CELAH GELEGAR: [SELEPAS ISU PEMBESAR SUARA] Pulau Pinang Didakwa …

CELAH GELEGAR: [SELEPAS ISU PEMBESAR SUARA] Pulau Pinang Didakwa …: KENYATAAN MEDIA Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Minta Penjelasan Kerajaan Pulau Pinang Didakwa Hentikan Bantuan Sekolah Agama…

Advertisements

PKR tidak perlu jaga hati Pas?

15 September 2015 1:31 AM
Azmin Ali
SHAH ALAM 14 Sept. – PKR seolah-olah merasakan mereka tidak perlu menjaga hati sekutunya, Pas apabila memandang mudah polisi untuk ti­dak menerima ahli daripada parti lain dalam pakatan pembangkang.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan asalkan semua parti dalam pakatan pembangkang mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Tidak apalah. Kita hormat-menghormati antara satu sama lain,” jawabnya ringkas ketika ditemui dalam majlis peletakan batu asas projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kekecewaan Dewan Pemuda Pas berhubung tindakan PKR mengkhianati polisi ti­dak menerima ahli daripada parti rakan seperti dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, tindakan berkenaan dilihat bercanggah dengan pendekatan pihaknya selama ini yang tidak menerima ahli-ahli dan wakil rakyat daripada PKR meskipun terdapat segelintir daripada mereka berminat untuk menyertai Pas sebelum ini.
Kelmarin, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Ahli Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib me­nyertai parti berkenaan.

Semua wakil rakyat Pas perlu letak jawatan – Mat Sabu

25 Ogos 2015 1:12 AM
BUKIT MERTAJAM 24 Ogos – Semua wakil rakyat Pas sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu melepaskan jawatan masing-masing.
MOHAMAD SABU
Desakan itu dibuat Pengerusi Gerakan Ha­rapan Baru (GHB), Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mendakwa kemenangan wakil rak­yat Pas berkenaan dalam pilihan raya umum lalu adalah atas tiket pakatan pembangkang.
“Mereka (ahli Pas) yang sepatutnya meletak jawatan kerana tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang yang turut disertai DAP dan PKR,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran GHB peringkat negeri di sini malam tadi.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bekas ahli Pas yang menyertai parti baharu termasuk GHB perlu meletakkan jawatan mereka kerana telah berbai’ah sewaktu menerima tawaran untuk bertanding menjadi wakil rakyat.
Dalam pada itu, Mat Sabu mendakwa, lebih ramai ahli Pas di seluruh negara akan meninggalkan parti itu selepas ini dan menyertai GHB.
“Mereka secara berperingkat akan umum keluar Pas dan dalam hal ini, kami (GHB) tidak memaksa dan memberi arahan kepada mereka supaya berbuat demikian sebaliknya dilakukan atas kerelaan sendiri,” katanya.
Terdahulu, dalam ceramahnya, Mat Sabu mendakwa, GHB merupakan parti sebenar yang memperjuangkan Islam dan bertindak sebagai reformis Islam. ( KITA SENYUM PAHIT AJELAH…)
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli berkata, GHB bersedia mengambil alih peranan Pas yang gagal menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum sejak beberapa penggal lalu dan prestasi itu tidak setanding de­ngan DAP dan PKR.
“Di negeri ini kita bagi bertanding di lima kerusi DUN tetapi menang satu sahaja berbanding PKR yang menang 10 kerusi manakala DAP paling cemerlang kerana menang di ke­semua 19 kerusi.
“Jadi, baki empat kerusi DUN yang gagal ditawan oleh parti lama saya akan digunakan GHB untuk bertanding,” katanya.

POLITIK : Pas Kota Raja lumpuh?

Ahli Parlimen, 183 pemimpin, ahli akan sertai GHB
ZABRY MOHAMAD
DAN ABDUL RAZAK IDRIS | 20 Ogos 2015 1:36 AM
KLANG 19 Ogos – Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud hari ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam Pas selepas merasakan beliau tidak lagi serasi dengan perjuangan serta corak kepemimpinan parti itu.
SITI MARIAH
Siti Mariah merupakan pemimpin Pas pertama yang mengumumkan secara rasmi meletakkan semua jawatan untuk menyertai parti baharu yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Pas yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
Turut mengambil langkah sama adalah 183 pemimpin dan ahli Pas Kawasan Kota Raja, termasuk Yang Dipertuanya, Jaafar Shamsuddin dan timbalan, Norhalim Sirome.
Siti Mariah yang juga Naib Yang Dipertua Pas kawasan itu berkata, beliau akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baharu (GHB) pada penghujung bulan ini.
“Saya masih ahli Pas, cuma apabila parti baharu didaftarkan nanti saya akan menyertainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Siti Mariah menambah, Pas kawasan tersebut juga tidak dibubarkan dan mereka yang meletakkan jawatan akan menyerahkan tugas secara rasmi kepada pihak yang bakal mengambil alih kepemimpinan.
Ditanya sama ada tindakannya itu mengkhianati pengundi, Siti Mariah menjelaskan, semasa dua pilihan raya umum yang lalu, rakyat memberikan sokongan kepada pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (2008) dan Pakatan Rakyat (2013), bukannya Pas.
“Justeru, saya tidak khianati amanah rakyat. Dalam parti baharu nanti, saya juga akan masih meneruskan perjuangan Islam cuma pendekatan politiknya berbeza,” ujarnya.
Pada perkembangan berkaitan, Siti Mariah memberitahu, tindakan itu juga tidak melanggar bai’ah atau sumpah taat setia yang dilafazkan sebelum ini kerana perlembagaan parti itu sendiri membenarkan berbuat demikian.
Sementara itu, Penyelaras GHB Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, dua lagi ahli Parlimen di dari Pas di negeri ini dijangka mengambil tindakan sama seperti Siti Mariah dalam tempoh terdekat iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
Di Selangor, terdapat 22 ahli Parlimen terdiri daripada lima wakil rakyat Barisan Nasional (BN), enam PKR, tujuh DAP dan empat Pas.

POLITIK : Tidak perlu risau soal keluar parti

14 Ogos 2015 1:41 AM
ABDUL HADI AWANG
KUALA TERENGGANU 13 Ogos – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa kumpulan ahli Pas di seluruh negara yang sejak kebelakang­an ini mula mengumumkan untuk keluar parti, sebagai satu proses ‘pembersihan’ yang berterusan.
Katanya, beliau tidak risau dengan gejala itu kerana masih ramai yang ingin menyertai parti itu walaupun dikatakan ramai pula yang dikatakan bercadang untuk ‘me­ninggalkan’ Pas atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan.
“Itu (tindakan keluar parti) adalah pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri. Bila berlaku banjir… bah, pasir pun berubah. Kita tak risau. Ya, tak risau. Keahlian kita kini meningkat. Dalam masa sebulan yang lalu, kita telah me­nerima 4,000 ahli baru yang didaftarkan dan masih ada 2,000 hingga 3,000 (yang memohon keahlian) tapi belum diproses,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Badan Perhubungan Pas negeri di sini yang turut dihadiri oleh beberapa pimpinan Pas setempat termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat.
Sebelum ini, beberapa kumpulan ahli Pas di peringkat negeri dan cawangan mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu termasuk Ketua Pemuda Pas kawasan Shah Alam, Helmi Radzuan dan 12 anggota jawatankuasanya yang meletakkan jawatan kerana mendakwa parti itu semakin ‘eksklusif’.
Turut melakukan perkara yang sama ialah 12 ahli Pas cawangan Je­lebu yang mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti itu dalam Muktamar ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, Pas bersetuju mengambil bahagian dalam himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan berlangsung penghujung bulan ini di Kuala Lumpur.
“Pas hantar wakil sahaja. Dua orang. Kita akan ada majlis sendiri yang kita akan buat kemudian,” katanya ketika ditanya mengenai jaminan yang boleh diberikan kepada mana-mana ahli Pas yang menyertai himpunan tersebut.
Abdul Hadi turut enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung Lantikan Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baharu yang akan dibuat pada 19 Oktober ini.
“Saya akan lihat senarai dulu. Insya-Allah, Parlimen akan bersidang pada 19 hari bulan ini,” jawabnya ringkas.

Wakil rakyat sokong GHB kekal dalam Pas? – HEBAT WAKIL PARTI DALAM PARTI

14 Ogos 2015 1:41 AM
MOHAMAD SABU
JERAI 13 Ogos – Gerakan Harapan Baru (GHB) pimpinan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan berusaha memastikan penubuhan parti baharu pada 31 Ogos ini tidak menjejaskan pemerintahan di tiga buah negeri yang dikuasai pembangkang.
Bagi mencapai matlamat itu, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu tidak menolak kemungkinan, ada dalam kalangan wakil rakyat yang menyokong GHB akan kekal di dalam Pas sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kenyataannya itu dilihat sedikit sebanyak memberi jawapan mengapa sehingga kini penyokong gerakan tersebut masih enggan meninggalkan Pas walaupun berkali-kali didesak berbuat demikian oleh pimpinan parti tersebut.
“Itu kita tengok keadaan (wakil rakyat kekal dalam Pas). Kita bagi pelbagai kategori… ada yang pro (GHB), ada yang berada lagi dalam parti.
“Terserah kepada individu itu. Tetapi keinginan mereka bersama GHB adalah amat tinggi,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Aidilfitri GHB Kedah di Batu 18, Guar Chempedak di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Ketua Wanita GHB, Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi GHB Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh serta Pengerusi GHB Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim.
Ditanya berapa ramai wakil rak­yat Pas Kedah yang akan menyertai GHB, Mat Sabu mendakwa jumlahnya ramai dan ia tidak tertakluk di Kedah sahaja, malah di seluruh Malaysia.
“Ibarat membuka pintu ketika air bah. Depa (mereka) marah kepada kami ketika ini bukan kerana menubuhkan GHB, sebaliknya, di­sebabkan terlalu lama untuk menanti borang menyertai GHB.
“Masalah sentiasa ada tetapi boleh diselesaikan. Kita akan bincang supaya tidak jejaskan kerajaan di Kelantan dan Selangor sekurang-kurangnya sehingga PRU akan datang,” ujarnya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Pas, beliau berkata, keputusan mengenainya akan dibuat setelah parti baharu itu ditubuhkan dan menyertai pakatan pembangkang bersama DAP serta PKR.
“Apabila ada dalam pakatan kita akan bincang bersama, semua tindakan dalam bentuk bersama. Tiga parti (PKR, DAP dan GHB) akan berbincang bersama secara konsensus,” ujarnya.

POLITIK : Proulama kuasai pemilihan

05 Jun 2015 1:22 AM
KUALA SELANGOR 4 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘mengetuai’ barisan golongan ulama menumbangkan kumpulan profesional dalam pemilihan Pas yang berlangsung di sini hari ini.
Dalam keputusan pemilihan yang diumumkan secara berperingkat-peringkat kira-kira pukul 10 malam, Abdul Hadi mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 928 undi bagi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat hanya 233 undi.
Ini merupakan kali pertama Abdul Hadi yang menduduki jawatan itu sejak 2002 dicabar.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menepati ramalan apabila mengalahkan penyandangnya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu apabila memperoleh 881 undi.
Mat Sabu pula sekadar mendapat 279 undi.
Kemenangan Tuan Ibrahim disifatkan isyarat perwakilan yang mahukan ulama kembali menduduki kerusi nombor dua parti itu yang disandang oleh Mat Sabu sejak tahun 2011.
Kerusi Naib Presiden turut menyaksikan penguasaan golongan ulama apabila dua penyandang jawatan itu Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa tewas. Turut tewas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Ketiga-tiga kerusi Naib Presiden dimenangi oleh Idris Ahmad yang memperoleh 896 undi, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (710 undi) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (672 undi)
Gelombang penguasaan ulama sememangnya sudah dijangka apabila kelmarin calon-calon proulama di Dewan Pemuda Pusat dan Dewan Muslimat Pas Pusat mencatatkan kemenangan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menewaskan Suhaizan Kaiat bagi jawatan Ketua Pemuda manakala Nuridah Salleh menguasai semula jawatan Ketua Dewan Muslimat selepas menewaskan penyandangnya, Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Golongan proulama juga menguasai jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Turut tersingkir daripada kerusi itu ialah Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Dr. Hatta Ramli, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad.
Kemenangan proulama dijangka memperkukuhkan dasar perjuangan Islam Pas dan membuka ruang kepada parti itu untuk lebih tegas mempertahankan prinsip khususnya dalam berhadapan dengan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Sokongan padu kepada golongan proulama juga dianggap tindak balas ahli-ahli Pas terhadap kebiadapan DAP yang bertindak memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih terus mahu bekerjasama dengan Pas.
Sebanyak 1,162 daripada 1,189 perwakilan mengundi dalam pemilihan yang dianggap kali pertama menyaksikan pertembungan terbuka antara golongan proulama dan profesional.