Berpakaian, berlagak seperti wanita di tempat awam boleh didakwa

09 Oktober 2015 1:28 AM
Sebahagian daripada peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan yang terlibat dalam Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undang-undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
Penyokong komuniti transgender berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah menerima Bantahan Awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima yang lain berhubung Undan. undang Jenayah Syariah yang melarang lelaki berpakaian wanita di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam. 
PUTRAJAYA 8 Okt. – Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah sah di sisi undang-undang dan boleh terus dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan ataupun berlagak seperti wanita di tempat awam.
Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sewaktu mengetepikan penghakiman kontroversi Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen berkenaan, melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian ketika membenarkan bantahan awal Kerajaan Negeri Sembilan dan lima pihak lain berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin bagi mencabar kesahan seksyen berkenaan.
Seksyen itu disandarkan untuk pihak berkuasa agama Negeri Sembilan mendakwa Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Hakim Md. Raus ketika membacakan keputusan itu menyatakan, semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pondan tersebut tidak mengikut prosedur kerana ia gagal mematuhi Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.
Pada hemat panel itu, Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan yang serius pada peringkat awal lagi kerana membenarkan permohonan semakan kehakiman ketiga-tiganya untuk mempersoal kesahan seksyen itu.
Ujar Hakim Md. Raus, permohonan semakan kehakiman itu sepatutnya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya.
Panel itu berpendirian, ketiga-tiga mak nyah tersebut sepatutnya memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu untuk mencabar kesahan sesyen berkenaan melalui isu-isu perlembagaan.
Jelas Hakim Md. Raus, jika kebenaran diberikan, mereka selanjutnya boleh meneruskan tindakan dengan memfailkan petisyen di mahkamah tertinggi negara untuk mendapat perisytiharan berhubung isu yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan tersebut manakala Mahkamah Rayuan turut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan mereka.
Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kaum lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain Kerajaan Negeri Sembilan, lima pihak yang lain ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Keputusan mengejutkan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga mereka.
Muhammad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol mengemukakan semakan kehakiman dengan mendakwa bahawa Seksyen 66 tidak terpakai kepada mereka sebagai penghidap kecelaruan identiti jantina (GID) yang mana penyakit itu telah disahkan oleh satu laporan kesihatan dari Hospital Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam sebelum membuat pembedahan pertukaran jantina.
Dalam prosiding tersebut, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili pemohon pertama hingga kelima manakala Datuk Sulaiman Abdullah bagi pihak pemohon keenam. Aston Paiva mewakili ketiga-tiga responden.

Transgender: Negeri Sembilan peroleh kebenaran merayu

SUWARNI MOKHTAR | 28 Januari 2015 1:42 AM
Beberapa ahli NGO hadir untuk mendengar permohonan kerajaan Negeri Sembilan, berhubung keputusan mahkamah rayuan kes lelaki transgender, di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
PUTRAJAYA 27 Jan. – Kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain hari ini berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa undang-undang syariah negeri itu yang menghalang kaum lelaki berpakaian wanita di tempat awam sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Sehubungan itu, panel tersebut memerintahkan semua pihak terlibat menjawab persoalan yang akan menjadi teras kepada rayuan tersebut.
Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam bertentangan dengan lima Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kelima-lima Perkara itu adalah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan (hak rakyat untuk hidup dan kebebasan diri), Perkara 8 (1) dan (2) (perlindungan sama rata tanpa mengambil kira agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina), Perkara 9 (hak untuk bergerak dengan bebas) dan Perkara 10 (1)(a) (hak untuk bercakap dan bersuara).
Kerajaan Negeri Sembilan diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan pemohon di dalam rayuan terbabit.
Yang turut disenaraikan sebagai pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.
Tiga pak andam, Muhamad Juzaili Mohd. Khamis, 28, Shukor Jani, 29, dan Wan Fairol Wan Ismail, 31, yang dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam, kemudian membuat pembedahan pertukaran jantina dinamakan sebagai responden.
Terdahulu, panel sama membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah untuk menjadi pencelah dalam rayuan tersebut.
Permohonan serupa yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Johor pula ditolak oleh mahkamah.
Bagaimanapun, Majlis-Majlis Agama Islam negeri-negeri yang ditolak permohonannya itu dibenarkan untuk menjadi pemerhati dalam rayuan tersebut dan boleh mengemukakan permohonan untuk berhujah, jika perlu.
Pada 7 November 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus sebulat suara memutuskan Seksyen 66 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas didapati bertentangan dengan Perlembagaan.
Panel terbabit menyatakan, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan pihak responden yang mengalami kecelaruan identiti jantina (GID) terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu kerana undang-undang tersebut telah menghukum golongan transeksual yang mempamerkan jantina pilihan mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu-individu tersebut dalam masyarakat.
Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak-pihak terlibat mempunyai tempoh sebulan untuk memfailkan notis dan hujah rayuan masing-masing berhubung persoalan yang diberikan oleh mahkamah.
Tarikh pengurusan kes rayuan itu akan ditetapkan kemudian.
Dalam pada itu sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Justice for Sisters, S. Thilaga memberitahu pemberita, pihaknya mengambil pendekatan neutral dalam rayuan tersebut namun gembira mahkamah akan melihat kes tersebut dari segi Perlembagaan dan bukannya undang-undang moral.

JMM lancar kempen boikot syarikat insurans sokong LGBT

13 November 2014 1:59 AM
Azwanddin Hamzah bersama ahli JMM menunjukkan risalah mengenai sebuah bank di Malaysia bekerjasama dan menyokong budaya LGBT dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Izham Jaafar
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mempertikaikan tindakan syarikat insurans antarabangsa, menjual produk takaful tetapi menyokong kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai yang terkejut selepas mendapati syarikat itu menjalankan urusniaga tersebut menerusi kerjasama dengan sebuah bank tempatan, AmBank Holdings Berhad (AmBank) sejak hujung tahun lalu.
Katanya, siasatan selama tiga bulan ke atas syarikat insurans yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati ia pernah menerima Anugerah ‘Best Places To Work for LGBT 2013’ melalui Kempen Hak Asasi Kemanusiaan 2013 seperti disiarkan dalam sebuah buletin.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menunjukkan syarikat tersebut seperti mahu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,’’ katanya dalam sidang akhbar mengenai penglibatan syarikat tersebut dalam jualan insurans takaful dan mempromosikan LGBT di Pejabat JMM di Menara Pandan Kapital, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, tindakan syarikat itu menawarkan perkhidmatan takaful tersebut jelas bertentangan dengan konsep yang berlandaskan syariah dan halal di sisi syarak malah JMM menyifatkan penjualan insurans itu sengaja untuk memperdaya umat Islam secara halus.
Katanya, kerajaan khususnya Bank Negara diminta mengambil tindakan segera menarik semula lesen berkaitan perbankan Islam atau Lesen Insurans Takaful yang ditawarkan kepada bank tempatan tersebut.
Tambah beliau, sebagai langkah awal JMM akan mengedarkan sejuta risalah bagi memboikot jualan insurans takaful bank tempatan itu di seluruh negara bermula minggu depan.
Sementara itu jurucakap AmBank ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut esok.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jmm-lancar-kempen-boikot-syarikat-insurans-sokong-lgbt-1.24037#sthash.GLIjFZQm.dpuf


Memurni semula gerakan hak asasi

Oleh Azril Mohd. Amin


Penyokong hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyertai demonstrasi sempena Hari Antarabangsa Menentang Homofobia dan Transfobia di Queretaro, utara Mexico, pada 17 Mei lalu. – REUTERS

DALAM ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan betapa pemikiran dan fahaman humanrightisme kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.
Apabila menyentuh isu hak asasi manusia, pastinya beliau mahu menyuntik perspektif baru sesuai dengan wadah seumpama majlis tilawah apabila ramai dalam kalangan audiens mentaddabur isi kan­dungan al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia memecahkan pelbagai masalah yang melanda kemanusiaan, termasuklah tuntutan hak asasi manusia yang semakin rumit dan menjadi kontroversi akibat penyelewengan fahaman tersebut.
Kandungan ucapan Perdana Menteri harus disambut dengan baik oleh kerana penzahiran hasrat dan komitmen Kerajaan Pusat memperbaiki keadaan hak asasi manusia tampak terus diusahakan selagi tidak bercanggah dengan kedaulatan Islam me­nurut fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai kesederhanaan di dalam budaya masyarakat berbilang kaum di Ma­laysia.
Sementara kita boleh menerima prinsip-prinsip tertentu hak asasi manusia, khususnya yang disaring melalui sumber-sumber muktabar hukum Islam, isu yang perlu diwaspadai adalah fahaman humanrightisme suatu bentuk agama sekular baru yang sudah mulai berkembang pesat di dalam negara akibat kesan langsung lobi gerakan hak asasi manusia liberal-sekular di luar negara.
Fahaman ini yang berasaskan pemikiran ‘humanisme’, ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi norma agama dan adab-susila.
Kesan fahaman ini terjelma dengan jelas, sebagai contoh, di dalam kontroversi tuntutan-tuntutan batil Comango semasa sesi Semakan Berkala Sejagat di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva tahun lepas.
Pengkagum-pengkagum hak asasi manusia yang taksub serta masih tidak sedar tentang ancaman fahaman humanrightisme ini seharusnya terlebih dahulu membaca karya sarjana Barat, Anthony Julius, The Trials of the Diaspora (2010) yang menggunakan istilah fahaman humanrightisme tersebut untuk mendedahkan bahaya ketaksuban hak asasi manusia sebagai agama sekular baru – ‘the new secular religion’.
Beliau menulis, “A human rights discourse now dominates politics; there is a powerful human rights movement. It is the new secular religion of our time. This new ‘human rights-ism’ accords great value to the United Nations – notwithstanding its inability to enforce its decisions, and its refusal to make practical demands of its members to be democratic or respect the human rights of their citizens.”
Bukan sahaja wacana fahaman berbahaya ini sudah mendominasi politik dalam kalangan masyarakat dunia, malah memberikan nilai terhadap fungsi serta peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pada hakikatnya menjadi semakin tidak berkesan.
Malah Tan Sri Razali Ismail seorang diplomat ulung negara yang pernah menjawat kedudukan presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 1996-1997 menyatakan kekecewaannya dengan kegagalan badan dunia tersebut semasa melancarkan karya penulisan beliau bertajuk “A UN chronicle: 1988-1998 di Institut Diplomasi dan Hu­bungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra pada 30 April lalu.
Beliau turut menggesa usahasama kerajaan dan masyarakat awam untuk memperbaiki PBB yang telah terjerumus ke dalam isu pembaziran masa dan wang akibat siri perhimpunan yang berlangsung tanpa re­solusi yang mantap dan berkesan di dalam menyelesaikan isu-isu global.
Jika kritikan Razali dilihat sebagai desakan berterusan tokoh-tokoh dunia untuk memperbaiki PBB, maka amaran Najib tentang bahaya fahaman humanrightisme merupakan peringatan agar fahaman tersebut tidak kekal mendominasi dan merosakkan niat dan tujuan asal Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 yang sepatutnya memperkukuh tiang kewujudan PBB demi kemaslahatan tamadun manusia.
Malah, kegagalan PBB terus mendapat kritikan sarjana mutakhir Barat, seperti yang dinyatakan di dalam karya Stephen Hopgood “The Endtimes of Human Rights” (2013) yang mengkritik kegagalan rejim kontemporari hak asasi manusia.
Menurut Stephen Hopgood “Whether it is the increase in deadly attacks on aid workers, the torture and ‘disappearing’ of al-Qaeda suspects by American officials, the flouting of international law by states such as Sri Lanka and Sudan, or the shambles of the Khmer Rouge tribunal in Phnom Penh, the prospect of one world under secular human rights law is receding. What seemed like a dawn is in fact a sunset. The foundations of universal liberal norms and global governance are crumbling.”
Kegagalan fahaman liberal-sekular yang mendominasi gerakan hak asasi manusia menzahirkan kewujudan pelbagai tuntutan hak asasi manusia tidak munasabah yang menghakis kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang terhasil ialah tuntutan-tuntutan untuk membenarkan gejala murtad berleluasa, desakan penghapusan kedudukan istimewa bumiputera di dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, desakan pengiktirafan hak-hak LGBT yang menjurus ke arah hak perkahwinan sejenis, tuntutan menghapuskan institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, majlis-majlis agama Islam dan jabatan-jabatan agama Islam serta beberapa tuntutan kontroversi lain yang mencabar kedaulatan negara.
Oleh yang demikian fahaman humanrightisme tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela sebagai suatu agama di dalam horizon gerakan hak asasi manusia.
Malah, jika para sarjana Barat sendiri sudah mulai sangsi serta mengecam ideologi liberal-sekular hak asasi manusia, mengapa masih wujud pentaksub-pentaksub di Malaysia yang ghairah menjunjung fahaman hak asasi manusia berkerangka Barat yang sesat dan akhirnya mahu menghancurkan tamadun manusia?
Sebaliknya, agenda yang memurnikan kembali gerakan hak asasi manusia perlu dipelopori negara seperti Malaysia serta dilakukan secara berhikmah, strategik dan bersepadu seperti melalui Suruhanjaya Tetap Bebas OIC mengenai Hak Asasi Manusia yang ditubuhkan pada 2011. Dari sejumlah 18 negara yang menganggotai Suruhanjaya tersebut, Turki dan Malaysia dilihat sebagai sangat berpotensi untuk memimpin artikulasi bagi mengetengahkan matlamat syariat Islam tentang hak asasi manusia.
Penulis percaya bahawa seruan Najib bukanlah mengarah kepada membawa Malaysia daripada PBB sebagai jalan penyelesaian mendepani fahaman humanrightisme ini.
Mesej yang ingin dibawa adakah kita mahu terus menerima prinsip-prinsip hak asasi manusia mengikut fahaman liberal-sekular Barat atau memilih untuk mencorak sendiri fahaman hak asasi manusia menurut pandangan alam Islam dan tamadun yang tidak bercanggah fitrah kemanusiaan?
Prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dilaksanakan di dalam kerangka maqasid syariah, yang merupakan seumpama tembok yang sifatnya menjadi pemelihara dan penjamin kesejahteraan hidup manusia, bukan fahaman liberal-sekular yang bernama humanrightisme yang sekadar bermatlamat membuka pintu kebebasan nafsu manusia yang tiada berpenghujung.
PENULIS ialah seorang peguam, dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140521/re_01/Memurni-semula-gerakan-hak-asasi#ixzz32JPXlL00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bendung liberalisme, pluralisme

Oleh HUSSAINI AMRAN
dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin ketika melancarkan buku Muhammad ‘Uthman El-Muhammady-Inteligensia Muslim Kontemporari sempena Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-6 Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam. Turut sama, Ismail Mina Ahmad (kiri). – UTUSAN/Halim Khalid

KUALA LUMPUR 20 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang jelas terpesong daripada landasan akidah umat Islam yang sebenar perlu dibendung segera.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat perlu diberi pemahaman tentang ancaman yang dibawa oleh fahaman serta falsafah pasca modenisme terutamanya aliran liberalisme dan pluralisme agama terhadap akidah umat Islam.
Menurut beliau, fahaman dan falsafah tersebut sudah mula menular di negara ini malah terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan bidang kuasa institusi agama terutamanya majlis fatwa serta mahkamah.
“Hukum-hukum yang telah diputuskan secara qat’ie di dalam Islam seperti pengharaman meminum arak, berzina, murtad dan perkahwinan sejenis dipersoalkan atas alasan ia bertentangan dengan kebebasan serta hak asasi manusia.
“Malah, ada pihak secara terang-terangan mendesak supaya sistem perundangan Islam yang telah sekian lama dilaksanakan di Malaysia dihapuskan kerana dikatakan mencabuli prinsip hak asasi manusia sejagat,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Pengarah Seminar, Mohd. Amin Hashim.
Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan buku bertajuk Muhammad ‘Uthman El-Muhammady-Intelegentsia Muslim Kontemporari yang diterbitkan oleh Muafakat.
Seminar itu merupakan siri ke-6 dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah anjuran Muafakat yang berlangsung hari ini dan esok.
Muhyiddin menambah, usaha membendung fahaman liberalisme dan pluralisme agama boleh dilakukan dengan memberi pencerahan kepada umat Islam tentang prinsip-prinsip asas akidah Islam serta nilai yang dibawa syariat agama tersebut.
“Yang penting, setiap hukum yang ditetapkan oleh agama Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan hikmah ini perlu difahami serta dihayati oleh umat Islam,” jelasnya.
Beliau memberitahu, umat Islam tidak akan lagi mempersoalkan syariat Islam dengan menggunakan neraca pemikiran yang asing daripada tasawwur Islam yang sebenar apabila mereka memahami hikmah di sebalik hukum-hukum agama.
“Untuk itu, umat Islam perlu dilengkapi dengan kekuatan ilmu bagi memahami prinsip serta ajaran Islam yang sebenar.
“Dengan kekuatan ini, kita akan dapat mematahkan serangan pemikiran dan budaya yang sedang melanda umat Islam masa kini,” ujarnya.
Dalam masa sama, jelas Muhyiddin, umat Islam di negara ini perlu diberi pendedahan secara berterusan tentang fakta-fakta pemesongan yang dibawa oleh fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta bahayanya kepada akidah mereka.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri menyeru para ulama dan ilmuwan Islam di negara ini agar berusaha mengembalikan semula kedudukan Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu ASWJ di rantau ini.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan usaha dakwah dan tarbiyyah di Malaysia dapat diperluas dan diperkukuhkan lagi dalam memberi kesedaran serta pencerahan kepada umat Islam tentang ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan menyalurkan bantuan kepada para ulama, institusi dakwah serta tarbiyyah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperluaskan usaha dakwah dan tarbiyyah di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140521/dn_02/Bendung-liberalisme-pluralisme#ixzz32IzxIWfh  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : ADALAH PUAK-PUAK YANG MEROYAN SEBAB FAHAMAN SONGSANG MEREKA KEMBALI BERGEMA…PUAK PAKATAN NI MESTI TAK BACA PUNYA SEBAB APA PUN MEREKA LAKUKAN SYURGA NIK AZIZ MENANTI…