Semenanjung Korea tegang

SEOUL 31 Mac – Korea Utara dan Korea Selatan hari ini saling berbalas tembakan meriam, memarakkan lagi perselisihan antara kedua-dua negara jiran itu sehingga memaksa penduduk Korea Selatan di beberapa buah pulau dipindahkan.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-seok, jirannya melepaskan sejumlah 500 tembakan meriam dalam satu latihan tentera dengan 100 daripadanya jatuh di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.
Korea Selatan pula membalas dengan 300 tembakan meriam yang menyasarkan Garisan Had Korea Utara. Jelas Min-seok, tindak balas itu tercetus apabila Korea Utara melakukan latihan tembakan meriam ke arah Korea Selatan bagi mempertahankan sempadan perairannya.
Latihan ketenteraan oleh Pyongyang itu bermula pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan, disusuli tindakan balas Korea Selatan tidak lama kemudian.
“Sebahagian peluru Korea Utara itu mengenai sempadan laut Korea Selatan semasa latihan berlangsung. Oleh itu, pihak tentera melakukan tembakan balas ke sempadan Korea Utara berpandukan protokol biasa,” kata Min-seok.
Para penganalisis berkata, insiden itu berlaku sehari selepas Pyongyang mengancam untuk melakukan ujian nuklear baharu, sebagai isyarat kekecewaan Korea Utara dengan sekatan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan rundingan pelbagai pihak membabitkan program nuklearnya.
Pyongyang melihat rundingan itu sebagai satu peluang untuk mendapatkan konsesi dan bantuan daripada komuniti antarabangsa.
“Saya tidak melihat ini sebagai satu percubaan untuk mencetuskan satu perbalahan secara serius.
“Tindakan ini adalah cubaan Korea Utara untuk mengekalkan tekanan bagi meneruskan satu rundingan nuklear,” kata seorang profesor Universiti Pengajian Korea Selatan, Yang Moo-jin di Seoul.
Korea Utara sebelum ini, seperti biasa menguar-uarkan tentang latihan tembakan meriamnya dengan memberitahu Korea Selatan terlebih dahulu serta mengeluarkan larangan provokatif belayar dan terbang.
Pada 2010, Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke Pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Dua anggota marin Korea Selatan maut dalam kejadian itu, sementara 15 yang lain serta tiga penduduk awam cedera. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140401/lu_03/Semenanjung-Korea-tegang#ixzz2xbxDQmaU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MUSLIMUPRO – Warkah Geneva: Berkat doa, kesatuan

Oleh NASHARUDIN MAT ISA
Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland.


SUDAH hampir seminggu saya berada di Geneva bersama-sama dengan anggota delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) seramai enam orang. Seperti yang kita sedia maklum, MuslimUPRo merupakan gabungan NGO-NGO Islam yang bersama-sama bangkit untuk membantah pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango), dan dalam masa yang sama berusaha melibatkan diri dalam Proses Semakan Berkala (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsultasi dan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kerajaan Malaysia.
Kami hadir untuk melihat sendiri proses penerimaan muktamad oleh wakil Kerajaan Malaysia terhadap saranan yang telah dibuat oleh negara-negara anggota PBB melalui proses tersebut. Daripada sejumlah 232 syor yang dikemukakan pada Oktober 2013, iaitu sebanyak 113 syor kesemuanya, 21 syor secara prinsipnya diterima, manakala 83 lagi ditolak.
Setelah sekian waktu pihak MuslimUPRo mengadakan beberapa siri kempen dan penerangan di seluruh negara, dengan di akhiri melalui Seminar Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia baru-baru ini.
Pihak kami juga telah turut mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak kerajaan dan saban hari mengharapkan agar kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak Comango yang jelas cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan, mempertikai kedudukan Islam dan juga mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
MuslimUPRo ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada kerajaan Malaysia yang telah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia. Penerimaan muktamad Malaysia telah pun dinyatakan di dalam dokumen rasmi PBB rujukan A/HRC/25/10/Add.1 bertarikh 4 Mac 2014.
Pendirian Malaysia ini yang dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014, bagi saya adalah satu manifestasi tepat yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah dan komitmen Malaysia terhadap usaha untuk memperbaiki tahap dan keadaan hak asasi manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara.
Syukur alhamdulillah kerana semua ini dapat berlaku berkat doa dan munajat yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin dan sedar bahawa ancaman terhadap agama kita sedang berlaku.

Menghentam
Tidak cukup dengan usaha dari dalam, negara kita cuba diheret sehingga ke pentas antarabangsa untuk akur dan menerima norma-norma Barat yang asing daripada agama dan budaya kita. Kita harus terus berdoa dan melakukan sesuatu dalam isu ini kerana usaha mereka yang memusuhi agama kita ini tidak terhenti setakat proses UPR yang kedua ini.
Pihak MuslimUPRo menjangkakan proses UPR yang ketiga yang dijadualkan pada 2017 nanti pastinya akan lebih hebat dan mencabar. Sudah tentu pihak Comango khasnya akan meneruskan kempen jahat mereka yang melanggar prinsip dan amalan agama Islam. Malah acara sampingan yang mereka anjurkan di Geneva ini pun telah mula mereka jadikan medan untuk menghentam kerajaan Malaysia dan masih berterusan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat agama Islam di negara kita.
Agenda Comango tidak terhenti setakat proses UPR. Pentas yang mereka gunakan juga bukan sekadar PBB. Mereka telah mengadakan lobi di sana sini. Dengan sokongan dan dana yang mereka perolehi dari luar negara khasnya, usaha mereka akan terus mereka gerakkan untuk memaksa negara kita menerima kesesatan dan kebatilan perjuangan mereka yang kononnya dilakukan atas prinsip hak asasi manusia!
Satu perkara yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, walaupun yang diperjuangkan oleh Comango itu adalah sesuatu yang batil dan bercanggah dengan kehendak agama dan budaya, tetapi kerana mereka itu bersatu, maka suara mereka sampai ke pentas antarabangsa.
Mereka kelihatan kuat walaupun jumlah mereka bukanlah begitu ramai mana pun, tetapi mereka berupaya mengumpul tenaga dan kekuatan yang sedikit itu untuk memperjuangkan suara kebatilan mereka.
Dengan demikian, inilah masa yang terbaik bagi umat Islam negara ini untuk sama-sama sedar dan insaf, bermuhasabah dan bangkit sebagai satu saff yang kukuh, ibarat batu-batu yang diikat kemas dan rapi sebagaimana yang Allah jelaskan dalam Surah as-Saff ayat 4. Marilah kita renungkan bersama – bagaimana jika kumpulan yang batil ini boleh bangkit dan berjuang, kenapa tidak kita sebagai umat Islam yang sudah disebut Allah SWT sebagai khaira ummah ukhrijat lillnas (sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia) tidak mampu untuk bergabung tenaga dan bermuafakat mempertahankan dan memperjuangkan agama ini pada tahap paling maksimum yang kita mampu?
Saya amat yakin, apa yang telah kita capai di Geneva kali ini adalah berkat daripada doa orang ramai, penyatuan gerak kerja dalam kalangan NGO-NGO Islam dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan, maka kita dikurniakan Allah SWT dengan keputusan yang saya anggap sebagai satu kemenangan untuk Islam di negara kita.
Ada banyak lagi isu di hadapan kita yang memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Kenapa tidak dalam hal yang berkaitan dengan mempertahankan agama, kita berpegang pada perintah Allah SWT …inna hazihi ummatukum ummatan wahidah… (sesungguhnya inilah dia umat kamu… umat yang satu). Kekuatan kita adalah pada kesepakatan dan perpaduan yang jitu selaku umat yang satu.
MuslimUPRo sedang merancang beberapa strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang khasnya dalam isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Antaranya ialah penubuhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu hak asasi manusia. Kita bukan anti kepada tuntutan hak asasi tetapi ia mestilah dalam kerangka agama, budaya dan perundangan negara.
Menarik juga untuk dinukilkan di sini, ketika kami di Geneva ini, di mana sahaja kami pergi, sama ada di restoran, kedai buku, di tempat penginapan malah di dalam bas pun, apabila kami ditegur; “kamu semua dari mana,” lalu kami jawab “dari Malaysia,” spontan sahaja kalimah yang akan diungkapkan kepada kami ialah “we are all praying for the safety of the aircraft”.
Benar, dua topik besar yang saban hari menjadi tajuk utama dalam media di sini ialah isu kehilangan pesawat MH370 dan perkembangan politik di Rusia dan Ukraine.
Rakyat asing di sini merakam tahniah kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan kukuh dan kerjasama erat 26 negara yang terus-menerus berusaha untuk mencari pesawat tersebut. Yang menarik bagi saya adalah ungkapan “we are all praying for the safety of the aircraft”.
Sekali lagi, dalam suasana yang sedang kita hadapi ini, sebagai hamba Allah SWT, doa ialah senjata orang mukmin yang paling ampuh yang mampu kita tadahkan tangan agar usaha pencarian ini akan terjawab segera.
Islam mengajar kita bahawa di antara mereka yang mustajab doanya insya-Allah ialah doa orang yang sedang bermusafir. Di sini kami juga turut mendoakan dipermudahkan Allah SWT agar usaha pencarian pesawat ini berjaya dan kami juga bermohon agar Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang ancaman pihak-pihak yang merancang untuk menghancurkan Islam, keharmonian dan kemakmuran negara kita.
Amin Ya Rabb al alamin.
* PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140323/re_02/Warkah-Geneva-Berkat-doa-kesatuan#ixzz2wqluMIeS  © Utusan Melayu (M) Bhd


Penolakan tuntutan Comango bukti komitmen Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Mac – Ketegasan kerajaan mempertahankan Islam dengan menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah dalam sesi penerimaan muktamad Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland semalam adalah manifestasi Malaysia sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah.
Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo), Nasharudin Mat Isa berkata, pendirian kerajaan Malaysia itu juga menunjukkan komitmen terhadap usaha memperbaiki kedudukan hak asasi manusia di negara ini tanpa berkompromi dengan tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, realiti sejarah, agama dan budaya negara.
“Namun, ini bukanlah penamat kepada serangan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) terhadap Islam. Ini adalah permulaan kepada keperluan pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) dan pihak kerajaan untuk lebih berusaha memperkukuhkan kekuatan bagi menghadapi serangan mereka.
“Saya yakin pihak Comango akan bertindak lebih agresif selepas ini untuk meneruskan agenda mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semasa sesi penerimaan muktamad laporan mengenai hak asasi manusia terhadap Malaysia di Geneva semalam, daripada 232 syor yang dikemukakan kepada Malaysia, kerajaan menerima sepenuhnya sebanyak 113 syor dan 21 diterima secara prinsip manakala sebanyak 83 syor ditolak.
Kebanyakan syor yang ditolak ialah yang dihantar oleh Comango semasa sesi pusingan kedua proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 24 Oktober 2013 termasuk tuntutan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengharamkan perlakuan jenayah seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Nasharudin yang kini bersama delegasi MuslimUPRo berada di Geneva berkata, apabila pulang ke Malaysia nanti, pihaknya akan membuat persiapan bagi menghadapi serangan-serangan berterusan daripada Comango yang dijangka sehingga proses Semakan Berkala Sejagat seterusnya pada 2017.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140322/dn_14/Penolakan-tuntutan-Comango-bukti-komitmen-Malaysia#ixzz2wqB5okeW  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Jati tiada kepentingan sokong delegasi MuslimUPRo

KUALA LUMPUR 17 Mac – Inisiatif berterusan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) memerangi tuntutan yang mengancam kedaulatan Islam bukan didorong oleh kepentingan peribadi atau bersifat sempit.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, inisiatif itu merupakan kesedaran yang begitu mendalam untuk melihat negara ini tidak dijadikan gelanggang menyebarluaskan fahaman liberalisme.
Menurut beliau, hal itu demikian kerana di dalam fahaman berkenaan terdapatnya gerakan menghalalkan perlakuan yang mengetepikan prinsip-prinsip kemanusiaan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Kita melihat peranan dan sumbangan MuslimUPRo dan sahabat-sahabat lain sebagai penting, terutama dalam konteks umat Islam sedang diasak secara bertubi-tubi oleh fahaman hedonisme yang memberi ruang luas kepada penularan budaya nafsu syahwat.
“Peristiwa yang berlaku di Bukit Jalil (konsert antarabangsa) hujung minggu lalu boleh dijadikan bukti nyata aliran hedonisme begitu bertenaga hingga tidak dapat dibendung lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
MuslimUPRo berlepas ke Geneva semalam bagi memantau sesi penerimaan muktamad di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 24 Oktober lalu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menjalankan pusingan kedua proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia berdasarkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
Antara tuntutan itu ialah hak kebebasan orientasi seks, LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Hasan memberitahu, tinjauan oleh Jati terhadap pihak yang menganjurkan program-program pembinaan sahsiah dan jati diri melibatkan golongan remaja mendapati fahaman liberalisme, pluralisme dan hedonisme berpunca daripada kegersangan amalan agama dalam kalangan golongan tersebut.
“Jelas kelihatan pelajar dan golongan remaja tidak mempunyai kemampuan untuk mempraktikkan asas tuntutan agama seperti solat yang sepatutnya menjadi alat pertahanan diri pertama dan utama dalam berdepan segala bentuk kemungkaran,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140318/dn_21/Jati-tiada-kepentingan-sokong-delegasi-MuslimUPRo#ixzz2wT3rAwlX  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Suaram dan Aliran dakwa sudah serah laporan kepada PBB

KUALA LUMPUR 14 Mac – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Aliran, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan hak asasi manusia di Malaysia terus bermain api mengenai sensitiviti agama Islam apabila mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menyerahkan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tekanan dan ancaman yang diterima penganut Kristian dan minoriti agama lain di negara ini.
Dalam satu kenyataan bersama, Suaram dan Aliran dalam laporan itu menyatakan bahawa, beberapa pertubuhan Islam di negara ini secara sewenang-wenangnya mengancam hak rakyat Malaysia yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bebas mengamalkan kepercayaan beragama yang dipilih.
Kedua-dua pertubuhan itu mendakwa mereka menyerahkan laporan rasmi itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon dan ekoran itu pejabat beliau kini telah mengedarkan laporan itu untuk diberi perhatian pada Sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-25 di Geneva bulan ini.
Pertubuhan itu mendakwa mereka telah mengemukakan senarai contoh terperinci bentuk penganiayaan dan sikap tidak bertoleransi yang berterusan dihadapi oleh minoriti agama di Malaysia khususnya penganut Kristian yang merangkumi hampir 10 peratus daripada jumlah populasi di negara ini.
“Laporan Suaram dan Aliran turut menyenaraikan contoh lain sikap tidak toleransi agama dan ekstremisme seperti pengharaman ajaran Syiah di Malaysia serta merujuk laporan media tentang bagaimana sejumlah masyarakat pribumi Malaysia telah ditipu agar memeluk Islam sebagai balasan bagi mendapatkan bantuan kebajikan,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan baru-baru ini.
Seterusnya pertubuhan itu menyatakan lagi bahawa laporan mereka itu telah menekankan mengenai bagaimana rakyat Malaysia beragama Kristian dihalang daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka ekoran keputusan mahkamah sebelum ini.
Dalam pada itu, pertubuhan itu turut mengadu kepada PBB bahawa editor The Herald, Paderi Lawrence Andrew telah disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kalimah Allah akan terus digunakan dalam perjumpaan mingguan gereja yang dijalankan dalam bahasa Malaysia.
Mengenai serbuan dan rampasan Bible versi bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pertubuhan itu turut melaporkan kepada PBB bahawa tindakan itu secara terang melanggar kebebasan beragama seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Negara selain yang termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Laporan itu turut mempersoalkan larangan penyebaran agama lain terhadap umat Islam seperti termaktub dalam Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan sementara umat Islam boleh menarik bukan Islam agar memeluk agama Islam.
Suaram dan Aliran turut menyatakan kepada PBB bahawa ahli-ahli Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah diancam dan diganggu oleh beberapa pihak ekoran laporan rasmi pertubuhan itu berhubung ekstremisme agama yang dikemukakan pada sesi semakan berkala sejagat (UPR) tahun lalu.
Sehubungan itu, kedua-dua pertubuhan itu menggesa Majlis Hak Asasi Manusia PBB agar segera menangani tekanan tersebut dengan kerajaan Malaysia selain mahu PBB agar meminta Malaysia untuk menjemput Pelapor Khas mengenai kebebasan agama dan kepercayaan, Heiner Bielefeldt untuk datang ke negara ini dan menjalankan siasatan bebas berhubung perkara yang dilaporkan mereka.
“PBB juga perlu mensyaratkan agar Malaysia mempromosi amalan dan polisi yang dapat memastikan hak setiap kumpulan agama di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan yang bebas dari sekatan undang-undang, politik mahupun ekonomi,” kata pertubuhan itu.
Suaram dan Aliran juga dalam laporan itu menyatakan mahu PBB menggesa kerajaan Malaysia agar bertindak terhadap pihak-pihak yang menghasut dan menimbulkan kebencian berasaskan agama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_21/Suaram-dan-Aliran-dakwa-sudah-serah-laporan-kepada-PBB#ixzz2wBIcLJgl  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : MEREKA BERCAKAP TENTANG KEBEBASAN BERAGAMA TAPI MEREKA TERLUPA YANG MEREKA BERSALAH KERANA MENYEBARKAN AGAMA MEREKA KEPADA ORANG YANG BERAGAMA ISLAM….?