Kevin mati dibunuh

Mayat disimen dalam tong dram, dicampak ke paya
MASZUREEN HADZMAN | 17 September 2015 1:28 AM
MOHMAD SALLEH (kiri) melihat kesan tong simen yang telah dipecahkan pihak polis yang mana mayat Anthony Kevin Morais ditemui di Jalan Subang 3, Subang Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dibunuh semasa dalam perjalanan ke utara dipercayai di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayatnya kemudian disumbat ke dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurah simen dan ditenggelamkan ke dalam paya di Jalan Subang 3, Su­bang Jaya dekat sini.
Itulah kekejaman yang dilakukan sekumpulan individu terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55, selepas melarikannya di Jalan Dutamas, Damansara di sini semasa mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.
Difahamkan, sebelum dilarikan, kereta mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh kumpulan suspek terbabit di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersial di tempat kejadian.
Mangsa yang keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya semula oleh kumpulan individu terbabit ke tempat duduk penum­pang belakang dan kenderaan itu dipandu menuju ke arah utara.
Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dipercayai besi panjang yang digunakan untuk membuka nat tayar kereta di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayat mangsa dipercayai dibawa ke Subang Jaya sementara kere­tanya dipandu anggota kumpulan yang melarikannya ke arah Hutan Melintang dan ditemukan dibakar di sana.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mayat mendiang Kevin ditemukan hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak semalam.
Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.
“Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi ini di mana mayat Kevin dibuang.
“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan bomba bagi membantu membawa naik tong dram terbabit untuk dipecahkan pada pukul 8 pagi sebelum menemukan satu mayat yang dipercayai mendiang Kevin,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohmad memberitahu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihaknya berjaya merampas sebuah kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta mangsa ketika hari Kevin dilarikan.
Tambahnya, turut dirampas ia­lah kereta Honda Accord dan sejumlah wang bernilai RM17,100 di Pulau Pinang.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona dan satu resit pembelian batu, simen dan pasir yang digunakan suspek serta sejumlah lagi wang bernilai RM15,000 di Selangor.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Polis sebelum ini mengesahkan kehilangan Kevin pada 4 September lalu sebagai kes culik berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sepanjang jalan yang dilalui mangsa semasa hari kejadian dan sebahagiannya adalah milik persendirian bagi mengesan kedudukan mangsa.
Kevin dilaporkan hilang pada hari kejadian dan dilihat kali terakhir meninggalkan pangsapuri­nya di Menara Duta untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
Susulan itu polis menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes tersebut.
Polis juga mengesahkan kereta terbakar yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 5 September lalu adalah mirip kenderaan yang digunakan Kevin pada hari dia diculik.
Umur: 55 tahun
Adik-beradik: 4 (sulung)
Status: Bujang
Pendidikan:
l Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh
l Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London
Kerjaya:
1980
l Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya
l Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman
l Dilantik sebagai majistret
1985
l Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)
2004
Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya
2014
1 Julai
Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

Perbuatan cukup memalukan Malaysia

Demonstrasi sokong Anwar di United Kingdom
MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 10 Mac 2015 12:57 AM
Wan Toren Wan Yusoff
KUALA LUMPUR 9 Mac – tindakan sekumpulan rak­yat Malaysia mengadakan demonstrasi di United Kingdom (UK), Sabtu lalu bagi menunjukkan sokongan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara kerana meliwat adalah amat memalukan serta menjejaskan imej negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) UK, Wan Toren Wan Yusoff berkata, pihaknya amat kesal dengan penganjuran himpunan tersebut yang didalangi oleh pakatan pembangkang demi memburukkan nama negara sendiri atas kepentingan politik peribadi.
“Ini menunjukkan bahawa mereka langsung tiada jati diri, sifat patriotik, maruah dan harga diri, sekiranya mereka tidak setuju dengan kerajaan sekarang lebih baik tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang.
“Berkempen dengan baik dan berhemah untuk mendapat sokongan rakyat. Bukan dengan memburukkan negara sendiri di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wan Toren, lebih memalukan, perhimpunan yang hanya disertai 40 orang itu turut membabitkan ahli Kelab Pelajar Undang-Undang Malaysia di UK.
“Kami berharap agar kerajaan mahupun pembangkang ti­dak menggunakan pelajar untuk kepentingan politik peribadi.
“Kami juga berharap agar pelajar menumpukan kepada pengajian dan kembali ke tanah air untuk mencurah bakti,” katanya.
Tegasnya, apa yang lebih penting rakyat jangan mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin serta dakwaan yang berbaur fitnah.
“Mereka sepatutnya meneliti dan menyelidik sesuatu berita terutama dari media sosial sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

LIWAT : Jabatan Penjara 
tolak hasrat Anwar 
ke Parlimen _ BUDAK TADIKA PUN TAHU…

05 Mac 2015 1:06 AM
KUALA LUMPUR 4 Mac – Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat minggu depan tidak akan menjadi kenyataan kerana permohonannya ditolak Jabatan Penjara.
Ahmad Zahid Hamidi
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika dihu­bungi Utusan Malaysia melalui khid­mat pesanan ringkas (SMS), tetapi tiada penjelasan lanjut diberi.
Difahamkan Jabatan Penjara sudah pun menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bagi memaklumkan perkara itu dan dipercayai surat berkenaan telah diterima hari ini.
Utusan dimaklumkan tindakan tersebut diambil kerana Anwar kini tertakluk kepada akta, peraturan dan prosedur penjara selepas suami kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu didapati bersalah meliwat.
Selaras dengan penolakan oleh Jabatan Penjara itu, dipercayai Pandikar Amin akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan tetapi belum dapat dipastikan tarikh tersebut.
Isnin lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar surat kepada Pandikar Amin bagi memohon kebenaran untuk Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat atas alasan beliau masih ketua pembangkang.
Namun, Jabatan Penjara dalam kenyataan segeranya menegaskan layanan serta kemudahan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama, selaras dengan kete­tapan akta, peraturan dan prosedur.
Sebelum itu, pada 24 Februari lalu, keluarga Anwar menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan bagi memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong selepas ketua pembangkang tersebut dihukum penjara lima tahun.

RASUAH : 14 penguat kuasa empat 
agensi ditahan SPRM

Anggota kastam dan KPDNKK turut terima suapan
MASZUREEN HADZMAN | 05 Mac 2015 1:08 AM
DUA pegawai KPDNKK ditahan dalam Op Licin 2 berhubung kegiatan menyeludup petrol ke negara jiran di Kedah, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan mereka bukan menyasarkan satu agensi penguat kuasa sahaja dalam melaksanakan Op Licin 2.
Ini dibuktikan dengan penahanan 14 individu lagi termasuk anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana dipercayai bersubahat dalam kes penyeludupan dan penjualan petrol ke negara jiran.
Mereka yang ditahan terdiri dari­pada lima anggota KPDNKK, tiga pegawai JKDM dan dua Pasukan Gerakan Am (PGA) serta seorang anggota tugas am Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut ditahan dua pesara tentera dan seorang bekas pegawai KPDNKK dalam Op Licin 2 di Kedah dan Perak.
Kesemua individu berusia dalam lingkungan 30-an sehingga 50-an itu ditahan di pejabat KPDNKK Anak Bukit dan Kubang Pasu di Jitra, Kedah sebelum dibawa ke pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 9.30 pagi sehingga 7 malam.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua mereka yang masih dan pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam serta Kota Putra, Durian Burung terlibat dengan kegiatan penyeludupan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, mereka juga didapati tidak melakukan prosedur standard operasi (SOP) agensi ma­sing-masing sehingga menyebabkan urusan jual beli petrol ‘dipermudahkan’ oleh sindiket.
Katanya, terdapat pelbagai cara dikesan penguat kuasa tersebut bagi mendapatkan habuan masing-masing.
“Ada daripada mereka mene­rima wang secara tunai dan ada juga yang menerima wang suapan secara bulanan. Op Licin 2 yang dijalankan oleh SPRM ini akan dibuat secara berterusan sehingga kegiatan berkenaan dibanteras habis-habisan,” katanya di sini.
Ujarnya, ketiga-ketiga pesara yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semalam, seramai 11 orang ditahan agensi itu, sembilan daripadanya merupakan anggota polis dan dua adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Serbuan yang dijalankan sejak Isnin lalu, menjadikan seramai 36 orang telah ditahan termasuk anggota penguat kuasa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

LIWAT : Layanan, kemudahan Anwar di penjara saksama

03 Mac 2015 1:58 AM
KUALA LUMPUR 2 Mac – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima layanan serta kemudahan yang saksama seperti banduan lain.
Zulkifli Omar
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, ketika ini kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara negara ini dan layanan serta kemudahan yang diberikan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama mengikut ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara.
“Anwar telah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula 10 Februari lalu dan sejak itu, pelbagai tuduhan dan spekulasi dilakukan oleh pihak tertentu.
“Maka berasaskan itu, pihak kami mengambil langkah untuk menjelaskan tuduhan berkenaan seperti perjumpaan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini telah membuat permohonan dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, lawatan yang dinamakan Perjumpaan Khas itu dibenarkan atas urusan penting seperti mana diberikan kepada banduan lain.
“Perjumpaan itu dibenarkan atas urusan berkaitan keluarga, pembahagian harta, wasiat serta khidmat mendapatkan peguam,” jelasnya.
Katanya, selain itu, Anwar dibenarkan untuk mendapatkan penempatan dengan kemudahan bersesuaian termasuk makanan tambahan dan berbeza menerusi cadangan pegawai perubatan demi kepentingan kesihatan banduan.
“Kemudahan itu diberikan mengikut Peraturan 231 (j), Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang perlu dipatuhi oleh pihak penjara dalam mengubahsuai kerja, diet dan hukuman yang difikirkan perlu.
“Laporan mesti dilakukan secara bertulis kepada pegawai yang menjaga banduan berkenaan, malah hasil pemeriksaan dan syor pakar perubatan Anwar adalah untuk menempatkannya di Hospital Penjara Sungai Buloh. Penempatan itu telah dilaksanakan sebelum pertemuannya dengan Mohamed Azmin pada 25 Februari lalu,” ujarnya.
Tambahnya, tentang pertukaran Pegawai Penjara yang bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan Anwar pula, ia dilakukan setiap bulan.
“Pertukaran pegawai berlaku setiap bulan yang dilakukan atas kepentingan perkhidmatan dan kebajikan pegawai terlibat, malah Pengarah Penjara tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pertukaran tersebut,” katanya.
“Bagi kawalan semasa perhimpunan solidariti yang berlangsung setiap malam di hadapan penjara, ia bertujuan menjaga keselamatan, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mampu menjejaskan keselamatan penjara,” katanya.

JENAYAH : SPRM tahan 13 
anggota UPP, PGA

Terima suapan sehingga RM4,000 daripada penyeludup
ILAH HAFIZ AZIZ | 03 Mac 2015 1:57 AM
SEORANG pegawai SPRM mengiringi seorang suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
KUALA LUMPUR 2 Mac – Segelintir penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara ter­nyata tidak pernah gentar dengan tindakan demi tindakan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.
Buktinya, 13 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.
Turut ditahan, seorang bekas pegawai UPP dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.
Kesemua 15 individu terbabit ditahan dalam operasi yang dikenali sebagai Op Licin 2 di Perak dan Kedah, setelah siasatan mendapati sindiket penyeludupan minyak petrol itu dilakukan secara haram melalui pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membanteras aktiviti mengelak cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai September lalu.
Menurut sumber, dalam penahanan terbaharu ini, kesemua yang terlibat merupakan pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Ke­selamatan (ICQS).
Katanya, mereka dipercayai menerima suapan sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor minyak petrol dan diesel yang tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Padang Terap, Kedah.
“Daripada 13 penguat kuasa yang ditahan itu, lima daripadanya anggota UPP manakala selebihnya Pasukan Ge­rakan Am (PGA) dengan masing-masing enam dari Perak dan dua dari Kedah.
“Bekas pegawai UPP berpangkat Asisten Superintenden yang ditahan itu pula berusia 60 tahun,” katanya di sini.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu mendedahkan, penyelewengan diesel dan petrol di sempadan negara masih lagi berterusan khususnya di pintu sempadan negara meskipun usaha oleh kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sering dilakukan.
Laporan itu mendedahkan, tindakan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak membuat pemeriksaan ketat terhadap kenderaan-kenderaan yang disyaki membawa bahan bakar menyebabkan beberapa kawasan di pintu sempadan negara mudah dibolosi.
Mengulas lanjut, sumber memberi­tahu, penguat kuasa yang ditahan itu terdiri daripada pegawai berpangkat Asisten Superintenden (seorang), In­spektor (dua), Koperal (lapan) dan Konstabel (dua).
“Seorang orang awam yang ditahan pula berasal dari Ipoh, Perak. Kesemua 15 inidvidu yang ditahan tersebut berusia antara 20-an hingga 60-an.
“Dalam operasi itu, sebahagian anggota UPP ditahan di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam manakala anggota PGA pula ditahan di sekitar pekan Bukit Kayu Hitam.
“Bekas anggota UPP yang merupakan pesara itu ditahan di rumahnya di Alor Setar,” katanya.
Kesemua yang ditahan disisasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan me­minta suapan oleh penjawat awam.

LIWAT : Rayuan perlu pendapat bertulis Peguam Negara

26 Februari 2015 1:32 AM
Perlembagaan tidak tetapkan tempoh petisyen rayuan diteliti
Shamrahayu
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong meneliti mana-mana petisyen rayuan yang dikemukakan.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Lembaga Pengampunan itu bagaimanapun perlu mempertimbangkan pendapat bertulis daripada Peguam Negara. “Dari segi jangka masa tempoh petisyen rayuan, saya tidak berani hendak ramal, kalau ikut tatacara, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada bila-bila masa atau secepat mungkin tetapi itu bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sini hari ini.
Semalam, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mengesahkan yang keluarganya telah mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan semalam berkata status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen berkenaan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Shamrahayu, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong akan hanya membuat keputusan mengenai petisyen rayuan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, meneliti pendapat bertulis daripada Peguam Negara dan mendengar pandangan daripada anggota-anggota Lembaga Pengampunan.
“Perlu diingatkan, Lembaga Pengampunan boleh memberi pengampunan atau meringankan hukuman namun sabitan bersalah sebagaimana diputuskan oleh mahkamah kekal dan tidak boleh diubah, dengan kata lain, proses pengadilan telah selesai dan apa yang tinggal adalah proses belas kasihan,” katanya.