Liga Perdana 2015: Kedah, Sabah beri isyarat awal

SABTU, 7 FEBRUARI 2015 @ 12:06 AM
PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar terjatuh selepas diasak pemain Kuala Lumpur SPA, Hishamudin Osman pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Darulaman, Alor Setar. Kedah membelasah KL SPA 5-1. – Foto Amran Hamid
KUALA LUMPUR: Kedah memulakan kempen bola sepak Liga Perdana 2015 dengan nota ceria di hadapan penyokong sendiri apabila gah membelasah KL SPA 5-1 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.
Sabah juga tunjuk belang awal apabila pasukan diketuai bekas bintang Liverpool, El Hadji Diouf merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Merdeka.
Pada perlawanan pertama itu, Negeri Sembilan, PKNS FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) 11 dan Pulau Pinang turut menyerlah mengutip tiga mata.
Di Alor Setar, Mohd Hanif Mat Dzahir membuka tirai jaringan untuk Kedah pada minit ke-23 dan KL SPA berjaya mengimbangi saingan untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 1-0.
Selepas rehat, jentera serangan tuan rumah makin panas dan penyerang import, Keith Murtu Nah menambah dua gol pada minit ke-48 dan 60 sebelum Baddrol Bakhtiar menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-61.
KL SPA menjaringkan satu gol menerusi Michael Chukwubunna pada minit ke-68 tetapi Chidi Edeh menambah derita pelawat dengan gol kelima minit ke-90.
Sabah memulakan kempen Liga Perdana dengan bergaya selepas mengumpul tiga mata penuh hasil kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur.
Tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan pintu gol pelawat menerusi Kalle Sone pada minit ke-12, namun rembatannya di dalam kotak penalti ditepis penjaga gol Sabah, Mohd Fazli Paat.
Sabah turut mendapat peluang untuk menghasilkan jaringan pertama pada minit ke-29 tetapi tandukan kurang kemas daripada Eamon Zayed sedikit melepasi palang gol.
PEMAIN Sabah yang juga bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Fariss pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka hari ini. Sabah menang 2-0. – Foto BERNAMA.
Minit ke-45, bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf meletakkan namanya sebagai penjaring pertama buat Sabah musim ini dengan menyudahkan sepakan penalti selepas Leopold Alfonso dijatuhkan Jihad Ismail.
Bersambung babak kedua, Sabah hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jaringan menerusi Safuan Adli yang bijak menolak masuk bola ke gawang gol selepas kesilapan pertahan Kuala Lumpur gagal menampan kemas hantaran lintang Mohd Azizan Nordin.
Di Stadium Bandaraya, jaringan tunggal Lee Kwang-Hyun pada minit ke-58 mengesahkan kemenangan buat Pulau Pinang mengatasi Kuantan FA.
PKNS FC turut ceria dengan tiga mata selepas mengatasi T-Team 2-0 hasil jaringan
Gonzalo Soto pada minit ke-60 dan lima minit kemudian oleh Mohd Munir Amran pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Negeri Sembilan dengan gelaran Matrix dan membuat pelaburan besar pada musim ini, melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Pasukan pelawat bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Mohd Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-17 sebelum bangkit meledak tiga gol menerusi Jean Alexandre pada minit ke-18, Francis Forkey Doe (m-51) dan G Puaneswaran pada minit ke-78.
Pasukan selatan tanah air, JDT II pula menerima tentangan sengit daripada UiTM FC sebelum menang tipis 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.
Pemain antarabangsa Singapura, Mohd Shahril Ishak, yang juga kapten pasukan, meletakkan skuad ‘Harimau Selatan’ di hadapan seawal minit kesembilan sebelum Dao Bakary menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-29.
Penyerang import dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez memastikan tiga mata penuh menjadi milik JDT II selepas meledak jaringan kemenangan pada minit ke-80.
Advertisements

LIGA PERDANA – Kedah rosak majlis PDRM, Dollah

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
SELAYANG – Majlis meraikan PDRM muncul juara Liga Perdana dan kembalinya mereka ke Liga Super musim depan terencat malam tadi apabila mereka tumpas mengejut 3-2 kepada Kedah dalam perlawanan terakhir musim ini di Stadium Selayang.
Kekalahan kedua mereka bagi musim ini itu juga merosakkan majlis perpisahan buat Dollah Salleh yang dijangka mengambil alih tugas jurulatih Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Selaku juara, PDRM meraih RM300,000 dan hadiah disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku penaung Persatuan Bola Sepak PDRM.
Kejayaan itu jelas membanggakan Ahmad Zahid yang menganggap kejayaan menjulang trofi Liga Perdana sebagai medan penebus maruah PDRM yang sebelum ini dipandang sepi dalam kancah bola sepak tempatan.
“Syabas diucapkan kepada semua pemain dan pegawai PDRM terutama jurulatih, Dollah Salleh dan kemenangan ini adalah medan terbaik menebus maruah pasukan ini yang tidak pernah diperolehi,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Sebelum babak pertama berakhir, skuad Lang Merah mendahului 1-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Zainon yang menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza dari jarak dekat.
Separuh masa kedua memperlihatkan Kedah semakin garang apabila memperoleh dua jaringan dalam tempoh tiga minit.
Pemain import dari Korea Selatan, Nam Kung Woong yang berjaya melepasi kawalan pertahanan PDRM sebelum melepaskan rembatan leret bagi gol kedua pada minit ke-56.
Tidak sempat The Cops mahu bernafas, Billy Mehmet menghukum kealpaan pertahanan PDRM pada minit ke-58 apabila dia yang tidak dikawal memperdayakan Helmi bagi mengukuhkan kedudukan pelawat.
PDRM mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila merapatkan jurang melalui gol Ashfaq Ali pada minit ke-60 dan Mohd. Fauzi Majid, minit ke-78 namun sudah terlewat menghalang kemenangan Kedah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140625/su_03/Kedah-rosak-majlis-PDRM-Dollah#ixzz35cFI7GEY  © Utusan Melayu (M) Bhd 



LIGA PERDANA – ‘Keputusan tak masuk akal’

Polis mengarah penyokong JDT II tidak membaling objek ke dalam padang selepas tamat perlawanan menentang UiTM FC di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

Kami ada bukti rakaman berhubung tindakan pengadil: Pegawai JDT II

Pasir Gudang: Mutu pengadilan yang cukup rendah dipercayai menjadi punca pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT II), On Jabbar@Jaafar bertindak menyerang seorang pengadil perlawanan selepas aksi Liga Perdana antara pasukannya dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), kelmarin. 
Ternyata pengadil perlawanan, Sukri Abd Rahman yang dibantu penolong pengadil 1, Mohd Jais Bujang dan penolong pengadil 2, Muhammad Faiz Che Mud gagal mengawal perlawanan dengan baik. 
Kerana beberapa keputusan yang dibuat bukan sahaja mengundang kemarahan pengurus pasukan JDT II, malah penyokong tuan rumah turut tidak berpuas hati terhadap pengadil itu ketika mengendalikan perlawanan yang berkesudahan seri 2-2. 

Hantar surat bantahan 

Seorang pegawai JDT II yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya akan menghantar satu salinan rakaman perlawanan itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai bukti betapa mutu pengadilan perlawanan itu cukup rendah. 
“Kami juga akan menghantar surat bantahan kepada FAM berhubung beberapa keputusan pengadil yang tidak masuk akal. 
“Kami berharap badan induk bola sepak negara itu mengambil tindakan penambahbaikan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M),” katanya semalam. 
BH Sukan difahamkan On mula mempersoalkan keputusan Sukri apabila pengadil itu melayangkan kad kuning kepada Shahril Ishak selepas pemain itu meminta pengadil terbabit melakukan sesuatu terhadap pemain UiTM yang membuat benteng terlalu hampir sehingga menghalangnya untuk melakukan sepakan percuma. 
Sukri juga tidak memberikan sepakan penalti kepada JDT II selepas pemain UiTM FC menggunakan tangan di dalam kotak penalti pada babak kedua. 
Situasi itu juga mengundang rasa tidak puas penyokong tuan rumah yang kecewa dengan mutu pengadilan memaksa pihak polis mengawal bilik persalinan pengadil dan pemain UiTM. 
Semalam BH Sukan melaporkan kekecohan berlaku sebaik perlawanan membabitkan JDT II dan UiTM dalam saingan Liga Perdana, malam kelmarin apabila seorang pengadil ditumbuk oleh seorang pegawai pasukan.

LIGA PERDANA – PDRM perit sebelum menang

Pemain PDRM, Mohd.Alafi Mahmud (tengah) dihalang pemain JDT II, Mohd. Aznie Taib (kiri) dan Mohd. Akram Mahinan pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Perdana, PDRM dipaksa bekerja keras oleh Johor Darul Ta’zim (JDT II) sebelum menang tipis 1-0 di Stadium Petaling Jaya bagi mengekalkan kedudukan tangga teratas de­ngan kelebihan enam mata ke atas pencabar terdekat, Pulau Pinang.
Jaringan daripada bekas pemain JDT, Ahmed Ezrie Shafizie pada minit ke-85 yang memanfaatkan bola muntah percubaan Chad Charles Souza memastikan pelawat pulang dengan tangan kosong dan meletakkan The Cops masih belum kalah selepas 13 perlawanan.
Di Stadium Likas, Pulau Pinang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Sabah dan mele­takkan mereka kekal di tangga ke­dua.
Andrezinho meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-39, sebelum skuad Harimau Kumbang bangkit mengganas pada baki 45 minit permainan dengan ledakan tiga gol melalui Zamri Chin (minit ke-53), Titi Buengo(minit ke-66) dan Lee Gil Hoon(minit ke-72).
Hasrat PBAPP mencipta kemenangan kedua tidak kesampaian apabila kalah 1-2 kepada Felda United di Stadium Bandaraya.
Edward Junior Wilson memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-16 sebelum pemain import Felda, Ndumba Makeche menggandakan kelebihan pada minit ke-58. Gol saguhati PBAPP disumbangkan Mohd. Faiz Nasir pada minit ke-72.
Malang berterusan buat Perlis apabila dibelasah 1-6 oleh Kedah di Stadium Darul Aman dengan pemain import dari Ireland, Billy Mehmet Osman meledak dua jaringan pada minit ke-10 dan 15 diikuti Faizal Abu Bakar pada minit ke-33.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140415/su_04/PDRM-perit-sebelum-menang#ixzz2yvAdrNHI  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

LIGA SUPER & PERDANA – Terengganu libas Bujang Senang

Oleh MD. AZRIN ROSLY
dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my


KUCHING – Terengganu kembali menerajui Liga Super apabila membelasah Sarawak 3-1 dalam perlawanan manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskan beberapa peluang pada babak kedua untuk hanya seri 1-1 dengan PKNS Sela­ngor yang menamatkan perlawan­an dengan 10 pemain malam tadi.
Dengan Pahang hanya akan beraksi pada malam ini di Kuala Terengganu menentang T-Team, Terengganu berada di tangga teratas dengan memungut 20 mata, satu mata mengatasi Tok Gajah namun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.
Ketua pasukan Terengganu, Zairo Anuar Zailani meletakkan skuad Penyu di hadapan pada minit ke-20 selepas berjaya menyumbat gol melalui sepakan bebas setelah Mohd. Nor Farhan Muhamad dikasari pertahanan lawan di Stadium Negeri, Kuching.
Walaupun dalam keadaan hujan, semangat tuan rumah tidak luntur dan skuad Bujang Senang akhirnya mendapat jaringan hasil hantaran pemain dari Australia, Ryan Griffiths yang menanduk kepada Mohamad Rashid Aya dan bekas pemain Johor FC itu terus menyepak kencang ke arah kiri gawang gol Terengganu untuk menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-28.
Namun babak kedua memperlihatkan kebangkitan pelawat apabila pada minit ke-64, pemain yang baru didaftarkan Moustapha Dabo dari Senegal tidak menunggu lama untuk meledak jaringan sulungnya dalam kancah Liga Malaysia setelah menyambut hantaran lintang Zubir Mohd. Azmi.
Skuad Bujang Senang yang kelihatan hilang fokus sekali lagi dihukum oleh Terengganu menerusi sepakan menarik Nor Farhan pada minit ke-69.
Di Stadium Shah Alam, JDT gagal mengambil kesempatan ke atas PKNS, yang kekurangan seorang pemain pada lima minit terakhir permainan setelah P. Gunalan dibuang padang, untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Patrick Ronaldinho meletakkan PKNS di hadapan terlebih dahulu pada minit ke-37 setelah memanfaatkan bola muntah percubaan Mohd. Faiz Isa sebelum Mahalli Jasuli menyamakan kedudukan pada minit ke-57 melalui serangan balas yang direncanakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.
Dalam saingan Liga Perdana, Pulau Pinang terus menghimpit PDRM di puncak liga apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas JDT II melalui dua jaringan pemain import Angola, Titi Andre Buengo pada minit ketiga dan 79, Lee Gil Hoon pada minit ke-54 dan Shazuan Ashraf Matthews pada minit ke-76 dengan gol saguhati JDT II disumbangkan oleh Shahril Ishak pada minit ke-44 di Stadium Bandaraya.
Bagaimanapun, PDRM semakin kukuh di anak tangga teratas selepas berpesta jaringan ketika mengalahkan SPA Putrajaya 7-1 di Stadium Petaling Jaya dengan Ashfaq Ali dari Maldives menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 88 dan Charles Souza Chad juga dengan dua gol (minit 68 dan 80).
Tiga lagi gol disumbang oleh Bobby Gonzales (minit 31), Fazilidin Khalid (minit 83) dan jaringan sendiri oleh pemain SPA, Hafiszuan Salehuddin pada minit ke-89.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140405/su_02/Terengganu-libas-Bujang-Senang#ixzz2yBGpqzsf  © Utusan Melayu (M) Bhd

LIGA PERDANA – Sepakan penalti selamatkan PDRM

KUALA LUMPUR – Penyerang dari Maldives, Ashfaq Ali muncul penyelamat The Cops apabila menjaringkan gol penyamaan 12 minit sebelum permainan tamat untuk mengikat Felda United dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Selayang malam tadi.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan mereka sebagai peneraju liga selepas tujuh perlawanan, meskipun berkongsi 19 mata dengan Pulau Pinang yang menundukkan Negeri Sembilan 3-1 di Seremban.
PDRM kelihatan mampu menang selesa apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Ashfaq pada minit kesepuluh dan Chad Charles Souza pada minit ke-29, tetapi semangat mereka tersentak apabila kemudiannya dibolosi tiga gol berturut-turut.
Ketika separuh masa pertama hampir tamat, Felda United merapatkan jurang jaringan menerusi Shahrulnizam Mustafa yang menolak masuk sepakan sudut Indra Putra Mahyuddin dan kedudukan semakin sengit apabila The Settlers menya­makan kedudukan menerusi rembatan deras Indra Putra dari luar kotak penalti pada minit ke-56.
Malah, Felda mendahului perlawanan buat kali pertama apabila memperoleh gol ketiga menerusi pemain import Edward Junior Wilson pada minit ke-69 selepas me­nyempurnakan sepakan sudut Indra Putra namun tindakan Nasriq Baharom me­ngasari Ashfaq di dalam kotak penalti memberi kesempatan kepada PDRM yang menyama­kan kedudukan pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti Ashfaq.
Menurut Dollah Salleh, dia berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi agak terkilan kerana para pemain seperti kehilangan fokus semasa mendahului 2-0 sehingga Felda berjaya bangkit mendapatkan tiga gol.
“Apabila permainan sudah masuk minit-minit akhir, baru pemain kembali menyedari kesilapan mereka namun sudah terlewat, mereka sia-siakan peluang yang terhidang untuk menambahkan gol, memang satu kerugian buat pasukan kerana kehilangan dua mata bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga,” kata Dollah.
Di Stadium Darul Aman, Kedah merakamkan kemenangan kedua berturut-turut apabila menang 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT II) dengan jaringan tunggal melalui rembatan padu pemain import dari Ireland, Billy 
Osman Mehmet yang mengambil sepakan bebas di luar kotak penalti pada minit ke-50.
Sementara itu, Pulau Pinang beraksi cemerlang di Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk membenam cabaran skuad Hoben Jang Hoben walaupun ketinggalan seawal minit ke-10 sebelum bangkit meraih tiga jaringan dalam tempoh 20 minit.
Mohd. Baser Napae men­yamakan kedudukan buat The Panthers empat minit kemudian dan Muhd. Rafiuddin Rodin meletakkan Pulau Pinang di hadapan pada minit ke-26 sebelum Hilton Moreira mengukuhkan cengkaman pelawat dengan jaringan ketiga pada minit ke-33 untuk kemenangan keenam mereka pada musim ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140322/su_03/Sepakan-penalti-selamatkan-PDRM#ixzz2wqRhPpyv  © Utusan Melayu (M) Bhd

PDRM kekal peneraju Liga Perdana

KUALA LUMPUR – PDRM mengukuhkan cengkaman peneraju Liga Perdana selepas membelasah PBAPP 4-0 menundukkan PBAPP di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan kendalian Dollah Salleh mengutip 18 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan.
Bobby Gonzalez membuka jaringan PDRM pada minit ke-23, sebelum Mohd. Munir Amran, Charles Souza Chad dan Ali Shafaq menambah tiga lagi gol.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sekadar seri 1-1 dengan Felda United. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Buengo Andre Titi, manakala Indra Putra Mahyudin menyamakan kedudukan Felda.
Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pula mencatat kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang menerusi jaringan kapten, Shahril Ishak pada minit ke-51 dan Braulio Nobrega Rodriguez.
Aksi di Stadium Hang Jebat menyaksikan Kedah berpesta gol menundukkan SPA Putrajaya 4-1.
Gol Kedah disempurnakan Jose Franco Gomez, Mohd. Syazwan Zainon, Adam Aidil dan Billy Mehmet.
Di Stadium Darul Aman Perlis terikat 1-1 dengan Sabah. Farouk Hashim meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-36, sebelum Marwan Sayedeh me­nyamakan kedudukan.
Aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyaksikan DRB-Hicom menundukkan UiTM dengan keputusan 2-1.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140315/su_08/PDRM-kekal-peneraju-Liga-Perdana#ixzz2wBb55uWy  © Utusan Melayu (M) Bhd