DAP perlu mohon maaf

Gerakan, MCA lihat DAP punca polarisasi sosial
SOFIAN BAHAROM | 01 Oktober 2015 1:19 AM
LIANG TECK MENG (kanan) dan Ti Lian Ker menunjukkan gambar yang berunsur perkauman semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
KUALA LUMPUR 30 Sept. – Polarisasi sosial dan ke­tegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berpunca daripada angkara DAP yang berterusan bermain dengan api perkauman.
Sehubungan itu, Gerakan dan MCA hari ini mendesak DAP supaya tampil memohon maaf serta bertaubat atas tindakan mereka selama ini yang dilihat akan membawa kehancuran kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, taktik DAP untuk mengapi-apikan sentimen dalam kalangan masyarakat telah pun bermula sebelum Bersih 4.0 apabila Penasihatnya, Lim Kit Siang memijak gambar beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang.
Kata beliau, DAP seterusnya te­lah merampas perhimpunan haram Bersih 4.0 dengan matlamat buruk dan agenda politik untuk menunjukkan kuasa melalui demonstrasi jalanan yang menyaksikan kebiadaban penyokong-penyokongnya.
“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa DAP yang memulakan budaya tidak sihat ini. Kita perlu faham kenapa tidak munculnya himpunan baju merah pada Bersih 1, 2, 3 tetapi apabila Bersih 4.0 ada perhimpunan baju merah. Ini kerana reaksi kepada kebiadaban tersebut.
“Kita kena lihat ada kain ren­tang minta hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) pada perhimpunan baju merah. Kenapa ada SKJC sahaja kenapa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT)?
“Ini kerana DAP telah pun menanam kebencian dan cuba mengapi-apikan sentimen antara kaum. Oleh itu kami mengutuk sekeras-keras­nya tindakan DAP dan mahu DAP bertaubat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Dalam pada itu, Lian Ker berkata, tindakan penyokong-penyokong DAP memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyinggung perasaan dan hati masyarakat Melayu.
Menurutnya, provokasi-provokasi politik oleh DAP tidak wajar dilakukan memandangkan negara sedang dilanda krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.
“Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama, begitu juga jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara ini,” katanya.

Protes: Maria Chin, 7 individu lain didakwa

MARZITA ABDULLAH | 09 September 2015 12:53 AM
Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh (kiri), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Sept. – Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan tujuh yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, awal tahun ini.
Yang turut didakwa ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang; anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib; pegawai khas ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep; ahli PKR, Lee Chean Chung dan aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.
Kesemua mereka yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Maria Chin, Mandeep, Mohd. Fariz dan Tze Tzin didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka bermula di hadapan kawasan air pancut di persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo di sini antara pukul 3.15 petang dan 6 petang, 28 Mac lalu.
Mohd. Fariz sekali lagi didakwa bersama-sama Adam Adli dan beberapa individu lain yang masih bebas terhadap pertuduhan sama dengan tujuan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur, bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Anwar dibebaskan dan menjemput peserta hadir protes Kita Lawan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bermula di hadapan Sogo dan berakhir di Esplanade KLCC antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari lalu.
Lih Kang, Rozan Azen dan Chean Chung juga didakwa dengan tuduhan dan tujuan sama termasuk menggesa Ketua Polis Negara dipecat, bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sesyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.
Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Faizal Ismail, Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris dan Majistret Mohd. Asyraf Abdul Manan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Musli Ab. Hamid mencadangkan ikat jamin setiap OKS sebanyak RM500 dengan seorang penjamin seperti yang telah dipersetujui oleh pihak pembelaan.
Mahkamah membenarkan permohonan jaminan itu dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua OKS kecuali Adam Adli dan Mohd. Fariz yang sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 19 Oktober ini.
OKS diwakili peguam-peguam, Ramkarpal Singh, Datuk S. Ambiga, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen.
Sepanjang prosiding tersebut mahkamah penuh sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong OKS termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Bersih 4.0: Polis akan panggil Tun M, Azmin

03 September 2015 12:41 AM
KHALID ABU BAKAR bersalaman dengan pasukan kadet polis sekolah sempena Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. Turut sama, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abd. Aziz Yusof (kiri). – BERNAMA
KLANG 2 Sept. – Beberapa tokoh dan pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk diambil ketera­ngan berhubung pengli­batan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, hujung minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tum­puan diberikan kepada peng­anjur dan individu yang sudah dikenal pasti termasuk ucapan dan tuduhan yang dilemparkan semasa perhimpunan haram itu.
Menurutnya, polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan ketera­ngan dan tindakan itu dibuat bagi menyiasat beberapa kenyataan berbaur tuduhan untuk direkodkan seterusnya disiasat.
“Kita akan panggil dan beliau (Tun Mahathir) telah buat pelbagai ucapan dan tuduhan. Kita pun mahu tahu lebih lanjut apa yang beliau cakap, apa maksud, mana maklumat beliau peroleh.
“Antaranya, kenyataan bahawa ketua bahagian UMNO telah dirasuah, jadi kita mahu tahu lebih lanjut justeru saya harap beliau beri kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Khalid turut menyelar tindakan peserta perhimpunan yang sengaja meniupkan api kemarahan dengan mengeksploitasi gam­­bar pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin parti pembangkang.
“Inikah budaya yang hendak dibawa oleh Bersih? Ini bukan bu­­daya Malaysia. Saya dimaklumkan pihak penganjur ada pasukan yang mengawal ter­tib dan tingkah laku peserta tetapi ada pula video peserta memijak dan menonyoh gambar pemimpin.
“Inikah budaya yang akan dibawa pada masa depan dan saya menegaskan agar semua pihak jangan meniup api perkauman dalam setiap tindak-tanduk sehingga menaikkan kemarahan kaum lain.
“Jangan bawa budaya, sebab itu kita tidak mahu perhimpunan seper­ti ini dibuat di jalanan kerana ia dibuat mengikut sesuka hati masing-masing,” katanya.
Khalid juga mengingatkan yang polis sedang memburu individu yang memijak gambar pe­mimpin dan penganjur Bersih bertanggungjawab ke atas peserta yang sengaja meniupkan api perkauman.
“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya perhimpunan dibuat secara tertutup dan kita boleh kawal serta memastikan perkara sebegini tidak berlaku. Semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan tersebut tidak akan terlepas daripada tindakan dan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencabar undang-undang.
“Kita akan guna semua peruntukan undang-undang yang ada. Semua yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, Khalid menghadiri majlis memperingati Hari Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan menyampaikan surat penghargaan kepada 13 anggota pasukan keselamatan laut itu.
Pada perkembangan lain, ujarnya, Polis Marin bakal memperoleh 200 bot secara berperingkat untuk memperkasakan ke­selamatan di pantai timur Sabah.

BERSIH 4 : Lebih 30 laporan polis dibuat

Gesa penganjur, peserta Bersih 4.0 diambil tindakan
SHARILFUDDIN SAARI, AZHARI ZAINOODDIN, SHAHRINNAHAR LATIB, ZULKIFLI SAINUDDIN, MASZUREEN HADZMAN DAN MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH | 03 September 2015 12:42 AM
PENGERUSI Persatuan Kelab Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan, Muhamad Shukri Zainudin (enam dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Perdana Menteri di Balai Polis Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Utusan/Mohd. Izzul Farhan
KUALA LUMPUR 2 Sept. – Semakin banyak gesaan agar penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang dan bersikap biadab termasuk memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu, dikenakan tindakan tegas.
Gesaan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik iaitu UMNO dan Pas itu dilahirkan melalui lebih 30 laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis hari ini.
Di KUALA LUMPUR, tujuh NGO diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) menggesa agar dua individu yang memijak poster dua pemimpin itu segera ditahan.
Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya bersama-sama Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta pertubuhan Sirah Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan melampau.
“Tindakan mereka yang memijak poster dua pemimpin tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini terutamanya umat Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.
Di SEREMBAN, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia Negeri, Muhamad Shukri Zainudin menggesa penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 segera memohon maaf kerana gagal mengawal peserta perhimpunan sehingga ada dalam kalangan mereka bertindak biadab dengan memijak gambar Perdana Menteri.
Beliau berkata, tindakan luar batasan itu sekali gus memperlihatkan peserta perhimpunan haram itu melakukan provokasi melampau dan jelas membuktikan perhimpunan haram yang didakwa aman itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.
“Kami menggesa penganjur perhimpunan haram segera memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis ekoran insiden itu di Balai Polis Rahang dekat sini.
Turut membuat laporan yang sama ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Temiang, JKKK Kampung Sungai Landak, Persatuan Belia Warisan Perdana dan Persatuan Belia Kampung Dusun Nyior.
Di PULAU PINANG pula, Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, Ismail Kassim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas selari dengan undang-undang terhadap tindakan biadab segelintir peserta perhimpunan tersebut.
“Apa yang terjadi ini juga melibatkan usaha menanam kebencian dalam kalangan rakyat yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, di sini.
Di SHAH ALAM, Pas Selangor membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk K. Deepakaran yang turut mewakili Badan Perhubungan Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri.
“Sehubungan itu, kami meminta polis membuat siasatan terhadap penganjur dan peserta Bersih 4.0 yang memijak gambar Abdul Hadi mengikut Seksyen 505 Kanun Ke­seksaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini. Turut membuat laporan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Norazli Musa.
Di PAHANG, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan juga menggesa dua individu yang memijak poster Perdana Menteri semasa perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini diambil tindakan melalui laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Shahruddin Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini.
Menurut Shahruddin, pihaknya kesal dan terkilan dengan tindakan peserta perhimpunan tersebut memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
Sementara di KANGAR, Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas negeri turut membuat 13 laporan polis di Balai Polis Kangar di sini terhadap perbuatan biadab beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri dan Abdul Hadi.
UMNO negeri diwakili oleh Ahli Jawatan Kuasa Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman manakala Pas negeri diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Kawasan Kangar, Abd. Jamil Kamis.

Perhimpunan anti-Bersih ditunda

28 Ogos 2015 1:30 AM
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kumpulan anti-Bersih yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan peniaga bersetuju menunda perhimpunan 30,000 aktivis yang dirancang bagi membantah penganjuran perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara Sabtu ini.
Jamal Md. Yunos
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya bersetuju me­nunda perhimpunan berkenaan kepada satu tarikh lain pada bulan kemerdekaan di lokasi yang lebih sesuai seperti dinasihatkan pihak polis.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pihaknya dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berhubung persiapan pasukan berkenaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan buruk semasa perhimpunan haram berkenaan berlangsung.
“Walaupun baju sebanyak 30,000 helai telah pun siap dan deposit untuk 200 buah bas juga sudah dibayar, kami komited menunda perhimpunan kami yang cintakan keamanan di lokasi yang lebih sesuai dengan pelbagai acara berfaedah.
“Sebagai NGO yang prokerajaan serta menghormati undang-undang, kami patuh dengan arahan polis supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang dianjurkan NGO propembangkang,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Jamal telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi dirakam percakapan berhubung siasatan polis ke atas kumpulan anti-Bersih tersebut.
Sementara itu, Jamal membe­ritahu, pihaknya telah pun memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kes berkenaan agar siasatan lengkap dapat dilakukan.
“Kami tidak takut atau gentar untuk tampil dan bekerjasama dengan pihak polis dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.

Polis KL nafi benarkan Bersih 4.0

28 Ogos 2015 1:37 AM
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan penganjur Bersih 4.0 yang pihak­nya memberi kebenaran kepada mereka untuk me­ngadakan perhimpunan di ibu negara dan kawasan sekitarnya pada 29 dan 30 Ogos ini.
Tajudin Md. Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, ke­nyataan penganjur, Maria Chin Abdullah dalam sebuah portal berita adalah tidak benar.
“Dalam perjumpaan yang diadakan Ketua Polis Dang Wangi bersama pihak penganjur Bersih 4.0, polis telah menasihatkan mereka tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kerana pada tarikh 29 dan 30 Ogos ini akan berlangsung­nya persiapan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tajudin mengingatkan penganjur Bersih 4.0 supaya tidak memutar-belit sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh polis.
“Polis Kuala Lumpur juga ingin menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan yang menyalahi undang-undang kerana pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepertimana yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012,” jelasnya,
Tambah Tajudin, tugas pihak polis adalah melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan orang dan ketenteraman awam di ibu negara terjamin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh itu,” katanya.

BERSIH 4 : Polis awasi kumpulan anarki

NORLIZA ABD. RAHMAN | 28 Ogos 2015 1:37 AM
PUTRAJAYA 27 Ogos – Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Jumaat dan Sabtu ini.
Nur Jazlan
Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.
“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.
Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Ku­ching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.
Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.
“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.
Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.
Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.
“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.
“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya.