Proton juara kategori Super Rali Dunia


Suffian Abu Bakar
DARI UTUSAN MALAYSIA
14/2/2012

KARLSTAD, SWEDEN – Pasukan Proton Motorsports melakarkan satu kejayaan manis buat negara apabila memenangi kategori Super Kejohanan Rali Dunia S-WRC menerusi pemandu kelahiran Sweden, Per Gunnar Andersson yang memandu jentera Satria Neo S2000 di sini, semalam.

Andersson, pelumba kelahiran Arjang berusia 32 tahun bersama pembantu pemandu, Emil Axelsson berjaya mencatat masa keseluruhan 3 jam, 28 minit dan 16.8 saat untuk menggungguli kategori Super yang disertai seramai 12 pelumba.

Di peringkat WRC, Andersson menduduki tempat ke-12 keseluruhan kejohanan rali dunia yang dipenuhi salji sejauh 360 kilometer bermula Khamis lalu.

Perlumbaan hari terakhir sebanyak enam peringkat kelmarin menyaksikan Andersson berjaya mengutip 25 mata, selain memastikan tempat ke-12 kategori keseluruhan WRC dalam genggaman mereka.

“Bagi kami, kejayaan yang dicapai amat manis kerana ia berlaku di negara saya sendiri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Proton Motorsports kerana memberi kepercayaan kepada kami,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas dinobatkan sebagai juara SWRC.

Andersson ketinggalan pada peringkat pertama perlumbaan kepada Craig Breen dari Ireland yang memandu jentera Ford Fiesta S2000, dan di peringkat terakhir, beliau mencatatkan masa tiga minit lebih awal berbanding Breen.

Pemandu jentera Skoda Fabia S2000, Pontus Tidemand menduduki tempat ketiga kategori S-WRC setelah ketinggalan satu minit setengah berbanding Breen.

Sementara itu, Ketua Proton Motorsports, Datuk Abdul Razak Dawood berkata, Proton Motorsports amat berbangga dengan kejayaan ini walaupun pihaknya mengeluarkan kos kira-kira suku daripada keseluruhan kos dikeluarkan pasukan lain.

“Kejayaan ini menjulang nama Proton di persada pengeluar kereta dunia. Sekarang masyarakat Eropah dan dunia sudah melihat kejayaan kami.

“Kejayaan ini membolehkan Proton Motorsports dan Proton melangkah lebih jauh dalam dunia sukan automobil dunia,” kata beliau kepada pemberita Malaysia selepas sesi penyampaian hadiah di podium bandar ini.

Sirkit WRC menyediakan lapan venue perlumbaan iaitu Monte Carlo, Sweden, Portugal, New Zealand, Finland, Great Britain, Perancis dan Sepanyol.

WRC turut menyaksikan pemandu Ford Fiesta WRC, Jari-Matti Latvala muncul juara keseluruhan kejohanan dengan catatan masa 3:18.28.3s manakala pemandu Citroen, Mikko Hirvonen yang muncul juara keseluruhan tahun lalu berada di tempat kedua dengan catatan masa keseluruhan 3:18.44.9s. –

Advertisements

Cabaran cuaca salji menanti Proton di Rali Sweden


DARI UTUSAN MALAYSIA
9/2/2012

KARLSTAD, Sweden – Pelumba Proton, Per Gunnar Andersson akan kembali ke negara kelahirannya untuk mengetuai cabaran pasukan negara dengan mengemudi jentera Satria Neo S2000 pada pusingan kedua FIA Super WRC (S-WRC) 2012 di Sweden, mulai hari ini.

Pelumba berusia 32 kelahiran Arjang, Sweden itu nyata lebih bersedia dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) kali ini selepas memenangi kategori

Super 2000 KNA di Rali Finnskog, Norway kelmarin sebagai persediaan.

Dengan penyertaan 42 pasukan, beliau bukan sahaja menamatkan perlumbaan mengatasi pasukan Ford dan Skoda di kategori yang sama, malah Andersson memperoleh kedudukan keempat keseluruhan rali itu yang turut disertai pasukan WRC Citroen dan Ford.

Rali Sweden yang akan berlangsung sehingga Ahad ini turut menyaksikan kembalinya pelumba Proton kelahiran Scotland, Alister McRae dalam sirkit WRC selepas mempamerkan kecemerlangan menjuarai Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) tahun lalu bersama pembantu pemandu, Bill Hayes.

Menurut Ketua Proton Motorsports, Datuk Abdul Razak Dawood, berdasarkan pencapaian kenderaan pada APRC tahun lepas dan hasil ujian sepanjang cuti musim sejuk, pihaknya mengharapkan musim S-WRC 2012 yang mencabar dan kompetitif.

“Ini adalah permulaan yang luar biasa buat Proton dalam S-WRC, dan kami akan terus memastikan momentum pasukan semakin kukuh. Tiada masa untuk kita memikirkan kekecewaan (pada Rali Monte Carlo). Hanya keputusan terbaik yang dicari dan inilah yang akan kita fokuskan dalam Rali Sweden,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jentera Proton yang dipandu Andersson dalam Rali Monte Carlo pada 20 Januari lalu gagal menamatkan perlumbaan apabila enjinnya terbakar pada peringkat khas ketiga sebelum tamat.

Rali Sweden menarik penyertaan sejumlah 85 pasukan dan akan dijalankan menerusi 24 peringkat khas sejauh 360 kilometer dalam cuaca sejuk serendah enam darjah selsius.

Perlumbaan ini akan dimulakan hari ini di Karlstad dengan peringkat khas super sejauh 1.9 kilometer dan akan disambung esok dengan sembilan peringkat khas yang menyaksikan para pelumba memandu sepanjang kawasan di selatan Nor- way di bandar Kongsvinger.

Hari ketiga rali pula bakal menyaksikan para pelumba terpaksa menempuh lapan peringkat khas yang merentas sempadan Norway ke Dalama.

Mereka kemudian akan menempuhi laluan bersalji di Sagen dan Fedriksberg manakala hari terakhir pula menyaksikan enam peringkat khas terpaksa ditempuhi di kawasan Hagfors.

Proton akan menyertai lima daripada tujuh pusingan S-WRC tahun ini.

S-WRC merupakan siri panduan kepada WRC dan perlumbaan dijalankan pada peringkat khas yang sama dengan kereta yang dihasilkan oleh pengilang mematuhi peraturan S2000 daripada FIA S-WRC yang diperkenalkan pada 2010.