Dr. Muhammed dan The Colour of Inequality; Pesta Oktoberfest di Selangor

Oleh Zaini Hassan
SAYA mengenali Dr. Muhammed Abdul Khalid semasa beliau menjadi penyelidik di ISIS beberapa tahun lalu.
Beliau juga adalah pengikut setia kolum ini. Dan saya turut mendapat banyak input daripada beliau dalam hal-hal berkaitan sosial, ekonomi dan politik.
Baru-baru ini, beliau telah menerbitkan sebuah buku, yang antara rakan-rakannya ternanti-nantikan. Saya diminta beliau mengulas bukunya.
Saya merasa terhormat untuk mengulas bukunya bertajuk The Colour of Inequality – Ethnicity, Income, And Wealth In Malaysia (Warna Ketidaksamaan – Etnik, Pendapatan dan Kekayaan di Malaysia).
Dr. Muhammed, ialah seorang ahli ekonomi Melayu muda yang berasal dari Pulau Pinang. Berkelulusan ijazah kedoktoran dari Perancis.
Yang menarik perhatian saya mengenai buku ini adalah sejarah political economy mengenai jurang kekayaan di Malaysia, terutamanya di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera, dan hala tuju jurang ini yang bagi saya amat menggerunkan.
Buku ini yang penuh dengan data dan fakta menunjukkan bahawa jurang kekayaan (asset) adalah lebih teruk daripada jurang pendapatan (income), baik dari segi kaum, mahupun di antara yang kaya dan yang miskin.
Walaupun negara kita dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan sejak DEB diperkenalkan, namun kebelakangan ini jurang pendapatan kembali melebar.
Yang mengejutkan, jurang pendapatan di antara bandar dan kampung ketika ini amatlah teruk sekali, malah lebih teruk daripada tahun 1957! Dari segi jurang pendapatan antara kaum, ia makin melebar sejak tahun 2009.
Jurang pendapatan di antara kaum bumiputera dan Cina telah meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun 2009 hingga 2012, dan ini bukan sahaja pertama kali ia berlaku sejak tahun 1970, tetapi juga sekaligus melenyapkan segala pencapaian yang dicapai sedekad yang lalu.
Yang mengejutkan saya adalah data yang menunjukkan kedaifan rakyat Malaysia, terutamanya kaum bumiputera dalam pemilikan harta, termasuk hartanah dan saham.
Dari segi pemilikan aset kewangan, 72 peratus yang tidak mempunyai aset ini adalah kaum bumiputera.
Namun jika dilihat dari segi kaum, majoriti penduduk di negara kita ini, baik bangsa Melayu, kaum Cina mahupun India tidak mempunyai sebarang aset kewangan.
Ini mungkin sesuatu yang tidak masuk akal tetapi Dr. Muhammed menunjukkan bahawa inilah realitinya.
Jika dilihat dari segi pemilikan Amanah Saham Bumiputera (ASB), lebih kurang separuh daripada kaum bumiputera di negara ini mempunyai akaun bersama ASB.
Daripada separuh yang ada akaun itu, purata simpanan adalah lebih kurang RM15,400, tetapi jika dikaji lagi, lebih dua pertiga atau 72 peratus hanya mempunyai RM554 sahaja!
Jurang yang sama dihadapi oleh kaum yang lain, malah jurang di antara kaum India yang paling teruk sekali di mana 64 peratus kaum India di negara ini tidak ada satu sen pun aset kewangan, berbanding kaum Cina (56 peratus) dan golongan bumiputera (64 peratus).
Kedaifan yang sama berlaku dari segi pemilikan hartanah apabila tiga-perempat orang yang tidak mempunyai aset ini adalah daripada golongan bumiputera.
Di mana silapnya, terutamanya di kalangan bumiputera walaupun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan?
Adakah kerana Melayu malas, boros, tiada kelulusan tinggi ataupun ada faktor yang lain?
Dr. Muhammed telah menunjukkan bahawa terdapat kajian mendapati bahawa faktor kadar tabungan, perbelanjaan, mahupun pendidikan bagi kaum bumiputera adalah sama dengan kaum yang lain. Jadi di mana silapnya?
Penulis menghuraikan tiga perkara.
Pertama, diskriminasi kaum terhadap graduan Melayu walaupun mereka mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan kaum lain menghalang golongan ini untuk mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan kaum lain, iaitu sumber penting untuk pengumpulan aset.
Kedua, inherited asset (harta pusaka) kaum lain terutamanya kaum Cina, lebih banyak memberi harta kepada anak-anak mereka, walaupun golongan majoriti kaum Cina juga tiada aset.
Ketiga, dan yang paling penting sekali, kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti Melayu seperti Pas atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu.
Wawancara Dr. Muhammed dengan orang kuat parti-parti politik ini menunjukkan bahawa mereka ini lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah ekonomi kaum Melayu.
Kecuaian ahli politik ini, disambung pula oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
Dr. Muhammed menyatakan, berdasarkan temubual beliau dengan ketua-ketua GLC, jelas menunjukkan mereka bukan sahaja tidak memberi perhatian terdapat dasar bumiputera, malah ada di antara mereka yang mengutuk dasar bumiputera.
Malah ada yang mencaci bangsa Melayu sendiri.
Tidak hairanlah GLC seperti UDA yang diberi amanah untuk meningkatkan penguasaan hartanah kini lebih senang mengalibabakan projek yang diberi.
Tiba masanya untuk kita kaji semula kesemua polisi dan agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap peningkatan sosioekonomi kaum bumiputera.
Yang saya risaukan adalah kesimpulan buku ini, di mana penulis Dr. Muhammed, amatlah khuatir dan pessimistic mengenai masa hadapan.
Dasar-dasar kerajaan yang sedia ada, terutamanya dasar pendidikan, dasar pencukaian dan kerenah GLC ini akan membuat jurang makin meluas dan majoriti rakyat negara ini, daripada semua kaum, akan makin melara.
Ini adalah time-bomb, jika ia tidak ditangani dengan segera.
Saya menyeru agar pembesar negara kita, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang membaca buku ini.
Kita masih ada masa. Selesaikanlah dengan segera. Biar kita ikhlas tentang kegagalan kita, supaya jalan penyelesaian dapat dibuat.
Pesta arak terbesar di dunia, wow hebat!!!!
SHAH ALAM (satu ketika dahulu) ialah ibu negara yang dihuni oleh orang Melayu. Tidak ramai kaum lain yang suka tinggal di situ.
Malah nilai hartanahnya cukup murah. Antara sebab ialah kerana hartanahnya tidak boleh ditukar milik kepada kaum lain.
Tetapi dalam senyap-senyap rupa-rupanya kaum lain juga cemburu dengan kejayaan Shah Alam. Mereka juga ada hasrat mahu memasuki ke ibu negeri Selangor itu.
Semasa di bawah kerajaan yang terdahulu, benteng itu dijaga rapi. Namun benteng itu sudah pecah.
Orang Melayu sendiri memecahkannya. Mereka memilih supaya Shah Alam dibuka. Kini hartanahnya naik mendadak. Terlalu mahal. Hak milik Melayu kini, difahamkan sudah dilonggarkan.
Kondo-kondo tumbuh bagai cendawan hasil projek usahasama PKNS dan syarikat-syarikat bukan bumiputera. Harganya terlalu tinggi. Ia di luar capaian orang Melayu.
Disebabkan itu Shah Alam kena dibuka lagi. Panggung wayang dan pusat hiburan yang dahulunya tidak dibenarkan kini sudah ada.
Ada satu ketika dahulu semasa kerajaan Selangor baharu memerintah, DAP begitu beria-ia mahu dibenarkan penjualan arak di kedai-kedai 24 jam. Kejadian itu telah menjadi isu yang besar. Antara kawasannya ialah di Seksyen 8 Shah Alam.
Kawasan itu lebih 80 peratus dihuni oleh orang Melayu.
Kini lagi hebat. Oktoberfest, the biggest beer celebration in the world (pesta bir terbesar di dunia) akan diadakan di One Utama, Selangor.
Iklan mengenai pesta arak terbesar di dunia itu boleh kelihatan di Shah Alam, kononnya bandar raya kemegahan umat Melayu Islam.
Saya masih teringat pekikan tok-tok guru dan Pemuda Pas sebelum mereka menawan Selangor dulu.
UMNO kerajaan taghut hanya mainan di mulut. Kerajaan Selangor UMNO penuh dengan kemaksiatan. Ada dua kilang arak terbesar di negara ini iaitu Carlsberg di Batu 3 Shah Alam dan kilang Guinness di Sunway.
Tetapi apabila mereka memerintah, lain pula alasannya. Mulut-mulut yang bising dahulu kini senyap sepi.
Sebaliknya serangan ke atas kerajaan Pusat pula diteruskan. Dalam satu pertemuan Jamuan Makan Malam DAP di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, 4 Oktober baru-baru ini, kerajaan Pusat terus diserang.
Antara yang hadir ialah Tony Pua (DAP), Teresa Kok (DAP), Saari Sungib (Pas), Lew Chan Tong (DAP) dan Dyana Sofia (DAP).
Antara isu pancing rakyat ialah menuduh dalam BN, UMNO itu adalah abang. Apa yang disuruh abang, parti lain terpaksa ikut. DAP cuba menanam sifat kebencian di benak hati orang Cina.
DAP menuduh UMNO sebagai abang dalam BN.
Itu bermakna dalam pakatan pembangkang merekalah selama ini abang kepada Pas dan PKR.
Tapi kasihan Pas dan PKR hanyalah pak-pak tunggul.
Saari dan Dyana, dua wakil Melayu itu tak sentuh sedikit pun pasal pesta arak terbesar di dunia itu.
Mungkin mereka takut dengan taiko (abang) DAP!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141008/re_05/Dr-Muhammed-dan-The-Colour-of-Inequality-Pesta-Oktoberfest-di-Selangor#ixzz3FbrtVfAO  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bersediakah Melayu lepaskan hak?

Oleh Zulkifli Jalil
PERNAHKAH sesiapa melihat orang Melayu dan beragama Islam dalam jumlah makro, masih lagi belajar membaca muqaddam.
Dengan kata lain, masih bertatih membaca alif ba ta dalam usia 50-an. Inilah pengalaman yang pernah diceritakan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Kongres Melayu Nusantara (KMN) kepada penulis sepanjang pengembaraan ke Thailand, di satu daerah bernama Nakhon Sawan akhir tahun ini.
Itu antara catatan pengalaman berharga yang dikutip mereka semasa berpeluang melihat sendiri budaya hidup orang Melayu Siam di negeri Gajah Putih itu.
“Kedaifan masyarakat Melayu di negeri yang majoriti penganutnya beragama Buddha itu terserlah dalam episod kehidupan mereka di Nakhon Sawan. Di daerah yang dijejaki pertubuhan ini, orang Melayu Islam hanya pandai bersolat dan membaca ayat lazim sekadar melengkapkan rukun ibadah wajib tersebut,” kata Yang Dipertua KMN, Datuk Tengku Shaifulliazan Tengku Zainal Abidin (gambar).
Namun apa yang menyedihkan, kata Tengku Shaifulliazan, mereka masih ‘merangkak-rangkak’ membaca al-Quran disebabkan guru agama dari selatan Thailand hanya datang setahun sekali ke kampung tersebut.
Jauh di sudut hati terfikir oleh beliau betapa beruntungnya orang Melayu di Malaysia kerana dapat hidup sejahtera dan dapat belajar agama Islam dengan segala kemudahan daripada guru agama hingga ke institusi pengajian Islam.
Namun hari ini, kata beliau, apa yang menyedihkan wujud sebilangan orang Melayu dan Islam di negara ini sanggup mengorbankan hak istimewa mereka kerana politik kepartian yang langsung tidak bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.
Lebih teruk lagi, orang Melayu hari ini sanggup berpolitik dengan skripnya ditulis oleh pihak lain sehingga pemimpin Melayu dan Islam yang suatu dahulu gah dengan agenda Islam sanggup mengetepikan hak sendiri, semata-mata kerana mahu menang pilihan raya.
Sikap pemimpin parti terbabit bersekongkol dengan pihak yang cuba menidakkan hak istimewa bangsanya dan meminggirkan institusi diraja amat dikesalkan.
“Parti politik yang bertunjangkan Islam kini sudah bertukar perjuangan. Dan dianggap menjadi pengikut parti yang memperjuangkan kesamarataan dan menghapuskan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sedangkan, tanpa DEB nasib orang Melayu akan senasib orang Melayu seperti di Thailand, Kemboja dan Vietnam,” kata Tengku Shaifulliazan lagi.
Suatu ketika timbul isu pemimpin pembangkang mahu mengurangkan 50 peratus penjawat awam jika mereka berkuasa kelak. Ini perlu diambil perhatian oleh orang Melayu memandangkan hampir 90 peratus penjawat sektor tersebut adalah orang Melayu.
DEB sebenarnya merupakan perisai orang Melayu dan satu-satunya Kerajaan Pusat di dunia yang mampu melaksanakan dasar sehebat itu adalah Barisan Nasional (BN). Atas dasar itu, orang Melayu jangan teragak-agak untuk menyatakan sokongan terhadap BN selagi dasar itu dan dasar seumpama dengannya terus membela orang Melayu.
Adakah orang Melayu bersedia untuk melepaskan hak mereka yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak 31 Ogos 1957 lagi?
Hak tersebut adalah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negara, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153, institusi raja dan lain-lain lagi. Hari ini, parti pembangkang menghalalkan segalanya demi mencari undi pelbagai golongan rakyat sedangkan ia mengancam hak majoriti orang Melayu.
“Hari ini sebilangan orang Melayu melihat perjuangan individu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perjuangan beliau tetapi perjuangan DAP yang membawa agenda Malaysian Malaysia.
“Pas pula bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang tetapi DAP yang agendanya dibawa oleh PKR. Malangnya orang Melayu masih lagi tidak sedar hak mereka sedang terancam,” kata Tengku Shaifulliazan.
Di Selangor, kata beliau, orang Melayu sudah melihat model negara yang akan dibentuk oleh parti pembangkang jika mereka berjaya dalam misi ke Putrajaya. Orang Melayu semakin kehilangan hak mereka sedikit demi sedikit akibat diulit janji-janji manifesto penuh pesona.
Isu premium tanah yang dikenakan mengikut harga pasaran kepada pemilik tanah di Selangor yang menerima Borang 5A membuka mata rakyat yang selama ini dimomokkan oleh slogan Kerajaaan Negeri Selangor iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.
Bayangkan seekar tanah, rakyat perlu membayar RM38,000 untuk bayaran premium di kawasan Tanjung Karang. Jika dua ekar tanah sudah jadi RM72,000. Bagaimana rakyat yang bekerja sebagai peladang hendak membayar premium tersebut semata-mata ingin mendapat geran.
Kesudahannya, dibimbangi tanah orang Melayu terlepas ke tangan orang asing yang sanggup membayar premium tersebut. Lebih menakutkan perkara ini telah dan sedang berlaku di Selangor.
“Alasan kerajaan negeri Selangor hanya mengikut harga pasaran suatu yang tidak logik sama sekali sedangkan semasa era BN memerintah, perkara begini tidak pernah berlaku.
“Premium untuk seekar tanah di kawasan sama hanyalah RM359 sahaja dan rakyat tidak tertekan untuk membayar jumlah tersebut,” kata beliau.
Isu premium tanah menjadi duri dalam daging buat kerajaan PKR Selangor kerana isu tanah melibatkan maruah orang Melayu yang sudah pasti tidak mahu kehilangan hak untuk berpijak di tanah sendiri.
Dunia Melayu menganjur dari Thailand, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Brunei, Filipina dengan orang Moro, Indonesia dan seterusnya ke Cape Town, Afrika Selatan.
Cabaran orang Melayu memang besar kerana berdepan dengan persepsi masyarakat dan arus politik yang penuh dengan pelbagai agenda dan muslihat pemain-pemainnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_07/Bersediakah-Melayu-lepaskan-hak#ixzz35c4T8tTX  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Intan dan Kaca; Kerusi ‘DEB’ Tan Sri Faaland; Oh UiTMku…

Oleh ZAINI HASSAN


Jon Faaland (dua dari kanan) diraikan oleh Dr. Rais Saniman bersama-sama Datuk Ramli Mohd. Noor (dua dari kiri),Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah dan Datuk Zaini Hassan (kanan) di sebuah restoran di Kuala Lumpur, kelmarin.

Antara Teluk Intan dan Teluk Kaca…
SEMASA Cuit ini ditulis, saya berada di PRK Parlimen Teluk Intan.
Sebagai wartawan saya harus pergi dan meninjau. Itu wajib. Itulah yang saya lakukan sejak memegang profesion ini kira-kira 25 tahun lalu.
Saya tertarik berada di situ, kerana ia membabitkan pertandingan antara calon tua dan muda, selebriti dan orang biasa, mentah dan masak serta intan dan kaca.
Dalam perbezaan itu saya melihat BN adalah underdog dan DAP cukup yakin untuk menang. Cina nampaknya tidak berganjak daripada DAP. Gerakan yang cukup lama di Teluk Intan perlu bekerja keras lagi.
Calon BN, Datuk Mah Siew Keong sepatutnya boleh menang mudah kerana secara tradisi, dia ialah orang Teluk Intan, dari keluarga taukeh ternama, berjaya dan terkemuka di situ.
Sebaliknya Dyana Sofya tiada apa-apa, kecuali window dressing DAP yang ‘menggunakannya’ untuk faedah parti itu. Pos­ter gambar Dyana diletakkan dalam pelbagai gaya. Ada yang berbaju kurung bertudung, tanpa tudung, baju moden, gaya itu dan gaya ini. Banyak dicakapkan orang mengenai poster kreatif itu.
DAP yang cukup cauvinis secara tradisi nampaknya cuba lari daripada imej perkauman, walaupun falsafah perjuang­annya tidak akan berubah. Atas faktor itu Dyana dimekap tebal-tebal untuk menjadi calonnya.
Bosnya Lim Kit Siang akan sentiasa (berdamping) dengan Dyana dan jika soa­lan-soalan sensitif diaju wartawan, mikrofon akan ditarik dari mulut gadis itu.
Mungkin benarlah seperti kata Tun Dr. Mahathir, Dyana hanyalah umpan DAP untuk menang semata-mata.
Semasa Cuit ini ditulis, ibunya Yammy Samat, seorang ahli Perkasa meletak jawatan atas alasan “Perkasa sudah menyimpang” – satu alasan yang terlalu lazim.
Mengenai pengundi. Pengundi Melayu perlu dipadukan. Mereka harus disatuhatikan di bawah UMNO. Perbezaan pendapat antara ketua-ketua cawangan mesti diselesaikan.
Masyarakat India hasil pemerhatian saya sejak malam tadi memihak dengan BN. Namun mereka boleh swing pada saat-saat terakhir, jika tidak dijaga betul-betul.Riuh-rendah mereka membawa bendera biru ke sana-sini dengan motosikal.
“Apa DAP buat selama ini di Teluk Intan,” jerit Ahmad Maslan, berceramah di PDM Nova Scotia malam tadi.
Jawapan Tamil yang diberi “elek…!” Bererti tiada apa-apa.
Seperti yang saya tulis di atas, pertembungan ini cukup unik sekali. Ia akan ref­lek cara berpolitik antara kedua-dua parti itu untuk masa-masa akan datang.
Adakah psikologi politik DAP akan berjaya sekali lagi, atau pendekatan matang BN akan berhasil?
Strategi saat-saat terakhir menjelang pilihan raya cukup penting sekali. Siapa hebat, dia menang. Tunggu 31 Mei ini.

Wujudkan Kerusi Just Faaland: Otak DEB Malaysia

BEBERAPA hari lalu saya hadir makan malam dijemput oleh seorang tokoh ekonomi negara. Tokoh itu ialah Dr. Rais Saniman yang bersama-sama merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau New Economic Policy (NEP).
DEB digubal oleh seorang pakar ekonomi dari Norway bernama Just Faaland, kini Tan Sri.
Beliau datang ke Malaysia sebelum rusuhan kaum 13 Mei 1969, untuk menge­tuai pasukan pakar antarabangsa sebagai Pengarah Kumpulan Penasihat Universiti Harvard di Malaysia. Kumpulan itu dile­takkan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menasihat negara berkaitan hal ehwal ekonomi.
Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan anak Tan Sri Faaland, Jon Faa­land yang tiba di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi.
Tujuan DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan dan melonjakkan perpaduan nasional dengan membolehkan kumpulan-kumpulan etnik Malaysia terlibat dalam ekonomi yang saksama, tanpa menekan hak-hak sosial dan ekonomi kumpulan etnik.
Selepas tragedi 13 Mei, Tan Sri Faaland membantu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan bekerja rapat dengan EPU, bagi me­ningkatkan taraf kehidupan orang miskin dan yang tersisih.
“Apa sedikit yang saya tahu berkaitan dengan Malaya berbanding dengan negara ini keseluruhannya. Saya sedar mengenai fasa-fasa yang berlaku semasa perang dan kepentingan utama eksport timah dan getah Tanah Melayu untuk ekonomi­nya. Saya juga mempunyai sedikit penge­tahuan mengenai penghijrahan besar-besaran kaum buruh pendatang Cina dari Asia Selatan.
“Setibanya di KL pada Julai 1968, saya memerlukan masa untuk belajar menge­nai negara ini. Saya sangat beruntung diletakkan di EPU yang mana hampir semua rakan dari Kumpulan Penasihat Harvard turut berada,” kata Faaland dalam portal Merdeka Award http://www.merdekaaward.my
Iklim sosioekonomi Malaysia pada 1969 dan 1970 amat memerlukan pe­nyertaan semua rakyat untuk pengagihan sosial yang lebih baik demi kemajuan negara.
“Ia dikenali sebagai pendekatan baru. Rintangan, malah jurang yang semakin meningkat antara kaya dan miskin, telah memberi kesan politik untuk mendesak para intelektual dan ahli politik bagi mencari jalan penyelesaian. Memang diakui ia amat diperlukan,” katanya.
DEB atau NEP bukan dipersetujui secara sebulat suara semasa ia mula dicadangkan kepada kumpulan penasihat itu. Namun Tan Sri Faaland berjaya mempengaruhi mereka mengatakan ia adalah dasar terbaik untuk negara ini bergerak ke hadapan.
“Dua bentuk pemikiran timbul bagaimana untuk melihat permasalahan politik dan sosial ini. Satu penekanan ialah pertumbuhan ekonomi mengatasi keutamaan-keutamaan lain. Pencadang DEB mentakrif cabaran-cabaran pemba­ngunan secara berbeza.”
Kepada mereka adalah bukti jelas berlaku kecacatan struktur di negara ini yang perlu diperbaiki segera.
Kejayaan DEB bagi mencapai objektifnya telah menjadi tajuk perbahasan sejak diwujudkan, namun Tan Sri Faaland kagum dengan kemajuan negara ini ke­seluruhannya sejak dasar itu dilaksanakan.
Tan Sri Faaland dilahirkan di Oslo, Norway pada 25 Januari 1922. Beliau kini berusia 92 tahun. Beliau menerima pendidikan di Universiti Oslo dan Universiti Oxford dalam bidang Matematik dan Ekonomi.
Faaland diasuh oleh Prof. Ragnar Frisch, pemenang bersama Hadiah Nobel dalam Ekonomi pada 1969 dengan Jan Tinbergen.
Buat masa ini walaupun sudah berusia, beliau masih berkhidmat sebagai Perun­ding Kanan di Institut Chr. Michelsen (CMI) Norway, sebuah pusat bebas untuk penyelidikan polisi dan pembangunan antarabangsa.
Dr. Rais semasa makan malam itu mencadangkan sebuah kerusi diwujudkan di universiti, khususnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau universiti lain, untuk mengkaji secara saintifik dan empirikal mengenai masa depan Melayu dan soal kesaksamaan agihan ekonomi dan sosial di negara ini.
Jon, anak Faaland berkata: “Malaysia kini sudah cukup maju secara fizikal, maka pusat atau kerusi yang dicadangkan itu boleh mengkaji ke arah meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat.”
“Tan Sri Faaland masih berharap Malaysia terus melaksanakan DEB. Ia masih releven untuk menghapuskan ketidaksamaan antara kaum yang masih berlaku.
“Amat rugi jika ia ditinggalkan…,” kata Dr. Rais memetik kata-kata mentornya, Faaland.

Deklarasi Shah Alam: Sumpah Anak Pribumi

PADA 22 Mei 2014 menjadi sejarah kepada UiTM, selaku benteng terakhir institusi pendidikan paling berjaya Melayu bumiputera, apabila alumninya mengeluarkan satu deklarasi.
Deklarasi itu bertajuk Deklarasi Shah Alam Sumpah Anak Pribumi “Mempertegaskan UiTM Sebagai Wadah Bumiputera” yang dikeluarkan bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.
Sejak 2008 ia telah dicabar secara terbuka. Semasa pakatan pembangkang, diketuai DAP mengambil alih Selangor, satu kenyataan yang dibuat meminta institusi itu dibuka 10 peratus telah menyebabkan beribu-ribu pelajarnya naik marah dan berarak ke bangunan SUK Selangor dari pintu universiti itu.
Isu itu kemudian senyap. Kini sekali lagi ia berbunyi. Calon DAP di Teluk Intan sengaja mencari pasal bercakap dalam nada yang sama. Ada yang mengatakan calon itu mengajuk apa yang diminta oleh bosnya DAP.
Setelah dihentam kuat dengan cadang­an membuka UiTM kepada kaum lain, dia me­nuduh pula kualiti pelajarnya tidak bermutu.Dia membuat psywar, sedangkan keluaran UiTM paling laris dalam pasaran.
Sehubungan itu, Persatuan Alumni UiTM Malaysia mengeluarkan deklarasi itu sebagai mengutuk keras perbuatan mana-mana pihak yang cuba mempertikai dan menggugat kedudukan dan kedaulatan UiTM, “sebagai institusi pendi­dikan anak bangsa dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang sah berdiri di bawah Perlembagaan Persekutuan di bawah nau­ngan Yang di-Pertuan Agong.”
Penubuhan UiTM adalah selaras de­ngan DEB yang berhasrat untuk mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia.
Apa motif sebenar kenyataan menyentuh UiTM sedangkan ia telah wujud sejak 1956 lagi? Apakah ada unsur: Jika sudah berjaya ia harus dikongsi? Jika ia sebuah institusi yang gagal, adakah ia terus-menerus akan dituntut sebegitu rupa?
Begitu juga Malaysia, sekiranya Malaysia masih seperti Laos atau Cambodia, adakah pembangkang begitu pulun mahu menguasai negara ini?
Mereka bisingkan UiTM mahupun Malaysia kerana kedua-duanya sudah berjaya.
UiTM pada hakikatnya berjaya melalui perkembangan amat pesat dan mengembang sayap ke seluruh negara; 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit, 21 kolej bersekutu dan sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.
Tenaga kerja seramai 17,000 orang, menawarkan 300 program akademik serta rumah kedua bagi 172,000 pelajar.
UiTM selama ini mengeluarkan para pelajar yang versatil, termasuklah calon Teluk Intan itu!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140528/re_06/Intan-dan-Kaca-Kerusi-DEB-Tan-Sri-Faaland-Oh-UiTMku#ixzz32yKJV4j9  © Utusan Melayu (M) Bhd