MANC. U – United main macam budak sekolah – Moyes

Thomas Mueller (tiga kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu Bayern Munich menewaskan Manchester United 3-1 pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-juara di Munich, Jerman semalam. Bayern layak ke separuh akhir menerusi agregat 4-2. – REUTERS
MUNICH – Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui, pasukannya bertahan seperti budak sekolah ketika mereka mensia-siakan gol pembukaan pada babak kedua, sekali gus membawa kepada penyingkiran di tangan Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-juara, semalam.
Bayern yang turun sebagai pe­nyandang juara, mencatat kemenangan 3-1 di depan penyokong sendiri pada suku akhir kedua semalam, sekali gus mara menerusi agregat 4-2.
United mendahului 1-0 hasil jaringan cantik pemain pertahanan, Patrice Evra pada minit ke-57, namun Bayern berjaya menyamakan kedudukan hanya 69 saat kemudian menerusi Mario Mandzukic, iaitu gol pertama mereka dalam tempoh 30 minit terakhir.
Thomas Mueller menampan bola masuk untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-68, sebelum Arjen Robben menambah gol ketiga tuan rumah pada minit ke-76 bagi menyingkirkan pasukan bimbingan Moyes.
Kemenangan ini meletakkan Bayern di landasan untuk mempertahankan kejuaraan pada final yang akan diadakan di Lisbon pada 24 Mei ini.
“Saya rasa pemain telah me­lakukan tugas dengan baik malam ini (semalam), kesalahan mereka hanyalah membiarkan gol penyamaan beberapa saat selepas mendahului.
“Saya memiliki pasukan yang berpe­ngalaman dan sesuatu yang kami perlu belajar sebagai budak sekolah adalah me­numpukan perhatian serta melakukan tugas selepas lawan menjaringkan gol.
“Beberapa kesilapan kecil memberi kesan kepada kami sehingga tamat perlawanan. Sebelum itu kami telah bertindak cemerlang dengan menghalang dan mengikat pergerakan mereka, jadi saya memang kecewa selepas melepaskan gol,” kata Moyes.
Ketika saingan Liga Perdana Inggeris ha­nya berbaki lima perlawanan dan mereka sudah pun tersingkir daripada Piala FA, Moyes berkata, beliau telah melihat peningkatan ditunjukkan pemain United selepas pemergiaan Alex Ferguson.
“Kami telah menunjukkan pe­ningkatan dalam permainan, kerja-kerja untuk membangunkan semula pasukan sangat menarik. Kami berada di peringkat yang kami mahukan. Saya rasa beberapa perkara positif telah dapat dilihat malam ini.
“Patrice menjaringkan gol yang sangat menarik, ia pasti lebih baik jika kami dapat mengekalkan kedudukan 1-0,” kata Moyes.
Moyes turut mengakui, bintang pe­nyerang England, Wayne Rooney beraksi di Munich dengan menggunakan ubat penahan sakit kerana mengalami lebam teruk di bahagian ibu jari kaki. – AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140411/sl_02/United-main-macam-budak-sekolah—Moyes#ixzz2yYoga3Go  © Utusan Melayu (M) Bhd 


MANC U – Rooney selamatkan air muka Moyes

Juan Mata (kiri) meraikan jaringan ketiga Manchester United bersama Ashley Young dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford, Manchester semalam. – AFP
MANCHESTER – Selepas perlawanan dibuka dengan insiden yang memalukan David Moyes, dua gol Wayne Rooney menyelamatkan air muka pengurus Manchester United itu apabila membantu pasukannya membenam Aston Villa 4-1 di Old Trafford, semalam.
Kemunculan sebuah pesawat ringan yang membawa sepanduk, ‘WRONG ONE-MOYES OUT’ (Pilihan Yang Salah, Moyes Keluar) berlegar di ruang udara Old Trafford mencemari permulaan perlawanan, ditambah lagi dengan kejayaan Villa memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Ashley Westwood pada minit ke-13.
Namun begitu, dua gol yang diledak oleh Rooney sebelum tamat babak pertama, selain jaringan Juan Mata dan Javier Hernandez pada separuh masa kedua kembali menceriakan Moyes.
Biarpun kemenangan itu masih tidak merubah kedudukan United yang kekal menghuni tangga ketujuh liga dengan 54 mata, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal, namun tiga mata yang diraih sekurang-kurangnya merawat kelukaan juara bertahan itu selepas tewas 0-3 kepada Manchester City di tempat sendiri, Selasa lalu.
Old Trafford sunyi seketika selepas sepakan lencong Westwood menerjah gawang United di awal permainan untuk meletakkan pelawat di depan.
Rooney bagaimanapun me­nyamakan kedudukan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Shinji Kagawa, sebelum melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan meledak penalti yang menerjah ke penjuru kanan pintu gol Villa selepas Mata dijatuhkan oleh Leandro Bacuna.
Jaringan Mata pada minit ke-57 membolehkan United terus bernafas dan pemain gantian, Hernandez memastikan tuan rumah menutup perlawanan dengan selesa apabila menambah gol keempat pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Adnan Januzaj. – AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140330/sl_01/Rooney-selamatkan-air-muka-Moyes#ixzz2xVsTIwWJ  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

MANC. U – Hatrik Van Persie ‘selamatkan’ Moyes

PENYERANG Manchester United, Robin van Persie (dua dari kanan) membuat sepakan bebas untuk gol ketiganya dalam perlawanan Liga Juara-juara menentang Olympiakos di Manchester semalam. United menang 3-0. – AFP
MANCHESTER – Robin van Persie mungkin telah menyelamatkan karier jurulatihnya, David Moyes apabila menjaringkan gol hatrik untuk membantu Manchester United melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-juara selepas membenam Olympiakos 3-0 di Old Trafford semalam.
Pada malam yang pasti akan dikenang oleh seluruh penyokong Red Devils itu, Van Persie menja­ringkan dua gol di babak pertama dan menambah satu pada separuh masa kedua untuk memastikan United layak menerusi agregat 3-2 selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama, peringkat 16 pasukan terbaik di Greece tiga minggu lalu.
David de Gea juga wajar dipuji kerana beberapa kali menafikan percubaan Olympiakos, sekali gus melegakan Moyes yang masih dibayangi kekalahan 0-3 kepada musuh ketat, Liverpool dalam persaingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.
“Saya tidak mahu datang ke sini untuk bercakap mengenai kekalah­an itu. Saya juga tidak mahu bercakap besar bahawa masa kami sudah tiba (kebangkitan United), tetapi saya benar-benar berharap kami bangkit,” kata Moyes sejurus tamat perlawanan.
Sebelum memasuki padang, United berada di ambang penyingkiran ekoran ketinggalan dengan defisit dua gol. Moyes sedar, seandainya perkara itu berlaku ia mungkin akan merosakkan kariernya dan peminat pula akan hilang sabar.
Begitupun perlawanan berakhir dengan keputusan yang diinginkan oleh seluruh penyokong The Red Devils, malah kapten Olympiakos, Giannis Maniatis terduduk sejurus tamat permainan kerana tidak menyangka pasukannya telah mensia-siakan kelebihan 2-0 yang diperoleh sebelum berlepas ke Manchester.
Van Persie menyelamatkan Mo­yes menerusi gol pembukaan hasil sepakan penalti pada minit ke-25, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada waktu kecederaan separuh masa pertama untuk kedudukan 2-0.
Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, bintang penyerang Belanda itu menggamatkan Old Trafford dengan ledakan gol ketiga yang berpunca daripada sepakan bebas yang melencong cantik ke dalam gawang lawan.
Moyes turut menghambur pujian kepada pemain sayap veteran, Ryan Giggs, sekali gus meredakan khabar angin yang mengatakan kedua-dua watak penting United itu sedang bertelagah kerana tidak sebulu mengenai pendekatan latihan.
Pada usia yang sudah menjangkau 40 tahun, Giggs terbukti masih berbisa dengan menjadi perancang utama United di bahagian tengah, malah beraksi sepanjang 90 minit permainan.
“Dia pemain serba boleh yang sa­ngat bagus. Pada usianya sekarang, saya boleh kata dia cukup hebat,” kata pengendali dari Scotland itu.
Namun begitu, kemenangan cukup bermakna buat United dan Moyes itu terpaksa dibayar de­ngan harga tinggi apabila Van Persie di­usung keluar pada minit terakhir permainan akibat kecederaan kaki.
Bagaimanapun Moyes menegaskan, kecederaan belakang lutut yang dialami penyerang berusia 29 tahun itu tidak seserius yang difikirkan.
Sementara itu bagi Olympiakos, ini adalah kekalahan mereka yang ke-12 berturut-turut di England, sekali gus menafikan peluang mereka untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 1999.
“Kami benar-benar tidak bernasib baik. Kami sangat terkejut de­ngan keputusan ini,” kata pemain tengah Olympiakos, David Fuster. – AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140321/sl_01/Hatrik-Van-Persie-selamatkan-Moyes#ixzz2wYXp889H  © Utusan Melayu (M) Bhd

Old Trafford kian bergelora?

Ryan Giggs (kiri) tidak setuju dengan pendekatan latihan David Moyes yang dianggap tidak sesuai dengan Manchester United.
MANCHESTER – Ryan Giggs boleh membuat penampilan ke-140 dan mungkin yang terakhir buat Manchester United dalam kancah Liga Juara-juara apabila penyandang juara Liga Perdana ­Inggeris itu menentang kelab Greece, Olympiakos di Old Trafford, hari ini.
Bagaimanapun ramai yang melihat potensi bintang tengah veteran itu untuk diturunkan tipis selepas dia dikatakan bertelagah dengan pengendali pasukan, David Moyes.
Khabar bertiup kencang mengatakan suasana di Old Trafford panas kerana Giggs mengkritik corak latihan yang digunakan Moyes yang dianggap punca kepada prestasi buruk pasukan itu musim ini.
Giggs, 40, yang dilantik oleh Moyes menjadi penolong jurulatih sebaik beliau mengambil alih tugas pengurus daripada Alex Ferguson mendakwa, pendekatan Moyes tidak sesuai dengan corak permai­nan menyerang pasukan.
Kemarahan Giggs tiba di kemuncak selepas Moyes tetap menggunakan kaedah yang sama ketika United kalah 0-3 kepada musuh ketat, Liverpool di tempat sendiri, Ahad lalu.
Giggs merupakan pemain ­paling banyak beraksi bersama kelab dengan memegang rekod 960 penampilan sejak membuat kemunculan pertama pada 23 tahun lalu. Begitupun pada musim ini, dia hanya beraksi 12 kali.
Di peringkat awal, dia dilibatkan dalam perbincangan mengenai taktikal pasukan bersama kakitangan jurulatih lain dalam perlawanan yang tidak memerlukan dia beraksi.
Namun, khidmat Giggs kurang digunakan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, malah dalam masa 
yang sama dia juga jarang diturunkan sebagai pemain. Giggs hanya beraksi selama 81 minit dalam tempoh 10 minggu ini.
Dakwaan mengenai perbalahan di antara Giggs dan Moyes turut disiarkan dalam majalah yang diterbitkan oleh penyokong setia United, Red Issue dan dijual di Old Trafford selepas kekalahan kepada Liverpool.
Sumber dalaman United memberitahu, Giggs menyifatkan cadangan pasukan untuk kekal bersama Moyes sebagai mengarut. – AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140319/sl_01/Old-Trafford-kian-bergelora#ixzz2wNa7rvm1  © Utusan Melayu (M) Bhd

Man. U dimalukan di laman sendiri

PENYERANG Liverpool, Luis Suarez (bawah) meraikan jaringannya bersama Martin Skrtel dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United di Old Trafford, Manchester semalam. Liverpool menang 3-0. – REUTERS
MANCHESTER – Dua sepakan penalti ketua pasukan, Steven Gerrard membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Manchester United semalam untuk memboleh­kan mereka te­rus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.
Gerrard menjaringkan gol menerusi sepakan penalti di kedua-dua separuh masa perlawanan untuk membolehkan pasukan pelawat menguasai perlawanan dan jaringan ketiga melalui Luis Suarez melengkapkan kemenangan kedua Liverpool di Old Trafford dalam tempoh sepuluh tahun.
Liverpool tidak berasa kekok memulakan perlawanan di gelanggang lawan apabila menguasai perlawanan dan dalam tempoh sepuluh minit pertama mereka telah dua kali membuat percubaan ke arah gol menerusi penyerang, Daniel Sturridge dan pertahanan kiri mereka, Glen Johnson namun kedua-dua­nya tidak menepati sasaran.
Tersentak dengan percubaan tersebut, United bangkit untuk mencari gol pendahuluan namun percubaan Robin van Persie dari dalam petak penalti juga gagal menerjah gawang gol.
Pada minit ke-27 pertahanan United sekali lagi diuji, kali ini menerusi percubaan pemain tengah pasukan pelawat, Joe Allen namun penjaga gol, David De Gea bersedia untuk menyelamatkan rembatan bintang Wales itu.
Mimpi buruk mula melanda pasukan tuan rumah pada minit ke-32 apabila Rafael menampan bola de­ngan tangan ketika cuba mengawal Suarez di dalam kawasan gol dan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg tidak teragak-agak memberi sepakan penalti yang mudah di­sempurnakan Gerrard, yang me­rembat ke sebelah kanan tatkala De Gea merebahkan badan ke sebelah kiri.
United cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-43 tetapi rembatan Wayne Rooney dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Rafael berjaya diselamatkan penjaga gol, Simon Mignolet.
Tidak sampai seminit perlawanan separuh masa kedua bersambung Liverpool dihadiahkan satu lagi sepakan penalti apabila Phil Jones merempuh Allen dan Gerrard sekali lagi tidak mempersiakan peluang yang terhidang apabila me­rembat leret ke tempat yang sama dan kali ini gagal dijangkau De Gea walaupun dia sudah merebahkan badan ke arah yang tepat.
Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat Liverpool pada minit ke-76 kerana Nemanja Vidic menerjah Daniel Sturridge sehingga menyebabkan ketua pasukan United itu diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua, namun Gerrard gagal menyempurnakan peluang untuk mencatat hatrik apabila sepakannya terkena tiang kiri gawang.
Kad merah yang diterima Vidic adalah kali keempat buatnya sepanjang bertemu Liverpool iaitu kali pertama pada September 2008 (Liver­pool 2 United 1), Mac 2009 (United 1 Liverpool 4), Oktober 2009 (Liverpool 2 United 0).
Bagaimanapun, kegagalan sepakan penalti tersebut berjaya ditebus dengan gol ketiga Liverpool apabila Suarez berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Sturridge dan tidak melepaskan peluang dengan merembat untuk menewaskan De Gea. – REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140317/sl_01/Man-U-dimalukan-di-laman-sendiri#ixzz2wC56ZGnq  © Utusan Melayu (M) Bhd


Rooney lunas dendam


DARI UTUSAN MALAYSIA
12/2/2012


Wayne Rooney meraikan jaringan pertamanya menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam. – AP


MANCHESTER – Dua jaringan dalam tempoh empat minit pada separuh masa kedua oleh Wayne Rooney memastikan Manchester United mencatat kemenangan penting ke atas musuh ketat mereka, Liverpool 2-1 dalam aksi penuh tegang Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam.

Bertambah manis buat United, ia bukan sahaja memastikan dendam tersingkir di tangan Liverpool pada pusingan keempat Piala FA dapat dilunaskan tetapi ia seolah-olah satu kemenangan moral buat Patrice Evra yang kecewa dengan tindakan tidak beradab Luis Suarez kerana enggan berjabat tangan dengannya sebelum perlawanan.

Ledakan pertama Rooney hadir hanya seminit selepas separuh masa kedua bermula melalui situasi sepakan sudut selepas separuh masa pertama, kedua-dua buntu mencari jaringan biarpun perlawanan banyak dikuasai oleh Red Devils.

Steven Gerrard gagal menanduk keluar bola sepakan sudut United yang diambil oleh Ryan Giggs sebelum bola tersebut hadir tepat di kaki Rooney yang berada di hadapan gawang Liverpool dan melepaskan rembatan padu bagi meletakkan Red Devils di hadapan pada minit ke-46.

Gol itu ternyata membuatkan United semakin bersemangat memburu kemenangan ke atas musuh tradisinya itu dan tiga minit kemudian, Red Devils berjaya menambah gol kedua, sekali lagi menerusi Rooney.

Berpunca daripada kesilapan Jay Spearing yang kehilangan bola berhampiran kotak penalti, Antonio Valencia pantas merampas bola untuk menghantar tepat kepada Rooney yang tidak dikawal dan merembat leret melepasi celahan kaki Pepe Reina.

Liverpool bagaimanapun tidak cepat mengalah apabila terus meningkatkan asakan dengan membawa masuk Andy Carroll dan Craig Bellamy untuk menggantikan Spearing dan Stewart Downing pada minit ke-60.

Akhirnya, Liverpool berjaya merapatkan jurang pada minit ke-80 menerusi Suarez yang bijak menghukum kesilapan Rio Ferdinand yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya sepakan percuma Luis Enrique.

Namun, harapan The Reds untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian dengan peluang terbaik menerusi Glen Johnson dari jarak 25 kaki dapat ditepis keluar oleh David De Gea.

Kemenangan itu meletakkan United kini memungut 58 mata daripada 25 perlawanan, merampas sementara kedudukan City dengan kelebihan satu mata yang akan beraksi hari ini menentang Aston Villa di Villa Park.

Perlawanan itu sudah mencipta kontroversi sebelum permainan bermula kerana Suarez enggan berjabat tangan dengan Evra sehinggakan pertahanan United cuba memegang lengan penyerang Liverpool itu tetapi tidak diendahkan.

Insiden itu bertambah tegang apabila Ferdinand yang ternampak kejadian itu membalas tindakan pemain antarabangsa Uruguay dengan turut tidak menghulurkan tangan kepada Suarez.

United buat City semakin tertekan


DARI UTUSAN MALAYSIA
2/2/2012


JAVIER Hernandez meraikan jaringannya ketika aksi Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Stoke City di Old Trafford, semalam. Perlawanan berakhir United menang 2-0. – REUTERS


LONDON – Dua penalti membantu Manchester United sama 54 mata dengan pendahulu liga, Manchester City selepas mengalahkan Stoke 2-0 semalam.

Dalam masa yang sama, jaringan bekas pemain United, Darron Gibson menyebabkan City tunduk 1-0 di Everton.

Pemain tengah Ireland, Gibson meninggalkan United untuk berpindah ke Goodison Park pada awal bulan lalu dan jaringannya bukan saja memberi sumbangan besar kepada pasukan barunya, malah kepada bekas kelabnya juga.

United kini berkongsi 54 mata dengan City, namun skuad Alex Ferguson di tangga kedua kerana perbezaan gol. City memiliki kelebihan enam gol berbanding United.

Tottenham yang menumpaskan Wigan Athletic 3-1 di White Hart Lane, mengekori di tangga ketiga dengan lima mata di belakang, manakala Chelsea kekal di tangga keempat.

Kelebihan mata yang dimiliki semakin mengecil selepas Chelsea seri 1-1 dengan Swansea, membolehkan Liverpool merapatkan jurang kepada empat mata di belakang hasil kemenangan 3-0 ke atas Wolves.

Dalam saingan di Old Trafford, United diselamatkan menerusi dua penalti yang disempurnakan Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov.

Sejurus membenam Stoke dan berkongsi mata dengan pendahulu, Ferguson segera mengalihkan tumpuan kepada pertembungan yang dianggap titik penentu siapa bakal bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini, iaitu berdepan City April nanti.

Jurulatih itu juga yakin pasukannya akan lebih mantap apabila berkunjung ke Chelsea Ahad.

Ini kerana United kembali diperkuatkan dengan kepulangan penyerang utama, Wayne Rooney, Nani dan Ashley Young yang pulih daripada kecederaan.

“Kemenangan hari ini amat penting tetapi ia cuma hari terakhir bulan Januari. Saya sering melihat apabila memasuki Mac adalah tempoh yang paling genting, dan kami pula akan menentang City, April ini, jadi kami perlu tumpukan kepada perlawanan besar itu.

“Kami berharap Wayne, Nani dan Ashley Young akan kembali memperkuatkan pasukan, Ahad ini. Kami telah mengharungi malam yang bagus hari ini, namun saya percaya persembahan kami boleh diperbaiki lagi hujung minggu nanti,” kata Ferguson. – AFP