Jati tiada kepentingan sokong delegasi MuslimUPRo

KUALA LUMPUR 17 Mac – Inisiatif berterusan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) memerangi tuntutan yang mengancam kedaulatan Islam bukan didorong oleh kepentingan peribadi atau bersifat sempit.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, inisiatif itu merupakan kesedaran yang begitu mendalam untuk melihat negara ini tidak dijadikan gelanggang menyebarluaskan fahaman liberalisme.
Menurut beliau, hal itu demikian kerana di dalam fahaman berkenaan terdapatnya gerakan menghalalkan perlakuan yang mengetepikan prinsip-prinsip kemanusiaan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Kita melihat peranan dan sumbangan MuslimUPRo dan sahabat-sahabat lain sebagai penting, terutama dalam konteks umat Islam sedang diasak secara bertubi-tubi oleh fahaman hedonisme yang memberi ruang luas kepada penularan budaya nafsu syahwat.
“Peristiwa yang berlaku di Bukit Jalil (konsert antarabangsa) hujung minggu lalu boleh dijadikan bukti nyata aliran hedonisme begitu bertenaga hingga tidak dapat dibendung lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
MuslimUPRo berlepas ke Geneva semalam bagi memantau sesi penerimaan muktamad di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 24 Oktober lalu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menjalankan pusingan kedua proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia berdasarkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
Antara tuntutan itu ialah hak kebebasan orientasi seks, LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Hasan memberitahu, tinjauan oleh Jati terhadap pihak yang menganjurkan program-program pembinaan sahsiah dan jati diri melibatkan golongan remaja mendapati fahaman liberalisme, pluralisme dan hedonisme berpunca daripada kegersangan amalan agama dalam kalangan golongan tersebut.
“Jelas kelihatan pelajar dan golongan remaja tidak mempunyai kemampuan untuk mempraktikkan asas tuntutan agama seperti solat yang sepatutnya menjadi alat pertahanan diri pertama dan utama dalam berdepan segala bentuk kemungkaran,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140318/dn_21/Jati-tiada-kepentingan-sokong-delegasi-MuslimUPRo#ixzz2wT3rAwlX  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Advertisements

Pluralisme agama merebak

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kenyataan bahawa orang Melayu bebas memilih agama mereka menjadi petanda fahaman pluralisme agama dan fahaman Islam liberal kini sudah merebak luas hasil gerakan aktif kumpulan tertentu.
Malah Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali (gambar) turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu laluan serta tiket percuma kepada gerakan-gerakan yang sentiasa mahu memesongkan akidah umat Islam antaranya gerakan kristianisasi.
Sememangnya kata beliau, kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar kepada generasi sekarang dan generasi akan datang apatah lagi sifatnya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
”Saya tersentak membaca laporan dalaman yang Nurul Izzah membuat kenyataan bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu. Mungkin kenyataan yang keluar dari mulut Nurul Izzah secara amnya kepada sesetengah pihak tidak dianggap serius.
”Tetapi jika ditinjau dari sudut akidah, syariah dan akhlak yang menjadi asas kehebatan Islam, sudah tentu kenyataan sedemikian bertentangan sama sekali dengan apa yang diajar kepada kita selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu berita yang disiarkan portal propembangkang, Malaysiakini semalam menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Kenyataan itu disuarakan Nurul Izzah ketika menjadi salah seorang ahli panel Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bagi menjawab pertanyaan peserta iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya, kelmarin.
Hasan kesal kerana dalam usaha pihaknya, Yayasan Murni Aqidah serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mempertahankan akidah umat Islam, kenyataan seumpama itu datang daripada seorang pemimpin Melayu beragama Islam sendiri.
”Sekiranya pandangan Nurul Izzah menjadi kenyataan, ruang yang cuba ditutup bukan sahaja terbuka luas malah menjadikan gerakan memesongkan akidah bertambah kuat. Mereka mempunyai seluruh jentera dan keupayaan.
”Seperti diketahui, keupayaan kita membendung gejala memesongkan akidah mempunyai kelemahan dan batas-batas tersendiri. Bukan sahaja kita tidak mempunyai kuantiti dan kualiti tenaga pendakwah tetapi juga berdepan dengan orang yang mempunyai pemikiran dan pengaruh seperti Nurul Izzah dan konco-konconya.
”Kehadiran orang seperti ini dalam masyarakat kita pastinya menyulitkan lagi gerak kerja memurnikan akidah yang penuh berliku,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, di dalam forum tersebut, Nurul Izzah dikatakan turut menerima konsep seks bebas iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
”Nurul Izzah juga mengulas persoalan LGBT. Beliau dikatakan menerima LGBT. Beliau juga menyarankan supaya kita menghormati mereka yang terlibat dengan LGBT dan menyatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang melakukannya dalam keadaan tersembunyi.
”Adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah kelihatan saling tak tumpah seperti apa yang pernah disebut oleh ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam banyak hal aliran pemikiran dan fahaman beliau mengenai LGBT selari seperti arca di cermin dengan hujah yang dikemukakan oleh Anwar,” katanya.
Kata Hasan, gerakan itu menjadi bertambah mudah apabila Pas yang sepatutnya menjuarai isu akidah, syariah dan moral, kelihatan begitu terpesona dan terpaku dengan kelicikan Anwar.
”Ini menyebabkan rakyat Malaysia khasnya Melayu-Islam akan terjerumus dalam kancah akidah, syariah dan akhlak yang begitu mengerikan,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan mengingatkan kepada kepemimpinan gereja supaya tidak mengambil kesempatan dengan tibanya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk menganjurkan program yang menyentuh perkara-perkara dasar melibatkan masyarakat Islam.
”Dikhuatiri gerakan terancang ini akan menyebabkan masyarakat Islam semakin berpecah belah. Perpecahan sedemikian sudah tentu menguntungkan mereka yang gemar menangguk di air keruh.,” katanya.
Beliau juga mahu kepemimpinan tertinggi Pas terutamanya golongan parasit tampil menyatakan pendirian berhubung dengan pandangan Nurul Izzah itu.
”Apakah mereka akan terus membisu dan rela membiarkan gejala kekusutan akidah terus menular? Apakah mereka memilih untuk terus menikus melihat fahaman pluralisme agama dan Islam liberal terus melonjak tanpa sekatan?,” katanya.

KOMEN : DIA NAK BELA BAPA DIA…..

Kukuhkan perpaduan sebelum PRU-13 – Hasan

DARI UTUSAN MALAYSIA
30/9/2012

Hassan Ali (kiri) dan Mohammad Fairus Khairudin (kanan) serta moderator Sekretariat Orang Muda Selangor, Budiman Zohdi pada majlis Himpunan ke Arah Penyatuan Ummah sesi ke-2 di Auditorium SIRIM Berhad, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 29 Sept. – Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini diminta menggunakan sepenuhnya tempoh yang ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk melaksanakan segala usaha bagi mengukuhkan perpaduan di antara mereka.
Permintaan itu disuarakan oleh Presiden Jalur tiga (JATI), Datuk Dr. Hasan Ali ekoran kedudukan orang Melayu yang dilihat semakin berpecah ketika ini terutamanya dari sudut politik kepartian.
Merujuk keadaan Pas ketika ini, beliau berkata, parti pembangkang itu gagal membawa orang Melayu ke arah penyatuan kerana ia telah menjadi seperti ‘lembu dicucuk hidung’ dan menjadi ‘kuda tunggangan’ pihak lain apabila menghalalkan apa juga perkara termasuklah membiarkan Islam diperlekehkan oleh orang bukan Islam.
“Pas terpaksa ‘mencairkan’ pegangan Islamnya, ideologi, dogmanya semata-mata kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Malah, Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang, bukan seperti UMNO yang dominan dalam Barisan Nasional (BN).
“Pas sekarang tidak mempunyai semangat yang diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof. Zulkifli Muhammad dan Datuk Fadzil Mohd. Noor. Pas sekarang macam PKR dan DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Himpunan ke Arah Penyatuan Ummah anjuran Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS) yang membincangkan tajuk mengenai Perbezaan Ideologi Politik: Adakah Menjadi Penghalang Kepada Penyatuan di Auditorium SIRIM Berhad, di sini hari ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairudin yang turut menjadi panel dalam program tersebut berkata, beliau meletakkan jawatan kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng secara terang-terangan menentang apa juga program yang memberi manfaat terhadap Islam dan Melayu di negeri itu.
“Sebagai contoh, apabila saya memberi kertas cadangan pembangunan di Seberang Prai, dia marahkan saya dan tidak setuju. Saya bertanya kepada Ketua Menteri kenapa hendak bangunkan di kawasan pulau sahaja sedangkan kawasan Melayu di Seberang Prai masih jauh ketinggalan dan belum dibangunkan,” katanya.
Malah beliau mengakui mengalami keadaan yang sukar untuk memartabatkan Islam dan menjaga kepentingan orang Melayu di Pulau Pinang termasuklah berhadapan dengan konspirasi fitnah selain ditekan daripada pimpinan tertinggi PKR dan DAP.

Lebih 20,000 hadiri siri ceramah Hasan Ali

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir mendengar ceramah dalam siri jelajah Bicara Memperkasakan Ummah oleh Hasan Ali di padang SMK Belimbing Tanah Merah, Kelantan, malam semalam. – UTUSAN/Aizzul A. Majid

TANAH MERAH 12 Jun – Siri jelajah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali untuk membangkitkan kesedaran kalangan umat Islam mengenai ancaman masa depan mereka, Islam dan institusi raja sekiranya pembangkang berkuasa, terus mendapat sambutan orang ramai.
Dalam siri jelajah ke-123 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing di sini malam tadi, lebih 20,000 hadir, jumlah yang disifatkan oleh Hasan sebagai ‘luar biasa’ dan memberi semangat kepadanya untuk terus menggerakkan usaha bagi menyekat hasrat pembangkang tersebut.
Dalam ceramah Bicara Memperkasakan Ummah bertajuk Islam, Melayu dan Raja Menuju Kehancuran itu, bekas Exco Selangor tersebut menyeru umat Islam khususnya di Tanah Merah agar bersatu bagi menyelamatkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang disifatkan beliau menuju kehancuran angkara tindak-tanduk pakatan pembangkang.
“Sampan Islam, Melayu dan institusi raja sedang karam, saudaralah penyelamat kapal ini. Mari kita bersama-sama gerakkan enjin Islam yang dalamnya orang Melayu Islam dan institusi raja, payung adat dan kemuliaan Melayu itu sendiri. Tugas kita besar,” katanya.
Majlis ceramah itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Membawa Aspirasi Rakyat (Membara) Tanah Merah.
Hadir sama, Pengerusi Membara Tanah Merah, Khairuddin Mohamed dan Penyelaras bersama program Membara yang juga Ketua UMNO bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Turut berceramah ialah bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri. Dalam ucapan penuh bersemangat dan ada ketikanya bernada sayu, Hasan mengingatkan orang ramai tentang rancangan pembangkang untuk menukar negara ini kepada sebuah republik yang akan menyebabkan Islam, Melayu dan institusi raja hilang.
Beliau turut berkongsi kekecewaan bagaimana ditekan oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ketika hendak membanteras penjualan arak, judi dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negeri pimpinan pakatan pembangkang itu semata-mata takut hilang sokongan masyarakat bukan Islam.
“Sebagai Exco Agama, orang Pas suruh saya diam, tunggu dulu sampai kita dapat tawan Putrajaya. Kalau ikut cara itu, saya bukan Hasan Ali, saya memegang amanah Allah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pemimpin Pas yang menegah kehadiran ahlinya pada Himpunan Sejuta Umat untuk menyelamatkan akidah umat Islam, sebaliknya mewajibkan mereka hadir perhimpunan haram Bersih 3.0.
“Orang Pas tolong dengar dan faham, kita nak laksanakan Islam, tetapi tidak ada ruang langsung dalam pakatan. Marilah orang PKR, Pas tolak apa juga bentuk kesepakatan dengan DAP,” seru beliau.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hasan memberitahu, sambutan siri jelajah yang masuk kali ke-123 itu sangat menggalakkan, namun beliau mahu kesedaran rakyat itu ‘dibakar’ lagi supaya mereka bangkit untuk menyelamatkan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja.
Mengenai kemuncak siri jelajah tersebut, Presiden Jalur Tiga (Jati) itu berkata, tujuan utama adalah untuk menyedarkan orang Melayu tentang hakikat bahawa IMR kini di ambang bahaya.
Menurutnya, soal sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, ia terserah kepada kehendak rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang diwakilinya.

KOMEN : ALHAMDULILLAH….

Jangan izin ‘tangan kotor’ tadbir negara

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN 
rodelio.taucan@utusan.com.my

Hasan Ali

PASIR MAS 12 Mei – Sokongan menjunam terhadap pakatan pembangkang di seluruh negara menunjukkan rakyat sudah tidak sabar untuk memastikan negara tidak jatuh ke ‘tangan-tangan yang ternoda’ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, beliau dapat melihat sendiri angin perubahan yang melanda itu selepas melakukan siri ceramah selama 102 malam berturut-turut di seluruh negara sejak dipecat daripada jawatan Exco Agama kerajaan Selangor dan Pesuruhjaya Pas negeri itu. Jelas beliau, faktor kerisauan rakyat itu diperkukuhkan lagi dengan penambahbaikan yang dibuat oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama UMNO dan pemimpin mewakili parti Bebas.
“Sokongan ini bukan sahaja di Pasir Mas, tetapi menjalar di seluruh negara untuk kita memastikan Malaysia tidak pergi ke ‘tangan-tangan’ yang akan memporak-porandakan negara, tangan yang sudah saya sebut dan sudah pemimpin-pemimpin lain sebut.
“Tangan-tangan yang mempunyai masalah besar dari segi agama Islam, masalah moral dan akhlak yang boleh dipersoalkan tindak- tanduk mereka bukan sahaja di peringkat individu tetapi keluarga dan masyarakat, maka jangan sesekali kita izinkan tangan ini mentadbir bumi Malaysia,” katanya selepas menyampai ceramah pada majlis Ceramah Penerangan Nasional Isu-Isu Semasa, Islam, Melayu dan Raja di Dataran Stesen Kereta Api Pasir Mas yang dihadiri hampir 10,000 rakyat di sini malam tadi.
Turut berceramah pada malam itu adalah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali.
Hasan berkata, dalam setiap siri ceramahnya, beliau melihat kehadiran ramai rakyat dan ia merupakan gambaran kepada perubahan sokongan dalam landskap politik tanah air berbanding selepas pilihan raya umum 2008.
“Rakyat tidak dibayar, tetapi mereka datang sendiri dan malam ini ramai sama seperti ketika saya pergi ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu baru-baru ini begitu juga di Johor, Pahang, Perlis, malah seluruh negara,” katanya.
Terdahulu dalam ceramahnya, Hasan memaklumkan Jati berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyerahkan memorandum yang antara kandungannya adalah untuk menegakkan Islam di negara ini.
“Jika kita mencapai jumlah keahlian 100,000 orang, saya akan berjumpa beliau (Perdana Menteri) dan menyerahkan memorandum. Perkara pertama dalam memorandum itu nanti adalah mewajibkan pengajian agama Islam bermula di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga peringkat lebih tinggi,” katanya.

Jati mahu kumpul 500,000 ahli


Orang ramai mendaftar sebagai ahli Jati selepas ceramah perdana Selamatkan Akidah oleh Hasan Ali di Permatang Pasir, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, kelmarin.


BUKIT MERTAJAM 8 April – Jalur Tiga (Jati) berhasrat menghimpunkan 500,000 orang yang menjadi ahli pertubuhan itu untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut subjek Agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi semua peperiksaan.

Peperiksaan tersebut termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, tuntutan mereka itu selaras untuk menjadikan subjek tersebut sama penting dengan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang kini diwajibkan lulus di sekolah.

Jelasnya, setakat ini tiada institusi yang benar-benar serius menuntut perkara itu daripada kerajaan yang sepatutnya menjadi agenda utama bagi memperkasakan pemahaman tentang Islam di kalangan pelajar sekolah.

“Kita sedang berusaha mengumpulkan ahli Jati sehingga mencecah 500,000 orang sebelum menghantar memorandum kepada Najib bagi menuntut mata pelajaran Agama Islam menjadi subjek wajib lulus bagi pelajar Islam di sekolah rendah dan menengah.

“Perkara ini penting kerana generasi pelajar hari ini dilihat semakin jauh dengan subjek tersebut, malah ia dianggap bukan satu subjek yang penting untuk diberi perhatian semasa peperiksaan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana ‘Selamatkan Akidah’ di Permatang Pasir, Permatang Pauh semalam.

Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor turut menyentuh mengenai Pas yang disifatkan telah keluar daripada landasan yang digariskan oleh beberapa pemimpin utama mereka terutama membabitkan isu negara berkebajikan bagi menggantikan slogan negara Islam.

Jelasnya, Pas pasti akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka terus mengikut telunjuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dipimpin oleh sebilangan pemimpin yang menjadi parasit dalam parti.

“Jika Pas terus mengikut telunjuk parasit ini serta tunduk kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri, saya cukup yakin Pas akan tumbang dengan undi yang besar dalam pilihan raya nanti.

“Malah, kini Putrajaya juga seolah-olah menjadi wirid Pas kerana mereka bercita-cita besar untuk ke sana tetapi hanya sebagai pengikut kepada Anwar Ibrahim,” ujarnya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.