POLITIK : Pelantikan bukti Azmin ‘anak emas’ Anwar?

Nallakaruppan
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bukanlah perkara mengejutkan, sebaliknya mengukuhkan dakwaan bahawa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan ‘anak emas’ nombor satu Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, mengenali Anwar sebagai ‘pelakon nombor satu’, adalah tidak mustahil pencalonan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini hanyalah untuk mengalihkan perhatian ahli parti dan rakyat.
Katanya, hal demikian kerana Anwar menyedari jika nama Azmin dicalonkan terlebih awal dan dipertahankan, akan terdapat bantahan daripada PKR sendiri kerana dia mempunyai banyak musuh dalam parti.
“PKR dan pakatan pembangkang bergelora selepas Wan Azizah dicalonkan namun Pas telah memberikan restu apabila mengemukakan nama Azmin kepada Istana Selangor sebagai alternatif.
“Restu Pas amat penting bagi Anwar untuk meredakan keadaan, apabila umpan sudah mengena, barulah Azmin dapat ‘memotong di selekoh’. DAP macam biasa akan ikut asalkan mendapat manfaat dan tidak terjejas,” katanya.
Beliau mengulas pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun Anwar sebelum ini bermati-matian mempertahankan pencalonan tunggal Wan Azizah.
Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, wajah berseri-seri Azmin sewaktu keluar daripada Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi membuktikan dia begitu seronok dilantik sebagai Menteri Besar.
Beliau mempersoalkan, sebagai pengikut setia sejak dilantik sebagai Setiausaha Peribadi kepada Anwar pada 1 Oktober 1987, adakah Azmin berani menunjukkan muka gembira sehingga melayan soalan daripada pemberita.
“Saya tahu, yang keluar dahulu malam tadi adalah Anwar dan Wan Azizah diiringi Azmin. Anwar dan Wan Azizah mukanya masam dan menegaskan tiada sidang akhbar sebaliknya PKR hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Melihatkan wartawan ramai, Azmin naik semula ke pejabat dan kira-kira sejam selepas itu turun dengan muka gembira dan menjawab soalan wartawan.
“Bagi saya, selepas pelbagai pengorbanan Azmin kepada Anwar termasuk perkara di luar pemikiran masyarakat, Azmin sememangnya layak mendapat habuan, Dia juga sudah lama tunggu dan sebab itu saya kata Azmin dan Anwar ini ibarat 2×5=10,” katanya.
Dalam pada itu, Nallakaruppan berkata, kenyataan beliau bukannya mempertikaikan pemilihan Azmin oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana baginda sendiri membuat pelantikan berdasarkan nama-nama yang diserahkan parti dalam pakatan pembangkang.
Sementara itu, Nallakaruppan berkata, Azmin kini mempunyai peluang untuk menafikan beliau merupakan ‘anak emas’ Anwar dengan tidak melantik semula Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor itu selepas dipecat oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.
“Saya cabar Azmin ketepikan Anwar, buatlah kalau benar-benar anak jantan. Ini peluang terbaik untuk tolak dakwaan semua pihak baik dari dalam atau luar parti sendiri,” tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140924/po_04/Pelantikan-bukti-Azmin-anak-emas-Anwar#ixzz3ECt5rZMh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

Pengacau ikatan kaum India-kerajaan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my




DARI KIRI: S. Nallakaruppan, Waythamoorthy

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan menyifatkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy sebagai pengacau hubungan baik masyarakat India dengan kerajaan.
Menurutnya, tindakan Waythamoorthy yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat memalukan dan tidak sama sekali mewakili pandangan masyarakat itu terhadap kepimpinan Najib.
“Tindakan Waythamoorthy menyalahkan Perdana Menteri sangat tidak masuk akal kerana dia seperti budak baru masuk sekolah beberapa bulan dan tidak tahu apa-apa pun pasal kerajaan, tetapi kini boleh pula salahkan orang ini orang itu.
“Dia juga tidak lakukan apa-apa jasa kepada masyarakat India tetapi boleh pula menyalahkan kerajaan tidak bantu. Perbuatan itu sangat memalukan dan kita masyarakat India tidak bersetuju dengan apa yang dia buat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Waythamoorthy yang menyalahkan Perdana Menteri kerana kegagalan Pengerusi Hindraf itu melaksanakan perubahan kepada kaum India baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nallakarupan mendesak Waythamoorthy untuk meminta maaf kepada Perdana Menteri dan masyarakat India ekoran tindakannya itu yang jelas menjejaskan hubungan baik antara masyarakat kaum itu dengan kerajaan.
Tambahnya, masyarakat India telah menerima pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan selama ini dan tidak sepatutnya Waythamoorthy yang baru sahaja memegang jawatan dalam Kabinet bertindak mempertikaikan perkara tersebut.
“Dia itu siapa mahu pertikai kepimpinan Perdana Menteri, dia juga tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti atau pertubuhan bukan kerajaan India untuk ambil tahu masalah kita, jadi, mengapa dia buat kenyataan seperti itu. Kita sangat malu dengan Perdana Menteri,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah tindakan yang dibuat Waythamoorthy itu ada kaitan keinginan beliau menyertai pembangkang, Nallakarupan berkata, jika itu berlaku, ia merupakan satu tindakan yang paling tidak bijak dilakukan oleh Pengerusi Hindraf itu.
“Kalau Waythamoorthy letak jawatan kerana mahu masuk pembangkang, dia telah buat pilihan yang salah dan dia pasti akan menyesal,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140221/po_01/Pengacau-ikatan-kaum-India-kerajaan#ixzz2tuiQp5ZE  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : PERLANTIKAN DIA SEBAGAI AHLI KABINET NAJIB PUN DARI AWALNYA KURANG BIJAK DAN TIDAK BERPAKSI PADA REALITI POLITIK HARI INI… ADA TAK MEMBANTU, TAK ADA PUN TAK APA DAN TAK RUGI… MEMALUKAN AJE….