amukan melayu: BUAT SENYAP-SENYAP BILA DAH KANTOI MANA MAU LARI?

amukan melayu: BUAT SENYAP-SENYAP BILA DAH KANTOI MANA MAU LARI?: Buat senyap-senyap, bila dah berisi mana mau sorok lagi!!!!! OLAK LEMPIT – Khamis, 2 Syaaban 1436H. Rakyat tak kesah pun dengan 1MDB, …

Advertisements

Parti baharu dan pesta politik; GST dan Embargo

CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 13 Mei 2015 1:21 AM
KHABARNYA sebuah parti po­litik baharu akan dilancarkan Jumaat ini. Namanya berbunyi lebih kurang Parti Ikatan Bangsa Malaysia.
Buku Embargo
Difahamkan ia adalah parti pelbagai kaum. Mengambil cadangan yang dibuat oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar lebih 69 tahun lalu, yang mengesyorkan UMNO ditukar namanya kepada United Malayan (bukan Malay) National Organisation, untuk membuka pintu kepada semua kaum. Itulah kononnya asas kepada parti baharu itu.
Jika benarlah kemunculan parti itu maka negara kita akan terus meriah dengan pesta politik. Orang kita berpolitik hari-hari.
Sehinggakan sebahagian tugas kerajaan sekarang ini ialah menepis dan menangkis sepak terajang politik.
Pembangkang sekarang bertepuk tangan sakan melihat fenomena yang berlaku.
Jika benarlah apa yang berlaku sekarang sebahagian daripada adalah usaha pembangkang, ternyata mereka berjaya. Sungguh halus permainan mereka.
Sehinggakan orang Melayu begitu marah sekali dengan kerajaan Melayu yang ada ini. Kalau boleh hari ini juga mereka mahu kuburkan kerajaan yang ada ini.
Alah sesiapa pun yang memerintah sama sahaja, kata mereka yang begitu amarah itu.
Pihak yang menjadi nasi tambah pun banyak. Berlambak-lambak dalam media sosial. Tugas mereka menuang petrol dan menabur cabai Melaka.
Orang yang membacanya panas meluap-luap. Seolah-olah mereka begitu mahir mengenai transaksi itu dan ini. Isu Tabung Haji juga menyebabkan mereka naik panas. Seolah-olah kerajaan ada muslihat mahu menipu rakyat. Hairannya, ramai yang percaya, termasuk cerdik-pandai.
Maka itulah banyak sekali pepatah Melayu yang menyebut mengenai tabiat amarah orang Melayu ini.
Kerana nyamuk seekor, satu kelambu dibakar. Akhirnya menang sorak, satu negara tergadai.
Pencacai politik kepada pemikiran orang Melayu ini semakin bercambah sekarang ini. Ada yang menjadikannya sebagai mata pencarian.
Yang menjadi mangsa ialah orang kita sendiri.
Berbalik kepada parti baharu itu, pengasasnya pula ialah bekas pemimpin tertinggi UMNO yang sekejap sebelah sana dan sini. Khabarnya lagi dia pun ada banyak masalah. Macam-macam masalah.
Kita tunggulah siapa dia…
GST Indonesia 
dan GST Malaysia
BARU-BARU ini seorang sahabat baru pulang dari membeli-belah di Jakarta.
Bersungguh-sungguh dia berkata, Indonesia ialah destinasi shopping yang murah – walaupun GST di negara itu ialah 10 peratus.
Peniaga-peniaga di sana, bukan macam di negara ini. Mereka tidak mencatut dan membuat untung keterlaluan.
Mereka tidak tamak. Jika harga di peringkat pembeli boleh dijual murah, maka rangkaian pengeluarannya sudah tentu juga murah.
Dengan jumlah kepelbagaian penduduk seramai suku bilion orang, negara itu ternyata hebat. Jangan kiralah kos buruh negara itu rendah menyebabkan barangannya murah. Orang hanya mahu tahu harganya murah.
Pelik di Indonesia barangan import juga murah berganda berban­ding negara ini.
Mengikut sahabat itu kain baju import yang berkualiti, harganya berganda-ganda lebih murah daripada yang dijual di gedung di negara ini.
Tidak hairan para peniaga di sini untung kerana harga di sini berlipat kali ganda mahalnya.
Berbalik kepada soal GST, di Indonesia hal cukai itu yang sudah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu tidak pernah menjadi satu kekecohan.
Malah saya mahu memetik apa yang dikatakan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno kepada sebuah akhbar tempatan.
“Malaysia tidak perlu takut kepada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia banyak membawa faedah. Sebagai contoh Indonesia telah berjaya melaksanakan GST untuk kebaikan negaranya.
“Kenapa perlu takut? Pada saya pelaksanaan GST akan menguntungkan rakyat, menambah pendapatan negara kerana GST akan mengurangkan cukai yang sedia ada,” katanya.
Di Indonesia GST dipanggil Pertambahan Pajak Nilai (PPN) diper­kenalkan sejak 12 tahun lalu.
Pelaksanaan PPN atau VAT me­nyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dengan kadar terkini sebanyak 10 peratus.
GST di Malaysia dilaksanakan pada 1 April lalu dengan kadar 6 peratus.
Malah Presiden Indonesia Joko Widodo turut mempersenda kita.
“Pak Najib (Razak) di Malaysia sudah berkali-kali bilang GST itu bagus. Kalau bagus, waduh, kenapa harus 6 peratus saja? Jadi saya naik­kan GST di Indonesia sebagai 16 peratus.
“Moga-moga negara kita 10 peratus lebih makmur berbanding Malaysia dan tenaga kerja kita tidak lagi perlu mencari rezeki di sana,” kata Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi.
Saya kadang-kala mahu juga percaya bahawa konflik GST di negara ini sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat-niat tertentu.
Namun saya tidak akan boleh maafkan pihak berkuasa, sekiranya mereka gagal mengajar para peniaga supaya berniaga dengan berhemah dan bertanggungjawab. Perlu disebut di sini, peniaga Malaysia adalah antara yang paling tamak di dunia.
Jika itu pun gagal dilakukan oleh pihak berkuasa, maka gagallah GST di Malaysia.
Dan sekali lagi merekalah yang akan menang!
EMBARGO oleh 
Zahari Affandi
BEBERAPA hari lalu saya mene­rima sebuah novel yang baharu dilancarkan bertajuk Embargo tulisan bekas wartawan Utusan Melayu, Zahari Affandi.
Bersama-sama buku itu diselit sepucuk surat bertulis: “Bukannya seperti kebanyakan penulis “Hantu Raya” yang makan upah, dapat makan telur, semuanya bagus, tetapi kalau tak ada telur, tuan sendiri pun dia makan.”
“Kerana saya cukup berminat dengan Cuit setiap Rabu, tolonglah luangkan masa untuk membaca Embargo… kerana banyak menyentuh tentang ke­renah dan perangai orang UMNO.”
Novel terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu mengisahkan:
YB Datuk Alang Bahadur dalam perancangan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik. Ketika berusaha untuk mempertahankan kedudukannya itu, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam parti dan keluarganya.
Salah satu petikan menarik dalam buku itu: “Bagi aku Piah, kehidupan masyarakat majmuk di negara ini umpama tiga buah kapal di tengah samudera. Jika taufan melanda, ombak setinggi langit datang membadai, bukan sahaja kapal Cina atau India yang musnah, ke­semuanya hancur lebur. Sebab itu apabila Melayu bercakap mengenai orang Cina atau India kena berhati-hati jangan terlalu emosi…”
Zahari yang kini menerajui syarikat penerbitannya sendiri, pernah menjadi pengelola ruangan Sastera Mingguan Malaysia, penyunting Utusan Zaman dan majalah URTV sebelum meninggalkan Utusan Melayu pada 1982.

GST : Jangan tunduk dengan pengusaha restoran, hotel

FARHANA JONI 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 15 April 2015 1:42 AM
JACOB GEORGE
 S.M. Mohamed Idris
Datuk Yusoff Ismail 
Datuk Paul Selvaraj 
KUALA LUMPUR 14 April – Kerajaan tidak perlu membuang masa untuk mengkaji caj perkhidmatan yang dikenakan pengusaha restoran dan hotel terhadap pengguna, sebaliknya perlu bertindak tegas menghapuskan bayaran tersebut dengan segera.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, langkah itu perlu kerana masyarakat hari ini kerap mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu bertolak ansur terhadap pengusaha restoran, hotel dan syarikat telekomunikasi hingga membebankan mereka sebagai pengguna.
Katanya, pengusaha restoran dan hotel seolah-olah mengambil kesempatan terhadap ‘kelembutan’ kerajaan dengan memberi alasan caj perkhidmatan lima hingga 10 peratus yang dikenakan terhadap pengguna itu akan diberikan kepada pekerja.
“Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran itu kerana kutipan bayaran itu tiada kena-mengena langsung dengan pengguna, sebaliknya terkandung dalam syarat serta perjanjian antara majikan dengan pekerja.
“Apabila caj perkhidmatan ini masih ada, masyarakat mula sangsi dengan matlamat cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pada peringkat awal kerajaan mengatakan ini berperanan meringankan beban tetapi kini mereka perlu membayar dua cukai pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bahawa kerajaan sedia menimbang untuk memansuhkan caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan jika dilihat tidak adil kepada pengguna, semalam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj mencadangkan kerajaan menghapuskan terus caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus itu dan memperkenalkan dasar satu harga bagi mengurangkan beban pengguna.
“Jumlah caj tersebut sepatutnya diberikan oleh pelanggan hanya jika mereka berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan. Bukan hak pengusaha untuk menentukan kadarnya.
“Pemerhatian yang dilakukan oleh FOMCA sendiri juga mendapati, kebanyakan pengusaha tidak mempunyai perjanjian bersama dengan pekerja yang menyatakan secara jelas mengenai caj perkhidmatan.
“Caj yang dikutip tidak diberikan kepada pekerja, sebaliknya hanyalah menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha yang jelas tidak adil kepada pekerja dan pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail pula berkata, orang ramai telah muak dengan kenyataan mengkaji yang sering dikeluarkan oleh kerajaan berhubung isu cukai perkhidmatan kerana sepanjang tempoh kajian itu dilaksanakan, rakyat te­rus terbeban.
Katanya, jika kerajaan telah se­bulat suara melaksanakan GST pada 1 April lalu, maka tiada sebab untuk mengkaji atau berbincang dengan pengusaha hotel, restoran dan syarikat telekomunikasi tentang caj perkhidmatan, sebaliknya perlu dihapuskan serta-merta.
“Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan GST, kami menerima kira-kira 500 aduan orang ramai yang keliru dengan dua cukai yang dikenakan terhadap setiap pembelian, malah mempertikaikan apa kuasa kerajaan sebenarnya dalam menangani isu caj perkhidmatan ini kerana jelas membebankan pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.
Di samping itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengkaji dahulu membuktikan kerajaan tidak bersedia melaksanakan GST kerana mereka seharusnya bersedia dan merancang dengan teliti serta mendapatkan maklumat statistik yang mencukupi.
Jelasnya, saranan untuk menimbang dan meneliti caj perkhidmatan adalah gimik kerajaan semata-mata dan membuang masa.
“Perkara ini tidak betul-betul digambarkan oleh kerajaan, dalam keadaan sekarang semua pihak terperangkap sama ada pengguna, ahli ekonomi dan juga pelancong. Saya mendapat pertanyaan daripada pelbagai pihak antarabangsa seperti Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya yang bertanyakan tentang soal GST ini.
“Kastam tidak dapat jawab soalan, kredibiliti dan kualiti yang dikeluarkan mereka amat mendukacitakan selain tidak bersedia sepenuhnya. Alih-alih kita (persatuan pengguna) yang kena seperti ‘punching bag’,” katanya.
Pandangan itu turut disuarakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang melihat caj per­khidmatan tidak lagi wajar dikenakan pada masa sekarang.
“Kalau dahulu diwujudkan se­bab gaji rendah iaitu RM450 sebulan, kerana itu kerajaan wujudkan perjanjian bersama (CA) tetapi sekarang gaji minimum adalah RM900. Oleh itu, sudah tidak ada keperluan untuk terus mengenakan caj perkhidmatan ini malah gaji pekerja seharusnya ditanggung oleh majikan bukan pengguna yang telah membayar untuk makan dan minum.
“Kerajaan seharusnya mengikut corak sendiri dan bukan berpandukan negara yang mengamalkan pelaksanaan cukai ini. Caj perkhidmatan memang tidak diperlukan dan seharusnya di buang terus daripada sistem kerajaan,” katanya.

Aplikasi MyKira banding 
harga sebelum, selepas GST

31 Mac 2015 1:41 AM
HASAN MALEK (duduk) melancarkan Pusat Gerakan Antipencatutan dan Aplikasi MyKira GST di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 30 Mac – Orang ramai yang mahu membuat perbandi­ngan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.
Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihak­nya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk memban­dingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April ini.
Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.
“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.
“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan PGAP dan aplikasi MyKira GST di sini hari ini.
Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu ini.
Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.
Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.
Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.
“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.