Rekrut ‘berjihad’ satu ancaman

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan@utusan.com.my
ZULKIFELI MOHD. ZIN
KOTA BHARU 16 Okt. – Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria atas nama jihad mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sehubungan itu, rakyat diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan kegiatan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di negara ini.
“Jika tidak dibanteras segera, bimbang lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kegiatan kumpulan militan itu. Sudah ramai rakyat kita yang pergi ke negara tersebut untuk berjuang atas nama jihad malah ada yang di sini berniat untuk ke sana tidak lama lagi.
“Tidak mustahil kumpulan yang dilatih secara militan itu akan balik senyap-senyap ke negara ini semula pada suatu hari nanti dan menubuhkan gerakan (pengganas) baharu di sini,” kata beliau dalam Majlis Penutupan Program Remaja Berwawasan-Summer Camp Siri 11/2014 di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Rusli Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas, Nasrudin Khalid.
Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu berlangsung selama lima hari membabitkan penyertaan seramai 553 orang pelajar dari 15 buah sekolah di seluruh negeri ini.
Sehubungan itu, Zulkifeli memberitahu, kerajaan kini giat menguar-uarkan ancaman tersebut supaya kumpulan militan berkenaan tidak bertapak di negara ini.
“Rakyat perlu sedar ancaman ini kerana mereka (ISIS) mempunyai kemampuan yang lebih dahsyat daripada al-Qaeda yang mampu menggugat keamanan negara. Jadi sebelum terjadi perkara sedemikian, rakyat perlu melaporkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab kerana mereka (rakyat) di mana-mana.
“Kalau mereka (kumpulan militan) ada buat latihan walaupun dalam kumpulan kecil, lapor kepada pihak berkuasa segera,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata, pihaknya akan menempatkan 50 hingga 60 anggotanya di pelantar minyak, kira-kira 27 kilometer dari darat di perairan Sabah, berhampiran sempadan laut Filipina, bagi mencegah kes-kes culik di negeri itu.
“Ini akan memudahkan ATM membuat pengawasan lebih menyeluruh.
“Andai terdapat penceroboh yang mahu melarikan diri, kita yakin akan mampu menangkap mereka kerana tentera kita sudah bersiap-sedia di lautan,” ujarnya.
Beliau mengulas situasi terkini kawalan keselamatan pihak ATM di perairan Sabah.
Pada pengumuman Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai ‘sea basing’ (pangkalan laut) di perairan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat Petronas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141017/je_03/Rekrut-berjihad-satu-ancaman#ixzz3GMaTjPb0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MILITAN : 14 termasuk 3 suspek utama ditahan

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan MASZUREEN HADZMAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Usaha polis bagi menyekat rakyat negara ini menyertai kumpulan militan di Syria terus diperhebat apabila 14 individu termasuk tiga suspek yang merupakan penggerak utama kumpulan itu ditahan dalam satu operasi khas di Shah Alam dan Damansara dekat sini sejak kelmarin hingga hari ini.
Salah seorang daripada penggerak utama tersebut merupakan seorang jurutera yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Penggerak utama kumpulan ini berperanan merekrut, membiayai serta mengatur perjalanan rakyat Malaysia untuk pergi ke negara bergolak terbabit,
Selain itu, dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman tersebut, pasukan berkenaan turut menahan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Klang, Selangor yang turut dipercayai terlibat dalam kumpulan ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita yang berusia antara 14 dan 48 tahun serta bekerja sebagai peniaga, kru acara, tukang masak, pereka grafik, suri rumah dan jurutera.
Beliau berkata, siasatan awal mendedahkan peranan yang dilakukan tiga penggerak utama tersebut antaranya seorang suspek berusia 37 tahun bertindak sebagai pengendali Facebook yang mempromosi, merekrut dan memuat naik propaganda kumpulan Negara Islam (IS) bagi mempengaruhi rakyat Malaysia berjihad di Syria.
“Seorang suspek berusia 34 tahun pula yang pernah menyertai IS di Syria dan pulang ke negara ini pada 8 April lalu berperanan memberi panduan, galakan dan berkongsi pengalaman.
“Manakala seorang lagi yang berusia 37 tahun dan merupakan jurutera di Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Kementerian Tenaga Hijau dan Air dipercayai membiayai perbelanjaan individu yang direkrut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khalid, jurutera terbabit juga dipercayai mempunyai hubungan dengan tiga lagi suspek yang terlibat dengan aktiviti keganasan iaitu Dr. Mahmud Ahmad, Mohd. Najib Hussien dan Mohd. Joraimee yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di selatan Filipina.
Ujar beliau, lima daripada suspek terdiri daripada sebuah keluarga yang dipercayai merancang untuk berlepas ke Syria dan penggeledahan di rumah mereka menemukan buku-buku jihad dan aktiviti militan.
Tambahnya lagi, kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sementara itu, pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, Khalid berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya menutup beberapa laman web dan Facebook yang didakwa merekrut pejuang bersenjata di Syria.
“Saya mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan ajakan jihad kumpulan bersenjata ini.
“Kalau nak berjihad tak perlu ke Syria. Di sini juga boleh berjihad juga bantu polis banteras jenayah. Itu jihad juga,” tegasnya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Khalid menyampaikan sijil penghargaan kepada 35 anggota polis atas kecekapan menjalankan tugas secara integriti dan menolak rasuah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141016/je_01/14-termasuk-3-suspek-utama-ditahan#ixzz3GH6fRq4A © Utusan Melayu (M) Bhd 



Kerajaan tidak berkompromi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my


Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan penduduk tempatan selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 15 Jun – Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan kerajaan khususnya dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang menjadi tali barut kepada pihak luar.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjejaki kumpulan yang bersekongkol dengan pihak luar sehingga mengancam keselamatan negara.
Katanya, perkara itu tertakluk juga kepada mereka yang menjual maklumat atau melindungi serta memberi laluan kepada pihak luar untuk memasuki Malaysia.
“Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini, tidak kira sama ada rakyat biasa yang terlibat mahu pun mereka yang berpakaian uniform keselamatan.
“Dalam hal ini, sudah tentu kami berasa tidak sepatutnya seorang penguat kuasa keselamatan terlibat dan menjadi tali barut. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan negara, bukannya memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga warga tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Sandakan, Sabah kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan.
Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap tiga warga tempatan berkenaan, Ahmad Zahid memberitahu, perkara itu akan diserahkan kepada mahkamah setelah siasatan mendalam dilaksanakan.
Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan selepas siasatan menyeluruh dibuat.
“Semua maklumat siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara,” jelas beliau.
Ahmad Zahid memberitahu, kementerian bersama-sama PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung kegiatan yang memudaratkan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_02/Kerajaan-tidak-berkompromi#ixzz34lLhjR5L  © Utusan Melayu (M) Bhd 


MILITAN – Lelaki disyaki pengganas ditahan


Anggota polis menahan seorang lelaki warga Somalia yang disyaki merupakan anggota kumpulan pengganas Al-Syabab yang berpangkalan di Afrika Timur dalam satu operasi khas di Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Mei – Seorang lelaki warga Somalia yang disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab, ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, suspek berusia 34 tahun itu turut berada dalam senarai nama dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas suspek untuk mengenal pasti sama ada terdapat rangkaian anasir-anasir pengganas Al-Syabab yang mungkin bersembunyi atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan Malaysia.
“Suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, menurut sumber keselamatan, dalam operasi tersebut, tiada senjata dirampas dan polis masih menyiasat cara suspek masuk dan sekiranya terdapat anggota lain daripada kumpulan tersebut di negara ini.
Katanya, suspek ditangkap kerana dikhuatiri akan merekrut warga Somalia di negara ini yang kebanyakannya menuntut di ins­titusi pengajian tinggi (IPT) dengan fahaman pengganas.
“Kita juga bimbang jika suspek menjalin hubungan dengan militan tempatan dan mewujudkan rangkaian anasir pengganas di negara ini. Setakat ini, kumpulan itu aktif di negara Afrika,” ujar beliau yang memberitahu, Al-Syabab adalah kumpulan yang bertanggungjawab mengebom sebuah pusat beli belah di Nairobi, Kenya, tahun lepas.
Beliau turut memberitahu, polis mengharapkan sumber maklumat daripada perisik antarabangsa kerana Somalia merupakan sebuah negara yang masih belum aman sepenuhnya.
Al-Syabab yang berpangkalan di Somalia pernah menyertai kumpulan pengganas, Al-Qaeda pada 2012 dengan bermatlamat menegakkan undang-undang syariah atau negara Islam di beberapa buah negara miskin.
Sehingga kini, Al-Syabab dianggarkan mempunyai keahlian antara 4,000 hingga 6,000 orang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140509/je_01/Lelaki-disyaki-pengganas-ditahan#ixzz31CRspI28 ©  Utusan Melayu (M) Bhd 


Militan jalin hubungan dengan ISIS

Oleh SHARILFUDDIN SHA’ARI
pengarang@utusan.com.my


GAMBA R salah seorang militan warga Malaysia yang digelar ‘ustaz’ (kiri) kini didakwa berada di Syria untuk ‘berjihad’ seperti yang dilaporkan dalam laman kezoom.blogspot.com.

KUALA LUMPUR 5 Mei – Kumpulan militan tempatan yang dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini dikesan menjalin hubungan dengan puak penentang kerajaan Syria dikenali sebagai kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Menurut sumber keselamatan, di Syria, kumpulan tersebut dilatih menjadi pakar dalam penggunaan senjata api berat dan menggunakan bom, malahan menghasilkan bom buatan sendiri.
Katanya, perkara itulah yang menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa negara ini sekiranya ahli kumpulan tempatan tersebut pulang ke tanah air selepas peperangan di Syria.
“Dengan kepakaran membuat bom, apa yang akan mereka lakukan di negara kita? Tidak mustahil kumpulan ini yang membawa ideologi pengganas boleh memberi ancaman serius kepada negara sekiranya tidak dibendung.
“Apa yang berlaku (ancaman pengganas) di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand perlu disekat agar tidak terjadi di negara kita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menahan seramai 11 anggota kumpulan militan yang berselindung di sebalik misi kemanusiaan termasuk ketuanya dalam beberapa serbuan di Selangor, Kedah dan ibu negara.
Utusan Malaysia kemudian mendedahkan, puluhan rakyat Malaysia ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama perjuangan ‘jihad’ termasuklah seorang lelaki yang digelar ‘ustaz’ dan seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan terkenal era 1990-an.
Selain daripada itu, siasatan pihak berkuasa turut mendapati kumpulan terbabit berhubung dengan puak pemisah di selatan Filipina untuk menjalani latihan ketenteraan.
Menurut sumber itu lagi, berdasarkan bukti yang ada, pihak Peguam Negara (AG) yakin pertuduhan terhadap kesemua ahli kumpulan militan terbabit akan dapat disebut di mahkamah dalam minggu ini.
“Di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), pihak berkuasa mempunyai tempoh 28 hari untuk siasatan dan kita yakin mereka (ahli kumpulan militan) akan dapat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sumber itu turut menjelaskan, apa yang berlaku di Syria adalah agenda negara-negara barat untuk memecahbelahkan negara Arab, apatah lagi Syria merupakan sekutu kuat Iran.
“Dakwaan bahawa Presiden Sy­ria menggunakan bom kimia untuk menyerang puak penentangnya belum terbukti benar dan tidak mustahil ia hanyalah propaganda Barat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140506/je_03/Militan-jalin-hubungan-dengan-ISIS#ixzz30uZXntaa © Utusan Melayu (M) Bhd

Usaha hidupkan fahaman radikal

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my


Seorang lelaki yang digelar ustaz (tengah) bersama empat lagi yang dipercayai rakyat Malaysia memegang senjata ketika menyertai ‘jihad’ di Syria.

KUALA LUMPUR 4 Mei – Ahli kumpulan militan yang ditahan di Selangor, Kedah dan ibu negara baru-baru ini dipercayai merancang untuk menghidupkan kembali fahaman radikal Daulah Islamiah di negara ini dengan bantuan puak pemisah di selatan Filipina.
Fahaman itu pernah dibawa oleh kumpulan pengganas, Jemaah Islamiah (JI) di negara ini sebelum dihidu dan ditumpaskan pihak berkuasa beberapa tahun lalu.
Sumber keselamatan memberitahu, siasatan pihaknya mengesan wujud jaringan komunikasi kumpulan ‘baharu’ itu bagi mengadaptasi kepakaran daripada puak pemisah di selatan Filipina.
Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama kumpulan berkenaan kerana masih dalam siasatan.
“Selatan Filipina diketahui merupakan pusat bagi kegiatan pengganas di Asia Tenggara dan kewujudan JI sebelum ini juga adalah hasil kerjasama dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menyediakan kem untuk JI menjalani latihan.
“Kumpulan militan baharu ini pula sedang menjalin kerjasama ke arah itu dan tujuan mereka adalah untuk menegakkan syiar Daulah Islamiah di Asia Tenggara.
“Di selatan Filipina juga masih ada pengganas rakyat Malaysia yang lari dan bersembunyi di situ dan tidak mustahil, mereka berkomunikasi sesama sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan selain Syria, polis mengesan kumpulan militan baharu itu mempunyai hubungan dengan kegiatan pengganas di selatan Filipina.
Sebelum ini, polis menahan seramai 11 anggota kumpulan militan yang berselindung di sebalik misi kemanusiaan termasuk ketuanya dalam beberapa serbuan di Selangor, Kedah dan ibu negara.
Utusan Malaysia kemudian mendedahkan, puluhan rakyat Malaysia ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama perjuangan ‘jihad’ termasuklah seorang lelaki yang digelar ‘ustaz’ dan seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan terkenal era 90-an.
Sumber itu seterusnya mendedahkan, kumpulan militan tempatan tersebut setakat ini belum bertemu secara langsung dan hanya berkomunikasi melalui internet dengan puak pemisah di selatan Filipina.
“Cara mereka itu memudahkan mereka untuk melindungi setiap aktiviti radikal yang dijalankan dan tidak mustahil akan ke sana untuk menjalani latihan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140505/dn_01/Usaha-hidupkan-fahaman-radikal#ixzz30nqugTBP  © Utusan Melayu (M) Bhd