Utamakan sekolah satu aliran

Murid dapat mengenali satu sama lain
FADZIL ZAINOL | 22 September 2015 1:39 AM
Abdul Wahid Umar
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.
Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.
“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.
“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.
Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.
“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya.
Advertisements

Pasaran saham dunia merudum

FADZIL ZAINOL | 26 Ogos 2015 1:17 AM
SEORANG pelabur (kanan) melalui papan utama elektronik Bursa Saham Filipina di Manila semalam. Pasaran saham Asia ditutup bercampur-campur selepas sesi dagangan yang turun-naik di mana saham Tokyo menyaksikan penurunan dan pasaran Shanghai merudum pada paras terburuk dalam tempoh 20 tahun. – AFP
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kemerosotan pasaran sa­ham China yang digelar China’s Black Monday semalam, kesan tindakan drastik pelabur-pelabur menjual pegangan saham mereka di negara itu, telah membawa kesan domino yang membuatkan penanda aras pasaran-pasaran saham dunia mengalami kejatuhan teruk.
Saham utama Amerika Syarikat (AS), Dow Jones turut ter­kena tempias dan ditutup rendah semalam ke paras 15,871.35 mata iaitu susut 588.40 mata atau 3.57 peratus. Bursa-bursa AS yang lain seperti Indeks Komposit NASDAQ turut mengalami penyusutan 179.79 mata kepada 4,526.25 mata dan Bursa Saham New York pula jatuh 405.75 mata atau 3.98 peratus.
FTSE 100 di United Kingdom (UK) pula susut 4.7 peratus kepada 5,898.87 mata iaitu terendah sejak akhir 2012.
Beberapa indeks lain seperti di Frankfurt, Jerman dan Paris, Perancis turut mengalami penyusutan lebih lima peratus sementara bursa saham Athens, Greece mengalami penurunan sekitar 10 peratus. Bursa saham Pan-Eropah, FTSEurofirst 300 susut 6.4 mata sekali gus mengakibatkan pengeluaran dana sehingga 500 bilion euro (RM2.4 trilion) daripada bursa tersebut.
Menurut Reuters, keadaan itu juga memberi kesan kepada saham-saham utama Asia dengan Indeks Nikkei di Jepun menyusut 895.15 mata atau lebih empat peratus iaitu kejatuhan terbesar dalam tempoh dua tahun, Indeks Kospi Korea Selatan susut 2.5 peratus, Hang Seng Hong Kong lebih lima peratus, sementara indeks utama Bursa Saham Singapura merosot 127.62 mata.
Ketua Strategi Bank SEB yang berpangkalan di Singapura, Sean Yokota berkata, tindakan drastik jualan saham oleh pelabur-pelabur dijangka berterusan sebagai reaksi terhadap perkembangan ekonomi semasa khususnya langkah-langkah yang diambil oleh kuasa ekonomi dunia seperti China dan AS.
Kegawatan di China semalam, turut mengakibatkan mata wang negara-negara Asia menyusut ke paras paling rendah dalam tempoh beberapa tahun termasuk ringgit, rupiah Indonesia, dolar Taiwan, bath Thailand, dolar Singapura dan peso Filipina berbanding dolar AS.
Indeks Shanghai terus merosot lagi hari ini sebanyak tujuh peratus sekali gus membuatkan paras indeks itu kini berada di bawah paras 3,000 mata. Indeks itu sebelum ini telah merosot 15 peratus dalam tempoh tiga hari dengan semalam mencatatkan kemerosotan terbesar iaitu 8.5 peratus.
Sementara itu, Penyelidik Kanan Daiwa Securities, Yukino Yamada berkata, hampir kesemua saham dunia terjejas termasuk saham-saham syarikat walaupun interaksi perdagangan dengan China adalah kecil.
Kerajaan China bagaimanapun hari ini mengumumkan pengurangan kadar faedah di negara tersebut sebanyak 0.25 mata kepada 4.6 peratus selepas dua hari berturut-turut saham negara itu bergolak. Pengurangan itu adalah kali kelima yang dibuat oleh negara itu sejak November 2014.
Langkah tersebut berjaya menaikkan semula pasaran-pasaran Eropah setakat sesi dagangan pagi di rantau itu. FTSE 100 di London melonjak kembali 3.3 peratus, Index Dax Jerman meningkat 4.4 peratus sementara Cac Perancis naik 4.6 peratus.
Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI kembali pulih apabila meningkat 31.8 mata sepanjang sesi dagangan hari ini dan ditutup pada 1,563.94 setelah mengalami kemerosotan semasa sesi dagangan semalam yang turut dialami semua bursa-bursa serantau.- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/pasaran-saham-dunia-merudum-1.128544#sthash.8iOzIU6X.dpuf

EKONOMI : Penubuhan jawatankuasa khas

Bermatlamat kekalkan momentum pertumbuhan ekonomi
KAMIL MASLIH | 26 Ogos 2015 1:53 AM
NAJIB TUN RAZAK diiringi Mohd. Shukor Mahfar ketika tiba pada Majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2015 di KLCC, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas ekonomi de­ngan matlamat mengekalkan mo­mentum pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi situasi ekonomi global tidak menentu.
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kerajaan komited untuk memastikan rekod baik yang dicatatkan negara dalam pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan.
“Objektif jawatankuasa ini adalah untuk memastikan Malaysia me­ngekalkan momentum pertumbuhan yang kita telah bina, menjana kemakmuran serta kualiti hidup lebih baik bagi seluruh rakyat Malaysia dalam keadaan yang mencabar dan tidak menentu ini.
“Butiran lebih lanjut (mengenai penubuhan jawatankuasa berke­naan) akan diumumkan dalam wak­tu terdekat ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar dan Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Aruljothi Kanagaretnam.
Menurut Najib, beliau memberi perhatian terhadap keadaan ekonomi negara di samping perkembangan ekonomi dan kewangan global selain sentimen mengenainya.
“Gabenor Bank Negara dan Pe­ngerusi Suruhanjaya Sekuriti telah memberi laporan kepada saya baru-baru ini. Saya juga dimaklumkan mengenai perkembangan semasa daripada wakil-wakil pelbagai sektor ekonomi.
“Minggu lalu, saya telah mene­mui ketua ekonomi dan pengana­lisis daripada institusi-institusi ke­wa­ngan dalam serta luar negara dan semalam, saya berjumpa pemimpin-pemimpin korporat dan perniagaan. Pertemuan-pertemuan ini akan diteruskan dalam minggu mendatang,” katanya.
Beliau memberitahu, negara ber­depan pelbagai cabaran terhadap pendapatan negara termasuk situasi tidak menentu dalam ekonomi dan kewangan global serta kejatuhan harga minyak dan komoditi lain.
“Bagaimanapun, saya mahu me­ne­kankan di sini bahawa asas ekonomi kita masih kuat. Kita mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015. Kita juga mempelbagaikan ekonomi kita untuk menjadikannya lebih berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Najib meletakkan sasaran kepada LHDN untuk mencatatkan pungutan hasil sebanyak RM871 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).
“LHDN telah mencatatkan rekod baharu dalam pungutan cukai bagi tempoh empat tahun ini, daripada RM110 bilion pada 2011, kepada RM125 bilion pada 2012, RM129 bilion pada 2013 dan RM134 bilion pada 2014. Ini sememangnya pencapaian yang luar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa negara masih berdepan pelbagai masalah ketidak patuhan termasuk pengu­bahan wang haram, penipuan cukai serta pemindahan haram merentasi negara.( INI BANGSAT PALING BESAR YANG LEPAS BEBAS)
“Untuk mengatasi perkara ini, interaksi dan kerjasama antara pentadbiran cukai, pengamal cukai dan pembayar cukai perlu ditingkatkan. Daripada segi kutipan hasil, ini bermakna mendekati pihak-pihak berkepentingan sebagai rakan kerjasama dan bukannya sebagai pelanggan yang keberatan atau sukar,” katanya.

BNM : Tiada tambatan ringgit

FADZIL ZAINOL | 14 Ogos 2015 1:52 AM
KUALA LUMPUR 13 Ogos – bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan tidak akan menambat ringgit atau memperkenalkan kawalan modal bagi membendung kejatuhan nilai mata wang tempatan itu, seperti dilaksanakan semasa krisis kewangan 1998.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kesan perubahan nilai ringgit terhadap negara pada masa ini adalah terurus dan kemerosotan nilai mata wang ketika ini bukan hanya dialami Malaysia, malah turut dihadapi oleh negara-negara lain terutama ne­gara pengeksport komoditi.
Beliau berkata, sistem kewangan negara pada masa ini sudah matang dan mampu bertahan terhadap sebarang ketidaktentuan ekonomi semasa.
Justeru, katanya, apungan mata wang dilihat lebih baik untuk memulihkan ekonomi negara serta ringgit kerana langkah tersebut boleh mengukur tahap sebenar pembangunan negara.
“Saya ingin tekankan, kita tidak mahu melaksanakan sistem tambatan lagi. Kita sudah berubah daripada mengamalkan langkah-langkah kawalan modal.
“Mengapa hendak mengambil tindakan yang ekstrem (tambatan ringgit) yang hanya memberi kesan jangka pendek, sedangkan negara-negara lain turut menghadapi masalah yang sama,” katanya kepada pemberita semasa taklimat pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di sini hari ini.
Semalam, ringgit ditutup pada paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 apabila didagangkan pada paras RM4.0415 berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS). Bagaimanapun, pada sesi dagangan hari ini ringgit didagangkan pada kadar RM4.0080.
Malaysia melaksanakan tambatan ringgit pada 1998 dalam usa­ha menghentikan penurunan mendadak mata wang itu kesan permainan spekulator mata wang sehingga mengakibatkan ringgit didagangkan sehingga lebih RM4.50 berbanding dolar AS.
Langkah tersebut dihentikan pada 2005.
Kata Zeti, berbanding 1998, pasaran kewangan Malaysia pada masa ini lebih kukuh untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi, dengan rizab mata wang asing yang dikumpulkan negara memadai untuk menghadapi sebarang kejutan ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit.
Rizab mata wang asing Malaysia sehingga 31 Julai 2015 lalu berjumlah AS$96.7 bilion (RM388.63 bi­lion) berbanding penghujung 1990-an yang berada di bawah AS$50 bilion (RM201 bilion). Paras tertinggi rizab mata wang asing ialah pada awal 2013 yang mencecah hampir AS$140 bilion (RM562.80 bilion).
Mengulas lanjut, Zeti berkata, ketika ketidaktentuan eko­nomi sekarang ini, regim kadar pertukaran yang fleksibel akan membantu negara mengurangkan impak daripada perkembangan luaran.
Beliau berkata, impak penyusutan nilai ringgit masih boleh diuruskan dengan beberapa kesan baik dan buruk kepada perniagaan dengan kandungan import yang tinggi menghadapi peningkatan kos, tetapi perniagaan berorientasikan eksport akan mendapat manfaat daripada pertambahan pendapatan.
Penyusutan nilai ringgit, kata­nya, mempunyai kesan sederhana ke atas perbelanjaan isi rumah kerana harga komoditi global dan bahan api domestik yang rendah, mengurangkan tekanan inflasi.
Jelasnya, BNM bagaimanapun akan terus memastikan pasar­an berfungsi secara teratur bagi mengelak gangguan kepada aktiviti perdagangan dan perniagaan.
Bagi tempoh 1 September 2014 hingga 11 Ogos lalu, ringgit telah merosot 20.1 peratus berbanding dolar AS berikutan kelemahan harga komoditi dan minyak mentah berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di AS.