskan penyampaian mesej integriti dan kaitannya dengan kualiti hidup di kalangan masyarakat dengan menggunakan kaedah yang lebih kreatif,”katanya.

Kuatkan integriti generasi muda

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
DARI KOSMO ONLINE
6/12/2011



BAGI membudayakan integriti sebagai cara hidup masyarakat Malaysia, tarikh 5 November setiap tahun diraikan sebagai Hari Integriti Nasional.

Sejak tahun 2005, tarikh itu dipilih sempena penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai landasan ke arah pemantapan etika dan integriti masyarakat.

Pada tahun ini, IIM telah melaksanakan program dan acara sempena sambutan Hari Integriti Nasional yang diadakan sepanjang bulan November lalu untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, pada tahun ini tema Integriti Menjana Transformasi dipilih sebagai tema sambutan Hari Integriti Nasional 2011 bagi melambangkan semangat, azam dan komitmen bersama-sama rakyat Malaysia dalam merealisasikan hasrat negara ke arah transformasi.

Ujar Mohd. Tap, seperti tahun lalu, pihaknya menyasarkan golongan muda dan belia dalam kempen yang diadakan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan integriti dalam diri mereka.

“Statistik Jabatan Perangkaan Negara pada 2010 menunjukkan rata-rata penduduk negara ini yang berusia 40 tahun ke bawah ialah sebanyak 42.1 peratus berbanding 40.4 peratus pada tahun 2008.

“Ia jelas menunjukkan golongan muda dan belia bukan sahaja menjadi aset negara yang bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti malah, memainkan peranan penting dalam menjadi penjana utama pencapaian misi nasional pada masa hadapan,” katanya.

Kongsi ilmu

Tambah beliau, kemuncak kepada sambutan Hari Integriti Nasional 2011 ialah Konvensyen Integriti Nasional yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) pada 10 November lalu.


KEHADIRAN selebriti Linda Onn (tengah) dan Noor Irfan (kanan) berkongsi rahsia kejayaan mereka sebagai usahawan kepada para peserta.


Katanya, sambutan itu telah menghimpunkan lebih 1,000 orang aktivis, penggerak dan kepimpinan belia, pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah, ahli akademik dan profesional muda dari seluruh negara serta dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pengisian majlis itu turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu dan bual bicara melibatkan beberapa pemimpin, usahawan muda dan tokoh akademik terkemuka. Antaranya ialah usahawan Internet, Noor Irfan Khairi Noor Azmi, selebriti radio dan usahawan, Linda Onn; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian,” jelasnya.

Tambah Mohd. Tap lagi, pelbagai acara lain yang turut diadakan sepanjang sambutan hari tersebut yang berlangsung sepanjang bulan lalu.

Antaranya ialah Program Integriti Alam Sekitar Bersama Pelajar Sekolah di IIM, Forum Perdana Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara, Lendu, Integriti Politik Bersama Pemuda MIC di IIM, Forum Transformasi Perkhidmatan Awam di IIM dan Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti di Pulau Pinang.

Ujarnya, beliau berharap semua pihak dapat memanfaatkan program yang diadakan di samping berharap sambutan Hari Integriti yang diadakan sebagai satu titik mula untuk meningkatkan tahap integriti pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Semua jentera masyarakat mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi melaksanakan misi nasional ini.

“Saya percaya pembudayaan integriti seharusnya disemai sejak dari kecil. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memperkasakan nilai integriti dalam kehidupan generasi muda,” katanya.

Integriti dan generasi muda


PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

SAMBUTAN Hari Integriti Nasional 2011 yang diamanahkan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah bertemakan Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda.

Dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanah air kini; isu integriti merupakan antara elemen utama yang sering menjadi tumpuan oleh kesemua lapisan anggota masyarakat termasuk kepimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau pernah menyatakan bahawa untuk memulihkan keyakinan ke atas kerajaan; sikap telus, bercakap benar dan keterbukaan menjadi agenda beliau.

Ini kerana banyak kepimpinan mahupun empayar besar dunia dirobek oleh isu integriti yang tidak kukuh bukan sahaja antara penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar sesuatu dasar tetapi lebih daripada itu, ia ketara dalam kalangan pemimpin dan rakyat terutamanya generasi muda yang seolah-olah mewujudkan satu lompong besar atau jurang komunikasi sesama mereka mengenai peri pentingnya isu ini.

Tanpa ada integriti, tidak akan berlaku sebarang transformasi nasional termasuk ke atas Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke-10 (RM Ke-10) dan Bajet 2012 yang turut mempengaruhi kependudukan dan hubungan antara etnik di negara ini.

Titik keseimbangan ‘masa depan bersama’ bergantung kepada kekuatan setiap individu termasuk ‘generasi muda’. Sudah pasti, generasi muda dalam konteks hari ini menjadi ‘ejen transformasi’ yang akan memain peranan serta mempunyai fungsi tertentu dalam memberi maksud dan makna kepada integriti. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Generasi muda mahu difahami dan sudah pasti yang mudah memahami mereka adalah pemimpin muda sendiri. Generasi muda menjadi benteng kekuatan negara dan harus terus diiktiraf, dihormati dan diberikan penghargaan sewajarnya atas kedudukan tersebut kerana tanpa sumbangan mereka, negara ini tidak akan kemana-mana.

Integriti generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan berterusan. Integriti berpaksikan kepada nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, kebertanggungjawaban, telus, cekap dan bijaksana. Ia bermula dalam diri setiap individu yang subur dalam hati, minda dan emosi yang memberi roh dan jasadnya kepada karakter.

Melihat kepada kepentingan integriti, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksana pada tahun 2004 dan pendefinisian integriti individu dirujuk kepada – ‘keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dan umum’.

Isunya adalah sikap dan mindset generasi muda; sejauh manakah mereka merungkai, meneliti dan menggarap nilai integriti sebagai sebahagian amalan kehidupan? Adakah proses modenisasi, industrilisasi dan pertumbuhan dan pembangunan negara seiring dengan nilai integriti generasi hari ini?

Sebagai ejen transformasi yang menyumbang kepada perkembangan negara bangsa, adakah generasi hari ini proaktif sebagai penyuntik, penjana ataupun pemangkin kepada pembudayaan integriti?

Isunya juga tertumpu kepada faktor dalaman dan luaran; bagaimanakah nilai kendiri dipertingkatkan dalam mencari keselarasan dengan faktor luaran yang semakin mendesak terutama keinginan bersifat materialistik dan dunia individualistik?

Bagaimana pula peluang yang diberikan kepada generasi ini; adakah memadai untuk mereka memperlihatkan elemen kreatif, inovatif dan melahirkan nilai kualiti yang tinggi untuk menyalurkan maklumat integriti kepada umum dengan pendekatan sendiri?

Sejauh manakah generasi muda dibenar untuk terbabit dalam ‘pengisian’ ke atas isu integriti walhal sering dipertanggungjawabkan dengan kepincangan struktur sosial termasuk isu mat rempit, bohsia, hamil luar nikah, seks bebas, keruntuhan akhlak, penagihan dadah, jenayah remaja, pembunuhan, kecurian, gangsterisme.

Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda ini melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat.

Begitu juga untuk menangani persepsi ke atas generasi muda yang dilabel sebagai bersikap kompetitif dalam era individualistik dan materialistik. Hari ini stereotaip 5C sudah berubah menjadi 5B dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu mereka dikaitkan dengan generasi Cash, Car, Credit Card, Condominium dan ahli Country Club; hari ini ia berubah kepada Billions, Bunglow, Benz, Brain dan Body.

Saya khuatir cabaran akan datang akan berpusat kepada pertembungan isu kelas; kemelut inter-etnik yang cuba ditangani kerajaan akan menjadi pertembungan inter dan intra kelas yang akhirnya membawa kepada gejala sosial kerana sukar berhadapan dengan persaingan mempertingkatkan gaya dan kualiti kehidupan semasa.

Pengumuman Laporan Audit Negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana usaha berterusan merendahkan nilai integriti, misalnya nilai teropong Bushnell Binocular yang harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada 56,350; peningkatan 1,893%.

Generasi muda memerhati tingkah laku seperti ini dan jika golongan lain tidak mengamalkan integriti sebenar, wajarkah generasi ini dikatakan memiliki motivasi rendah ke atas integriti, termasuk integriti politik dalam kalangan pembesar politik negara?

Sebagai ejen transformasi negara, maka penguasaan dan pemahaman ke atas isu integriti sangat penting. Perlu ada kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Dalam mahu keperluan dan kemahuan dipenuhi, mereka juga perlu mengubah mindset atau pemikiran agar seiring dengan norma pembangunan pendidikan negara.

Cabaran ke atas persaingan kelas perlu diteliti secara menyeluruh terutama jurang antara etnik; jurang dalam etnik; jurang bandar dan luar bandar yang turut menyumbang kepada darjah dalam dan luaran integriti seseorang.

Di peringkat sistem penyampaian dan tadbir-urus, perlu ada rombakan cara kerja. Kod etika dan amalan baik perlu diusahakan secara terancang; diperkuatkan dengan latihan dan didikan berterusan yang boleh diterjemah dalam bentuk praktis dan amalan.

Pemantauan berterusan akan membolehkan jati diri diawasi dan sentiasa diperiksa diri sendiri agar tidak bertindak di luar kawalan.

Yang penting, generasi muda harus disediakan saluran untuk dilibat sama dalam proses penjanaan nilai integriti, barangkali ada elemen konsultansi yang boleh diperkasa agar ia dimanfaat untuk meneruskan benteng kesinambungan kepimpinan kepada golongan yang berwibawa dan mampu melahirkan legitimasi politik.

Transformasi integriti dalam kalangan generasi muda akan berlaku dengan lebih besar jika ada mindset positif dan perkongsian ilmu mengenainya dengan pelbagai kumpulan dan ejen sosialisasi lain seperti keluarga, media, guru, rakan sebaya, pemimpin dan diri sendiri mengambil iktibar untuk mengetahuinya.

Sumbangan dalam menyulam kegemilangan ketamadunan negara bangsa dari generasi muda tidak boleh dinafikan. Mereka sebenarnya boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara bangsa.

Segala inisiatif dan intensif kerajaan hanya akan berjaya sepenuhnya dengan kehadiran golongan muda untuk turut memikul beban tersebut untuk memastikan output dan outcome yang positif dalam komitmen bersifat resiprokal kerana kerajaan tidak boleh keseorangan untuk merealisasikan kesemua gagasan besar di bawah kepimpinan hari ini untuk kepentingan generasi muda sebenarnya.

Golongan muda adalah tulang belakang negara ini yang harus diiktiraf, diberikan penghormatan dan penghargaan sewajarnya agar dapat memobilisasi rasa tanggungjawab holistik untuk memperkasakan agenda integriti demi mempertahankan kehidupan berukun dan kesejahteraan yang perlu diwarisi dari generasi ke generasi.

9/11, hari yang mengubah segalanya

Mazlan Nordin Menulis

DARI UTUSAN MALAYSIA
16/10/2011

MUKA hadapan majalah New York baru-baru ini dan pada muka depannya tertulis: One Day, Ten Years.


ENSIKLOPEDIA 9/11 dari A hingga Z, demikian kandungan terbitan khas majalah New York baru-baru ini dan pada muka depannya tertulis: One Day, Ten Years.

Lalu berceritalah seramai 70 warga Amerika mengenai peristiwa 11 September 2001 yang mengorban hampir 3,000 nyawa dalam peristiwa yang dianggap “hari yang mengubah segalanya”.

Dilancarkan sebagai tindak balas Amerika berikutnya ialah perang melawan keganasan, perang di Iraq serta Afghanistan yang berlarutan selama lebih 10 tahun.

Laporan pertama ditulis oleh Frank Rich, bekas wartawan kanan akhbar New York Times, yang pada peringkat awal bertanya: “Dekad 9/11 telah berakhir kini. Para pengganas kalah. Tetapi siapa yang menang?

Bersabit pelbagai gambar yang disebar oleh akhbar-akhbar Amerika beliau membuat ulasan: “Gambar paling masyhur oleh wartawan pada 9/11 yang diambil oleh Richard Drew bertajuk” The Falling Man” diharamkan setelah terbit pada sebelah pagi dalam akhbar Times”.

Hal tersebut dicatat selanjutnya oleh seorang penulis lain bernama Susie Linfield, seperti berikut antara lainnya: “Pada 12 September, 2001 akhbar New York Times menyiarkan sebuah gambar yang diambil oleh jurugambar agensi berita Associated Press, Richard Drew sehari sebelumnya, demikian juga oleh akhbar-akhbar di seluruh negara. Ia menunjukkan seorang lelaki yang melompat dari bangunan World Trade Center yang terbakar. Ia mati setelah jatuh ke atas kaki lima.

Kita-kira 7 peratus dari korban pembunuhan 9/11 mati setelah melompat keluar. Akhbar Times tidak mengulangi siaran gambar tersebut, demikian juga lain-lain akhbar Amerika.

Mereka yang terperangkap di bangunan itu mempunyai dua pilihan saja, iaitu terjun atau mati dalam kebakaran bangunan. Ertinya, mereka sama sekali tiada pilihan”.

Seorang penulis lain, Eliza Griswold menulis mengenai Osama bin Laden mati dibunuh pada 2 Mei lalu oleh pasukan Navy Seals Amerika di bandar Abbottabad, Pakistan.

Sewaktu itu beliau tidak lagi tinggal dalam gua pergunungan Waziristan.

Selanjutnya ialah catatan mengenai penjara Guantanamo di Cuba, dulunya pangkalan angkatan laut Amerika. Seramai 171 tahanan berada di situ kini dan mereka dikawal oleh kira-kira 1,000 tentera pengawal.

Tindakan

Para tahanan yang dulu dipencilkan kini boleh berjumpa dengan peguam. Mereka boleh bermain bola sepak dan menyaksikan siaran warta berita televisyen serta kegiatan jemaah haji di Mekah.

Para tahanan juga boleh meminjam pelbagai buku seperti dilakukan oleh Khalid Shaikh Mohammad, yang didakwa merancang serangan 9/11. Beliau meminjam buku tulisan mendiang Presiden Nixon!

Presiden Obama pada mulanya mahu menutup penjara Guantanamo, tetapi setelah tiga tahun berlalu tiada tindakan diambil.

Mendapat perhatian ialah beberapa perubahan yang berlaku di New York. Dalam masa 10 tahun lalu, puluhan ribu warga kulit putih telah berpindah dari lima daerah. Mengambil-alih ialah 700,000 pendatang asing.

Jumlah orang-orang Islam di New York telah meningkat berkali ganda. Bilangan warga Bangladesh meningkat dua kali ganda, demikian menurut Raihan Salam, seorang lagi penulis undangan.

Kesimpulan dari pelbagai catatan Ensiklopedia 9/11 ialah tulisan Frank Rich: “Ia dipanggil hari yang mengubah segalanya, tapi ia tidak sebegitu sebenarnya. Malah, serta-merta selepas kejadian itu kita dapat melihat bahawa 9/11 tidak begitu penting bagi sesetengah warga Amerika yang berasa selamat dari pembunuhan beramai-ramai dan duka lara yang berlaku”.

Beliau lalu menyebut mengenai sikap rakyat di serata Amerika. “Lagi jauh ke Barat saya pergi, maka lagi ramai hadirin menyoal saya seolah-olah saya pelarian dari peristiwa hangat sebegitu jauh dan luar biasa seperti Beirut.

Bila saya bercerita mengenai bau daging manusia dijilat api, saya didengari dengan hormat, tetapi dengan sikap tidak percaya sama sekali”.

Wajar disebut ialah pengalaman seorang petugas bernama Genelle Guzman-McMillan yang terperangkap selepas berlaku serangan 9/11. Beliau pada mulanya mengikut rakan-rakan sekerja turun dari tingkat 64. Nasib malang menimpanya pada tingkat 13 manakala dinding tepi tangga runtuh.

Kepalanya tersepit antara pecahan-pecahan simen, lengan kanan memeluk badannya dan kaki kanan ditindih. “Di bawah badan saya, ada mayat”.

Guzman-McMillan tertindih selam 27 jam, berpeluh dan menggelentar dalam kesunyian sekelilingnya. Lantas ia berdoa kepada Tuhan. Pada 12 September, jam 9.15 pagi seekor anjing mengesan bau tubuhnya. Baginya belum ajal setelah tiga hari bersama mayat.

Catatan: Majalah New York diterima beberapa hari lalu dari bekas rakan di Amerika, dulu pernah bertugas di Malaysia.

KOMEN : SIAPA YANG MENANG DAN SIAPA YANG KALAH… KEGANASAN TERUS BERLAKU DIMANA-MANA… SIAPA YANG PENGGANASNYA?

‘Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia’


Integriti politik di mata pelajar IPT
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SEKTOR politik dikenal pasti sebagai salah satu sektor berperanan penting dalam usaha pembudayaan integriti di kalangan anggota masyarakat di negara ini.

Ini kerana setiap pertuturan dan tindakan ahli-ahli politik sering menjadi perhatian seterusnya meninggalkan pengaruh besar terhadap masyarakat dan negara.

Untuk itu, sesuai dengan slogan ‘Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia’, Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik Peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

IIM yang ditubuhkan kerajaan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), akan membuka penyertaan pertandingan ini kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut perguruan.

Pengarah Sektor Politik IIM, Mohd. Ismail Abd. Jalil berharap pertandingan menulis esei ini akan mempromosikan budaya berintegriti dan pengamalan nilai-nilai murni dalam sistem politik negara.

“Ia juga secara tidak langsung akan menggalakkan kajian, penyelidikan dan perbincangan dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahasiswa dan mahasiswi khususnya dan masyarakat amnya tentang kepentingan integriti dalam kehidupan.

“Di samping itu juga, pertandingan ini akan memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengasah bakat mereka dalam penulisan kreatif dan deskriptif,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyertaan dibuka kepada semua pelajar terutamanya warga pemimpin MPP bagi mencari 10 esei terbaik bersesuaian dengan tema integriti politik.

“Kita menjangkakan antara 600 hingga 800 penyertaan sepanjang tarikh pertandingan mulai 15 Oktober ini dan berakhir 1 Disember 2011.

“Panel lima orang hakim akan menilai 10 esei terbaik untuk melihat idea pelajar terutamanya pemimpin pelajar dalam perwakilan MPP tentang integriti politik,” katanya.

Tambah Mohd. Ismail, setiap penyertaan akan disaring terlebih dahulu oleh pihak urus setia pertandingan dengan memberi fokus kepada pematuhan setiap esei terhadap syarat-syarat pertandingan.

“Penghakiman di peringkat akhir pula akan memberi fokus kepada penerangan terhadap isi dan contoh-contoh yang diberikan, bahasa, nahu, gaya dan teknik penulisan serta kesantunan berbahasa.

“Lima panel hakim di peringkat akhir akan terdiri daripada warga IIM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang wakil media massa tempatan,” jelasnya.

Sebagai tarikan tambahan, beliau memaklumkan tiga hadiah utama telah disediakan dengan tujuh lagi hadiah saguhati untuk 10 esei terbaik, di samping penulisan berkenaan mungkin diterbitkan melalui akhbar atau medium lain yang akan ditentukan IIM kelak.

“Kesemua 10 esei terbaik akan menerima sijil berbingkai dan buku terbitan IIM berserta hadiah wang tunai.

“Pemenang utama akan menerima RM2,500, kedua RM1,500, ketiga RM1,000 dan RM500 untuk setiap tujuh pemenang saguhati. Tempat pertama hingga ketiga juga akan menerima sebuah piala,” ujarnya.

Tegas Mohd. Ismail, agenda integriti negara yang dikoordinasikan oleh IIM merupakan agenda penting dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamatnya seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

“Pelbagai usaha telah dilakukan sama ada secara sendiri mahupun secara kerjasama pintar dengan pelbagai agensi dan institusi awam mahupun swasta untuk menjayakan agenda ini.

“Dalam menyebar luas mesej integriti kepada seluruh masyarakat Malaysia, pelbagai pendekatan telah digunakan dan pertandingan ini merupakan salah satu usaha IIM untuk mendidik masyarakat tentang integriti dan fokus kepada agenda integriti politik negara,” ujarnya.

Beliau berpendapat, penulisan berkualiti dalam pertandingan ini hasil kajian dan penyelidikan penulis tentang integriti politik, secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk mengangkat pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi sebagai pemimpin negara kelak.

Menurutnya lagi, pertandingan ini diharap akan dapat membuahkan hasil seperti yang dirancang dan akan meningkatkan lagi penulisan-penulisan berkaitan integriti politik dalam negara.

“Ini secara langsung akan mendidik masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang mereka perlu mainkan dalam memantapkan integriti politik negara.

“Semoga program ini dapat memberi kesedaran, pemahaman dan seterusnya pengalaman integriti di kalangan masyarakat Malaysia,” tegasnya.

KOMEN : KEPADA PARA MAHASISWA UiTM SELURUH MALAYSIA, CABARAN MENANTI ANDA. TUNJUKAN KEBOLEHAN ANDA SEBAGAI PELAPIS PEMIMPIN NEGARA MASA HADAPAN…

ORANGRAMAI DAN RASUAH

Kesedaran lapor rasuah oleh orang ramai semakin meningkat
DARI UTUSAN MALAYSIA
12/10/2011

PULAU PINANG 11 Okt. – Kesedaran melaporkan jenayah rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kalangan orang ramai khususnya penjawat awam semakin meningkat dengan seramai 424 golongan pemberi didakwa di mahkamah tahun lalu, berbanding lebih 300 penerima.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, jumlah itu daripada 944 kes direkodkan, mencatat sejarah apabila golongan pemberi yang didakwa mencatat bilangan yang lebih tinggi berbanding penerima sejak 1967.

Beliau berkata, bakinya melibatkan kes-kes rasuah lain.

“Tidak pernah dalam sejarah jumlah individu yang didakwa kerana memberi rasuah lebih tinggi daripada pemberi. Ia merupakan angka tertinggi di dalam rekod kita.

“Kita juga mendapati semakin banyak penjawat awam telah membuat laporan mengenai cubaan memberi rasuah dan ini adalah satu perkara positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Eksekutif bertemakan Mengurus Persepsi Ke Atas Integriti, Tanggungjawab Siapa? di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (HEPP), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Susie See Ching Mey; Dekan Pusat Pengajian Sains Sosial USM, Prof. Madya Dr. Ismail Baba dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Mohd. Tap turut menjadi panel dalam forum itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian.

Dalam pada itu, Abu Kassim memberitahu, SPRM kini berhadapan cabaran untuk memperbetulkan tanggapan rakyat Malaysia bahawa jenayah rasuah di negara ini berada dalam keadaan teruk.

“Namun hakikatnya, jenayah rasuah tidak seperti itu (teruk). Berdasarkan kajian, hanya sembilan daripada 100 rakyat negara ini menyatakan mereka terdedah dalam keadaan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Tap berkata, usaha untuk memupuk integriti di kalangan masyarakat adalah tanggungjawab semua pihak dan tidak seharusnya dibebankan kepada sesebuah pihak semata-mata.

“Sekiranya usaha memupuk integriti di kalangan masyarakat gagal, ia menyebabkan negara bakal mengalami nasib sama dengan beberapa negara miskin seperti Myanmar dan Somalia yang hidup dalam keadaan kemiskinan,” katanya.