Kelab bekas calon BN Kelantan buat laporan polis terhadap Raja Petra

11 Ogos 2015 1:20 AM
MOHD. NOOR YAACOB (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAn/Wahidin Salim
KOTA BHARU 10 Ogos – Kelab bekas calon Barisan Nasional (BN) Kelantan membuat laporan polis terhadap pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana didakwa menerbitkan artikel memfitnah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wakil kelab berkenaan, Mohd. Noor Yaacob berkata, artikel yang diterbitkan Raja Petra bertajuk Najib’s last day as PM was supposed to be 29 July menerusi portal Malaysia Today itu jelas merupakan fitnah kerana tidak disokong dengan bukti jelas dan kukuh.
Beliau berkata, pihaknya tampil membuat laporan polis itu supaya individu terbabit disiasat kerana dibimbangi tindakan tersebut akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Timbalan Presiden UMNO serta parti itu.
“Kami melihat artikel ini cukup berbahaya dan dipercayai mengan­dungi elemen hasutan yang boleh menggugat perpaduan rak­yat.
“Kami dalam kalangan bekas calon BN telah bersatu hati dalam satu misi dan rasa tanggungjawab untuk terus berjuang menangkis fitnah yang semakin berleluasa di laman sosial,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam artikel berkenaan, Raja Petra mendakwa, pengguguran Muhyiddin dibuat kerana beliau didakwa turut bersama pemimpin pembangkang merancang meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.
Dalam artikel itu, Raja Petra mendakwa, komplot tersebut tidak berjaya kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu menyertai kons­pirasi berkenaan sekali gus menye­babkan mereka kekurangan undi.
Sementara itu di BACHOK, sekumpulan ahli akar umbi UMNO yang diketuai bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Hilmi Yusoff turut membuat laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Hilmi yang juga seorang ahli perniagaan berkata, dakwaan Raja Petra dilihat mempunyai niat untuk menggugat kedudukan orang Melayu dan UMNO.
“Sebagai rakyat dan ahli UMNO di Bahagian Bachok, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat laporan terhadap dakwaan tersebut.
“Kami juga minta Kementerian Dalam Negeri dan polis segera siasat sama ada ia benar atau sebaliknya,” kata beliau.

POLITIK BANGANG : Rombak struktur organisasi SKMM

Perlu proaktif tangani fitnah, penghinaan dalam internet
KAMIL MASLIH | 02 Disember 2014 2:26 AM
KUALA LUMPUR 1 Dis. – k ementerian Komunika­si dan Multimedia dige­sa merombak semula struktur organisasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar lebih proaktif dalam menangani pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam internet khususnya menerusi media sosial.
Jamal Md. Yunus
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunus meminta menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk membuat tindakan dras­tik meletak­kan go­longan yang mempunyai karisma serta jiwa kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan masalah tersebut yang tidak pernah selesai sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
“SKMM adalah satu badan yang juga bertanggungjawab menjaga ketenteraman negara, kita tidak mahu perkara-perkara provokasi yang membimbangkan rakyat di­lihat secara sambil lewa oleh pengerusi atau struktur organisasi SKMM.
“Sebagai contoh, pelbagai fitnah dilakukan Red Bean Army (RBA) terhadap kerajaan, gambar babi di Kaabah dalam Facebook serta perbuatan mencerca pemim­pin dan raja-raja Melayu, rakyat melihat perkara itu tidak dapat ditangani, jadi lebih baik SKMM diganti oleh orang yang jiwanya ada semangat kenegaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Jamal, tindakan proaktif SKMM itu perlu dilakukan berikutan masalah fitnah dan hasutan yang berlegar di dalam media sosial tersebut turut disentuh oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 baru-baru ini.
Katanya, maklum balas SKMM terhadap pelbagai penghinaan dan fitnah di dalam internet bukan sahaja lambat malah ada yang tiada langsung sehingga pelaku perbuatan itu terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.
“Kita hendak melihat ketegasan tanpa perlu menunggu orang ramai marah baru hendak bertindak, masalah ini bukan kerana kerajaan lemah atau undang-undang tiada tetapi tanggungjawab ini yang perlu dipikul oleh SKMM secara proaktif.
“Menteri Komunikasi dan Multimedia kena bertindak tegas, kita mahu tindakan sekarang, kita tidak mahu laungan semasa ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO hanya tinggal sebagai ucapan tanpa tindakan, jangan tunggu lama untuk bertindak,” katanya.
Katanya, laman media sosial tidak boleh dibiarkan tanpa sekatan dan pihak polis memerlukan kerjasama serta sokongan lebih padu daripada SKMM bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang begitu kurang ajar dalam menghina agama, bangsa dan negara.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rombak-struktur-organisasi-skmm-1.31679#sthash.yAR9mjLy.dpuf


Nizar didakwa fitnah Perdana Menteri

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my
Mohammad Nizar Jamaluddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Ipoh, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS
IPOH 25 Ogos – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu ceramah politik, dua tahun lalu.
Mohammad Nizar, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Ketua Pembangkang negeri yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri itu didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan seperti dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.
Dalam ucapannya itu , Mohammad Nizar didakwa menuduh Najib telah memanggil semua pemimpin angkatan tentera untuk bertanyakan pendirian mereka sekiranya Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya.
Pertuduhan terhadap Mohammad Nizar dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dengan pertuduhan tersebut, ahli politik Pas itu kini berdepan kehilangan kelayakan sebagai ADUN sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 26 September ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri, Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh diwakili 12 peguam bela yang diketuai oleh Hatim Musa.
Peguam lain terdiri daripada Asmuni Ani, Aminuddin Zulkipli, Mohd. Fitri Asmuni, M. Kulasegaran, Nga Hock Cheh, N. Selvam, A. Sivanesan, Mohamad Hanipa Maidin, Leong Cheok Keng, Mohammad Zamri Ibrahim dan Chan Sook Ching.
Terdahulu, Masri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohammad Nizar.
Bagaimanapun, Asmuni memohon anak guamnya tidak dikenakan sebarang jaminan kerana sebagai Ketua Pembangkang negeri, beliau akan memberi kerjasama kepada pihak pendakwaan.
“Jika permohonan ini ditolak saya memohon supaya jaminan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.
Masri sebaliknya menyatakan jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah satu jumlah yang wajar.
Terdahulu, Mohammad Nizar hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Fatimah Taat serta beberapa pemimpin pembangkang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140826/ma_01/Nizar-didakwa-fitnah-Perdana-Menteri#ixzz3BSwVt26j  © Utusan Melayu (M) Bhd