Menyerlahkan seni reka Melayu Islam

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
Foto ABD. RAHMAN SALEH

SINGGAHSANA tempat persemayaman Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mempunyai ukiran bermotifkan pucuk rebung, sulur dan daun serta ukiran 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

PADA Disember ini, dijadual diadakan acara rasmi pertama di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Acara berkenaan adalah jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Para tetamu yang bakal menghadiri jamuan negara berkenaan sudah pasti akan teruja dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada kompleks yang terletak di kawasan seluas 96.52 hektar.

Istimewa

Pembinaan itu merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan kompleks istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam.

Kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah kebanggaan negara.

Arkitek terkenal yang mereka bentuk kompleks berkenaan adalah Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Darul Ehsan di Putrajaya.

Keunikan

Projek lain adalah Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam dan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur serta kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Kontraktor reka dan bina kompleks berkenaan pula adalah Maya Maju (M) Sdn. Bhd.

Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia berpeluang secara eksklusif meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan sebelum ia diserahkan kepada kerajaan pada bulan depan. Antara keunikan yang dapat dilihat adalah bilangan kubah iaitu 21 buah.

Cahaya

Pada kubah berkenaan terdapat reka bentuk seperti sisik sebagai tapak untuk dipasang lampu. Pada waktu malam, cahaya yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi seolah-olah seperti buah nanas. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada dua bangunan tertinggi negara iaitu Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, melangkah masuk ke lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan candelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan sebuah kilang di Kuala Selangor.

Sayap

Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Dari lobi utama, tetamu boleh memilih kawasan-kawasan khusus yang hendak dituju sama ada Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan.

Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta.

Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda serta bilik tetamu diraja.

Ukiran

Berbeza dengan Istana Negara lama di Bukit Petaling, Kuala Lumpur yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, kompleks istana baharu yang lebih luas membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja.

Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu dengan corak-corak seperti awan larat, bunga raya, bunga cengkih dan tumbuh-tumbuhan.

Corak sedemikian tidak banyak dilihat pada istana lama yang sebelum ini merupakan sebuah vila milik jutawan Cina bernama Chan Wing dibina pada 1928.

Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi atau muqarnas, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman Khalifah Uthmaniah di Turki juga turut kelihatan terutama pada binaan surau.

Dalam pada itu, tulisan ayat-ayat al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh penulis khat profesional tanah air, Abdul Baki Abu Bakar.

Pensyarah Seni Khat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini turut terlibat melakarkan ayat-ayat al-Quran di Istana Darul Ehsan, Putrajaya; Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surau Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Seni Khat

Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohamed Yusof Abu Bakar menggunakan khat jenis thuluth dan nasakh bagi menulis sebahagian ayat-ayat daripada surah al-Furqan dan at-Taubah.

Bahan yang digunakan untuk membuat tulisan ayat-ayat berkenaan adalah aluminium warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu.

Seperti binaan surau, hiasan dalaman keseluruhan kompleks berkenaan juga banyak menggunakan kayu daripada jenis mahogani.

Selain kayu, turut digunakan secara meluas adalah keluli tahan karat dan anti kulat termasuk untuk bahagian bumbung yang dikenali dengan nama komersial Clean Colorbond.

Keluli yang amat sesuai dengan cuaca panas dan lembab di negara ini turut digunakan dalam pembinaan hangar pesawat A380 Malaysia Airline System Bhd. (MAS), Pangkalan TUDM Sungai Besi dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Singgahsana yang menjadi tempat persemayaman Seri Paduka di Balai Rong Seri mempunyai ukiran tradisional Melayu, 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

Kemudahan

Ukiran berkenaan dilakukan oleh beberapa tukang ukir terkenal dari Terengganu yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada kompleks berkenaan adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya.

Ini berikutan hanya 28 hektar yang digunakan bagi pembinaan kompleks dan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan.

Kemudahan lain yang turut dibina di kompleks berkenaan adalah bangunan sokongan, rumah kediaman kakitangan istana dan polis, pejabat keselamatan, kem mini tentera, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta dan tempat meletak kenderaan bawah tanah.

Turut disediakan kemudahan lif, eskalator , tanjakan (ramp), klinik, tapak pendaratan helikopter, gelanggang untuk bersukan, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.

‘Mesej dari penjara’

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

Persembahan sketsa oleh penghuni penjara program Mesej Dari Penjara di Penjara Marang.

MARANG 15 Ogos – Haris (bukan nama sebenar), 22, berasal dari Pahang dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu dan ayah, apatah lagi dia anak sulung dalam keluarga.

Namun kasih sayang itu tidak langsung dihargai malah dia bagaikan membalas dengan tuba, apabila perbuatannya amat mengaibkan keluarga.

Sejak berusia 12 tahun, Haris mula merokok dan bersama rakan-rakan, mereka gemar ponteng sekolah sehingga pelajaran semakin terabai dan dia tidak lagi mempunyai cita-cita setelah dibuang sekolah.

Ketika meniti keremajaan, dia semakin bebas bergaul dan dan dua tahun lalu dia mula merengkok dalam penjara kerana merogol seorang remaja.

Haris masih tidak dapat melupakan bayangan betapa luluh jiwa ibunya yang kemudiannya rebah apabila melihat anak kesayangan digari di depan mata dan turut disaksikan jiran-jiran.

Malah Haris yang dihukum penjara selama enam tahun, tanpa dapat menahan tangisan dalam esakan secara terbuka mengulangi permohonan maaf kepada ibunya, walaupun tidak didengari kerana ibunya tiada di situ.

Permohonan itu dilafazkan ketika menyertai program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Selatan di penjara Marang dekat sini baru-baru ini.

Air mata penyesalan itu turut dirasai bersama lebih 100 pelajar terpilih di beberapa buah sekolah di negeri ini ketika dia menceritakan rentetan pengalaman hitam yang memusnahkan masa depannya.

Haris dalam sesi luahan itu mengingatkan para pelajar tersebut tidak melakukan perkara yang sama dilakukannya kerana masa depan mereka pasti gelap.

Katanya, hanya ibu dan anggota terdekat akan sentiasa bersama tetapi rakan-rakan ketika ‘berseronok’ dahulu langsung tidak mungkin bertanya khabar apatah lagi mengunjunginya.

Haris merupakan salah seorang pesalah juvenil sukarela yang berkongsi pengalamannya sempena Program Mesej Dari Penjara yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan banduan serta membolehkan bekas banduan kembali diterima di pangkuan orang ramai setelah tamat menjalani hukuman.

Pada program itu, tetamu juga dipersembahkan sketsa, drama dan nasyid oleh Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Marang selain turut berpeluang melihat pameran seni kraftangan yang dihasilkan oleh penghuni tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan; Ketua Seksyen Pemulihan Rawatan Penjara Malaysia, Darussalam Budin dan Pengarah Penjara Marang, Hamzani Che Berahim.

Seorang pelajar yang ditemui, Mohd. Taqullahizra Mohd. Khaira, 16, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang memberitahu, dia amat tersentuh dengan program berkenaan apabila dapat mendengar sendiri luahan pesalah juvenil itu.

Ujarnya, sebelum ini dia hanya memandang tembok batu itu dari luar dan tidak menyangka di sebalik tembok yang menghukum tersebut, banyak ilmu yang diperoleh dengan menyertai program berkenaan.

“Jika dulu saya menganggap banduan ini semua jahat namun setelah mendengar luahan pesalah terlibat, rasa kasihan timbul dan seharusnya masyarakat memberi peluang untuk mereka kembali,” jelasnya.

Sementara itu, Alzafry Mohamed Alnassif berkata, program itu akan diteruskan setiap tahun bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang pelbagai program yang diusahakan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk membolehkan kemasukan berulang penghuni dapat diatasi.

Katanya, melalui program seperti itu, masyarakat tidak lagi memandang sinis terhadap bekas banduan dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Luahan banduan diharap dapat memberi pengajaran, keinsafan kepada masyarakat luar.

“Sokongan semua pihak amatlah dituntut bagi membantu banduan dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran apabila kembali ke dunia luar serta menjadi warga negara yang produktif,” jelasnya.

Hak Raja Berperlembagaan

Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu bertitah di Majlis Wacana Ilmu di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, semalam.

Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan inayat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke Universiti Teknologi Mara untuk mengatur kata – merangkai ayat, mengungkap pandangan – menzahirkan pendapat atas mauduk ‘Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga’. Terkandung tiga kata kunci dalam mauduk yang akan dihuraikan; pertama: Institusi Raja Melayu, kedua: warga, dan ketiga: memupuk perpaduan.

Tema ini berpotensi mengundang pelbagai pandangan. Semoga di sebalik segala kepelbagaian pandangan itu, pada akhirnya nanti, kita akan bersua dalam satu laluan intelek yang membolehkan berlakunya pertemuan pemikiran secara objektif lagi rasional; menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu sebenarnya adalah satu kekuatan yang dapat membantu berlakunya perseimbangan dan konsensus dalam hasrat membina satu persefahaman – satu semangat, untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka, gagah lagi perkasa, adil lagi saksama, makmur lagi sejahtera.

Sembilan Raja Melayu bersemayam di takhta pemerintahan di sembilan negeri berdaulat sebelum terbinanya sebuah Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu, adalah gabungan sembilan negeri berdaulat dengan dua Negeri Selat, dilahirkan setelah mendapat perkenan sembilan Raja Melayu, diperluaskan kemudiannya dengan penyertaan Sabah dan Sarawak untuk membentuk negara Malaysia.

Perpaduan dimulakan dari puncak takhta pemerintahan, di antara Raja dengan pembesar negeri, di antara pembesar negeri sesama pembesar negeri, di antara rakyat sesama rakyat dan yang lebih utama di antara Raja dengan rakyat. Terungkap kata-kata kesetiaan, ‘Bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada’. Betapa pentingnya ikatan Raja dan rakyat itu terkandung dalam titah amanat Sultan Alauddin kepada anakanda Baginda,

Islam, adat dan muafakat merupakan serapah sakti dalam menggariskan tatanegara sosial dan sivil hingga berjaya mendaulatkan pemerintahan Raja Melayu serta berperanan sebagai perekat sosial terselindung, berupaya menyatupadukan warga; dan betapa dalam budaya Kerajaan Kesultanan Melayu, tiga elemen utama tersebut berjaya disepadukan, berperanan sebagai instrumen berkesan, membendung sebarang kemungkinan yang boleh mencetuskan persengketaan.

Memupuk perpaduan adalah impian besar, adalah hasrat besar – adalah tugas besar. Impian, hasrat dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu simplistic. Ia tidak dapat dicapai melalui sambutan berunsur perayaan – melalui pesta – melalui jamuan – melalui perhimpunan.

Ia tidak dapat dicapai melalui slogan, melalui nyanyian, melalui adukan pelbagai tarian dalam irama yang satu, melalui pakaian batik yang seragam. Ia tidak dapat dicapai melalui program politik yang berpihak – melalui program agama yang berpuak – melalui program berbentuk kosmetik.

Usaha memupuk perpaduan memerlukan ramuan yang lebih kreatif, pendekatan yang lebih efektif, pelaksanaan yang lebih konsisten, minda yang lebih terbuka, Lebih dari itu ia menuntut kepada perekayasaan dasar, menuntut kepada program bertindak yang realistik lagi produktif, lahir dari ketulusan hati – dicetus dari kejujuran niat; dibeningkan dengan sifat rendah diri – diheningkan dengan sifat yang tidak angkuh.

Ia memerlukan pelaksanaan yang bersungguh oleh individu – oleh organisasi – oleh institusi yang benar-benar komited; hingga gerak kerja dan pendekatannya benar-benar menyentuh sanubari warga – dihayati warga; hingga memberikan keyakinan kepada warga akan hasil dan nikmat dari kejayaan pelaksanaannya.

Peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara kebelakangan ini semakin bercanggah dengan semangat perpaduan. Ia lebih berbentuk menongkah arus. Ia lebih menjurus kepada perpecahan. Suhu politik negara semakin panas. Gendang politik semakin dipalu, suhu politik semakin membara, mendidihkan lava-lava persengketaan, menanti masa untuk meluap. Suara perpaduan semakin jauh dibawa angin.

Suasana politik semasa semakin mencalarkan nama negara. Negara sedang menghadapi ujian berbentuk krisis persepsi, akibat dari pertentangan politik yang semakin memisahkan. Sentimen dan emosi semakin menguasai pemikiran warga, fakta dan kenyataan semakin kehilangan kekuatan.

Semangat berunding – semangat bersefahaman – semangat saling menghormati bagai tidak diperlukan lagi. Senario ini menuntut negara – menuntut warga melakukan pemeriksaan semula asas-asas andaian sedia ada dalam menghadapi era perubahan dan dalam menghadapi tuntutan kepada perubahan yang berlaku pada kadar terlalu pantas.

Ada asasnya kepada tafsiran bahawa faktor agama, faktor kaum, faktor budaya dan faktor bahasa menjadi penyebab kepada perselisihan; sama ada dicetuskan dari penggunaan kalimah Allah atau dicetuskan dari penggunaan perkataan tertentu di dalam sebuah novel. Benar, peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit yang tercetus di antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi kita juga harus bertanya sama ada perselisihan kaum itu semata-mata berpunca dari rasa allergy dan tiada toleransi di antara Melayu dengan bukan Melayu.

Hakikat yang ditemui kemudiannya, memperlihatkan terdapat banyak elemen lain, yang sedikit demi sedikit menyemaikan benih-benih keresahan. Sentimen perkauman hanya dijadikan kuda tunggangan apabila keresahan sudah tidak dapat dibendung lagi.

Apabila pemimpin menyedari kesilapan, bersedia mengakui kelemahan, insaf dan memilih untuk bermuhasabah, maka akan dilimpahkan rahmat oleh Ilahi; dan Allah Yang Maha Berkuasa akan membimbing umat-Nya menemui jalan yang diredai.

Hari ini tidak bijak, jika negara dan warga memilih untuk menafikan realiti hingga kabur pandangan kepada sebab musabab sebenar yang menjadi punca menjejaskan perpaduan. Adalah benar, persaingan politik semakin sengit; adalah benar isu agama dan isu kaum amat sensitif.

Namun persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum, untuk mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati warga yang lebih rencam; menyentuh integriti, rasuah, penyalahgunaan kuasa, agihan kekayaan, sistem penyampaian, pengangguran, perumahan, inflasi, pendatang asing, kebebasan media dan bermacam-macam lagi, perkara-perkara yang menyentuh kehidupan harian rakyat, perkara yang generasi muda terpelajar menuntut kepada pembaharuan. Keresahan-keresahan warga kini semakin menyalakan sekam kemarahan.

Bagaimanakah Raja dapat berperanan secara bermakna, sekiranya Raja senantiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran. Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja; menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggung jawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga. Malah dibimbangkan perbuatan melindungi Raja dari kebenaran akan semakin memisahkan Raja dengan warga.

Amat sulit untuk membicarakan soal integriti, soal kenegaraan, soal kesetiaan dan soal perpaduan kepada warga yang sedang mengharungi tekanan hidup. Amat mudah sentimen warga dieksploitasi dan amat mudah untuk mereka termakan janji. Preskripsi yang menyembuhkan hanya dapat diberikan jika sindrom yang sebenar dikenal pasti; lalu membawa ingatan Beta kepada dialog di antara Bendahara Paduka Raja dengan Sultan ‘Alauddin ketika Baginda menziarahi Bendahara Paduka Raja yang sedang tenat sakit. Bendahara Paduka Raja secara tegas berdatang sembah dengan kata-kata berikut:

“Hendaklah jangan tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya, jikalau tuanku dengarkan sembah orang yang sedemikian itu akibatnya tuanku menyesal. Yang kehendak nafsu jangan tuanku turutkan, karena banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Taala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya.”

Petikan dari Sulalat-al Salatin

Berpandukan petikan tersebut amatlah penting untuk Raja tidak dilindungi dari kebenaran. Raja perlu disembah maklumkan secara berterus terang cerita sebenar. Raja jangan sama sekali dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri hingga Raja tergamak diperalatkan.

Di sebaliknya Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar. Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Istana mungkin dilindungi pagar tinggi secara fizikal, namun ia tidak menghalang kepada berita dan peristiwa menembusi jendela – menembusi pintu istana. Kerana Raja bukan monumen hiasan yang kaku – tanpa nyawa – tanpa jiwa, sekadar pelengkap, memenuhi adat rakyat beraja – negeri bersultan, sekadar simbol untuk menyempurnakan tugas-tugas keraian, sekadar hadir memenuhi acara dan istiadat.

Segala yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, ruang pendengaran dan ruang pertuturan Raja. Segala yang berlaku diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita, diimbangkan berita.

Hikmah dan kebijaksanaan amat penting untuk mentafsir secara saksama akan situasi rumit yang sedang berlegar dalam orbit negara ketika ini. Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan, tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua; tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama. Jika suhu politik semakin panas, dikhuatirkan impian untuk membina perpaduan mungkin akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.

Oleh itu perlu ada institusi yang credible untuk menurunkan suhu yang semakin panas; perlu ada institusi yang kekal berkecuali; institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana. Untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas segala polemik politik.

Tetapi Raja juga ada amanah – ada tanggung jawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun – secara damai. Raja perlu menggunakan kebijaksanaan akal bicara, memilih sebaik ketika dalam ruang kuasa yang diperuntukkan untuk menenangkan situasi. Namun Raja tidak ada lampu ajaib mengupayakan Raja memupuk perpaduan dalam sekelip mata – dengan sebaris kata, jika suasana sudah terlalu berkecamuk.

Sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberikan nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara akan tanggung jawab masing-masing supaya Raja tidak disalah tafsir mahu mencerobohi sempadan dengan mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Bahawa Raja Berperlembagaan turut memiliki tiga hak untuk memenuhi peranannya, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran yang boleh dilaksanakan secara bijaksana lagi berhemah.

Secara umum, peranan Raja terbatas bertindak atas nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja juga tidak harus sama sekali tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan amat bercanggah dengan semangat Perlembagaan, amat bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta amat melanggar prinsip keadilan sejagat.

Tugas lebih langsung terletak di bahu pelbagai instrumen negara. Kredibiliti beberapa instrumen negara memerlukan usaha pemulihan persepsi dan ada yang memerlukan penambahbaikan selaras dengan dinamik dunia semasa dalam hasrat mengembalikan keyakinan warga.

Senario politik negara selepas Pilihan Raya kedua belas sangat berbeza . Perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang. Perlu ada penerimaan kepada realiti. Perlu ada fahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. Perlu ada kematangan dalam menyampaikan teguran – perlu ada etika ketika menyuarakan kritikan.

Teguran dan kritikan untuk penambahbaikan, positif nadanya dan positif penerimaannya; tetapi teguran dan kritikan dengan tujuan mendatangkan keaiban peribadi dan merendahkan lawan politik, negatif coraknya dan negatif hasilnya. Perlu diterima hakikat menang kalah dalam demokrasi. Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan.

Ketika kesetiaan warga kepada negeri masing-masing begitu mendalam – ketika warga memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar memberi perkenan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan penubuhan sebuah Persekutuan, sebuah negara bangsa yang lebih besar dan lebih agung.

Sesungguhnya Sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik contoh semangat perpaduan dengan kerelaan menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing untuk membolehkan tertubuhnya sebuah Persekutuan di bawah konsep Federal isme. Majlis Raja-Raja adalah satu forum penyatuan membawa pemerintah negeri ke forum yang sama secara berkala dan telah membantu memperkukuhkan konsep Persekutuan.

Konsep Persekutuan yang dibentuk wajib difahami sedalam-dalamnya untuk memastikan berlaku keharmonian dalam hubungan Persekutuan dengan negeri. Perselisihan pemimpin akan mempengaruhi hubungan warga dan menjadi faktor penghalang kepada pencapaian perpaduan. Terkandung agihan kuasa di antara Pusat dan Negeri dan jaminan autonomi negeri secara selektif dalam bidang tertentu.

Pilihan raya kedua belas telah menukar landskap politik negara dan memerlukan tafsiran yang lebih konstruktif demi menjamin perpaduan warga tidak terjejas, demi mengelak tumbuhnya kembali sentimen kenegerian yang parokial sifatnya, yang berpotensi mencetuskan keretakan di kalangan warga.

Apa yang pada suatu ketika dahulu dianggap pada asas sebagai satu institusi Melayu kini diterima oleh semua pihak sebagai faktor penyatuan. Raja-Raja tidak sama sekali dipinggirkan malah merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat umum yang ketara memberi sumbangan kepada ketenteraman negara dan perpaduan warga.

Pemerintahan beraja di Malaysia pasti berupaya memenuhi peranan proaktif dalam memupuk semangat ‘satu komuniti – satu negara’ yang diimpikan. Disebabkan kedudukan istimewa mereka di dalam masyarakat, Institusi Raja-Raja bertenaga memenuhi peranan secara lebih bermakna.

Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan. Dalam dinamik politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi Raja untuk berada di atas segala yang sedang berlaku – bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, Institusi Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

Sebagai payung negara, Institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama seperti yang tersurat dalam salah satu dari Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, Institusi Raja bertanggung jawab memastikan kesucian Islam tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Raja adalah payung kedaulatan negara.

Payung kedaulatan negara ini jangan sama sekali dirosakkan – jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah pun turun. Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga – lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan.

Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta.

Duit syiling baharu mulai 1 Januari

DR. ZETY Akhtar Aziz menunjukkan syiling baharu semasa sidang akhbar di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Julai – Selepas 20 tahun, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan siri ketiga duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada 1 Januari 2012.

Siri ketiga duit syiling tersebut adalah bagi denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz berkata, duit syiling tersebut akan menggantikan duit syiling sedia ada dan ia adalah lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang menggunakannya.

”Duit syiling baharu ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan lebih baik bagi mengelakkan pemalsuan.

”Sementara itu, duit syiling sedia ada akan dikeluarkan dari pasaran secara beransur-ansur bagi memudahkan semua pihak termasuk vendor dan mereka yang menguruskan mata wang.

”Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memudahkan penggunaan duit syiling baharu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengeluaran duit syiling peringatan untuk siri ketiga duit syiling baharu Malaysia di sini hari ini.

Zeti berkata, pada bulan September ini, siri keempat wang kertas turut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Pengumuman lanjut mengenai wang kertas siri keempat itu akan dibuat pada bulan September dan ia turut memperkenalkan ciri-ciri keselamatan baharu,” katanya.

Tambah Zeti, ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi reka bentuk syiling baharu ini.

”Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraftangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

”Ia didatangkan dalam warna kuning dan perak mempunyai sisi tepi berbeza-beza bagi membolehkan orang ramai dan mereka kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling tersebut.

”Manakala logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling itu adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama,” jelasnya.

Reka bentuk duit syiling baharu itu bagi bahagian hadapan motif denominasi syiling lima sen, 10 sen dan 20 sen memaparkan 14 titik melambangkan 13 belas negeri serta Wilayah Persekutuan dan motif syiling 50 sen mempunyai lima garis mendatar bagi mewakili lima prinsip rukun negara.

Bahagian belakang pula bagi kesemua duit syiling memaparkan motif yang sama iaitu bunga raya, tahun penempaan, nilai muka duit dan perkataan Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, motif bagi setiap denominasi adalah seperti berikut, 50 sen menunjukkan sulur kacang, 20 sen bunga melur, 10 sen motif Orang Asli dan 5 sen dengan Destar Siga.

BNM telah mengeluarkan set syiling peringatan sebanyak 500,000 secara berperingkat-peringkat yang dipakej secara khas dan akan dijual pada harga RM10 bagi setiap set.

Duit syiling peringatan itu akan mula dijual oleh BNM esok di ibu pejabat BNM dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Pencemaran udara: Kementerian nasihat guna topeng muka

Cuaca panas dan kering ketika ini menyumbang kepada keadaan berjerebu di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai menggunakan topeng muka ketika melakukan aktiviti luar memandangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan mencatatkan bacaan sederhana.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka perlu bagi mengelak sebarang implikasi kesihatan yang tidak diingini.

“Selain memakai topeng muka, kita sarankan agar orang ramai minum air yang banyak kerana cuaca panas dan kering berkemungkinan akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Liver Update Kesembilan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Yayasan Hati Malaysia (MLF), Tan Sri Dr. Ismail Merican.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan wabak denggi sepanjang Julai hingga September kerana tempoh itu sering menyaksikan paras jangkitan tertinggi saban tahun.

Menurut beliau, bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 18 kes kematian dicatatkan berbanding 69 kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes denggi berjaya dikurangkan mencecah 57 peratus pada tahun ini, namun sepanjang tempoh ini orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati,” katanya.

ISTANA NEGARA YANG BARU

DR. Rais Yatim bersama rombongan ketika melawat Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Liow Tiong Lai dan Kamaruddin Siaraf. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 14 Julai – Jamuan negara sempena tamat tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Disember ini dicadangkan diadakan di Kompleks Istana Negara baru, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta di sini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jika kompleks itu siap sepenuhnya bulan depan, beliau akan memohon kepada Kabinet agar jamuan negara diadakan di situ.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Makan Tengah Hari bersama menteri anjuran Media Prima Berhad di sini hari ini.

Rais turut menyatakan rasa puas hatinya melihat hiasan dalaman kompleks itu mempunyai ciri-ciri warisan yang boleh menjadi khazanah kepada negara.

Pagi tadi, Rais meluangkan masa kira-kira sejam melawat lokasi pembinaan Kompleks Istana Negara baru bernilai RM800 juta itu. Lawatan itu turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rais, yang diiringi Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta pegawai Jabatan Kerja Raya, kemudian meninjau ke bangunan utama kompleks itu.

Pembinaan kompleks itu, yang merangkumi tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta), bagi menggantikan Istana Negara yang sudah digunakan sejak 1928.

Pelantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Disember 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya.

Mesyuarat itu turut mengisytiharkan pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga untuk tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada tarikh sama. – BERNAMA