Abu Kassim akan jumpa tiga ketua pasukan petugas khas 1MDB

13 Oktober 2015 1:09 AM
Abu Kassim Mohamed (kiri) memakaikan selempang Anugerah Tokoh Pembangunanan kepada Zakaria Jaffar (dua dari kiri) di Akademi SPRM, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan me­ngadakan pertemuan dengan tiga ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mereka ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan pasukan petugas khas tersebut yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan 1MDB.
“Pasukan ini penting bagi membincangkan jalan penyelesaian dan keputusan dalam isu-isu yang timbul.
“Kita tidak kisah, kalau ada pertemuan memang saya hendak berjumpa dengan ketua-ketua jawatankuasa khas itu,” katanya selepas Majlis Paluan Berundur dan Persaraan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar di Akademi Pencegahan Rasuah, Jalan Duta, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Zakaria dalam ucapan persaraannya agar pasukan petugas khas itu diaktifkan semula.
Abu Kassim bagaimanapun tidak menyatakan bila beliau akan me­ngadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin pasukan petugas khas berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pe­su­ruhjaya (Pengurusan dan Pro­­fesionalisme) Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar ber­kata, pasukan petugas khas yang di­pertanggungjawabkan un­tuk me­nyiasat isu membabitkan 1MDB perlu diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan.
Zakaria yang bersara wajib hari ini berkata, sebuah panel khas perlu diwujudkan bagi mengkaji hasil siasatan yang berkaitan dengan isu 1MDB agar segala keputusan diambil adalah adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Panel khas itu perlu dianggotai seorang bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil daripada Majlis Peguam bagi menjalankan kajian terhadap keputusan siasatan yang melibatkan SRC International, dana RM2.6 bilion dan 1MDB.
“Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada wujud kes atau tidak untuk didakwa di mahkamah. Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM pada empat tahun lepas,” katanya.

Penguat kuasa MBPP dihina _ Betul kata Tajuddin LEMPANG AJE

Video dua pemuda bertindak biadab menjadi viral
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 09 Oktober 2015 1:02 AM
SEORANG lelaki mencampakkan wang kompaun serta mengherdik anggota penguat kuasa MBPP yang terpaksa mengutipnya ketika rakan lelaki itu cuba membuka kunci pada tayar kereta dalam rakaman video yang menjadi viral di internet.
PULAU PINANG 8 Okt. – Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pihak berkuasa me­nyiasat segera perbuatan biadab dua pemuda Cina terhadap anggota penguat kuasa mereka yang sedang melakukan tugas dalam kejadian di Lebuh Campbell di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Sambil melahirkan rasa kesal, wakil mereka, Mohd. Yusoff Mohd. Noh berkata, tindakan kurang ajar dua pemuda berkenaan yang membaling wang kompaun serta mencaci penguat kuasa wanita MBPP itu dengan perkataan `anjing’ jelas merupakan perbuatan tidak bertamadun.
Menurutnya, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai cubaan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dengan baik serta memalukan anggota penguat kuasa di tempat awam.
Malah, jelas beliau, tindakan pemuda berkenaan yang cuba membuka sendiri kapit roda atas ke­salahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.
“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian tiga penguat kuasa MBPP yang diherdik dengan perkataan kesat oleh dua pemuda Cina kerana tidak berpuas hati selepas kenderaan mereka dikunci kerana kesalahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki.
Dalam rakaman kejadian itu yang tersebar di Internet hari ini, kedua-dua pemuda berkenaan dalam keadaan marah pada awalnya cuba membuka sendiri tayar yang dikunci anggota penguat kuasa MBPP berkenaan.
Bagaimanapun, mereka akhir­nya mengalah apabila salah seorang daripada mereka membayar kompaun kesalahan tersebut tetapi de­ngan mencampakkan wang ke lantai sebelum dikutip penguat kuasa MBPP wanita berkenaan.
Video berdurasi dua minit itu mengundang rasa marah dan kurang senang orang ramai yang menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai melampau dan menghina penjawat awam.
Malah, majoriti mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemuda berkenaan sebagai pe­ngajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan penjawat awam.
Sementara itu, Mohd. Yusoff melahirkan rasa bangga dengan sikap tenang ketiga-tiga anggota pe­nguat kuasa MBPP berkenaan dalam berdepan situasi tersebut.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memahami serta menghormati bidang tugas penguat kuasa MBPP yang perlu bertindak ke atas kesalahan pemandu yang jelas menyusahkan pihak lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada salah seorang penguat kuasa MBPP berkenaan semalam.
Sehubungan itu, menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

JENAYAH : Kami tidak gentar’

AZMAN IBRAHIM | 18 September 2015 1:32 AM
KERATAN Utusan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 17 Sept. – Susulan kes pembunuhan Anthony Kevin Morais, Jabatan Peguam Negara me- negaskan pihaknya tidak akan tunduk dan gentar dengan tindakan pengecut yang mengugut mana-mana pegawainya.
Menurut jabatan itu, peraturan undang-undang sedia ada tidak dibenarkan menggugat tanggungjawab pihaknya jika Malaysia mahu menegakkan sistem demokrasi berparlimen.
Malah, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan di sini, menggesa pihak polis untuk menyiasat secara terperinci kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan jabatan itu bagi membolehkan pelaku jenayah itu didakwa.
“Jabatan Peguam Negara mahu melihat keadilan dan rasa kebertanggungjawaban dilakukan dalam kes berkenaan.
“Sementara menghormati pemisahan fungsi antara penyiasat dan pendakwa, kami dengan tegas menggesa pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini bagi membolehkan dalangnya dikenal pasti, ditemui dan didakwa berlandaskan pematuhan undang-undang sepenuhnya.
“Ini sekurang-kurangnya apa yang dapat jabatan ini lakukan untuk membalas jasa salah seorang pegawai kami yang telah berkhidmat kepada negara dengan rasa bangga, profesional, penuh dedikasi serta komited sama ada di dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu.
Kevin, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini pada 4 September lalu untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu yang memakai nombor pendaftaran WA 6264 Q.
Semalam, mayat beliau ditemukan di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah, taman perumahan USJ1.
Pihak polis percaya pembunuhan Kevin mungkin bermotifkan balas dendam berhubung perbicaraan yang dikendalikan melibatkan seorang doktor di hospital tentera.
Doktor berumur 52 tahun itu adalah antara tujuh suspek yang sedang direman berhubung kes pembunuhannya.
Tambah Jabatan Peguam Negara, Kevin melambangkan perumpamaan melakukan pendakwaan tanpa rasa takut dan memihak sepanjang kerjayanya yang panjang dan cemerlang.
Jabatan tersebut turut menyampaikan takziah kepada keluarga Kevin atas kematiannya dalam melaksanakan tugas rasmi demi menegakkan keadilan dan undang-undang.
“Kehilangannya amat dirasai buat jabatan sama ada secara profesional atau peribadi dalam kalangan sahabat dan rakan-rakan sekerjanya di sini,” katanya.
Menurut jabatan itu, pegawai kanan jabatan dan rakan-rakan Kevin sentiasa bersama-sama keluarga mendiang ketika menempuh dalam keadaan sukar ini sebagai memberi sokongan dan bantuan apa yang terdaya.

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM
Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.
Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.
“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.
Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.
Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

Kevin mati dibunuh

Mayat disimen dalam tong dram, dicampak ke paya
MASZUREEN HADZMAN | 17 September 2015 1:28 AM
MOHMAD SALLEH (kiri) melihat kesan tong simen yang telah dipecahkan pihak polis yang mana mayat Anthony Kevin Morais ditemui di Jalan Subang 3, Subang Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dibunuh semasa dalam perjalanan ke utara dipercayai di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayatnya kemudian disumbat ke dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurah simen dan ditenggelamkan ke dalam paya di Jalan Subang 3, Su­bang Jaya dekat sini.
Itulah kekejaman yang dilakukan sekumpulan individu terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55, selepas melarikannya di Jalan Dutamas, Damansara di sini semasa mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.
Difahamkan, sebelum dilarikan, kereta mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh kumpulan suspek terbabit di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersial di tempat kejadian.
Mangsa yang keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya semula oleh kumpulan individu terbabit ke tempat duduk penum­pang belakang dan kenderaan itu dipandu menuju ke arah utara.
Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dipercayai besi panjang yang digunakan untuk membuka nat tayar kereta di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayat mangsa dipercayai dibawa ke Subang Jaya sementara kere­tanya dipandu anggota kumpulan yang melarikannya ke arah Hutan Melintang dan ditemukan dibakar di sana.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mayat mendiang Kevin ditemukan hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak semalam.
Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.
“Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi ini di mana mayat Kevin dibuang.
“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan bomba bagi membantu membawa naik tong dram terbabit untuk dipecahkan pada pukul 8 pagi sebelum menemukan satu mayat yang dipercayai mendiang Kevin,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohmad memberitahu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihaknya berjaya merampas sebuah kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta mangsa ketika hari Kevin dilarikan.
Tambahnya, turut dirampas ia­lah kereta Honda Accord dan sejumlah wang bernilai RM17,100 di Pulau Pinang.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona dan satu resit pembelian batu, simen dan pasir yang digunakan suspek serta sejumlah lagi wang bernilai RM15,000 di Selangor.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Polis sebelum ini mengesahkan kehilangan Kevin pada 4 September lalu sebagai kes culik berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sepanjang jalan yang dilalui mangsa semasa hari kejadian dan sebahagiannya adalah milik persendirian bagi mengesan kedudukan mangsa.
Kevin dilaporkan hilang pada hari kejadian dan dilihat kali terakhir meninggalkan pangsapuri­nya di Menara Duta untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
Susulan itu polis menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes tersebut.
Polis juga mengesahkan kereta terbakar yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 5 September lalu adalah mirip kenderaan yang digunakan Kevin pada hari dia diculik.
Umur: 55 tahun
Adik-beradik: 4 (sulung)
Status: Bujang
Pendidikan:
l Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh
l Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London
Kerjaya:
1980
l Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya
l Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman
l Dilantik sebagai majistret
1985
l Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)
2004
Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya
2014
1 Julai
Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

POLITIK : Dokumentari Al-Jazeera bermotif

Cubaan pertikai kredibiliti Perdana Menteri
MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 15 September 2015 2:11 AM
Musa Hassan
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Dokumentari pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu yang dipaparkan menerusi stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera dilihat bermotif untuk mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hal demikian kerana dokumentari selama hampir setengah jam itu tidak memberikan fakta-fakta yang sah dalam mengaitkan Najib dengan kes tersebut.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, apabila tiba babak menceritakan mengenai penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam dan sesi temuramah dengan seseorang yang mengatakan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda atau lebih dikenali sebagai Razak Baginda yang menembak Altantuya.
“Dokumentari itu pada peringkat awal betul sebagaimana perjalanan siasatan polis, tetapi lebih banyak fiksyen di babak-babak akhir. Ada perkara-perkara baharu yang kita tidak tahu, seperti diada-adakan.
“Jangan buat cerita jadikan polemik. Sepatutnya sesiapa yang ada petunjuk baharu mengenai kes ini, buat laporan polis, bukan mengada-adakan cerita. Jika ada maklumat baharu, polis boleh siasat untuk memastikan sebarang tuduhan yang dibuat itu benar atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar itu, Musa menghuraikan secara terperinci mengenai perjalanan siasatan polis terhadap kes pembunuhan Altantuya sehingga dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Razak Baginda dihadapkan ke mahkamah.
Laporan program mingguan Al-Jazeera, 101 East berjudul ‘Murder in Malaysia’, yang dilaporkan wartawan, Mary Ann Jolley mendakwa terdapat cubaan memeras ugut Najib dalam kes pembunuhan itu, selain menyatakan Razak Baginda turut didakwa berada di lokasi kejadian.
Musa yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dalam pada itu menegaskan bahawa siasatan polis mendapati langsung tiada bukti yang boleh mengaitkan Najib dengan kes tersebut.
Malah katanya, Najib yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri memberi lampu hijau ketika beliau memberitahu hendak menahan Razak Baginda yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
“Saya diarahkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memberi taklimat mengenai kes ini kepada Najib memandangkan Razak Baginda adalah penasihatnya.
“Saya kemudian pergi berjumpa Najib memberitahu hendak menahan Razak Baginda dan beliau berkata, ‘do your job’ (lakukan kerja kamu),” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, jika Najib atau terdapat pihak lain merasakan diri mereka difitnah menerusi dokumentari berkenaan, tindakan saman ke atas Al-Jazeera perlu diambil bagi membersihkan nama mereka.
Musa menegaskan bahawa beliau tidak memihak kepada sesiapa, sama ada Najib atau pihak-pihak yang hendak menjatuhkannya.
Tujuan sidang akhbar itu diadakan jelasnya adalah untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perkara sebenar berdasarkan fakta, bukannya fiksyen sebagaimana dokumentari yang dibuat Al-Jazeera.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dokumentari-i-al-jazeera-i-bermotif-1.136135#sthash.8fYogrsU.dpuf