Bantuan khas penjawat awam

Perdana Menteri umum bantuan khas, elaun imbuhan tetap perumahan, bantuan kewangan
SAIFULIZAM MOHAMAD | 18 Jun 2015 1:40 AM
NAJIB TUN RAZAK menunjukkan buku ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam – 8 Prinsip Pemangkin Kecemerlangan’ yang dilancarkannya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Di sebelah beliau Muhyiddin Yassin dan Dr. Ali Hamsa. – BERNAMA
PUTRAJAYA 17 Jun – Penjawat awam hari ini menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bayaran bantuan khas kewangan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 untuk gred 54 ke bawah.
Bagi penjawat awam gred 41 dan ke bawah pula mereka mendapat khabar gembira berganda apabila Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan iaitu daripada RM180 sebulan kepada RM300 sebulan.
Najib berkata, tidak terkecuali bantuan khas kewangan sempena Ramadan dan hari raya itu juga dinikmati oleh lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran RM250.
“Pembayaran bantuan khas kewangan ini akan dibuat pada 25 Jun membabitkan anggaran implikasi kewangan RM1 bilion,” katanya.
Beliau mengumumkan dua khabar gembira itu ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-14 (MAPPA XIV) bertemakan Mendepani Realiti Baharu Negara: Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Berhubung kenaikan kadar terendah elaun imbuhan tetap perumahan, Najib berkata, kadar baharu itu berkuatkuasa 1 November ini, melibatkan lebih 1.1 juta kakitangan awam (gred 41 ke bawah).
Beliau berkata, keputusan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.04 bilion setahun.
“Bagi penjawat awam yang mendiami kuarters pula yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, mereka turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar yang layak bagi mereka,” katanya.
Advertisements

CUEPACS tuntut naik gaji 35 peratus

Bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum
ABD. AZIZ ITAR | 16 April 2015 2:30 AM
KUALA LUMPUR 15 April – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) me­nun­tut kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 pe­ratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, se­ta­kat ini gaji te­­rendah yang diterima oleh kakita­ngan awam se­banyak RM805 sebulan tidak memadai dan di bawah paras kemiskinan terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar.
Menurutnya, tangga gaji itu ti­dak sepadan de­ngan garis kemiskinan yang telah ditetapkan iaitu bagi yang berpendapatan ba­wah RM880 sebulan dikira sebagai berada di bawah paras kemiskinan atau dikategorikan miskin bandar.
“Setakat ini, gaji terendah dalam perkhidmatan awam adalah RM805 dan RM820 sebulan. CUEPACS meng­gesa kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam 35 peratus agar gaji golongan itu boleh mencecah paling minimum RM1,200 sebulan.
“CUEPACS juga mahu kerajaan memperkenalkan jadual gaji yang lengkap dengan tangga gaji bermula daripada gaji minimum kepada maksimum selain membuat semakan gaji setiap tiga tahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu-Isu Semasa kepada kakitangan awam di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras anjuran CUEPACS yang dihadiri lebih 500 kakitangan awam di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Azih juga menyampaikan Memorandum CUEPACS 2015 berhubung tuntutan itu kepada Ketua Pengarah Perkhid­matan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dengan disaksikan ahli-ahli jawatankuasa kongres tersebut.
Kata Azih, kenaikan dan semakan gaji kakitangan awam itu pen­ting kerana kali terakhir kerajaan berbuat demikian adalah pada tahun 1995 dan ia relevan dengan keperluan dalam kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Tahun 1995 adalah kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dibuat oleh kerajaan dan sepatutnya lima tahun sekali diadakan semakan terbaharu tetapi perkara itu tidak berlaku. Kalau boleh CUEPACS mahu semakan itu nanti dibuat setiap tiga tahun sekali.
“CUEPACS juga menggesa agar kerajaan hanya mengambil kakita­ngan awam yang mempunyai kela­yakan pendidikan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk be­kerja bagi mengelakkan mereka mendapat gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya.
Menurutnya, kenaikan 35 peratus gaji kakitangan awam itu juga berdasarkan hampir 70 peratus penjawat awam merupakan dalam kategori Kumpulan Pelaksana yang bergaji rendah dan sederhana daripada 1.6 juta keseluruhan kakita­ngan awam di negara ini.
Semakan kenaikan gaji itu bukan setakat perlu kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi ia juga amat diharapkan oleh penjawat awam berpangkat tinggi kerana desakan terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kenaikan gaji tidak kurang 10 peratus wajar diberi pertimbangan

RABU, 19 NOVEMBER 2014 @ 10:08 AM
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda. – Foto Shahrul M Zain
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa, khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata, seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima.
“Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara hidup.
“Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup),” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.
Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan kelmarin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak 1960.
Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lalu, paras produktiviti pekerja sentiasa melebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga peningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.
Keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus saja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang kepentingan sesebuah entiti itu, kata Charon.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Kishnam yang senada dengan Azih berkata, kenaikan gaji lebih daripada 10 peratus boleh membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.
Kenaikan itu juga katanya, akan merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pula berbeza pendapat apabila mengatakan peningkatan sebenar produktiviti tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja.
Sebagai contoh, beliau berkata, menurut laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), purata kenaikan produktiviti pekerja adalah kira-kira 2.5 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini.
“Tetapi kalau kita lihat kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja terutamanya sektor swasta ialah sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.
“Ini sudah tentu melebihi kadar peningkatan produktiviti berkenaan dan kadar itu juga harus dibandingkan dengan kadar sebenar produktiviti yang kita ada pada masa ini, yang mana tahapnya adalah kira-kira tujuh kali lebih rendah daripada di Amerika Syarikat dan Jepun.
“Jadi kalau kita ingin mengatakan bahawa peningkatan gaji itu tidak tinggi kalau dibandingkan dengan nilai produktiviti, itu adalah sesuatu yang tidak benar,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai satu lagi laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyebut harga rumah yang boleh dibeli berdasarkan gaji median tahunan rakyat Malaysia masih lagi mahal daripada yang sepatutnya, Shamsuddin berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk mengawal harga berkenaan supaya harga rumah mampu untuk dimiliki.
Gopal Kishnam pula berpendapat kerajaan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan harga rumah ditentukan oleh pasaran semasa. – BERNAMA

BAJET : Bonus minimum RM500 untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Kerajaan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam yang akan dibayar pada Januari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250 yang turut akan dibayar pada Januari 2015.
“Kita berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan penjawat awam terutama kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan kelak,” katanya ketika membentangkan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.
Pada Julai lepas, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.
Najib berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bantuan bulanan RM300 seorang bagi menghargai khidmat pegawai dan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanal (JPNIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seranta Felda yang berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu,” katanya.
Sementara itu, bagi mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menambah baik 252 lagi skim sedia ada serta mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_11/Bonus-minimum-RM500-untuk-penjawat-awam#ixzz3FzeAQbKt  © Utusan Melayu (M) Bhd 


BAJET : Pinjaman perumahan kakitangan awam dinaikkan
KUALA LUMPUR 10 Okt. – Kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada RM80,000 kepada RM120,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, had kelayakan maksimum juga dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.
“Malah, wang proses pinjaman perumahan sebanyak RM100 dimansuhkan. Kedua-dua cadangan ini berkuat kuasa 1 Januari 2015,” katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata, kerajaan juga komited untuk terus mempertingkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) apabila sebanyak 10,639 unit rumah mendapat kelulusan untuk projek berkenaan.
“Pada 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah, kerajaan bersetuju membina 5,380 unit rumah lagi iaitu di Putrajaya sebanyak 1,600 unit, Bukit Jalil (1,530); Papar, Sabah (1,290) dan Bukit Pinang, Kedah (960).
“Di samping itu, kerajaan akan menambah baik PPA1M seperti menurunkan harga minimum rumah berkenaan yang kini RM150,000 kepada RM90,000 seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi.
“Malah, kerajaan menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000 serta menyediakan dana mudah cara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM500 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan petugas kesihatan di seluruh negara.
Beliau berkata, sebanyak RM105 juta pula diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan di bawah program My Beautiful Malaysia membabitkan 126 lokasi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_12/Pinjaman-perumahan-kakitangan-awam-dinaikkan#ixzz3FzeeKXIc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bajet 2015 hargai penjawat awam

PUTRAJAYA 10 Okt. – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 serta bantuan khas untuk pesara RM250 di samping penambahbaikan ke atas 252 skim perkhidmatan awam.
Selain itu beliau berkata, pemberian cuti menjaga anak selama setahun untuk penjawat awam wanita dalam bajet kali ini pula mencerminkan hasrat kerajaan yang mengutamakan kebajikan penjawat awam daripada golongan tersebut.
Malah katanya, perluasan insentif MyBrain15 kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan memperlengkapkan usaha mewujudkan kakitangan awam yang lebih berkualiti.
“Begitu juga dengan pengenalan Skim Perumahan Belia yang boleh dinikmati oleh penjawat awam berkelayakan serta insentif-insentif lain yang menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam antaranya had kelayakan maksimum pinjaman perumahan yang dinaikkan sehingga RM600,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.
Merujuk perkara berkaitan, Ali berkata, pertambahan pembinaan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M); penurunan harga minimum PPA1M; peningkatan kadar pendapatan isi rumah yang layak memiliki PPA1M kepada RM10,000 serta pemberian geran dana mudah cara kepada pemaju PPA1M juga bertepatan pada masanya bagi memastikan keperluan asas perumahan mampu dimiliki oleh penjawat awam.
“Ini menunjukkan betapa kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh negara ini bahkan hingga ke peringkat global semua penjawat awam diingatkan supaya sentiasa berbelanja dan menggunakan wang secara berhemah serta bijaksana.
Pada masa yang sama, beliau turut meminta penjawat awam yang merupakan tunjang dan nadi kepada Agenda Transformasi Negara untuk terus melipatgandakan usaha mempertingkatkan produktiviti supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam melangkaui jangkaan rakyat.
“Langkah ini selaras dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Penjawat awam juga perlu bersedia bersama-sama dengan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Nasional yang akan dilancarkan pada tahun 2015 di samping merancakkan lagi pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
“Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah segera melaksanakan Bajet 2015 untuk kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_04/Bajet-2015-hargai-penjawat-awam#ixzz3FzYsMiIh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Kerajaan tidak akan kurangkan bilangan penjawat awam – PM


NAJIB Tun Razak menyampaikan cek bernilai RM23,364,700 kepada Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan) pada sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Dewan Wawasan Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. – UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 1 Mei – Kerajaan tidak akan mengurangkan bilangan penjawat awam yang kini berjumlah lebih 1.5 juta seperti diperkatakan oleh pemimpin pembangkang jika mereka memerintah negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya kerajaan tetap menjaga kebajikan penjawat awam walaupun pada masa sama pembangkang berhasrat untuk menguncupkan saiz perkhidmatan golongan tersebut.
“Kerajaan tidak ada cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam seperti yang diperkatakan oleh pemimpin pembangkang. Mereka gambarkan sekiranya dapat kuasa, ada yang kata nak buang separuh daripada jumlah penjawat awam yang melebihi 1.5 juta ini.
“Mereka akan kuncupkan saiz perkhidmatan penjawat awam tetapi kerajaan hari ini tidak ada cadangan sedemikian,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Wawasan Jitra, di sini hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri menggariskan lima prinsip yang perlu diamalkan oleh setiap penjawat awam demi memastikan transformasi negara berjalan lancar.
Beliau berkata, prinsip pertama adalah semua penjawat awan termasuk anggota pentadbiran perlu mempunyai ilmu agar mampu menjadi pemimpin di semua peringkat dengan cemerlang.
“Hal demikian kerana dunia berubah dengan pantas, jika kita ingin menjadi sebuah negara yang mampu mengemudi perubahan dengan pantas, budaya ilmu ialah asas pertama yang perlu kita ikuti. Kita perlu rajin membaca untuk menambah ilmu pengetahuan pada diri kita,” katanya.
Prinsip kedua pula kata Perdana Menteri, kebolehpercayaan yang meliputi sifat jujur, amanah, integriti dan diyakini serta mempunyai nilai-nilai murni sejagat yang dipercayai oleh masyarakat.
“Ini penting kalau rakyat biasa dari kampung datang jumpa kita, layan mereka dengan baik, kalau sesuatu yang munasabah dipohon patut kita beri kelulusan kepada mereka. Cara ini menambahkan kebolehpercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.
Katanya, prinsip seterusnya ialah budaya amalan kerja terbaik yang merupakan cermin kepada kewibawaan penjawat awam dan penjawat awam mesti mempunyai semangat patriotik dan menunjukkan rasa cinta kepada negara.
“Prinsip kelima ialah budaya keberhasilan yang berteraskan hasil. Ini penting bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja dengan bersandarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.
Sempena majlis itu, Anugerah Bahagian CUEPACS Contoh dimenangi CUEPACS Pahang yang diterima Pengerusinya, Kamarulzaman Abdul Razak manakala bagi Anugerah Kesatuan Cemerlang dimenangi Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) yang diwakilinya Presidennya, Rosni Aziz.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140502/dn_05/Kerajaan-tidak-akan-kurangkan-bilangan-penjawat-awam—PM#ixzz30oKPDBUw  © Utusan Melayu (M) Bhd

CUEPACS minta Cola dinaikkan selepas kali terakhir disemak pada 2001

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bersama Azih Muda (dua dari kanan) dan Mohd. Shaman Jaes (dua dari kiri) selepas mengadakan pertemuan di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam.

NUSAJAYA 12 Feb. – Kerajaan diminta segera menaikkan elaun termasuk menyelaras Elaun Sara Hidup (Cola) bagi membantu penjawat awam menangani peningkatan kos sara hidup.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, bayaran elaun penjawat awam masih ditakuk lama selepas kali terakhir disemak pada 2001.
“Kita tidak mahu lagi perkara tersebut (elaun) dikaji lagi sebaliknya mahu ia dinaikkan kerana sudah 12 tahun penjawat awam menanti kenaikan elaun tersebut.
“Jumlah elaun seperti rumah, khidmat awam dan Cola yang diterima kini tidak lagi sesuai kerana kos sara hidup kini juga sudah meningkat,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden II CUEPACS merangkap Pengerusi CUEPACS negeri, Mohd. Shaman Jaes. Azih berkata, pihaknya juga meminta jumlah Cola tersebut diselaraskan kepada RM300 dan turut diberikan kepada penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan.
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Khaled, beliau berkata, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan pusat penjagaan bagi anak-anak penjawat awam di negeri ini.
“Beliau (Khaled) memberi jaminan bahawa kerajaan negeri kini dalam usaha membina lebih banyak rumah yang harganya mampu dibeli oleh rakyat termasuklah penjawat awam.
“Bukan itu sahaja, beliau turut bersetuju dengan cadangan pembinaan hospital baharu di negeri ini bagi mengatasi kesesakan pesakit sekali gus memberikan keselesaan kepada masyarakat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140213/dn_15/CUEPACS-minta-Cola-dinaikkan-selepas-kali-terakhir-disemak-pada-2001#ixzz2tA2Uj8fU  © Utusan Melayu (M) Bhd