SMK Seksyen 19 sasar 25 calon raih semua A SPM 2015

11 Mac 2015 1:27 AM
dua orang guru SMK Seksyen 19, Zarina Md. Zain (lima dari kiri) dan Shuhaino Mohd. Sukor (empat dari kanan) serta pelajar mereka menunjukkan isyarat bagus sewaktu Majlis Pelancaran Program Tutor PT3 dan SPM di sekolah berkenaan di Shah Alam, Selangor, semalam. – utusan/Izham Jaafar
SHAH ALAM 10 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 di sini menyasarkan sekurang-kurangnya 25 pelajarnya memperoleh A dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Sasaran itu dinyatakan oleh Pengetuanya, Puteri Roslawati Hashim susulan pencapaian yang memberangsangkan pada SPM tahun lalu yang menyaksikan seorang calon sekolah itu mendapat keputusan 10A diikuti 8A (enam calon) manakala 11 lagi calon mendapat keputusan 7A dan 6A dalam pe­periksaan tersebut.
“Sebagai sebuah sekolah harian, pencapaian itu amat membanggakan bagi pihak kami. Justeru, kita berazam untuk memastikan sekurang-kurangnya 25 calon SPM pada tahun ini mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.
“Sasaran ini mungkin boleh dicapai dengan program sokongan kecemerlangan pelajar seperti program Bitara yang diadakan oleh pihak sekolah, selain sokongan akhbar Tutor Utusan Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Roslawati, pihaknya memilih Tutor kerana akhbar sisipan itu mampu memberi nilai tambah dalam pembelajaran dan pe­ngajaran kesemua calon SPM serta Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Beliau berharap kesemua pelajar tidak kira calon SPM mahupun PT3 merujuk kepada Tutor kerana terbukti mempunyai input selaras dengan sukatan pelajaran yang diajar di sekolah.
“Kita berharap pelajar dapat merujuk panduan pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang terkandung dalam Tutor kerana boleh membantu mereka untuk menjawab soalan bersifat subjektif dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Mengulas tentang pencapaian kokurikulum sekolah itu, beliau menyatakan pihaknya telah memenangi kejohanan ragbi peringkat daerah bawah 15 tahun pada tahun lalu.
Malah, beliau merancang untuk menjadikan sekolah itu sebagai pusat melahirkan jaguh-jaguh tempatan dalam sukan ragbi pada masa depan, selain berhasrat mengadakan kerjasama dengan pasukan ragbi terkemuka dunia, New Zealand All Blacks.

PENDIDIKAN : PT3 tuntut kemahiran berfikir

23 Disember 2014 1:43 AM
ABU UBAIDAH ZAHIRHUSAN (belakang, kiri) dan Nur Farah Idayu Mohd. Asree (depan, kiri) bersama sebahagian pelajar SMK Sanzac yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 di SMK Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KOTA KINABALU 22 Dis. – Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memerlukan setiap pelajar memiliki kemahiran berfikir pada tahap tinggi.
Perkara itu diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac dekat sini, Abu Ubaidah Zahirhusan, 15, yang memperoleh 8A 2B dalam keputusan yang diumumkan di sekolah itu pagi ini.
Menurutnya, pembelajaran di dalam kelas tidak lagi boleh dijadikan sandaran semata-mata, sebaliknya perlu disokong daripada sumber lain termasuk internet.
“Saya akui PT3 cukup berbeza dan memerlukan kemahiran berfikir. PT3 menguji kita berfikir dan bukan lagi berteraskan kepada sekadar menjawab soalan,” katanya ketika ditemui di sini.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, fokus di dalam kelas juga penting walaupun pelbagai nota tambahan dapat ‘dipetik’ menerusi sumber internet.
Rakannya, Nur Farah Idayu Mohd. Asree, 15, turut mengakui ‘kelainan’ perjalanan PT3 yang amat menguji keupayaan minda seseorang pelajar.
“Kita perlu berfikir di luar kotak. Oleh itu, peranan guru penting dalam ‘memandu’ pelajar untuk berdepan cabaran PT3.
“Saya selalu menjadikan guru sebagai kawan, mana yang tidak faham, rujukan guru amat penting. Mereka banyak membantu kejayaan ini,” jelasnya.
Walaupun cuma memperoleh keputusan 6A, 2B, 1C dan 1D, Nur Farah Idayu melahirkan rasa gembira dan bangga kerana dapat berdepan dengan cabaran pertama kali itu dan berazam untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran seterusnya.
“Sudah tentu ini bukan penamat, meskipun menjadi perintis kepada PT3,” katanya.

PENDIDIKAN : Jangan salahkan PT3

23 Disember 2014 1:46 AM
KUALA LUMPUR 22 Dis. – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini tidak seperti yang dijangkakan.
Mohamad Ali Hassan
Presidennya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, percubaan pertama oleh kementerian itu perlu dipandang secara positif dan dapat menerima apa sahaja keputusan PT3 yang diperoleh dengan hati yang terbuka.
Katanya, keputusan tersebut seharusnya tidak membebankan pelajar dan guru malah, perlu dijadikan iktibar serta mengambil tindakan bersama bagi menangani kemerosotan akademik para pelajar.
“Kementerian juga perlu mengkaji semula bagi memastikan PT3 ini berjaya dilaksanakan seiring dengan tujuan asalnya iaitu untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan pelajar di samping mendapat bimbingan daripada pihak sekolah.
“Penilaian baharu untuk tingkatan tiga tersebut dilihat dapat mengenal pasti dan memberi peluang kepada pelajar yang tercorot dalam akademik tetapi mempunyai kebolehan dalam bidang vokasional untuk mencapai kejayaannya yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penambahbaikan PBS iaitu memperkenalkan ujian PT3 mulai tahun ini.
Menerusi pelaksanaan tersebut, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan 3 dan PT3 akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
Tambah Mohamad Ali, dunia zaman sekarang yang semakin meningkat maju bukan sahaja tertumpu kepada ahli akademik semata-mata tetapi juga memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal.
Apabila ditanya mengenai ketelusan dalam memeriksa kertas peperiksaan memandangkan ia hanya melibatkan khidmat guru dari sekolah tersebut, Mohamad Ali berkata, semua guru yang terlibat dengan PT3 perlu bersikap profesional dan menjaga etika sebagai seorang pendidik.
“Saya tidak menafikan bahawa perkara tersebut boleh mendorong guru-guru untuk memberi markah yang tinggi kepada pelajarnya bagi menjaga serta meningkatkan prestasi sekolah.
“Oleh sebab itu, tenaga pengajar yang terlibat dalam penilaian PT3 ini perlu diberi latihan dan kursus bagi memastikan sikap pilih kasih tidak timbul ketika menjalankan tugas,” katanya.
PT3 tidak boleh dibanding dengan PMR
23 Disember 2014 1:46 AM
PUTRAJAYA 22 Dis. – Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2014 yang dikeluarkan hari ini tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diadakan sebelum ini berikutan menggunakan format dan pendekatan berbeza.
Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd. Yusof berkata, data yang dikeluarkan dalam PT3 merupakan maklumat baharu dan tidak boleh dibandingkan dengan peperiksaan lain.
Pada masa sama, katanya, keputusan yang dikeluarkan itu juga tidak boleh dirumuskan mengalami sebarang peningkatan atau penurunan kerana berbeza dengan peperiksaan terdahulu.
“Pentaksiran ini digubal untuk melihat tahap penguasaan anak-anak kita selepas belajar selama tiga tahun di peringkat menengah rendah, yang mana untuk PT3 pendekatan penetapan standard untuk penentuan skor mengikut penggredan A, B, C, D dan seterusnya jika mereka layak gred A kita bagi keputusan itu.
“Berbeza dengan PMR kita guna kaedah penentuan standard yang mana penentuan penggredan mengikut beberapa perkara antaranya mengikut trend tiga tahun lepas, statistik dan norma tetapi untuk PT3 bergantung sepenuhnya kepada pelajar itu sendiri dan tidak dilihat pada trend sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Norzila, pendekatan seperti itu bagus kerana sejajar dengan objektif mata pelajaran yang memerlukan setiap pelajar menguasai peringkat menengah rendah.
Mengulas lanjut beliau berkata, untuk keputusan PT3 pihaknya juga tidak membuat sebarang analisis atau pengumuman sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pentadbiran sekolah untuk melakukannya.
Katanya, perkara itu bertujuan memberi peluang kepada pihak sekolah membuat analisis dan penambahbaikan serta melihat kekuatan dan kelemahan pelajar masing-masing.
“Untuk PT3 apabila LP sudah menetapkan skor gred kami akan menghantar ke dalam sistem sekolah untuk mereka mencetak laporan itu serta membuat analisis bagi sekolah masing-masing. Di peringkat pusat kita tidak membuat sebarang analisis untuk PT3,” katanya.
Mengulas dakwaan pentaksiran tersebut sukar kerana menggunakan item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Norzila menolak tanggapan tersebut sebaliknya berkata, item tersebut bertujuan menguji tahap pemikiran pelajar supaya berfikir secara kreatif dan kritis.
“Tujuan item KBAT dimasukkan dalam PT3 adalah untuk menyuruh pelajar ini berfikir bagaimana kaedah menyelesaikan masalah yang timbul berdasarkan pengetahuan diperoleh di sekolah dan sebagainya. Sekiranya perkara itu bukan rutin sudah tentu pelajar merasa susah.
“Sebenarnya perkara ini tidak sesukar mana cuma memerlukan mereka menjana fikiran untuk menjawab tugasan yang diberikan,” katanya.
Katanya, sebanyak 25 peratus soalan merupakan item aras rendah dan tinggi manakala, selebihnya item aras sederhana.
Sementara itu, Norzila berkata, PT3 tidak seharusnya dilihat kepada akademik semata-mata tetapi perlu dirangkumkan bersama komponen lain iaitu pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik bagi melahirkan pelajar yang holistik.- 

PENDIDIKAN : PT3: Keputusan ‘mengejutkan’

Beberapa sekolah luar bandar catat A semua mata pelajaran
SOFIAN BAHAROM, AZHARI ZAINOODDIN, NORLIZA 
MOHAMAD ZAKARIA, 
SALEHUDIN MAT RASAD 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 23 Disember 2014 2:14 AM
PELAJAR-PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, (dari kiri), Ashlisya Murshed Munir, Nur Arifah Aiddid, Siti Hajar Othman Siru, Shahirah Shamzul, Nadia Ramlan dan Mawaddah Faisal ceria sambil menunjukkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 setelah memperoleh 5A hingga 7A di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR 22 Dis. – Hasil sulung pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menyaksikan keputusan yang ‘mengejutkan’ dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
Pada masa sama, kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini.
Di TERENGGANU, sebanyak 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A bagi PT3 mereka.
Pengetuanya, Azizah Jusoh berkata, pihaknya tidak dapat membuat perbandingan mengenai pencapaian para pelajar kerana PT3 hanya bermula tahun ini, tetapi menyifatkan keputusan itu sebagai permulaan yang baik.
“Kami berbangga dengan pencapaian mereka yang turut mendapat A dalam pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Kami berharap kepada mereka yang berjaya agar terus kekal dengan SMK Mak Lagam hingga mencapai keputusan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan sijil kepada para pelajar.
Di PULAU PINANG, antara sekolah cemerlang yang terkesan dengan keputusan kurang memberangsangkan daripada pelaksanaan PT3 itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Agama Al-Irshad, SMK (P) St. George’s dan SMK Agama Al-Mashoor (L).
Pengetua SMK Bukit Jambul, Noorzeela Abu Bakar berkata, hanya enam daripada 183 calon PT3 sekolah itu mencatatkan keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diduduki mereka.
“Sukar untuk kita membandingkan pencapaian PT3 ini dengan PMR (Penilaian Menengah Rendah) kerana format kedua-dua peperiksaan jauh berbeza. Melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, di SMK Agama Al-Mashoor (L) pula, hanya dua daripada seramai 121 pelajarnya berjaya mendapat keputusan semua A dalam PT3.
Pengetuanya, Abd. Razak Osman berkata, keputusan itu mengecewakan dan jauh berbeza jika dibandingkan dengan PMR tahun lalu.
“Keputusan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik juga tidak memuaskan berbanding mata pelajaran lain. Kita akan menilai pencapaian PT3 ini dengan memberi fokus kepada punca pelajar gagal mendapatkan keputusan cemerlang supaya program penambahbaikan boleh dirangka segera,” katanya.
Sementara itu di MELAKA, SMK Infant Jesus Convent mencatat seramai sembilan pelajar cemerlang daripada 219 pelajar tingkatan tiga sekolah itu dalam PT3.
Pengetuanya, Norizan Ismail berkata, secara keseluruhan, sekolah itu memperoleh tidak kurang daripada 60 pelajar yang cemerlang dalam PMR sebelum ini.
“Memang keputusan jauh berbeza yang mana sekolah ini memperoleh hanya sembilan pelajar cemerlang dalam PT3 yang merupakan salah satu komponen dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Para pelajar pada tahun depan akan diberikan laporan bagi setiap komponen ini dan ibu bapa tidak boleh bandingkan dengan PMR kerana ini merupakan sebahagian daripada PT3.
“Format soalannya pun berbeza, kalau PMR dalam bentuk objektif tetapi PT3 semuanya dalam bentuk subjektif malah dimasukkan pula kemahiran berfikir aras tinggi sebagai persediaan para pelajar untuk menduduki peperiksaan di tingkatan lima nanti,” katanya.
Kata Norizan, pencapaian kurang memberangsangkan adalah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Dalam pada itu, di PAHANG, Pengetua SMK Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan, Mohd. Yunus Mahil berkata, keputusan PT3 membabitkan 257 calon di sekolah berkenaan adalah kurang memuaskan.
“Kita sudah jangka kerana ini merupakan kali pertama PT3 diperkenalkan. Misalnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik boleh dikatakan majoriti calon PT3 di sekolah ini tidak menguasai tahap minimum atau mendapat keputusan F.
“Ibu bapa tidak perlu terkejut dan risau, kita baru hendak menyesuaikan diri dengan PT3, sudah tentu ada sedikit kesan dengan keputusannya jika dibandingkan rekod-rekod sekolah pada PMR sebelum ini. PT3 adalah satu usaha jangka panjang kerajaan dan memerlukan kerjasama semua pihak bermula dari ibu bapa sehinggalah pihak pengurusan sekolah,” katanya.
Di Maran, berlaku penurunan jumlah pelajar cemerlang yang mendapat A dalam semua mata pelajaran berbanding PMR sebelum ini.
Berikutan itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah menengah di daerah ini mendapati keghairahan pelajar untuk ‘meraikan’ keputusan PT3 tidak semeriah berbanding sewaktu PMR dahulu berikutan kekurangan ramai calon cemerlang.
Bagaimanapun bagi Pengetua SMK Jengka Pusat, Mohd. Rozi Mat Sani yang ditemui, kekurangan bilangan pelajar cemerlang disebabkan aras soalan yang dikemukakan kepada calon adalah soalan Kbat.
Menurut beliau, ini berikutan PT3 menguji keupayaan pelajar menguasai proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan juga PBS yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan.
“Lima aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, inilah yang perlu dicapai oleh pelajar.
“Justeru, kita rasional dengan perubahan sistem pendidikan negara yang berteraskan kepada kemampuan pelajar itu sendiri dalam menguasai proses pendidikan yang bersifat global dan berdaya saing,” katanya.
Di PERAK, Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Noor Aini Zainal Abidin berkata, daripada 123 pelajarnya yang menduduki PT3 tahun ini, hanya 22 pelajar mendapat keputusan 7A ke atas.
Katanya, keputusan itu agak menyedihkan kerana sasaran awal berdasarkan pencapaian tahun sebelumnya adalah lebih 60 pelajar akan memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran.
“Jika dilihat kepada keputusan itu, kita tidak berpuas hati tetapi keputusan ini tidak boleh dibandingkan dengan PMR kerana pembelajarannya yang berbeza.
“Oleh itu, kita perlu mengkaji semula kaedah dan strategi baru bagi menghadapi PT3 pada tahun hadapan. Bagaimanapun, apa yang membanggakan kebanyakan pelajar yang cemerlang ini adalah mereka yang seimbang dalam penglibatan aktiviti luar dan pelajaran,” katanya.- 

Lebih 450,000 pelajar duduki PT3

KHAIR Mohamad Yusuf meneliti pelajar menjawab soalan kertas Bahasa Melayu bagi PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sebanyak 453,413 calon menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang julung kali diadakan di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara, bermula hari ini hingga Khamis (16 Okt).
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, ujian bertulis bagi peperiksaan yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu meliputi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.
Mata pelajaran selebihnya ialah Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.
“Pengurusan dan pemeriksaan skrip jawapan calon bagi Ujian Bertulis PT3 adalah di bawah tanggungjawab pengetua sekolah.
“Bagaimanapun, Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menjalankan moderasi pemeriksaaan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan skor calon,” menurut kenyataan itu.
Pelaporan pencapaian murid bagi PT3 diberikan dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F, jelas kenyataan itu..
PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt.
PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari hari ini hingga Khamis.
Sementara itu, semua set soalan ujian PT3 disediakan oleh Lembaga Peperiksaan dan diuruskan oleh pengurusan sekolah.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata setiap sekolah bertanggungjawab memilih set soalan akan dijawab calon ujian PT3 dan kebarangkalian soalan yang sama dipilih antara sekolah adalah rendah.
“Sebagai contoh, dalam 30 soalan oleh kementerian (Lembaga Peperiksaan), pihak sekolah akan memuat turun hanya satu atau dua soalan sahaja yang mungkin sama dengan sekolah lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Ujian PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini.
Beliau berkata, proses pemeriksaan kertas ujian bertulis PT3 pula akan dilakukan oleh guru sekolah masing-masing dengan pemantauan dan verifikasi oleh pentaksir kawasan dan pentaksir negeri.
Mengenai pelaksanaan PT3 di SMK Sentul Utama, Khair berkata beliau berpuas hati dengan kerja-kerja persiapan dan pelaksanaan dari aspek pengurusan ujian bertulis PT3.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Datin Nawal Salleh dan Pengetua SMK Sentul Utama Norsiah Yahya. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141014/dn_02/Lebih-450000-pelajar-duduki-PT3#ixzz3G57WfdKt  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PT3: Penerangan berterusan pastikan semua pihak faham


DARI KIRI: Idris Jusoh, Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR 18 Jun – Kementerian Pendidikan akan memastikan semua pihak memahami pelaksanaan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi mengelakkan salah faham terhadap sistem pentaksiran baharu itu.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi tujuan itu kerajaan antaranya telah mengeluarkan surat pekeliling Lembaga Pe­periksaan berkaitan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PT3.
Katanya, kedua-dua surat pekeliling itu turut dimuat naik dalam portal rasmi Lembaga Peperiksaan dan diedarkan ke semua sekolah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Bagi menjelaskan mengenai PT3 ini, surat pekeliling mengandungi tiga perkara iaitu takwim PT3 2014, jadual kerja PT3 2014 dan peraturan pentadbiran PT3 2014,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh mana pemahaman ibu bapa mengenai sistem PT3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula pada 1 Julai ini.
Menurut Idris, pelaksanaan program Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara juga merupakan platform kepada kementerian itu menyebarluaskan maklumat mengenai PBS dan PT3.
Beliau berkata, wakil PIBG dari setiap sekolah turut dikumpulkan mengikut daerah dan diberi penerangan serta bahan maklumat mengenai sistem penilaian tersebut.
Tambah beliau, kementerian itu menerusi sekolah dengan kerjasama PPD dan JPN akan berterusan mengadakan sesi perjumpaan bersama PIBG yang dilaksanakan sejak Mei lalu.
“Ini perkara baharu, kadang-kadang penerangan sekali masih belum faham. Kita akan pastikan semua faham demi kebaikan rakyat. Asasnya adalah kita mentaksir pelajar dalam bentuk holistik,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140619/pa_03/PT3-Penerangan-berterusan-pastikan-semua-pihak-faham#ixzz352mqMDfx  © Utusan Melayu (M) Bhd