Perjanjian “Rasis” Rasulullah dan Wasiat Raja Melayu


Oleh Fathul Bari Mat Jahya
DARI UTUSAN MALAYSIA
29/2/2012

Tuhan Menentukan Keturunan

CUBA bayangkan seandainya setiap manusia diberi kebebasan mutlak untuk membuat pilihan. Pasti kehidupan manusia akan hancur dan dunia akan lebur. Ketika itu akan terlihat banyak bangsa Melayu yang memakai tengkolok berkahwin dengan lelaki yang lain.

Justeru manusia telah sepakat dari dahulu, kini dan selamanya; malah sampailah malaikat menggulung bumi seperti gulungan kertas; kebebasan dan hak untuk memilih memiliki batas.

Jika saya diberi hak memilih keturunan, pasti saya akan memilih untuk lahir dalam aliran darah Rasulullah SAW, bukannya manusia yang kulitnya sawo matang, rambutnya hitam dan tingginya tidaklah seberapa. Maksud saya – Melayu.

Kerana sebagai Muslim, saya kuat beriman bahawa Allah telah mengangkat Ahlul Bait dengan beberapa keistimewaan. Malah Rasulullah SAW mengarahkan kita sebagai umatnya yang mencintai dirinya agar memuliakan keturunannya.

Sungguhpun begitu Tuhan tidak memberi kebebasan memilih keturunan kepada saya. Celik-celik sahaja, saya telah berada dalam keluarga Mat Jahya. Dengar namanya sahaja cukup menggambarkan saya ini seorang Melayu. Apakah saya malu?

Demi Allah; tidak! Lantas apakah saya bangga? Ya, sangat berbesar hati menjadi ahli keluarga ini.

Suka saya andaikan bahawa saya ini bernama Syed Fathul Bari Al Malizi. Memiliki susur galur dari keturunan Nabi. Namun Allah telah memberi rezeki kepada saya berupa sebuah rumah yang diperbuat daripada kotak kertas, berhalamankan kaki lima dan kipasnya adalah tiupan angin malam.

Lantas datanglah seorang amil zakat dengan membawa wang yang banyak untuk diberikan kepada saya. Harapannya dengan wang tersebut akan mengeluarkan saya daripada kefakiran.

Namun atas sebab sesudu darah yang tertumpah dalam jasad ini, menyebabkan saya tidak boleh menerima pemberian itu. Diharamkan Allah kepada seluruh keturunan Muhammad Bin Abdullah untuk menerima zakat.

Ketika itu, pemikiran jahat pun menyelinap dalam hati ini; “Rasulullah SAW telah banyak berkorban bersama-sama kerabatnya. Sewajarnya mereka diberi keutamaan dan kemuliaan. Namun itu sudah berlalu 1000 tahun dahulu. Saya adalah gelandangan yang sama seperti gelandangan yang lain; tidur kesejukan di atas lantai kotor. Saya tidak pernah meminta untuk dilahirkan dalam salasilah Ahlul Bait dan tidak pernah meminta untuk menjadi fakir miskin”.

Tetapi kerana “sesudu darah” itu menyebabkan saya memiliki hak dan tanggunjawab. Hak saya untuk dimuliakan oleh bangsa lain. Hak saya untuk menerima hadiah. Tanggungjawab saya untuk berpegang-teguh kepada sunnah. Tanggungjawab saya mempertahankan ajaran Rasulullah. Begitu juga saya dilarang untuk menerima zakat.

Rasulullah dan Perjanjian “Rasis”

Zaid Bin Arqam berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seluruh manusia yang menjadi rakyat Madinah: “Aku ingatkan kepada kalian agar berpedoman dengan hukum Allah dan memperlakukan Ahlul Bait (keluargaku) dengan baik (tiga kali)”. Kemudian Zaid menyambung: “Ahlul Bait beliau adalah orang yang diharamkan menerima zakat sampai sepeninggalan beliau”. (riwayat Muslim, no:2408)

Ketika Nabi menakluk Mekah dan sedang duduk di Masjidil Haram, Ali datang kepadanya lalu berkata: Wahai Rasulullah, kita telah menguasai kunci Ka‘bah dan Air Zam-Zam. Lalu nabi berkata: Di mana Usman bin Thalhah? Ini kuncimu (kunci Ka‘bah), ambil kunci ini selamanya dan tidak akan merebutnya kecuali orang yang zalim. (riwayat al-Thabrani, no:11234)

Lihat bagaimana Rasulullah SAW memberikan hak untuk memegang kunci Ka‘bah sekali gus kuasa mengagihkan Air Zam-Zam kepada manusia yang datang ke Masjidil Haram berdasarkan “keturunan” yang termaktub dalam perjanjian Muthayyibin. Perjanjian ini berlangsung antara Bani Abdud Dar, Bani Jamah, Bani Salim, Bani Makhzum dan Bani Adi untuk tidak berebut kekuasaan atas penjagaan Ka‘bah sekali gus atas urusan Air Zam-Zam.

Rasulullah SAW sempat menyaksikan perjanjian ini dimeterai dan Rasulullah SAW mengiktiraf perjanjian “Rasis” ini dengan berkata: “Aku menyaksikan berlangsungnya al-Muthayyibin, aku tidak ingin membatalkannya walaupun aku diberikan unta merah.” (riwayat Ahmad, no:1567).

Saya masih teringat sebuah perjanjian yang hampir sama dengan Wasiat Raja-Raja Melayu. Inilah Perjanjian Fudhul antara Suku Hasyim, Suku Muthalib, Suku Asad bin Abdul ‘Uzza, Suku Zuhrah bin Kilab dan Suku Taim bin Murrah untuk menentang kezaliman di kota Mekah baik terhadap penduduk pribumi mahupun pendatang (lihat: Sirah Ibnu Hisyam oleh Abdul Malik bin Hisyam (w.213H), 1/265, Dar al-Jail, Beirut, thn.1411H)

Perjanjian ini berlaku setelah peperangan Al-Fujjar yang ketika itu baginda berumur sekitar 15 tahun. Baginda bersabda: “Aku telah menyaksikan perjanjian Fudhul di kediaman Abdullah bin Jad‘an, perjanjian yang tidak akan aku batalkan walaupun aku hanya diberi kekuasaan atas binatang ternak. Dan sekiranya perjanjian itu dilaksanakan pada masa Islam, maka aku akan menyetujuinya.” (riwayat al-Baihaqi, no:12114)

Cermatilah, bagaimana Rasulullah SAW menegaskan walaupun dia memiliki kekuasaan yang besar atas urusan manusia, namun dia tetap tidak akan mencabuli perjanjian-perjanjian tersebut.

Cukuplah saya membawakan dua contoh tentang keterkaitan darah dan hak. Saya tidak berani untuk mengatakan Rasulullah SAW sebagai berfahaman “kepuakan” atau penentang kepada kesamarataan. Tetapi wasiat Rasulullah SAW itu wajib kita laksanakan sehinggalah dunia berakhir.

Wasiat Raja Melayu

Cuba kita pindahkan peristiwa tersebut ke negara kita. Setelah tewasnya tentera kita di tangan penjajah, para penjajah membawa masuk beberapa bangsa lain dalam jumlah yang besar untuk berkerja dengan mereka.

Akhirnya terbentuk sebuah masyarakat yang berbilang seperti yang ada pada hari ini. Mereka sedar bahawa mereka datang bertamu di rumah orang.

Oleh itu ketika tanah ini hampir merdeka, mereka telah bersetuju dengan Wasiat Raja-Raja Melayu, empunya sebenar tanah ini. Bahawa orang Melayu memiliki hak keistimewaan yang perlu dihormati dan tidak boleh dipersoalkan. Atas persetujuan inilah, nenek moyang kita memberikan hak kerakyatan kepada mereka.

Sebagai manusia yang beriman kepada Rasulullah SAW, setelah kita membaca sejarah perjuangan baginda, jelaslah Rasulullah SAW mengiktiraf segenggam hak dari sesudu darah.

Perjanjian Hudaibiah kemenangan Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Kaabah di Kota Mekah pada tahun 1880. Pada tahun 6 Hijrah, umat Islam yang berhijrah ke Madinah begitu merindui untuk kembali beribadat di situ.


PERJANJIAN Hudaibiah antara catatan sejarah yang masyhur di kalangan umat Islam. Peristiwa itu cukup jelas dan tidak ada apa lagi persoalan mengenainya yang boleh ditimbulkan..

Ia merupakan satu peristiwa besar yang menjadi kunci dan permulaan kepada pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di Semenanjung Arab.

Tetapi tahukah anda bahawa perjanjian itu sebenarnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan para sahabat Rasulullah sendiri, terutamanya Umar bin Al Khattab.

Sebelum itu dikisahkan bagaimana Umar menceraikan kedua-dua isterinya bagi mematuhi wahyu Allah supaya menceraikan isteri yang masih tidak memeluk Islam, yakni kafir.

Ini kerana, ekoran daripada perjanjian Hudaibiah, perempuan-perempuan Islam mengadu kepada Nabi Muhammad bahawa wali-wali menuntut supaya mereka mesti pulang atau dikembalikan.

Ia sebagaimana termaktub dalam isi atau syarat perjanjian yang keempat: “Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya, iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan kepada mereka.”

Namun sudah tentu Rasulullah menolak tuntutan yang seperti itu dengan alasan bahawa isi perjanjian tidak termasuk golongan wanita. Hanya golongan lelaki sahaja yang dimaksudkan.

Kemudian turun ayat al-Quran bagi menegaskan lagi alasan Rasulullah itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu sebagai isteri dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka sebagai suami…. (al-Mumtahanah: 10)

Ekoran daripada ayat ini juga Umar menceraikan dua orang isterinya yang masih syirik itu.

Setelah bercerai, kedua-duanya berkahwin lain, seorang berkahwin dengan Muawiyah bin Abi Suffian dan seorang lagi berkahwin dengan Safwan bin Umayyah.

Ramai yang berpendapat bahawa Perjanjian Hudaibiah dilihat satu kemenangan kepada pihak Islam atau memberikan banyak faedah kepada Islam berbanding golongan kafir Quraisy.

Walaupun sekali imbas ia nampak sebaliknya, seolah-olah Islam yang banyak ‘mengalah’ dan terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak pihak Quraisy itu.

Ini terutamanya apabila niat dan kedatangan rombongan umat Islam dari Madinah untuk mengerjakan umrah dan haji dihalang.

Malah mereka dikehendaki supaya pulang dan hanya dibenarkan melakukan ibadat tersebut pada tahun hadapan dan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Kejayaan kepada umat Islam dapat dilihat apabila kaum Quraisy mula mengiktiraf Nabi Muhammad dan agama yang disebarkan oleh baginda.

Sebelum ini puak Quraisy hanya ingin memerangi Islam hingga ke akar umbi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam terutamanya Nabi Muhammad itu sendiri.

Tapi apabila mereka boleh diajak berbincang dan membawa kepada gencatan senjata, itu menunjukkan mereka tidak lagi mempunyai keupayaan menentang Islam.

Walaupun umat Islam hanya dibenarkan mengerjakan umrah dan haji pada tahun berikutnya, ia merupakan satu kemenangan kerana selepas itu mereka boleh melakukan ibadat itu pada bila-bila masa tanpa sekatan.

Malah jika ada orang Quraisy yang lari kepada Islam dan Rasulullah di Madinah dan perlu dipulangkan kepada puaknya di Mekah, ia juga merupakan satu kelebihan kepada Islam dan bukan sesuatu yang merugikan.

Bagi baginda golongan yang lari itu tentunya bukan lagi seorang Islam. Hanya mereka yang murtad sahaja yang akan berbuat demikian.

Justeru kalau ada yang murtad maka dia tidak diperlukan lagi dalam masyarakat Islam.

Maka adalah lebih baik orang seperti itu keluar daripada komuniti Islam.

MPV – VW SHARAN


Pelengkap tawaran VW


CARCOSA SRI NEGARA pada petang Ahad minggu lalu cukup meriah. Sekali pandang seperti hari keluarga. Banyak betul aktivitinya. Makan-makan, sesi fotografi, permainan video, sudut mewarna, sesi bercerita, kereta kawalan jauh, urut, malah merias kuku pun ada. Bagi kanak-kanak, pastinya kaunter gula kapas dan bertih jagung menjadi sasaran utama. Semua nampak relaks menghabiskan masa selama beberapa jam di sana.

Nampaknya, tema dan suasana aktiviti santai bersama keluarga sebegitu memang kena dengan pelancaran model terbaharu daripada Volkswagen Group Malaysia (VGM).

Ciri terbaik VW

Dikenali sebagai Sharan, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu sudah memasuki generasi kedua. Ia menjadi tawaran terbaharu VGM kepada pengguna Malaysia yang dilihat kian selesa dengan jenama dari Jerman itu selepas model-model seperti Polo, Golf, Jetta, Cross Touran, Passat, Passat CC, Tiguan dan Touareg.

Volkswagen (VW) mula mengeluarkan Sharan pada tahun 1995, sebagai respons kepada pasaran yang gemarkan MPV bersaiz besar, tetapi mampu menawarkan pemanduan seperti sebuah kereta.

Ketika itu, Sharan dibangunkan bersama Ford menerusi model Ford Galaxy sebelum VW melakukan rebadged model sama menggunakan jenama SEAT yang kemudian diberi nama Alhambra. Pada tahun 2006, Ford tampil dengan Galaxy baharu yang tiada kena mengena dengan Sharan, selain model MPV S-Max yang dibina di atas kerangka sedan Mondeo.

Selepas 15 tahun, biarpun cuma mengalami proses penambahbaikan (facelift) sebanyak dua kali, Sharan nyata diterima baik terutama di pasaran Eropah apabila lebih 600,000 unit berjaya dijual.


BUKAAN pintu yang luas untuk memudahkan proses keluar masuk kenderaan.


Di Malaysia yang kenderaan import sepenuhnya (CBU) memang mahal, VGM memposisikan Sharan sebagai sebuah MPV premium. Ini bukan dakwaan semata-mata kerana Sharan hadir bersama pelbagai ciri yang membuatkannya lebih mewah berbanding MPV sekelas dengannya.

Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay menyifatkan Sharan sebagai sebuah MPV yang unik. Sharan memiliki semua inovasi terbaik Volkswagen. Nilai tambahnya juga terletak pada rekabentuk menarik, ciri-ciri termaju dan sistem keselamatan. Di samping teknologi termasyur Volkswagen, enjin TSI turbocharged dan kotak gear berkembar Direct Shift Gearbox (DSG).

“Jadi, selain bersifat versatil untuk membawa seisi keluarga, MPV ini juga menawarkan pemanduan sporty,” kata Ricky.

Berdasarkan kepada penampilan luaran, rekaan Sharan terbaharu itu nyata lebih menarik. Ia merupakan hasil tangan Ketua Perekabentuk Kumpulan VW, Walter de Silva dan Ketua Perekabentuk Jenama VW, Klaus Bischoff yang berpaksikan kepada DNA rekabentuk VW baharu.

Walaupun sekali pandang ia tetap berkotak seperti MPV lain, Sharan sebenarnya memiliki garis sisi yang kemas. Rekaan ringkas sebegitu bertujuan mencipta keseimbangan dan kelihatan energetik.

Rekaan itu tidak mengujakan saya. Namun kalau diikutkan, pembeli kenderaan sebegini tidak meletakkan rekaan sebagai kriteria terpenting untuk membelinya. Mereka lebih berminat kepada ruang dalaman luas, banyak ruang penyimpanan barang, tahan lasak dan menawarkan pengendalian yang stabil.

MPV itu tidak menggunakan teknik bukaan pintu konvensional. Ia sebaliknya diganti dengan pintu gelongsor yang boleh dikawal secara elektrik dengan hanya menekan butang pada rantai kunci. Satu ciri yang bagus jika anda terpaksa memakir di ruang sempit.

Satu lagi perkara yang semestinya disukai ramai ialah sistem bantuan ketika memakir kenderaan. Dikenali sebagai Park Assist 2.0, ia sangat berguna jika hendak memakir sama ada secara sejajar atau mengundur. Sistem itu dipertingkat lagi menerusi Park Distance Control (PDC) dan paparan kamera belakang.

Sebenarnya, inilah kali pertama Park Assist 2.0 dipasang pada kenderaan VW. Jadi, kalau dengan Park Assist 2.0 pun kereta boleh kemek, mungkin ada baiknya beli Perodua Viva sahaja.

Sesuai dengan statusnya sebagai MPV mewah, tempat duduk Sharan yang boleh menempatkan tujuh orang penumpang dewasa dengan selesa (termasuk tempat duduk baris ketiga) itu dibalut dengan kulit ‘Vienna’.


ANDA boleh mengharapkan kualiti pemanduan yang responsif menerusi padanan enjin TSI 2.0 liter dan kotak gear DSG enam kelajuan automatik.


Kalau hendak mengangkat barang besar dan mahukan ruang kargo luas, lipat sahaja tempat duduk baris kedua dan ketiga. Operasinya juga mudah dengan hanya menarik satu tuil. Sekelip mata, ruang itu menjadi seluas 2,430 liter.

Tech Package

Papan pemuka yang berwarna hitam itu diserikan dengan kemasan berwarna perak titanium pada bingkai corong pendingin hawa, sistem audio dan butang kawalan. Sistem audio RNS510 dengan skrin sentuh pula diintegrasi bersama sistem navigasi yang turut boleh membaca fail daripada sumber kad SD.

Sementara pacuan DVD memiliki kapasiti simpanan fail mencecah 30GB. Maklumat navigasi dan audio dipapar menerusi paparan TFT. Sistem sama dipertingkat menerusi peranti antara muka MEDIA-IN bersama satu kabel adapter USB dan opsyen AUX-IN.

Bagi memudahkan pemanduan, Sharan dibekalkan dengan stereng multi fungsi dengan butang kawalan. Pemandu juga kekal berhubung dengan kenderaan melalui paparan multi fungsi ‘Plus’ yang diletakkan pada bahagian meter .

Jika di pasaran lain, misalnya United Kingdom Sharan ditawarkan sehingga 14 varian yang dibezakan menerusi pilihan enjin dan aksesori, VGM sebaliknya hanya menawarkan dua varian Sharan untuk pengguna Malaysia. Varian itu dibezakan oleh pakej teknologi atau Tech Package.

Pakej tersebut merangkumi Adaptive Chassis control (DCC), sistem bunyi premium DYNAUDIO dengan lapan pembesar suara berkuasa 800 watt, sistem kunci ‘Keyless Access’, sistem penghidup serta sistem amaran ‘Lane Assist’.


PINTU gelongsor pada kedua-dua belah sisi yang bergaya dan praktikal.


Biarpun begitu, kedua-dua varian itu menerima aspek mekanikal yang sama. Sharan dipacu menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter TSI turbocharged. Enjin dengan sistem pancitan terus yang turut digunakan oleh model Golf GTI itu mampu menjana kuasa sehingga 200PS @ 5,100rpm dan tork puncak 280Nm yang boleh diperoleh pada putaran enjin serendah 1,700rpm hingga 5,000rpm.

Enjin bercekapan tinggi itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan DSG. Ia bukan sekadar menawarkan pemanduan yang lancar, malah penjimatan penggunaan bahan api dengan catatan 8,5 liter untuk setiap 100 kilometer.

Jadi, jika anda merancang untuk membeli sebuah MPV bersaiz penuh yang mewah, ada baiknya singgah sebentar ke mana-mana bilik pameran VW. Anda mungkin berkenan dengan Sharan.

Kelebihan syuhada dan anbia di barzakh

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Sesungguhnya kehidupan di alam barzakh yang hakiki adalah perasaan yang sempurna, pengenalan yang lengkap dan pengetahuan yang benar. – Gambar hiasan


KELEBIHAN hidup alam kubur (barzakh) bagi para nabi akan mudah difahami jika kita merenung tentang kelebihan mereka yang mati syahid. Sudah jelas dalam pelbagai nas yang mereka menerima pelbagai kelebihan di alam tersebut dan bukan hanya sekadar roh yang tidak binasa.

Sekiranya ‘hidup di alam kubur’ bermaksud roh yang kekal, tidak fana dan tidak binasa, maka tiadalah sebarang keistimewaan bagi para syuhada untuk layak disebut dengan kemuliaan tersebut, kerana ruh semua anak Adam juga adalah baqa’ (kekal) iaitu tidak fana dan tidak binasa.

Inilah yang sebenarnya diakui oleh para pentahqiq seperti yang ditegaskan oleh Sheikh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.

Maka semestinya, para syuhada itu memiliki keistimewaan yang melebihi manusia biasa. Sekiranya tiada keistimewaan itu, maka sia-sialah kehidupan mereka.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT melarang kita mengatakan mereka itu ‘orang mati’. Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Justeru, apa yang ingin diperkatakan, semestinya kehidupan mereka itu lebih sempurna dan mulia daripada kehidupan manusia biasa.

Inilah yang ditegaskan oleh nas-nas di atas. Hakikatnya, roh-roh golongan itu dikurniakan rezeki. Mereka mendatangi sungai-sungai di dalam syurga dan menikmati buah-buahan yang terdapat di dalamnya.

Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-‘Imran: 169)

Seterusnya, segala yang mereka rasai seperti makanan, minuman dan segala bentuk nikmat dapat rasakan dengan rasa yang amat sempurna.

Ada perasaan yang amat puas, kelazatan yang begitu menggiurkan dan keseronokan yang hakiki.

Ia seperti yang dinyatakan di dalam hadis: “Ketika mereka merasai kenikmatan makanan, minuman dan tempat tidur, mereka pun berkata, Alangkah baiknya, kalau saudara-saudara kita tahu apa yang telah Allah kurniakan kepada kita ini.” (Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Ahmad)

Malahan, roh para syuhada itu memiliki keistimewaan tasarruf (pengurusan dan pentadbiran) yang lebih besar dan luas daripada manusia lain.

Mereka dapat mengembara dan bergerak bebas dalam syurga Allah SWT mengikut kehendaknya. Kemudian mereka menuju ke arah pelita-pelita yang terletak di bawah arasy Allah. Begitulah seperti yang disebut dalam hadis sahih.

Para syuhada dapat mendengar setiap pertuturan dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya. Disebut dalam hadis sahih: Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada mereka, apakah yang kalian inginkan?” Maka mereka menjawab: “Ini dan ini. Berterusan soalan dengan disertai jawapannya. Kemudian mereka meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia untuk berjihad. Kemudian, mereka memohon lagi supaya Allah menyampaikan daripada mereka suatu risalah (berita) kepada saudara-saudara mereka di dunia yang menceritakan tentang segala kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka Allah berfirman: Aku akan menyampaikannya daripada kalian.

Sekiranya perkara itu thabit pada hak syuhada, maka para nabi adalah jauh lebih berhak daripada mereka dalam dua aspek.

Yang pertama ialah kedudukan yang mulia itu dianugerahkan kepada para syuhada sebagai kemuliaan dan penghormatan untuk mereka.

Kita ketahui, tidak ada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan yang dianugerahi kepada para nabi.

Kita juga tidak meragui, bahawa keadaan para nabi adalah jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding keadaan kesemua para syuhada. Maka adalah mustahil sekiranya kesempurnaan nikmat itu hanya dirasai oleh para syuhada dan tidak dikurniakan kepada para nabi.

Lebih-lebih lagi kesempurnaan ini berupa kesempurnaan yang sudah pasti menambahkan taqarrub, pendekatan, nikmat dan kemesraan (al- Uns) mereka dengan Allah Yang Maha Tinggi.

Aspek kedua pula kedudukan yang mulia untuk para syuhada itu adalah sebagai ganjaran terhadap jihad dan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah.

Tetapi, nabi adalah insan yang telah mempelopori sunnah tersebut kepada kita. Bahkan, baginda mengajak dan menunjuki kita kepada jalan tersebut dengan izin Allah SWT dan taufik-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan walau sedikit pun dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya tanpa berkurangan walau sedikit pun.”

Banyak lagi hadis sahih yang masyhur mengenai hal ini. Justeru, setiap pahala yang dikurniakan kepada para syuhada, dikurniakan juga kepada nabi kerana kebaikan yang dilakukan sama seperti yang pernah dilakukan oleh nabi.

Beli undi: Kadir wajar mohon maaf


DARI UTUSAN MALAYSIA
28/2/2012

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir wajar memohon maaf kepada para pengundi di kawasan Parlimen Kulim Bandar-Baharu ekoran kenyataannya yang menggambarkan pengundi di kawasan itu mudah untuk ‘dibeli’.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, Abdul Kadir wajar berbuat demikian jika perbuatan membeli undi itu benar-benar berlaku.

“Dia seolah-olah telah menghina pengundi di kawasan itu. Maka dia kena minta maaf jika ia berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Kadir semasa berucap dalam satu forum pada Januari lalu yang mendakwa wang yang digunakan pada kempen pilihan raya lalu adalah untuk membeli undi, satu taktik yang dikenali sebagai ‘bom’.

Dakwa Abdul Kadir, beliau mengalami pengalaman itu sendiri dengan memberi RM200 hingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi.

Menurut bekas Menteri Penerangan itu, dia telah menjadi ketua dalam banyak kempen pilihan raya dan diberikan wang dalam jumlah yang banyak untuk diagihkan kepada pengundi.

Zahrain berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat perkara itu memandangkan ia adalah pengakuan yang dibuat oleh Abdul Kadir.

“Bagi saya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan memandangkan Abdul Kadir adalah bekas wakil rakyat kawasan itu untuk beberapa penggal, bagi memastikan sama ada beliau terbabit dengan politik wang ataupun tidak,” katanya.

“Beliau (Abdul Kadir) perlu berterima kasih kepada UMNO kerana sudah menikmati kemewahan dan kekayaan hasil penyertaannya dalam parti itu.

”Kekalahan pemimpin UMNO pada pilihan raya umum lalu termasuk di Kulim bukan kerana duit, tetapi kerana sikap pemimpinnya seperti Abdul Kadir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zahrain turut mendesak Abdul Kadir supaya menyatakan pendiriannya sama ada masih lagi menyokong UMNO atau berhasrat menyertai pembangkang ekoran kenyataannya sejak kebelakangan ini yang mengkritik parti itu dan kerajaan.

Katanya, Abdul Kadir yang sudah pencen itu wajar mendiamkan diri dan tidak perlu mengkritik tanpa asas sehingga boleh menjejaskan parti yang disertainya sebelum ini.

KOMEN : INILAH DIA MAKLUK BELAAN YANG MAKAN TUAN… BUKAN UMNO SAJA YANG KENA SIASAT HAL INI… SPRM PUN KENA MAINKAN PERANAN PENTING DARI MANA KADIR NI DAPAT DUIT UNTUK RASUAH PENGUNDI? BANYAK TU?

SPRM diberi akses penuh


NAJIB Tun Razak meneliti isi kandungan buku Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah pada majlis perasmian program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Turut hadir Mohd. Sidek Hassan (kiri) dan Abu Kassim Mohamad. – BERNAMA


PUTRAJAYA 27 Feb. – Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persetujuan itu sejajar dengan saranan Lembaga Penasihat SPRM supaya anggota pentadbiran kerajaan termasuk ahli keluarga terdekat mengisytiharkan harta masing-masing bagi menentukan ketelusan dan integriti mereka kepada umum.

”Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan oleh lembaga terbabit, ingin saya jelaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengamalkan proses itu jauh lebih awal berbanding yang lain.

”Setiap anggota pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri termasuklah setiap tambahan atau pelupusan harta dan pengisytiharan itu dibuat secara berkanun,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 di sini, hari ini.

Januari lalu, Lembaga Penasihat SPRM mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri Kabinet mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada agensi itu.

Cadangan itu, menurut Pengerusinya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Abu Kassim ketika ditemui menjelaskan, jumlah aset milik menteri, timbalan dan anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan lain yang menjadi perhatian SPRM adalah sepanjang tempoh mereka memegang jawatan sahaja.

Menurut beliau, pihaknya akan melihat dengan teliti sama ada wujud atau tidak pertambahan yang mendadak terhadap jumlah aset milik mereka, termasuk ahli keluarga terdekat dalam tempoh itu.

”Apa yang menjadi perhatian SPRM bukanlah jumlah aset sebelum mereka menyandang jawatan dalam kerajaan, tetapi yang penting ada atau tidak pertambahan yang mendadak sehingga boleh menimbulkan keraguan sepanjang memegang jawatan kerajaan.

”Jadi, jumlah aset atau harta yang mereka peroleh atau sedia ada, kita akur,” katanya.

KOMEN : RASA-RASANYA ADA TAK YANG SANGKUT KERANA MEMPUNYAI KEKAYAAN YANG LUAR BIASA… ?

TUKAR REJIM APA KEBENDANYA?

Pihak guna kuasa asing tiada tempat dalam negara demokratik

DARI UTUSAN MALAYSIA
27/2/2012


Mahathir Mohamad bersalaman dengan penuntut Universiti Malaysia Sarawak pada Konvensyen Kebangsaan Patriotisme dan Politik: Hala Tuju Sebenar di Samarahan, Sarawak, semalam. – BERNAMA


SAMARAHAN 26 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihak yang menggunakan kuasa asing untuk menjayakan cita-cita politik mereka tidak mempunyai tempat dalam sebuah negara demokratik.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, golongan sedemikian juga tidak patriotik walaupun cita-cita politik mereka itu adalah sesuatu yang murni demi kebaikan negara.

Katanya, walaupun amalan demokrasi membolehkan semua rakyat menentukan kerajaan mereka, jika ia terdiri daripada kerajaan pilihan kuasa asing, maka negara itu sudah tidak bebas lagi.

“Seseorang yang patriotik tidak boleh membenarkan dia diperalat oleh kuasa asing untuk menjatuhkan pemerintah walaupun mereka mungkin tidak begitu prihatin kepada rakyat.

“Niat dan hasrat kuasa asing melakukan perubahan rejim adalah supaya rejim baharu itu dapat diperalat untuk melaksanakan agenda mereka,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Patriotisme dan Politik: Hala Tuju Sebenar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir berkata, hak asasi manusia perlu diutamakan, namun semua pihak harus berjaga-jaga dalam mempromosikannya kerana ia dikhuatiri menyebabkan seseorang itu dijadikan alat kuasa asing tanpa disedarinya.

Sebagai contoh, katanya, hak untuk menyoal pemerintah merupakan satu perkara yang sudah diterima sebagai hak asasi, namun ia boleh digunakan secara halus pihak ketiga untuk kepentingan agenda mereka.

“Kalau kita persoal demi kepentingan negara, itu adalah baik tetapi mungkin soalan yang dikemukakan tersebut menepati kehendak pihak lain

“Secara jelas, kita perlu lebih setia kepada negara daripada setia kepada ideologi asing yang masuk ke dalam negara kita,” katanya.

Mengenai sistem demokrasi pula, beliau berkata, ia bukanlah sesuatu yang mudah selain memerlukan rakyat yang boleh berfikir dan menilai.

Katanya, jika kita mengamalkan demokrasi dengan terlalu mengikut apa yang dilakukan pihak lain, kita bakal berdepan risiko untuk diperalatkan.

“Dengan itu, negara kita akan menjadi tidak stabil kerana setiap pemerintahan yang dirikan akan diruntuhkan kerana ingin mendirikan pemerintahan lain yang kononnya lebih baik tetapi akhirnya akan ditentang oleh satu pihak lain pula,” tegasnya.

KOMEN : ITU CONTOH TERBAIK PERTUKARAN REJIM DI AFGANISTAN, IRAQ, MESIR, TUNISIA, LIBYA,,, NEGARA HANCUR DALAM SEKELIP MATA… ADA PUAK YANG MENYERANG DAN BATU API MACAM USA AMBIL KESAH NAK BANGUNKAN SEMULA… LANTAK KAU ORANGLAH… JANJI YANG SELAMAT NEGARA ISRAEL…. ORANG ISLAM BERBUNUH SESAMA SENDIRI KERANA TERIKUT-IKUT DEMOKRASI ALA BARAT…