Othman, PKNS jangan diam diri

SEBAGAI anak Selangor saya benar-benar berasa kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.
Terlalu banyak mainan politik yang berlaku sehinggakan soal kesejahteraan rakyat seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja.
Selepas krisis air masih belum menampakkan sebarang penyelesaian sebaliknya menampakkan kedegilan kerajaan negeri, kini timbul pula isu pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad oleh Perbadanan 
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM392 juta.
Saya bukan ahli politik dan saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi sebagai rakyat Selangor, saya ingin bertanya kepada PKNS, apakah benar dakwaan ini?
PKNS terutama Pengurus Besarnya, Othman Omar tidak boleh mengamalkan sikap mendiamkan diri sahaja dengan apa yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak dalam soal berkenaan.
Othman dan PKNS tidak boleh melihat bahawa isu hutang ini telah dipolitikkan kerana jumlah yang terlibat bukan sedikit iaitu RM392 juta. Kalaulah dakwaan yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan tidak betul maka PKNS harus mengambil tindakan undang-undang.
PKNS ada hak dan kuasa untuk bertindak kerana ini melibatkan dakwaan yang serius tetapi malangnya kita lihat PKNS hanya mendiamkan diri. Biarpun diserang bertalu-talu dalam media sehingga mewujudkan pelbagai persepsi tetapi PKNS masih ‘kebal’ bertahan dan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan.
Ramai yang percaya kalau PKNS tidak menjadi penyelesai hutang kepada Talam sebanyak RM392 juta itu, mereka sudah tentu akan menjawab semua tuduhan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Mungkin Othman dan PKNS telah diarahkan oleh pihak tertentu untuk tidak memberikan sebarang ulasan tetapi persoalannya apakah ia tindakan yang bijak? Kedua-dua pihak itu perlu faham bahawa rakyat Selangor mahukan penjelasan dan bukannya hanya membiarkan sahaja isu berkenaan terus menjadi perdebatan.
Saya percaya kalau isu ini melibatkan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah pasti pakatan pembangkang akan menyerang habis-habisan.
Mereka akan menuduh BN mengamalkan rasuah dan penyelewengan tetapi kenapa dalam isu ini pakatan pembangkang boleh mendiamkan diri?
Saya ingin bertanya ke mana perginya pejuang-pejuang dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini ghairah menyerang pemimpin BN dengan pelbagai tuduhan tetapi tidak berkata apa-apa apabila melibatkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran mereka.
Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat dan menentang sebarang penyelewengan, maka dalam isu penyelesaian hutang Talam oleh PKNS ini, mereka juga perlu bersuara.
Kalau benar PKNS begitu bermurah hati membantu Talam maka saya juga berharap ia akan bersedia memberi sumbangan bagi membolehkan golongan bawahan di Selangor menduduki kediaman lebih selesa.
Cuba bayangkan berapa banyak rumah yang boleh dibina oleh PKNS dengan jumlah RM392 juta itu. Tak kanlah wang sebanyak itu boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan hutang pihak lain yang tiada kaitan dengan rakyat Selangor?
Apa pun rakyat Selangor menanti penjelasan Othman dan PKNS. Janganlah terus mendiamkan diri,kami rakyat Selangor ingin mengetahui kedudukan sebenar. Bersuaralah dan berikanlah penjelasan.
Othman dan PKNS perlu membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar kerana tindakan mendiamkan diri hanya mengesahkan segala dakwaan itu benar.
                           
 KOMEN : TAK PAYAH TANYALAH… ABIS-ABIS KAWAN NI AKAN KATA SAYA YANG MENURUT PERINTAH…. BALA JADINYA…        

Legoland Malaysia dibuka 15 September ini

UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012

SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Julai – Legoland Malaysia, taman tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka kepada orang ramai pada 15 September ini.
Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.
“Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50 juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan Pelancongan.
Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.
Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.
Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.

3 golongan ancam keselamatan

KUCHING 29 Julai – Tiga kategori golongan pelampau iaitu ekstremis agama, politik dan sosial dikhuatiri mampu mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak ditangani lebih awal.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin (gambar) berkata, ledakan teknologi maklumat yang berkembang pesat pada masa kini menjadikan ancaman era baru itu lebih berbahaya berbanding ancaman komunis.
Ini kerana kata beliau, menerusi teknologi itu terutama media sosial baharu, golongan pelampau berpeluang menyebarkan setiap idealisme songsang dan mempengaruhi pemikiran rakyat dengan cepat ke seluruh negara.
“Dulu kita diancam komunis, namun ia telah pun berakhir dan negara berjaya mengharunginya dengan baik.
“Kini kita berdepan dengan ancaman pihak tertentu yang berselindung di belakang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menggunakan agama, kaum serta sosial sebagai alat untuk mempengaruhi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menangani Isu Keselamatan Dalam Program Transformasi Kerajaan pada Forum Program Transformasi dan Isu-Isu Keselamatan anjuran Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sofian berkata, antara budaya negatif yang dibawa masuk golongan pelampau terbabit adalah demonstrasi jalanan serta amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan alasan memperjuangkan hak asasi manusia.
“Memandangkan pilihan raya semakin dekat, kita percaya golongan itu akan mengeksploitasi apa sahaja isu berkaitan agama, kaum dan sosial untuk meraih undi serta sokongan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Sofian bersetuju dengan saranan seorang peserta forum supaya istilah pengebom berani mati digantikan dengan ‘pengebom taksub’ atau ‘pengebom sesat’.

PUNCANYA SI KHALID

BN persoal niat sebenar kerajaan negeri salahkan Syabas, Pusat

DARI UTUSAN MALAYSIA
25/7/2012

SHAH ALAM 24 Julai – Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal niat sebenar kerajaan negeri yang dilihat sering menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai ‘sasaran’ bagi melepaskan tanggungjawab berhubung krisis bekalan air terawat di negeri ini.
Koordinatornya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sikap kerajaan negeri terhadap Syabas itu hanya untuk kepentingan politik bertujuan menyalahkan syarikat tersebut serta kerajaan Persekutuan kononnya sebagai punca kepada krisis air.
Katanya, kerajaan negeri perlu sedar mereka sebenarnya mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas yang mana pegangan ekuiti itu sudah cukup signifikan bagi mempengaruhi dasar syarikat tersebut dalam memastikan perkhidmatan perbekalan air terawat di negeri ini.
“Jika mereka mengatakan Syabas kroni kepada BN, apakah mereka lupa mereka ada pegangan saham 30 peratus dalam syarikat tersebut. Malah, mereka perlu akui pembinaan Langat 2 itu mampu menampung krisis bekalan air terawat di negeri ini.
“Apabila kerajaan negeri mengatakan Syabas gagal melaksanakan perbelanjaan modal (Capex) untuk menangani masalah kadar air tidak terhasil, kerajaan negeri sepatutnya sedar merekalah yang membekukan Syabas daripada melaksanakan Capex sejak 2008,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 1,000 juadah berbuka puasa kepada para pengguna Komuter di Stesen Komuter Seksyen 19, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dan Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi.
Pada masa sama, Mohd. Zin turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak merujuk kepada dua lagi syarikat konsesi air di negeri ini iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass) mengenai situasi bekalan air terawat di negeri ini.
“Abass dan Splash sudah tentu tahu mengenai fakta sebenar bekalan air terawat yang dihasilkan kerana masing-masing menguruskan loji rawatan air Semenyih dan loji rawatan air Sungai Selangor bagi fasa 2 dan fasa 3,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan menolak cadangan kerajaan negeri mengambil alih Syabas keputusan tepat dan menganggap tindakan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan referendum rakyat ekoran keputusan tersebut hanyalah helah politik semata-mata.
“Apa perlunya referendum jika pelan menangani krisis bekalan air terawat telah pun ada menerusi pembinaan Langat 2. Kenapa pula kerajaan negeri tidak mengaitkan Abass dan Splash dalam cadangan mengadakan referendum itu?
“Apa yang jelas cadangan referendum itu hanya merujuk kepada Syabas dan kerajaan Pusat semata-mata. Maka, kita melihat cadangan itu seolah-olah helah politik semata-mata,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mendesak kerajaan negeri mengemukakan kertas putih berhubung proses kutipan hutang Talam Corporation Bhd. (Talam) yang tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan tahap ketelusan kerajaan negeri dalam membekalkan maklumat proses kutipan hutang Talam kepada firma audit bebas yang dilantik untuk tujuan itu.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai peruntukan RM300 juta Geran Selangorku sama ada diperoleh daripada kutipan hutang Talam selain kriteria yang digunakan kerajaan negeri dalam memilih tanah yang dibeli daripada Talam untuk menampung kutipan hutang berkenaan.

Jangan siakan Ramadan

Kemuliaan Ramadan janganlah dicemari dengan berlebih-lebihan dalam soal penyediaan makanan. – Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH, syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT, sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.
Seorang cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.
Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.
Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.
Berapa ramai di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.
Mereka yang sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
Pepatah Melayu ada menyebut; “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.” Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang mensia-siakan kehidupan di dunia ini.
Antaranya ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)
Dan firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)
Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai “tarikh luput”nya yang tersendiri.
Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: “Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara; tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi)

YANG PENTING JANJI DITEPATI

Peluang cerah BN menang PRU-13

Mohamed Mustafa Ishak (tiga dari kiri) Syed Arabi Aidid (kiri) Rohana Yusof, Zakri Abdul Hamid (tiga dari kanan), T. Selvakumar dan Fuad Mohd. Jali berbincang secara ringkas selepas Sesi Roundtable Discussion ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa? di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Julai – Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk menawan semula Selangor dan Kedah yang dikuasai pembangkang.
Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, kesimpulan itu dibuat menerusi hasil kajian terhadap 1,400 responden di sekitar Kedah dan Selangor pada Mac dan April lalu.
Menurut beliau, pengundi di Selangor lebih memihak kepada BN manakala sokongan pengundi di Kedah terbahagi sama rata antara BN dan pembangkang.
”Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus responden menyatakan BN akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan 37.5 peratus yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dan 32.1 peratus berpandangan BN mendapat majoriti mudah.
”Di peringkat Parlimen pula, 57 peratus responden menyatakan akan memilih BN dan 54.1 peratus responden memilih BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya dalam sesi bertajuk ‘Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan?’ pada Perbincangan Meja Bulat bertema ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’ anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara di sini hari ini.
Selain Fuad, ahli-ahli panel sesi tersebut ialah bekas Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Aidid dan Pengarah Koridor Utara UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof manakala Ketua Pengarang Berita The Star, T. Selvakumar bertindak sebagai moderator.
Selain itu, tambah Fuad, kajian sama mendapati 76 peratus rakyat berpandangan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata beliau, secara purata 87.4 peratus daripada rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan umur layak mengundi menyokong Najib dan Perdana Menteri juga mendapat sokongan daripada 75 peratus kaum Melayu, 69.6 peratus kaum Cina, 71 peratus kaum India, 85.5 peratus kaum Iban dan 84 peratus kaum bumiputera di Sarawak.
”Keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Najib yang menerajui BN adalah berpunca daripada pelbagai transformasi bersifat populis dan praktikal yang berupaya menarik sokongan semua golongan.
”Antaranya pendekatan yang digunakan ialah media sosial seperti Facebook dan Twitter, konsep 1Malaysia, transformasi politik, petunjuk prestasi utama (KPI), Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Rumah Pertamaku dan program pembangunan luar bandar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kata Fuad, kajian sama menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencatatkan prestasi tercorot dalam kalangan tokoh kepimpinan negeri.
Sementara itu, Rohana ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perbandingan Prestasi dan Potensi BN Vs Pas di Negeri Kedah’ memberitahu, kira-kira 54 peratus rakyat Kedah menolak kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Pas.
”Ini dapat ditafsirkan menerusi pandangan mereka yang menyatakan kegagalan kerajaan Pas Kedah menunaikan janji-janji yang dibuat pada PIlihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga berpandangan Pas kecundang dengan konsep negara berkebajikan yang dijajanya,” ujarnya.
Jelas beliau, kajian tersebut turut mendapati UMNO dan BN mempunyai kelebihan untuk merampas Kedah dari tangan Pas dan sekiranya senario itu berlaku, Timbalan Menteri Perdagangan  Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menjadi pilihan rakyat sebagai Menteri Besar.

BONUS RAYA BUKAN PILIHANRAYA….

Bonus kakitangan awam

DARI UTUSAN MALAYSIA
26/7/2012

NAJIB Tun Razak beramah mesra bersama pelajar Ma’ahad Tahfiz Akademi Iqro’ Al-Quran, Bandar Baru Ampang pada Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor sempena Ramadan di Taman Nirwana, Ampang, Selangor, semalam. Turut sama Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo (kiri). – UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 25 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan,” katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menghargai usaha dan keprihatinan Perdana Menteri yang telah mengumumkan bonus dan bayaran khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pemberian berkenaan dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam menghadapi musim perayaan akan datang.
“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman tersebut dan berharap setiap penerima menggunakan wang berkenaan secara bijak.
“Pemberian bonus ini menjadi suntikan semangat kepada setiap penjawat awam agar menjalankan tugas dengan lebih komited manakala bagi pesara pula terus menyokong program pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi di sini. – BERNAMA

KOMEN : SYUKUR ALHAMDULILLAH….AMIN….