Masjid institusi penyatuan ummah

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Imam Negeri kepada Mohd. Nor Saod pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam. Turut kelihatan Zainol Abidin Osman (kiri) dan Dr. Hilmi Yahaya. – BERNAMA
KEPALA BATAS 17 April – Masjid seharusnya berperanan sebagai sebuah institusi penyatuan ummah bagi mengelak perbalahan sesama sendiri dan bukan sekadar menjadi tempat untuk umat Islam melakukan ibadat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyatuan ummah yang terbentuk melalui masjid itu secara langsung akan meningkatkan semangat juang dalam kalangan umat Islam agar Islam dihormati dan disegani.
“Kerajaan telah menyediakan semua kemudahan kerana hendak memperkukuhkan umat Islam, mahu umat Islam dihormati kerana kalau umat Islam lemah pasti tidak akan dihormati,” katanya di sini hari ini.
Beliau berucap pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Dewan Perdana Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainol Abidin Osman; Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Muhyiddin berkata, segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam pengukuhan umat Islam bertujuan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
“Macam mana ada orang tuduh kita tak Islam? Kita sediakan banyak tenaga pengajar agama yang dilatih, menyediakan kemudahan seperti Tabung Haji, sistem perundangan syariah, Pusat Pengurusan Zakat dan sebagainya.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Prinsip perjuangan kita untuk tegakkan yang hak dan jauhkan yang mungkar dan kerana itu kita nak sebarkan dakwah,” katanya.
Menurut Muhyiddin, masyarakat Islam di Pulau Pinang perlu bersatu untuk terus maju dan tidak berpecah-belah supaya mereka tidak dipandang rendah.
“Walaupun peratusan orang Islam di Pulau Pinang hanya 40 peratus itu tidak mengapa, kerana ada kumpulan yang lebih kecil tetapi mereka menguasai, untuk menguasai, orang Islam di Pulau Pinang perlu mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka dan penguasaan dalam pelbagai ilmu.
“Kalau umat Islam di Pulau Pinang hendak berjaya, jangan berpecah-belah, kalau dah berpecah-belah, orang lain yang akan kuasai, kalau nak letakkan Islam di atas, kita kena jaga jangan bagi orang pintas,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM16.37 juta bagi membantu sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri itu membabitkan 255 buah sekolah dengan 34,180 orang murid serta 1,423 guru.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan penghargaan dan bantuan kepada para imam, bilal, siak, guru dan sekolah KAFA yang cemerlang.
Sumbangan dan bantuan itu adalah penyuntik semangat untuk mereka terus menyumbang dan berbakti demi agama dan bangsa.
Antara penerima sumbangan tersebut ialah Tokoh Imam Negeri diberikan kepada Mohd. Nor Saod dari Masjid Sungai Kecil, Seberang Perai Selatan; Bilal Unggul (Ahmad Kamaruluddi Mohd. Yusof dari Masjid Bagan Kecil Abdul Kadir); Siak Unggul – Shaharie Majid (Masjid Nurul Hidayah, Sungai Lokan); Tokoh Guru Tahmir (Ahmad Wahab Puteh dari Sungai Bakap) dan Sekolah KAFA Cemerlang (Madrasah Al-Hidayah Addiniah, Barat Daya).
Penerima lain ialah Guru KAFA Cemerlang (Badrinizar Abd. Rahman dari Nahdatul Islah, Kubang Semang) dan enam buah sekolah diberikan geran bernilai RM4,000 setiap satu bagi kategori Sekolah KAFA Harapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_03/Masjid-institusi-penyatuan-ummah#ixzz2zCDYAt3p  © Utusan Melayu (M) Bhd 


TERIMA KASIH CIKGU

Guru perlu komited didik anak bangsa

TOKOH Guru Kebangsaan 2013 dari kiri) Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Noor Rezan Bapoo Hashim, Jacob Mathews dan Freida Mohd. Pilus gembira menerima anugerah yang disampaikan oleh Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi. – UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 16 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah tertinggi pendidikan negara sempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.
Penerima anugerah tersebut ialah Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan); Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Jacob Mathews (Tokoh Guru Kebangsaan) dan Datuk Freida Mohd. Pilus (Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan).
Kesemua mereka menerima medal, sijil dan hadiah penghargaan yang disampaikan oleh Muhyiddin dalam acara penuh gilang-gemilang.
Noor Rezan yang ditemui wartawan selepas majlis berkenaan berkata, anugerah itu adalah penghargaan buat semua guru dan pendidik yang tidak pernah kenal erti penat mahupun mengalah.‘‘Saya berterima kasih kepada kerajaan ke atas pengiktirafan yang diberikan ini. Bagi saya, guru adalah pendidik sepanjang hayat.
‘‘Jika seorang guru melakukan kesilapan dalam mendidik, mereka akan merosakkan generasi bangsa negara ini,” katanya dekat sini hari ini.
Noor Rezan merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dan telah dilantik sebagai Penasihat Pendidikan bagi Khazanah Nasional Berhad pada 2011, selain memegang pelbagai jawatan memperkasa pendidikan negara. Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.
Sementara itu Wan Hamzah berkata, guru kini lebih mencabar berbanding dahulu yang mana menuntut pendidik menguasai pelbagai bidang untuk melonjakkan kemampuan pelajar dalam persaingan yang semakin membesar.
‘‘
Anugerah ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan. Saya akan terus memberikan segala idea dan bantuan untuk merangsangkan profesion perguruan ke tahap lebih tinggi,” ujarnya. Wan Hamzah merupakan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bahru, Kelantan.
Bagi Jacob yang turut menerima anugerah yang sama memberitahu, profesion perguruan ini memerlukan kesabaran dan dedikasi yang tinggi, apatah lagi dunia pendidikan kini jauh berbeza berbanding dahulu.
‘‘Apa yang manis adalah melihat semua anak didik saya berjaya dalam pelbagai bidang dan itu adalah hadiah terbaik buat saya sebagai warga pendidik,” katanya yang pernah menjawat jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Kebangsaan Methodist, Telok Datok, Selangor.
Manakala Rabiah pula memberitahu, pendidik harus terus berdedikasi dan mampu mendidik anak bangsa dengan lebih cemerlang pada masa depan.
‘‘
Ini adalah tugas hakiki kita bagi memastikan anak muda berjaya dalam mencapai cita-cita mereka. Tugas guru adalah pencetus kepada kejayaan anak-anak bangsa,” kata bekas Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, Freida berkata, semua guru perlu sentiasa berdedikasi dan meletakkan setiap anak didik itu sebagai aset berharga untuk negara.
‘‘
Saya juga berazam untuk menubuhkan pusat pendidikan guru bagi melatih dan memberikan ilmu kepada mereka supaya ada dalam kalangan pendidik ini menjadi tenaga pengajar khususnya di sekolah swasta,” katanya yang juga pengasas Sekolah Sri Cempaka, Kuala Lumpur.
 

KOMEN : JANGAN IKUT PERANGAI CIKGU YANG AJAR ANAK MURID DIA KENCING BERLARI SEBAB DIA SENDIRI KENCING BERDIRI…

SELAMAT HARI GURU

Gabung tindakan tepat – TPM

MUHYIDDIN Yassin melakukan gimik Pelancaran Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi. Turut kelihatan dari kiri Abdul Ghafar Mahmud, Idris Jusoh, Mohamad Hasan, Mary Yap Kain Ching, P. Kamalanathan dan Dr. Rosli Mohamed. – UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN 16 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung adalah satu keputusan tepat.
Kata Timbalan Perdana Menteri, pelantikan seorang Menteri Kedua juga melambangkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri untuk melihat bidang pendidikan di negara ini dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara.
Muhyiddin juga berkata, beliau telah mendapat keizinan daripada Perdana Menteri supaya menggunakan nama Kementerian Pelajaran sahaja bagi penggabungan dua kementerian.
Menurutnya, sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi diumumkan sebagai Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
”Dengan penggabungan kedua-dua kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan, di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita.
”Usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara,” kata beliau ketika melancarkan sambutan Hari Guru kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Sambutan Hari Guru kali ke-42 tahun ini membawa tema, Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda, sekali gus mencerminkan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang di negara ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata, setiap institusi pendidikan dalam negara ini perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru di Lahad Datu, Sabah ketika berhadapan dengan situasi pertempuran serangan pengganas Kiram, baru-baru ini.
“Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Cikgu Saabi Hasin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani Lahad Datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan dan minum mereka.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada dalam kawasan pertempuran dan mengajar murid dari sekolah berlainan,” katanya di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini malam tadi.
Justeru kata Muhyiddin, ini adalah contoh guru yang disanjung tinggi.
 

KOMEN : CONTOH GURU YANG TAK PATUT DI IKUTI… CIKGU SAMSUDDIN DAN YANG MENYOKONG PUAK PEMBANGKANG…

Anjakan sistem pendidikan

DARI UTUSAN MALAYSIA
12/9/2012

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 hari ini menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru.
Dalam gelombang sama, tambah Muhyiddin, bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.
“Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Kata beliau, pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
“Dalam merangka pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi,” katanya.
Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah: 1. Memartabatkan profesion perguruan; 2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah; 3. Meningkatkan kualiti sekolah; 4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran; 5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa; 6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan; 7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja; 8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan 9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Jelas Muhyiddin, berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.
Sebelas anjakan tersebut adalah: 1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; 2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; 3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai; 4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; 5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; 6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; 7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; 8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan; 9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas; 10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan 11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.
Dalam pembentangannya, Muhyiddin berkata, pelan itu dihasilkan menerusi kajian semula secara menyeluruh yang dimulakan Kementerian Pelajaran pada Oktober 2011.
“Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
“Menerusi siri jelajah dialog pendidikan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu,” jelasnya.
Kata beliau, pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.
Katanya, kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan

.

SELAMAT HARI GURU

Suka duka tugas seorang pendidik

KOSMO ONLINE
16/5/2012

TULISAN yang tertera ayat berbunyi, ‘Saya ada rumah. Rumah saya cantik’ kelihatan ditulis kemas di atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut.
“Baiklah, sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?,” tanya Liza Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak di Ampang, Selangor itu. Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza, masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut.
Namun, apabila ada dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan. Itulah sebahagian gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut.
Menurut Liza, sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di sana.
“Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut untuk mencuba,” ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.
Bagi Siti Zabedah Abu Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan tertentu amat penting untuk dilaksanakan.
“Contohnya penggunaan kad huruf, bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada pembelajaran,” kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari pada tahun 2008.

Mencuit hati


PENDIDIKAN awal kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif.


Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.
Sementara itu, Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.
“Guru ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati guru kepada anak-anak sejak kecil lagi,” tutur Azah yang sudah terlibat dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.
Berkongsi pengalaman, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari, mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap seperti kawan.
“Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu.
“Ia mungkin disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga dewasa,” tegas Azah.
Selepas menerima didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah. Andai guru yang mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing.
Perkara ini diakui oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur. Ujar Gopinat, proses pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran.

HUBUNGAN guru dan pelajar yang erat menjadikan suasana pembelajaran di sekolah berjalan dengan harmoni.


“Kalau dahulu, guru hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka untuk belajar,” ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya itu.
Dalam pada itu, memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi.
“Kes yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah ini,” kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir.
Sementara itu, Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara berbanding guru.
“Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam memahami penggunaan gajet-gajet canggih,” ungkap Sabariah.

Jadikan Malaysia negara contoh


Muhyiddin Yassin dan Zambry Abd. Kadir (kanan) bermesra dengan para penerima bantuan pada perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri dengan guru-guru seluruh Perak di UTP, Seri Iskandar, Parit, semalam.


PARIT 27 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ilmuan Islam supaya berfikiran global dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dalam usaha mewujudkan negara yang seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada dunia Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain penekanan aspek membangunkan modal insan, pembangunan iktisad yang menyentuh aspek kemakmuran ekonomi juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah kemunduran.

Beliau menarik perhatian senario di negara Islam lain yang sudah mula membangun tetapi, terus dihimpit pelbagai krisis serta peperangan sehingga menyebabkan kekayaan khazanah ekonominya tidak dapat dibangunkan demi kepentingan rakyat.

‘‘Dalam perjumpaan begini, saya biasa ditanya kenapa kerajaan terlalu ghairah bercakap soal pembangunan ekonomi tetapi tidak memberi perhatian dalam soal pembangunan sosial, budaya dan agama. Saya kata (pandangan) ini tidak tepat.

‘‘Dalam soal kita membangunkan ummah atau menjadi sebuah negara Islam contoh, selain membangunkan modal insan, pembangunan iktisad juga penting supaya kita dapat membina sebuah negara yang seimbang pembangunannya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan sumbangan kepada 24 SABK, 32 SAR dan tiga SMKA sekitar negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM15.8 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada krisis yang dihadapi negara-negara Islam lain termasuk peperangan selama bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kemunduran serta kesengsaraan rakyatnya.

‘‘Sebab itu dalam soal pembangunan, kita perlu mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dan beban ini bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan tetapi juga oleh masyarakat,” jelasnya.

Muhyiddin turut menekankan cabaran besar yang bakal dihadapi dalam tempoh 10 tahun ketika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Sambil menyifatkan ia sebagai tempoh kritikal, beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab dalam melahirkan warga masa hadapan yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang tetapi juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia.

KOMEN : KATA ORANG UNTUK MEMUSNAHKAN SESUATU KEJAYAAN LEBIH MUDAH DARI MAHU MEMBINA SEMULA KEJAYAAN YANG TELAH DIMUSNAHKAN… CONTOH LIHAT AJE NEGARA-NEGARA ISLAM YANG BERTAHUN DIBANGUNKAN TAPI MUSNAH SEKELIP MATA DENGAN HASUTAN MUSUH ISLAM… APA YANG KITA MAHU ITU YANG AKAN KITA DAPAT…

Menabur bakti di pendalaman

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


SETIAP hari Azhar Mat Daud, 38, akan bangkit daripada lenanya tepat pukul 3 pagi. Lengkap berpakaian sesuai dengan imej seorang guru, dia menuju ke stesen kereta api Wakaf Bharu dengan menaiki motosikal.

Cerita Azhar, dia tidak boleh bangun lewat atau tidur selepas pukul 11 malam. Jika itu berlaku, dia akan lewat ke sekolah. Hal itu juga boleh mencalarkan imejnya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong.

Meskipun perjalanan dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ke stesen berkenaan hanya mengambil masa kurang setengah jam, Azhar sentiasa berwaspada. Cikgu Matematik itu memberitahu, dia sering menoleh kiri kanan jalan dan pada masa sama, mulutnya terkumat-kamit membaca doa pelindung diri.

“Dalam waktu-waktu sebegini ramai yang masih tidur cuma ‘orang-orang tertentu’ saja yang masih berjaga dan bekerja,” ujarnya yang membawa maksud yang tersirat.

Ketibaan tren di stesen Wakaf Bharu lazimnya tepat pukul 4 pagi. Dengan langkah lemah longlai sambil bertemankan suara cengkerik dan unggas yang ditenggelamkan oleh bunyi bingit kereta api, Azhar mengambil tempat duduk. Untuk seketika, dia menjadi penumpang pertama tren itu.

Suasana yang masih gelap membuatkan Azhar tidak berupaya melakukan apa-apa kecuali melelapkan mata. Barangkali itu perkara terbaik yang dilakukan kerana sebelum sampai ke Dabong, kereta api akan melalui 20 stesen dengan jarak melebihi 200 kilometer (km). Perjalanan adakalanya memakan masa lebih tiga jam. Pernah sekali, akibat terlena, dia dibawa kereta api hingga ke stesen Kemubu.

“Inilah yang saya lalui selama tiga tahun berturut-turut. Pemeriksa tiket pun dah kenal kerana saya ialah pelanggan setia yang membeli tiket tiap-tiap hari.

“Percaya atau tidak, perjalanan saya ke tempat kerja lebih lama daripada waktu saya mengajar,” seloroh Azhar. Namun sepanjang wawancara berlangsung, dia tidak pernah menunjukkan sekelumit pun rasa kesal. Sebaliknya, Azhar menganggap ia adalah satu pengorbanan tulus untuk membantu murid-murid di pendalaman.

PADA asalnya, Norazlina berasa canggung tinggal dan bertugas di Dabong, tetapi setelah beberapa bulan di sana, dia mula berasa selesa.

Menceritakan latar dirinya, Azhar sebelum ini merupakan guru di SK Jalan Pasar 1, Pudu, Kuala Lumpur selama lapan tahun. Penyakit strok yang dihidapi oleh ibunya mendorong Azhar membuat permohonan untuk bertugas di negeri kelahirannya supaya hampir dengan orang tuanya.

“Walaupun berasal dari Kelantan, saya tak pernah ke Dabong. Pada asalnya, saya duduk di asrama, tetapi selepas kejadian rumah saya dirompak, saya khuatir untuk meninggalkan isteri dan dua anak saya,” terangnya.

Adakah rutinnya yang sangat memenatkan memberi impak kepada kesihatan Azhar? Lelaki itu mendiamkan diri sejenak. Daripada bebola matanya, barangkali Azhar enggan berkongsi rasa. Namun, apabila diasak, akhirnya dia mengaku.

“Saya ada hipertensi dan setiap tiga bulan saya mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Otorinolaringologi kerana mengalami masalah pernafasan.

“Jika dulu berat badan saya 110 kilogram (kg), kini 80kg setelah bertugas di Dabong,” katanya yang masih lagi boleh mengukir senyuman.

Barangkali masalah kesihatan bukan satu isu besar kepada Azhar. Ada kisah yang lebih meruntun perasannya.

Kematian ibu

“Saya sanggup berpindah ke kawasan pedalaman kerana ibu saya tetapi pada 3 Mac 2009, ibu saya meninggal dunia ketika saya sedang mengajar kelas tambahan.

“Saya dapat tahu berita kematian agak lewat kerana talian telefon di Dabong pada ketika itu kurang memuaskan, setengah jam kemudian barulah saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan berita sedih itu,” katanya menahan perasaan ketika menitipkan cerita.

Gambaran perjalanan seorang guru di sekolah yang sama iaitu Noor Azainab Abdullah, 32, persis Azhar. Bezanya, hentian Noor Azainab bermula dari Kuala Krai. Azhar turut berada dalam tren yang sama.

SELAIN digunakan oleh para guru, kereta api juga merupakan pengangkutan utama bagi majoriti pelajar SK Dabong dan SMK Dabong setiap hari.

Ujar guru pendidikan khas yang menetap di Kampung Pek, Machang, Kelantan itu, dia bukanlah individu yang gemar menaiki kereta api. Namun, wanita ini tidak menyangka kereta api menjadi pengangkutan utamanya ke tempat kerja.

Jadual Noor Azainab bermula pada pukul 4.20 pagi. Tepat 4.50 pagi, dia bergerak dan memakir keretanya di stesen kereta api Kuala Krai. Noor Azainab berkata, dia membiarkan wajahnya polos tanpa sebarang solekan.

“Biasanya, bila azan bergema saya berada dalam kereta api, jadi saya mengambil wuduk dan bersolat (dengan cara duduk) dalam kereta api,” kongsinya yang pernah sampai ke sekolah pada pukul 12 tengah hari disebabkan berlaku tanah runtuh dan kemalangan antara kerets api dan haiwan di landasan.

Ketika ditanya mengapa dia tidak tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak sekolah, jawab bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu: “Saya seorang guru yang mengajar kanak-kanak istimewa, jadi saya perlu sentiasa mencari material terbaik untuk mereka daripada Internet, tapi malangnya di Dabong liputan jalur lebarnya sangat lemah.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tugas Noor Azainab bukan saja menuntut pengorbanan masa, malah ketahanan mental kerana dia mengendalikan pelajar lembam.

“Saya pernah terfikir untuk tukar sekolah. Mula-mula kerja oleh ibu saya kerap merayu supaya saya berbuat demikian tapi lama-kelamaan, saya rasa sayang kerana saya suka persekitaran di Dabong yang tenang.

“Perjalanan yang panjang ketika pergi dan pulang dari sekolah membolehkan saya menanda buku pelajar dan buat persediaan untuk mengajar,” ujarnya yang menempuh pengalaman yang sama pada bulan puasa.

Noor Azainab mengambil tren pukul 2.30 petang untuk pulang ke rumah. Pada waktu itu, selain menyaksikan gerabak kereta api dipenuhi pelajar sekolah, suasana pelajar mengulangkaji pelajaran dalam tren merupakan satu pemandangan yang cukup berharga bagi dirinya.

Mahir dialek Kelantan

SUDAH MENJADI RUTIN. Perjalanan pergi dan balik yang panjang dalam kereta api membolehkan Azhar menanda buku sekolah para pelajarnya.

Melewati kelas murid prasekolah di SK Dabong, Norazlina Abd. Aziz, 32, dilihat sedang mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh ketekunan. Dia sangat petah bertutur dialek Kelantan. Sangkaan penulis dan jurufoto, Hafiz Johari, dia sememangnya anak jati Kelantan, tetapi telahan itu ternyata silap besar.

“Saya orang Perak, tapi bila dah beberapa bulan mengajar di Dabong, secara automatik saya pandai bertutur dialek Kelantan,” katanya sambil tertawa kecil.

Siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu itu tidak perlu disoal lanjut. Dia memberitahu, keputusannya untuk ke Dabong kerana suaminya bekerja di Pengkalan Chepa.

“Saya tak pernah tahu ada kawasan bernama Dabong, puas mencari maklumat dan apabila saya sampai di Dabong, saya sangat cuak sebab saya tengok jalan-jalannya sangat kecil,” ujarnya yang merasakan nasibnya lebih baik berbanding kepayahan yang dilalui oleh Azhar dan Noor Azainab.

Tidak seperti kedua-duanya, Norazlina tinggal di asrama bersama dua anaknya yang masing-masing berusia empat dan enam tahun. Dia hanya berkesempatan bertemu suaminya pada hujung minggu.

Pertemuan kami diakhiri dengan luahan kata-kata yang penuh bermakna daripada Norazlina: “Di Dabong, saya belajar erti dan tanggungjawab sebagai pendidik yang sebenar. Saya mengakui jiwa saya semakin dekat dengan kampung ini dan masyarakat Dabong yang penuh berhemah.”

p/s  Bagi guru-guru yang bekerja di bandar tapi perangai macam raja, patut malu pada rakan sejawat yang sanggup bertugas di sekolah pendalaman untuk memberikan pendidikan pada anak bangsa.