FIFA gantung Kuwait, JDT ke final Piala AFC

18 Oktober 2015 12:34 AM
JUARA … Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meraikan kejayaan selepas pasukan JDT dinobatkan sebagai juara Liga Super 2015 selepas perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini. BERNAMA
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mencipta satu lagi sejarah besar bola sepak Malaysia apabila diisytiharkan layak secara automatik ke perlawanan akhir Piala AFC 2015 pada 31 Oktober ini di Stadium Republikan Central Dushanbe, Tajikistan.
Skuad bimbingan Mario Gomez itu, yang menjadi pasukan pertama dari Malaysia melepasi suku akhir Piala AFC pada 15 September lalu, akan menentang FC Istiklol dari Tajikistan selepas kedua-dua lawan mereka dalam peringkat separuh akhir, Qadsia SC dan Kuwait SC dari Kuwait disahkan tidak lagi layak bersaing.
Keputusan itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laman sesawang rasminya semalam berikutan penggantungan Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berkuat kuasa serta-merta.
Hukuman itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 24 dan 25 September lalu, yang dipercayai akibat campur tangan kerajaan Kuwait dalam urusan pentadbiran bola sepak KFA.
“Ekoran keputusan FIFA untuk menggantung KFA dan anggotanya daripada semua kegiatan bola sepak, Kuwait SC dan Qadsia SC tidak lagi layak untuk bersaing dalam separuh akhir Piala AFC.
“Justeru perlawanan akhir Piala AFC kini akan dilangsungkan antara FC Istiklol dengan Johor Darul Ta’zim di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober ini,” menurut AFC dalam kenyataannya di laman sesawang the-afc.com.
JDT ketinggalan kepada Qadsia SC selepas tewas 3-1 dalam separuh akhir pertama di Stadium Kuwait SC, Kuwait pada 29 September lalu manakala Kuwait SC mendahului FC Istiklol 4-0 di gelanggang sama sehari kemudian.
Separuh akhir kedua JDT-Qadsia mulanya dijadualkan pada Selasa ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru manakala FC Istiklol-Kuwait SC di Dushanbe, sehari kemudian.
JDT terdahulu gagal dalam misinya ke Liga Juara-juara Asia setelah ditewaskan Bangkok Glass Thailand 3-0 walaupun berjaya menundukkan JSW Bengaluru (India) dalam pusingan playoff pada Februari lalu.
Namun mereka menjuarai Kumpulan F Piala AFC dengan mengatasi Kitchee (Hong Kong), Kingfisher East Bengal (India) dan Balestier Khalsa (Singapura) sebelum membelasah Ayeyawady United (Myanmar) 5-0 dalam pusingan kedua dan melepasi suku akhir dengan menumpaskan South China (Hong Kong) secara agregat 4-2.
Advertisements

AFC CUP : Gol Amri pembakar semangat

Gol Amri pembakar semangat
01 Oktober 2015 1:24 AM
Pemain-pemain Qadsia meraikan jaringan mereka sementara pemain JDT, Gary Steven Robbat (kanan) tertunduk kecewa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC di Kuwait City semalam. – AFC
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Piala AFC selepas tumpas 3-1 kepada Al-Qadsia SC semalam, namun jaringan Amri Yahyah sekurang-ku­rangnya masih memberikan nafas kepada Harimau Selatan.
Jaringan Amri da­lam perlawanan di Sta­dium Kelab Sukan Kuwait, Kuwait City semalam juga setidak-tidaknya membuatkan JDT masih bersemangat untuk mengharungi perlawanan kedua di tempat sendiri, apatah lagi mereka belum pernah tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dalam semua pertandingan musim ini.
Gol tunggal JDT itu pasti mahu dijadikan penyuntik semangat oleh Mario Gomez dan anak-anak buahnya bagi menghadapi separuh akhir kedua pada 20 Oktober ini.
Bagi pengendali JDT itu, beliau menyifatkan bekalan satu gol itu amat penting kepada pasukannya dan mengakui andai tiada gol dibawa pulang dari Kuwait, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk skuadnya.
“Jika perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-0 untuk Qadsia, pasti menjadi lebih sukar namun gol yang kami jaringkan akan memberi kami peluang. Secara jujurnya, mungkin lebih baik jika keputusannya 2-1, namun amat sukar dan keputusan itu (semalam) amat penting.
“Dalam perlawanan kedua, kami perlu menjaringkan dua gol namun kami juga akan berharap kepada (sokongan) penyokong untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya, yang dipetik daripada lawan web Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
JDT memiliki rekod yang baik di laman sendiri dalam kempen Piala AFC musim ini dengan menang empat kali dan seri sekali. Satu-satunya keputusan seri yang dicatat adalah ketika bertemu kelab Hong Kong, South China yang berakhir dengan 1-1.
Dalam perlawanan semalam, pertahanan skuad Harimau Selatan menjalankan tugas dengan disiplin untuk menghalang pemain Qadsia daripada membolosi kawalan. Namun kekentalan benteng JDT akhirnya roboh pada minit ke-33 menerusi jaringan Doris Fuakuputu dan Bader Al Motawaa menambah derita pelawat apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakan pasukan itu mendahului 2-0 pada babak pertama.
Seydouba Soumah kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-58 sebelum Amri berjaya membantu JDT membawa bekalan satu gol ke Larkin menerusi jaringan pada minit ke-82.
Sementara itu, jurulatih Qadsia, Rashed Al Bedaih juga sedikit berang apabila mengakui gol Amri telah merencatkan perancangan pasukan bimbingannya.
“Menang dengan keputusan seperti itu di laman sendiri adalah bagus sekali pun kami sebenarnya berusaha mengelak untuk melepaskan gol. Kami mengawal perlawanan dan menjaringkan tiga gol namun kami melepaskan gol daripada satu-satunya peluang mereka.
“Keputusan secara umumnya bagus namun kami tidak sepatutnya tidur dan masih ada perlawanan yang perlu diharungi di Malaysia,” jelasnya.

AFC CUP : Tiada Figueroa, JDT tagih bisa Safee

29 September 2015 12:21 AM
JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin Safee Sali mampu menggalas tugas sebagai penggempur utama pasukan apabila me­reka menentang Qadsia SC dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC ma­lam ini.
Safee Sali
Safee mendapat pe­luang un­tuk membuktikan kehebatannya dalam pertemuan di Stadium Mohammed Al-Hamad Hawally, Kuwait itu setelah penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa menjalani penggantungan dua perlawanan kerana mengutip kad merah dalam perlawanan suku akhir menentang South China di Stadium Mong Kok, Hong Kong pada 15 September lalu.
Gomez percaya Safee mampu mengulangi permainan terbaiknya ketika menjaringkan dua gol sewaktu menentang South China yang sekali gus membantu Harimau Selatan menang dengan agregat 4-2 dan melakar sejarah menjadi pasukan pertama Malaysia layak ke separuh akhir Piala AFC.
“Ketiadaan Figueroa yang digantung dua perlawanan memberi ruang kepada Safee untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama. Saya berasakan dia mampu menjalankan tugas yang baik di bahagian serangan dan bersedia untuk menggempur kubu lawan.
“Selain Safee, pemain lain turut mempamerkan semangat yang tinggi menjelang perlawanan menentang Qadsia. Saya yakin JDT mampu mencipta kejutan dan mendapat keputusan yang baik sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Secara keseluruhannya penyerang kebangsaan berusia 31 tahun itu sudah meledakkan empat gol dalam lapan penampilan bersama Harimau Selatan dalam kempen Piala AFC.
Gomez berkata, kudrat Safee amat ditagih untuk meneruskan prestasi cemerlang di peringkat Asia, lebih-lebih lagi turun menentang The Kings, iaitu penyandang juara Piala AFC musim lalu.
“Tidak dinafikan Qadsia merupakan lawan yang sukar dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk berdepan juara musim lalu itu.
“Pemain juga sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan cuaca di sini. Saya berharap segalanya berjalan lancar dan pemain mampu menampilkan prestasi terbaik,” katanya.
Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

JDT pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara

16 September 2015 12:43 AM

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul antara lima kelab terbaik Asia Tenggara, me­nurut ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh web http://www.clubworld­ranking.com.
Pasukan Harimau Selatan itu dalam Facebook rasminya, Johor Southern Tigers berkata, kelab tersebut ber­ada di kedudukan ketiga selepas Buriram United (Thailand) dan Binh Duong dari Vietnam.
Mengikut laman web itu lagi, JDT yang juga juara Liga Super dua musim berturut-turut menduduki tangga ke-892 dunia, manakala Buriram United di kedudukan ke-435 dan Binh Duong ke-676.
Tiada pasukan lain dari Malaysia yang tersenarai dalam ranking yang melibatkan 972 kelab seluruh dunia itu.
1. Buriram United
(Thailand) 435
2. Binh Duong (Vietnam) 676
3. JDT (MALAYSIA) 892
4. Hanoi T&T (Vietnam) 895
5. Bangkok Glass
(Thailand) 896

AFC CUP 2015 : JDT pahat sejarah!

Pasukan Malaysia pertama layak ke separuh akhir
ZAZALI JAMIAN | 16 September 2015 12:45 AM
SAFEE SALI memeluk Mahali Jasuli selepas menjaringkan gol JDT di Stadium Mongkok, Hong Kong, semalam. JDT menang 3-1. Foto AFC
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan mereka dalam liga domestik ke peringkat Asia apabila muncul pasukan pertama dari Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFC dengan menyingkirkan wakil Hong Kong, South China AA, semalam.
Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun Harimau Selatan masih mampu mencatat kemenangan bergaya 3-1 di Stadium Mongkok.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mario Gomez mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-2 selepas seri 1-1 dalam suku akhir pertama di Larkin.
Dua jaringan Safee Sali dan satu menerusi Mahali Jasuli membolehkan JDT mengatasi pencapaian Kelantan, yang sekadar beraksi di suku akhir pada 2012.
JDT sebelum itu terpaksa mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain selepas Luciano Figueroa dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Mahali memberi amaran awal kepada South China apabila membuka jaringan pada ke-26 menerusi rembatan kencang.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-28 hasil jaringan Mahama Awal.
Gol penyamaan tersebut langsung tidak menjejaskan rentak permainan pantas JDT, sebaliknya mereka terus melancarkan serangan dan akhirnya kembali di depan menerusi jaringan Safee pada minit ke-30.
Ketiadaan Figueroa yang diarahkan keluar padang dapat diatasi dengan baik oleh 10 pemain JDT apabila Safee sekali lagi berjaya meledak gol ketiga buat pasukannya pada minit ke-45.
Bermula babak kedua, tuan rumah menggandakan usaha untuk mendapatkan jaringan, namun gagal meraih sebarang gol biarpun menentang lawan yang kekurangan seorang pemain.
Pada minit ke-88, South China berpeluang menambah gol kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain gantian, Liang Zicheng dijatuhkan lawan.
Namun tendangan yang diambil ketua pasukan, Bojan Malisic melewati palang gol.
Kedudukan 1-3 kekal hingga tamat permainan dan juara Liga Super, JDT memahat sejarah baharu bola sepak negara.

JDT mahu pahat sejarah Piala AFC

MOHD. KHAIRUL 
MOHD. ALI | 15 September 2015 12:55 AM
PRESTASI baik dalam liga domestik meyakinkan JDT untuk cemerlang pada saingan Piala AFC apabila berdepan kelab Hong Kong, South China malam ini.
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) memasang impian muncul pasukan pertama Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFC de­ngan menewaskan South China AA dalam pertembungan suku akhir kedua di Hong Kong, malam ini.
Ketua Jurulatihnya, Mario Go­mez memberitahu, peluang anak didiknya melakar sejarah baharu masih terbuka walaupun JDT gagal membawa bekalan selesa selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 25 Ogos lalu.
Dia mengakui, South China AA bukan mudah untuk dijinakkan, namun bukan penghalang bagi skuad Harimau Selatan melakar kejutan menentang kelab yang pernah dibimbingnya sebelum ini.
“Kemenangan ke atas Perak (Piala Malaysia) adalah pembakar semangat kepada pemain JDT yang berkunjung ke Hong Kong dan ia akan menjadi suntikan moral kepada mereka.
“Bukan mudah untuk menghadapi perlawanan ini hanya selepas berehat tiga hari, namun kita tidak akan menyerah dan memberikan tentangan habis-habisan dalam memburu kemenangan,” katanya.
Dalam perlawanan suku akhir pertama di Larkin pada 25 Ogos lalu, JDT mendahului menerusi ja­ringan pemain importnya, Luciano Figueroa sebelum South China AA menyamakan kedudukan hasil ja­ringan Mahama Awal.
Perlawanan menentang South China AA penting bagi juara Liga Super 2014 dan 2015 itu kerana pemenang pertembungan tersebut akan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFC.
Gomez berkata, persediaan menentang pasukan Hong Kong itu sudah dibuat apabila beberapa tonggak utama seperti Safiq Rahim dan Fadhli Shas direhatkan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik.
Perlawanan menentang Perak beberapa hari lalu turut menyaksikan Luciano Figueora, Hariss Harun dan Nazrin Nawi diketepikan daripada kesebelasan utama dan hanya diturunkan pada separuh masa kedua.