Sultan Sharafuddin murka

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah dalam Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor, semalam. – Utusan/RASHID MAHFOF
SEPANG 15 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini amat kesal dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Pas, Khalid Samad yang mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Menurut baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti mana termaktub di bawah undang-undang.
Baginda bertitah, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
“Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai ketua agama Islam di Selangor,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada 17 Jun lalu, Khalid dan beberapa pemimpin Pas Selangor mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.
Khalid berkata, kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.
Dalam titah ucapannya, Sultan Selangor turut meminta Khalid pada masa depan supaya lebih berwaspada di dalam mengeluarkan kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadab serta jahil apabila membicarakan isu berkaitan kuasa baginda selain peranan MAIS dalam menasihatkannya mengenai agama Islam.
“Khalid yang bukannya anak jati Selangor, namun berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah untuk melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor.
“(Dan) mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya melahirkan rasa dukacita kerana terdapat dalam kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tertentu.
“Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.
“Ada dalam kalangan mereka ini berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Selangor ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain dalam mengamalkan ajaran mereka.
Titah baginda, MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain,” titah baginda.
Sultan Selangor sekali lagi mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai modal politik.
“Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut mengingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempatan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di dalam mahupun di pekarangan masjid.
“Masjid dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat serta bertemu bagi mengeratkan silaturahim antara orang Melayu umat Islam,” titah Sultan Sharafuddin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_01/Sultan-Sharafuddin-murka#ixzz37mLyGyrd  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

Pas mahu kuasa MAIS, JAIS dihapus


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pemimpin Pas Selangor hari ini mendesak Majlis Agama Islam Sela-ngor (MAIS) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lalu.
Tegas beliau, penghapusan kuasa MAIS itu boleh dilakukan kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempunyai suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan pada enakmen berkaitan.
“Kami sebagai Ahli Parlimen Pas meminta kerajaan negeri mengkaji enakmen yang memberikan kuasa eksekutif kepada MAIS untuk mengarahkan JAIS dan sekiranya perlu, membuat pindaan kepada enakmen berkenaan.
“Tindakan yang seperti ini (isu rampasan Bible) boleh mencemarkan imej Sultan Selangor itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Yang turut hadir tiga Ahli Parlimen Pas iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr. Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan tiada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible oleh JAIS Januari lalu dan kes itu ditutup manakala berhubung kitab-kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang.
Bagaimanapun, MAIS pada Sabtu lalu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Gani untuk tidak meneruskan prosiding pendakwaan serta menolak arahan Kerajaan PKR Selangor yang meminta JAIS memulangkan naskhah Bible yang dirampas dalam serbuan pada 2 Januari lalu kepada BSM.
Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor berkata, JAIS telah gagal dalam peranannya apabila banyak tindakan badan agama itu menimbulkan persoalan dan kontroversi.
“Jadi kita minta kerajaan kaji dan Exco agama mengetuai jawatankuasa ini demi menjaga masalah dalam negeri Selangor dan hubungan antara bukan Islam dan orang Islam.
“Dalam mesyuarat Pas negeri, kita akan timbulkan perkara sama kerana banyak sangat kes yang kita tengok Exco agama tidak tahu apa-apa dan akhirnya kerajaan negeri juga kena menangani salah faham yang timbul,” tegas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140618/po_03/Pas-mahu-kuasa-MAIS-JAIS-dihapus#ixzz34x9OvVzJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Runding dengan Peguam Negara

KUALA LUMPUR 17 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berunding dengan Peguam Negara (AG) jika ia berpendapat AG perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Peguam Negara baru-baru ini memutuskan bahawa tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut yang dilakukan pada Januari lepas, sekali gus menutup kes berkenaan.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian isu rampasan kitab tersebut milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.
“Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mestilah menghormati keputusan yang dibuat,” katanya.
Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, MAIS dan JAIS yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan semula kitab Bible tersebut atau sebaliknya.
“Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.
“Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan juga kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada 2 Januari lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.
Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140618/dn_01/Runding-dengan-Peguam-Negara#ixzz34wyQ8UN4  © Utusan Melayu (M) Bhd