PEKA dan SPRM, Finas dan bahasaku; Ketam Melayu dan Cina

Macam mana? Comel tak ketam-ketam itu. Comelkan. Kalau comel ajaklah ...
CUIT

ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 04 Mac 2015 12:31 AM
SPRM sebagai rakan strategik

SEMALAM saya dijemput menjadi ahli panel satu forum mengenai alam sekitar. Ia dianjurkan bersama oleh sebuah badan aktivis alam sekitar dikenali sebagai Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (IAM) di Restoran Saloma, Jalan Ampang.
Ramai yang hadir termasuk rakan wartawan. Banyak perkara yang dibincangkan. Turut disentuh isu tragedi terbaharu – kemusnahan alam di Cameron Highlands, banjir kuning di Kelantan serta pendedahan mengenai kerosakan sistem ekologi di Pulau Mabul di Sempurna, Sabah.
Juga dibincangkan mengenai penglibatan politik dalam isu-isu itu. Serta bagaimana kerajaan negeri gagal menangani soal kemusnahan yang berlaku di hadapan mata mereka.
Terlalu banyak ketirisannya. Ini bukan membabitkan soal kesedaran, tetapi lebih kepada penguatkuasaan. Ini juga membabitkan soal wang dan ringgit. Ini juga membabitkan soal makan suap oleh para pegawai penguatkuasaan yang sudah menjadi darah daging mereka.
Isu rasuah sering dibangkitkan oleh rakyat. Bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi, namun yang paling banyak ialah membabitkan peringkat rendah. Akhir­nya bukan pegawai-pegawai yang terbabit dipersalahkan, tetapi kerajaan secara keseluruhannya.
Namun apa yang menarik perhatian saya semasa kami bersembang semasa makan tengah hari ialah bagaimana kreatifnya PEKA cuba menangani masalah ini.
Mereka telah bekerjasama dengan SPRM sebagai rakan strategik. Pegawai-pegawai SPRM akan digunakan untuk berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Jika kami sendiri yang berhubung dengan mereka tidak jalan,” kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil.
“Dengan SPRM mereka takut sikit,” tegas beliau.
Memang benar, sepatutnya apa yang dilakukan oleh PEKA itu perlu dituruti oleh NGO-NGO yang lain, malah oleh agensi-agensi sensitif kerajaan yang lain seperti Jabatan Hutan, jabatan penguatkuasaan di pihak-pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Tahniah PEKA kerana kepekaan untuk memelihara khazanah alam ciptaan Allah SWT demi generasi anak cucu akan datang.
Bahasa rasmi Finas sudah bertukarkah?
FINAS ditubuhkan sejak 1980 dengan niat baik oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kini Tun. Tetapi sehingga kini setelah ratusan juta diperuntukkan, orang masih tertanya-tanya apakah kejayaan Finas yang boleh dibanggakan?
Pada suatu masa dahulu, Finas merai ulang tahun pembentukannya setiap tahun, tetapi ada orang kata untuk merai kejayaan apa?
Berbanding dengan agensi kerajaan lain yang lebih memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, Finas dikatakan hanya boleh merasa bangga dengan kewujudannya sahaja.
Jadi tidak hairanlah kalau akhir­nya menteri berkenaan mengarahkan untuk acara perayaan ulang tahun Finas tidak diadakan. Sekali gus menjimatkan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan acara jamuan besar di hotel terkenal di bandar raya Kuala Lumpur.
Sejak Finas ditubuhkan terdapat enam orang yang telah dilantik sebagai ketua pengarahnya iaitu – Ismail Zain, Datuk Zain Hamzah, Allahyarham Datuk Sharif Ahmad, Datuk Mahyiddin Mustakim, Naguib Razak, Raja Rozaimi Dalnish Shah dan sekarang ini Datuk Kamil Othman yang dulunya pengarah MDEC.
Sejak dulu bahasa rasmi yang diguna oleh semua kegiatan Finas adalah bahasa Melayu. Tetapi sejak kebelakangan ini bahasanya adalah Inggeris?
Adakah apa yang didengar saya itu benar? Kalau benar apa sebabnya Finas mahu menukar bahasa rasmi agensi kerajaan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris?
Kalau perkara ini benar-benar berlaku, itu sudah tentu satu perkembangan yang amat menyedihkan. Bahasa Jiwa Bangsa? Bahasaku Oh Bahasaku…
Ketam Cina dan Ketam Melayu…
SAYA tertarik dengan satu kisah ketam. Saya menerimanya melalui WhatsApp. Saya tidak tahu siapa penulisnya, namun kisah itu cukup untuk direnungi oleh kita semua.
Kisahnya begini:
Pada pagi itu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik Cina yang menjual ketam.
Melayu: Apek, ketam ada jual ka?
Cina: Ada… ada… lu mau ketam Cina ka ketam Melayu?
Melayu: Aik! Ketam pun ada Melayu dengan Cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam Melayu, mana ketam Cina?
Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup, ketam Cina. Sana dalam bekas tak ada tutup, ketam Melayu la…
Melayu: Apa pasal ketam Cina apek kasi tutup… ketam Melayu apek tak kasi tutup?
Cina: Itu ketam Cina kalau satu ekor keluar…. yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.
Melayu: Ketam Melayu tak itu macam ka?
Cina: Ketam Melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi… jangan kasi keluar. Dia mau dia seekor saja keluar… yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.
MORAL:
Begitulah cerita ketam Melayu dengan ketam Cina. Hakikatnya, jika orang Cina berniaga, Cina lain tak kacau, dia tengok saja dan belajar macam mana boleh berjaya.
Cina yang sudah berjaya itu pula, akan ajar Cina lain agar berjaya juga.
Kalau orang Melayu, bila satu Melayu nak berjaya, Melayu lain akan guna apa saja supaya Melayu tu jatuh balik. Macam ketam Melayu, apabila seekor ketam berjaya hendak naik, ketam lain tarik kaki dia, akhirnya seorang pun tak dapat naik. Lepas tu mulalah bergaduh sesama sendiri.
Benarkah begitu? Adakah kerana sifat itu orang Melayu tidak senang-senang sampai sekarang? Adakah oleh kerana itu, matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi masih tidak tercapai?
Saya diberitahu di pasar raya IT di Plaza Low Yat misalnya, peniaga-peniaga Cina tolong-menolong antara satu sama lain bagi memastikan supply chain dikongsi dan dikuasai bersama. Begitu juga dalam bidang-bidang lain. Jika sudah ada rantai, pastikan rantai itu tidak putus, malah disambung-sambung sehingga lebih utuh dan besar.
Wallahualam…
Advertisements

Amalan berbudi bahasa dalam masyarakat semakin luntur


PENULIS ialah pemerhati sosio-politik 

noor.azam33@gmail.com

ISUNYA bukan bola. Bukan tak boleh bertegur sapa. Isunya adab berbahasa. Dalam budaya Melayu ada yang disebut berbudi bahasa. Tingkah laku dan cara kita bertingkah-kata, terutama di depan massa. Sekarang lebih penting lagi, kerana akan tersiar dalam media massa dan media sosial yang bebas dan luas sebarannya. Lebih besar lagi kesannya apabila yang bertingkah kata adalah tokoh terkemuka.
Zaman tiga puluh atau empat puluh tahun dulu, yang jadi contoh teladan adalah orang tua-tua atau yang bergelar dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Zaman itu tidak ada istilah idola yang dipopularkan melalui kegiatan seni di pentas dan dalam tv.
Tanpa diangkat-angkat dan dipuji-puji dengan publisiti, orang tua dan berpangkat dijadikan contoh teladan. Sekarang, semakin ramai orang tua-tua dan yang dianugerah kehormatan istana pun, tingkah laku dan bahasa percakapan mereka tidak berbudi bahasa lagi. Yang melakukan bermacam jenayah pun kian ramai.
Perkataan “biadab” dan “kurang ajar” yang dulunya jarang sekali kita dengar di khalayak ramai, sekarang sudah jadi bahasa basahan. Maaflah, ada kalanya kenyataan dari istana pun menggunakan kata “biadab”.
Bahasa dan tingkah laku sangat kasar tak bersopan dalam episod pertengkaran keluarga – yang jadi kegemaran penulis skrip drama tv untuk menunjukkan konflik – sudah keterlaluan. Apakah sampai begitu sekali parahnya tingkah laku dalam keluarga orang Melayu sekarang?
Bahasa istana pun – kecuali dalam majlis adat istiadat – makin hilang. Semakin ramai rakyat Malaysia yang tak boleh berbahasa Melayu yang bagus – apa lagi bahasa istana – dianugerahi gelaran Datuk dan Tan Sri. Pendek kata, semakin hari, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita, semakin luntur. Dalam acara hiburan Melayu di tv kita – anak-anak muda penggemar siaran tv di panggung – dilatih menjerit melolong terpekik-pekik bagai dirasuk polong.
Maaflah, mukadimah ini agak panjang. Sebenarnya saya nak tulis tentang masalah perbezaan pendapat antara YB Khairy Jamaluddin dengan Datuk Jamal Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza. Saya menganggap peristiwa seperti ini – yang belum pernah terjadi – adalah penting.
Khairy bukan sebarangan orang. Beliau seorang menteri, tokoh muda yang segak dan popular; punya masa depan yang panjang untuk menjadi pemimpin negara. Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas kemajuan sukan, beliau boleh saja menegur dan mengkritik persatuan dan kelab sukan di bawah naungannya.
Akan tetapi dengan status ini, tidak seharusnya membolehkan beliau meluahkan perasaannya sampai melupakan kesopanan Melayu dan kebijaksanaan seorang pemimpin yang dipilih oleh parti Melayu dan rakyat.
Kata Datuk Siti Nurhaliza dalam twitternya, selepas pemimpin persatuan bola sepak dan Datuk Jamal Nasir diserang YB Khairy: “Sbg Menteri Muda & being look up, rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah…lantang x perlu biadab dgn yg lebih tua.” Siti beralaskan komennya dengan perkataan “rasanya” dan “berhemah”.
Malangnya para penyokong Khairy menghentam Siti dengan mengungkit perkahwinan dan taraf pendidikannya, dibandingkan dengan Khairy yang mendapat ijazah dari Universiti Oxford dan berkahwin dengan anak Perdana Menteri.
Janganlah lupa: Rezeki, jodoh pertemuan dan tanah kubur kita di tangan Tuhan. Tiada pasti apakah taraf pendidikan penyokong-penyokong menteri kita ini.
Namun ini menunjukkan orang yang rendah moralnya dan tak tahu berbudi bahasa. Dan ini bukanlah salah mereka, tetapi bukti salah didikan dan contoh teladan yang kita berikan. Kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Jamal Nasir sebagai orang tua yang berkhidmat dalam bola sepak negara – lama sebelum YB Khairy ikut masuk ke lapangan ini – merasa tersentuh hatinya. Kritik tajam daripada seorang menteri yang ada kuasa dan kepandaian, dirasakan bagai sembilu berbisa.
Sayanglah! YB Khairy menyambut luahan perasaan orang tua ini – dengan sergahan “Orang luar jangan masuk campur!”
Ada banyak isu di negara kita ini, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan bangsa kita, “orang luar” patut sekali “ikut campur”.
Rakyat yang prihatin ikut bertanggungjawab apa yang berlaku. Sumbangan rakyat diperlukan untuk membolehkan rancangan kerajaan dilaksanakan. Undi rakyat diperlukan dalam setiap pilihan raya. “Suara rakyat” – meskipun dianggap “orang luar” – adalah salah satu ciri penting dalam amalan demokrasi.
Mohon maaf. Ini hanya coretan pendapat seorang tua yang duduk jauh di luar gerbang kuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131119/re_07/Amalan-berbudi-bahasa-dalam-masyarakat-semakin-luntur#ixzz2l3llVJXd
© Utusan Melayu (M) Bhd 


BUDAK SEKOLAH KAT MALAYSIA PUN SAMA…

Indonesia diberi jolokan ‘Baby Smoker’

gambar hiasan, seorang kanak-kanak sedang asyik menghisap rokok di Jakarta.

JAKARTA 20 Mei – Jolokan negara ‘Baby Smoker’ yang diberikan kepada Indonesia, mungkin bukanlah suatu pencapaian yang boleh dibanggakan buat negara ini.
Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh Indonesia apabila digelar sedemikian rupa, hanya kerana jumlah perokok teramai di negara itu terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur.
Berdasarkan data terbaru yang diperolehi Suruhanjaya Perlindungan Anak, sebanyak 69 peratus remaja Indonesia merupakan perokok aktif yang tinggal dalam keluarga perokok.
Apa yang turut membimbangkan, sebanyak 89 juta kanak-kanak terdedah kepada bahaya asap rokok dan terancam kesihatan mereka.
“Ini jelas memalukan. Fakta ini harus kita terima kerana data jelas menunjukkan jumlah perokok terbesar di Indonesia terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur,” kata ketua suruhanjaya itu, Aris Merdeka Sirait seperti dilaporkan media-media tempatan, hari ini.
Data yang dikeluarkan suruhanjaya itu juga menunjukkan, 230,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun sudah menjadi perokok aktif.
“Data terakhir di Sukabumi, misalnya mendapati ada seorang kanak-kanak berusia 11 bulan sudah menjadi perokok aktif.
“Setiap lima minit kalau tidak merokok, anak kecil itu akan mengalami perubahan perilaku. Inilah salah satu fakta mengapa Indonesia menerima jolokan Baby Smoker kerana perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain,” kata Aris.
Katanya, walaupun China mencatat jumlah perokok terbesar di dunia, namun kes perokok cilik tidak pernah dilaporkan.
Kata Aris, di Indonesia, pemerintah mengizinkan syarikat pengeluar rokok mengiklankan produk mereka dengan bebas.
Menurut Aris, data yang dikeluarkan oleh pengusaha rokok Indonesia mendapati, perokok aktif di Indonesia saat ini mencapai 89 juta orang.
“Bayangkan jika daripada angka itu, masing-masing memiliki seorang anak, maka terdapat 89 juta anak Indonesia yang sudah terdedah atau menghisap asap rokok sebagai perokok pasif,” jelasnya. Apa yang membimbangkan ialah anak-anak muda berusia belasan tahun merupakan sasaran dan sangat berpotensi menjadi penjual produk rokok. – Utusan

PARLIMEN : RUGINYA HIDUP BERSENDIRI…

Masalah kewangan punca utama

DARI UTUSAN MALAYSIA
9/5/2012

KUALA LUMPUR 8 Mei – Bilangan rakyat Malaysia berumur 25 tahun ke atas yang tidak pernah berkahwin adalah seramai 2.5 juta orang atau 16.7 peratus daripada jumlah penduduk negara. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, daripada jumlah tersebut, 60.4 peratus adalah lelaki dan 39.6 peratus lagi wanita.
Jelasnya, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki telah menurun daripada 28.6 peratus pada 2000 kepada 28 peratus (2010).
“Selain itu, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.
“Daripada jumlah itu, 56.6 peratus daripada mereka ialah lelaki dan 44.4 peratus wanita,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Boon Som Inong yang meminta kementerian tersebut menyatakan jumlah wanita dan lelaki di negara ini yang belum berkahwin serta adakah kerajaan bercadang mewujudkan pusat temu jodoh bagi membantu golongan tersebut.
Seai Kie memberitahu, hasil kajian yang sama juga mendapati faktor-faktor utama lelaki tidak berkahwin adalah masalah kewangan (44.7 peratus), tiada calon sesuai (19.3 peratus), kemajuan kerjaya (12.8 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).
Katanya, bagi golongan wanita, punca utama adalah tiada calon sesuai (40 peratus), masalah kewangan (14 peratus), kemajuan kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).
Jelasnya, buat masa ini, kementerian tidak bercadang untuk mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh secara online.
“Ini kerana perkhidmatan tersebut telah disediakan oleh pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik,” katanya.
KOMEN : NAK KOMEN APA LAGI, KALAU DAH DIRI SENDIRI LEBIH SENANG HIDUP BERSENDIRI… TAPI KALAU KITA FIKIRKAN SEMUANYA KERANA MASALAH? TAK BOLEH JUGA?? SEBAB PERLU DIHAYATI BAHAWA MASALAH KEHIDUPAN AKAN BERTERUSAN,  SUKA ATAU TIDAK KITA TETAP JUGA PERLU MENGATASI MASALAH YANG MENDATANG… JUSTERU ITU KENAPA HINDARI DIRI KAMU DARI BERKAHWIN… REZEKI KITA HANYA ALLAH swt YANG TAHU….

Usah lokek puji isteri


DARI UTUSAN MALAYSIA
13/3/2012

CUBA anda ingatkan dalam tempoh beberapa tahun berumah tangga, berapa kali anda memuji isteri atau pasangan anda mahupun memberikan kata-kata hangat dan mesra kepadanya?

Sebenarnya ramai di kalangan pasangan suami isteri, sebagai contohnya si isteri mahu mendengar pujian daripada si suami. Namun berapa kerat sangatkah individu ini menghamparkan kata-kata berkenaan.

Kalau ada pun mungkin tidak ikhlas datang dari hati atau kata-kata pujian dilontarkan sekadar untuk melihat isteri gembira semula apabila dia merajuk.

Sesekali apa salahnya jika memuji isteri atau suami anda dengan ikhlas berlandaskan jasa dan kebaikan yang telah dia berikan.

Setidak-tidaknya dengan kata-kata pujian yang ikhlas itu biarpun sedikit dapat memberikan makna kepada pasangan dan seterusnya perhubungan anda.

Bukan itu sahaja menerusi kata-kata pujian, seseorang pasangan itu pastinya memberikan respons yang bukan sedikit rasa kebanggaan di jiwanya malahan memberikan sesuatu yang positif kepada perhubungan anda.

Kajian mendapati, memuji isteri biarpun sekali sehari seperti memuji masakannya dapat memberi kesan kepadanya.

Kalau tidak percaya , lakukannya sekarang.

l “Wow, ia memang sesuai untuk sayang.”

Katakanlah isteri anda memakai pakaian atau kasut yang baru dibeli dan dipakai untuk ditayangkan kepada anda ketika keluar untuk ke jamuan.

Sekiranya anda rasa pakaian yang dipakai itu menyerlahkan kecantikannya nyatakan pujian anda dengan tepat mungkin terhadap pakaian atau kasut yang dipakainya atau keseluruhan penampilannya pada waktu itu. Tenung dan renung wajahnya dengan pandangan yang ikhlas dan kasih sayang.

Anda akan melihat wajah isteri anda terpancar warna kemerah-merahan rasa malu tanda seronok.

l “Harumnya bau awak malam ini.”

Pujian terhadap haruman memberikan daya penarik dan rangsangan yang sesuai buat pasangan anda.

Selain kata-kata perangsang ia memberikan keyakinan kepada pasangan anda.

Sudah semestinya selepas ini dia memberikan penampilan yang hebat buat diri anda.

l “Kalaulah saya bertemu dengan sayang lebih awal.”

Pujian ini adalah yang paling disukai pasangan. Ini menandakan anda adalah pilihannya yang paling tepat.

Pancarkan kata-kata ini apabila duduk berdua-duaan sama ada di rumah mahupun di dalam kereta dalam keadaan romantik.

Kata-kata itu dilafazkan dari hati, tenung matanya dan berikan ia satu makna.

l “Sayang, awak lakukannya dengan baik sekali.”

Ini kata-kata pujian untuk isteri atau suami yang baru sahaja memasak menu baru. Pujian ini juga boleh dilontarkan sekiranya pasangan anda memasang sesuatu di bilik tidur secara sendiri atau membaiki sesuatu.

Selain melontarkan dengan kata-kata, makan makanan yang dimasak dengan keadaan makanan itu begitu lazat kerana ia membuka selera anda.

l “Sayang, awak jadikan saya seorang insan yang lebih baik.”

Pujian ini diberikan sekiranya anda meminta pandangan daripadanya dan dia memberikan idea yang sangat positif. Lontaran kata-kata ini memberikan dia satu semangat yang jitu dan rasa kecintaan yang luar biasa.

l “Sayanglah insan yang paling pintar yang pernah saya temui.”

Siapa yang tidak mahu dipuji dengan kata-kata yang kita ini pintar. Terutama apabila melihat isteri membantu anak-anak menelaah dan kita berikan dia sedikit pujian untuk memberikan rasa hormat kita kepada kebolehan isteri, misalnya.

l Peka apa kelebihan yang dia ada pada diri dan personalitinya.

Lain orang lain kelebihannya. Begitu juga dengan pasangan anda pastikan apa yang menjadi kelebihan kepada dirinya yang membuatkan anda semakin sayang dengan dirinya. Pujilah dia dengan kelebihan itu.

l “Selagi sayang bersama, saya rasa seronok untuk hidup.”

Ini juga pujian yang patut dilontarkan oleh suami atau isteri kepada pasangan anda. Kata-kata ini sangat romantik dan memberikan rasa pasangan anda memang dihargai.

KOMEN : TAK RUGI MENCUBA…

Mahu LGBT diiktiraf: Apabila manusia hilang kewarasan


Pandangan IKIM
DARI UTUSAN MALAYSIA
13/3/2012

MESKIPUN pandangan alam antara Islam dan Barat begitu berbeza, namun dari sudut pentakrifan perkahwinan, kedua-duanya sama-sama mengiktiraf bahawa perkahwinan hanya berlaku antara seorang lelaki dengan wanita, dan bukan selainnya.

Hal ini secara langsung menafikan “perkahwinan” antara sesama jenis atau jantina.

Justeru, perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang terhadap “perkahwinan” mereka kononnya atas dasar kesamaan adalah tidak berasas sama sekali. Ini disebabkan tindakan mereka jelas mencabuli dan mencemarkan maksud perkahwinan yang telah diterima dalam semua budaya serta tamadun dunia sejak sekian lama.

Perjuangan golongan ini yang berasaskan fahaman liberalisme tidak menghairankan berlaku dalam masyarakat Barat yang menolak atau meninggalkan agama. Hal yang demikian berlaku tidak lain kerana agama yang dianuti tidak mampu sama sekali untuk memberikan keyakinan, bimbingan dan panduan dalam kehidupan mereka.

Justeru kita melihat prinsip moral, undang-undang dan sebagainya tidak diasaskan pada agama. Sebaliknya ia berdasarkan pandangan sekular yang tidak memiliki asas yang tetap dan teguh, malah sentiasa sahaja berubah-ubah.

Lantaran itu juga perjuangan mereka khususnya dalam tuntutan “hak” seperti “berkahwin” dan membina keluarga, bebas daripada amalan diskriminasi berasaskan orientasi seksual, selain “hak” terhadap privasi hanya berdasarkan pertimbangan akal dan kehendak yang dibimbing hawa nafsu semata-mata.

Hujah yang diberikan terhadap tuntutan seumpama itu hanyalah disebabkan kedudukan dan kemuliaan mereka sebagai manusia. Namun hakikatnya, sebagaimana digambarkan sifatnya oleh al-Quran, hawa nafsu sentiasa sahaja mendorong manusia terjerumus dalam kejahatan, kekejian dan kebinasaan (Surah Yusuf 12 : 53).

Perjuangan golongan LGBT kelihatan memperoleh sokongan di beberapa buah negara tertentu, antaranya Belanda, negara terawal yang meluluskan perkahwinan sivil sesama jenis, iaitu pada tahun 2001. Undang-undang yang diluluskan itu memberikan hak, perlindungan, dan manfaat yang sama kepada pasangan sejenis yang terlibat, sebagaimana yang diberikan kepada perkahwinan heteroseksual, termasuklah hak pengambilan anak angkat.

Langkah yang diambil Belanda disusuli Belgium pada tahun 2003, Kanada dan Sepanyol pada tahun 2005, Afrika Selatan pada tahun 2006, Norway dan Sweden pada tahun 2009, dan Portugal, Iceland, serta Argentina, ketiga-tiganya pada tahun 2010. Bersesuaian dengan gaya hidup golongan ini yang bersifat di luar tabii, maka kemudaratan yang dibawa olehnya juga bersifat di luar batasan atau melampaui kebiasaan.

Selain penyakit-penyakit fizikal yang mengundang maut seperti sifilis, barah dubur, dan HIV, pengamal homoseksual sebagai contoh, berhadapan masalah tekanan mental yang tidak terkawal.

Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa cubaan membunuh diri dalam kalangan kelompok ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan. Penyelidik yang membuat kajian tentang puncanya mendapati bahawa dua pertiga daripadanya disebabkan putusnya hubungan dengan pasangan, dan bukannya tekanan daripada anggota masyarakat.

Selain itu, kajian juga menunjukkan salah satu kesan buruk yang dialami oleh anak-anak kepada pasangan gay, lesbian, atau homoseksual ialah mereka memiliki potensi untuk menjalani gaya hidup luar tabii sebagaimana “ibu bapa” mereka selain terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan seksual.

Perkahwinan sejenis bukan sahaja merupakan serangan yang bertujuan mencemarkan kesucian dan meruntuhkan institusi keluarga tetapi juga pada masa yang sama, mengundang pelbagai kemudaratan terhadap struktur masyarakat serta negara amnya. Kebiadaban, kegilaan, dan pencerobohan yang dilakukan mereka terhadap keutuhan institusi kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat perlu ditangani dengan tegas.

Amat malang jika ada antara kita yang jahil dan terkeliru atau juga cuai dan leka, sedangkan mereka tidak pernah berhenti menyusun agenda dan bertindak dengan berani. Lihat sahaja kepada susulan larangan penganjuran Seksualiti Merdeka oleh NGO tempatan yang telah diadakan sejak 2008 bagi menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Larangan tersebut sama sekali tidak meninggalkan sebarang kesan, peringatan, mahupun pengajaran apatah lagi kesedaran terhadap pihak penganjur. Malah mereka telah mengambil tindakan susulan dengan memajukan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti ini, dan mengheret negara untuk memberikan penjelasan terhadap penafian “hak” mereka.

Penyertaan Malaysia dalam sesi persidangan ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, PBB yang berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Dengan meneliti tindak balas kumpulan yang memperjuangkan hak-hak LGBT memberikan kita kesimpulan bahawa ia pasti dijadikan landasan teguh untuk mengambil kesempatan demi merealisasikan cita-cita keji mereka.

Hal ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia untuk tunduk terhadap apa yang kononnya dikatakan sebagai international standards and laws. Langkah seterusnya pula ialah mendesak negara membenarkan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang serta bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Bagi umat Islam, segala perkara yang menyelubungi kehidupan dan menimpa masyarakat Barat seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran. Betapa apabila agama tidak lagi dijadikan panduan dalam membimbing diri, keluarga, dan masyarakat, kecelakaan jualah yang menjadi akibatnya.

Namun mengambil kira sikap masyarakat Barat yang sentiasa gigih menyebarkan fahaman dan gaya hidup mereka kepada bangsa-bangsa lain, ia seharusnya mencetuskan kebimbangan besar bagi kita kerana umat Islam pastinya tidak terkecuali. Malah melihat kepada keadaan diri dan peribadi umat Islam hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kegigihan usaha masyarakat barat menyebarkan dakyah, fahaman serta budaya hidup mereka telah pun menampakkan hasilnya.

Sesungguhnya tiada jalan lain lagi yang dapat dijadikan perisai dan penawar bagi ummah melainkan keimanan yang teguh serta ilmu yang tersemat kukuh dalam jiwa. Dalam hubungan ini, tepat sekali apa yang digambarkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam serangkap pantun beliau (Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001),

Muslim tergenggam belenggu kafir,

Akhirat luput, dunia tercicir,

Budaya jahil luas membanjir,

Banyak yang karam tiada tertaksir.”

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

KOMEN : BILA HAWA NAFSU MENGUASAI MINDA…NATIJAHNYA KEBURUKAN KEHIDUPAN SONGSANG YANG MEROSAKAN UMMAH..