Elak terlibat agenda mana-mana parti politik

TUANKU Sharafuddin Idris Shah bersama Addul Khalid Ibrahim (lima dari kiri), Ahmad Zaharin Mohd. Saad (lima dari kanan) bergambar bersama pegawai kanan JAIS sempena Majlis Ramah Mesra Sultan Selangor Bersama Warga Kerja Jabatan Agama Islam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, semalam. – UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 8 Ogos – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diminta mengelak daripada terlibat dalam mana-mana parti politik bagi memastikan tumpuan serta fungsi kedua-dua institusi itu dalam memartabatkan agama Islam di negeri ini tidak dicemari dengan agenda pihak tertentu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ketika ini terdapat segelintir ahli politik yang mahu mengambil kesempatan untuk mempergunakan MAIS dan JAIS untuk mencapai agenda politik mereka.
“Beta tidak mahu perkara ini berlaku di Selangor. Beta mahu agar semua pihak di MAIS dan JAIS mengelakkan diri dari terlibat dalam agenda politik mana-mana parti sekalipun.
“Beta mahu JAIS dan MAIS kekal sebagai institusi yang berkecuali dan menumpukan fungsinya dalam memartabatkan agama Islam di Selangor yang beta kasihi ini,” titah baginda pada Majlis Mengadap Sultan Selangor oleh Kakitangan JAIS di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Yang turut hadir mengiringi baginda pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad.
Terdahulu, dalam titah berkenan, baginda turut mengingatkan JAIS supaya mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan kemas bagi memastikan hanya mereka yang melakukan kesalahan di bawa ke muka pengadilan selain tidak bertindak secara kasar serta keterlaluan termasuk mengenepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.
“Prosedur yang teratur ini penting bagi memelihara nama baik JAIS kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikaikan setiap tindakan dan kredibiliti JAIS dalam menjalankan tugas,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Sharafuddin juga mahu JAIS bertindak dalam lingkungan tugas yang melibatkan kesalahan terhadap isu agama Islam sahaja tanpa menganggu tugas serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penguatkuasaan terhadap rumah-rumah urut dan sebagainya bagi mengelak tohmahan terhadap jabatan itu.
“Beta menasihatkan supaya JAIS memberi penekanan yang lebih kepada penguatkuasaan kes yang lebih berat dan penting seperti kes melibatkan ajaran agama Islam, isu murtad, ceramah tanpa tauliah dan ceramah politik di masjid dan surau yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan merosakkan akidah serta menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.
“JAIS juga perlu memberi penekanan kepada orang ramai mengenai fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan teras aliran kepercayaan orang Islam di negara kita,” titah baginda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_14/Elak-terlibat-agenda-mana-mana-parti-politik#ixzz3A2SAfrFB  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : KALAU NAK BERPOLITIK SANGAT BERHENTI KERJALAH…
Advertisements

Sultan Sharafuddin murka

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah dalam Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor, semalam. – Utusan/RASHID MAHFOF
SEPANG 15 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini amat kesal dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Pas, Khalid Samad yang mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Menurut baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti mana termaktub di bawah undang-undang.
Baginda bertitah, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
“Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai ketua agama Islam di Selangor,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada 17 Jun lalu, Khalid dan beberapa pemimpin Pas Selangor mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.
Khalid berkata, kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.
Dalam titah ucapannya, Sultan Selangor turut meminta Khalid pada masa depan supaya lebih berwaspada di dalam mengeluarkan kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadab serta jahil apabila membicarakan isu berkaitan kuasa baginda selain peranan MAIS dalam menasihatkannya mengenai agama Islam.
“Khalid yang bukannya anak jati Selangor, namun berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah untuk melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor.
“(Dan) mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya melahirkan rasa dukacita kerana terdapat dalam kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tertentu.
“Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.
“Ada dalam kalangan mereka ini berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Selangor ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain dalam mengamalkan ajaran mereka.
Titah baginda, MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain,” titah baginda.
Sultan Selangor sekali lagi mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai modal politik.
“Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut mengingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempatan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di dalam mahupun di pekarangan masjid.
“Masjid dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat serta bertemu bagi mengeratkan silaturahim antara orang Melayu umat Islam,” titah Sultan Sharafuddin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_01/Sultan-Sharafuddin-murka#ixzz37mLyGyrd  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Ikut proses perundangan – Sultan

Oleh LILIS SURIANI OMAR
pengarang@utusan.com.my


SULTAN Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM 19 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya isu pemulangan atau pelupusan kitab Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah, dilaksanakan mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, Sultan Sharafuddin menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya untuk dibawa ke mahkamah selaras dengan arahan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara agar JAIS mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang.
Berikut adalah kenyataan penuh tersebut:
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa setelah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar isu pemulangan atau pelupusan Bible Al-Kitab dalam Bahasa Malaysia, yang menggunakan kalimah ‘Allah’ hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur perundangan sedia ada dan yang terpakai.
Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan.
Titah ini adalah selaras dengan arahan di dalam minit yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara yang menyatakan “berhubung Bible Al-Kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang.”
Oleh itu, pihak JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan dibuat ke mahkamah. Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berpendapat isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat dengan mengesyorkan jalan penyelesaian yang tidak berpandukan kepada undang-undang dan ada juga syor-syor yang tidak munasabah.
Di samping itu, baginda berharap ahli-ahli politik tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka.
Biarlah perkara ini diselesaikan di antara pihak-pihak yang terlibat dan juga pihak yang diberi kuasa untuk menyelesaikannya.
Isu agama adalah merupakan satu isu yang sensitif. Oleh itu baginda meminta supaya semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Baginda juga menasihatkan kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan dilarang untuk masuk campur dalam isu ini sehingga boleh mengelirukan lagi keadaan.
Baginda juga membuat penegasan bahawa setiap tindakan dan titah baginda dalam apa jua isu sama ada berkaitan dengan agama atau negeri, tidak pernah membelakangkan undang-undang dan tidak pernah cuba bertindak mengatasi undang-undang above the law.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140620/dn_02/Ikut-proses-perundangan—Sultan#ixzz358tLnjZ3  © Utusan Melayu (M) Bhd 


‘Sejarah yang amat memalukan Pas’

KUALA LUMPUR 18 Jun – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyelar sekeras-kerasnya tindakan empat Ahli Parlimen Pas dari Selangor yang mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedudukan agama Islam di negeri itu.
Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata, gesaan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan untuk menjalankan peranan menjaga kedaulatan agama menjadi bukti bahawa keempat-empat wakil rak-yat itu meletakkan kepentingan politik melebihi tuntutan agama.
“Jelas mereka keliru dengan kedudukan dan peranan MAIS, isu rampasan Bible kerana tidak memahami Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam, keliru kuasa Sultan Selangor berhubung agama Islam dan keliru batasan kuasa Exco kerajaan negeri.
“Saya bersimpati, mereka kena belajar untuk memisahkan diri daripada terkongkong dalam politik sempit. Hanya jika bebas dari kongkongan parti politik sempit, baru mereka tahu isu dan batasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah menyifatkan tindakan tersebut merupakan satu penghinaan bagi seluruh umat Islam khususnya di Selangor.
“Ini merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan juga umatnya kerana cuba untuk menghapuskan satu badan yang selama ini berjihad hanya untuk kepentingan agama Islam.
“Sekarang kita boleh nilai bahawa perjuangan parti itu selama ini hanya berselindung di sebalik nama sahaja dan mereka juga menggunakan isu agama untuk meraih kepentingan politik,” jelasnya.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan pandangan empat Ahli Parlimen Pas Selangor yang mencadangkan supaya kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menguatkuasakan hal ehwal di negeri itu dihapuskan adalah sesuatu yang amat memalukan parti politik itu.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam, beliau juga hairan bagaimana pandangan itu boleh disuarakan oleh Ahli Parlimen Pas terbabit iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr. Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
“Bagi saya, ini adalah sejarah yang amat memalukan Pas. Sepatutnya, mereka yang mempertahankan MAIS atau JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Ini tidak, mereka pula yang minta agar fungsi agensi seperti MAIS dihapuskan.
“Saya kurang pasti sama ada itu adalah pandangan peribadi mereka ataupun ia datang daripada pucuk pimpinan Pas dan juga Majlis Syura Pas. Saya harap ini bukan suatu keputusan yang dipersetujui oleh para pemimpin Pas sehinggalah ke akar umbinya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini hari ini.
Ibrahim berkata, beliau kecewa dan memandang serius isu itu kerana ia membabitkan agama Islam yang telah dijamin haknya dalam Perlembagaan negara ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140619/po_03/Sejarah-yang-amat-memalukan-Pas#ixzz3534u1SyU  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : PAS NI MASIH ADA KEMALUAN KE? ADA PEMIMPINNYA YANG DAH TERDEDAH KEMALUAN PUN MASIH TAK MALU LAGI… JUAL LAH AGAMA ISLAM SELAGI KAU BOLEH PAS… PATIK MOHON DERHAKA TUANKU…NIZAR CAKAP…

4 ahli Parlimen Pas bertindak tanpa berbincang

KUALA LUMPUR 18 Jun – Pas Selangor menegaskan kenya-taan empat ahli Parlimennya berhubung gesaan kerajaan negeri mengkaji semula enakmen dalam peruntukan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), tidak langsung mewakili pandangan keseluruhan parti.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataan berkenaan telah dikeluarkan tanpa perbincangan parti di peringkat negeri tersebut.
“Penyelesaian di peringkat Exco juga belum selesai. Menteri Besar akan menghadap Sultan Selangor. Sebagai parti kerajaan, kita tidak boleh bertindak bertentangan dengan keputusan-keputusan kerajaan. Pas perlu bersama dengan tindakan tersebut.
“Pas akan mengemukakan pandangan mereka di dalam kerajaan melalui wakil-wakil mereka dalam Exco. Berilah peluang kepada Menteri Besar dan kerajaan ne-geri untuk menyelesaikan kes ini.
“Tidak adil bagi Pas Selangor untuk membuat sebarang komen sekarang. Disiplin dalam kerajaan perlu dipatuhi. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor sedang mematuhi disiplin ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Iskandar seterusnya menolak keadaan tidak sepakat di dalam melontarkan pendapat berhubung konflik di antara kerajaan negeri, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akibat kegagalan memahami konsep dan dasar yang diambil pimpinan kerajaan negeri.
“Pandangan Pas disalurkan melalui wakil-wakil Pas di dalam kerajaan, iaitu Exco. Sudah tentu pandangan-pandangan itu tidak didedahkan kepada umum kerana kes ini belum selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Bendahari Pas Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi pula berkata, pihaknya buat masa ini tidak mendapat maklumat jelas mengenai cadangan berkenaan yang dibuat secara bersama oleh keempat-empat ahli Parlimennya itu.
“Pas Selangor tidak boleh buat keputusan mengenai cadangan itu buat masa ini. Kita kena bincang dahulu di peringkat Pas negeri.
“Kita akan adakan pertemuan dan perbincangan di peringkat kepemimpinan Pas negeri mengenai cadangan itu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140619/po_02/4-ahli-Parlimen-Pas-bertindak-tanpa-berbincang#ixzz352kiL6oo  © Utusan Melayu (M) Bhd

Pas mahu kuasa MAIS, JAIS dihapus


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pemimpin Pas Selangor hari ini mendesak Majlis Agama Islam Sela-ngor (MAIS) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lalu.
Tegas beliau, penghapusan kuasa MAIS itu boleh dilakukan kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempunyai suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan pada enakmen berkaitan.
“Kami sebagai Ahli Parlimen Pas meminta kerajaan negeri mengkaji enakmen yang memberikan kuasa eksekutif kepada MAIS untuk mengarahkan JAIS dan sekiranya perlu, membuat pindaan kepada enakmen berkenaan.
“Tindakan yang seperti ini (isu rampasan Bible) boleh mencemarkan imej Sultan Selangor itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Yang turut hadir tiga Ahli Parlimen Pas iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr. Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan tiada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible oleh JAIS Januari lalu dan kes itu ditutup manakala berhubung kitab-kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang.
Bagaimanapun, MAIS pada Sabtu lalu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Gani untuk tidak meneruskan prosiding pendakwaan serta menolak arahan Kerajaan PKR Selangor yang meminta JAIS memulangkan naskhah Bible yang dirampas dalam serbuan pada 2 Januari lalu kepada BSM.
Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor berkata, JAIS telah gagal dalam peranannya apabila banyak tindakan badan agama itu menimbulkan persoalan dan kontroversi.
“Jadi kita minta kerajaan kaji dan Exco agama mengetuai jawatankuasa ini demi menjaga masalah dalam negeri Selangor dan hubungan antara bukan Islam dan orang Islam.
“Dalam mesyuarat Pas negeri, kita akan timbulkan perkara sama kerana banyak sangat kes yang kita tengok Exco agama tidak tahu apa-apa dan akhirnya kerajaan negeri juga kena menangani salah faham yang timbul,” tegas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140618/po_03/Pas-mahu-kuasa-MAIS-JAIS-dihapus#ixzz34x9OvVzJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Runding dengan Peguam Negara

KUALA LUMPUR 17 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berunding dengan Peguam Negara (AG) jika ia berpendapat AG perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Peguam Negara baru-baru ini memutuskan bahawa tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut yang dilakukan pada Januari lepas, sekali gus menutup kes berkenaan.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian isu rampasan kitab tersebut milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.
“Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mestilah menghormati keputusan yang dibuat,” katanya.
Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, MAIS dan JAIS yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan semula kitab Bible tersebut atau sebaliknya.
“Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.
“Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan juga kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada 2 Januari lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.
Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140618/dn_01/Runding-dengan-Peguam-Negara#ixzz34wyQ8UN4  © Utusan Melayu (M) Bhd