Putra Merdeka: Tak Saman Lagi..???

Putra Merdeka: Tak Saman Lagi..???: Sabar la..! kena tunggu..! Q..! Tengah fikir hari apa yang sesuai..! Selasa WSJ dah ambil..! mungkin Sabtu sesuai kot..! Sabtu bila? min…

Advertisements

POLITIK : Anifah pernah 
ditawar RM100 juta

Jika setuju sertai pakatan pembangkang
SUWARNI MOKHTAR | 28 November 2014 1:58 AM
Anifah Aman
KUALA LUMPUR 27 Nov. – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau pernah ditawarkan wang sebanyak RM100 juta sebagai dorongan untuk dirinya agar membawa masuk beberapa ahli Parlimen dari Sabah menyertai pakatan pembangkang.
Menurut Anifah, tawaran tersebut diterima daripada seorang tokoh korporat yang dikenali dengan nama Ishak Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sekitar tahun 2008.
Walau bagaimanapun beliau tidak dapat mengingati sama ada tawaran berupa wang itu dibuat sebelum atau selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya melalui telefon sekiranya bersetuju untuk ‘lompat parti’.
Menjawab mengenai perbualan telefonnya dengan Anwar sekitar Mei dan Jun 2008, Anifah telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak berminat untuk berpaling tadah daripada Barisan Nasional (BN).
Menteri itu turut menyatakan, beliau berkemungkinan ditawarkan kedudukan (jawatan Timbalan Perdana Menteri) ekoran ucapannya mengkritik kerajaan kerana kurang memberikan jawatan menteri kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak selepas pilihan raya umum pada 2008.
“Anwar mengenali saya dan selepas apa yang saya nyatakan di Parlimen ketika itu, saya menjadi sasaran oleh Anwar untuk merealisasikan kerajaan 16 September beliau. Tambahan pula, terdapat beberapa orang ahli Parlimen dari Sabah yang akan mengikut saya sekiranya berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama ahli Parlimen yang rapat dengannya.
Anifah memberitahu, sebelum Anwar membuat panggilan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya, sudah terdapat beberapa usaha untuk menarik beberapa ahli Parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak namun beliau dan beberapa lagi telah membuat ketetapan untuk tidak berpaling tadah.
Anifah atau nama sebenarnya, Anifa Aman @ Haniff Amman, 61, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Razlan Hadri Zulkifli pada perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar selaku plaintif terhadapnya.
Ahli Parlimen Kimanis itu sepatutnya memberi keterangannya pada Selasa lalu namun ditangguhkan ke hari ini ekoran beliau tidak sihat akibat keracunan makanan dan konjunktivitis.
Anwar memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut.
Dalam saman tersebut, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, Anifah dalam sidang akhbar itu menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit memberitahu, beliau tidak menyimpan nombor telefon ahli perniagaan bernama Tony Vun mahupun Anwar.
Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan Anwar adalah sewaktu plaintif masih bersama UMNO dan BN serta memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, ketika menerima panggilan daripada Vun, beliau mengenali individu yang bercakap dengannya adalah Anwar.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Vun dan tidak menyimpan nombor telefon bimbitnya. Namun, ketika sedang berjalan keluar dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), saya menerima panggilan telefon daripadanya (Vun). Saya cam suaranya dan ketika itu dia memberitahu saya ada seseorang hendak bercakap dengan saya.
“Selepas menunggu beberapa saat, terdengar suara orang memberi salam dan saya tahu itu adalah Anwar kerana itu merupakan caranya. Beliau kemudian memberitahu saya yang beliau mencari saya di Macau, China namun saya beritahu saya berada di ibu negara.
“Kami berbual kira-kira 10 minit dan dalam tempoh itu beliau berulang kali menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada saya. Namun sepanjang perbualan itu jugalah, saya menolak tawarannya dan memberitahu sangat tidak berminat dengan tawaran yang dibuat.
“Anwar turut meminta saya membawa beberapa lagi ahli Parlimen untuk bersama dengannya membentuk kerajaan 16 September dan mengatakan akan menjaga mereka yang setuju berbuat demikian,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/anifah-pernah-8232-ditawar-rm100-juta-1.30155#sthash.zFB4M53V.dpuf


Mohd. Saiful saman Anwar RM50j

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES 
pengarang@utusan.com.my
Mohd. Saiful Bukhari Azlan
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memfailkan saman RM50 juta terhadap Ketua Pembangkang itu yang menuduh beliau telah memfitnahnya dan berkonspirasi dengan membuat laporan polis berhubung kejadian liwat yang menimpanya.
Menurut Mohd. Saiful, dakwaan beliau telah berbohong dan membuat laporan polis palsu pada 28 Jun 2008 mengenai kejadian Anwar meliwatnya dan insiden terakhir berlaku pada 26 Jun 2008 di unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih di sini telah menyebabkannya (Mohd. Saiful), diaibkan dan difitnah teruk oleh Anwar.
Mohd. Saiful, 29, memfailkan saman tersebut pada 23 Jun lalu melalui firma guaman, Tetuan Zamri Idrus & Co. dan salinan pernyataan tuntutan diperoleh pihak media hari ini.
Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful ketika menghadiri pengurusan kes saman itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberitahu pemberi-ta, Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd. Nordin mengarahkan Anwar yang diwakili peguam Shahid Adli, memfailkan pernyataan pembelaannya sebelum 3 September ini.
Mahkamah juga menetapkan 8 Oktober ini untuk pengurusan kes tersebut.
Menurut pernyataan tuntutan berkenaan, Mohd. Saiful selaku pihak plaintif mendakwa, beliau tidak pernah berbohong dan kandungan laporan polis itu adalah perkara sebenar dan kejadian liwat itu berlaku tanpa kerelaannya.
Mohd. Saiful menyatakan, beliau bekerja dengan Anwar mulai Mac 2008 sehingga Jun tahun sama pada usia 22 tahun dan beliau sering dibawa Anwar untuk lawatan ke luar negara, diberi elaun lumayan dan diminta menginap di hotel sama yang disewa oleh bekas majikannya itu.
Pihak plaintif berkata, beliau diminta melakukan pelbagai tugasan seperti yang diarahkan oleh Anwar, 67, yang dinamakan sebagai pihak defendan dan mendapat beberapa keistimewaan daripada Anwar ketika itu.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 9 Januari 2012, telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan meliwat Mohd. Saiful, selepas berakhirnya perbi-caraan.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun pada 7 Mac lalu telah dihukum penjara lima tahun setelah Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah atas pertuduhan tersebut apabila panel tiga hakim membenarkan rayuan pihak pendakwa raya.
Malahan Mahkamah Rayuan menurut Mohd. Saiful, dalam penghakiman bersetuju dengan dapatan fakta Hakim Mahkamah Tinggi me-ngenai kredibilitinya sebagai saksi yang boleh dipercayai dan tidak berbohong dalam laporan polis tersebut.
Walhal pihak defen-dan katanya, menyifatkan laporan polis itu sebagai fitnah, satu konspirasi jahat selain pemalsuan ke-terangan terhadap Anwar.
Menurut pihak plaintif, pihak defendan dalam beberapa cera-mahnya menyatakan laporan polis yang dibuatnya adalah palsu dan fitnah sehingga menyebabkan beliau dimalukan dan difitnah de-ngan teruk sekali.
Akibat daripada tindakan Anwar itu, Mohd. Saiful berkata, beliau telah dicemuh dan dipandang rendah, menghadapi pelbagai tohmahan sama ada dalam laman sosial dan laman sesawang oleh pengikut dan masyarakat yang mempercayai tuduhan pihak defendan itu.
Katanya, di laman sosial Facebook pula terdapat akaun atas nama ‘Kami benci Saiful Bukhari’ yang mendapat sekurang-kurangnya 134,000 ‘like’.
Perbuatan Anwar juga telah menyebabkan maruah dan nama baik-nya tercemar dan dirinya dilihat sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai, mengalami kesukaran untuk berurusan bagi mendapatkan pelanggan sejak menjadi ejen insurans mulai 2011.
Fitnah tersebut juga menurut Mohd. Saiful, telah menyebabkan beliau mengalami tekanan yang teruk apabila dituduh memfitnah, berniat jahat dan dipandang serong oleh masyarakat.
Selain itu, plaintif mendakwa, beliau sehingga kini mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan akibat diliwat Anwar.
Katanya, beliau yang telah melalui tempoh penderitaan yang panjang sejak 2008 dan masih berterusan sehubungan itu me-nuntut ganti rugi RM50 juta selain ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140814/ma_01/Mohd-Saiful-saman-Anwar-RM50j#ixzz3ARXYr8Fj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : PKR guna ‘peraturan rimba’ untuk jatuhkan Khalid

ALOR SETAR 11 Ogos – Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat keahlian Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan sebagai terburu-buru demi kepuasan pihak tertentu dalam parti.
Pengasas PKR Kedah, Ishak Man berkata, undang-undang rimba digunakan untuk menghukum Abdul Khalid dengan tergesa-gesa tanpa memberi peluang kepada beliau untuk membela diri.
”Undang-undang apakah yang PKR guna melainkan undang-undang rimba? Jatuh hukum terhadap beliau sebelum pertuduhan dibuat, itu adalah undang-undang rimba.
”Negara kita ada landasan undang-undang, sebelum dijatuhi hukum beliau perlu diadili dan membela diri tetapi kini terus dijatuhkan hukum.
”Hukuman terhadap Abdul Khalid dilakukan secara terburu-buru oleh Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh siapa? Siapakah yang mempengaruhi parti untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sabtu lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Abdul Khalid yang dikatakan mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
Abdul Khalid juga didakwa telah mengingkari beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang termasuk menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN Selangor.
Ishak menambah, tindakan PKR secara tidak langsung menghakis kepercayaan rakyat negeri Selangor serta ahli terhadap parti yang diberi mandat mentadbir negeri itu.
”PKR akan hilang kepercayaan dan keyakinan ahli terhadap parti terutama kepada kepimpinannya. Banyak yang tertanya-tanya tentang kesahihan pemecatan Abdul Khalid walaupun dilakukan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
”Apa yang berlaku sangat mengelirukan kerana pelbagai kemelut melibatkan pemilihan dalam parti belum lagi selesai termasuk dakwaan terdapat salah guna kuasa di bahagian tertentu, itu pun belum selesai dan kini kemelut menteri besar pula,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_06/PKR-guna-peraturan-rimba-untuk-jatuhkan-Khalid#ixzz3A8b26ZTp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Abdul Khalid saman The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap portal propembangkang, The Malaysian Insider berhubung dua artikel terbitan portal tersebut bertajuk Going by Selangor ruler’s criteria, Khalid should quit as MB dan artikel sama dalam bahasa Melayu bertajuk ‘Berasaskan criteria Sultan Selangor, Khalid wajar berundur sebagai MB’.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan peguam beliau, New Sin Yew, Abdul Khalid menamakan Ketua Pegawai Eksekutif laman sesawang http://www.themalaysianinsider.com, K.A. Jahabar Sadiq sebagai defendan pertama serta penyunting Bahasa Melayu laman tersebut, Amin Shah Iskandar sebagai defendan kedua.
Melalui tuntutan itu, beliau mendakwa kedua-dua artikel yang disiarkan pada 24 Julai lalu yang berniat jahat telah menjatuhkan reputasinya dan turut menamakan pentadbir Malaysian Insider, The Edge Communications Sdn. Bhd. dan Tmidotcom Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan ketiga dan keempat.
Abdul Khalid yang memfailkan saman tersebut atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ahli korporat mendakwa, melalui artikel bahasa Inggeris itu, defendan telah cuba menyatakan beliau sebagai seorang yang tidak jujur, tidak beretika, tidak beramanah dan terlibat dalam kegiatan rasuah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_08/Abdul-Khalid-saman-The-Malaysian-Insider#ixzz3A8bp0gMh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Saman fitnah: Malaysiakini, dua editor kanan diarah fail pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini

KUALA LUMPUR 18 Jun – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pengendali portal Malaysiakini dan dua editor kanannya memfailkan pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini berhubung kes saman fitnah terhadap mereka yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh.
Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd. Nordin turut memerintahkan Najib dan UMNO memfailkan pernyataan balas pada 15 Julai ini.
Beliau turut menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes.
Hadir pada pengurusan kes hari ini ialah peguam Wan Azmi Wan Najib bagi pihak plaintif, manakala kesemua defendan diwakili peguam Ashok Kandiah.
Pada 30 Mei lalu, Najib dan Ab. Rauf memfailkan saman tersebut dengan menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Najib selaku plaintif kedua memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.
Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu? di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, http://www.malaysiakini.com pada 14 Mei lalu.
Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut.
Pihak plaintif mendakwa, artikel-artikel tersebut adalah komen-komen yang diberikan tanpa sebarang asas dan tanpa mempedulikan kebenarannya, hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (mala fide) yang sangat serius kerana menyebabkan ketegangan antara rakyat dengan mereka berdua.
Pihak defendan juga dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu bertujuan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap plaintif pertama selaku sebuah parti politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta plaintif kedua selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, bagi meneruskan dan mementingkan agenda tersendiri pihak defendan tanpa menghiraukan sensitiviti isu-isu yang dibangkitkan.
Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila dikecam terutama di media sosial dan media massa.
Penerbitan artikel itu, kata mereka, turut menyebabkan kredibiliti pihak plaintif dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa kerana isu skandal rasuah dan perkauman secara amnya mendapat perhatian umum.
Najib dan UMNO kemudian telah menghantar surat tuntutan pada 15 Mei lalu supaya pihak defendan antara lain membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik artikel-artikel itu serta menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa.
Bagaimanapun pihak defendan melalui surat balasannya pada keesokan harinya menjawab dengan menggunakan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam selain menawarkan peluang kepada pihak plaintif menjawab artikel-artikel itu tanpa memenuhi tuntutan asal pihak plaintif.
Sehubungan itu, pihak plaintif melalui surat bertarikh 28 Mei lalu telah menolak tawaran tersebut atas alasan pihak defendan tidak menyangkal sama sekali tuduhan-tuduhan tidak berasas dan kata-kata fitnah tersebut.
Pihak defendan sebaliknya telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk Najib threatens to sue Mkini over readers’ comments bertarikh 16 Mei lalu yang turut memuatkan komen daripada defendan kedua dan pada 17 Mei pula, mereka sekali lagi mengumpulkan komen-komen pengguna atau pelanggan mereka dan dijadikan artikel bertajuk Najib’s legal action aims to silence Malaysiakini.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya.
Di samping itu, pihak plaintif menuntut defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di surat khabar atau majalah yang akan ditentukan oleh plaintif, dalam bentuk serta istilah yang akan ditetapkan oleh pihak plaintif.
Sementara itu, Ashok ketika ditemui memberitahu, beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atau memohon sekuriti kos.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140619/ma_01/Saman-fitnah-Malaysiakini-dua-editor-kanan-diarah-fail-pernyataan-pembelaan-pada-1-Julai-ini#ixzz352o42NjV  © Utusan Melayu (M) Bhd 



YTL dan Yap Ah Loy; Halalkah klia2; Saman Mkini!

Yap Ah Loy moden. Benarkah YTL kuasai Jalan Bukit Bintang dan Sentul?
ISU mengenai YTL dan Francis Yeoh Sock Ping, cukup hangat sekali.
Apabila dia bercakap secara terbuka dalam satu forum mengenai “kroni kapitalisme di Malaysia harus dihapuskan” — maka orang berkata, tahi sudah terpercik ke mukanya sendiri.
Kumpulan YTL dan Francis diumpamakan sebagai kacang lupakah kulit, seorang yang lupa daratan dan bermacam-macam.
Memang benarlah, ramai yang tahu mengenai asal-usul YTL. Jika bukan kerana bantuan kerajaan ia hanyalah sebuah syarikat pembinaan berstatus Sdn. Bhd. yang mungkin sekarang ini sudah hilang.
Tapi YTL masih hidup dan kini cukup mewah. Ia mewah, hanya lebih dua dekad ini, di atas anugerah kerajaan dan di atas penderitaan syarikat-syarikat milik orang Melayu lain, yang kononnya mahu di­selamatkannya semasa krisis ekonomi dahulu.
Francis dalam forum itu cuba menafikan Tun Dr. Mahathir Mohamadlah yang membuka jalan untuk beliau mendapat kontrak tenaga IPP sehingga mengkayakannya sehingga ke hari ini. Dia mendakwa, kejayaannya adalah hasil inovasi syarikatnya. (Baca lagi: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/crony-capitalism-in-malaysia-has-to-go-son-of-ytl-founder-says)
Setelah kenyataannya menjadi panas, Francis kemudian memohon maaf di atas kenyataannya itu.
YTL sebenar cukup licik. Ia juga membuat namanya dengan membuat belian ke atas aset-aset tenat akibat krisis kewangan Asia, seperti pusat membeli-belah Lot 10, di tengah-tengah Segitiga Emas, daripada Datuk Sulaiman Abdul Manan, pemilik Taiping Consolidated Bhd. pada 1998.
Ekoran pembelian itu YTL menguasai hartanah di sekitar Bukit Bintang dan Sentul.
Taiping Consolidated kemudian ditukar nama menjadi YTL Land & Development. (Baca lagi: http://www.theedgemalaysia.com/features/153046–cover-story-all-the-cash-but-nothing-to-buy.html)
Satu panggilan saya terima daripada seorang ahli perniagaan Melayu yang berjaya, marah-marah dengan sikap Francis itu.
Dia kata, dia hairan apakah YTL terlalu menguasai sejumlah besar kawasan Bukit Bintang termasuk Jalan Bukit Bintang dan di kawasan-kawasan Sentul?
Minta DBKL jelaskan benarkah kawasan-kawasan itu YTL yang punya? Apakah kuasa DBKL juga amat terhad di dalam kawasan Bukit Bintang? Ia seolah-olah seperti wilayah penguasaan YTL dan keluarga Francis?
Benarkah Bukit Bintang dipenuhi dengan rumah-rumah urut milik pendatang Cina dari China? Berapa peratus kawasan itu diberi ruang untuk Melayu berniaga?
Di Sentul, kawasan-kawasan kampung semakin lenyap dan diganti dengan projek pembangunan milik YTL. Siapa yang mampu beli semua hartanah di situ? Ke mana perginya orang asal di situ?
Katanya lagi, apakah YTL kini dikenali sebagai Yap Ah Loy moden Kuala Lumpur? Berkuasa sangatkah dia? Pemanggil itu menasihati lagi, kita semua dan pihak berkuasa harus terus memantau kegiatan mereka ini…
Mana kedai-kedai Melayu dan halal di klia2?
BEBERAPA hari lalu saya dihubungi oleh seorang kawan yang membawa ibu­nya ke klia2. Sebelum daftar masuk mereka berhasrat untuk singgah bersarapan.
Bagaimanapun, setelah seketika berlegar-legar, dia mulai resah. Satu demi satu kedai-kedai makan, yang rata-rata bertaraf premium itu dibelek-belek papan-­papan tandanya.
Bertaraf premium mungkin boleh tahan lagi, tapi sebagai seorang Islam yang amat menitikberatkan soal makan minum dia kelihatan semakin kebingungan.
Dia berhenti seketika dan menghu­bungi saya. Apa sudah jadi dengan kedai-­kedai makan di klia2 ini? Kedai-kedai milik siapakah ini? Orang Islam macam kita ini yang punya atau milik orang lain?
Mana dia logo Halal atau logo Jakim yang terkenal itu, katanya. Belum dipasang atau masih dalam proses permohonan, atau memang tiada?
Mungkin semasa dia menghubungi saya isu coklat Cadbury masih panas, itu pasal bunyi suaranya agak stres dan tertekan.
Saya faham perasaannya. Apa yang boleh saya katakan ialah saya akan siasat.
Siasatan saya mendapati antara kedai-kedai berasaskan makanan dan minuman atau F&B di klia2 itu yang dianugerahkan melalui tender ialah: Oldtown White Coffee, Hometown Hainan Coffee, Gong Cha, Starbucks, Gloria Jean’s, GeorgePeck Coffee, Pacific Coffee, McCafe, Austin Chase Coffee, Baskin Robbins, Kluang Cafe, Coffee Bean, San Francisco.
Hasil siasatan ringkas saya semua kedai kopi yang bukan nama kebangsaan Malaysia itu bukan milik orang Islam. Hanya satu sahaja yang boleh dikatakan dikendalikan oleh orang Melayu Islam iaitu Gloria Jean’s. Itu pun dimiliki oleh syarikat berasaskan kerajaan melalui PNS.
Mungkin ada lagi kedai Melayu yang tersorok sana-sini yang tidak nampak dan kita tidak tahu. Atau ada kedai-kedai milik Melayu Islam yang memohon tapi ditolak atau tidak layak. Apa jadi dengan kedai Killiney Kopitiam, mengapa ia sampai sekarang ‘disenyapkan’ oleh MAHB?
Seperti yang saya cakap tadi, bukan tiada langsung kedai Melayu Islam. Secara kebetulan seorang lagi rakan menghubungi saya menjemput ke majlis doa selamat pembukaan kedainya di klia2 tengah hari ini. Kedainya ialah Quizzin by RASA @ klia2 di Tingkat 2M bangunan terminal.
Jika betullah apa yang dibimbangkan oleh rakan saya tadi, maka ia sesuatu yang amat menyedihkan. Mungkin orang akan beranggapan saya dan rakan saya itu berfikiran seperti orang kampung dan kuno kerana membangkitkan isu ini.
Ya, saya mengaku kami masih kuno kerana jika benarlah majoriti kedai-kedai bukan milik kita di klia2 itu, maka rupanya “kita ini masih lagi melukut di tepi gantang!” Atau membawa erti: Seseorang yang diabaikan dan dianggap tidak penting kerana dia tidak mempunyai apa-apa kegunaan kepada masyarakat. Atau, tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap persekitaran jika individu itu tidak ada.
Malu sungguhlah aku jadi Melayu di Malaysia ini!
PM saman Malaysiakini!
KELAKAR sungguh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong.
Dia meminta PM, Najib Tun Razak ja­ngan menyaman portal berita Malaysiakini (Mkini) kerana perbuatan itu melanggar kebebasan media.
Apabila media arus perdana mengkritik Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau Teresa Kok dan disaman puluhan juta ringgit oleh mereka, itu tidak salah. Itu namanya kebebasan hak asasi manusia. Apa punya lawaklah Presiden Bar Council ini?
Apakah Christopher Leong tidak mengerling ke seberang Tambak Johor bagaimana PM Singapura, Lee Hsien Loong menyaman blogger Roy Ngerng di republik itu baru-baru ini.
Majlis Peguam republik itu tidak pula mempertahankan blogger itu. Lebih mengharukan blogger itu menawarkan untuk meminta maaf, tetapi ditolak oleh PM Lee dan mahu kes itu dibawa juga ke mahkamah.
Lupakah Christopher Leong, itulah juga stail DAP di Malaysia. Jika PAP di Singapura gemar sangat menyaman media-media atau pembangkang yang mengkritiknya sehingga bangkrap, samalah juga DAP di sini.
Apakah bezanya? Oleh itu, apakah salah jika PM Najib menyaman Malaysiakini yang saban hari mengkritik kerajaan Malaysia dan penyokong-penyokong­nya.
Semua orang tahu Malaysiakini mempunyai niat dan perancangannya yang tersendiri. Mungkin PM Najib terlalu banyak bersabar selama ini.
Sabar pun ada hadnya. Rakyat menyokong tindakan yang diambil oleh PM Najib itu. Sebaliknya adalah salah jika tindakan tidak diambil ke atas portal itu.
Dalam para terakhir kenyataan Majlis Peguam, Christopher Leong menulis: “Kami menggesa Perdana Menteri dan parti politiknya menarik balik saman fitnah ke atas Mkini dan para editornya. Perdana Menteri sebaliknya harus mengambil kesempatan menjawab atau membantah sebagai komen yang tidak betul yang dibuat oleh orang ramai.”
Bunyi kenyataannya seperti Majlis Peguam adalah peguam bela bagi Malaysiakini dan para editornya. Lawak sungguh bunyinya.
Adalah amat malang bagi komuniti guaman negara apabila Majlis Peguam kelihatan terlalu memihak dan memilih dalam kenyataan-kenyataannya. Ia sepatutnya apolitical, bukannya bertindak sebagai jurucakap politik bagi pihak-pihak tertentu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140611/re_06/YTL-dan-Yap-Ah-Loy-Halalkah-klia2-Saman-Mkini#ixzz34O39ggPa  © Utusan Melayu (M) Bhd