Bersama dalam satu keluarga yang besar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Tetamu Kehormat…Abdul Taib Mahmud, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet Persekutuan dan negeri mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-51 di Dataran Kipas, Miri malam tadi. – UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
MIRI 16 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semenjak terbentuknya Malaysia 51 tahun lalu, rakyat negara ini telah menempuh pelbagai perubahan dan transformasi dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Sehubungan itu, katanya, dalam usia melebihi setengah abad, rakyat Malaysia seharusnya sudah mempunyai jati diri kental dan semangat patriotisme yang teguh terhadap negara.
Beliau berkata, hari ini, masyarakat dapat melihat kesinambungan jasa pemimpin terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara dan pengorbanan itu wajar disanjung dan terus diwarisi.
“Tuan-tuan dan puan-puan (rakyat Sarawak) yang hadir pada sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas Miri pada malam ini adalah penyambung warisan Sarawak merdeka dalam Malaysia.
“Apabila rakyat mengatakan bahawa Sarawak mendapat seribu satu macam rahmat merdeka dalam Malaysia, maka rakyat Sarawak menyatakan kemerdekaan Sarawak itu akan terus dipertahankan.
“Pada saya, kenyataan ini yang menyebabkan kita (orang luar) yang datang ke Sarawak, saya rasa isteri, saya rasa menteri Persekutuan bila kita turun ke Sarawak…turun ke Sabah, kita merasakan kita bersama dalam satu keluarga yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-51 Tahun 2014 di Dataran Kipas di sini malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Menurut Najib, dalam tempoh 51 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini telah kukuh perasaan kekeluargaan setelah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan.
“Pasukan keselamatan kita dari Semenanjung menitiskan darahnya di Sarawak dan Sabah untuk mempertahankan kemerdekaan di kedua-dua negeri ini.
“Kita juga menghargai pejuang dari Sarawak dalam pasukan polis yang turut berkorban nyawa kerana mempertahankan kemerdekaan negara kita,” katanya.
Tambahnya, setelah ‘berjalan’ jauh selama 51 tahun, beliau percaya dalam hati sanubari sebahagian besar penduduk Sarawak dan Sabah, mereka tidak menyesal dengan keputusan menyertai Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak juga tidak akan patah semangat untuk terus pertahankan kemerdekaan negara.
“Kita akan terus pertahankan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia dan saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab dan kewajipan saya ialah kalau ada pihak cuba menggugat kedaulatan kita, keselamatan kita, maka hendaklah mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang yang ada,” tegasnya.
Dalam pada itu, Najib mengakui Malaysia ibarat sebuah keluarga yang besar dan sememangnya kadang kala akan timbul beberapa masalah berbangkit dan beliau sebagai ketua keluarga sanggup mendengar apa sahaja suara yang dinyatakan dalam keluarga.
“Kalau Ketua Menteri Sarawak minta sesuatu (mengikuti) kehendak rakyat Sarawak, kalau Ketua Menteri Sabah minta sesuatu kehendak rakyat negeri Sabah dalam Malaysia, maka menjadi tanggungjawab saya mesti mendengar dan memberi pertimbangan yang sewajarnya.
“Dalam perhimpunan malam ini, saya nak nyatakan bahawa kehendak dan suara rakyat Sarawak dari kerajaan negeri Sarawak pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya dengar permintaan rakyat nak tambah pendapatan Sabah dan Sarawak daripada hasil minyak. Kita bersikap terbuka, kerajaan Pusat bersedia menimbang apa yang patut untuk memberi pendapatan yang lebih kepada negeri Sarawak,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_01/Bersama-dalam-satu-keluarga-yang-besar#ixzz3DYM6TLJS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Merdeka bukan bererti bebas menghina orang lain

oleh Hassan Mohd. Noor
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan bersedia ‘membina semula Gaza’ yang musnah akibat serangan Israel. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bagaimanapun berkata, pembangunan semula itu adalah buat kali yang terakhir. Beliau bertanya, adakah kita perlu terus begini…bina, musnah dan bina dan musnah? Hanya keamanan berkekalan di Gaza dapat menghentikan kitaran penderitaan di Gaza. PBB boleh membina semula Gaza walaupun kosnya dilaporkan sebanyak RM19.1 bilion. Masjid, rumah, sekolah, hospital, bangunan boleh dibina semula tetapi nyawa manusia akibat pembunuhan beramai-ramai terutama melibatkan kanak-kanak yang sedang membesar bolehkah dikembalikan semula? Setiap sesuatu yang bernama binaan boleh dibina semula walaupun ia tidak sama seperti yang asal. Manusia sebagai arkitek boleh membina sama ada serupa atau lebih baik lagi akibat sesuatu kemusnahan itu. Ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau setahun dua mengikut kecekapan dan kepantasan manusia bekerja. Begitu juga tanaman dan ternakan yang musnah, boleh dikembalikan dengan penanaman semula.
Bagaimana pula dengan kehilangan anggota badan akibat peperangan? Adakah boleh dikembalikan kepada asal? Adakah kaki atau tangan palsu berupaya berfungsi seperti yang asal? Nyawa tidak ada galang gantinya. Tubuh badan yang cedera atau hilang tidak mampu dikembalikan, sama seperti yang asal. Begitu jugalah dengan perpaduan di dalam sesebuah negara. Bukan mudah untuk ‘membina semula’ perpaduan yang hancur dalam kalangan penduduk berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan agama. Kehancuran perpaduan akan membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Memetik risalah Rukun Negara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, tanpa perpaduan, negara akan lemah dan boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas, berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang hebat adalah rakyat yang memegang teguh kepada Rukun Negara. Lima prinsip Rukun Negara sekiranya diamal dan dipraktikkan mampu menjadikan seseorang itu hebat dan seterusnya mengukuhkan kedaulatan negara.
Hari ini selepas 57 tahun merdeka, di manakah kedudukan perpaduan kita? Adakah semakin kukuh atau sedang menuju kehancuran? Selak pernah memperkatakan tentang isu ini di bawah tajuk Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka. Selak menimbulkan persoalan ini dengan bertanya: ”Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ?kebebasan kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?”.
Ketika itu, dalam usia 53 tahun, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran. Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan. Semuanya ini ada puncanya. Banyak perkara yang jijik ?dihalal atau dibolehkan disebabkan politik atau dipengaruhi provokasi politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik. Hakikatnya peraturan dan adab sopan sudah berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu. Kehadiran pelbagai media sosial menambah ‘kebebasan’ ini.
Menyelak kembali kelahiran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara, ia lahir selepas Majlis Perundangan Negara merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Sebelum itu, hubungan kaum semakin keruh apabila parti-parti politik membuat provokasi antara satu sama lain yang akhirnya membawa kepada pergaduhan dan semakin serius sehingga mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kesan peristiwa itu, kerajan mencari formula bagi mengatasi masalah pergaduhan kaum supaya ia tidak berulang. Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, tiga menteri iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan. Akhirnya majlis itu merumuskan satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Maka lahirlah Rukun Negara. Lima prinsip yang digariskan ialah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan.
Begitulah lahirnya Rukun Negara. Apakah rakyat masih ‘berpegang’ kepada prinsip-prinsip Rukun Negara? Sejak kebelakangan ini, ada banyak pihak yang bertindak kurang sopan, kurang ajar, biadap, menunjukkan keangkuhan yang melampaui prinsip Rukun Negara. Ada yang berlagak seolah-olah kuasa di tangan mereka dan tidak perlu tunduk kepada pihak yang lebih berkuasa. Rasanya tidak perlu diulas panjang lebar mengenai isu ini. Orang ramai tahu siapa mereka.
Adakah pada suatu hari nanti, lima prinsip Rukun Negara hanya tinggal hiasan? Hakikatnya, merdeka bukan bererti kita bebas menghina sesiapa sahaja. Dalam kita menegur seseorang, elakkanlah menggelar dengan nama-nama yang kurang baik dan tidak enak didengar sehingga boleh menimbulkan kemarahan. Tidak dinafikan ada pihak yang cuba menimbulkan provokasi bagi menimbulkan kemarahan orang lain. Bertindaklah secara rasional, jangan terdorong oleh perasaan angkuh dan sombong.
Selak juga terpanggil untuk mengulas serba sedikit mengenai apa yang berlaku di Pulau Pinang. Isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP pada Mei 2011. Tujuan awalnya dikatakan untuk membantu pihak berkuasa keselamatan menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan. PPS dianggotai 937 orang dengan 46 pasukan dan selepas tiga tahun, bilangannya meningkat kepada 9,002 orang dengan 299 pasukan. Dalam tempoh itu, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai yang kurang senang dengan PPS yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan. Terdapat juga dakwaan, anggota pasukan itu mengasari seorang jurugambar dan aktivis sosial mendakwa dipukul. Berikutan aduan aktivis sosial itu, ada juga yang mengaitkan penglibatan PPS dengan gangster tetapi kerajaan DAP menafikannya sebaliknya menyifatkan pertubuhan itu dijadikan ‘kambing hitam’ oleh individu tertentu untuk mengkritik dasar kerajaan negeri.
Isu ini semakin panas apabila Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pasukan yang tidak berdaftar dan dianggap menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan. Beliau menegaskan tindakan menangkap anggota PPS akan dilakukan sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.
Dari situ bermulalah serangan oleh Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Khalid. Sesiapa yang mende­ngar ucapan Guan Eng tentu dapat merasai keangkuhan Ketua Menteri itu dalam menangani isu ini. Tidak sewajarnya seorang yang digelar sebagai pemimpin bertindak demikian. Ini bukan kali pertama, Guan Eng menunjukkan keangkuhannya. Ramai pemimpin yang ‘pernah bersamanya’ membuat teguran termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas anggota Parlimen PKR termasuk Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tidak kurang juga kalangan pemimpin parti di peringkat akar umbi.
Mansor pernah menggelar Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan tokong. Tunku Abdul Aziz pula menyifatkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang tidak boleh diusik. Apakah yang sedang berlaku sekarang menunjukkan beliau adalah?ketua menteri yang benar-benar berkuasa seperti slogan yang pernah menjadi kempen pilihan raya umum (PRU) parti itu semasa diterajui oleh Lim Kit Siang? Ketika itu, pada 1995, muncul poster Kit Siang (sebagai Setiausaha Agung DAP) yang tertera perkataan CHIEF MINISTER WITH POWER – Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik lagi ada watak Robocop menghiasi poster itu. Adakah, masanya kini telah tiba untuk menunjukkan kuasa?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140901/re_05/Merdeka-bukan-bererti-bebas-menghina-orang-lain#ixzz3CDwjTxnW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Najib garis tiga Amanat Merdeka

PERDANA Menteri melaungkan ‘Merdeka’ ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 di Matic, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 30 Ogos – Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang adalah antara tiga Amanat Merdeka yang digariskan Datuk Seri Najib Tun Razak demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.
Perdana Menteri menggariskan:
* Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.
* Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan.
* Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera.
Berucap menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-57 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, beliau berkata, mengukuhkan solidariti rakyat ketika kebersatuan dalam kesedihan, sebagai contoh, dalam istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.
Ini merupakan julung kalinya Najib menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa.
Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.
Najib dalam amanat merdeka pertamanya itu menjelaskan rakyat bertafakur serentak selama satu minit di seluruh negara sebagai solidariti dan semangat kebersatuan demi membina satu Negara, 1Malaysia.
“Pokoknya, saudara dan saudari, kita telah tunjukkan kebersatuan itu sewaktu Hari Berkabung di seluruh negara tempoh hari, dan kita akan teruskan semangat kebersamaan di kala senang mahupun tatkala dalam kesusahan, selamanya,” katanya.
Dalam menghuraikan amanat merdeka keduanya mengenai memupuk keyakinan rakyat itu, beliau berkata masa depan yang cerah akan menjadi milik semua jika rakyat mempunyai ikhtiar-ikhtiar yang mantap dan hidup saling ganding-bergandingan, demi sebuah hasrat yang murni itu.
Najib berkata, pentadbirannya akan terus membuat keputusan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia berlandaskan keperluan, tuntutan dan kemampuan kerajaan.
Menyentuh mengenai amanat merdeka ketiga iaitu mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera, beliau berkata: “Walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, kita akan terus mara dan melangkah ke depan, membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak-anak cucu kita”.
Najib seterusnya mengajak rakyat sama-sama berusaha gigih menggapai kejayaan demi generasi akan datang.
Pemilihan Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai lokasi penyampaian perutusan itu kerana ia mempunyai sejarah tersendiri termasuk ia tempat sidang pertama Parlimen pada 1959 dan tempat berlangsungnya tiga istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Najib turut menyentuh mengenai usaha pembangkang yang cuba memecahbelahkan rakyat dalam masa pentadbirannya mempunyai tanggungjawab cukup besar demi mendahulukan kepentingan rakyat.
“Makanya, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadudombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tetap dipertahankan,” katanya.
Beliau juga menegur sesetengah pihak yang mempertikaikan pengiktirafan kerajaan kepada para perajurit dan anggota keselamatan.
“Apa yang ingin pihak kerajaan jelaskan, usahlah diperbanding-bandingkan, tentang penghormatan tertentu yang diberikan kepada mangsa tragedi MH17 bahawa kononnya kenapakah istiadat tertinggi sedemikian tidak diwajarkan juga kepada para perajurit dan anggota keselamatan dalam peristiwa Lahad Datu,” katanya.
Najib berkata, hasutan itu adalah memesongkan dengan niat yang tidak baik.
“Jelasnya, sekali lagi saya menegaskan bahawa jasa para wira negara ini akan sentiasa disanjung tinggi dan mendapat tempat utama dalam kenangan bakti yang telah dicurahkan,” katanya. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140831/dn_01/Najib-garis-tiga-Amanat-Merdeka#ixzz3C7rhnkCE  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Nostalgia, terbitkan rasa cinta negara

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
SEKUMPULAN kanak-kanak riang bersama gurunya, Mazlina Ibrahim (belakang kanan) dari Tadika Permatang Binjai pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.
PENULIS lahir selepas kemerdekaan negara, tatkala Malaysia baharu merasai nikmat kebebasan, tatkala kebanyakan universiti kita belum ada. Penulis dilahirkan di sebuah kawasan sawah padi dan dibesarkan oleh ibu bapa yang merantau di kawasan pedalaman Kedah yang sebahagian besarnya bergantung kepada kebun getah.
Di kampung ketika itu, belum ramai yang ada televisyen. Kami menonton televisyen hitam putih di satu-satunya rumah jiran di Kampung Kura dan bersekolah di Kampung Padang Cicak. Namanya pun sudah menggambarkan segala-galanya ketika itu. Untuk menonton tayangan cerita Melayu (selalunya pada hari jumaat Malam Sabtu) kami perlu bayar untuk tuan rumah membeli minyak bagi menghidupkan generatornya.
Kesusahan hidup adalah perkara biasa bagi kami. Baju sekolah bertukar semasa hari raya, itu pun bergantung kepada hasil getah torehan yang dijual ayah dari kebun milik orang. Rumah ala kadar yang berdindingkan buluh yang dianyam. Belajar dan membaca buku menggunakan lampu minyak tanah. Jika hujan mencari tempat yang tidak ditimpa air hujan dari bumbung nipah yang berlubang.
Namun sehingga kini, kehidupan di kampung tetap nostalgia indah. Terdapat juga sedikit tanah sawah yang dijadikan tempat bermain wau selepas musim menuai. Atau menahan ikan air tawar di saliran air dari paya atau tatkala padi menghijau. Sesekali bermain di saliran air jernih yang melalui pokok rumbia dan hutan di tepi sawah.
Ayah tidak mampu membeli buku untuk dibaca. Peluang menikmati buku baharu ialah apabila guru sekolah yang menjaga perpustakaan memberi peluang untuk meminjam dan membacanya segala cerita apatah ketika itu, anak-anak kampung manalah sangat minat membaca. Atau sesekali guru yang rumahnya di pekan berhampiran membeli buku Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar untuk dibaca.
Hari ini segala-galanya jauh berubah. Cerita di atas dianggap hanya dongengan kepada anak-anak hari ini. Namun kesusahan dan kesukaran itulah yang menjadikan kecintaan kepada tanah air yang satu ini amat mendalam.
Ada ketikanya tertanya-tanya, adakah kesenangan hidup dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini menjadikan ramai yang ambil mudah dan memandang remeh segala usaha yang dibuat selama ini?
Penulis masih ingat cerita seorang pakar ekologi terkemuka negara, Profesor Dr. Mashhor Mansor yang amat berterima kasih kepada kerajaan yang menghantarnya belajar di Indonesia tatkala negara menghadapi krisis besar di universiti apabila sebahagian besar tempat hanya diisi oleh sekumpulan elit masyarakat.
“Dasar-dasar yang dibangunkan dan dilaksanakan termasuk membangunkan sekolah-sekolah elit Inggeris dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada anak-anak Melayu ketika itu membolehkan ramai yang hari ini menjadi tokoh-tokoh ilmuan dan pemimpin masyarakat yang hebat,” kata Mashhor.
Adalah penting untuk anak-anak muda hari ini memahami sejarah pendidikan negara. Mereka yang banyak mengkritik dan memperlekehkan sistem pendidikan negara ini, malah melihat pencapaian negara dengan pandangan sinis seharusnya sedar diri dan melihat kembali segala susah payah yang dilalui sebelum ini.
Bukanlah salah untuk mengkritik, tetapi ramai yang hanya tahu mengkritik dan mengubah apa yang ada, sedangkan kesukaran yang dilalui selama ini tidak pernah dirasai dan dihargai.
Agak malang juga, kerana begitu ramai mereka yang menikmati kesenangan dari dasar dan usaha yang dilakukan, hari ini tidak segan silu menentang dan menyalahkan pelbagai perkara.
Sedangkan alangkah baiknya, jika setiap rakyat memainkan peranan bekerjasama, bertolak ansur, menghargai kepelbagaian dan memahami serta menghormati sejarah bangsanya yang ditunjangi oleh tokoh negarawan yang berfikiran jauh ke hadapan dan begitu teliti dalam tindakan demi memastikan kelangsungan kesejahteraan sebuah negara.
Berapa ramai yang cemburukan apa yang kita capai selama ini. Ramai rakyat di negara-negara lain yang membayar dengan harga yang mahal untuk mencapai ketenteraman dan keharmonian yang kita kecapi ini.
Lihat sahaja bumi Palestin yang terus bergolak. Bagi mereka yang selama ini menganggap nilai kebebasan termasuk kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik, di manakah suara-suara ahli akademik dunia termasuk yang sering melaungkan suara keamanan dan penindasan terhadap nasib malang anak-anak Palestin dan lebih 2,000 jiwa yang melayang termasuk apabila Islamic University of Gaza turut cuba dimusnahkan?
Begitu juga dengan apa yang berlaku di Syria, Libya, Mesir malah banyak lagi negara bergolak lain yang rakyatnya hidup dalam ketakutan.
Pernahkah kita mengucapkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita kecapi selama ini atau kita menjadi duri dalam daging merosakkan segala yang ada, dengan melaga-lagakan sesama rakyat, menghina dan menjatuhkan pelbagai institusi yang ada, menggunakan pelbagai media sosial untuk menanamkan kebencian sesama sendiri apatah lagi tidak bersikap bijaksana dalam setiap kata-kata dan tindakan yang diambil?
Kemiskinan dan kesusahan bukanlah masalah besar kepada kita. Namun kejahilan dan kejumudan pemikiran, terpengaruh dengan pelbagai hasutan, sikap ingin berkuasa dan tamak haloba, tidak berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang ada dan mengambil mudah terhadap masa hadapan bangsa dan negara – itulah cabaran dan masalah besar dalam memaknakan kemerdekaan negara.
Maka pada ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-57 dengan tema Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, ia menuntut kita memaknakan kecintaan yang disemai dan dizahirkan. Yang ditunjukkan melalui sikap matang dan sedia berkorban di antara kepentingan diri dengan kepentingan masyarakat dan negara.
Janganlah kekecewaan peribadi apabila gagal mencapai sesuatu menyebabkan kita menyalahkan orang lain. Atau apabila nilai kita tidak diterima, bukan bermakna kita perlu putus asa, sebaliknya membuat muhasabah diri dan terus berjuang dengan cara kita untuk memastikan negara ini akan terus sejahtera dan dapat diwariskan kepada anak cucu cicit kita nanti.
Nikmat kesenangan dan kemewahan yang dirasai hari ini harus terus dipertahankan. Hanya mereka yang pernah jatuh terluka yang tahu nilai kebahagiaan sebenar yang dinikmati.
Tanyalah ibu bapa atau datuk, nenek moyang kita yang akan terus tidak jemu bercerita tentang perjuangan dan kesusahan hidupnya tetapi tetap rasa bahagia berbanding kita yang memiliki segala-galanya, tetapi hidup resah gelisah dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Merdekakah kita?
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140829/re_01/Nostalgia-terbitkan-rasa-cinta-negara#ixzz3C7WRrXwi  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Perkabungan, Jalur Gemilang, Melayu

Oleh Hassan Mohd. Noor
JANGAN MENGGURIS PERASAAN
HARI Perkabungan Negara berjalan lancar dan berlangsung dengan baik. Inilah kali pertama hari perkabungan melibatkan orang awam. Sudah tentu banyak cabaran yang dihadapi dalam memastikan hari bersejarah itu akan diingati bukan sahaja oleh keluarga mangsa MH17 tetapi juga rakyat seluruhnya. Hari perkabungan ini memanglah sesuatu yang luar biasa kerana ia melibatkan orang awam. Usahlah dipertikaikan apa yang sudah berlaku. Macam-macam isu dibangkitkan sama ada soal warna pakaian dan acara yang disusun sebagai tanda penghormatan. Acara yang berlangsung mungkin tidak diminta oleh keluarga mangsa tetapi hakikatnya, kerajaan mahu memastikan semua mangsa diberi penghormatan. Mereka bukannya anggota pasukan keselamatan yang gugur di medan perang. Mereka hanyalah penumpang dan petugas di dalam pesawat komersial, bukannya pesawat tentera.
Mereka menjadi mangsa akibat konflik yang berlaku di negara orang. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka mangsa pembunuhan beramai-ramai. Malangnya ada pihak yang cuba mengadu-domba masyarakat dengan menuduh kerajaan mempunyai agenda tertentu dan mengaitkannya pula dengan penghormatan terhadap perwira Lahad Datu. Tidak perlulah kita bercakap perkara yang bukan-bukan sehingga menjurus kepada penyebaran fitnah walaupun ia bertujuan meraih simpati orang ramai dan pihak tertentu.
Hotrmatilah keluarga mangsa serangan terhadap MH17. Inilah salah satu sikap orang kita yang suka mencari kekurangan dan kelebihan dalam satu-satu perkara, seolah-olah ‘tidak ada kerja’. Lebih mendukacitakan apabila ada yang menyifatkan anggota tentera terlibat dalam istiadat penghormatan Jumaat lepas seperti hamba abdi. Dalam hal ini Selak tertarik dengan kenyataan Lans Koperal Mohd Sadiq Zakariah semalam yang mengawal diri menahan sebak ketika mengusung jenazah bapa saudara pupunya, penyelia penerbangan kabin, Mohd Ghafar Abu Bakar kerana tidak mahu ‘mencacatkan’ perjalanan istiadat penghormatan jenazah.
Beliau begitu cekal mengingatkan diri bahawa kegagalan menahan diri akan menghilangkan kepercayaan kepadanya, memandangkan beliau sendiri membuat permohonan supaya dibenarkan untuk mengusung arwah. Anggota tentera daripada Unit Istiadat 1 Regimen Askar Melayu Diraja itu berkata ia juga merupakan jasa terakhir yang boleh disumbangkan kepada keluarga arwah.
Sehari sebelum itu, beliau mengakui begitu sedih ketika mengusung jenazah orang yang tidak dikenalinya, iaitu keranda Foo Ming Lee. Begitulah perasaan sedih seorang anggota tentera yang terlibat dalam urusan pada Hari Perkabungan Negara. Hentikanlah berkata sesuka hati kononnya untuk menegakkan kebenaran sedangkan hakikatnya, ia lebih banyak mengguris perasaan banyak pihak. Ingatlah jika anda berada dalam kedudukan keluarga mangsa. Apakah perasaan anda jika mangsa tragedi itu adalah suami, isteri, ibu, bapa, anak, cucu, adik, abang, kakak, nenek, saudara mara, sahabat atau sesiapa sahaja yang mempunyai pertalian rapat dengan anda.
SEKAKI PAYUNG PERCUMA
KETIKA ini, kita memasuki minggu terakhir menjelang 31 Ogos 2014, menandakan genap 57 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudahkah anda sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah atau di mana sahaja? Mungkin kibaran bendera itu tidak semeriah hebatnya bendera parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Jika pada PRU atau PRK, kita dapat melihat bendera parti politik berkibar megah sehingga di puncak bukit atau di pucuk pokok tetapi kibaran Jalur Gemilang mungkin tidak sehebat itu.
Walaupun tidak sehebat semasa pilihan raya, sekurang-kurangnya masih ada yang bersedia mengibarkan Jalur Gemilang. Ada juga yang memperkecilkan Jalur Gemilang ini dengan nama yang memalukan. Ada juga Jalur Gemilang yang dimamah usia, koyak rabak dan lusuh. Adakah tidak mampu untuk membeli?
Berapa banyak syarikat yang menyumbang bendera secara percuma? Dalam hal ini, saya tertarik dengan kempen pembelian petrol anjuran Petronas. Setiap petrol yang disi bernilai RM20 akan mendapat cop di dalam satu kad penyertaan. Kad yang lengkap dengan 10 cop (bermakna RM200) akan mendapat sekaki payung yang boleh ditukar di mana-mana Kedai Mesra.
Malangnya banyak rungutan yang didengar. Sejak awal lagi, saya sudah menduga perkara ini akan berlaku. Tempoh pengumpulan cop bermula pada 20 Julai hingga 15 September manakala penebusan sehingga 30 September 2014 atau stok masih ada. Apabila ‘diikat’ sehingga stok masih ada, maka pihak berkenaan boleh menghentikan tawaran itu pada bila-bila masa. Rungutan yang diterima, setiap kali mahu ditukar, petugas akan berkata, stok sudah habis, esok pagi ada; pagi tadi sampai tapi sekarang sudah habis; boleh tukar di mana-mana stesen dan macam-macam lagi. Ada juga yang memberitahu, seorang petugas melekatkan ayat ini di bajunya: Jangan tanya saya pasal payung, stress.Ada rakan memberitahu, beliau sudah lengkap 10 kad tetapi sekaki payung pun tidak dapat. Mungkinkah jumlah payung terhad disebabkan kos tinggi. Ada juga yang berkata, tawaran itu hanyalah gimik. Sepatutnya stok sentiasa ada, mengikut jumlah kad. Jika satu juta kad dikeluarkan, biarlah satu juta kaki payung tersedia. Biarlah setiap pemilik kad yang lengkap memperolehnya.
Sebenarnya, bukanlah pengguna kemaruk dengan payung tetapi apabila barang percuma di depan mata, ambil sajalah. Jika tidak ada tawaran itu pun, pengguna tetap mengisi petrol. Eloklah sebagai menghargai setiap pelanggan yang setia, Petronas menyediakan `hadiah’ yang benar-benar mencukupi. Mungkin sediakan Jalur Gemilang yang kosnya lebih murah supaya setiap pelanggan memperolehnya. Seperkara lagi, cuba selak balik apakah ganjaran yang diberikan oleh syarikat yang menjual petrol jenama lain. Amat malang, khidmat mesra bertukar tidak mesra hanya kerana sekaki payung, lebih-lebih lagi pada hari hujan.
BANGSA YANG MENUMPANG
SEMALAM, berlangsung lagi beberapa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara. Salah satu ucapan yang menarik perhatian ialah yang disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Dalam ucapannya di Paroi, Menteri Besar itu berkata, perjuangan UMNO yang dibanggakan selama ini akan menemui noktah menyedihkan sekiranya kuasa politik Melayu lenyap dalam PRU akan datang. Beliau menjelaskan, krisis perpecahan Melayu yang hanya disebabkan perbezaan ideologi politik bukan sahaja merugikan bangsa sendiri bahkan dijadikan sebagai ‘peluru’ besar yang menguntungkan musuh politik. Kebimbangan itu kata beliau, mempunyai asas kerana pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang menerusi fitnah, tohmahan dan paling dibimbanginya usaha memasukkan Singapura ke dalam negara ini.
Berhubung perkara yang sama, Selak tertarik dengan petikan kata-kata oleh Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohammad. Tidak pasti sama ada itu kata-kata itu benar atau sebaliknya. Begini bunyinya: Kalau bangsa Melayu tidak menyedari hakikat perjuangan, dalam masa yang tidak lama lagi, bangsa Melayu akan tenggelam dalam gelombang bangsa yang menumpang. Terserah kepada orang Melayu untuk membuat penilaian. Bukanlah tujuan untuk membangkitkan sesuatu yang dianggap rasis tetapi sekadar untuk mengingatkan tentang sesuatu yang harus diperjuangkan oleh orang Melayu demi agama, bangsa dan tanah air.
Selak juga ingin berkongsi lagu Tanah Melayu Tanah Airku, lagu lama yang muncul dalam facebook. Walaupun Tanah Melayu sudah hilang, tetapi mengambil semangat merdeka ini, elok diturunkan antara bait-bait lagu itu iaitu Aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawanku, marilah bersama-sama, kita bela Tanah Melayu, aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawan ku. marilah bersama-sama kita bela Tanah Melayu, lautnya biru terhampar, pasirnya putih memanjang, Semenajnung Tanah Melayu, memang indah dipandang, siapa yang tak kasih sayang, siapa yang tak rindu dendam, Semenanjung Tanah Melayu, tanah tumpah darahku, itulah kawan-kawanku, marilah kita bersatu. berkerja, sama berdoa, agar Tanah Melayu jaya.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140825/re_03/Perkabungan-Jalur-Gemilang-Melayu#ixzz3BNnMCqE0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Zahirkan cinta kepada negara

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan THOMAS CHONGNAR 
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 18 Ogos – Orang ramai di seluruh negara diminta mengibarkan bendera Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-57 negara pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, biarpun sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini dibuat secara sederhana bagi memperingati mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan MH370, kempen mengibarkan Jalur Gemilang tetap diadakan sebagai tanda cinta kasih pada tanah air.
“Kibar bendera Jalur Gemilang merupakan satu tuntutan untuk menzahirkan sebuah cinta kepada bumi bertuah bernama Malaysia, tetapi kali ini kita tidak raikan dengan bunga api, keceriaan dan kerancakan seperti yang lazim dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Beliau berkata, biarpun seluruh negara masih bersedih dengan insiden yang berlaku terhadap kedua-dua pesawat MAS itu, rakyat seluruh negara tidak pernah patah semangat.
Katanya, insiden tersebut menjadikan seluruh rakyat negara ini bersatu dalam menzahirkan penghormatan serta menuntut pembelaan bagi mangsa terlibat.
Ahmad Shabery berkata, walaupun apa terjadi, Malaysia perlu berdiri lebih gagah dan perkasa berbanding sebelum ini dengan mempertahankan maruah negara tercinta.
“Mari kita kibarkan bendera bukan hanya dengan tangan-tangan tetapi dengan hati walau apa pun terjadi pada Malaysia kita perlu berdiri gagah, Malaysia pada hari esok mesti lebih perkasa dari hari ini.
“Kehibaan tidak bermaksud kita patah semangat tetapi kita tetap menaikkan bendera Malaysia setinggi mungkin, sebanyak mungkin dan semegah mungkin,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140819/dn_03/Zahirkan-cinta-kepada-negara#ixzz3AoAgwJJV  © Utusan Melayu (M) Bhd