Sikap angkuh, sombong boleh jejaskan prestasi

Sikap bekerjasama dan saling membantu bukan sahaja menaikkan nama organisasi tetapi juga membuang sifat mazmumah seperti sombong. – Gambar hiasan

ISLAM melarang umatnya bersifat bangga diri dan merendahkan orang lain. Sebaliknya hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain. Ini kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Kedudukan seseorang itu berbeza di sisi Allah kerana darjat takwa yang dimilikinya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan membesar diri, lupa diri, bermegah-megah, bongkak sombong dan sebagainya.

Sifat sombong ini sangat bahaya dan sifat tersebut banyak membinasakan makhluk Allah sepanjang sejarah manusia di muka bumi ini.

Iblis sendiri diusir keluar dari syurga lantaran sifat sombongnya yang enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Perdana Menteri Raja Firaun, Qarun, ditelan hidup-hidup ke dalam perut bumi bersama-sama dengan timbunan harta benda juga disebabkan kesombongannya.

Malah Firaun juga menemui ajal dalam keadaan yang hina kerana sifat sombong dan angkuhnya terhadap Allah SWT dan sebagainya.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan sifat sombong dan bahayanya sifat tersebut.

Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong, kemudian seseorang berkata: (Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus. Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain. (riwayat Muslim)

Sombong merupakan salah satu sifat mazmumah (tercela) dan sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT.

Sifat tercela ini merupakan jalan ke neraka yang menyebabkan tertutupnya pintu-pintu ke syurga. Ini kerana akhlak mulia itu merupakan jalan atau pintu untuk ke syurga.

Terlalu banyak keburukan bersifat sombong, antaranya tentu sekali dibenci dan dimurkai Allah SWT dan juga Rasulullah SAW. Orang yang sombong tidak mempunyai perasaan kasih sayang sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Selain itu, seseorang yang memiliki sifat sombong ini juga tidak terlepas dari suka berdendam dan perbuatan mahupun percakapannya tidak boleh di percayai atau diguna pakai.

Golongan ini juga bukan pemberi nasihat yang baik dan nasihatnya tidak boleh diyakini. Api kemarahan sentiasa marak dalam dirinya dan amat sukar untuk dikawal.

Sombong boleh berlaku dalam pelbagai situasi di antaranya di dalam sesebuah organisasi atau di tempat kerja. Sifat ini sering menimbulkan masalah dalam urusan kerja seharian di sesebuah syarikat. Jika tidak dibendung daripada awal ia akan menjadi barah dan akan merosakkan organisasi berkenaan.

Ada orang yang sombong kerana menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia daripada orang lain kerana pangkat yang ada pada dirinya.

Ada orang angkuh kerana pengalaman di dalam kerjanya sehingga merasakan bahawa dia adalah di kalangan yang layak dirujuk dan ada juga orang yang membangga diri kerana kepandaian yang melebihi dari orang lain.

Ini semua adalah penyakit hati boleh merosakkan sesebuah organisasi.

Penyakit ini jika tidak dirawat daripada awal akan menjadi punca kepada masalah perpecahan hati, fikiran, pertembungan idea yang tidak sihat dan akhirnya boleh memberi kesan kepada kemerosotan prestasi kerja.

Ini berlaku kerana masing-masing merasa diri dan kerjanya sempurna sehingga tidak mahu menerima cadangan, teguran atau pembaikan.

Nabi Muhammad menjamin syurga?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Solat adalah ibadat yang paling utama membolehkan kita memasuki syurga Allah di akhirat kelak.- gambar hiasan

Alhamdulillah, kita terus diberi peluang menghayati Ramadan tahun ini. Kita juga harus tidak lupa mengenang jasa Rasulullah SAW yang yang mengajar kita erti Ramadan melalui kata-kata dan contoh amalan baginda.

Dalam ruangan ini kita masih membahaskan bab keistimewaan dan kelebihan Nabi SAW. Ia terpaksa dibahaskan walaupun sebenarnya tajuk ini tidak sepatutnya jadi kontroversi.

Jika dianalisis dengan insaf, sepanjang sejarah aliran-aliran yang sesat dalam Islam, jarang sekali puncanya kerana terlampau mengangkat dan melebihkan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tersasar kerana terlampau dalam melebihkan yang lain.

Syiah tersilap kerana terlampau melebihkan Saidina Ali. Qadiyani terkhilaf kerana melebihkan Mirza Ghulam Ahmad.

Kumpulan-kumpulan Neo-Khawarij dan Neo-Mu’tazilah (Khawarij dan Mu’tazilah Moden) pula tersesat kerana terlalu melebihkan akal fikiran sendiri berbanding dengan tafsiran yang berautoriti.

Adapun aliran tradisi, Asha’irah, Sufi atau seumpamanya yang sebenarnya merupakan majoriti ummah yang kadang-kadang dituduh tersesat kerana terlalu mengagungkan Nabi SAW.

Hakikatnya sikap mereka ini menepati acuan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma mungkin sesetengah sudut kelebihan Nabi SAW jarang dibentangkan dengan baik sehingga kedengaran aneh dan janggal bagi mereka yang jarang mendengarnya.

Ia termasuklah soal keistimewaan Nabi Muhammad dalam menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al-Hafiz al-Suyuti, al-Qustallani, dan al-Zurqani di dalam syarahnya bagi kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah.

Kita sedia maklum, bahawa al-iqto’ iaitu menjamin tanah syurga hanya dimiliki oleh ahli tauhid dan dengan izin perkenan daripada Allah SWT sama ada melalui wahyu, ilham atau pun al-tafwidh (penyerahan) daripada Allah.

Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Aku hanyalah pembahagi, dan Allahlah Pengurnia.”

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan makruf pada sesiapa pun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.

Ia adalah ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu.

Jika ia dinisbahkan kepada Nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi, dan menyokong baginda.

Keistimewaan ini mempunyai contoh dan asas yang amat banyak dan kita hanya akan menyebut yang terpenting sahaja.

Antaranya, makna menjamin tanah syurga adalah nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke syurga.

Saksi Baiah Aqabah ahli syurga

Jaminan ini diperolehi oleh mereka yang menyaksikan Baiah (Perjanjian) Aqabah. ‘Ubadah ibn Somit meriwayatkan dengan katanya: “Aku termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian Aqabah yang pertama.

“Dalam perjanjian tersebut, kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kita, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kita ada-adakan di antara kita dan tidak akan menderhakai nabi dalam perkara kebaikan.”

Baginda bersabda: “Jika kalian menyempurnakan baiah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki Dia akan menyiksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian.”

Disebut oleh Ibnu Kathir dalam Bab Permulaan Keislaman Kaum Ansar (Ibnu Kathir: Al-Sirah, 2:176).

Dalam Sahih Muslim disebutkan dengan tegas bahawa baiah tersebut disyaratkan dengan jaminan masuk syurga. Ubadah ibn Somit berkata: “Aku termasuk di antara pemimpin yang membaiah Rasulullah SAW.”

Dia berkata lagi: “Kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kita dijanjikan syurga jika kita melakukan perkara-perkara tersebut.”

Dalam satu riwayat disebutkan, bahawa Nabi bersabda: “Sesiapa menyempurnakan (baiahnya), maka baginya balasan syurga (Ibnu Kathir, al Bidayah wal al Nihayah, jld 3 hlm 150).”

Menurut riwayat Qatadah mereka yang berbaiah itu berkata: “Wahai Rasulullah! Apa hak kita jika kita memenuhi (baiah itu)?” Baginda SAW menjawab: “Syurga. (al-Bidayah wal al-Nihayah, 3: 162).”

Menurut riwayat Ibnu Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu telah melaksanakan (baiah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga (riwayat Imam al Tabrani. Lihat Majma’ al Zawa’id, 6: 47).”

Utbah ibn Amru al Ansari meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika kamu melaksanakan (baiah) itu, kamu berhak atas jaminan Allah dan juga aku, untuk masuk syurga (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu ‘Asakir. Lihat Kanz al ‘Ummal 1: 67).”

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah, disebut bahawa Rasulullah pernah memberikan kedua belah capalnya kepada Abu Hurairah.

Kemudian baginda bersabda kepadanya: Pergilah kamu! Sesiapa sahaja yang kamu temui di belakang dinding ini bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka gembirakanlah dia dengan syurga. (riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al Iman).

Begitulah sebahagian perbahasan berkenaan soal ini yang akan disambung minggu hadapan dengan izin-Nya.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah tidak salah menerima ungkapan Nabi SAW menjamin syurga dengan kefahaman yang kita sebut di atas.

Ia tidaklah bercanggah dengan tauhid kerana hakikatnya kelebihan ini tidaklah terkeluar daripada kurniaan dan kekuasaan Allah SWT.

Kaki ponteng puasa semakin berani

Makan secara terbuka di sebuah gerai yang menjadi lubuk ponteng puasa di sekitar kawasan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

KETIKA umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, lain pula halnya dengan golongan kaki ponteng puasa yang tidak segan-silu melakukan dosa.

Keberanian si kaki ponteng puasa semakin terserlah, seolah-olah tidak gentar langsung dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara berdasarkan Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan jika disabitkan bersalah.

Malah, semakin ramai di kalangan mereka tergamak ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari yang lazat di khalayak umum.

Hinggakan ada di antara mereka memilih untuk berbuka secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai mahupun restoran-restoran.

Yang menimbulkan tanda tanya ialah operasi penguatkuasaan seolah-olah gagal berperanan untuk membendung gejala yang memalukan umat Islam tersebut.

Ikuti pendedahan oleh wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ROSALINDA MD. SAID dan NORAZRIN MARZUKI serta jurugambar, ZAINI HUSIN, RIDUAN RIZAL dan SAFIYANA SALIM mengenai trend terbaru kaki ponteng puasa melepaskan lapar dan dahaga di gerai-gerai dan restoran sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tanpa sekelumit rasa berdosa atau malu, golongan kaki ponteng puasa kini semakin berani ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari di depan khalayak umum.

Mereka tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk itu secara ‘sorok-sorok’, sebaliknya, memilih untuk ‘berbuka’ secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai-gerai atau restoran.

Hal ini jauh berbeza dengan siasatan yang pernah dijalankan Unit Khas Utusan Malaysia pada tahun lepas apabila taktik penyediaan ‘tempat makan khas’ di bahagian belakang atau dapur, telah tidak lagi menjadi kegemaran si kaki ponteng puasa.

Demi nafsu, golongan kaki ponteng puasa seolah-olah tidak lagi kisah dan merelakan wajah serta aksi ‘makan’ mereka ditonton orang ramai.

Malah, ada yang sanggup duduk dan makan secara terbuka walaupun hakikatnya ruang disediakan tersebut dipenuhi oleh orang bukan Islam yang sedang makan tengah hari.

Strategi mereka yang makan, sama ada secara berseorangan ataupun berdua bagi mempercepatkan urusan ‘berbuka’, mungkin sukar dikesan oleh pihak penguat kuasa.

Trend terbaru ini adalah hasil tinjauan oleh Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa gerai dan restoran makanan di sekitar ibu kota sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.

Apa yang menarik, golongan ini gemar memilih lokasi gerai atau restoran yang terletak betul-betul di tepi atau bahu jalan.

Pilihan itu mungkin untuk memudahkan mereka memerhati atau melihat sesiapa sahaja yang lalu-lalang, khususnya anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun, sikap makan secara terbuka tersebut dilihat sering dilakukan oleh golongan lelaki muda manakala mereka yang telah berusia pula memilih membeli makanan secara bungkus.

Bagi yang membeli secara bungkus, tiada lagi istilah malu untuk menutup muka dengan topi keledar ataupun berkaca mata hitam.

Apa dikesalkan ialah sepanjang siasatan dilakukan, tiada sebarang operasi penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Malah sumber dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi turut mengesahkan mereka hanya melakukan pemantauan biasa dalam tempoh tersebut.

Gambar-gambar yang disiarkan ini adalah hasil tinjauan di gerai-gerai serta restoran mamak yang beroperasi seperti biasa di sekitar ibu negara.

Bahasa Melayu di Madinah

Pemandangan bazar di Madinah yang ada di kalangan juru jual boleh berbahasa Melayu.

LAUNGAN “25 Riyal! 25 Riyal!…Mari ibu, hajah-hajah, mari beli! Murah, murah” daripada peniaga, kedengaran di lorong-lorong di luar Masjid Nabawi menyambut jemaah yang baru selesai menunaikan solat mereka.

Yang menariknya bahasa yang sering digunakan peniaga-peniaga ini ialah Melayu.

Penulis yang berada di tanah suci Madinah baru-baru ini, mendapati penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas dan lebih ramai menggunakannya terutama dalam kalangan peniaga.

Sememangnya, sekitar minggu terakhir bulan Mei sehingga pertengahan Jun, ramai pengunjung terdiri daripada warga Malaysia, berada di Madinah.

Sempena cuti sekolah, ramai yang turut membawa anak-anak mereka menziarah kota Madinah sebelum ke tanah suci Mekah melakukan ibadah umrah.

Peniaga-peniaga di Madinah kebanyakannya datang dari negara-negara yang berjiran dengan Arab Saudi termasuk Afrika.

Mereka menjual jubah berbunga dengan labuci dan perada emas atau perak, kain tudung, barang perhiasan diri yang diperbuat daripada plastik dan lain-lain, serta pakaian lelaki dan perempuan, untuk dibeli jemaah sebagai tanda mata dibawa pulang untuk rakan dan sanak saudara di tanah air masing-masing.

Kebanyakan peniaga bagaimanapun tidak mempunyai lesen dan mereka akan lari bertempiaran apabila melihat pegawai penguatkuasa datang. Kadang kala ini berlaku ketika pembeli dan peniaga sedang tawar menawar.

Apabila peniaga lari, ada yang meninggalkan saja barangan lelongan mereka.

Pembeli pula takut untuk berganjak dan menunggu penjual itu datang semula.

Adakalanya, peniaga hanya menarik kain alas yang digunakan untuk menghampar barang jualan di atasnya, diikat seperti satu bunjutan besar dan lari bersembunyi di balik tiang-tiang di seberang jalan atau di dalam kedai-kedai di tepi jalan utama, yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari Masjid Nabawi.

“Saya suka berebut-rebut membeli barang-barang di lorong lelong ni selepas solat waktu, terutama waktu Isyak,” kata Zaleha Abdul Aziz, 50, dari Selangor.

Zaleha yang tiba pada 31 Mei lepas bersama suami dan anak-anak untuk menunaikan Umrah di tanah suci Mekah, berkata, udara agak sejuk ketika itu.

Lorong-lorong di antara Hotel Al Anwar Movenpick, Hotel Intercontinental dan lain-lain, menjadi bazar sementara yang dibuka mengikut waktu tertentu terutama selepas waktu solat.

Jika pembeli tahu bahasa Arab dan membeli secara pukal, mereka boleh mudah menawar harga dan mendapat diskaun.

Rata-rata peniaga jalanan menjual barang-barang mereka pada harga yang serupa oleh itu pelanggan tidak ada pilihan lain.

“Harga di dalam kedai pun lebih kurang juga tetapi kerana cuaca pada musim panas ini cepat meletihkan, saya lebih minat membeli apa saja yang boleh didapati di dalam perjalanan balik ke hotel. Tak perlu keluar lagi, cuma perlu bawa wang yang mencukupi.

“Kita hanya perlu memeriksa jahitan jubah atau skaf untuk memastikan tiada yang koyak atau rosak,” jelas Sharifah Zakiah Syed Alwi, yang membeli barang untuk diberikan kepada sahabat handai dan sanak saudara di kampung halaman.

Ramai yang bimbang mengeluarkan wang besar kerana peniaga sering mendakwa tiada wang tukar untuk dipulangkan.

Walaupun ada pengurup wang yang berdekatan, tetapi sering dikerumuni pengunjung yang baru tiba untuk menukar mata wang.

Jemaah yang menjejakkan kaki buat kali pertama di kota Madinah pasti tidak mahu ketinggalan melawat ladang tamar yang terletak tidak jauh dari kawasan ‘Jabal’ atau gunung-ganang yang mempunyai kepentingan di dalam sejarah Islam.

Antara tempat ziarah yang dikunjungi dan diatur ejen pelancongan untuk jemaah dari Malaysia, ialah Jabal Uhud dan Jabal Thour, kawasan ‘Wadi’ atau tanah subur yang menghijau, pasar tamar dan masjid termasuk Masjid Quba’, Qiblatain dan Masjid Tujuh.

Kos hotel di Madinah agak tinggi terutama yang terletak berhampiran Masjid Nabawi, sekurang-kurangnya SR550 (atau RM440) satu malam, untuk bilik berkongsi dua, pada bulan Mei hingga Julai.

“Harga untuk bulan Ramadan belum ditentukan lagi,” jelas seorang petugas kaunter di Hotel InterContinental. Harga bilik paling murah di hotel bertaraf lima bintang ini ialah SR650 (RM520) satu malam.

Hotel ini terletak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi. — BERNAMA

Allah gembirakan tentera Uhud

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Madinah kini pesat membangun dengan jutaan manusia berkunjung ke Masjid Nabawi saban tahun.

Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.

Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.

Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.

Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah – kekalahan umat Islam.

Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.

Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.

Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan kalah buat selama-lamanya.

Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat ‘dipujuk’ dengan turunnya ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.

Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah seperti berikut:

l Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (ali-‘Imran: 139)

l Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (ali-‘Imran: 140)

l Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (ali-‘Imran: 147)

Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.

Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.

Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada diambil kesempatan oleh pihak musuh.

Dapat hidayah selepas 25 tahun

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
IBRAHIM Karlsson kini tenang meneruskan kehidupan selepas bergelar muslim.

SEBELUM mengenal Islam, Ulf Karlsson adalah seorang lelaki biasa yang langsung tidak punya pegangan agama. Dia mengaku sebagai seorang yang lebih mengejar kebendaan atau materialistik. Tidak pernah sedikit pun terlintas dalam fikirannya mengenai kewujudan Tuhan.

“Saya menjalani kehidupan selama 25 tahun tanpa pernah benar-benar memikirkan mengenai kewujudan Tuhan atau hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian,” ujar lelaki yang berasal dari Sweden itu.

Bagaimanapun, dia masih ingat kenangan semasa kecil, iaitu ketika di kelas tujuh, Karlsson pernah menulis mengenai soal masa depan dan apa yang beliau inginkan ketika itu.

Dia menggambarkan dirinya sebagai seorang pengaturcara komputer yang sangat berjaya (padahal saat itu, dia sendiri tidak pernah menyentuh komputer).

Apa yang lebih menariknya, dia akan berkahwin dan ingin hidup bersama dengan seorang isteri yang beragama Islam.

“Waktu itu, perkataan Muslimah bagi saya adalah perempuan yang mengenakan baju panjang, longgar dan memakai jilbab. Tetapi saya tidak tahu daripada mana datangnya fikiran yang seperti itu dan melintas di kepala saya,” ujarnya mengenang impian masa kecilnya itu.

Waktu berlalu sehinggalah Karlsson menamatkan pengajian tingginya dan mula bekerja seperti anak-anak muda yang lain.

Namun minat yang begitu mendalam di bidang fotografi telah membolehkan Karlsson mempunyai pendapatannya sendiri. Sehingga dia akhirnya mampu berpindah ke sebuah unit apartmen yang dibelinya sendiri.

Karlsson mengaku dia sendiri tidak tahu bagaimana akhirnya beliau mengenali Islam kerana yang semua terjadi adalah tanpa dirancang.

“Banyak hal yang saya sendiri tidak mampu jelaskan, apa yang saya lakukan, dan mengapa saya melakukannya.

“Saya tidak ingat apakah yang menyebabkan saya menelefon Organisasi Informasi Islam di Sweden dan berdaftar untuk melanggan buletin yang mereka terbitkan dan mengapa saya membeli terjemahan al-Quran oleh Yusuf Ali dan membeli sebuah buku yang sangat bagus berjudul Islam: Our Faith.

“Semuanya berlaku begitu sahaja,” kata Karlsson.

Tetapi selepas membaca keseluruhan terjemahan al-Quran itu, Karlsson mengakui isi kandungan kitab suci tersebut adalah sangat indah maksudnya dan boleh diterima akal.

“Begitupun saya masih belum merasakan akan kehadiran tuhan di hati saya,” jelasnya.

Sehinggalah pada suatu hari, saat berada di sebuah pulau yang sangat indah pemandangan alam semula jadinya, Karlsson dapat merasakan satu perasaan yang luar biasa menerobos masuk ke hatinya saat beliau merakamkan potret-potret pemandangan dan suasana musim gugur di pulau itu.

“Suatu perasaan kagum yang menyelubungi diri tetapi membuatkan saya berasa begitu kecil dan kerdil pada sesuatu yang sangat besar, yang sangat hebat iaitu alam semesta yang pasti ada pencipta dan pemiliknya iaitu Tuhan.

“Sangat indah, sehingga begitu menggetarkan perasaan yang tidak pernah saya rasai seperti ini sebelum ini yang menyebabkan saya berasa sungguh tenang namun membangkitkan suatu semangat baru.

“Namun atas segala-galanya itu, saya mula merasakan kehadiran tuhan pada mana-mana sudut pemandangan keindahan alam yang saya saksikan,” katanya.

Segala kenangan indah yang dialami di pulau itu terus terpahat dalam ingatannya sehingga Karlsson pulang ke rumah. Semua itu membuatkan beliau ingin mengenali Tuhan dengan lebih dekat lagi.

Ini disusuli hatinya terus terusik pada suatu hari, saat pulang dari kerja dengan menaiki sebuah bas ketika sebahagian besar penumpang yang lain lena diulit tidur yang lena, Karlsson menikmati satu pemandangan yang lazimnya adalah biasa pada orang lain namun ia semakin menggetarkan perasaannya sendiri.

“Saya menikmati sepenuhnya pemandangan keindahan matahari yang terbenam di ufuk barat dengan gumpalan awan gemawan yang menebarkan cahaya keemasan yang akhirnya menghasilkan satu kanvas lukisan yang membuatkan sesiapa yang melihatnya, hatinya pasti terpana, tidak mampu untuk berkata apa-apa.

“Selama beberapa minit saya merasakan satu kedamaian total dan sebuah kesedaran besar bahwa semua ini adalah hasil karya Tuhan. Yang menyebabkan saya sangat merindukan detik-detik seperti ini supaya terjadi lagi,” ujar Karlsson.

Maksiat undang bala

Oleh Dr. Burhanuddin Abdul Jalal
Kejadian bencana alam seperti banjir besar adakalanya adalah natijah daripada perbuatan manusia sendiri. – Gambar hiasan

SEJARAH membuktikan umat terdahulu dibinasakan Allah SWT akibat maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah daripada syurga kerana maksiat yang dilakukan. Begitu juga kisah umat Nabi Nuh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat.

Firman Allah yang bermaksud: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. (al-Qamar: 11 dan 12)

Allah menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan (rujuk ayat 40 surah al-Qasas).

Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah.

Allah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi (rujuk ayat 74 surah al-Hijr).

Selain itu, Allah juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu (rujuk ayat sembilan surah al-Ahzaab).

Selanjutnya adakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israel. Allah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israel.

Allah berfirman yang bermaksud: Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (al-Israk: 5).

Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa 100 tahun yang lalu.

Semuanya menjadi sebab musabab malapetaka yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua (riwayat Ahmad).”

Oleh yang demikian, sewajarnya kita merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat daripada hadis tersebut. Ini kerana secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah.

Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan. Tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis.

Apabila ditanya mengapa beliau dalam kesedihan, Abu Dardak menjawab: “Aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka.”

p/s  Buat renungan dan amalan kita