Suaram dan Aliran dakwa sudah serah laporan kepada PBB

KUALA LUMPUR 14 Mac – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Aliran, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan hak asasi manusia di Malaysia terus bermain api mengenai sensitiviti agama Islam apabila mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menyerahkan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tekanan dan ancaman yang diterima penganut Kristian dan minoriti agama lain di negara ini.
Dalam satu kenyataan bersama, Suaram dan Aliran dalam laporan itu menyatakan bahawa, beberapa pertubuhan Islam di negara ini secara sewenang-wenangnya mengancam hak rakyat Malaysia yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bebas mengamalkan kepercayaan beragama yang dipilih.
Kedua-dua pertubuhan itu mendakwa mereka menyerahkan laporan rasmi itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon dan ekoran itu pejabat beliau kini telah mengedarkan laporan itu untuk diberi perhatian pada Sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-25 di Geneva bulan ini.
Pertubuhan itu mendakwa mereka telah mengemukakan senarai contoh terperinci bentuk penganiayaan dan sikap tidak bertoleransi yang berterusan dihadapi oleh minoriti agama di Malaysia khususnya penganut Kristian yang merangkumi hampir 10 peratus daripada jumlah populasi di negara ini.
“Laporan Suaram dan Aliran turut menyenaraikan contoh lain sikap tidak toleransi agama dan ekstremisme seperti pengharaman ajaran Syiah di Malaysia serta merujuk laporan media tentang bagaimana sejumlah masyarakat pribumi Malaysia telah ditipu agar memeluk Islam sebagai balasan bagi mendapatkan bantuan kebajikan,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan baru-baru ini.
Seterusnya pertubuhan itu menyatakan lagi bahawa laporan mereka itu telah menekankan mengenai bagaimana rakyat Malaysia beragama Kristian dihalang daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka ekoran keputusan mahkamah sebelum ini.
Dalam pada itu, pertubuhan itu turut mengadu kepada PBB bahawa editor The Herald, Paderi Lawrence Andrew telah disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kalimah Allah akan terus digunakan dalam perjumpaan mingguan gereja yang dijalankan dalam bahasa Malaysia.
Mengenai serbuan dan rampasan Bible versi bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pertubuhan itu turut melaporkan kepada PBB bahawa tindakan itu secara terang melanggar kebebasan beragama seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Negara selain yang termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Laporan itu turut mempersoalkan larangan penyebaran agama lain terhadap umat Islam seperti termaktub dalam Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan sementara umat Islam boleh menarik bukan Islam agar memeluk agama Islam.
Suaram dan Aliran turut menyatakan kepada PBB bahawa ahli-ahli Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah diancam dan diganggu oleh beberapa pihak ekoran laporan rasmi pertubuhan itu berhubung ekstremisme agama yang dikemukakan pada sesi semakan berkala sejagat (UPR) tahun lalu.
Sehubungan itu, kedua-dua pertubuhan itu menggesa Majlis Hak Asasi Manusia PBB agar segera menangani tekanan tersebut dengan kerajaan Malaysia selain mahu PBB agar meminta Malaysia untuk menjemput Pelapor Khas mengenai kebebasan agama dan kepercayaan, Heiner Bielefeldt untuk datang ke negara ini dan menjalankan siasatan bebas berhubung perkara yang dilaporkan mereka.
“PBB juga perlu mensyaratkan agar Malaysia mempromosi amalan dan polisi yang dapat memastikan hak setiap kumpulan agama di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan yang bebas dari sekatan undang-undang, politik mahupun ekonomi,” kata pertubuhan itu.
Suaram dan Aliran juga dalam laporan itu menyatakan mahu PBB menggesa kerajaan Malaysia agar bertindak terhadap pihak-pihak yang menghasut dan menimbulkan kebencian berasaskan agama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_21/Suaram-dan-Aliran-dakwa-sudah-serah-laporan-kepada-PBB#ixzz2wBIcLJgl  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : MEREKA BERCAKAP TENTANG KEBEBASAN BERAGAMA TAPI MEREKA TERLUPA YANG MEREKA BERSALAH KERANA MENYEBARKAN AGAMA MEREKA KEPADA ORANG YANG BERAGAMA ISLAM….?