KUASA UNDI SURVIVAL POLITIK

ZULKIFLI JALIL | 01 Oktober 2015 1:05 AM
KUASA sebagai pengundi menjadi penentu sur vival mana-mana par ti politik terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijadual berlangsung pada 2018. – GAMBAR HIASAN/BERNAMA
DALAM sibuk-sibuk berhimpun, sampai lupa ‘dunia’ realiti. ‘Dunia’ realiti yang dimaksudkan penulis adalah ‘sudahkah mendaftar sebagai pe­ngun­di buat mereka yang berhimpun sama ada dalam himpunan berpermit mahupun sekadar demonstrasi jalanan?
Berhimpun dalam situasi sekarang dalam maksud yang hampir adalah kecenderungan kepada politik, tidak kiralah memihak parti kerajaan atau pembangkang. Tiada gunanya sekumpulan besar orang berhimpun kalau nama mereka pun tidak tersenarai pengundi berdaftar.
Dalam konteks ini, izinkan penulis menggamit perhatian orang Melayu termasuk orang UMNO betapa kuasa atas kertas undi lebih bernilai dan realistik berbanding apa sahaja perlakuan berpolitik. Kuasa pengundi berada di tempat pertama berbanding perbuatan atau pe­rilaku menyuarakan sesuatu isu semasa.
Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.
Oleh itu, selagi UMNO me­ngekalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presi­den UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.
Namun, perlu diingatkan sekali lagi, tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ahli UMNO, waima pemimpin kanan parti itu sekali pun tidak akan bermakna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.
Dan itu belum lagi yang liat untuk mendaftar, bahkan telah mendaftar pun, masih malas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini berbeza dengan kaum lain, yang akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka – untuk berlumba-lumba membuang undi dalam usaha memenangkan calon mereka.
Orang Melayu termasuk daripada UMNO harus sedar dan mengambil iktibar hal ini. Misalnya, dalam proses pelantikan Perdana Menteri tidak ada disebutkan prasyarat mengenai bangsa atau agama. Ini bermakna bangsa bukan Melayu boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa akan datang untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu selagi beliau dapat menguasai keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Hakikat bahawa ini tidak pernah berlaku sebelum ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh atau tidak akan berlaku pada masa depan terutamanya apabila keadaan politik yang berubah-ubah di Malaysia. Ini kelak memungkinkan akan timbulnya beberapa orang lain yang boleh mendapat keyakinan Dewan.
Perkataan keyakinan di sini jelas merujuk seseorang yang memimpin parti dengan bilangan ahli-ahli dalam Dewan Rakyat yang terbesar. Keyakinan pada bahagian Yang di-Pertuan Agong pula tidak boleh membawa pengertian selain itu atau dalam konteks yang dibuat walaupun terikat dengan perkataan ‘pada pendapat beliau’ yang menandakan penentuan subjektif.
Mengikut makna konteks, walaupun beliau menggunakan fakulti subjektif dalam artikel itu, aplikasi tidak terkawal mengenai niat subjektif tidak boleh digunapakai. Jika berlaku pada masa akan datang, satu keadaan apabila pemimpin dua buah parti sama popular, sama kuat serta mempunyai jumlah perwakilan yang agak sama di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong akan terperangkap dalam keduduk­an yang sukar.
Adakah baginda akan menggunakan kayu pengukur berdasarkan atas bilangan wakil-wakil untuk menyukat kekuatan dan sokongan para pemimpin parti-parti yang berkaitan? Atau mungkinkah ba­ginda akan bertitah dan menentukan bahawa ‘pada pendapatnya’ seorang pemimpin lain mendapat keyakinan Dewan – mungkin pada ciri-ciri kekuatan wataknya, baik akhlaknya dan lain-lain sifat.
Hanya masa akan menentukan kerana peruntukan ini tidak pernah diuji sebelum ini walaupun terdapat pendapat yang berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa baki untuk berbuat demikian. Dan pihak mahkamah akan menjadi pengadil sekiranya perkara ini diuji pada satu tarikh di masa akan datang.
Di mata dunia, Malaysia masih boleh dengan yakin mempertahankan bahawa ia tidak mengamalkan kecenderungan diskriminasi di bawah undang-undang pelantikan kuasa eksekutif. Ini adalah mengikut keadaan semasa kesan Perlembagaan yang ada. Namun ia, tertakluk kepada kemungkinan ia akan dipinda pada satu masa kelak.
Hakikatnya Artikel 43 bukanlah salah satu artikel-artikel yang memerlukan majoriti dua pertiga dan sokongan kedua-dua majlis Parlimen untuk diluluskan bagi maksud pindaan. Mana-mana parti politik yang mempunyai kedudukan majoriti mudah di Dewan memang boleh mencetuskan proses meminda peruntukan dalam Artikel 43 yang mana terletaknya pangsi ketua eksekutif negara.
(Perdana Menteri dilantik di bawah Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pelantikannya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum pembentukan sebenar Kabinet, iaitu yang pada pendapat beliau (baginda) dapat menguasai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan).
Kuasa sebagai pengundi menjadi penentu survival mana-mana parti terutama dalam pilihan raya umum ke-14 yang dijadual dilangsungkan pada 2018.
Sekitar 2011 telah timbul perdebatan bahawa walaupun statistik penduduk Pulau Pinang menunjukkan peratusan orang Melayu mengatasi kaum Cina, masing-masing 42.05 peratus dan 40.92 peratus, namun pengundi Cina lebih ramai daripada pengundi Melayu.
Itu belum lagi dikira pada masa ini yang jika direkodkan daripada SPR, nescaya kita akan menemukan satu data yang memeranjatkan dari segi komposisi pengundi. Jika dulu ‘mereka’ mendominasi bandar-bandar, kini ‘mereka’ berada di pinggir bandar dan tidak lama lagi pasti menerobos mendominasi luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jangan salahkan sesiapa. Pokok pangkalnya tanya diri sendiri. Siapa yang komited, rajin dan berdaya saing terutama memastikan nama tersenarai dalam daftar pengundi sahaja yang boleh survive.

PARLIMEN : Tiada usul undi tidak percaya – Pandikar

08 September 2015 1:39 AM
Pandikar Amin Mulia (kanan) bersalaman dengan sebahagian daripada peserta AIPA ketika hadir merasmikan mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Doris Sophia Brodi (dua dari kanan). utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Dewan Rakyat tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada mana-mana ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang sehingga kini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keperluan bagi mempertimbangkan perkara itu hanya wujud sekiranya terdapat usul dan selaku Speaker, beliau berkuasa mutlak sama ada mahu menerima atau menolak
“Saya hanya akan mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang tampil mengemukakan usul itu,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-36 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pembangkang yang menuntut sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan.
Tindakan pembangkang itu dibalas dengan kecaman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana ujar­nya, usul berkenaan bercanggah dengan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan yang sama, Pandikar Amin berkata, tiada mana-mana menteri atau ahli Parlimen yang boleh bertindak melebihi kuasa Speaker dalam menentukan usul yang layak dibentangkan.
Malah katanya, Perdana Menteri sendiri tidak mempunyai kuasa dalam menentukan perkara itu kerana hanya Speaker layak membuat keputusan.
“Saya dapati beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang memberi penerangan tidak tepat. Demokrasi bersandarkan Perlembagaan dan peraturan Parlimen di bawah Perkara 62,” katanya.

Teliti hukum hudud terlebih dahulu sebelum dilaksanakan

19 Mac 2015 2:19 AM
KUALA LUMPUR 18 Mac – Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau hukum hudud perlu diteliti dengan lebh terperinci kerana membabitkan banyak persoalan Perlembagaan yang perlu diselesaikan sebelum dapat dilaksanakan.
Shamrahayu Ab. Aziz
Pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, terdapat banyak cabaran memandangkan wujud ruang-ruang dari sudut perundangan yang boleh dicabar dengan mudah oleh pihak yang tidak bersetuju dengan hukum ini.
“Enakmen tersebut jelas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Contohnya dari segi kesalahan seperti keselamatan awam iaitu membunuh, mencuri dan merompak yang termaktub kesalahannya ini di bawah kuasa Persekutuan.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mempunyai kuasa bagi kesalahan seperti murtad, minum arak dan berzina sahaja. Bagaimanapun, hukuman yang ditetapkan melampaui bidang kuasa mahkamah syariah.
“Justeru, kita bimbang situasi ini akan memberi peluang kepada individu-individu yang tidak berpuas hati untuk mencabarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam sidang DUN walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Shamrahayu berkata, fasa seterusnya ialah untuk mendapatkan kebenaran meluaskan kuasa negeri menerusi Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar dapat mencakupi hukuman bagi kesalahan bunuh, mencuri dan merompak yang terdapat dalam enakmen berkenaan.
Katanya, satu lagi ialah meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang sekarang ini hanya memperuntukkan bidang kuasa iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Hubungan kaum, agama semakin rapuh

Tuanku Abdul Halim zahir kebimbangan lihat situasi masa kini
JAMLIAH ABDULLAH | 19 Januari 2015 2:23 AM
Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Dataran Balai Besar, Alor Setar, semalam . – BERNAMA
ALOR SETAR 18 Jan. – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini menzahirkan kebimbangan mengenai hubungan antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin rapuh.
Titah baginda, sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama yang dipelopori sejak merdeka hingga kini seolah-olah tidak diutamakan.
‘‘Dengan izin Allah SWT, beta telah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh.
‘‘Kebebasan dan hak bersuara tanpa batasan akan mengundang reaksi balas daripada pihak yang tersinggung. Malah, Perlembagaan Persekutuan secara jelas digubal untuk mengelak daripada tercetusnya konflik dalam kalangan rakyat.
‘‘Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah,’’ titah Tuanku Abdul Halim dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Teks baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Temenggong Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Justeru, Tuanku Abdul Halim bertitah menggesa rakyat tidak mengambil tindakan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.
‘‘Keadaan negara yang aman dan selamat merupakan prasyarat utama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menarik masuk pelaburan. Apa yang berlaku di beberapa negara lain boleh dijadikan contoh dan teladan,’’ titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan kebimbangan dengan pembabitan rakyat negara ini dalam kegiatan dan fahaman ekstremisme sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing.
‘‘Ibu bapa disaran mengawasi anak-anak supaya menghindari mereka daripada terjebak dengan fahaman yang sebenarnya menyimpang daripada ajaran agama sebenar.
‘‘Beta berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam akan dapat meneruskan usaha pemantapan fahaman ajaran Islam dalam kalangan rakyat, sekali gus menghindarkan umat Islam daripada tercicir pegangan dan amalan yang sebenar,’’ titah baginda.
Baginda menyeru semua rakyat memastikan projek pembangunan serta kegiatan sosioekonomi yang dirancang tidak menjejaskan alam sekitar, sekali gus menyebabkan bencana alam.
Titah baginda, semua pihak perlu bertanggungjawab memelihara alam sekitar dengan berkesan demi mengelakkan bencana alam seperti banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
“Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal,” titah Tuanku Abdul Halim.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan keinginan untuk melihat cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sungai Petani oleh kerajaan negeri menjadi kenyataan.
‘‘Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan akan segera meluluskan cadangan kerajaan beta untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
‘‘Beta yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di wilayah utara,’’ titah baginda.

Melayu meringkuk daif kuasa dan mengemis’?

ANALISIS
ZULKIFLI JALIL (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 22 Disember 2014 1:49 AM
Ali Abd. Jalil
FAKTA bahawa negara ini adalah asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pembangunannya dan pentadbirannya dengan warga bukan Melayu memerlukan pe­negasan dan penerimaan.
Pendidikan nasional mesti terasas kepada beberapa prinsip antaranya hak Raja-raja, hak pribumi, bahasa dan budaya Melayu di samping menyatakan hak-hak sah kaum lain diterima.
Jika Dong Zao Dong memekak, UMNO dan Pas mesti berani bersatu menempelak mereka. Jika penulis blog seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd. Jalil menderhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja dan negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.
Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, semua pihak mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Pemimpin parti-parti Melayu semua peringkat tidak harus lembik, takut-takut, teragak-agak bila berdepan dengan sebarang pencabulan hak-hak asasi kaum.
Perimbangan ini perlu diterima oleh orang Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum Malaysia lain.
Mesti dihidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.
Melayu dan bumiputera harus jangan segan-silu mempelopori keutamaan perjuangannya sekali pun berlainan agama. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan.
Dalam hal ini, fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan, yakni dengan kekuatan 60 peratus Melayu-bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, ‘kita jangan takut memperjuangkan dan mengekalkan apa yang hakiki bagi kita’.
Perjuangan hakiki membela Melayu-bumiputera perlu terus diterap­kan dalam perjuangan.
Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka hingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini tetapi mereka bebas mengatakan pelbagai cerca dan penidakan konon mereka disisih didiskrimasikan, seolah-olah mereka jadi warga nombor dua atau nombor tiga.
Sedangkan semua maklum Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.
Namun, hak-hak keistimewaan seperti yang terjamin di bawah Perkara 153 jangan dipolitikkan kerana hak-hak asas keistimewaan itu bukan sesuatu yang mencabul Perlembagaan negara. Memberi latihan, biasiswa, dermasiswa, galakan ekonomi bagi orang Melayu dan Bumiputera adalah tuntutan Perlembagaan negara yang dipersetujui semua pihak pra 1957,”.
Ramai yang lupa bahawa apa yang ada pada orang Melayu ha­nyalah sekelumit berbanding apa yang dimiliki kaum-kaum lain.
Dalam hal pemilikan tanah, perniagaan, pelajaran dalam bidang profesional, teknikal, perubatan dan sebagainya, orang Melayu dan bumiputera masih jauh terkebelakang walaupun kejayaan di tahap-tahap tertentu sudah menunjukkan kejayaan.
Dalam sejarah 20 orang terkaya di negara ini, siapa yang berada di barisan 15 pertama. Hanya tiga orang Melayu dalam senarai itu. Dalam berbilion ringgit hartanah, bangunan, saham, industri, siapa yang muncul teratas dan terkaya?
Siapa yang kaya dengan pegangan harta di Pulau Pinang, Kangar, Alor Setar, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching?
Melayu dan Bumikah atau kaum Tionghua?
Kenapa ada orang Melayu khususnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) segan silu nak berterus-terang dalam hal se­perti ini? Dan kenapa pula ada orang segan bercakap pasal toleransi dan agihan kepentingan sebesar itu?
Inilah cabaran-cabaran negara hadapi buat masa depan.
Selagi Melayu tak sedar akan hakikat ini, selama itulah kaum itu akan meringkuk dalam keadaan daif kuasa.
Inilah mungkin ‘analogi’ yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan perihal ‘Melayu mengemis di negara sendiri’.
Dan ini barangkali disedari atau sengaja dibuat tidak tahu oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu pula mengajak Dr. Mahathir berdebat hal ini.