DAP, Pas dua-dua parti rasis – Dr. M

KUALA PILAH 29 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus melabelkan DAP sebagai parti rasis yang mewakili orang Cina manakala Pas pula mewakili masyarakat Melayu. Malah kata bekas Perdana Menteri, beliau tidak takut dengan ugutan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menangkapnya selepas mengatakan Penasihat parti itu, Lim Kit Siang sebagai rasis.
”Terkejut saya, sampai naik pucat muka saya bila Karpal kata mahu tangkap saya. Tangkaplah, dakwalah saya. Saya hendak kata, memang Kit Siang rasis,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung Negara di Kampung Padang Jual, Johol dekat sini petang ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Abu Samah Mahat; calon BN DUN Senaling, Datuk Ismail Lasim dan calon BN Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek.
Menurut Dr. Mahathir, sekiranya DAP mengatakan parti dan pemimpin itu tidak rasis, mengapa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, mereka hanya berani meletakkan calon di kawasan ramai pengundi kaum Cina.
”Pas pun sama, letak calon yang majoriti ada pengundi Melayu sebab mereka juga tidak berani bertanding di kawasan yang ada pengundi Cina. Pas juga rasis orang Melayu,” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.
Sebaliknya tegas Dr. Mahathir, BN adalah parti untuk semua kaum dan calonnya bertanding di semua tempat dengan pembahagian yang adil.
”MCA boleh bertanding di kawasan ramai orang Melayu. UMNO pun boleh bertanding di kawasan ramai orang Cina. Itu buktinya BN adalah parti yang berani,” tegasnya.
Mengenai kumpulan ‘manusia kecewa’ yang keluar daripada kerajaan dan kemudian bertanding atas parti lawan, Dr. Mahathir berkata, mereka berbuat demikian kerana ada perasaan untuk membalas dendam.
”Mereka marah masa dalam kerajaan tidak naik pangkat, tidak naik gaji dan masuk pilihan raya. Inilah manusia tamak, mahu lepaskan geram dan berdendam. Golongan sebegini punyai pemikiran yang cetek dan harus ditolak,” tegasnya.
Beliau turut menyindir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terlupa tentang ucapannya dahulu apabila mengatakan solat di masjid orang UMNO tidak dapat pahala, tetapi baru-baru ini beliau bersolat di masjid yang terletak di Putrajaya yang dibina oleh kerajaan BN.
”Carilah masjid sendiri kalau kata solat di masjid orang UMNO tidak sah sembahyang. Dia pun sembahyang di masjid Putrajaya,” katanya.
Mengenai PRU-13 ini, Dr. Mahathir berkata, rakyat kini menikmati amalan baik daripada slogan BN pada pilihan raya umum tahun 1982 iaitu Bersih, Cekap dan Amanah.
”BN adalah parti yang sudah pun membawa negara ini ke arah negara maju pada tahun 2020. Rakyat sebenarnya sudah menikmati hasil kecekapan mengurus negara sejak 56 tahun negara ini merdeka,” katanya.
Di akhir ucapan, Dr. Mahathir berkata, beliau ke Johol untuk berkempen kerana mahu membalas budi rakyat yang telah memberinya peluang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Advertisements

Nik Aziz miliki tanah bernilai lebih RM10j? CILAKO

Ibrahim Ali menunjukkan bukti senarai tanah dan salinan geran milik Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Sabariah Tuan Ishak pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Turut hadir, seorang peguam, Nor Azli Ahamed (kiri), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad (kanan) dan Fauzi Mohamad (dua dari kanan).

KOTA BHARU 29 April – Tiada siapa sangka di sebalik imej zuhud, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya memiliki 14 lot tanah seluas 1.76 hektar di kawasan bernilai tinggi di Bandar Baru Tunjong di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.
Nilai tanah tersebut dikatakan boleh mencecah lebih RM10 juta sekiranya status tanah itu yang kini merupakan tanah pertanian ditukar kepada komersial, mengambil kira pelbagai projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Selain Nik Abdul Aziz, isteri beliau, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak turut memiliki 13 lot tanah di sekitar jajahan Kota Bharu dianggarkan bernilai jutaan ringgit termasuk dua lot tanah di Pulau Melaka yang telah dipajakkan selama 40 tahun kepada Petronas Dagangan Berhad bagi membina stesen minyak.
Kesemua tanah di atas nama Nik Abdul Aziz itu telah didaftarkan selepas 1990 iaitu ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.
Ketika ini, antara projek pembangunan yang dilaksanakan di Bandar Baru Tunjong ialah kompleks jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Audit Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
Sementara itu, di pihak kerajaan negeri pula beberapa projek penswastaan telah dirancang di sana antaranya Tunjong Pavilion, sebuah pasar raya dan banyak lagi yang bakal melonjakkan harga hartanah di kawasan tersebut yang terletak di laluan utama Kota Bharu-Kuala Krai.
Pemilikan tanah oleh Nik Abdul Aziz dan isterinya itu didedahkan oleh calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang amat terkejut dengan perkembangan tersebut kerana Mursyidul Am Pas itu sering digambarkan sebagai seorang yang zuhud.
Menurut Ibrahim, beliau telah menerima sampul surat mengandungi senarai tanah dan salinan geran milik Nik Abdul Aziz dan isterinya di dalam peti surat rumahnya di Taman Mimi, Wakaf Bharu beberapa minggu lalu.
Katanya, beliau telah menjalankan siasatan bagi mengetahui kesahihan dakwaan tersebut dengan membuat cabutan dan carian rasmi di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan hasilnya amat mengejutkan, apabila kesemua senarai tanah dan salinan geran yang dinyatakan dalam sampul surat berkenaan adalah benar.
“Saya amat terperanjat apabila seorang bergelar ulama dan sering digambarkan sebagai seorang yang zuhud, memiliki tanah bernilai tinggi ketika masih memegang jawatan ketua kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Persoalannya kata beliau, bagaimana tanah itu diperoleh ketika Nik Abdul Aziz yang merupakan seorang penjawat awam dan ketua kerajaan.
Sidang akhbar itu turut dihadiri seorang peguam, Nor Azli Ahamed; Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Kelantan, Fauzi Mohamad.
Pada sidang akhbar itu, Ibrahim turut menyerahkan salinan senarai tanah dan geran tanah yang dikatakan milik Nik Abdul Aziz dan Tuan Sabariah, selain salinan pelan lokasi tanah terbabit kepada pihak media.
Ibrahim sehubungan itu, menuntut Nik Abdul Aziz menjelaskan kepada rakyat Kelantan bagaimana beliau dan juga isterinya, seorang suri rumah yang tidak bekerja, mampu memiliki tanah tersebut.
“Sekiranya Tuan Sabariah memiliki perniagaan, apakah jenis perniagaan itu. Saya juga ingin memohon penjelasan daripada Datuk Nik Abdul Aziz mengenai tanah Sekolah Agama Darul Anuar, apakah ia milik persendirian ataupun tanah wakaf.
“Saya menggesa Datuk Nik Abdul Aziz memberikan jawapan secepat mungkin berhubung semua tanah yang dimilikinya itu dan bagi pihak rakyat Kelantan, saya memohon kepada beliau supaya mendedahkan semua harta yang dimilikinya.
“Rakyat berhak untuk tahu kerana tanah adalah milik rakyat. Ingat Allah Maha Kaya, Allah akan menunjukkan segala-galanya,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pendedahan tersebut bukan bertujuan membuat fitnah atau tuduhan ke atas Nik Abdul Aziz yang turut diseganinya, kerana berkemungkinan Menteri Besar itu memiliki tanah berkenaan menerusi cara yang betul dan sah.
“Tetapi yang saya nak persoalkan ialah dari segi moral, bagaimana beliau sebagai seorang Menteri Besar boleh memiliki tanah tersebut. Jadi, dia kena jawab dan buat penjelasan.
“Beliau wajib menjelaskan kepada rakyat, isterinya memiliki tanah ini, rakyat berhak untuk tahu kerana tanah ini milik rakyat.
“Inilah tragedi kepada rakyat Kelantan, apabila institusi ulama digunakan untuk kepentingan peribadi. Jadi Nik Abdul Aziz wajib menjelaskan kepada rakyat,” katanya.
Ibrahim dalam nada kesal turut mencabar anak Nik Abdul Aziz, Nik Abduh yang bertanding di Parlimen Pasir Pas menjawab isu tersebut kerana beliau percaya ada pihak tertentu yang terlibat di belakang perkara tersebut iaitu tauke balak sehingga menyebabkan kawasan hutan di Hulu Kelantan digondolkan.
“Saya nak cabar Nik Abduh, jangan cakap cara riak, perjelaskan macam mana bapanya yang menjadi Menteri Besar memiliki tanah itu. Saya juga nak minta bapa mertuanya, Fatah Haron, Ketua Pas Rantau Panjang mengisytiharkan harta dimilikinya.
“Ini bukan politik semata-mata, kasihan kepada rakyat Kelantan yang naif di kampung-kampung yang menganggap Pas itu Islam, Islam itu Pas.
“Rakyat Kelantan berhak untuk mempunyai kehidupan lebih baik seperti di negeri-negeri lain dan rakyat Kelantan berhak untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

TLDM akan saman penyebar fitnah

Abdul Aziz Jaafar (dua dari kiri) beramah mesra dengan veteran tentera pada Majlis Pemakaian Pingat Jasa Malaysia Kepada Veteran Tentera Malaysia di Pangkalan TLDM, Lumut, semalam.

LUMUT 29 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menyaman individu atau parti politik yang terus berdegil menabur fitnah dalam kempen pilihan raya kononnya kapal selam yang dibeli kerajaan tidak boleh berfungsi.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar juga mencabar pihak yang masih terus mempertikaikan perkara tersebut supaya berani membuat tuduhan berkenaan secara bertulis.
Tanpa mahu menamakan individu mahupun parti yang terlibat, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut dan sedang mengumpul bukti bagi tindakan selanjutnya.
”Kedua-dua kapal selam kita, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak kini beroperasi dengan baik, malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri sudah belayar dengan kita dan beliau sendiri mengakui keupayaan kapal selam tersebut dan berbangga dengan keupayaannya.
”Cukuplah, kita sudah terlalu berlembut dengan mereka. Ya, saya akan saman dan saya harap Peguam Negara bersiap sedia untuk mendakwa mereka bagi pihak kerajaan,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis perhimpunan warga TLDM di KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengheret pihak yang secara berterusan membuat fitnah ke mahkamah kerana telah memberi peluang secukupnya kepada mereka untuk menghentikan perbuatan itu.
”Saya dengar banyak cerita, hanya sekarang saya nak dapatkan bukti sahaja. Kenapalah nak memburukkan dan bangkitkan perasaan marah kepada kerajaan dan hina TLDM seolah-olah kita tak boleh mengoperasi kapal selam itu.
”Sedangkan saya sudah tiga kali belayar dengan kedua-dua kapal selam tersebut dan semuanya berjalan lancar. Kita juga sudah menyelam pada kedalaman maksimum dan melakukan tembakan yang menepati sasaran sejauh 55 kilometer dari bawah air. Jadi, mengapa masih kata ia tidak boleh berfungsi?,” soalnya.
Mengenai dakwaan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Lumut, Laksamana (B) Imran Abdul Hamid dihalang berkempen di pangkalan itu, Abdul Aziz berkata, memang menjadi dasar TLDM tidak membenarkan ceramah atau kempen politik dalam kawasan berkenaan.
Jelas beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dibenar masuk kerana beliau tidak bercakap mengenai politik sebaliknya dijemput bercakap tentang perpaduan manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula atas kapasitinya sebagai Menteri Pertahanan.

PRU-13: Undi dengan bijak, pesan pakar air kepada rakyat Selangor

KUALA LUMPUR 30 April – Seorang pakar air Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, yang bimbang dengan “politik air” oleh kerajaan negeri Selangor, merayu kepada rakyat negeri itu supaya mengundi dengan bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini agar masalah air yang dialami sejak lima tahun ini dapat ditamatkan.
Beliau berkata Malaysia tidak akan menjadi negara maju jika masalah berhubung sumber air dan bekalan air tidak dapat diatasi.
“Maka saya merayu kalau kita hendak negara kita maju dan mencapai status ini pada tahun 2020, fikirlah. Undi anda menentukan sama ada kita berada di takuk lama atau kita akan dihormati di seluruh dunia,” katanya dalam temu ramah dengan Bernama.
Mengulas kenyataan para pemimpin kerajaan negeri Selangor yang meminta rakyat Selangor memberi mandat sekali lagi kepada pimpinan pakatan rakyat pada PRU kali ini, Dr Zaharuddin menolaknya dengan alasan mereka kerap berdolak dalik dalam isu air, sehingga mencetuskan kesusahan kepada rakyat.
“Apabila kerajaan negeri Selangor meminta diberi mandat sepenggal lagi, persoalan utama ialah, adakah yang telah diberikan kepada mereka lima tahun sebelum ini telah mereka laksanakan mandat, amanah, tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat?.
“Kita selusuri apakah janji-janji mereka dan kita lihat apakah penghasilan daripada janji-janji mereka. Kalau kita merasa kerajaan sedia ada pada hari ini berjaya mengotakan janji mereka, telah menetapkan kayu pengukur bahawa mereka layak memimpin, kita undi mereka,” kata Dr Zaharuddin.
Sebaliknya, jika rakyat melihat mereka ini gagal, tidak boleh dipercayai dan apa yang mereka katakan hanya omong kosong, maka rakyat harus berfikir kerana ini masa depan mereka, tambah beliau.
“Apabila kita meletakkan tangan kita di atas kertas undi nanti, kita harus sedar bahawa kita bukan memilih calon, kita memilih hala tuju negara kita. Kalau kita dapat memikirkan begitu, maka cukup mudah untuk kita memangkah siapa yang kita hendak dan siapa yang kita tak nak jadi pemimpin kita di masa akan datang,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siri berkempen di Selangor minggu lepas, dan lawatan-lawatan kerja sebelum ini, menegaskan masalah air akan dapat diselesaikan dengan berkesan jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk memerintah semula negeri itu pada PRU-13 ini.
Dr Zaharuddin daripada Universiti Utara Malaysia berkata kerajaan negeri sejak lima tahun ini mengeluarkan bermacam-macam kenyataan tentang penyelesaian kepada masalah air tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa tindakan berkesan yang diambil.
“Kalau sehingga hari ini masalah yang besar sedia ada yang mereka berikan kepada kita tidak ada alternatif, adakah kita nak percaya kepada mereka,?” tanya beliau.
Merujuk sekali lagi kepada masalah air, beliau berkata sudah lima tahun kerajaan negeri berkali-kali mengulangi ia dapat menyelesaikannya, tetapi semuanya cakap-cakap kosong.
“Ayat yang paling cantik yang mereka susun ialah dengan mengatakan mereka telah mendapat pakar-pakar air dan sehingga hari ini saya menanyakan mereka siapakah pakar mereka. Sehingga hari ini tiada satu nama pun yang dikeluarkan”.
Dr Zaharuddin, kini Timbalan Pengarah Institut Pemikian Tun Dr Mahathir Mohamad di UUM, berkata beliau tersinggung apabila pemimpin negeri Selangor mempertikai kelayakan beliau sebagai pakar air berhubung kenyataan beliau melalui media mengenai isu air di Selangor.
Ahli akademik itu telah menulis tesis Doktor Falsafahnya dalam bidang pengurusan bekalan air di Lembah Klang pada 2004, melakukan penyelidikan dalam pengurusan air selama 10 tahun manakala kertas kerjanya mengenai air dibentangkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Apabila saya mengulas tentang isu air, mereka mempertikai siapa saya.
Adakah saya bukan pakar atau adakah menteri besar itu pakar air? Kita lihat siapa yang lebih kredibel dalam membicarakan isu air, menteri besar Selangor yang sedia ada atau saya yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam isu ini,” katanya – BERNAMA

Analisis PRU-13: Hakikat yang sukar ditelan penyokong tegar Anwar

BUKAN mudah untuk menelan hakikat bahawa pemimpin yang kita sanjungi selama ini rupa-rupanya tidak seperti kita bayangkan. Kita akan mencari apa juga alasan untuk tidak mempercayainya walaupun kebenaran terserlah di depan mata.
Hanya mereka yang benar-benar mahu mencari kebenaran akan dapat membebaskan diri daripada belenggu ketaksuban yang tidak mempunyai batasan dapat mencari jalan keluar.
Ketika saya menghadiri satu Forum Nasional bertajuk: “Apa kata mereka” baru-baru ini, nama-nama besar yang pernah menjadi tonggak perjuangan di dalam PKR dan memperjuangkan hak pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya telah dianiaya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui memang sukar untuk menerima hakikat pemimpin yang mereka sanjung itu mempunyai terlalu banyak sisi gelapnya.
Bayangkan jika nama seperti Prof Dr. Datuk Sidek Baba, Dr. Chandra Muzaffar, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan Dr. Yusri Mohamad juga mengambil masa untuk menyedarinya, tentulah sukar untuk kebanyakan kita yang mempunyai pemikiran tahap orang biasa untuk memahami dan menerimanya.
Yusri, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang keenam contohnya sama seperti saya satu ketika dahulu dan orang-orang muda yang mempunyai kesedaran Islam pasti mengangkat Anwar sebagai pemimpin mereka.
Siapa lagi pemimpin yang mempunyai karisma ketika berpidato, mempunyai imej islamik dan berkebolehan menjadi imam, bahkan membaca khutbah Jumaat, tentulah Anwar. Saya cepat sedar bila sering membuat liputan program Anwar ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Dia sebenarnya hanya mengulangi skrip lama yang dipersembahkan dengan gaya mempersonakan pada setiap penampilan sehingga ia kelihatan cukup segar dan menyakinkan.
Bagi Yusri walaupun beliau merupakan seorang pensyarah di dalam bidang syariah, hatinya menjadi buta sehingga menafikan hak mangsa-mangsa yang membuat aduan tentang perlakuan songsang pemimpin pembangkang itu.
Khazaf iaitu perlu mengemukakan empat saksi bagi setiap tuduhan menjadi benteng ampuh untuk Yusri menangkis setiap tuduhan yang dibuat dan ia dianggap sebagai tohmahan semata-mata demi mahu menghalang Anwar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Namun akhirnya mata hati Yusri terbuka apabila dia tergerak hati untuk meneliti tuduhan yang dibuat. Ketika itulah dia sedar bahawa hukum Khazaf tidak terpakai jika mangsa sendiri yang membuat dakwaan dan bukan orang ketiga.
Bagaimana mangsa rogol atau liwat dapat mencari empat orang saksi. Ketika itu dia sedar kezaliman telah berlaku apabila pihak yang teraniaya telah dinafikan hak mereka.
Datuk Mohd Nakhaie Ahmad sewaktu Anwar disingkirkan beliau sangat bersimpati dengan pemimpin yang mengarahkannya menyertai Pas itu.
“Saya pergi sembahyang hajat, sampai dia kena tangkap saya yang baca doa. Nasiblah saya baca doa yang betul iaitu berbunyi: “Ya Allah kau tunjuklah apa yang benar itu benar, yang salah itu salah.” Akhirnya Allah telah tunjukkan kebenarannya di depan mata.
Walaupun sembahyang hajat diadakan di seluruh negara meminta supaya Dr. Mahathir ditimpa bencana tetapi sehingga hari ini Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada Dr. Mahathir dan beliau masih segar bugar, berbanding Anwar yang ditimpa pelbagai masalah.
Rakan karib Anwar Dr. Sidek Baba hanya meninggalkan Anwar selepas beliau membuat kajian dan menemubual 30 orang yang rapat dengan Anwar dan mereka menuduh salah laku pemimpin pembangkang itu.
Akhirnya beliau membuat kesimpulan tiga asas kenapa dia meninggalkan rakan karibnya itu iaitu – Intergriti, hubungannya dengan orang luar dan akidah Anwar mengenai agama Islam yang mahu memenangi hati semua orang sehingga menyamaratakan agama Islam dengan agama lain.
Dr. Chandra Muzaffar pula yang terlibat aktif dalam membentuk manifesto Keadilan suatu ketika ketika Keadilan ditubuhkan pada tahun 1999. Beliau terlibat dalam ‘Gerakan Adil’, selaku Timbalan Pengerusi Adil dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengerusi.
Seperti Wan azizah beliau tidak berminat dengan politik kepartian. Gerakan Adil bukan gerakan politik, sebaliknya beliau akan menyerahkan kepada orang politik setelah dimaklumkan lebih awal bahawa terdapat 20 orang pemimpin UMNO yang akan berundur dan menerajui gerakan itu. Beliau akhirnya terpaksa memikul beban memimpin gerakan itu kerana tiada seorang pun pemimpin UMNO yang berundur.
Chandra turut menceritakan bagaimana khabar angin disebarkan kononnya Anwar telah disuntik dengan virus HIV AIDS ketika di dalam tahanan. Sedangkan perkara itu tidak logik bagi musuh politik Anwar untuk berbuat sedemikian memandangkan kesan penularan penyakit itu hanya dapat dilihat selepas lebih 10 tahun. Begitu juga kononnya Anwar diracun dengan arsenik. Sedangkan hasil laporan perubatan yang diperolehi kadar arsenik di dalam badan Anwar meningkat kerana dia mengambil suntikan kosmetik dan Wan Azizah selaku doktor perubatan memang memahami perkara itu. Paling mengejutkan apabila Chandra mendedahkan mengapa pihak luar yang didalangi Amerika Syarikat mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau memang terkenal seorang yang keras terhadap Amerika Syarikat. Namun setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri beliau mengambil pendekatan menjadi sahabat dengan negara kuasa dunia itu.
Pendekatan itu juga masih tidak memuaskan hati negara berkenaan, kerana mereka mahukan seorang rakan sekutu di rantau ini bagi mengimbangi kuasa dan pengaruh China yang semakin meningkat.
Hanya Anwar selaku pemimpin di negara Islam dirantau ini yang patuh dengan telunjuk negara Barat itu dan sanggup mengiktiraf hak Israel dengan menyatakan negara berkenaan berhak mempertahankan keselamatan rakyatnya dengan menyerang Palestin.
Amerika Syarikat pula memerlukan rakan sekutu untuk memastikan laluan strategik Selat Melaka di bawah kawalannya. Ini adalah kerana selat itu sangat penting memandangkan sebahagian besar minyak yang digunakan oleh negara China diangkut melalui Selat Melaka.
Jika diselak kembali lipatan sejarah kita dapati Laksama Cheng Ho dihantar ke Melaka semata-mata untuk memastikan Selat Melaka tidak jatuh ke tangan penjajah Barat ketika itu. Sejak dahulu kala selat berkenaan terus menjadi rebutan sehingga ke hari ini.
Memang ramai orang mudah tertipu dan sehingga hari ini belum sedar mereka sedang ditipu. Namun bukalah hati untuk mendengar orang yang bijak pandai berbicara dan cuba dengar butir tuturnya supaya kita tidak mengambil masa begitu lama untuk sedar kerana dikhuatiri nanti sudah terlambat apabila tanah air ini telah tergadai. – UTUSAN ONLINE

PENGHARGAAN UNTUK SEORANG TOKOH NEGARA TERBILANG

 
 

Sepanjang sejarah manusia, proses ini berlaku. Ianya harus menjadi pelajaran kepada kita. Jangan kita mendewakan perpecahan, sebaliknya hendaklah kita menerapkan perpaduan semoga apa yang telah kita capai tidak akan hancur, bahkan kemajuan yang lebih tinggi dapat dicapai. “

 Tun Dr. Mahathir Mohammad

 
 
Salam untuk warga UiTM
Bagi mengenang jasa seorang tokoh negara yang terbilang perlulah kita setiap warga UiTM mengenang semula jasa dan tokoh negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Jasa dan sumbangan salah seorang tokoh negara yang tidak akan kita lupakan sampai bila-bila adalah Tun Dr. Mahathir Mohammad, Mantan Perdana Menteri Keempat Malaysia. Setiap daripada kita pasti terhutang budi pada Tun Dr. Mahathir yang telah banyak berbakti demi masa depan agama, bangsa dan negara.
Hari ini kita masih lagi menyaksikan betapa gigihnya beliau dalam memperjuangkan nasib anak bangsa kita walaupun beliau sudah berumur. Atas kegigihan inilah kita harus terus menghargai segala sumbangan yang telah diberikan kepada kita semua. Segala usaha beliau pada hari ini boleh kita saksikan sendiri melalui laman facebook beliau.
Laman facebook beliau akan memberikan kita banyak informasi mengenai segala aktiviti dan usaha beliau masa kini. Bagi menghargai sumbangan beliau, kami amat berbesar hati sekiranya tuan-tuan dan puan-puan sudi untuk melayari www.facebook.com/ILOVETUNM

Tun M

Page ini dibuat sebagai tanda sokongan dan rasa sayang kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang memegang jawatan tersebut selama 22 Tahun. 
LIKE page ini jika anda benar-benar menyokong, sayang, kagum, bangga dengan beliau. Page ini bukan untuk mengangkat beliau , bukan untuk memuja tapi sekadar perkongsian mengenai Tun Mahathir. Selain membincangkan mengenai isu-isu politik semasa. Gambar dan POST dalam page ini juga bukan HAK MILIK PAGE ini boleh BERKONGSI.

** Page ini juga telah dimaklumkan kepada Tun Dr Mahathir**

“Buat apa susah-susah , ada ke yang sayang saya? mana ada .” – Tun Dr Mahathir

PUTAR BELIT LAGI

Pembohong BESAR
===================================================================
KIRA-KIRA SIFIR
I want to ask one simple finance question to Rafizi… Similar to your housing loan, if i borrow RM285mil from you today, and i pay you over 23 years with 6.5% interest per annum, what would be my total agregate payment? Its would be more than RM1 billion. Add to that 23 years of operating and maintenance cost (with inflation, etc) for 838k sq ft of facility… Please do the maths..(kiriman pembaca)

PEMBINAAN 6 KAMPUS UITM JIMAT RM600J

Sila pertahankan UiTM
Kerajaan berupaya menjimatkan sebanyak RM600 juta kos untuk membina enam kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara
PUTRAJAYA: Kerajaan berupaya menjimatkan sebanyak RM600 juta kos untuk membina enam kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara menerusi pelaksanaan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaksanaan projek secara PFI itu dijangka boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan antara RM50 juta hingga RM100 juta bagi setiap kampus baru. Beliau berkata, ia kerana kos pembinaan setiap kampus UiTM menerusi kaedah konvensional adalah mencecah sehingga RM400 juta berbanding tidak sampai RM300 juta menerusi konsep PFI.
Ini bermakna kerajaan hanya akan membelanjakan RM1.8 bilion untuk membina enam kampus baru UiTM, manakala 
bayaran balik kos pembinaan kepada syarikat terbabit dilakukan secara berperingkat mengikut bilangan pelajar di situ.
Kita berharap pembinaan kampus baru UiTM berkenaan dapat dimulakan secepat mungkin dan mampu membuka lebih 
banyak peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pada masa depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi antara 
UiTM dan syarikat yang terbabit dengan projek pembinaan enam kampus UiTM secara PFI di sini, semalam. Enam kampus baru UiTM yang akan dibina menerusi kaedah PFI ialah di Pasir Gudang, Johor; Jasin, Melaka; Seremban 3, Negeri Sembilan; Kota Samarahan, Sarawak; Tapah, Perak dan Puncak Alam, Selangor.
Mengulas lanjut, Khaled berkata beliau meminta pengurusan UiTM supaya sentiasa melakukan pemantauan bagi 
memastikan semua projek pembinaan kampusnya disiapkan mengikut jadual.
Pada masa sama, Khaled berkata kerajaan juga merancang untuk membina enam lagi kampus baru UiTM termasuk di 
Dengkil (Selangor), Pekan (Pahang), Mukah (Sarawak), Kapar (Selangor) dan Rembau (Negeri Sembilan) menggunakan 
pendekatan sama dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Warga UiTM Pasti Kecewa dengan kenyataan yang TIDAK BERTANGGUNGJAWAB Si Rafizi (Putar Alam) ini..