TLDM, TNI tubuh pasukan atur cepat cegah lanun

12 Ogos 2015 1:26 AM
ABDUL AZIZ JAAFAR (dua dari kanan) memberi tepukan tahniah kepada Dr. Nor Aieni Mokhtar, yang turut bersama ialah suaminya Prof. Dr. Mohamed Amin Alias, (dua dari kiri) dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat PSSTLDM di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalinkan kerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan menubuhkan tim pasukan atur cepat di kawasan perairan kedua-dua negara bagi mengekang ancaman lanun.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pasukan tersebut yang dianggotai pasukan khas kedua-dua negara iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Detasmen Jala Mengkara (Denjaka) TNI-AL turut dibantu dua buah helikopter bagi memberi sokongan jika keadaan memerlukan.
Katanya, antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk menempatkan pasukan tersebut termasuklah di perairan Tanjung Pengelih, Johor dan Tanjung Pinang, Indonesia.
“Setiap pasukan yang kita tempatkan terdiri daripada dua tim yang mempunyai kekuatan 14 anggota pasukan khas dan kita akan bersama-sama bertindak terhadap setiap laporan yang diterima.
“Dalam operasi seterusnya, bidang penguatkuasaan adalah tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).Tetapi, apabila kapal dirampas, kami (TLDM) akan bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemakaian Pangkat Kepten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menyarankan setiap kapal yang beroperasi di perairan Malaysia mempunyai pelan tindak kecemasan bagi melaporkan sebarang kejadian dengan pantas kepada pihak yang berkuasa.
“Syarikat kapal perlu pastikan keselamatan kapal dan anak kapal dalam keadaan bersiap sedia. Jika ambil mudah dan leka, musuh dengan mudah dapat menawan kapal pada bila-bila masa,” katanya.

Kapal selam negara buktikan keupayaan – Abdul Aziz

04 November 2014 2:36 AM
Abdul Aziz Jaafar (dua dari kanan) bersama Jean Yves Le Drian (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus di atas kapal selam KD Tun Razak dekat Sepanggar, Sabah, semalam. – UTUSAN/ Azrul Edham Mohd. Aminuddin
SEPANGGAR 3 Nov. – Keupayaan kapal selam negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark tepat ke sasaran dengan kelajuan yang ditetapkan pada 31 Oktober lalu memberi gambaran jelas terhadap kemampuan aset negara itu dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kejayaan melakukan pelancaran torpedo berkeupayaan tinggi tersebut diharap dapat menutup segala tohmahan jahat pihak tidak bertanggungjawab terhadap ‘kekuatan’ kapal selam negara.
Menurutnya, sesi latihan tersebut bukan sahaja membuktikan keupayaan memusnah dengan sempurna, malah penggunaan torpedo berkeupayaan tinggi iaitu Black Shark telah terbukti memberi satu kelebihan kepada kapal selam negara.
“Black Shark merupakan satu senjata baharu kapal selam yang merupakan hasil perkongsian kerjasama dua buah negara iaitu Itali dan Perancis. Malah tembakan yang dilakukan pada 31 Oktober lalu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar.
“Dalam latihan yang dilakukan di perairan Laut China Selatan itu, KD Tun Razak berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna apabila memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan rasmi Menteri Pertahanan Perancis, Jean Yves Le Drian ke Markas Angkatan Kapal Selam TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini. Yang turut hadir, Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Abdul Rahman Ayob.
Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, Malaysia merupakan negara kedua membeli torpedo Black Shark selepas Chile.
“Selepas itu baharu negara lain beli torpedo berkenaan. Berdasarkan rekod, negara itu banyak menggunakan torpedo Black Shark jenis latihan tetapi belum pernah menggunakan torpedo Black Shark untuk peperangan. Secara tidak rasminya, Malaysia atau TLDM boleh ditakrifkan sebagai negara pertama membuat penembakan torpedo Black Shark konfigurasi perang setakat ini,” jelasnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kapal-selam-negara-buktikan-keupayaan-8211-abdul-aziz-1.20548#sthash.HFRJ9W7g.dpuf


TLDM lancar penembakan torpedo Black Shark kapal selam Scorpene
01 November 2014 2:10 AM
Sebuah feri penumpang yang telah diubah suai kelihatan musnah selepas menerima sasaran tembakan torpedo Black Shark kapal selam KD TRZ di perairan Laut China Selatan pada pukul 11.20 pagi, semalam.
KOTA KINABALU 31 Okt. – Kapal selam KD Tun Razak hari ini melakar sejarah apabila melaksanakan penembakan torpedo Black Shark di Perairan Laut China Selatan.
Penembakan dari aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengenai sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan ditetapkan pada 11.20 pagi.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TLDM hari ini, KD Tun Razak melancarkan torpedo Black Shark ke sasaran permukaan iaitu sebuah feri penumpang yang mengenai dan memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan.
“Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat pertama kalinya kapal selam negara melaksanakan penembakan torpedo semenjak kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009.
“Selain itu, penembakan itu adalah yang pertama kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali,” kata kenyataan itu.
Operasi penembakan itu melibatkan aset bantuan daripada perkhidmatan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis selain penglibatan KD Jebat, KD Terengganu, KD Kasturi, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, kapal penyelamat kapal selam Mega Bakti dan bot tempur CB 90 serta tim penyelam sementara aset TUDM yang turut terlibat ialah pesawat B 200T dan EC 725.
Menurut kenyataan itu, kejayaan penembakan itu membuktikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus meletakkan TLDM antara pasukan tentera laut yang wajar digeruni di rantau ini. – BERNAMA


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-lancar-penembakan-torpedo-black-shark-kapal-selam-scorpene-1.19329#sthash.7rsQyTg9.dpuf


MH370: Tugasan terbaharu aset TLDM

LUMUT 4 Ogos – Selepas penghantaran Kapal Diraja (KD) Lekiu dan kapal sokongan Bunga Mas 6 (BM6), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menggerakkan satu lagi aset kapal hidrografinya, KD Mutiara untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, KD Mutiara yang berlepas pagi ini dijangka berhenti seketika di Jakarta, Indonesia pada Sabtu ini sebelum bertolak ke lokasi pencarian tiga hari berikutnya dan dijangka tiba pada 18 Ogos depan.
Beliau berkata, kapal yang menggunakan antara peralatan terkini dan termoden itu diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Kamarul Fahmy Kamaruddin bersama 137 anak kapal melibatkan 19 pegawai, 118 anggota lain-lain pangkat termasuk seorang pegawai perubatan daripada Kor Perubatan Angkatan Tentera dan pegawai agama daripada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).
Menurut beliau, setibanya di sana, kapal tersebut akan dikoordinasikan operasinya oleh Military Coordination Subsurface Training yang berpangkalan di Perth, Australia.
“Kapal ini akan menyertai BM6, selain dua buah kapal dari Cina dan sebuah lagi dari Australia. Saya difahamkan bahawa 50 peratus daripada sektor kawasan yang dikenal pasti telah dibuat pencarian sementara selebihnya akan diteruskan.
“Kita menyerahkan kepada Jawatankuasa Aset Kerajaan Malaysia untuk menentukan tempoh masa kapal ini akan berada di sana, namun kita jangkakan sehingga habis tamat pengukuran dalam tempoh tiga ke empat bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan KD Mutiara untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 di jeti operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
KD Mutiara adalah salah satu daripada dua kapal Skuadron Hidrografi milik TLDM selain KD Perantau, yang buat julung kalinya menyertai misi operasi selepas direhatkan selama dua tahun bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Dilancarkan pada 7 Mac 1996, kapal yang dibina di Limbungan Hong Leong Lurrsen, Butterworth, Pulau Pinang ini berukuran 71 meter panjang dan 12.4 meter lebar dengan kelajuan 16 knots serta mampu beroperasi di laut sehingga 21 hari.
Kelebihan KD Mutiara terletak pada sistem ‘multibeam echosounder’ yang berkemampuan untuk melaksanakan kerja pengukuran batimetri bagi menentukan ketepatan kedalaman dasar laut pada keluasan lebih besar dengan resolusi tinggi mencecah 7,000 meter sementara penggunaan ‘single beam’ pula mampu menjangkau sehingga 11,000 meter.
Ketika ini, pengukuran batimetri dilaksanakan oleh kapal Pla-N Kezhen 872 dari negara China dan kapal Fugro Equator milik Australia.
TLDM sebelum ini telah menggerakkan KD Lekiu ke selatan Lautan Hindi bagi menyertai operasi pencarian MH370 dari 19 Mac sehingga 21 Mei lalu sementara BM6 yang diatur gerak sejak 16 April lalu, masih beroperasi sehingga kini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140805/dn_04/MH370-Tugasan-terbaharu-aset-TLDM#ixzz39TnrWMrM  © Utusan Melayu (M) Bhd 





Perintah berkurung 4 daerah di Sabah

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi melindungi dan mengukuhkan tahap keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.
Perintah berkurung itu adalah antara tujuh langkah drastik yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 48 jam ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak yang tidak mematuhi arahan perintah berkurung akan ditangkap mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Perintah berkurung ini dilakukan selari dengan langkah mewujudkan laluan yang telah ditetapkan. Ia akan dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya selepas mesyuarat keselamatan Sabah bersama beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Bukit Aman hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Amdan Kurish.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui pemberita, mengesahkan lima kapal TLDM akan berada di perairan Pantai Timur Sabah untuk mengawal keselamatan di situ.
Katanya, dalam tempoh 48 jam ini, kesemua aset dan keanggotaan berada di situ untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan daripada sebarang ancaman anasir-anasir luar.
“KD Bunga Emas 5 kini berada di Kota Kinabalu dan dalam perjalanan ke satu kawasan yang telah ditetapkan. Selain itu KD Lekiu, kapal superlink akan turut berada di sana,” katanya.
Difahamkan, KD Bunga Emas 5 akan menjadi markas utama yang akan menempatkan penguat kuasa dari pelbagai agensi yang bertugas di Pantai Timur Sabah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140717/je_03/Perintah-berkurung-4-daerah-di-Sabah#ixzz37i8yn6Hj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



TLDM – Mohamad Roslan Panglima Armada

ABDUL Aziz Jaafar (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada di antara Abd Hadi A. Rashid (kiri) dengan Mohamad Roslan Mohamad Ramli di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.
LUMUT 14 Julai – Panglima Pemerintah Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dilantik sebagai Panglima Armada yang baharu, menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang bersara daripada perkhidmatan.
Pelantikan itu menjadikan Mohamad Roslan sebagai Panglima Armada yang ke-20 sejak Markas Armada ditubuhkan September 1980.
Mohamad Roslan memulakan tugasnya sebagai Panglima Armada secara rasmi hari ini dan pada masa sama memangku jawatan yang disandangnya sebelum ini iaitu Panglima Pemerintah Bantuan sehingga akhir bulan ini.
Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksi dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM di sini hari ini.
Abdul Aziz dalam sidang akhbarnya selepas majlis berkenaan berkata, jawatan Panglima Armada merupakan posisi kedua terpenting di dalam ketumbukan itu dan sangat mencabar.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang lebih dua tahun memegang jawatan itu, Abdul Hadi bukan sahaja berjaya melaksanakan tugas dengan baik, malah telah mengangkat imej serta reputasi TLDM.
“Beliau mengetuai tujuh operasi TLDM yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara. Beliau juga terlibat dalam misi pencarian MH370 dan melaksanakannya dengan baik tetapi malangnya pesawat itu telah diumumkan berakhir di Lautan Hindi.
“Beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang tempoh menjadi Panglima Armada. Cabarannya amat getir tetapi saya percaya beliau berjaya mengharunginya. Terima kasih diucapkan kepada beliau,” katanya.
Mengulas mengenai Mohamad Roslan yang menggantikan Abdul Hadi pula, Abdul Aziz percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Panglima Armada baharu itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_12/Mohamad-Roslan-Panglima-Armada#ixzz37bNx85PC  © Utusan Melayu (M) Bhd