Isu kitar semula pertaruhan pembangkang?


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

ISU-isu politik sekarang kini ‘di pasaran’ akhir. Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat, banyak isu kini dikitar semula dan disegarkan untuk survival politik pakatan pembangkang.

Ini trend sekarang. Ibarat dalam pusingan tinju dan tomoi Siam, hanya beberapa minit loceng hendak dibunyikan, masing-masing memberi tumbukan dan tendangan bertubi-tubi walaupun ‘foul’ untuk pastikan lawan tumbang. Inilah yang digunakan DAP, PKR dan Pas supaya ‘nyawa’ bersambung selepas pilihan raya umum.

Kalau dilihat, banyak isu sebenarnya sudah terjawab. Sama ada oleh tindakan agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR). Isu kilang memproses nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. kalau dinilai, dari aspek pengurusan politik sudah selesai pun dengan pelawaan pembangkang supaya menyertai satu jawatankuasa khas di Parlimen. Tetapi ia ditolak mentah-mentah oleh mereka dalam mencari penyelesaian saintifik isu Lynas ini.

Isu Pusat Fidlot National (NFC) begitu juga. Dari segi pengurusan politik juga sudah berlalu. Tinggal penyelesaian undang-undang di mahkamah sahaja. Dan kini nampak ketara ialah tindakan beria-ria pembangkang untuk menghidup dan menyegarkan isu-isu yang dikitar semula.

Ketika ditanya Utusan Malaysia kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan apakah perkara sama juga dikesan oleh jenteranya yang kerap turun padang menemui dan menyelesaikan isu-isu berkepentingan rakyat, Fuad memberikan komen berikut: “Pakatan pembangkang memang tidak sabar-sabar lagi menghidupkan isu-isu lama yang dikitar semula ini. Tapi rakyat melihat kebanyakan isu ini sudah hilang ‘daya beratnya’ oleh kerana isu-isu ini sudah terlampau banyak mahu dikitar semula, langsung tidak ada fokus,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau memberitahu, isu-isu yang dikitar semula ini telah dirancang dengan teratur oleh pembangkang dengan membahagi-bahagikannya kepada segmen-segmen dan kluster tertentu. Iaitu segmen yang boleh menarik orang muda, kaum Cina, peneroka Felda dan masyarakat India.

Fuad menarik perhatian mengenai gesaan Pas melalui Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang menuntut supaya pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Kata Fuad: “Isu PTPTN ini popular di kalangan generasi muda. Sedangkan yang sepatutnya dilakukan oleh Mohamad ialah meminta pelajar membayar pinjaman mereka kerana kalau tidak bayar, risikonya nanti terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan pelajar itu sendiri.

“Ketika ini kira-kira RM44 bilion yang sepatutnya dibayar pelajar (yang pinjam PTPTN) ini tidak dilunaskan sehingga hari ini … jika dihapuskan, kerajaan terpaksa mengeluarkan subsidi. Bagaimana pula kepada pelajar yang telah membayar pinjaman ini. Kerana hendak mencari populariti, wang negara yang begitu besar ini hendak dihapuskan pula oleh Pas,” kata beliau.

Fuad mempunyai pandangan sama dengan penulis. Soal betul atau tidak bagi pakatan pembangkang ketika ini ditolak ke tepi. Yang penting waktu ini dan saat ini, isu-isu dikitar semula menjadi pertaruhan hidup dan mati pembangkang.

Ada isu-isu yang dulunya ‘hidup’, tidak lagi dapat bertahan. Misalnya isu kematian mendiang Teoh Beng Hock, ia amat berkesan dipergunakan pembangkang pada Pilihan Raya Sarawak yang mengundang sensitiviti kaum Cina. Tetapi nampaknya ketika ini sudah ‘pudar’.

Untuk mencetuskan semula sensitiviti masyarakat India, Hindraf muncul kembali di Putrajaya beberapa hari lepas. Mereka berhimpun dekat Pejabat Perdana Menteri kerana mendakwa kerajaan BN telah menghampakan kepercayaan masyarakat India.

Kalaulah ‘ketuanya’, P.Uthayakumar murni hatinya, dia tentunya sudah menghulurkan penghargaan kepada kerajaan betapa banyak sumbangan yang diperuntukkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kaum India.

Apakah di Batu Caves tempoh hari, Uthayakumar tidak duduk dan bersesak-sesak bersama penganut Hindu mendengar pengumuman Najib? Sepatutnya, Uthayakumar melaungkan ‘nambikei’ kepada Najib dan bukannya menghempaskan buah tembikai di Putrajaya.

Demikian juga perilaku Dong Zong atau Persekutuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia baru-baru ini yang kemunculan mereka dilihat seolah-olah cuba ‘menangguk di air keruh’.

Dengan setiap kali turun padang, Najib dan timbalan beliau yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghulurkan peruntukan untuk sekolah Cina, itu belum termasuk peruntukan tetap kerajaan setiap tahun dan melalui MCA dan Gerakan lagi, Dong Zong masih tetap tidak bersyukur.

Dan apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong diejek dan dikatakan ditumbuk semasa hadir pada satu perhimpunan anjuran Dong Zong di Kolej New Era, Kajang, Selangor, di satu pihak yang turut hadir pada perhimpunan itu menaruh simpati pula kepada Ka Siong.

Ini berikutan sikap budiman (gentleman) Ka Siong yang memaafkan perbuatan pihak yang mengejek dan menumbuknya. Beliau cuma datang untuk mengurus dan menyelesaikan permasalahan sekolah-sekolah Cina dan bukannya hendak berdepan dengan perbuatan biadab sedemikian.

Cara terbaik untuk berdepan dengan sentimen dan isu-isu yang dikitarkan semula pakatan pembangkang ini ialah tidak semuanya perlu dijawab. Namun, ia mesti ditangani dengan baik. Seperti isu Lynas, meskipun ia cuma isu tempatan di Kuantan, kesannya jika tidak dikendali dengan berkesan, boleh melarat ke peringkat antarabangsa.

Namun kalau diperhatikan secara keseluruhan, ada tanda-tanda pembangkang begitu defensif dengan serangan tindak balas bertali arus daripada Barisan Nasional. Isu Yahudi misalnya, meskipun isu pokoknya mengenai tindakan Anwar Ibrahim mahu mempertahankan keselamatan Israel, Pas pula cuba mencetuskan semacam hendak mempertahankan Yahudi. Sedangkan yang ditentang oleh kerajaan adalah zionisme dan Israel yang didirikan oleh ideologi Zionisme.

Pas dilihat cuba pula membela Anwar dengan menyebut bukan semua orang Yahudi jahat. Tapi pokok sebenar isunya ialah apakah Pas menyokong keselamatan Israel yang dilaungkan Anwar.

Di Pulau Ketam beberapa hari lepas apabila Fuad berjumpa kaum Cina di situ, beliau dan beberapa anggota JASA melihat kecerahan di wajah mereka yang dari kalangan golongan lama dan pertengahan untuk meraikan kedatangan pemimpin. Cuma, berdasarkan gerak badan orang muda Cina, mereka nampaknya cuba lari-lari.

Ia masih paten kaum Cina namun sedikit sebanyak ia kian berganjak kepada BN kerana ikonnya kini ialah Najib. Dan perasaan sokongan orang Cina kepada BN ini dipercayai boleh dineutralkan jika ada calon-calon yang boleh menang di kawasan Cina (winnable candidate).

KOMEN : PUAK PEMBANGKANG NI TAK ADA ISU… MEREKA TEMBAK AJE BUAT TUDUHAN TANPA BUKTI YANG SAHIH… MAKNANYA MEMANG KAKI FITNAH PUN…. ORANG BODOH AJE YANG MEREKA BOLEH PERDAYA…

SENDIRI CAKAP SENDIRI TAK FAHAM…


Anwar melenting pasal isu Israel
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi hilang punca apabila kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel dibangkitkan di Parlimen.

Anwar yang berang apabila kenyataannya itu ditafsir sebagai menyokong keganasan Israel ke atas penduduk Palestin oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem mengugut akan mengambil tindakan jika terus ‘difitnah’.

Bagaimanapun, ketika dicabar Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) mengapa tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas The Wall Street Journal (WSJ) jika benar kenyataannya menyokong keselamatan Israel adalah fitnah, Anwar membisu.

Sebaliknya, Ketua Pembangkang itu berterusan cuba untuk menegak benang basah apabila berkata, kenyataan beliau telah diputar belit oleh media arus perdana demi tujuan politik.

“Jangan gunakan ini (kenyataan kepada WSJ) untuk melabel saya menyokong keganasan Israel, ini perbuatan biadab dan melanggar tatasusila, kenyataan saya bersyarat, bagaimana boleh tuduh saya sokong keganasan Israel?

“Saya menyokong aspirasi rakyat Palestin begitu juga kerajaan, saya akan mempertahan perkara ini. Saya akan bertindak jika terus difitnah, ini satu tafsiran yang kejam dan tidak bermoral,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Melihat Ketua Pembangkang itu berterusan menyalahkan pihak lain, Abdul Rahman sekali lagi tampil mempersoalkan Anwar mengapa beliau tidak menuntut akhbar antarabangsa itu memperbetulkan kembali kenyataan jika ‘tidak sampai hati’ hendak saman.

“Kita dengar penjelasan Permatang Pauh kononnya beliau mendokong aspirasi Palestin tetapi mengapa tidak minta WSJ buat kenyataan baru? Sedangkan ini jalan paling mudah, saman susah dan minta maaf pun janganlah,” katanya sinis.

Dalam pada itu, melihat ketua mereka tertekan dalam isu Israel, beberapa pemimpin pembangkang antaranya, Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang), Tian Chua (PKR-Batu) dan Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) tampil mempertahankan Anwar.

Paling menarik tindakan Khalid Samad (Pas-Shah Alam), satu-satunya pemimpin Pas yang bermati-matian mempertahankan Anwar dengan berkata: “Jangan baca hanya satu ayat seperti Kota Belud, kamu tidak akan faham,”

“Jangan memfitnah Permatang Pauh, apa perasaan Ketua Pembangkang bila dilabel beliau sokong atau reda dengan pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel? Kota Belud hanya tafsir ikut selera politik dia,” katanya.

Terdahulu, Richard berkata, dakwaan Anwar kononnya beliau meletakkan syarat ketika mengeluarkan kenyataan itu hanya satu helah untuk mengaburi mata rakyat selepas dikritik hebat pelbagai pihak termasuk wakil Hamas.

Katanya, Anwar tidak meletakkan apa-apa syarat ketika menyatakan sokongan beliau terhadap segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sebaliknya, hanya berbuat demikian ketika ditanya mengenai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Saya amat terkilan dengan cara Ketua Pembangkang memutar belit kenyataan beliau sendiri dalam WSJ, tiada syarat yang ditetapkan dalam menyokong keselamatan Israel, beliau hanya berbuat demikian dalam soal diplomatik,” katanya.

MP MANA YANG BERANI NAK BAWA USUL TU?

Ahli Parlimen boleh cabar kelayakan Ketua Pembangkang
DARI UTUSAN MALAYSIA
29/3/2012

KUALA LUMPUR 28 Mac – Mana-mana Ahli Parlimen berhak mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi mencabar kelayakan (impeach) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, berikutan pelbagai isu moral yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.

Bagaimanapun, beliau mengakui usul seumpama itu tidak pernah dikemukakan di Parlimen.

“Ia wajar diperhatikan kerana selama ini pihak kerajaan sahaja yang menjadi tumpuan di Parlimen angkara sebarang tindakan disiplin tetapi kita lupa peranan pembangkang yang juga sama penting dalam sistem ‘check and balance’.

“Jika didapati bersalah, impaknya kepada Anwar ialah beliau boleh digantung atau dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

“Sebagai contoh, bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dilucutkan jawatan kerana menipu apabila mengatakan dia tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan Monica Lewinsky, bukan kerana mengadakan hubungan seks itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan berhubung dakwaan mengatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu biseksual, di sini hari ini.

Hadir sama, dua lagi Ahli Parlimen Bebas yang juga bekas pimpinan PKR iaitu Datuk Zulkifli Noordin, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan N. Gobalakrishnan; pengasas PKR, Ng Lum Yong; saksi kes liwat Anwar pada 1997, Ummi Hafilda Ali; bekas pimpinan PKR, Ruslan Kassim dan Zahid Md. Arip serta bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau atau mana-mana Ahli Parlimen lain berhak mengemukakan usul itu kepada Jawatankuasa Khas dan Keistimewaan Parlimen demi kepentingan negara serta memastikan amalan periksa dan imbang (check and balance) terus terpelihara.

“Ini (usul sebegini) pernah dibawa terhadap Anwar semasa dia memperdaya Parlimen apabila mengatakan Apco milik Yahudi dan dia sudah dihukum (digantung) enam bulan.

“Jadi soal ‘impeachment’ (menyangsikan/mencabar kelayakan) ini boleh dilakukan kalau kita bawa usul itu ke Parlimen pada bila-bila masa. Kita akan mempertimbangkan bila tiba masa sesuai kerana politik berpandu kepada strategi, kita kena atur gerakan,” katanya.

KOMEN : APALAGI YANG DITUNGGU…. KITA TUNGGU APA KOMEN PUAK PEMBANGKANG PULAK… MESTI MEROYAN TAHAP BERUK PUNYA….

Nallakaruppan tidak berganjak


DARI kiri Ummi Hafilda Ali, Anuar Shaari, N. Gobalakrishnan, Zahrain Mohamed Hashim, Muhammad Shafee Abdullah, S. Nallakaruppan, Hasnal Rezua Merican, Zulkifli Noordin, Ng Lum Yong, Ruslan Kassim dan Zahid Md. Arip pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Mac – Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan berpegang teguh dengan kenyataan beliau yang mengatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang biseksual sungguhpun menghadapi tindakan saman daripada Anwar.

Katanya, beliau tahu sebab utama Anwar menyamannya adalah kerana kenyataan beliau bahawa tiada peruntukan dalam perlembagaan seorang biseksual boleh menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang.

“Saya tetap dengan pendirian saya bahawa seorang biseksual tidak layak menjadi PM atau Ketua Pembangkang. Bukan di negara ini. Ini prinsip yang saya pegang walaupun disaman RM500 juta sekalipun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau sehingga kini belum menerima writ saman daripada peguam yang mewakili Anwar dalam kes tersebut.

Selain isu biseksual, Nallakaruppan dengan penuh yakin mendakwa Anwar turut mempunyai hubungan sulit dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin.

“Saya mahu perbicaraan dimula dengan segera sebab saya mahu rakyat Malaysia tahu kebenaran tentang hubungan sulit Anwar dan Shamsidar. Saya yang disuruh oleh Anwar untuk mengatur pertemuan sulit ini.

“Saya juga akan beritahu ‘hasil’ yang diperoleh Shamsidar dan Anwar daripada perhubungan sulit ini,” katanya

Pada sidang akhbar itu, Nallakaruppan turut mengumumkan pelantikan peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam bela kes biseksual Anwar tersebut.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, perbicaraan kes tersebut boleh dimulakan secepat mungkin dalam masa dua bulan dari sekarang, tertakluk kepada tindakan dari pihak plaintif iaitu Anwar dan firma guaman Tetuan Daim & Gamany.

“Saya akan menulis surat kepada firma guaman yang mewakili Anwar, tidak payah susah-susah, mereka boleh terus menyerahkan writ saman tersebut kepada firma saya supaya perbicaraan dimulakan cepat.

“Nalla akan timbulkan pembelaan justifikasi atau pembelaan kebenaran, bahawa apa yang dikata itu benar, saya pasti ia pembelaan utama beliau,” katanya.

Kepada satu soalan, katanya, memang wujud taktik melambatkan kes dalam perkara tertentu sebelum ini, namun hakim kini semakin proaktif untuk segera memulakan perbicaraan.

“Mereka sudah menyiapkan jadual di mana pihak terbabit akan dipaksa menyiapkan tugasan masing-masing supaya kes diteraju terus kepada perbicaraan,” tegasnya.

KOMEN : RASANYA LEPAS NI ANWAR MESTI TEKAN LOCENG PINTU KEDUTAAN ISRAEL KAT SINGAPORE KOT… MESTI ADA BUKTI YANG KUKUH, SEBAB TU NALLA TAK TAKUT… KITA TUNGGU SIAPA YANG SANGKUT….

Anwar tak layak jadi PM: Nalla


Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

2012/03/29


NALLAKARUPPAN menunjukkan laporan polis pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

NALLAKARUPPAN menunjukkan laporan polis pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.


Ulangi dakwaan bahawa Ketua Pembangkang biseksual, sedia hadapi saman RM500j

KUALA LUMPUR: Datuk S Nallakaruppan tetap dengan pendiriannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana Ketua Pembangkang itu seorang biseksual.
Dengan nada tegas, bekas rakan karib Anwar itu berkata beliau sanggup disaman walaupun RM500 juta kerana mendakwa mempunyai bukti yang boleh menyokong kenyataannya dan bersedia mendedahkannya di mahkamah.
Saya tidak boleh terima seorang biseksual sebagai menantu dan saya juga tidak boleh terima seorang biseksual sebagai pemimpin. – S Nallakaruppan “Saya tetap dengan pendirian bahawa seorang biseksual tidak layak jadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang. Bukan di negara ini. Ini prinsip yang saya tetap pegang walaupun saya disaman RM500 juta,” katanya yang membaca kenyataan empat perenggan pada sidang media, di sini semalam.

Hadir sama peguamnya, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah serta tiga Ahli Parlimen BEBAS, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Bharu) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).

Isnin lalu, Anwar mengemukakan saman malu menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Nallakaruppan yang juga Presiden Parti India Malaysia (MUIP) dan dua pihak lagi berhubung artikel dalam akhbar Utusan Malaysia yang didakwa mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, semua defendan secara salah dan berniat jahat menerbitkan perkataan fitnah melalui artikel muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac lalu bertajuk ‘Anwar biseksual, tak boleh jadi ketua pembangkang – Nalla’ dan pada muka enam bertajuk ‘Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.’

Anwar mendakwa, perkataan fitnah dalam artikel itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang, pemimpin Muslim yang berkelakuan tidak selari dengan ajaran Islam, tidak mempunyai reputasi yang baik dan rendah moral.

Katanya, perkataan fitnah itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat serta menjejaskan dengan teruk karakter, penghormatan, reputasi peribadi, politik serta kedudukannya.

Anwar mendakwa, beliau melalui peguam Tetuan Edwin Lim Suren & Soh pada 20 Mac lalu mengarahkan ketiga-tiga defendan menarik semula artikel berkenaan, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepadanya tetapi sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Dalam sidang media itu, Nallakaruppan juga mahu perbicaraan dimulakan segera bagi membolehkan rakyat mengetahui kebenaran.

Beliau juga mendakwa Anwar menyamannya kerana kenyataannya yang mengatakan tiada peruntukan dalam Perlembagaan bahawa seorang biseksual tidak boleh menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang.

“Saya tidak boleh terima seorang biseksual sebagai menantu dan saya juga tidak boleh terima seorang biseksual sebagai pemimpin,” katanya.

Sementara itu Zahrain, berkata kehadiran beliau bersama pemimpin lain pada sidang media itu bagi membuktikan sokongan mereka terhadap pendedahan Nallakaruppan.

“Kita lebih mengenali Anwar dan kita tidak mahu rakyat terus ditipu. Sebab itu saya akan bersama-sama dengan beberapa pemimpin lain untuk menjelaskannya kepada rakyat,” katanya.

Pengasas PKR, Ng Lum Yong yang turut hadir pula berpendapat kes saman itu bukan antara Anwar dengan Nallakaruppan, sebaliknya antara pemimpin pembangkang itu dengan rakyat Malaysia.

Bekas setiausaha politiknya, Annuar Shaari pula menyifatkan hubungan Anwar dengan Nallakaruppan sangat akrab dan pasti tahu banyak mengenainya.

Bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip pula secara sinis berharap Anwar tidak lagi cuba berselindung di sebalik nama besar ulama Yusof Al-Qardawi dalam menghadapi kes biseksual itu.

KOMEN : SUDAH-SUDAHLAH ANWAR , BUKAN NALLA AJE YANG KATA… RAKYAT PUN KATA BENDA YANG SAMA…

Tun Mahathir terima Anugerah Tokoh Pereka Negara


DARI UTUSAN MALAYSIA
28/3/2012


Maximus Ongkili menyampaikan Anugerah Tokoh Pereka Negara kepada Dr. Mahathir Mohamad sambil disaksikan Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zainuddin (kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Good Design Mark 2011 di Shah Alam, malam tadi.


SHAH ALAM 27 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima Anugerah Tokoh Pereka Negara bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan beliau membangunkan negara menerusi bidang inovasi dan reka bentuk.

Anugerah tersebut juga bagi menghargai inisiatif bekas Perdana Menteri itu menubuhkan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) pada 1993 dengan hasrat meningkatkan daya saing produk tempatan menerusi inovasi reka bentuk di pasaran global.

Pembangunan pesat negara termasuk pembinaan jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuktikan komitmen Dr. Mahathir dalam membina pelbagai mercu tanda sekali gus meletakkan Malaysia seiring dengan negara-negara maju.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dalam satu majlis di sini malam ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau amat berterima kasih kerana saranannya pada 1969 supaya negara mengutamakan reka bentuk telah disambut baik dan diteruskan sehingga hari ini.

“Masyarakat suka mencipta sesuatu yang berguna tetapi untuk diterima lebih baik kita perlu membuat reka bentuk yang lebih menarik kepada pembeli.

“Saya yakin dengan penumpuan penting terhadap aspek reka bentuk, produk-produk kita lebih mudah diterima di seluruh dunia,” katanya ketika berucap sejurus menerima anugerah tersebut pada majlis anjuran MRM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini malam ini.

Dr. Mahathir berkata, setakat ini beliau berasa bangga dengan pencapaian pembangunan reka bentuk di negara ini.

Pada masa sama kata beliau, usaha itu perlu diteruskan dengan gigih supaya Malaysia terkenal sebagai negara yang mampu bersaing sama ada dari segi kualiti atau reka bentuk.

“Dengan ini juga Malaysia akan mara setapak lagi ke arah menjadi negara maju,” kata beliau.

Dalam pada itu, pada majlis tersebut, sebanyak 17 syarikat tempatan menerima pengiktirafan Malaysia Good Design Mark 2011 atas kejayaan menghasilkan produk kreatif, inovatif dan mempunyai reka bentuk menarik.

Selain itu, sebanyak 30 daripada 80 produk pelbagai kategori yang diterima untuk penilaian tahun lalu berjaya menepati spesifikasi ditetapkan sekali gus layak menerima pengiktirafan sama.

Tidak mustahil genggam Selangor

Najib Tun Razak (empat, kanan) melakukan “flag-off” kenderaan 4×4 yang membawa muatan tilam dan dapur gas bagi diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir sekitar Parlimen Hulu Langat dan Ampang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, kelmarin. – BERNAMA


DALAM tempoh 1,460 hari dari tarikh Pilihan Raya Umum Ke-12, apa yang rakyat Selangor telah saksikan.

Apa hasil ekonomi baru Selangor? Dalam tempoh empat tahun ini berapa banyak rumah mampu milik dibina? PKNS buat apa? Berapa banyak kawasan pertumbuhan baru dibuka? Jika semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), Selangor ada Lembah Bernam, Lembah Beringin, apa yang Menteri Besar kerajaan PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim buat?

Tak habis-habis yang dipasang Abdul Khalid di seluruh pelosok negeri adalah poster-poster dan sepanduk yang tertera ucapan ‘terima kasih, terima kasih dan terima kasih’. Terima kasih kepada siapa? Kepada diri sendirikah?

Apabila Abdul Khalid mengambil alih portfolio agama daripada Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat Pas, rakyat Selangor tertunggu-tunggu apakah polisi yang akan dilakukan Menteri Besar itu untuk memerangi gejala sosial di negeri itu. Macam mana bentuk tindakan. Namun, sehingga kini Exco Agama ini masih sepi. Sunyi.

Difahamkan, rakyat Selangor terutama orang Islam sudah nampak tembelang main politik Abdul Khalid ini di sebalik pemecatan Hasan. Itu belum masuk lagi isu Loji Air Langat 2, pungutan sampah, masalah UiTM (peralihan tapak asal UiTM di Serendah ke Melaka), kerugian Unisel dan banyak lagi kemelut yang terpaksa ditanggung rakyat Selangor dek sangat main politik di negeri itu.

Penulis dimaklumkan dari sumber yang boleh dipercayai, Hasan sendiri mendapat sokongan padu daripada para penyokongnya di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Ada tujuh wakil rakyat daripada pembangkang dipercayai bersama Hasan. Tetapi kerana ‘disumbat mulut’, ahli Pas terpaksa berdiam diri.

Pemecatan Hasan pun akibat daripada kelantangan beliau menegur agenda pluralisme dan seksualiti bebas Anwar Ibrahim. Contoh terbaik sumbat mulut yang mana ahli Pas diarahkan untuk tutup mulut serapat mungkin daripada berbicara mengenai isu ini.

Apa yang berlaku di Selangor kala ini cukup memeningkan rakyat negeri itu. Sama seperti nasib yang menimpa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada Sidang DUN Khamis lalu membongkar cerita yang tidak ketahuan sahihnya mengenai kos tinggi sampai mencecah RM300,000 digunakan Hasan untuk mengubah suai pejabatnya ketika menjawat jawatan Exco kerajaan negeri tempoh hari, ramai mempersoalkan motif Azmin.

Jujurkah dia? Mengapa benda ini timbul setelah pemecatan Hasan? Mengapa tidak ditegur dan dibangkitkan semasa Hasan dalam Pas dahulu?

Dalam soal Selangor, nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah lama terhidu pembohongan demi pembohongan yang ditimbulkan oleh Abdul Khalid dan juak-juaknya dari DAP dan Pas ini. Banyak janji untuk rakyat dari mulut Abdul Khalid masih menerawang untuk ditunaikan di Selangor.

Kerana itu sudah dua kali Najib yang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor meluahkan keyakinan beliau bahawa negeri itu akan kembali ke pangkuan BN pada PRU-13 nanti. Terbaru, nada sama di Hulu Langat kelmarin.

Secara umum, mood kemenangan untuk diraih BN itu sudah ada. Kerajaan BN betul-betul touch point pada rakyat. Najib tidak sekadar bercakap tetapi melakukannya dan menepati janji.

Penulis dimaklumkan usaha pakatan pembangkang untuk mempertahankan Selangor daripada jatuh ke tangan BN cukup keras dan penuh siap siaga. Maklumlah negeri kaya yang boleh dijadikan tempayan dana pilihan raya mereka.

Dalam soal ‘hidup mati’ ini, antara yang ketara tindakan pakatan pembangkang ialah membuat sebanyak mungkin bantahan terhadap pendaftaran baru pengundi dan pertukaran alamat pemohon ke Selangor.

Ini lebih-lebih lagi ke kawasan ‘kubu kuat’ Parlimen atau DUN yang disyaki akan menggugat kedudukan pakatan. Pelbagai taktik dilakukan oleh ahli-ahli Pas, PKR dan DAP untuk menafikan hak individu yang dijamin perlembagaan ini dalam dua kategori permohonan berkenaan. Kalau tidak dibawa tok penghulu, dibawanya tuan rumah terbabit untuk menafikan hak pemohon bertukar alamat.

Penulis mengajukan pertanyaan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam tentang perkara ini. Lantas, beliau tidak menafikan bahawa ada parti yang sanggup mengeluarkan bajet semata-mata untuk menyuruh ahli dan para penyokongnya membuat bantahan terhadap si polan itu, si polan ini yang mendaftar di Selangor atau bertukar alamat.

Untuk satu bantahan, kosnya cuma RM10. Tetapi kesan dari bantahan ini, sekali pun melibatkan hanya seorang, bahananya terpalit ke seluruh pemohon dalam bahagian pilihan raya berkenaan.

Motif si pembantah cuma satu, dengan harapan orang kena bantah (OKB) tidak hadir siasatan awam, tergendala pendaftaran/pertukaran alamat sekali gus mengganggu pewartaan Daftar Pemilih Suku Ke-4 2011.

“Tapi untuk seluruh negeri Selangor, siasatan awam ke atas kesemua 421 bantahan ini sudah selesai melalui keputusan Pengarah SPR negeri yang dibuat kelmarin.

“Sebanyak 30 peratus daripada 421 bantahan ditolak manakala yang lain diterima. Kebanyakan bantahan melibatkan isu pertukaran alamat meskipun permohonan ini sebahagian besarnya tulen disebabkan pemohon berpindah rumah dan bertukar tempat kerja,” kata beliau sambil menyebut kawasan Subang paling banyak melibatkan bantahan iaitu 90 bantahan, sementara yang lain membabitkan kawasan Gombak, Shah Alam dan Puchong.

Untuk siasatan awam berkaitan negeri lain difahamkan tidak banyak melainkan Kelantan yang hampir sama angkanya dengan Selangor. Siasatan awam di negeri-negeri lain dijangka selesai minggu depan.

Di Selangor ketika ini terdapat 1.8 juta pengundi. Ia termasuk 13 peratus atau 170,000 pengundi muda yang akan pertama kali menunaikan tanggungjawab mereka.

Kalau pun kerajaan PKR Selangor berkemungkinan mengambil keputusan enggan membubarkan DUN negeri serentak dengan pembubaran Parlimen di Pusat, ia tidak akan menjadi satu masalah.

Lebih teruk lagi imej pakatan pembangkang akan bertambah kusut masai lagi apabila isu pembaziran ditempelak nanti oleh seluruh rakyat Selangor.

Untuk pengendalian PRU-13 ini sahaja, SPR memerlukan bajet lebih RM200 juta. Jika Selangor tidak membubarkan DUNnya, bajet tambahan RM30 juta lagi diperlukan untuk pilihan raya negeri berasingan. Kelak, rancangan pembangunan negeri pun tergendala gara-gara asyik berkempen, berpolitik.

Sekolah-sekolah nanti pula akan masih digunakan untuk saluran mengundi, pembelajaran murid terganggu, guru pun pening kepala. Contohilah sahaja Kelantan, 22 tahun Pas memerintah, tak kalut pun soal mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan Pusat.

Yang ketara di mata rakyat Selangor kini adalah pakatan pembangkang yang kian kalut. Senjata utama ‘sifu’ Abdul Khalid, Anwar adalah menyumbat mulut yang mahu menutup segala kelemahan dan kepincangan negeri daripada terus menjadi pokok perbualan utama rakyat.

Dalam kes Raja Petra, Anwar sendiri pun tidak cukup berani berhadapan dengannya lalu menghubungi Wikileaks dan meminta supaya Raja Petra dikeluarkan dari forum yang akan dilakukan secara langsung ini, bersama-sama dengan pengasas Wikileaks Julian Assange.

Selain sumbat mulut dalam kes Hasan, arahan dan ugutan tutup mulut terhadap Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Hu Pang Chaw menyerlahkan sifat autokratik dan kuku besi dalam Pas. Arahan tutup mulut yang dipraktikkan pakatan pembangkang ini umpama ‘demokrasi’ yang merentap ahli dan penyokongnya daripada mengutarakan sebarang pendapat dan pandangan dalam media daripada didengari rakyat. Ia ‘demokrasi’ yang melarang surat khabar dan media rasmi lidah Melayu daripada menjadi bahan bacaan utama para penyokong.

Jika dalam ‘tsunami’ politik di Selangor pada 2008 pun UMNO masih berupaya meraih 18 daripada 35 kerusi ditandingi, maka tidaklah mustahil misi menggenggam kembali Selangor yang memiliki keseluruhan 56 kerusi DUN akan berjaya.

Ia asalkan 50 peratus atau 9 daripada baki 17 kerusi yang kalah ditandingi UMNO tempoh hari dimenangi (9 + 18 > 27 kerusi), MCA bertambah satu lagi kerusi dari 2 kerusi yang dimenangi (dari 14 ditandingi) manakala MIC menang tiga kerusi. Maka dua pertiga bakal beralih ke BN.

Selangor mampu digenggam kembali oleh BN. Ia asalkan semua parti komponen BN terus bersatu hati menerusi anjuran program turun padang bersama dalam menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat. Ini termasuklah seperti yang ditunjukkan di Hulu Langat kelmarin.

Kesatuan hati ini semakin ketara dari hari ke hari, bulan ke bulan menjelang PRU-13.

KOMEN : BILALAH NAK PRU NI… TAK SABAR AKU NAK BENAM PUAK PEMBANGKANG NI TERUTAMA ADUN BATU TIGA DAN MP SHAH ALAM…